Khamis, Disember 20, 2012

NASIB PEWARIS KERETA LEMBU HARUS DIBELA

Sewaktu kecil dan tinggal di kampung, saya pernah membelek model kereta lembu dibeli dek ibu saudara sewaktu melawat Melaka.

"Melaka memang terkenal dengan kereta lembu," katanya kepada saya.

Peristiwa itu berlaku ketika saya menuntut di darjah satu, pada tahun 1974. 

Tidak hairanlah jika laman sesawang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, MBMB, juga turut memaparkan gambar kereta lembu, klik di sini.

Bagaimanapun hanya selepas 38 tahun, saya berpeluang mendekati pengusaha kereta lembu menawarkan perkhidmatan mereka sebagai satu daripada produk pelancongan Melaka. 


"Berapakah harga untuk membuat sebuah kereta lembu?," soal saya kepada K. Sivarajah.

Sivarajah, 42 tahun, seorang daripada pengendali kereta lembu di tapak berhampiran Taman Buaya, Air Keroh, Melaka.


"Lebih kurang RM27,000, diperbuat daripada kayu gersak dan besi. Harga itu tidak termasuk dua ekor lembu jantan kampung, RM14,000," balasnya.

Menurut Sivarajah, kereta lembu ditempah daripada tukang di Bukit Lintang. 

"Anak berapa orang?," tanya saya.

"Masih bujang lagi," balasnya fasih berbahasa Melayu.


"Janganlah terlalu asyik menjaga lembu, sampai terlupa untuk mencari isteri," usik saya.

"Belum ada jodoh lagi," katanya sambil tersenyum.


Lama saya dan rakan, Azizul Azzemin, memerhatikan orang ramai turun naik kereta lembu sambil bersembang dengan beberapa penduduk tempatan.


Kebetulan, sewaktu merakamkan gambar, saya bertemu dengan beberapa keluarga dari Negeri Sembilan dan sempat bergurau bersama mereka.

"Elok juga ada perkhidmatan menaiki kereta lembu di sini. Maklumlah kekadang anak bandar sukar membezakan di antara lembu dan kuda," kata saya.

Mereka tersenyum.


"Trek memang tanah merah, terlalu becak dan kelihatan kotor. Tadi, sukar untuk kami merakamkan gambar, bergoyang teruk," komen penumpang sejurus turun dari kereta lembu dinaiki.

Kumpulan 6 penumpang atau kurang dikenakan bayaran RM10 untuk dibawa menaiki kereta lembu selama kira-kira 10 minit.


Sebelum ini, perkhidmatan membawa pelancong tempatan dan asing menaiki kereta lembu ditawarkan di kawasan lapang, kemudian dibangunkan dan digelar Dataran Pahlawan. Justeru pengusaha terbabit terpaksa mencari lokasi lain untuk meraih rezeki.

Tapak mereka beroperasi kini, berhampiran Muzium Orang Asli kelihatan becak dan kurang selesa untuk pelancong menaiki sembilan kereta lembu disediakan.


Lihat beberapa gambar lain berpeluang saya rakamkan.


Ketika tiba di lokasi terbabit, saya melihat Sivarajah membersihkan najis lembu. Dalam erti kata lain, pengusaha sentiasa cuba menjaga kebersihan kawasan berhampiran dereta gerai menjual pelbagai jenis makanan.


Tanah mereka gunakan kini khabarnya milik bekas Ketua Menteri Melaka dan semua pengusaha tidak dikenakan sebarang sewa. 

Alhamdulillah, orang kaya raya tetapi bersikap pemurah.

Apapun, jika benar kereta lembu satu daripada warisan sejarah Melaka dan dianggap produk pelancongan, saya percaya MBMB berupaya mencarikan tempat LEBIH sesuai untuk semua pengusaha menawarkan perkhidmatan mereka dalam keadaan lebih selesa.


Sepanjang berada di lokasi itu, tiada rungutan terpancul daripada mulut pengusaha saya temui. Namun saya yakin, andai tapak digunakan berada dalam keadaan lebih sempurna, barangkali mampu memancing lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan ditawarkan sekaligus berupaya membantu semua pengusaha menambah pendapatan mereka.

4 ulasan:

  1. lembu punya susu, sapi dpt nama... hehehe..takda kena mengena dengan entri saudara, hny teringat perihal lembu..

    BalasPadam
  2. kecik-kecik pernah naik kereta lembu semasa pesta mandi safar di pantai tg keling...bebudak zaman sekarang tak pernah rasa semua nie...

    BalasPadam
  3. Saya sebenarnya sering terfikir, berapakah pendapatan mereka sebulan. Adakah sumbernya melalui perkhidmatan yang disediakan.

    Bayangkan pada hari hujan, mungkin langsung tiada pelanggan yang hendak menaiki kereta lembu ini. Mampukah mereka meneruskan kelangsungan hidup?

    Fanpage saya

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.