Rabu, Januari 16, 2013

BERMAIN DENGAN NENEK BONGKOK TIGA

"Sejak dua bulan lalu, Anis (bukan nama sebenar) hampir setiap pagi, sekitar dalam jam dua akan ke bilik air. Dia mencuci mangkuk tandas sehingga berkilat dan kemudian membasuh kain tanpa henti. Sekotak sabun basuh, habis dalam tempoh dua hari sahaja. Lebih pelik, dia sering kali meminta saya menyapukan losyen wangi ke tubuh semakin kurus," jelas ibunya.

Anis, 15 tahun, kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan melalui diagnosis diperolehi, doktor memaklumkan keluarganya, dia tidak mengalami sebarang penyakit. 

"Selepas itu kami membawa dia pulang ke rumah. Kejadian sama terus berlaku. Pada waktu awal pagi, Anis akan kepenatan setelah bekerja keras di bilik air dan kemudian tidur sepanjang hari. Dia memang tidak mahu pergi ke sekolah. Sampai sahaja di sekolah, dia muntah hijau, menjadi lemah dan terjatuh. Sekarang dia tidak lagi membasuh tandas dan kain kerana terlantar di katil, tidak bertenaga untuk bangun. Setiap perkataan terkeluar dari mulutnya juga tidak jelas serta sukar difahami," sambung ibunya.

10 Januari lalu, saya bersama Razali, Jet, Boy dan penasihat kru Penyingkap Fakta, ustaz Zaharuddin Zainal bergerak ke rumah Anis.


"Kita boleh mencuba dengan izin Allah," ujar ustaz Zaharuddin. 

Al-hafiz, graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu berpengalaman merawat pesakit diganggu jin menggunakan kaedah rawatan Islam sejak berusia 16 tahun.

"Orang bunian, jin educated dan gemarkan tempat wangi," tambah ustaz sewaktu berada dalam kenderaan.


Sebaik tiba, saya melihat wajah lesu dan tubuh lemah remaja terbabit. Dia tidur sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya.


Tanpa berlengah ustaz Zaharuddin memulakan rawatan dengan membacakan ummul kitab, Al-Fatihah berulang kali.

"Saya sedekahkan kepada Nabi Muhammad, sahabat, wali, ramai guru saya, ibu bapa, keluarga dan semua muslimin dan muslimat," kata ustaz.

"Kemudian?," soal saya.

"Saya rukyah menggunakan gabungan ayat suci Al-Quran terpilh daripada beberapa surah. Akhirnya saya meminta Anis mengikut saya membaca ikrar pemutus sekiranya dia dirasuk oleh jin," balas ustaz.


Tiba-tiba Anis terbangun daripada tidur, merengek dan kelihatan tidak selesa.


Ustaz meminta ayah Anis untuk memegang dan mengawal pergerakan anaknya itu.


Boy kemudian melaungkan azan sedang ustaz sibuk menyemburkan air didoakan di seluruh rumah Anis. Saya hanya memerhatikan mereka.


Lewat malam, selepas menghirup hidangan teh 'O' dan tempeyek, kami kemudian beredar pulang ke Petaling Jaya, Selangor.

Petang semalam, ibu Anis menghubungi saya melalui telefon bimbit.

"Alhamdulillah, Anis sudah boleh duduk berlunjur kaki, main game komputer, bercakap seperti biasa tetapi masih perlahan"

Lega hati saya mendengarnya.

"Opah dia bertanya, ke manakah awak selama ini? Anis menjawab, dia sibuk bermain dengan orang tua nenek bongkok tiga bertubuh kecil dan bersanggul di tepi sungai. Selama ini menurut Anis, nenek itu 'duduk' di dalam tubuhnya dan keluar memerhati ketika Anis mencuci tandas dan membasuh kain berjam lamanya. Opahnya bertanya lagi, dimanakah nenek tua itu sekarnag? Anis menjawab, nenek itu sudah keluar dari badannya dan pergi ke tempat lain. Seperkara lagi, sebelum ini sewaktu mengangkat Anis ke bilik air, badannya berat sangat sehingga saya menjadi mengah, sekarang beratnya normal, ringan," jelas ibunya.

"Berikan dia makanan untuk menambah tenaga, glukose sebagai minuman," balas saya.

Saya kemudian menghubungi ustaz Zaharuddin.

"Kita tengok badan dia lemah seperti orang tua sebelum ini, bercakappun tidak jelas. Tubuh dia telah digunakan sehingga dia terlalu kepenatan. Alhamdulillah, semoga dengan izin Allah, Anis akan pulih seperti sediakala," ujar iman Masjid Ibnu Khaldun di Sungai Besi, Kuala Lumpur itu.

Daripada nada suara ibu Anis, saya dapat menjankan, dia dan keluarga amat gembira dengan perkembangan kesihatan anak sulung mereka.

Allah maha besar, maha mengetahui kejadian di langit dan di bumi. 

Hubungi ustaz Zaharuddin melalui Facebook, klik di sini dan telefon Razali di talian 016 231 5812 sekiranya berminat untuk menyertai Paranormal Tour ke 3 di Melaka, klik di sini.

4 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.