Jumaat, Januari 11, 2013

PEMBUNUH BERJUBAH HITAM?

"Dia bomoh dan memang selalu menawarkan khidmat kepada pemilik restoran untuk membuat pelaris," ujar sumber kebetulan saya temui di Shah Alam, Selangor, Sabtu lalu.

"Pelaris?," soal saya.

"Contohnya kalau restoran tidak dikunjungi ramai pelanggan, dia datang dan menggunakan kaedah tradisional untuk menarik pelanggan datang," balasnya.

Sumber terbabit merujuk kepada mangsa maut ditembak dari jarak dekat di Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 9 malam, sehari sebelum sumber ditemu bual.  

Klik di sini untuk membaca hasil liputan saya berhubung kes itu.


Dalam tempoh kira-kira 4 hari, polis telah berjaya menyelesaikan kes bunuh terbabit dengan menangkap 3 suspek di Petaling Jaya dan Alor Setar, Kedah.

Suspek, pasangan suami isteri, bekas kapten kapal, 43 tahun dan isteri, guru berusia 31 tahun serta adik lelaki terbabit.

Antara barangan dirampas, dua pucuk pistol jenis Glock, dua magazin dan dua kotak peluru, jubah dan selipar hitam. Pihak polis menganggap kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu selesai.

Sila baca laporan Harian Metro dan Sinar Harian di sini dan di sini.

Meariknya, sehingga kini, nama mangsa tidak didedahkan kepada media. Menurut polis, motif pembunuhan dipercayai cemburu dan dendam. Seperti biasa, semua motif itu bakal terungkai sewaktu perbicaraan kes di mahkamah kelak.

Tahniah kepada polis Selangor kerana berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam itu dalam tempoh singkat. Begitulah antara tugas pihak polis, memburu penjenayah dan menegakkan undang-undang di negara kita.

Selain daripada itu, polis juga mencegah, menyiasat dan cuba menyelesaikan pelbagai lagi kes jenayah seperti rompakan, samun dan rogol. Namun pada hari Sabtu ini, kebanyakan mereka berkhidmat di Kuala Lumpur dan Selangor terpaksa menumpukan perhatian untuk mengawal Himpunan Kebangkitan Rakyat agar berjalan secara lancar.

1 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.