Rabu, Disember 31, 2008

Selamat Tinggal 2008

Kurang 24 jam kita bersama bakal melangkah ke tahun baru, 2009. Pastinya tahun 2008 menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis. Kita berharap setiap kejadian pahit tidak berulang manakala peristiwa manis berterusan.

Tahun baru meransang majoriti kita menanam tekad baru. Biarpun mungkin azam tahun 2008 tidak dapat dicapai sepenuhnya. Tetapi kita masih mampu mencuba selagi kita bernyawa.

Where there is a will, there is a way, jika wujud kehendak pasti ada jalan, itu ringkasannya. Justeru, kita harus percaya berbekalkan akal, kudrat dan restu Allah S.W.T kita bersama berdaya mencapai pelbagai impian.

Saya berhasrat menjadi wartawan lebih efektif, membuka mata pelbagai pihak bagi membantu masyarakat berhadapan masalah, sedaya mampu. Tahun 2009, saya kepingin melihat lebih ramai orang tersenyum dan bergembira jika masalah mereka diselesaikan. Doakan saya berjaya mencapai azam itu.

Kongsikan azam anda bersama pembaca. Boleh?

Kepada semua, terima kasih kerana terus sudi menjenguk blog ini. Hit melebihi 100,000 dalam tempoh 8 bulan membuktikan anda bersama saya. Semoga setiap entry dan komen dilontarkan lebih mendewasakan pemikiran dan tindakan kita semua.

Selamat menyambut tahun baru 2009!

Isnin, Disember 29, 2008

RM300 Sekilo

Jam 10.30 pagi tadi sewaktu di Pasar Satok, Kuching, Sarawak saya membeli 2 ikan terubok masin.

“Saya jual satu sepuluh ringgit saja, harga special sebab saya peminat abang, ” ujar penjual, ramah.

Di kertas tanda harga tertulis ‘RM17 seekor’. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya biarpun percaya dia menjual harga sama kepada setiap pelanggan.

“Kalau nak makan sendiri beli jenis besar, Malaysia punya. Nak bagi kepada orang, beli jenis kecil, sepuluh ringgit tiga, boleh dapat banyak, Burma punya,” jelasnya.

“Telor ikan terubok, nak? Tiga ratus ringgit sekilo,” soalnya.

“Sebab apa mahal?”

“Dalam seratus ekor, lebih kurang lima belas saja bertelur, susah nak dapat sebab itu mahal," pantas dia menjawab.

Sedap ke telur terubok masin, sesiapa pernah mencuba?

Ahad, Disember 28, 2008

Minum Air Hujan

Tengahari tadi, sewaktu minum di gerai pasar Serikin, Sarawak saya dihampiri wanita tua, datang bersama 18 ahli keluarga.

“Ish! Ini biasa nenek tengok kat TV tu yer?,” tanyanya.

Saya tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia kemudian pantas menarik kerusi dan duduk di hadapan saya. Hajjah Darmi Selamat berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor, berketurunan Jawa, berusia 92 tahun. Dia lebih senang dipanggil Nenek Wok.

“Nenek, umur 92 tahun, masih kuat, nampak muda, apa petuanya?,” soal saya.

“Nenek minum air hujan, mandi pakai air hujan. Tak pakai air paip biasa, cubalah. Nenek ada 12 anak, 3 lelaki 9 perempuan. Cucu 50, cicit 35 orang. Ni ha, anak sulung nenek, Salbiah, umur 65 tahun,” jawabnya sambil menunjukkan wanita duduk di sebelah kanan saya.

Nenek Wok berkahwin ketika berusia 15 tahun.

“Masa tu nenek kerja kopek pinang, siang malam bolehlah dapat 10 tin, upah 2 sen satu tin. Tapi beras segantang baru 7 sen, gula 2 kati pun sama harga. Sekarang ni lain, mahal,” ujarnya.

Sebelum beredar, Salbiah memberikan saya nombor telefon Nenek Wok.

“Kalau datang ke Batu Pahat, singgah,” pelawa Salbiah.

Sabtu, Disember 27, 2008

Mahalnya Kerang

“Kerang sekilo berapa?,” tanya saya kepada peniga di Pasar Ikan Kg. Buntal.

Kg. Buntal, 26 kilometer dari Kuching, Sarawak.

“Empat ringgit,” jawabnya.

“Kenapa mahal? Di Semenanjung sekilo dua ringgit jer,” tanya saya lagi.

“Oh! Di sini kerang nak cari susah bang. Kena masuk selut lebih sekaki dalam, gagau dengan tangan. Lepas tu ada musim, tak datang selalu. Saya pergi cari kerang jam 4 pagi, jam 2 petang baru balik. Itu pun bukan boleh dapat banyak sangat. Silap-silap disengat ikan berbisa, kena pergi hospital,” jawabnya.

Jika kerang dijual RM4 sekilo, orang di Semenanjung macamana?

[ Kata Mazidul: Di Sarawak sampai 29 Disember .. ]

Enggan Susukan Anak Sendiri?

Hanya 14.5 peratus ibu di Malaysia memberi susu badan kepada anak sehingga berusia 6 bulan.

“Rosak badanlah kalau susukan anak lama sangat,” antara komen diutarakan.

Maksudnya, majoriti ibu kini lebih gemar memberi susu lembu kepada anak mereka berbanding ibu di zaman 60 an. Hairan, sedangkan susu ibu diakui, susu terbaik bagi tumbesaran anak.

Apakah faktor mendorong ibu enggan menyusukan anak sendiri? Memelihara tubuh agar kelihatan kekal cantik? Sibuk degan tugas seharian

Khamis, Disember 25, 2008

Bodoh Sombong

23 Disember lalu, sewaktu menghadirkan diri ke sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor saya bertemu beberapa wartawan membuat liputan.

Saya katakan ..

“Menulis itu kerja kita. Tidak salah menulis selagi kita faham apa kita tulis. Fakta kena betul, jika tidak, tulisan itu fitnah. Kes ini dibicarakan di mahkamah syariah, kalau memfitnah nanti jadi kes mahkamah sivil. Lagipun kita kena ingat, memfitnah sesama manusia, hanya manusia boleh memaafkan”

Tiba-tiba terpancul kenyataan dari mulut wartawan wanita bertudung berdiri berhampiran saya.

“Saya minta maaf bang”

Saya kemudian membuka pintu mahkamah untuk dia masuk.

"Abang bukakan pintu ni, maafkan saya tak?," soalnya.

Saya hanya sekadar menguntumkan senyuman. Saya hairan, dia wartawan Sinar Harian, mengapa perlu memohon maaf? Sedangkan wartawan memfitnah saya berikutan kenyataan di bawah caption bergambar Harian Metro terbitan 27 November 2008 tidak ambil pusing.

‘Tak sehaluan … Mazidul dan Khairul Fazlin selepas DISAHKAN bercerai’

Kenyataan itu sama sekali TIDAK benar kerana mahkamah hanya akan membuat keputusan pengesahan lafaz cerai pada 21 Januari akan datang. Maksudnya Harian Metro ‘menceraikan’ saya sekaligus mendahului keputusan mahkamah. Hebat!

Pada hari sama, saya menghubungi editor akhbar terbabit.

“Maaf, saya akan perbetulkan balik, esok, janji,” katanya.

28 November, ‘ralat’ mengandungi kenyataan memohon maaf dicetak dalam akhbar sama.

Timbul persoalan, bagaimana suratkhabar ternama, Harian Metro, bahan bacaan ramai mampu membuat kesilapan sebegitu. Jika wartawan bertugas tidak memahami prosiding mahkamah, mengapa dungu enggan bertanya kepada golongan lebih arif? Mungkin itu dipanggil bodoh sombong.

Kepada pembaca, saya dan isteri sah rujuk di Jabatan Agama Islam Selangor pada 17 November lalu.

Doakan kami bahagia hingga ke akhir hayat.

Selasa, Disember 23, 2008

Bumi Kenyalang

Saya akan berada di Kuching, Sarawak antara 26 dan 29 Disember 2008. Anda di lokasi sama, sila hubungi saya melalui SMS di 019 2345 360. Makan, minum saya belanja ..

Terima kasih.

Bayi 20 Bulan Dinodai

Butterworth, Pulau Pinang, 23 Disember 2008.

Pasangan ayah dan anak berusia 16 tahun bernafsu binatang dilapor menodai bayi berusia 20 bulan. Pihak hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan bayi menangis tanpa henti terbabit. Berikutan itu, ibu mangsa menghantar anakya dijaga di rumah suspek membuat laporan polis – Harian Metro

Isnin, Disember 22, 2008

Pusat Bertindik

Sejak dari dulu kita sering melihat kanak-kanak perempuan pelbagai bangsa bertindik di telinga, tidak kanak-kanak lelaki. Lubang ditindik kemudian dipasangkan anting-anting, antara perhiasan perempuan remaja dan dewasa.

Bagi perempuan India, majoriti mereka bertindik di hidung selain di telinga, barangkali melambangkan budaya.

Kini, perempuan bukan sahaja bertindik di telinga dan hidung malah di pelbagai bahagian badan. Di bawah bibir, di kening, lidah dan pusat. Lebih menghairankan bertindik mula dijadikan budaya di kalangan lelaki.

Pernah saya tanyakan kepada beberapa gadis remaja ..

“Apa tujuannya bertindik di pusat?”

Jawaban saya terima ..

“Saja-saja”

Kalau ‘saja-saja’ maksudnya perbuatan itu dilakukan tanpa tujuan, perbuatan sia-sia menyakitkan tubuh badan.

Atau ada alasan selain itu?

Memburu Kebahagian

Hakikat, manusia tidak hidup menongkat langit. Tempoh kewujudan kita di muka bumi ini singkat. Justeru, seharusnya setiap daripada kita memburu kebahagian bukan mencipta kesengsaraan.

Bagaimanapun, kita seringkali melakukan sebaliknya ..

Entahlah.

Jumaat, Disember 19, 2008

Berkorban Demi Cinta

Saya percaya ramai pembaca blog ini masih bujang malah sedang hangat bercinta. Cinta, perasaan terindah dipupuk menjadi pemangkin pasangan merancang menuju gerbang perkahwinan. Perkongsian hidup antara dua insan.

Pasangan serius berhasrat hidup bersama bertahun-tahun berusaha sedaya upaya mengumpul wang memastikan niat menjadi realiti. Cukup wang perbelanjaan, tarikh perkahwinan ditetapkan. Kad jemputan diedar kepada rakan taulan maupun saudara mara.

Sewaktu menyertai kursus perkahwinan, berita buruk tiba-tiba menyapa ..

“Maaf, pasangan awak positif HIV!,” ujar pegawai perubatan.

Ketika itu pasti anda berada di persimpangan dilema.

Saya tidak mendoakan senario di atas berlaku kepada sesiapa. Tetapi jika terjadi, sanggupkah anda berpisah, berkorban demi cinta? Atau mencari alternatif lain bernikah di luar negara?

Terkini, bermula tahun depan setiap pasangan bakal berkahwin di seluruh negara WAJIB menjalani ujian saringan HIV, antara syarat kursus perkahwinan bertujuan mengekang jangkitan AIDS di negara kita.

Khamis, Disember 18, 2008

Bila Ada Masa

Bila ada masa, jangan lupa tinjau blog terbaru, MasFaceClub.blogspot.com. Hantarkan gambar istimewa anda ke mazidul360@yahoo.com.my. Gambar terpilih akan dimuatkan di blog terbabit untuk tatapan semua.

Boleh?

Jajan Jadi 'Kecil'

“Perasaan tak, masa kecil dulu, jajan macam Super Ring ni rasa ‘besar’ sangat?,” tanya saya.

“Betul bang. Saya dulu-dulu benda macam ni, siap makan sikit-sikit lagi, hisap tak kunyah, takut cepat habis,” kata Fiza sambil memegang ‘Super Ring’ di tangan kirinya.

Pengacara program Nona, Fiza dibesarkan ibu kerana ayahnya meninggal dunia sewaktu dia berusia 8 tahun.

“Saya adik-beradik lima orang. Share jajan. Ada waktunya simpan sampai malam, sayang nak habiskan,” sambungnya berterus-terang.

“Tapi bila dah besar, jajan ni macam dah jadi ‘kecil’ kan?,” tanya saya.

“Tu la, mungkin sebab kita dah ada duit nak beli kut. Sekarang ni kalau anak buah saya nak Mamee contohnya, saya akan pergi beli dalam bungkus besar tu, ada banyak kat dalam,” katanya tersenyum.

Hati saya berkata ..

“Kalau tulis isu makan jajan masa kecil dalam blog bagus ni. Pembaca pun mesti ada kisah pahit manis nak dikongsi bersama”

Selasa, Disember 16, 2008

Bukan Sekecil Kuman

10.15 pagi 5 Disember lalu saya tiba di kawasan runtuhan tanah Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor. Lelaki bermisai tebal dan berkulit gelap kemudian menghampiri saya.

“Mazidul tau tak apa ada kat sana?,” soalnya sambil menuding jari ke arah banglo runtuh.

Saya menggeleng kepala.

“Satu daripada banglo tu dijadikan mini kasino, mesin judi banyak kat dalam tapi masuk by invitation only. Selalu kalau malam, at least ada tujuh lapan kereta parked kat depan rumah tu,” terangnya.

Saya terdiam.

“Encik orang mana?,” soal saya.

“Orang sinilah,” balasnya pantas sebelum berlalu.

Beberapa hari lalu, akhbar tempatan menyiarkan desas-desus berhubung dakwaan sama. Bagaimanapun setakat ini dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Kini kakitangan pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya sibuk memindahkan pelbagai barangan ditinggalkan mangsa sekaligus membersihkan kawasan runtuhan.

Tunggu sahajalah, benar atau tidak akan diketahui, mesin judi bukan sekecil kuman, jelas pada pandangan mata.

Wow!

Berikut respon wanita muda sejurus melihat lelaki berbadan sasa, tinggi dan berkulit sawo matang melintas di hadapannya ..

“Wow! Seksinya dia”

Berikut respon lelaki sejurus melihat wanita mengenakan pakaian sedikit jarang di dada..

“Wow! Seksinya dia”

‘Seksi’ perkataan berbentuk subjektif. Maksudnya seseorang itu mungkin kelihatan seksi bagi anda, tidak pada pandangan mata orang lain.

Jadi, apa takrifan ‘seksi’ sebenarnya bagi lelaki dan wanita?

Isnin, Disember 15, 2008

Abstrak Hingga Kebulan

‘Abstrak Hingga Kebulan’, kumpulan muzik ditubuhkan sejak 3 tahun lalu. Tiga daripada 4 anggota, Atom, Zairul dan penyanyi, Faiza muncul dalam temubual bersama MHI pagi tadi. Album pertama mereka bertajuk sama mula dijual Jumaat lalu, berharga RM25 mengandungi 10 lagu.

Atom dan Faiza, bekas pelajar Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, kelahiran Seremban, Negeri Sembilan dan Kuching, Sarawak.

“Kita sekarang ni sedang mengadakan Tour Felda kerana kita percaya mereka antara pembeli album kita,” kata Atom.

Saya sempat bertanyakan soalan berhubung isu arak murah dikatakan menjadi minuman kegilaan segelintir remaja zaman sekarang.

Respon Zaiful sambil tersenyum ..

“Kalau sebelum ini ada kumpulan tampil dengan cogankata ‘kami benci dadah’, kita orang pula ‘kami benci arak’”

“Minum coca cola, teh ais aje lah,” sampuk Atom.

Apa istimewanya ‘Abstrak hingga kebulan’?

“Kumpulan mempunyai nama paling panjang,” balas mereka hampir serentak.

Ahad, Disember 14, 2008

Harap Semua Gembira

Saya dan rakan, Nik sempat ke Tugu Negara petang tadi jam, 4 petang. Tujuan kami sama, merakamkan gambar dibuat kenangan di masa akan datang. Antara gambar terbabit saya muatkan di mazidul360.blogspot.com untuk tatapan anda semua.

“Kejap lagi saya akan jadi tugu peringatan,” bisik saya kepada Nik.

Dia tersenyum.

Tidak salah jangkaan kami, setengah jam berada di lokasi terbabit, ramai datang menghampiri.

“Boleh ambil gambar? Anak saya ni peminat,” antara permintaan ibu bapa.

Saya tidak berhajat menolak permintaan mereka. Banyak gambar dirakam bersama pengunjung berlatarbelakangkan Tugu Negara. Antaranya pelancong dari Pulau Pinang dan Kelantan, datang bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah.

Jam 5.45 petang, semasa singgah minum di restoran di Kuala Lumpur, saya dihampiri 3 remaja perempuan masih bersekolah.

“Nak minta sign boleh?,” di tangan mereka pen dan kertas.

“Camera tak ada?,” soal saya.

Mereka menggeleng kepala.

“Cam ni lah, saya ambil gambar, lepas tu nanti saya emailkan, boleh?”

Email itu saya hantarkan 15 minit kemudian. Saya harap semua gembira. Terfikir, antara mereka membenci, saya bersyukur masih ada menyukai.

1.12 Juta Penagih Dadah Di Malaysia

1.12 juta, statistik terkumpul penagih dadah berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini. Statistik itu terhasil daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, sejak 1988 seramai 279,907 bilangan penagih direkodkan, setiap satu perlu diganda empat, anggaran bilangan penagih sebenar.

Kini Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam berbincang untuk membenarkan penagih pulih diambil bekerja di sektor awam. Menurut Syed Hamid, mereka perlu menjalani kehidupan seperti manusia normal sekaligus berkemampuan menyara diri dan keluarga.

Pandangan anda?

Sabtu, Disember 13, 2008

Taring Mynmar Semakin Menyerlah

Lelaki warga Mynmar, 48 tahun, Otek dipercayai pemegang kad UNHCR ditemui mati di bilik rumah kedai dua tingkat di Pusat Bandar Puchong, Selangor pada jam 7.45 malam tadi. Mangsa dikatakan berselisih faham dengan rakan sebiliknya sebelum dibunuh. Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar dalam sidang media jam 11 malam tadi, mangsa mengalami kecederaan parah di paha dan belakang akibat tikaman dan pukulan. Manakala tangan mangsa dilaporkan hampir putus ditetak menggunakan senjata tajam.

Semasa entry ini ditulis, polis sedang giat menjalankan Ops Tutup bagi memburu 5 rakan mangsa termasuk wanita dan anaknya. Mayat Otek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Dulu, pendatang asing Indonesia sering terbabit dalam kes pembunuhan sesama mereka, kini warga Myanmar semakin mengganas dan berani menyerlahkan taring mereka.

Jumaat, Disember 12, 2008

Boleh Duduk, Berdiri Dan Beredar


Jangan Terkejut

Siang tadi, saya, Norasliza dan jurukamera menjalankan tugasan mencari pengemis Rohingya, warga Myanmar. Bagaimanapun sewaktu lalu di hadapan pusat membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur kami terserempak pengemis muda dalam kedudukan hampir berbaring di jalan laluan orang ramai.

Ditanya negara asalnya dia tidak menjawab, mungkin kerana halangan bahasa. Tetapi saya percaya dia berasal dari negara China. Melalui pengalaman, majoriti mereka mengemis di negara ini kerap berpura-pura bisu, tujuannya menyukarkan pihak berkuasa mengenalpasti identiti mereka.

Usah terkejut jika saya katakan mereka mampu meraih pendapatan mencecah RM500 sehari. Kebanyakannya hanya mengunjungi negara ini dalam tempoh sebulan kemudian pulang semula ke negara asal dengan belasan ribu ringgit di kantung.

Semasa dihampiri, pantas dia memasukkan kesemua wang tunai derma orang ramai ke dalam beg sandang, memakai baju, duduk dan kemudian beredar. Gambarnya sempat saya rakamkan (entry atas).

Khamis, Disember 11, 2008

Saling Dikecewakan

Terfikir, mengapa majoriti perempuan kerap mengeluh keterlaluan, meluahkan ketidakpuasan hati setiap kali dikecewakan lelaki. Ramai menangis, tidak selera makan, tidur terganggu malah segelintir mengalami masalah kemurungan melampau.

“Aku rasa macam nak bunuh aje dia. Dulu kata sayang, nak jadikan aku suri rumah dia konon. Sampai aku dah bawa dia jumpa famili, kenalkan semua. Jahat lelaki ni. Tiba-tiba sekarang ni dia hilang, tinggalkan aku bodoh macam ni!”

Antara luahan biasa kita dengar terpancul dari mulut perempuan ditinggalkan lelaki. Sedangkan kita semua tahu, perempuan, makhluk Tuhan diciptakan dengan sikap pelembut dan penyabar.

Jika kita fikir sebaliknya, lelaki juga selalu dikecewakan perempuan. Tetapi majoriti jarang merintih dan mengeluh. Mereka bertenang dan meneruskan kehidupan.

Kayangan Rebah Menyembah Bumi

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor masuk ke episod terakhir. Jam 2 petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan operasi mencari mangsa ke lima, pembantu rumah warga Sri Langka diberhentikan. Pasukan mencari dan menyelamat dilapor berjaya masuk dan mencari mangsa di bilik tidurnya tetapi tidak menemui sebarang petunjuk masih ada mayat tertimbus.

Sepanjang 3 hari berada di lokasi kejadian, banyak perkara saya saksikan. 8 Disember, pagi sambutan Hari Raya Aidil Adha, sedang umat Islam di seluruh dunia melaungkan takbir, pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus menjalankan tugas mereka. Keadaan bertambah buruk apabila hujan turun lebat, tanah basah lalu menyukarkan usaha mencari mangsa. Namun, tanggungjawab dipikul dilaksanakan tanpa perasaan berbelah bagi.

Beberapa hari majoriti wartawan bertugas di lokasi basah kuyup. Hanya semangat kental membenarkan kami mencari bahan berita terkini untuk siaran akhbar dan televisyen. Tujuannya jelas, memaklumkan masyarakat seluruh negara berhubung perkembangan tragedi berlaku.

“Tuan-tuan, tolong keluar dari kawasan ni. Awak semua menyusahkan kerja kita! Lori tanah nak masukpun tak boleh!,” jerit pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan pada hari ke dua operasi.

Wartawan dan jurugambar ‘dihalau’ dan tidak dibenarkan merakamkan gambar di tempat kejadian.

“Huh! Nanti dia juga nak baca suratkhabar,” rungut teman wartawan.

Apapun, kita belajar buat kali kesekiannya, semua projek perumahan di lereng dan cerun bukit harus diberhentikan serta-merta. Jika tidak, pasti lebih banyak nyawa terkorban di masa hadapan.

Lazimnya manusia mudah lupa, lupa tragedi berulang meragut nyawa. Kali ini kerajaan dan pihak berkuasa tempatan harus ditegur andai mereka cuai membuat keputusan membenarkan pemaju rakus mengaut keuntungan, pada masa sama penghuni rumah menanggung risiko. Pembeli, jangan terlalu gah inginkan kehidupan ‘kayangan’ di tanah tinggi kerana kayangan terbukti boleh rebah menyembah bumi.

Selasa, Disember 09, 2008

Bukan Mayat

Berita terbaru diterima ..

Tiada mayat ke lima ditemui. Pihak berkuasa mengesahkan ‘mayat’ ditemui pada jam 5.40 petang tadi, bangkai haiwan.

Persoalannya, sukar benarkah membezakan antara mayat manusia dan bangkai haiwan dalam keadaan reput?

"Jomlah Minum!"

Majoriti kita samada sedar atau tidak kerapkali berkelakuan sambil lewa melayan rakan maupun insan tersayang. Barangkali kerana fitrah, kita mudah menanggap mereka semua sentiasa akan berada di samping kita sewaktu diperlukan, sedangkan tanggapan itu tidak benar.

“Jomlah minum,” ajak rakan.

Jika tiada halangan, pergilah, tidak perlu berdolak-dalih, tunaikan permintaan itu. Temui rakan mahupun orang kita sayangi kerana siapa tahu, mungkin itu pertemuan terakhir kita. Kelahiran, jodoh dan kematian, ketentuan Allah Taala, manusia tidak berpeluang mengetahui saat malaikat Izrail mencabut nyawa mereka.

Jangan pula kemudian kita pilu berkata ..

“Ya Allah, sejam sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, dia ajak aku minum, siap cakap nak belanja lagi. Tapi aku berat sangat nak jumpa, walhal masa tu memang free. Bila dengar dia kemalangan, aku sesal sangat”

Ingatlah, manusia tidak kekal hidup di dunia, itu fakta tidak boleh disanggah. Tiba saatnya kita semua akan pergi meninggalkan alam fana ini. Bezanya hanya saat pemergian itu, cepat atau lambat.

Justeru, tidak salah kita menghantarkan pesanan ringkas maupun mengungkapkan kata-kata ..

“Saya sayang awak”

.. kepada rakan atau insan tersayang sebelum terlewat.

Mayat Ke Lima Ditemui

Mayat ke lima ditemui pasukan mencari dan menyelamat berhampiran lokasi penemuan mayat mendiang Dr. N. Yogeswari jam 5.40 petang tadi. Setakat ini 5 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, Selangor.

Usaha mencari mayat terbabit bermula pada jam 9.30 malam 7 Disember lalu.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar belum mengesahkan identiti mayat berada dalam keadaan reput itu.

Isnin, Disember 08, 2008

Unit Udara Polis Di Raja Malaysia

Mayat Ke Lima?

[ Mangsa terperangkap diselamatkan Unit Udara Polis Di Raja Malaysia ]

Petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan operasi mencari dan menyelamat diberhentikan. Bagaimanapun berikut antara petikan kenyataan beliau semasa saya ditemui pada jam 8 pagi tadi ..

“Kita memberhentikan operasi jam 6.30 petang semalam kerana tiada petanda mengatakan ada mangsa masih terperangkap. Kemudian kita mendapat laporan, pembantu rumah mendiang Dr. Yogerwary, wanita warga Sri Langka masih tidak ditemui. Operasi disambung jam 9.30 malam tadi dan masih berterusan”

Laporan kehilangan mangsa dibuat suami mendiang. Lebih 500 pegawai dan anggota unit berseragam terbabit dalam operasi mencari pada ketika ini. Setakat ini 4 mangsa disahkan terkorban.

Lebih 2000 penduduk 3 kawasan taman perumahan dan 2 kondominium terletak di lereng bukit dalam lingkungan 1 kilometer dari tapak kejadian tanah runtuh diarah berpindah ke penempatan lebih selamat. Institut Kerja Raya Malaysia mengesahkan bangunan terbabit tidak selamat dihuni. Apapun, sesetengah mereka dilapor enggan mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa mungkin bimbang keselamatan harta benda terpaksa ditinggalkan.

Menurut Datuk Khalid setakat ini pihak polis hanya menerima satu laporan kes kecurian barangan milik peribadi di kawasan sama.

Wartawan Di Lokasi 8 Disember 2008


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia


Ahad, Disember 07, 2008

Hampir Rebah


Basikal Siapa?


Di Lokasi


Tertimbus


Runtuh Lagi

Kejadian tanah runtuh berulang lagi. Kali ini berlaku pada jam 4 pagi tadi di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor.

Semasa entry ini ditulis, 4 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan runtuhan. Mangsa terkorban, doktor haiwan, S. Yogeswary, 40, pelajar kolej, Shaiful Khas Datuk Shahruddin, 20, akauntan, Ng Yee Ting, 30 dan warga Indonesia, Surinah. Lebih 20 pasukan penyelamat dari pelbagai agensi kerajaan bertungkus lumus mengeluarkan satu mangsa masih tertimbus. Sepuluh mangsa cedera dan dirawat. 14 rumah banglo dipercayai runtuh dan tertimbus termasuk beberapa kereta mewah.

DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri, Timbalan beliau, Ketua Polis Negara antara pembesar negara melawat tapak kejadian.

Pada awalnya wartawan tidak dibenarkan pihak berkuasa menghampiri lokasi malapetaka bimbang berlaku kejadian tidak diingini. Bagaimanapun semasa ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kesemua wartawan dan jurugambar mengambil kesempatan mengekori rombongan beliau menghampiri kawasan runtuhan. Saya sempat merakamkan beberapa gambar untuk tatapan semua pembaca.

Dulu kawasan tanah tinggi dianggap penempatan selamat golongan elit. Kini kedudukan mereka dalam bahaya.

Jumaat, Disember 05, 2008

Dahagakan Hiburan

5 tahun dulu saya menjalankan tugasan di Sandakan, Sabah, tinggal di hotel murah, Hotel Endah di Batu 4, berikutan ketiadaan tempat menginap lebih selesa. Beberapa artis terkenal sedang mengadakan konsert di Sandakan turut menginap di hotel sama.

“Dia orang tu dari mana?,” soal saya kepada pekerja.

Lori pick up berhenti di depan hotel, dibelakang duduk selesa beberapa remaja lelaki dan perempuan.

“Dari kawasan pedalaman tu bang, dia orang turun mahu tengok itu konsert,” jawabnya dalam loghat Sabah.

"Oh! Begitu," balas saya.

Semalam tragedi berlaku di Sandakan. Lelaki dikata enggan menyerahkan mikrofon kepada rakan lain sewaktu berkaraoke di sebuah pusat hiburan terbunuh. Dia dipukul rakan dan kumpulannya. Pada masa sama mangsa ditikam menggunakan senjata tajam akibat kejadian itu.

Begitu kehidupan, sanggup datang jauh dan berbunuhan hanya kerana dahagakan hiburan.

Khamis, Disember 04, 2008

Sesat Menular

Setakat ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM mengenalpasti 56 ajaran sesat di seluruh negara.

“Kalau guru Muhamad (Nabi Muhamad) berguru dengan (malaikat) Jibrail, saya pun berguru dengan Jibrail juga. Syurga dan neraka saya dah tengok guna mata zahir”

Antara kenyataan pengikut setia Arifin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin semasa ditemubual di Hulu Besut, Terengganu.

Berikut kenyataan Imam surau Kg. Kemensah, Hulu Klang, Selangor dirakamkan minggu lalu berhubung ajaran sesat Haji Abdul Kahar ..

“Haji kahar cakap kepada budak-budak main di laman rumah dia, arak ni elok diminum untuk terang hati. Dia kata arak boleh guna untuk ambil air sembahyang”

Biarpun kenyataan dibuat pengikut dan ketua ajaran sesat terbabit diketahui bercanggah dengan aqidah Islam sebenar tetapi mengapa masih ramai golongan mempercayai?

Isnin, Disember 01, 2008

Wartawan Bertugas

Terkilan

Mangsa Tanah Runtuh


Ranap


Ahad, November 30, 2008

Kakak Dah Hilang Adik!

[ Azizah memeluk anak sulungnya, Ayu ]

“Bila jadi saja, Mazidul orang pertama I nak call,” ujar Azizah Madon ketika saya temui pada jam 11 pagi tadi.

21 Mei lalu, 360 menyiarkan kesengsaraan dialami keluarga Azizah dan suami, Roslan Md Jani. Dia, suami dan 5 anak tinggal di rumah tanpa bekalan air bersih dan dijadikan tempat pembuangan sampah. Tapak rumah banglo dibeli dengan harga seratus tiga puluh dua ribu ringgit daripada Shah Alam Property. Bagaimanapun pihak pemaju dikatakan gagal menyediakan prasarana diperlukan sejak 7 tahun lalu. Semasa ditemubual 6 bulan lalu, berikut antara kenyataan Azizah.

“Pemaju lepas tangan. Sebab tu pembeli lain tak ada nak buat rumah kat sini. We all dah invest banyak, tak ada tempat lain nak duduk, terpaksalah bina rumah juga. I bimbang jalan ke rumah ni banyak berlubang, lepas tu paling takut, tengok tanah kat bahagian belakang rumah ni, anytime boleh runtuh. Apa jadi, mati kami semua Mazidul, dah lah kat sini signal telefon tak ada”

Mimpi ngeri itu menjadi kenyataan. Jam 5.30 pagi tadi dua anaknya, Nur Intan Syarina, 9 dan Nur Atirah, 16 tahun terkorban akibat tertimbus di rumah mereka akibat tanah runtuh di Lot 110, Jalan Belida 1, Hulu Yam, Selangor. Sewaktu kejadian anak sulungnya, pelajar Universiti Institut Teknologi Mara, Nurain Ayu berada di Melaka. Ketika tiba di tempat kejadian ..

“Mak, kakak dah hilang adik! Kakak dah hilang adik!,” Ayu meraung sambil memeluk erat ibunya.

Suasana itu menyebabkan ramai kakitangan media sebak.

“Ayu cuti sekarang ni, I suruh dia balik tapi dia nak kerja sambilan. Tapi nasib baik dia tak balik, bilik belakang tempat dua adik dia terperangkap tu, bilik dia. Kalau dia balik, mesti dia pun hilang sekali,” kata Azizah kepada saya pada jam 2 petang tadi.

Mayat mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 12.45 dan 3.20 petang tadi dengan bantuan pelbagai pihak penyelamat.

Masalah dihadapi keluarga Azizah pernah saya kemukakan kepada pihak pemaju di Shah Alam pada 20 Mei lalu. Bagaimanapun, usaha membantu mereka dilaksanakan umpama melepas batuk di tangga.

“Saya nak pemaju bertanggungjawab. Kalau ada orang tolong I cari lawyer, I nak sue dia orang,” komen Azizah lagi.

Jumaat, November 28, 2008

Sepi Di Sangkar

Berak Di Tengah Jalan

Wow! Ramainya pembaca berasa kurang berpuas hati berkaitan pendedahan berhubung Cakra Alam tempoh hari ..

Begini penjelasannya ..

Pada awalnya 360 HANYA ingin memuatkan isu penipuan membabitkan beberapa syarikat dalam perniagaan kiosk dan penternakan pawah haiwan peliharaan, bersesuaian dengan tajuk ‘ditipu lagi’. Kemudiannya saya menerima kiriman video terbabit melalui e-mail. Lalu saya mengambil inisiatif menghubungi sendiri ustaz pemilik pusat rawatan terbabit. Beliau bersetuju untuk ditemubual.

“Harris dan Raziff, minta ustaz tu buat demonstrasi pakai lampu kalimantang macam dalam video tu, biar penonton bandingkan,” itu arahan saya kepada dua wartawan 360 terbabit.

Mereka mengemukakan permintaan itu. Tetapi ustaz itu secara terang-terangan ENGGAN melakukan demonstrasi seperti diminta. Alasan dikemukakan, demonstrasi itu tidak boleh dilakukan mengikut kehendak dan masa sendiri. Pelbagai syarat lain harus dipenuhi, antaranya ritual dan zikir, sepertimana disebut dalam program 360.

Pembaca sekelian ..

Media dan program 360 khususnya berhak bertanya dan meminta tetapi hak melaksanakan permintaan itu BUKAN milik kami, hakikat itu perlu difahami. Malah setakat ini tiada pihak berkuasa atau media lain cuba memaksa beliau membuktikan dakwaan tiada penggunaan silap mata dalam kaedah rawatan.

Kekadang terlalu mudah melontarkan tuduhan malah kata kesat kepada orang lain, sedangkan diri sendiri belum tentu berani jika berpeluang menjalankan tugasan terbabit. Sebab itu terbit pepatah ‘tin kosong’, cukup kita fahami maksudnya. Lagi pun, fikirkan, orang kalau berak di tengah jalan, mahu mengaku ke?

Rabu, November 26, 2008

Guilty Until Proven Innocent?

Percaya atau tidak, kita mampu melihat ‘true colors’ atau perangai sebenar segelintir saudara mara maupun rakan taulan sewaktu kita dilanda masalah. Mari kita lihat antara komen dilontarkan kepada mereka berhadapan antara cabaran getir dalam hidupnya ..

“Itulah engkau buat hal! Sekarang ni dah kena masuk lock up sebab mencuri kereta! Engkau hadaplah sendiri!,” komen rakan meluahkan kemarahan.

Walhal mengikut kertas siasatan kes, rakannya itu didapati memandu kenderaan curi milik rakan lain tanpa mengetahui status kenderaan terbabit.

Komen rakan dituduh, ada logiknya ..

“Takkan bila pinjam kereta dia nak pergi beli sayur kat pasar aku nak tanya, kereta ni kereta curi ke?”

Izinkan saya berkongsi sedikit maklumat sering mengelirukan pelbagai pihak. Mereka memiliki kenderaan curi boleh dituduh mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan manakala mencuri kenderaan mengikut Seksyen 379 Kanun sama tetapi hukumannya lebih berat. Segelintir polis dilaporkan turut terkeliru berhubung dua seksyen berbeza itu. Apapun setiap tuduhan dihadapi rakan itu wajib dibuktikan di mahkamah sebelum disabitkan kesalahan. Jika gagal dibuktikan maka dia harus dibebaskan.

Pelik, biarpun tidak memahami kejadian sebenar, ramai manusia bergelar rakan gemar melontarkan tuduhan sesuka hati, kejadian biasa kita lihat.

Lebih pelik, dunia sejak mula menggubal perundangan mempercayai ‘someone is presumed innocent until proven guilty’, hakikatnya secara praktikal amat berbeza, ‘someone is guilty until proven innocent’.

Perhatikanlah ..

Selasa, November 25, 2008

Lena Di Ibu Kota


Di Pentas Sama


Semoga Berjaya

Suwaibah Muhammad Nasir bakal menyertai Larian Solo Trans Borneo secara marathon dari Tawau, Sabah, merentas Brunei dan Sarawak dan berakhir di Pontianak, Indonesia selama 55 hari sejauh 2500 kilometer sekaligus mencatatkan nama dalam Malaysia Book Of Records.

Beliau anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan kini berusia 35 tahun berkhidmat dengan Angkatan Tetera Udara Malaysia selama 12 tahun.

Sebelum ini Suwaibah pernah menyertai larian di Amerika Syarikat, Italy dan Indonesia.

Semoga misi lariannya bermula 8 Disember ini berjaya dan wanita berjiwa kental ini selamat kembali kepangkuan keluarga di Jalan Klang Lama, Selangor.

Kenyataan Diperolehi

Jam 8 malam semalam krew 360 menemubual pengamal perubatan di Ampang, Selangor berhubung dakwaan media Korea beliau menggunakan silap mata semasa menjalankan rawatan.

Kenyataan pemilik pusat perubatan terbabit bakal disiarkan dalam program 360, jam 9 malam esok.

Pelik, itu rumusan saya.

Ahad, November 23, 2008

Jacko Kini Islam

Penyanyi terkenal kini muflis, Michael Jackson, 50 tahun sebelum ini dikenali dengan nama Jacko, dilaporkan memeluk Islam denga nama baru Mikaeel. Beliau mengucap dua kalimah syahadah di rumah kakaknya di hadapan imam.

Sebelum ini penyanyi Britain, Cat Stevens, 60 tahun mengambil keputusan sama dan menukar nama kepada Yusuf Islam.

Peliknya, di negara kita semakin ramai berlumba-lumba memesongkan aqidah, menjadi pengikut kumpulan ajaran sesat, antaranya ‘Ayah Pin’ dan ‘Ajaram MLM’.

Sabtu, November 22, 2008

Jangan Lupa

Layari http://mazidul360.blogspot.com ..

Terima kasih.

Cinta Atau Bala?

Cinta ke cari bala?

Itu persoalan bermain di minda sewaktu menatap berita gadis, Sha berusia 18 tahun cuba terjun dari bumbung hotel 10 tingkat di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, Terengganu pada jam 1.35 petang 2 hari lalu.

“Saya tak nak turun, saya tak nak makan, saya nak Fadhil,” jeritnya.

Sejam kemudian, kekasihnya, Fadhil tiba namun gagal mententeramkan gadis berjiwa kacau terbabit. Kecoh, pekerja hotel terpaksa menyusun puluhan tilam, bimbang Sha mengambil keputusan terjun manakala orang ramai menyaksikan ‘drama’ itu mula bersorak diminta pihak polis beredar.

3.25 petang, Sha rebah dan diselamatkan pihak berkuasa.

Hebatnya lelaki! Apapun, gadis pun sama hebat. Hebat emosi, hebat gangguan jiwa dan hebat membuat keputusan mengundang bencana.

Mengapalah agaknya?

Dihantui Prasangka

Kita seringkali berhadapan golongan sukar mempercayai orang lain. Terlalu banyak prasangka.

“Harga minyak dah turun berapa kali ya?,” soal kenalan.

“6 kali,” balas saya ringkas.

Saya tahu itu bilangan sebenar kerana saya sendiri pernah membuat liputan berhubung naik turun harga minyak dua minggu lalu. Fakta itu antara maklumat terkumpul.

“Ya ke dah 6 kali?,” soal dia lagi.

Hairan, lalu saya terfikir, jika dia tidak berpengetahun, tidak salah jika bertanya. Tetapi janggal jika diberikan jawaban, masih otak dihantui keraguan.

Saya katakan ..

“Macam ni lah, orang sukar percaya dengan orang lain, selalunya dia juga tidak boleh dipercayai”

Melangkah dia pergi, marah.

Jumaat, November 21, 2008

Macam Macam

Hari ini saya tidak begitu sihat. Lalu saya menghabiskan masa melihat secara teliti beberapa gambar saya rakamkan semasa di lokasi kejadian bunuh seperti tercatat dalam post di bawah.

“Itu orbs!,” ujar anak saya.

Dia biasa melihat orbs seperti di kanan. Orbs menurut tafsiran masyarakat barat, tenaga terhasil dari alam sekeliling. Ramai antara kita pernah merakamkannya cuma barangkali tidak perasan berhubung kewujudan entiti itu.

“Orb ni kalau ikut orang Cina, roh lah,” ulas rakan saya Shu.

Dia pernah merakamkan pelbagai orbs di lokasi berbeza sejak 3 bulan lalu. Bulat dan tiga segi antara bentuk orbs pernah ditunjukkan kepada saya sebelum ini. Bagaimanapun, orbs dalam rakaman diperbesarkan dari gambar entry ‘Pertama buat keduanya’ ) kelihatan unik. Orbs tidak statik, kelihatan bergerak (kiri).

Rakan blogger, Nik pernah merakamkan gambar orbs bersama saya sebelum ini melahirkan perasaan terkejutnya. Sila lihat komen beliau dalam post di bawah.

Khamis, November 20, 2008

Pertama Buat Keduanya

Jam 1.45 pagi tadi saya dan anak sulung, Muhamad Afif Faiq berada di lokasi kes bunuh di Sentul, Kuala Lumpur.

“Ayah, tak mahulah,” ujar Afif ketika saya memimpin erat tangannya dalam gelap malam sambil berjalan kearah mayat terkujur kaku.

Saya faham, dia takut. Pertama kali melihat mayat mangsa bunuh pasti kejadian sukar dilupakan anak berusia 10 tahun.

“Tak ada apalah,” balas saya cuba menyakinkannya.

Hujan lebat mengakibatkan jalan kami lalui lecak. Mangsa, lelaki India berusia lingkungan lewat 40 an terbaring di atas tanah basah hanya ditutupi tikar di tapak pembinaan itu. Dia dipercayai dipukul suspek menggunakan kayu mengakibatkan kecederaan parah di kepala. Darah merah pekat mengalir di sekeliling mangsa.

“Tu, kakak Teh ada,” sambil saya menunjuk kearah Teh Syuhaida berpayung berdiri kurang 5 meter dari mayat.

Afif kelihatan lega melihat kehadiran Teh di lokasi. Semasa keluar dari tapak pembinaan terbabit ..

“Ok tak?,” soal saya kepadanya.

“Tak berapa ok lah ayah sebab hujan,” balasnya spontan.

“Ish! Orang nak kena bunuh bukan kira cuaca, hujan ke panas, gelap ke cerah,” jelas saya sambil tersenyum.

Itu kali pertama Afif melihat mayat mangsa bunuh, hari pertama Teh Syuhaida bertugas sebagai wartawan 999.

[ Kata Mazidul: Baca juga http://mazidul360.blogspot.com ]

Rabu, November 19, 2008

Set Bakal Ditukar Baru


Lebih Glamorlah Kami

Ini antara khidmat pesanan ringkas dihantar ke hotline 360 selepas siaran malam tadi berhubung gay dan kegiatan mereka.

“Thanks coz siarkan story mengenai gay. Lebih glamor lah kami”

Hairan, mereka mengaku mengetahui kegiatan songsang melanggar ajaran agama tetapi masih hidup bercanggah fitrah manusia.

Semoga mereka kembali ke pangkal jalan.

Selasa, November 18, 2008

Pilih Satu Antara Dua

Dua ekstrem menjadi bicara. Harta atau Cinta?

“Biar tak berharta tetapi hati dia baik, sentiasa mencintai,” kata wanita.

“Tapi kalau hati baik pun tapi tak berharta payah juga. Dunia sekarang ni nak survive macam mana? Takkan nak makan cinta, tidur berbumbungkan sayang dan hanya dimandikan kasih,” hujah rakannya.

Pilih satu antara dua ..

Terima Kasih Cinta


Namanya Afgan, 19 tahun berasal dari Jakarta, Indonesia.

“Saya menuntut di kolej, ambil bisnes”

Ujarnya ringkas semasa ditemubual dalam MHI pagi tadi. Remaja berbakat, bukan kelahiran program realiti ini bijak mengawal suara. Dia muncul dengan album pertama, antara lagu dimuatkan, ‘terima kasih cinta’.

Harley Davidson


Isnin, November 17, 2008

Layarilah

Terus layari http://mazidul360.blogspot.com/ untuk membaca post terbaru.

Ahad, November 16, 2008

Teguran Berulang

Dalam perjalanan hidup, kita sering menyaksikan pelbagai kejadian berulang. Antaranya saat kita terpaksa mengatakan ‘ya’ biarpun hati maupun pemikiran jelas melonjak mengatakan ‘tidak’.

“Tengok lukisan ni, I baru buat, cantikkan?,” soal teman.

Spontan kita menjawab ..

“Ya!,” biarpun hati berkata ‘tidak’. Kita terpaksa tidak berkata benar demi menjaga hati rakan. Bagaimanapun sebagai orang timur kita punya stail tersendiri. Kita menegur secara halus, lembut dan beradab. Kita enggan mengguris hati rakan secara keterlaluan.

“Memang cantik lukisan you ni. Tapikan, I rasalah dengan bakat you confirm lebih cantik kalau you boleh touch up sikit kat tepi kiri ni. Warna biru ni dah ok, cuma light sikit. Kalau you tebalkan, for sure akan nampak lebih outstanding. Eh! Ya ke? Tapi kalau you rasa dah ok, ok lah kut. Mungkin mata I ni tak berapa terang. Mata you ok, vision 20/20 sebab kita jauh berbeza, you orang seni, banyak kelebihan, I tak boleh lawan punya”

Itulah antara cara kita berbahasa untuk menegur, meluahkan ketidakpuasan hati demi kebaikan rakan. Andai tidak berkesan, kita mencari pelbagai cara lain membuat teguran. Mungkin berulang kali sehingga dia memahami.

Bagaimanapun sekiranya semua teguran kita tidak diendahkan, kita harus redha, mungkin teguran kita itu bak sekadar tikus membaiki labu sahaja ..

Sabtu, November 15, 2008

Bacalah ..

Lawati blog terbaru saya di http://mazidul360.blogspot.com

Tanyalah Pengkid dan Gay

Apabila diajukan soalan kepada teman wanita pengkid ..

Mengapa memilih pasangan sejenis?

Jawaban: Hanya perempuan memahami perempuan.

Apabila soalan sama diajukan kepada lelaki gay ..

Jawaban: Hanya lelaki memahami lelaki.

Tetapi adakah jawaban itu menghalalkan mereka melakukan hubungan sejenis di luar tabi’i?

Jumaat, November 14, 2008

Blog Ke 2

Ada pihak melaporkan blog ini sebagai 'spam' kepada blogspot. Saya percaya dalam jangka masa terdekat (20 hari) blog ini akan dipadamkan. Apapun kepada pembaca setia, saya akan terus menulis di blog ke 2, http://mazidul360.blogspot.com.
Terima kasih ..

Khamis, November 13, 2008

Cina Bidayuh


Dia ‘digeruni’ artis tempatan kerana soalannya dikatakan berbisa. Berusia 24 tahun, gadis berketurunan Cina Bidayuh dari negari Bumi Kenyalang.

“Marilah kita ambil gambar, buat kenangan masa tua nanti,” pelawa saya.

Dia tidak membantah tetapi bersuara ..

“Alah abang ni! Muka tak siap ni. Bila tengah cantik tak nak ambil gambar”

Siapa dia ni ya?

Jangan Dijolok Sarang Tebuan

Jam 9 pagi tadi, di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak, Selangor, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada badan bukan keajaan, NGO tidak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pengkid dan kegiatan mereka.

Dua NGO bukan Islam melakukan protes terbuka pada 10 Oktober lalu di Kuala Lumpur.

“Saya beri amaran dan polis akan ambil tindakan tegas kerana ia membabitkan keselamatan negara,” kata beliau.

Beliau khuatir tercetusnya kejadian tidak diingin jika orang Islam di negara ini bertindak balas.

Setakat ini mereka pastinya masih sabar. Apapun, kepada NGO terbabit, jangan menjolok sarang tebuan. Sengat pasti berbisa!

Ibu Tunggal Melacur

[ Datuk Ibrahim ditemubual dalam MHI ]

Ketua Hakim Syarie, Datuk Ibrahim Lembut mendedahkan kes 2 ibu tunggal di Pulau Pinang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tukang cuci mendakwa terpaksa melacurkan diri untuk menyara anak mereka. Lebih mengejutkan, mereka dibayar pelanggan secara ansuran.

Bekas suami 2 wanita terbabit dikatakan gagal menjelaskan nafkah anak-anak biarpun Mahkamah Syariah mengeluarkan perintah terbabit sejak 3 tahun lalu. Saya percaya jika perintah mahkamah dilaksanakan, barangkali 2 ibu itu tidak perlu melacur.

Persoalannya, pernahkah anda mendengar bekas suami enggan membayar nafkah anak selepas bercerai dipenjarakan?

Jika jawaban anda TIDAK, pasti kredibiliti mahkamah syariah harus dipulihkan ..

Rabu, November 12, 2008

Apa Kata ..

Jika ke pasaraya, perhatikan. Barangan keperluan wanita lebih bayak dipasarkan berbanding barangan lelaki. Barangkali kerana pihak pengurusan pasaraya faham, wanita gemar membeli-belah. Justeru mereka menyediakan lebih banyak pilihan. Pilihan menarik wanita menghabiskan masa berjam lamanya di premis perniagaan.

“Huh! Mana larat, nak beli baju sampai 2 jam, beli kasut 1 jam, beg tangan 1 jam. Tak fikir langsung tentang kita ni, lapar ke, penat ke. Macam robot terpaksa ikut dia pusing satu shopping complex. Kalau tak ikut, tarik muka masam. Katanya tak sayang, susah sungguh,” komen suami serba salah.

Kata wanita ..

“Yer la. Orang perempuan kan, berbeza. Kalau beli barang nak kena belek dulu. Tengok setiap satu, sesuai ke tidak. Cantik ke tidak. Kalau beli tak cantik, laki komplen pulak. Ada barang cantik tapi harga mahal, tak boleh nak beli. Kalau mintak laki bayarkan, belum tentu dia kata boleh”

Apa kata jika wanita ingin membeli-belah tidak perlu ‘mengheret’ suami atau teman lelaki sekali?

Biar kedua belah pihak bahagia ..

Selasa, November 11, 2008

Nenek Di Tikam Mati

Di Kuantan, Pahang, nenek berusia 69 tahun tinggal berseorangan di rumah, Miyati Bakri ditikam mati petang tadi. Mangsa cedera parah di dada dilapor cuba berjalan keluar dari rumah namun rebah. Dua pisau pemotong sayur ditemui dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Suspek, pembantu rumah warga Indonesia berusia 16 tahun, mula bekerja 4 hari sebelum kejadian cuba melarikan diri kemudian ditahan 2 kilometer dari rumah di Taman Sungai Karang itu. Polis masih menyiasat motif kejadian.

Apapun berlaku di antara keduanya, rumusan saya mudah. Kekejaman tidak mengenal usia dan warga negara. Jika pembantu rumah itu terbabit, saya tidak sabar menanti saat dia diheret ke mahkamah.

Sajak Kematian

Penyiaran ‘Sajak Kematian’ sebagai bahan tontonan pelajar tahun 1 dan 2 menimbulkan pelbagai reaksi. Sabtu lalu selepas disiarkan Buletin Utama, TV3, segelintir ibu bapa mendakwa tindakan Kementerian Pendidikan itu tidak wajar dan dianggap ‘ekstrem’ berikutan usia pelajar masih mentah.

Manakala, sesetengah pihak lain termasuk golongan akademik percaya penayangan video terbabit, tanpa mengira usia mampu memberikan impak besar kepada pelajar memahami perihal seksa kubur sekaligus mendorong mereka menurut tuntutan Islam.

Anda?

[ Kata Mazidul: Hari ini Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamudin Hussein membuat kenyataan media tidak bersetuju dengan tindakan penayangan video terbabit ]

Isnin, November 10, 2008

Dingin Di Ranjang

Perempuan Melayu dikatakan ‘dingin’ dan kurang kreatif di ranjang sejak dulu hingga sekarang. Kenyataan agak drastik tetapi tidak ramai mampu membantah.

Majoriti daripada mereka dikatakan hanya gemar mengikut tidak ‘memerintah’. Barangkali jika memerintah mereka tampil dominan berbanding pasangan. Justeru mereka segan, malu dan takut.

Mungkinkah itu antara sebab mereka pasif?

[ Kata Mazidul: khusus bagi mereka sudah berumahtangga .. ]

Ahad, November 09, 2008

Hukum Tembak

[ Gambar, ehsan BERNAMA ]

Pengebom Bali, Amrozi, 47, abangnya Mukhlas, 48 dan Imam Samudra, 38 tahun dijatuhi hukuman tembak sampai mati awal pagi tadi berhampiran Penjara Pulau Nusakambangan, Jawa Selatan, Indonesia. Mayat diterbangkan ke kampung halaman mereka di Jawa timur menggunakan helikopter, dilaporkan AFP.

Mahkamah selepas perbicaraan selama 5 tahun mendapati mereka bersalah mengakibatkan kematian 202 mangsa letupan di Bali pada tahun 2002, 160 warga asing termasuk 88 warga Australia dan 38 Indonesia.

Selepas hukuman dijalankan, lebih 3,500 polis Indonesia bersiap sedia mengawal di jalanraya memastikan keselamatan lebih terjamin, bimbang ada pihak melancarkan serangan.

Jemaah Islamiyyah menganggap mereka sebagai hero, ‘holy warriors’.

Perancang utama Pengeboman Bali, warga Malaysia, Noordin Mohammad Top masih bebas.

Naik Turun Harga Minyak


Temubual bersama penganalisis ekonomi, Datuk Salleh Majid berhubung naik turun harga minyak bakal disiarkan pada 12 November, jam 9 malam dalam program 360.

Hantar Mayat Kemana?

“Ada budak langgar polis!,” jerit anggota trafik bertugas.

Usianya baru mencecah 16 tahun pelajar Sekolah Menengah Teknik Shah Alam berasal dari Kampung Padang Jawa, Kelang, Selangor. Dia ditahan dalam operasi motosikal Jabatan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontingen Selangor awal pagi tadi.

“Lesen tak ada, road tax ayah simpan, dia pun tak tahu saya jalan datang sini,” ujarnya pada jam 2.43 pagi.

“Apa jadi?,” tanya saya kepada remaja berpakaian t-shirt berwarna kuning.

“Saya terlanggar abang tu (anggota polis trafik),” balasnya ringkas, selamba.

“Huh! Budak dah majal dah ni. Cuba tengok, muka dia pun dah tak ada perasaaan. Mesti jenis degil punya. Kalau budak biasa umur 16 tahun, bila langgar polis, kena tahan, digari mesti takut, ni dia selamba jer. Macam tak ada apa,” komen pegawai polis bertugas.

“IC mana?,” remaja itu ditanya.

“Ada kat rumah,” balasnya.

“Hih! Kau ni. Kalau accident, terperosok bawah lori, tak ada dokumen, macamana polis nak hantar mayat kau?”

Perlahan dia menyorong motosikal, bersedia disaman.

Itu reaksinya.


Sabtu, November 08, 2008

Care For A Crime Or Two, Anyone?

Kamal fnd Hashim, rakan bukan sahaja bijak berkata-kata malah bakat menulis beliau juga menyerlah. Tanya beliau berhubung jenayah, InsyaAllah Kamal akan mengolah.

Saya percaya, ilmu penting bagi mencegah kejadian jenayah. Kamal memiliki ilmu itu. Oleh itu untuk memudahkan anda, saya linkkan blog beliau. Sila layari blog ‘Care for a crime or two, anyone?’

Selamat membaca!

Kisah Pelacur Tua

Semalam saya ke Lorong Hj. Taib, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur melihat gelagat pelacur tua. Lama saya perhatikan mereka. Pelacur tua pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India. Mereka semua layak digelar nenek. Dalam samar malam, kulit di bawah dagu jelas kelihatan berkedut seribu, menggelebeh, kesan dimamah usia.

“Stop dulu bang, tengok-tengok, kalau suka, lima ringgit saja bang!,” laung bapa ayam berbangsa Cina, tidak kekok dipanggil datuk.

Apa reaksi pelacur tua itu?

Samada diam membisu, menguntum senyuman kosong atau berdiri kaku di celah pondok berpintu kayu.

“Hoi! Sedar dirilah sikit. Dah tua ganyut nak melacur lagi! Sudah-sudahlah tu!,” jerit beberapa pemuda menaiki motosikal Honda EX5 melintas lorong sama.

Apa reaksi pelacur tua?

Samada diam membisu, menguntum senyuman kosong atau berdiri kaku di celah pondok berpintu kayu.

Saya percaya pelacur tua itu sudah lali dilempar kata-kata kesat. Semua mereka telan. Apatah lagi jika mula melacur sejak berusia mentah. Maksudnya, pelbagai rintangan mereka lalui, onak, duri, sembilu, semua mereka pijak. Lama kelamaan mereka membina ‘kekuatan’. Mereka tidak ambil kisah perasaan orang lain sepertimana orang lain tidak kisah tentang perasaan mereka. Asalkan berpelanggan, cukup.

Semasa memandu keluar dari lorong itu, saya terfikir ..

Manusia bukan pelacur pun ada mengamalkan sikap sama. Tidak mempedulikan perasaan orang lain. Cuma bezanya, pada masa sama mahukan perasaan mereka dijaga.

RM30 Sahaja

Teringat kejadian semasa menyertai operasi ke beberapa rumah urut di sekitar Lembah Klang suatu ketika dulu.

“Asal mana? Umur?,” soal saya kepada gadis Melayu berambut paras leher menundukkan wajahnya, bimbang dirakamkan jurukamera.

“Teluk Intan, Perak. Umur 19,” jawabnya.

Memakai kemeja-T berwarna merah jambu dan berseluar hitam, dia kelihatan manis. Begitu juga beberapa rakan sekerja lain berusia antara 18 dan 25 tahun antaranya berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Kerja sini boleh dapat berapa sebulan?,” soalan saya seterusnya.

“Tiga ribu,” balasnya sambil tersipu malu.

“Memanglah, lebih daripada itu boleh dapat,” sampuk pegawai Majlis Bandaraya menyertai pemeriksaan premis terbabit.

Menurut maklumat, majoriti daripada pekerja remaja rumah urut terbabit turut menawarkan khidmat ‘urut batin’. Khidmat oral seks memuaskan nafsu serakah pelanggan menggunakan tangan, bayarannya RM30 sahaja.

“Kalau dia orang berkenan dengan pelanggan, boleh ‘kautim’ main sekali,” ujar pegawai sama.

“Betul ke?,” tanya saya kepada seorang daripada tukang urut remaja mendengar kenyataan itu.

Dia hanya tersenyum.

Dipercayai sesetengah pekerja rumah urut terbabit dalam kegiatan pelacuran meraih pendapatan sampingan. Bayaran dikenakan antara RM100 dan RM120 sahaja bagi satu sesi singkat. Khidmat seks hanya ditawarkan kepada pelanggan tetap dan bukan kepada sebarangan orang. Bimbang jika tersalah pelanggan mereka ditahan pihak berkuasa.

“Cakap kepada mak ayah kerja apa?”

“Kerja pelayan restoran,” itu kata majoriti mereka.

Kini persaingan kerjaya dalam industri rumah urut semakin hebat. Kehadiran gadis warga asing khusus dari Thailand, China dan Vietnam secara terang-terangan menawarkan khidmat pelacuran dikatakan lebih menarik perhatian pelanggan.

Tetapi bukan semua bercita rasa sama ..

“Local ladies lagi ok, kita faham dia cakap apa. Kalau perempuan asing ni, payahlah sikit. Kalau bercakap macam ayam dengan itik,” antara komen dilontarkan pelanggan tetap rumah urut.




Jumaat, November 07, 2008

Pengkid Protes

23 Oktober lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pengkid dan kegiatan mereka. Hari ini pada jam 1.30 petang, sekumpulan pengkid melakukan protes pengharaman terbabit di hadapan Masjid KLCC.

Ada mengajukan soalan ini kepada saya ..

“Dah nak kiamat ke dunia ni?”

Barangkali pengkid sedar bukan mudah pihak Majlis menguatkuasakan fatwa terbabit.

Orang Seluar Dalam

Lewat tahun 70 an, masyarakat khususnya penduduk kampung di Perak digemparkan dengan kemunculan ‘orang minyak’. Orang minyak, lelaki badan berlumuran minyak berwarna hitam, hanya berseluar dalam seringkali menceroboh rumah, mencabul dan merogol anak gadis.

Di mana ada ruang udara boleh masuk, dia pun boleh masuk! Antara kepercayaan menebal berhubung kelicikan orang minyak memboloskan diri keluar masuk rumah. Ramai percaya ilmu hitam dijadikan teras amalan jahatnya. Menurut cerita ketika itu, orang minyak dimestikan merogol 40 anak dara bertujuan melengkapkan ilmu dituntutnya. Bagaimanapun kisah orang minyak tidak berterusan lama, hilang begitu sahaja dalam tempoh beberapa minggu.

“Dia lumur minyak, kalau ditangkap senang nak lepaskan diri sebab badan dia licin,” antara pandangan dilontarkan.

Lebih 30 tahun kemudian, sejak 3 Oktober lalu penduduk Beruas, Perak dilaporkan gempar berikutan kelibat ‘orang seluar dalam’. Penceroboh, seperti gelarannya hanya memakai seluar dalam, mencabul anak dara dan isteri orang secara menanggalkan pakaian mereka tanpa disedari, setakat ini tidak merogol. Mangsa dipercayai dipukau sebelum orang seluar dalam melaksanakan ‘tugas’ nya. Setakat ini dia dilaporkan menceroboh hampir 10 rumah di Kampung Bakar Bata dan Kampung Kedah.

Peliknya perlakuan manusia.

Rabu, November 05, 2008

Saya Sudah Letih

Saudara/i pembaca dihormati,

Hampir setengah tahun saya menjadi blogger. Saya berkarya di pentas maya, berkongsi sedikit sebanyak pengalaman dimiliki. Bermula dengan segelintir pembaca sehingga mencecah purata ratusan setiap hari.

Seingatan, hanya 3 daripada ribuan komen dihantar tidak saya siarkan di blog ini. Komen saya anggap tidak berbentuk profesional dan menyerang peribadi. Tetapi saya akur, itu ragam dan lumrah manusia. Saya maafkan mereka semua kerana saya percaya kepada hak individu dalam menyuarakan pandangan maupun isi hati.

Bagaimanapun, itu bukan alasan saya membuat keputusan berhenti menulis. Saya sudah letih. Pelbagai tuntutan kerjaya tidak memungkinkan saya menjadi blogger komited.

Justeru, terima kasih kepada semua pembaca sudi bersama mencatat, berkongsi pengalaman dan buah fikiran di halaman ini. Maaf sekiranya ada antara catatan saya mengguris perasaan, sepuluh jari saya susun, memohon keampunan.

Dosa sesama manusia, hanya manusia bisa memaafkan.

Saya boleh dihubungi melalui talian hotline 360 (SMS sahaja) 019 2345 360 atau emel.

Salam buat semua semoga menjadi insan berjaya di dunia dan di akhirat.

Mazidul Akmal Sidik

Selasa, November 04, 2008

Kondom Baru Kondom Lama

Semalam, di Pulau Tikus dan Prai, Georgetown, Pulau Pinang 70 lelaki tempatan dan warga asing berusia antara 20 dan 50 tahun diberkas polis di beberapa pusat kecergasan. Pusat terbabit menyediakan khidmat sauna dan spa.

Semasa diserbu pelanggan lelaki dipercayai homoseksual kelam-kabut kerana dikatakan beraksi tidak senonoh dengan pasangan mereka di dalam bilik. Ramai pelanggan dilaporkan hanya bertuala semasa pemeriksaan dijalankan. Justeru tidak mengejutkan, polis menemui kondom baru dan terpakai serta losyen pelincir.

Sebelum ini polis Kuala Lumpur melaksanakan operasi sama. Ramai lelaki gay ditahan. Kegiatan terkutuk mereka dikatakan berselindung di sebalik rumah urut dan spa.

Terfikir, umur 50 tahun gay juga ke?

Isnin, November 03, 2008

Banyak Persoalan

Jam 6.45 pagi tadi MHI dimaklumkan Noor Fadilah dan keluarga kurang sihat, demam. Justeru mereka membuat keputusan tidak menghadirkan diri ke sesi temubual bersama saya dan Abby seperti dirancang dan dipersetujui pada awalnya. Bagaimana MHI sedang berusaha mengundang mereka sekali lagi dalam jangka waktu terdekat.

Banyak persoalan bermain di minda ..

Menampakkan 'Lurah'

Semalam saya menerima khidmat pesanan ringkas, SMS melalui talian hotline 360.

Penghantar SMS tidak berpuas hati dengan gelagat segelintir gadis remaja sekarang gemar menayangkan sebahagian daripada punggung mereka semasa membonceng motosikal teman lelaki di jalan raya.

Katanya ..

“Seluar jeans dia orang tu memang dipotong cawat pendek menampakkan lurah bontot. Tujuannya nak menayang kepada pemandu kereta di belakang kut! Atau nak menayangkan seluar dalam branded dipakai. Kalau kepada semua dia orang boleh tayang, bayangkan apa pulak ‘dipersembahkan’ kepada teman lelaki mereka di tempat tersorok?”

Saya pun kerap melihat senario sebegitu sejak tinggal di bandaraya. Peliknya, apabila dilihat ada antara gadis terbabit malu alah tersipu-sipu manarik pinggang seluar keatas.

Ini bukan bicara mengenai isu gender, isu sebenar terpampang di depan mata. Mungkin perempuan sahaja faham apa mereka lakukan.

Kenapa berpakaian begitu?

Ahad, November 02, 2008

Hebat Benarkah Lelaki Warga Asing?

Apa hebatnya lelaki Indonesia sehingga ramai gadis Malaysia nekad mengikut mereka pulang ke kampung halaman?

Sebelum ini Nor Azreen Che Ishak, 12 tahun dari Negeri Sembilan dan Rinnie Anak Aseng, 18 tahun dari Sarawak dilarikan kekasih ke Lombok. Manakala Maslina Saidin, 13 tahun dari Pulau Pinang mengikut kekasihnya ke Pulau Lamaraya berhampiran Sulawesi.

Warga asing terbabit dikatakan bijak menyusun kata cinta memerangkap pasangan masih mentah mengikut telunjuk mereka. Jika tidak masakan sanggup merentas samudera menyusahkan diri sendiri.

Esok saya dan Habsah Omar (Abby) bakal menemubual Fadilah Noor Ahmad, 18 tahun bersama ayah dan ibunya dalam rancangan bual bicara pagi, MHI selepas jam 7.20 pagi.

Ingin benar saya bertanyakan beberapa soalan ..

Bagaimana dia dipengaruhi sehingga membuat keputusan meninggalkan keluarga pada 3 September lalu? Apakah peristiwa paling getir ditempuh sepanjang perjalanan ke Lombok Timur? Nasrudin Dahrom, kekasihnya sebelum ini mendakwa mereka bernikah pada 11 Oktober lalu tetapi dinafikan Fadilah, fakta sebenar? 54 hari di Lombok, apa dipelajari berhubung ‘kehebatan’ warga tempatan? Mengapa pulang semula ke Malaysia?

Anda ada soalan?

Sabtu, November 01, 2008

Tiada Statistik Tepat

Dilaporkan lebih 30,000 rakyat Malaysia tinggal lebih masa di United Kingdom, UK sehinggakan kerajaan negara terbabit menawarkan tiket penerbangan percuma sehala kepada rakyat kita di sana antara Julai dan Disember tahun ini. Nama mereka bakal disenaraihitamkan dan dilarang memasuki UK sehingga selepas 5 tahun. Begitulah usaha kerajaan UK memastikan negara mereka tidak dibanjiri warga asing.

Pada masa sama, jutaan rakyat asing tinggal di negara kita secara tidak sah, pendatang tanpa izin, PATI dan usaha hangat-hangat tahi ayam mengusir mereka dilihat tidak berkesan sepertimana berlaku di Sabah.

Jika PATI ingin pulang, kerajaan Malaysia tidak perlu menyediakan penerbangan percuma. PATI mampu pulang sendiri sepertimana mereka bebas masuk ke negara ini, khususnya warga negara berjiran dengan Malaysia. Nama mereka juga tidak mampu disenaraihitamkan kerana kehadiran mereka tanpa sebarang dokumen.

Saya percaya tiada pihak berkuasa mampu memberikan statistik tepat bilangan PATI di negara kita, semuanya sekadar anggaran, tidak lebih daripada itu.

Majoriti PATI bermaustautin di negara kita untuk mencari rezeki melalui pelbagai cara. Antaranya bekerja di kilang, ladang maupun sebagai pembantu rumah. Tidak terkecuali mencari rezeki menggunakan jalan mudah, merompak.

Tidakkah kita mampu mencari jalan penyelesaian memastikan hanya pendatang secara sah layak tinggal dan bekerja di negara ini?

Jumaat, Oktober 31, 2008

Melayu Bantu Melayu

“Aku dapat maklumat ada 43 lagi gadis Melayu kena larikan dan sekarang ada di Lombok,” jelas Datuk Abdul Azeez Abd Rahim sewaktu menghubungi saya semalam.

Datuk Azeez selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO Malaysia berlepas ke Lombok 2 hari lalu membawa pulang Noor Fadilah Ahmad, 18 tahun kembali ke Malaysia semalam. Fadilah dilarikan warga Lombok Timur, Nasrudin Dahrom, 24 tahun pada 3 September lalu.

Syukur, kes terbabit diselesaikan secara baik. Fadilah dilapor bakal menjadi penuntut kursus kejururawatan Segi Kolej di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dibantu program ‘Second Chance’ Putra UMNO Malaysia.

“Ni terbaru 7 pelajar brilliant kita di Perth, Autralia dilaporkan hilang. Pelajar ambil jurusan Geology. Kes ni pun kita nak tengok juga. Mungkin dia orang ni dipengaruhi kumpulan ajaran sesat,” telah Datuk Azeez.

Semoga usaha berterusan Sekretariat terbabit semakin menyerlah, lambang jelas Melayu mampu membantu Melayu.

Fadilah akan ditemubual secara langsung dalam program MHI, Isnin 3 November 2008. Jangan lupa menyaksikannya.

Khamis, Oktober 30, 2008

Kaum Nabi Lut

Minggu lalu saya ditegur paramugara berusia lingkungan 30 an di lapangan terbang.

“Bang, saya selalu tengok show abang, 360,” katanya.

Saya ucapkan terima kasih.

“Bila abang nak buat cerita pasal cabin krew?,” soalnya.

“Kenapa dengan cabin crew?,” balas saya.

Kenyataan dia seterusnya memeranjatkan saya ..

“Saya dah lama nak contact abang tapi tak berkesempatan. Abang tau tak? Saya berani cakap, 60 peratus daripada crew lelaki syarikat saya kerja ni, gay. Tua ada, muda ada,” jelasnya serius.

“Ha? Biar betul?”

“Kalau kita orang fly keluar negara, pakai Airbus, setiap crew dapat satu bilik seorang. Jadi peluang buat kegiatan terkutuk tu senang. Saya menyampah tengok. Dia orang dah semakin berani. Kalau lelaki straight macam kita ni lalu, nak test, dia siap cuit punggung kita tu! Kita biarkan, nanti dia berani pegang selamba jer”

“Dalam kapal terbang?”

“Ya,” jawabnya.

“Macamana awak kenal dia orang gay?,” tanya saya.

“Boleh kenal. Bulu kening cukur atau cabut macam perempuan. Kalau saiz baju dia ‘L’, dia pakai ‘M’, biar nampak fit. Gelar diri ‘mak’, couple, dia orang gelar ‘anak ikan’. Bila kat luar negara siap pakai hand bag pun ada. Pihak pengurusan tahu benda ni tapi tak boleh buat apa sebab kerja dia orang tip top,” responnya.

“Really?,” saya kehairanan.

“Ada masuk kerja normal. Tak sampai tiga empat bulan dah lembik! Kalau abang nak buat 360 fasal topik ni, boleh interview saya. Mesti gempak. Kita ni bimbang tak nak Melayu jadi macam kaum Nabi Lut!”

Saya berharap dakwaan itu tidak benar.

Rabu, Oktober 29, 2008

Mungkinkah kita?

Jika kita mampu tahu kejadian bakal berlaku esok, mungkinkah kita ..

Takut meneruskan hubungan bersama pasangan ..
Takut memandu kenderaan di jalan raya ..
Takut keluar dari rumah ..
Takut ke institusi kewangan ..
Takut ke tempat kerja ..
Takut makan dan minum ..
Takut berada di bangunan tinggi ..
Takut ke pusat perubatan ..

Atau mungkinkah kita bergembira hari ini?

Selasa, Oktober 28, 2008

'Dear'

Terkejut isteri berusia 24 tahun menerima khidmat pesanan ringkas, SMS suami tinggal di Sabah sedang dia bermaustautin di Perak.

‘You kalau dah habis shopping, call I dear’

Kata isteri itu ..

“Dia dah tersilap hantar. Suami I tak pernah panggil I, U. Guna saya dan awak’

Justeru, apakah ‘maksud’ sebenar SMS itu? Wujud orang ketiga?

Sorry! I Tak Pandai Masak

‘Sorry! I memang tak pandai masak”

Antara ungkapan kerap terpancul dari mulut segelintir gadis muda kini. Malah sesetengah mereka bangga berkata begitu.

“Perempuan dulu lain, tak ada kerja, duk rumah. Bolehlah masak siang malam. Sekarang ni perempuan berkerjaya, lain,” komen sebahagian lagi.

Tetapi pada masa sama tidak dinafikan ramai berbakat dan mengambil inisiatif belajar memasak. Mungkin terfikir kepentingan kemahiran itu jika melangkah ke jinjang pelamin satu hari nanti.

“Setakat jerang air panas no problem. Masak ni leceh la, banyak kerja. Susah-susah kedai mamak banyak, order aje lah, apa masalahnya? Kalau kahwin nanti bibik kan ada, suruh aje la dia masak,” antara komen membingitkan telinga lelaki masa kini.

Para pembaca ..

Pentingkah wanita pandai memasak?

Isnin, Oktober 27, 2008

Mata Terkeluar

“Saya nampak benda hanyut, saya ikut nak kereta nak pastikan binatang ke manusia. Tapi bila tengok dari dekat ada jari, sah lah manusia,” ujar Borhan Sabar, 43 tahun.

Penyelia tapak projek kuari itu menemui mayat separuh bogel tanpa identiti terbabit pada jam 10.30 pagi tadi. Polis masih belum mengenal pasti samada si mati mangsa bunuh atau mati mengejut. Mayat membengkak tetapi tidak berulat manakala bahagian kepala si mati kelihatan lebih gelap berbanding tubuh dari pinggang ke bawah. Mata membonjol dan hampir terkeluar.

“Kena bunuh kat tempat lain kut, lepas tu campak dalam sungai,” telah lelaki tidak dikenali berada di lokasi sama.

Mayat akan dihantar ke hospital untuk diperiksa pakar pathologi bagi memastikan sebab kematian.

Ahad, Oktober 26, 2008

Hidung Berdarah

Malam tadi saya di Johor Bahru, Johor.

“Jomlah bro, tempat tu ada live band. Saya datang all the way dari KL nak pergi dengan bro ni,” pelawa rakan.

Lalu saya memenuhi permintaan itu. Pusat hiburan terbabit dikunjungi majoriti remaja Melayu. Jam 2 pagi, premis itu dipenuhi asap rokok tebal dan bingit dengan alunan lagu rock. Remaja menari, ramai berpelukan dengan pasangan dibawa. Kebanyakannya mabuk, air arak di dalam botol besar berharga ribuan ringgit hanya tinggal sedikit.

“Apahal tu?,” tanya saya kepada chief bouncer bertugas.

Dia menggelengkan kepala sambil tersenyum.

Remaja lelaki Melayu, saya anggarkan berusia awal 20 an kelihatan tidak bermaya, gagal mengangkat kepala, terlalu mabuk. Rakannya pantas mencapai jag Coca Cola dan perlahan menuang air berkabonat itu membasahkan kepala rakannya. Di meja sama, lelaki berusia lebih tua, lewat 40 an berada dalam keadaan serupa. Cuma darah merah kelihatan mengalir keluar dari hidungnya. Mungkin kepanasan meneguk arak keterlaluan.

Apakah mereka cari? Itu persoalan bermain di fikiran saya ketika melangkah keluar 10 minit kemudian.

Rumah Terbuka Rizal RTM


Hari Pertunangan Teh Syuhaida Sharip

Sabtu, Oktober 25, 2008

Air Kanji Nasi

Jam 10 pagi tadi, Simpang Kecil, Kota Tinggi, Johor Bahru, Johor.

“Pak cik, tolong, tolong pak cik, lepaskan mak bapak saya”

Rayu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sambil menitiskan air mata. Dia dan 5 adiknya terpaksa hidup terbiar akibat ibu dan ayah, warga Rohingya, Myanmar ditahan Jabatan Imigresen awal bulan ini. Mereka antara 40 ribu pelarian diberikan perlindungan United Nation High Commissioner for Refugees, UNHCR di Malaysia.

Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan bekerja. Azab kehidupan, sehinggakan anak kecil terpaksa minum air kanji nasi sebagai ‘susu’.

Warga Kemboja dan Aceh, Indonesia juga berstatus sama, dilindungi UNHCR di negara ini. Peliknya mereka dibenarkan bekerja, hidup mewah sebagai peniaga.

Mungkin itukah digelar 'double standard' perikemanusiaan?

Jumaat, Oktober 24, 2008

Akhirnya Pengkid Diharamkan

Bro, dah baca surat khabar? Pengkid diharamkan.

Kandungan sistem pesanan ringkas saya terima pagi tadi dihantar rakan pernah muncul dalam rancangan 360, paparan berhubung pengkid. Isterinya 33 tahun ‘dilarikan’ pengkid berusia 27 tahun dan kini tinggal serumah di Petaling Jaya, Selangor bagai 'suami isteri'.

Sejak paparan itu disiarkan pelbagai respon saya terima. Ramai pengkid berang dan mendakwa kebebasan mereka tidak harus disekat. Hujah saya, jika pondan diharamkan, mengapa tidak pengkid?

Semalam Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pengkid. Fatwa itu diumumkan Pengerusi Majlis, Datuk Dr. Abdul Shukor dalam muzakarah 2 hari di Kota Bharu, Kelantan.

Justeru, kepada perempuan kepingin menjadi lelaki, berubahlah. Jangan ditentang kejadian Allah s.w.a.

[ Kata Mazidul: Selamat melangsungkan pertunangan kepada wartawan 360, Teh Syuhaida Sharip, 26 Oktober ]


Khamis, Oktober 23, 2008

Tersinggungnya Orang Melayu

“Pukul 5 petang ni ada bantahan aman terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kota Damansara, YB Dr. Mohd Nasir Hashim, dia ada cakap sebahagian duit kutipan zakat boleh diagihkan kepada orang bukan Islam untuk mengatasi masalah kemiskinan,” kata rakan.

Lalu saya ke lokasi. Bukan sahaja protes dilakukan menggunakan banting malah poster wajah ADUN terbabit diconteng menggambarkan betapa tersinggungnya orang Melayu beragama Islam. Memorandum bantahan diserahkan kepada wakil YB di pejabat Parti Sosialis Malaysia, PRM jam 5.30 petang semalam.

Semalam dalam kenyataan akhbar, Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kenyataan presiden PRM itu tidak akan dilaksanakan.

Mencurah Air Di Daun Keladi

25 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya diketui Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Ishak Mohamad menyerbu premis hiburan di Jalan Belimbing, Starlight Park, Seremban pada jam 11 malam semalam. Hasilnya 38 pelayan pelanggan, GRO warga China dan 2 dari Thailand diberkas dalam ‘Ops Sayang’ terbabit. Mereka dilapor menyorok di 2 bilik khas di bahagian belakang dinding.

Pendapatan purata GRO diberkas dianggarkan antara RM10,000 dan RM20,000 sebulan.

Mereka didapati memasuki negara ini melalui Kuala Lumpur International Airport menggunakan pas lawatan sosial. Bermaksud mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.

Menurut Datuk Ishak, berikutan masalah sosial timbul, orang ramai dikatakan berulangkali membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan dan polis namun tiada tindakan diambil sehingga beliau dihubungi.

Barangkali ramai berasa jemu, aduan dibuat bagai mencurah air di daun keladi.

Selasa, Oktober 21, 2008

Wanita Ketuk Ketampi

“Apa cerita?”

Soalan paling banyak diajukan kepada saya hari ini sejak awal pagi hingga ke saat ini. Jarang telefon bimbit saya kehabisan bateri tetapi hari ini berlaku. Banyak panggilan saya terima daripada kawan-kawan, kawan dan sahabat. Pelbagai pertanyaan diajukan.

“Engkau ok ke?”, “Apa jadi ni?”, “Apahal?”, antaranya.

Bagaimanapun tiada siapa berkata ..

“Kalau saya boleh membantu, bagi tahu”

Tetapi saya faham, ramai mungkin berasa serba salah mengajukan soalan secara terbuka. Barangkali bimbang saya terasa. Apapun, kisah sebenar tidak seburuk digambarkan surat khabar tempatan hari ini. Percayalah.

Masih ingat kisah perempuan dipaksa ketuk ketampi di Balai Polis Petaling Jaya sebelum ini? Pada awalnya, wanita itu dilaporkan warga China. Maka tergesa-gesa Malaysia menghantar wakil ke China memohon maaf, khuatir hubungan dua negara tergugat.

Akhirnya setelah siasatan dijalankan, wanita itu didapati berbangsa Melayu dan sahih warga Malaysia.

Tidak semua laporan itu tepat.

Doakan Kami

Mungkin ramai terkejut membaca berita dimuatkan dalam surat khabar tempatan hari ini. Saya percaya pelbagai spekulasi timbul di kalangan media dan orang ramai. Itu lumrah.

Apa pun hanya saya dan keluarga mengetahui perkara sebenar. Doakan kami mampu mengharungi cabaran ini.

Isnin, Oktober 20, 2008

Pangkalan Haram

Lebih 130 pangkalan haram dikesan pihak berkuasa di sepanjang Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand. Pangkalan terbabit digunakan antaranya bagi tujuan penyeludupan barangan terlarang, beras, disel dan mercun. Barangkali fakta itu diketahui ramai justeru sama sekali tidak mengejutkan.

Bagaimanapun semasa menyertai tinjauan Unit Pencegahan Penyeludupan, UPP Pengkalan Kubor semalam saya tergamam.

“Lembu tu tunggu masa nak diseludup masuk ke Malaysia. Nanti orang dia (Thailand) akan naik bot, ikat seekor lembu menyeberang sungai. Lembu boleh berenang, timbul kepala saja. Lepas tu lembu lain tu akan ikut sampailah ke seberang belah kita,” kata anggota UPP bertugas.

Menjelang sambutan Hari Raya Haji, bilangan lembu diseludup untuk upacara korban dipercayai meningkat.

Ahad, Oktober 19, 2008

Unit Pencegahan Penyeludupan Kelantan


Jika Di Bilik Guru

Sebelum ini klip video pelajar berseragam sekolah melakukan hubungan seks di pelbagai lokasi pernah tersebar. Wajah dan aksi mereka jelas. Kini klip video terbabit dipercayai ditonton jutaan rakyat Malaysia, tua dan muda melalui paparan telefon bimbit.

Terbaru, pelajar lelaki dan perempuan berseragam sekolah berusia antara 13 dan 19 tahun dilaporkan terbabit dalam penggambaran koleksi klip video ‘aksi panas’. Bezanya kali ini dilakukan di dalam kelas.

Jika di bilik guru ..

Barukah kita terkejut?

Jumaat, Oktober 17, 2008

Murid Gengster

Mungkin ramai pernah terdengar mengenai gengster Cina. Setiap kumpulan punyai ‘taiko’ atau abang besar dan pengikut. Mereka dilaporkan sering memeras ugut mengutip wang perlindungan dan terbabit dalam pergaduhan.

Tetapi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis di Kangar, Azhana Ibrahim, 27 tahun tidak dibelasah gengster Cina. Dia dipukul dua anak murid sendiri berusia 14 tahun pada jam 10 pagi semalam. Azhana dikatakan menegur murid terbabit kerana menulis perkataan kesat dalam buku tugasan dihantar kepadanya. Akibatnya, dia ditendang dan diugut.

Laporan dibuat di Balai Polis Kangar dan siasatan dijalan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ganasnya pelajar sekarang.

Khamis, Oktober 16, 2008

Datuk Shah Rukh Khan

King of Bollywood, Shah Rukh Khan dilahirkan pada 2 November 1965 dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka, DMSM membawa gelaran ‘Datuk’ sempena sambutan Hari Jadi ke 70 Yang Di-Pertua Negeri , Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Oktober lalu.

Manakala 3 artis veteran tempatan menerima Darjah Seri Melaka, DSM, Henry Goh, Ali Mamak dan Mariam Ahmad. Bagaimanapun DSM tidak membawa gelaran Datuk.

Shah Rukh Khan dikatakan membantu mempromosi Melaka melalui lagu dan filem One Two Ka Four dirakamkan di A’Farmosa Resort di Alor Gajah 7 tahun lalu.

Tindakan pengurniaan anugerah ke 3 tertinggi di Melaka itu mengundang reaksi berbeza pelbagai lapisan masyarakat.

Respon Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Ahmad Ibrahim menarik perhatian saya.

“Jika Ketua Menteri fikir selama ini kami tidak melakukan apa-apa mempromosikan Melaka, saya menyeru semua pengarah berhenti melakukan penggambaran di Melaka”

Kalau Hang Tuah bukan lagenda dan beliau masih hidup, mungkinkah hulubalang itu akan berang?

[ Kata Mazidul: Kalau Datuk Mazidul Akmal tak berapa ok. Tan Sri Mazidul Akmal lebih molek .. ]

Rabu, Oktober 15, 2008

Melayu Mudah Lupa

Sebelum ini warga Afrika berulangkali terbabit menjadi dalang sindiket ‘black money’. Mereka menawarkan ‘wang kertas’ dicat hitam dan memperdaya mangsa membeli cecair berharga puluhan ribu ringgit kononnya mampu menukar ‘wang kertas’ itu kepada US Dollar. Mangsa tertipu akhirnya kesal menyedari ‘wang kertas’ itu hanya kertas kosong.

Kini muncul sindiket terbaru.

26 September lalu, 3 warga Afrika dibantu wanita tempatan berpurdah menawarkan sejumlah ‘serbuk emas’ didakwa benilai 2.4 juta ringgit kepada pelanggan, taukeh kedai emas di Kuala Lumpur. Mangsa bersetuju membeli sekilogram berharga RM60,000 akhirnya terpedaya. Setelah diuji dimakmal, ‘serbuk emas’ itu hanya serbuk tembaga tidak berharga.

Tetapi mengapa majoriti mangsa sindiket orang Melayu? Sedangkan pepatah turun temurun dari awal mengingatkan, ‘orang tamak selalu rugi’ ..

Melayu mudah lupa?

Selasa, Oktober 14, 2008

Turunkan lah

“Harga minyak seharusnya diturunkan secara mingguan bukan bulanan,” kata penganalisis ekonomi, Datuk Salleh Majid.

Beliau ditemubual Ally Iskandar Mardzi dalam program Malaysia Hari Ini pagi tadi.

“Kalau tunggu lama, kita pun tak tau, mungkin akan naik lagi. Sekarang harga minyak turun US78 setong” sambung beliau.

“Pelik ..”

“Pelik apa Datuk?,” soal saya.

“Bila harga minyak naik, harga barang mendadak naik. Ni bila harga minyak turun, harga barang tak turun. Kalau Shahril (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) duduk sebelah saya, saya bagi tau kat dia. Menteri kan ada kuasa arahkan harga barang turun, arahkan lah. Ayam sekarang ni seekor RM15 tahu. Bila kata harga siling banyak ni, depa semua jual pada harga siling!,” komen beliau.

Komen sama barangkali dikongsi ramai?

Andalusia

Ramai mempunyai impian melanjutkan pelajaran ke menara gading demi memburu segulung ijazah (Degree). Tidak berpuashati dengan hanya ijazah, mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (Master) dan kemudian ijazah kedoktoran (Phd).

Bagi lelaki tidak timbul masalah. Malang bagi wanita ..

“Huih! Tak berani aku nak pinang. Dia ada Phd tu, aku degree jer,” komen lelaki.

Akhirnya ramai wanita berpelajaran tinggi bergelar ‘Andalusia’, Anak Dara Lanjut Usia, membujang sepanjang hayat.

Mengapa jadi begitu?

Isnin, Oktober 13, 2008

Susuk Kemaluan

Saya tertarik dengan laporan muka depan Harian Metro semalam, ’Susuk pada kemaluan’.

Dipercayai pelayan pelanggan, GRO memakai susuk di kemaluan mereka bertujuan menundukkan pelanggan agar sentiasa mengingati mereka selepas melakukan hubungan seks. Pelanggan ketagih mampu menabur wang ringgit tanpa berfikir panjang.

Tidak hairanlah jika GRO khususnya berkhidmat di Lembah Klang mampu meraih pendapatan purata antara 3 dan 20 ribu ringgit sebulan bergantung kepada ‘servis’ ditawarkan kepada pelanggan.

Saya pernah menerima pesanan ringkas, SMS melalui talian hotline 360 kira-kira 3 bulan lalu ..

‘Buatlah liputan pemakaian susuk di kalangan GRO. Saya juga memakainya dan hidup saya sentiasa berasa tidak tenang’

Saya cuba menghubungi penghantar SMS terbabit tetapi gagal.

Majoriti GRO berbangsa Melayu selain warga Indonesia, Filipina dan China. GRO Melayu teramai menurut stastistik pernah dicatatkan dalam akhbar sebelum ini berasal dari Negeri Serambi Mekah, Kelantan.

Mengejutkan?