Khamis, Oktober 15, 2009

Ini Nepal Punya!

Jika meminjam barang milik orang lain, kembalikan semula selepas digunakan. Mungkin itu mesej boleh dipelajari daripada entry ringkas ini.

Berikut kisahnya.

Jam 7 malam, warga Indonesia, Wan, berusia lingkungan 30 an dibelasah sehingga mati dua rakyat Nepal. Motif? Wan gagal memulangkan cakera padat, CD dipinjam daripada suspek. Kejadian berlaku di Kampung Batu Chondong, Juasseh Tengah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Jaafar Baba, mereka bertiga, pekerja kolam ikan dan tinggal sebumbung di rumah disediakan majikan.

"Kamu jangan 'klaim' ini CD kamu punya! Ini Nepal punya!"

Mungkin begitu jeritan warga Nepal terbabit sebelum menyerang Wan. Maklumlah, Indonesia kebelakangan ini sering 'mengklaim' pelbagai entiti milik mutlak mereka.


Eh! Berapa harga CD asli? RM40? Berapa pula harga CD cetak rompak? RM10? Logik akal, berkemungkinan besar mereka tidak membeli CD asli kerana harga lebih mahal. Jadi, maksudnya harga nyawa warga Indonesia itu tidak lebih RM10 sahaja.

Bagaimanapun saya percaya, kerajaan Indonesia tidak akan 'bikin ribut' berhubung kes ini kerana mangsa bukan dibunuh warga Malaysia.

Syukurlah.

Paling pening, taukeh kolam ikan. Bukan sahaja terpaksa mencari 3 pekerja pengganti malah jika pekerja terbabit dalam kes jenayah itu tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dia boleh dituduh melindungi pendatang tanpa izin. Siang nanti saya akan menghubungi Superintendan Jaafar, ingin bertanyakan status dokumen mereka. Nanti saya kongsikan bersama pembaca.

Update Jam 12.38 tadi Superintendan Jaafar menghantar SMS berbunyi 'Suspek dan mangsa, kosong, tiada dokumen perjalanan'

Siapa Lebih Membosankan?

Bilangan perempuan dikatakan lebih ramai berbanding lelaki. Tidak hairan, kini lelaki mempunyai banyak pilihan jika mencari pasangan. Barangkali kerana itu lelaki selalu 'pasang' lebih daripada seorang teman wanita atau isteri.

Teori demand and supply menjelaskan segalanya.

Bagaimanapun, seperti lelaki, perempuan mempunyai 'taste' tersendiri. Masakan mereka memilih teman lelaki atau suami secara semberono.

"Dia kacak tetapi membosankan," antara kenyataan mereka.

'Bosan', perkataan membawa maksud subjektif.

Mungkin perempuan boleh menjelaskan maksud perkataan itu mengikut pengertian mereka jika dihubungkaitkan dengan lelaki. Lelaki pula mungkin jarang menyedari sikap dan tingkah laku mereka membosankan perempuan. Maklumlah, keegoan majoriti lelaki dikatakan tinggi.

Tetapi perempuan juga tidak dapat lari dari hakikat sebenar. Mereka juga mungkin membosankan pada pandangan lelaki. Justeru, lelaki mempunyai takrifan perkataan sama jika dihubungkaitkan dengan perempuan.

Kongsikan di sini, siapa lebih membosankan? Mengapa?


Rabu, Oktober 14, 2009

Musang Sejuk

Usianya baru 15 tahun, remaja mentah masih bersekolah dan tinggal bersama keluarga di Rancangan Kemajuan Tanah Kesedar, Chalil, Gua Musang, Kelantan.

Jam 10.02 pagi tadi saya menghubungi jurukamera, Hanapi Mat di Kota Bharu, Kelantan.

“Bandar Gua Musang kalau naik kereta dari Kota Bharu, lebih kurang 2 jam. Kebanyakkan penduduk berkerja sebagai peneroka ladang kelapa sawit. Gua Musang kiranya daerah dalam proses membangunlah,” ujarnya ringkas.

Melalui maklumat itu saya boleh membayangkan Gua Musang bukan membangun seperti Damansara, Petaling Jaya, Selangor mahupun Bangsar atau Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur.

Apa hebatnya Gua Musang? Tiada. Cuma kisah remaja itu mencuit hati saya. Dilaporkan Harian Metro, semasa ketiadaan keluarganya, dia nekad membawa kekasihnya tidur bersama. Semasa diserbu penduduk kampung diketui Imam Tua Mukim Chalil, Sudin Daud pada jam 1.30 pagi, pasangan remaja ditahan berkhalwat terbabit tidur berselimut sama.

Chalil, kawasan bercuaca sejuk agaknya. Tetapi saya yakin keduanya pasti lebih ‘sejuk’, menggigil sewaktu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Nota Dalam 'Gua' cuaca selalunya sejuk, 'Musang' berbulu lebat, penebat kesejukan. Tetapi suhu di Gua Musang rasanya tidak sejuk, kan?

Gambar (kanan) Perbezaan ketara di antara musang (fox) berbanding Samantha Fox :)

Jemputan Kepada bloggers di Kuching, saya dan Penerbit 360 akan berada di sana pada hari Ahad, 18 Oktober ini. Sila SMS ke 019 6330 360 jika ingin minum bersama. Tolong tulis 'blogger' di hujung mesej, terima kasih.

Manusia Umpama Haiwan

Ada bapa merogol anak.

Ada anak merogol ibu.

Ibu hanya tutup mata, pekakkan telinga, membisu seribu bahasa.

Jika difikirkan berita pernah dilaporkan itu, terfikir ...

Rupanya, tidak jauh perbezaan perlakuan manusia berbanding haiwan.

Jangan Kelentong Saya

Petang semalam saya menyertai operasi memerika Taman Asuhan Kanak Kanak, Taska, di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor bersama 8 penguatkuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM, Selangor.

Menurut pegawai bertugas, Taska terbabit tidak berdaftar dengan JKM dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Operasi premis sama tiada kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Jam 10 malam, saya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali mendakwa namanya Jefri.

“Saya dari Taska Mazidul pergi petang tadi,” katanya.

“Ini nombor peribadi saya, dapat mana?,” soal saya.

“Oh! Tahun 2002 dulu Mazidul pernah menjadi pengacara majlis function kita orang,” dakwanya.

“Kalau hendak kelentong, sila kelentong orang lain, bukan saya. Nombor ini tahun 2002 saya tidak guna lagi. Jefri, boleh tidak awak bercakap jujur?,” pinta saya.

Tergagap dia kemudian meminta maaf.

“Ada kawan TV3 bagi saya nombor ini, Anuar nama dia,” jelasnya.

Saya hairan mengapa dia tidak bercakap benar.

“Kalau boleh jangan keluarkan cerita fasal Taska itu boleh?,” pohonnya.

“Pegawai JKM kata Taska itu kotor, suasana sekeliling tidak sesuai dihuni kanak-kanak. Lagipun tidak berdaftar, maksudnya beroperasi secara tidak sah. Kakitangan awak saya jumpa, merungut, dia orang risau,” ujar saya.

“Tapi di Taska itu, kita ajar ilmu agama,” celahnya.

“Macam inilah Jefri, niat tidak menghalalkan cara, ertinya biarpun tujuan itu murni undang-undang dunia ini tetap kena ikut. Tetapi kalau awak bersetuju bahawa niat boleh menghalalkan cara, saya batalkan liputan Taska awak itu,” kata saya.

Dia terdiam dan saya memutuskan talian. Saya kemudian dimaklumkan wartawan bertugas, Taska sama mempunyai 11 cawangan di Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

Selasa, Oktober 13, 2009

Hati Iblis

Akhbar Kosmo hari ini melaporkan di Ipoh, Perak, lebih 2,000 pelabur syarikat skim cepat kaya haram berputih mata, kerugian lebih RM26 juta akibat pengusaha syarikat melarikan diri. Bagi saya, dia bijak. Jika tidak masakan seorang manusia mampu menperdaya ribuan mangsa.

Mangsa sebelum ini dimomokkan kononnya mereka melabur dalam projek penanaman rumpai laut di Sabah, menjanjikan pulangan 7 sen bagi setiap 1 sen pelaburan. Peliknya dalam kes ini, pelabur mendakwa ditipu terdiri daripada golongan profesional, peguam, doktor dan ahli perniagaan, bukan golongan berpendidikan rendah.

Itu bukan kes penipuan pertama. Banyak kes lebih kurang sama pernah berlaku di pelbagai lokasi di negara kita, berulangkali. Contohnya, skim cepat kaya paling terkenal di Malaysia diusahakan Osman Hamzah, Pak Man Telo, memperdaya lebih 50,000 pelabur, membabitkan dana RM99 juta, jika tidak silap saya bermula di Taiping, Perak.

Saya secara peribadi sudah jelak mendengar dan membuat liputan berhubung kes seperti ini. Muak dengan manusia tidak pernah belajar dari kesilapan orang lain.

Kepada pembaca blog ini, peringatan saya mudah. Usah mudah tertipu dengan janji manis. Kekadang mereka mendekati kita kelihatan baik, beradap dan menyakinkan. Hakikatnya, perlakuan mereka mengatasi kejahatan iblis.

Perempuan Gemuk

Majoriti perempuan berasa bimbang jika gemuk.

Bagi golongan kurang berkemampuan dari segi kewangan, mereka sekadar berdiam diri. Mereka percaya aktiviti harian, menyapu sampah, membasuh kain, dan melayan kerenah anak mampu mengeluarkan peluh sekaligus menurunkan berat badan.

Manakala perempuan berduit kebanyakkannya akan bergegas ke gimnasium untuk bersenam sejurus menyedari berat badan bertambah. Bagaimanapun ramai antara perempuan sekarang cenderung mencari jalan pintas untuk menguruskan badan. Mereka malas bersenam, alasannya kerana kekurangan masa. Justeru, perempuan sanggup memakai corset sempit berhaba kononnya mampu membakar lemak lalu mengurangkan berat badan. Perhatikan, ada juga antara mereka sanggup minum pelbagai jenis cecair dimomok mampu membuatkan perut kenyang sekaligus mereka tidak perlu makan. Malah tidak kurang menjalani proses liposuction bertujuan menyedut keluar lemak berlebihan. Hakikatnya, segelintir perempuan sanggup berhabisan wang biarpun kos rawatan terbabit mencecah RM20,000.

Semua itu mereka lakukan untuk kurus dan memiliki berat badan ideal biarpun sebilangan mereka didapati hanya berusaha separuh jalan. Sebahagian perempuan menguruskan badan bertujuan menjaga kesihatan manakala sebahagian lagi berniat untuk memastikan mata suami atau teman lelaki sedap memandang (untung lelaki!).

Mungkin mereka tidak sedar, sesungguhnya ada lelaki suka mendampingi perempuan gemuk biarpun majoriti saya percaya, tidak.

Betulkan kenyataan saya andai tersilap.