Jumaat, Januari 04, 2013

MUSLIHAT 'ADIK' ACHEH MERANA

"Saya berhijarah ke Malaysia pada tahun 1996 kerana pergolakan di Aceh. Mula mengenali gadis berusia 24 tahun itu sejak kira-kira dua bulan lalu," ujar lelaki berasal dari Indonesia, 'Herman'.

"Sebelum ini, saya pernah bertanya siapakah nama sebenar kamu? Dia hanya ingin dipanggil 'adik' sahaja. Katanya dia pelajar kolej dan bekerja secara sambilan. Pertama kali datang bertemu saya di kedai runcit, dia  mencagarkan telefon bimbit sekaligus meminta RM30. Janjinya, sebaik mendapat gaji, adik akan menebus semula telefon itu. Saya berikan dia RM50. Tidak berapa lama kemudian, dia memaklumkan saya, ibunya sakit tenat di Terengganu dan dia memerlukan wang RM400 untuk dijadikan belanja pulang ke kampung halaman," katanya lagi.

"Awak bagi ke?," celah saya.

"Saya kasihan mendengar cerita dia lalu saya berikan. Sehingga pada bulan itu, saya langsung tidak berpeluang mengirimkan wang ke kampung seperti biasa. Isteri kemudian menghubungi saya dan bertanya, mengapakah saya tidak mengirimkan wang? Saya beritahu dia, tidak ada kerja. Walhal semua duit gaji saya, adik gunakan," balasnya kesal.

Herman, bapa kepada 7 anak, berusia di antara 16 bulan dan 20 tahun.

"Apakah lagi alasan dia meminta wang daripada awak?," soal saya ingin tahu.

"Dalam tempoh dua bulan, lebih 2,500 ringgit saya serahkan kepada dia. Alasan? Perlukan wang untuk membeli pakaian dan kasut untuk sesi graduasi (konvokesyen), ibu meninggal dunia dan harus pulang ke Terengganu. Dia juga pernah datang ke kedai runcit tempat saya bekerja dibawa seseorang menaiki kereta, mengambil beras, sayur, gula dan meminta saya membayarkan harga barangan itu," jawabnya.

"Awak bayarkan?," soalan saya kemukakan.

"Ya," balasnya ringkas.

"Mengapakah muka awak bengkak?," tanya saya.

"Malam tadi, kira-kira hampir jam sepuluh, datang seorang lelaki berusia awal dua puluhan dan mengajak saya keluar dari kedai. Kami pernah bertemu sebelum itu lalu saya memeluk dia sebagai rakan. Malangnya, saya tidak mengetahui nama lelaki itu apatah lagi tempat dia tinggal. Kami berjalan kira-kira 30 meter dari pintu kedai runcit dan menuju ke arah klinik berhampiran, tiba-tiba dia menumbuk muka saya bertalu-talu dan menghantuk muka saya ke palang besi di hadapan klinik. Saya cakap, tolong jangan pukul saya, mungkin awak tersilap orang tetapi dia langsung tidak mempedulikan rayuan saya. Lebih sepuluh minit saya dipukul berulangkali, lihat ini, mata saya bengkak, hidung saya berdarah pada ketika itu. Dia kelihatan sangat marah, apabila menerima pesanan ringkas, SMS dihantar oleh seseorang tetapi  dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak berkesempatan membaca kandungan SMS itu," jelas lelaki berusia 45 tahun terbabit. 


Tambahnya, dia menjangkakan pemuda bertubuh kecil bertindak ganas itu teman lelaki adik.

(Klik di sini, jika ingin menempuh pengalaman berbeza)

"Saya pernah terjumpa adik di Up Town D'Kota, Kota Damansara sewaktu berjalan bersama rakan. Sebaik terlihat saya, dia pantas memalingkan muka ke arah lain kerana sedang berjalan bersama seorang lelaki. Katanya, itu kawan sekolej dia. Sebenarnya, saya tidak pernah bertemu dengan adik di luar kedai," ujar Herman.

"Kenapa tidak membuat laporan polis?," soal saya.

"Susah, biarkan sahaja. Saya orang asing dan datang ke sini untuk mencari rezeki. Kalau kes ini dilaporkan, nanti majikan saya, berkebetulan saudara isteri, akan tahu dan selepas itu pastinya isteri di kampung marah dan berasa bimbang berikutan kejadian itu," ungkapnya.

Hemat saya, dia berasa lebih gusar kerana mungkin tidak memiliki dokumen untuk bekerja secara sah di kedai milik warga Aceh kini berstatus penduduk tetap. 

3 ulasan:

  1. haha..tu cerita orang asing pula kena tipu orang kita....selalu baca orang kita kena tipu...

    BalasPadam
  2. sungguh tidak patut diperlakukan demikian...

    manusia sama sahaja tidak mengira kaum dan bangsa....

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.