Isnin, Jun 09, 2014

PENIAGA CILIK BERKOMUNIKASI MENGGUNAKAN 15 BAHASA DUNIA

Sejak lebih 2 tahun lalu, saya acap kali melihat kelibat gadis cilik bertubuh berisi, menjual pelbagai jenis barangan cenderahati kepada pelancong di sekitar bandaraya Ho Chi MInh, Vietnam. 

Mulutnya petah bercakap setiap kali mendekati pelancong dari negara berbeza.

Lily, 12 tahun dan beberapa rakan tidak melepaskan peluang mengekori dan mengusik saya setiap kali bertemu. 

"Demo kecek kelate ko?," katanya dalam bentuk gurauan.


Terlintas di fikiran, bagaimanakah mungkin anak kelahiran Ho Chi Minh itu mampu mengajuk loghat Kelantan? Terlalu ramaikah pelancong berkunjung ke bandaraya ini berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang?

Awal pagi tadi, saya mempelawa Lily makan dan minum bersama.

"Saya sudah makan, kenyang. Kalau minum sahaja, bolehlah," ujarnya sambil duduk di kerusi sebuah gerai berhampiran Ben Thanh Market.

Ayahnya, menjual mancis api manakala ibu pula menjual pakaian dan beg. Lily dilahirkan sebagai anak sulung daripada 4 beradik berusia di antara 6 dan 12 tahun.

"Sejak bilakah kamu merayau di jalanan?," soal saya kepada Lily.

"Waktu saya berusia sebulan emak telah mula mengendong saya, merayau dari pagi sehingga ke malam untuk menjual barang. Apabila berusia tiga tahun, saya menjual chewing gum sehingga enam. Ketika itu saya masih belum fasih berbahasa Melayu," jelasnya.


Minuman teh ais dipesannya tidak lagi disentuh, dia asyik berkongsi cerita. Barangkali sebelum ini, tiada individu sudi mendengar luahan kisah pahit manis hidupnya sebagai peniaga jalanan.

"Saya tengok ramai perempuan mendukung anak kecil, mendekati pelancong sambil menjual barang. Adakah bayi itu anak mereka?," soal saya.

"Ya. Apabila mereka membawa bayi bersama, pelancong melihat selalunya berasa lebih simpati lalu berkebarangkalian besar akan membeli barangan dijual oleh perempuan itu. Mereka tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris, cuma boleh bercakap, baby no food to eat," katanya.

Begitulah rayuan lazim, sering terpancul daripada majoriti mulut wanita berniaga di jalanan.




"Saya belajar banyak bahasa pun di jalanan juga, diajar oleh pelancong,  dalam lima belas bahasa semua. Antaranya, Bahasa Melayu, Inggeris, bahasa orang Filipina, tagalog, tamil, kantonese, Korea dan Jepun, Namun sejak bulan Ogos tahun lalu, saya hanya lebih lebih selalu  bercakap dalam bahasa Melayu kerana bilangan pelancong dari negara lain berkurangan datang ke Ho Chi Minh, kecuali dari Malaysia. Mereka sangat ramai, sehingga menyukarkan saya hendak berjalan. Apapun, mempelajari pelbagai bahasa itu penting dalam perniagaan di jalanan. Kebanyakkan pelancong suka kita menyapa, menggunakan bahasa ibunda mereka. Selepas mesra, peluang untuk menjual barang kepada mereka bertambah," katanya lagi.


Lily tidak berasa kekok menceritakan secebis daripada kisah hidupnya.

"Semasa berusia enam dan tujuh tahun, saya membawa bekas barangan kecil sahaja. Pada usia lapan tahun, saya membawa bekas lebih besar, seperti ini supaya mudah dilihat oleh orang ramai," katanya.

Kerja menjual barangan cenderahati menuntut semangat dan sifat tebal muka. Penjual tidak mengenal erti penat juga tidak mengenal erti patah semangat setiap kali enggan dilayan oleh pelancong. Majoriti pelancong berkunjung ke Ho Chi Minh menganggap penjual sebagai elemen gangguan. Mereka tidak berasa selesa diekori rapat kehulu-kehlir biarpun berulang kali menolak produk ditawarkan. 

"Di seluruh Ho Chi Minh, dianggarkan lebih 100 kanak-kanak menjalankan kerja sama seperti saya. Sewaktu saya berusia di antara dua dan tiga tahun, setiap hari ada perempuan membawa saya pulang ke rumah dia dan memberikan saya susu," tambah Lily.

Di sekolah, dia gemarkan subjek matematik dan Lily, pelajar cemerlang. Di jalananan, dia peniaga haram di mata pengustkuasa undang-undang.

"Dalam peperiksaan di sekolah, saya menduduki tempat ketiga tetapi setakat ini saya belum memutuskan cita-cita saya lagi," terangnya.

Pada hari bersekolah, dia menjual barang di antara jam 1 tengah hari dan 2 pagi. Kalau pada hujung minggu, dia mula berniaga lebih awal, sekitar jam 9 pagi. Kekadang barangan habis dijual, ada harinya tidak. 

"Kamu takut dengan polis pelancong di sini?," tanya saya.

"Tidak. Saya tidak takut sesiapa. Kalau polis kejar, saya akan mencampakkan barang dan lari. Semalam, kawan saya berniaga di pasar malam Ben Thanh ditangkap, dibawa ke balai polis. Keluarga terpaksa datang ke balai untuk mengambil dia untuk dibawa balik ke rumah. Saya pernah hampir kena tangkap tetapi berjaya melepaskan diri, saya tepis tangan polis itu. Saya kuat berlari, laju. Polis bukan mampu mengejar," jelasnya.

Saya berasa kagum, Lily kelihatan amat tenang di sepanjang temu bual dan sesekali dia menghirup minuman digemarinya. Bagi Lily, mendepani cabaran sebagai peniaga haram jalanan, alah bisa tegal biasa.



"Peniaga di sini menggelar saya 'gemuk', dari kecil sampai besar. Saya mula berjalan kaki pun sejak dari kecil sampai besar tetapi tidak juga kurus. Lazimnya, kanak-kanak di sini akan terus berniaga sehingga usia mereka mencecah enam belas atau tujuh belas tahun. Kami terus berniaga kerana menyedari bilangan pelancong dari Malaysia semakin bertambah sejak enam tahun lalu. Mereka datang membeli telekunga dan baju kurung kerana harga murah. Sekarang, hotel dan restoran halal banyak, berbanding dahulu," ujarnya.


Saya berada di Ho Chi Minh bersama sebilangan pembaca blog dan rakan facebook di antara 7 dan 10 Jun 2014.

Nantikan entri pendedahan identiti kumpulan terbabit memperdaya kemudian menyamun beberapa pelancong dari Malaysia dan negara lain.

Beberapa gambar pegun eksklusif berjaya dirakamkan.

3 ulasan:

  1. semalam saya pun ada ambil gambar dengan Lily ;)

    BalasPadam
  2. Best juga dapat bergambar dengan budak sekecil itu yang dah pandai cari wang. Orang Malaysia suka habiskan wang ke sana termasuklah saya.

    maaf

    BalasPadam
  3. suka baca artikel ni.berulang kali baca.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.