"Balik! Balik! Dah maghrib ni! Kambing pun tahu balik ke kandang bila malam. Cepat pergi mandi lepas itu sembahyang maghrib, mengaji," jerit orang tua.
Saya yakin pembaca berusia lewat 30 an ke atas, pernah tinggal di kampung, pasti pernah mendengar jeritan lebih kurang serupa, cuma dilontarkan ibu bapa berlainan di kawasan berbeza.
Di kampung, kira-kira 40 tahun lalu, selepas tamat waktu persekolahan, remaja lelaki berusia belasan tahun hanya berpeluang bermain galah panjang, tepuk terup, getah bulat, kondak kondi, biji kelawar, biji getah dan berlumba lari.
Main biji Kelawar? Ya, biji Kelawar.
Sewaktu tinggal di kampung, setiap awal pagi atau petang, remaja lelaki akan pergi ke bawah pokok kelapa tinggi, bak kakitangan Unit Forensk mereka mencari biji keras, sisa buah makanan kegemaran kelawar. Biji Kelawar percuma berbanding guli terpaksa dibeli.
Pada waktu itu, guli pelbagai warna dianggap bahan permainan uniseks, sesuai dimainkan remaja lelaki dan perempuan.
"Ingat lagi tak harga guli dan terup masa kita berumur 11 tahun dulu?," soal saya kepada Harun.
Harun Mahiram, 46 tahun, rakan sekampung saya sejak kecil. Sewaktu dihubungi tadi, dia dan keluarga dalam perjalanan pulang ke Kampung Sungai Bill di Tanjung Malim, Perak.
"Tak berapa ingat lagi tetapi harga masa itu sen sen sahaja. Guli, kalau tak silap aku, 10 sen dapat 10 biji, kalau daun terup kecil, sepapan ada 20 keping, harga dalam 10 sen jugalah," balasnya.
"Cepat! Cepat! Kalau nak tanya apa apa lagi. Nanti kalau masuk ke kampung kita, signal telefon dah tak ada," dia mengingatkan saya.
Ya, biarpun kini kita semua berada di tahun 2011, semua operator telekomunikasi masih belum terbuka hati untuk menyalurkan kemudahan liputan ke kawasan kampung tempat saya dilahirkan. Maklumlah, Sungai Bill, bukan Pekan, Pahang, tempat kelahiran Perdana Menteri kita.
Jadi, tiada siapa peduli.
Baca perihal Sungai Bill di sini.
"Masa kita remaja dulu, budak perempuan main apa?," tanya saya.
"Ish! Budak perempuan kan main semua, macam lumba lari, kondak kondi, galah panjang dan batu seremban. Cuma macam guli, permainan perempuan, kekadang budak lelaki pun main juga," jelasnya.
Untuk rekod, majoriti rumah penduduk kampung terletak tidak jauh dari sungai berbatu mengalir jernih. Ibu dan ayah kami tidak perlu membayar ratusan ringgit untuk anak belajar berenang. Kemahiran itu ditambah dengan keupayaan menyelam diraih secara semula jadi.
"Masa kita kecil dulu, sebelum bersunat, semua mandi sungai berbogel, selamba," tambah Harun.
Saya tertawa besar.
Benar katanya, ketika itu remaja lelaki berusia 12 tahun dan kebawah bebas mandi tanpa seurat benang disaksikan remaja perempuan. Tiada perasaan malu, jauh sekali segan dan lebih menarik, tiada pula berlaku kes membabitkan jenayah seksual. Mengapa? Tinggal di kampung, hubungan antara keluarga terlalu akrab. Setiap hari ayah kami ke surau, bersolat berjemaah dan jika berlaku kes tidak diingini, mereka pasti tidak teragak-agak untuk membincangkan kes itu dan kemudian melaksanakan tindakan difikirkan wajar.
Dalam erti kata lain, perlakuan buruk anak kampung terlalu mudah sampai ke telinga orang tua dan mereka, kadangkala tidak perlu menjalankan soal siasat. Tiba-tiba, tanpa dijangka, rotan manau diliibas dan membiratkan belakang anak.
Rotan seperti di gambar di atas digunakan, cuma tanpa kot.
Tindakan itu tidak ubah seperti ISA, kami boleh dihukum biarpun tiada bukti sah. Itupun mengikut keseriusan kes didakwa berlaku.
Berikutan itu, sejak saya dilahirkan sehingga menjejakkan kaki di Amerika Syarikat pada usia 19 tahun, tidak pernah dilaporkan berlaku kes kecurian di kampung.
Tafsiran kenyataan itu mudah.
Contohnya, jika ada remaja dibelikan oleh ayahnya kasut Adidas, hakikatnya, pada ketika itu hanya dia seorang memakai kasut berjenama terbabit berikutan harga mahal. Majoriti ibu dan ayah kami bekerja sebagai penoreh getah dan petani justeru bukan semua mampu membelikan anak kasut berharga ratusan ringgit.
Andai kata remaja lain berhajat mencuri kasut itu, dia tahu, dalam tempoh singkat, dia pasti kecundang sekaligus perlakuannya terlalu mudah dikesan kecuali jika selepas melakukan jenayah itu dia melarikan diri ke daerah lain dan memakai kasut dicuri di daerah terbabit.
Jelasnya, hubungan erat dipupuk di kalangan keluarga di kampung, tidak secara langsung menjadi mekanisme utama mengekang kejadian jenayah hampir 40 tahun lalu.
Biarpun pada ketika remaja, tiada permainan elektronik, saya berbangga untuk menyatakan setiap hari kami tempuh tetap meriah dan berwarna-warni.
Udara pada waktu itu lebih segar, tiada hiruk-pikuk bunyi kenderaan bermotor, jauh sekali masalah sosial, gejala melanda sebilangan masyarakat di bandar.
Teringat, sewaktu berusia 14 tahun saya berkunjung ke rumah ibu saudara di tingkat 14, Flat Sri Pahang, Kuala Lumpur.
Sebaik pulang ke kampung, emak bertanya.
"Seronok di Kuala Lumpur?"
Saya terdiam sebelum menjawab.
"Seronok sangat. Makan nasi ayam di Benteng, sedap. Makan paha ayam dua, Cik Halimah order extra tetapi kasihan tengok kawan jiran mak cik ...," ujar saya.
"Mengapa?," emak mencelah.
"Kawan itu ada lima beradik, tinggal di tingkat 13. Bila dia balik, tengok emak dia tengah menumis bawang dengan minyak. Anak dia pun tunggu, duduk atas lantai nak makan, lapar. Emak dia kemudian curahkan sos tomato ke dalam kuali, kacau kacau, masuk dalam mangkuk. Itulah 'lauk' dia orang makan tengah hari," jelas saya.
Barang kali, bakat dalam bidang kewartawan sudah tersemat di jiwa sejak kecil, cuma saya tidak menyedarinya.
"Kenapa awak masuk ke dalam rumah orang? Ada aku ajar suruh awak masuk ke rumah orang? Awak makan sekali di rumah tu? Bla bla bla bla (bebelan diteruskan)," emak marah.
"Mak, tak masuk pun ke rumah dia orang, tak makan pun. Masa itu cuma berdiri di muka pintu sahaja tetapi boleh nampak sampai ke dapur. Rumah itu dua bilik, kecil mak, boleh nampak semua," saya membela diri.
Untuk rekod, peristiwa itu berlaku 30 tahun lalu, kini sebilngan penduduk flat terbabit mungkin hidup mewah.
Sewaktu remaja, emak pernah menuntut di Sekolah Agama Semanggol, Perak. Selain membantu arwah ayah di kebun, seperti arwah, dia juga guru mengajar anak kampung mengaji Mukaddam dan Al-Quran. Di masa terluang emak mengambil upah menjahit pakaian ditempah penduduk kampung.
Seingat saya, emak tidak pernah memukul saya barang sekalipun tetapi cubitannya di tepi kiri atau kanan perut sungguh berbisa.
Itu kaedah dia mengajar anaknya, anak kampung.
Di kampung, orang tua menegur perangai buruk remaja tanpa mengira siapa mereka. Jika remaja ditegur mengadu kepada ibu bapanya, tidak bererti dia berupaya mempengaruhi mereka secara membabibi buta.
"Lain kali, kalau kamu jahat lagi, ayah suruh Pak Leman sebat kamu terus," respon orang tua.
Kini, senario jauh berbeza. Jika anak berperangai buruk ditegur, sebilangan ibu bapa sanggup menyinsing lengan memarahi atau bergaduh dengan individu menegur anak mereka.
"Lain kali, kalau kamu jahat lagi, ayah suruh Pak Leman sebat kamu terus," respon orang tua.
Kini, senario jauh berbeza. Jika anak berperangai buruk ditegur, sebilangan ibu bapa sanggup menyinsing lengan memarahi atau bergaduh dengan individu menegur anak mereka.
Saya akan menyambung tampalan ini ... InsyaAllah.
Best sangat. abg patut jadi pensyarah or motivator coz u went thru a lot in life. susah dan senang.
BalasPadamhampir semua yg ditulis saya pernah dilalui.... berbeza sungguh sesasana dahulu dan sekarang....
BalasPadamSalam Mazidul
BalasPadamCoretan yang bernostalgia untuk dikongsi dengan generasi anak-anak muda sekarang....
Manusia semua sama...kehidupan dilalui mencorakkan tiap tiap individu.
Ini jelas membuktitan asas usul seseorang itu tidak mencerminkan masa depannya. Yang utama, bagai mana anak itu diperbesarkan dan dididik.
Kenangan mengusik jiwa.
BalasPadamJangan lupa ceritakan bab bulan puasa & raya di Sg. Bill ok.
memori zaman kecik2. dulu-dulu, lepas balik sekolah darjah 4 (umur 10tahun) , saya terus pergi main teng-teng atau lompat getah kat depan rumah. pakaian cuma sehelai seluar pendek paras peha. semua budak2 kat situ pun macam tu jugak, tak kira lelaki atau perempuan. tak ada pulak rasa malu. Betul kata Mazidul. kalau balik ngadu kat abah/mak... bukan depa nak kesian, lagi tambah (kena rotan) ada la...
BalasPadamSalam semua
BalasPadamKesian kat anak-anak sekarang..entah tau entah tidak permainan yang abang sebutkan tadi...tapi sejak akhir-akhir nie anak-anak dok main batu seremban tapi yang dibuat dari kacang hijau tu..musim gamaknya..siap ajak lawan lagi...:)
"Kini, senario jauh berbeza. Jika anak berperangai buruk ditegur, sebilangan ibu bapa sanggup menyinsing lengan memarahi atau bergaduh dengan individu menegur anak mereka."
BalasPadamSetuju dengan kenyataan ini, sebab pernah kena...
bila membaca tampalan ni.. teringat sekitar tahun antara 70-an hingga hujung 80-an.. di zaman kanak-kanak hingga menempuh zaman remaja.. di mana suasana yang amat berbeza antara dulu dan sekarang.. terutama persekitaran di Perlis..
BalasPadamterima kasih atas perkongsian pengalaman..
pengalaman sama ... mmg best jadi budak kampung ... tak pernah ada perasaan takut walau jalan malam sorang2 balik ngaji .... sbb keadaan mmg selamat sesangat ..
BalasPadamtapi sekarang semuanya dah berubah ....
huhu nostalgia betull..bila ingatkan main polis entry pakai senapang dibuat dr kayu & getah dn peluru dari buah ceri.. huhuhu seronokkk sgt
BalasPadamterlalu banyak yang berubah zaman sekarang. kanak-kanak makin cepat matang.
BalasPadammenakutkan.
smti
BalasPadamSMTI
BalasPadammemang banyak beza anak2 dulu dan sekarang.. Huhuhu..
dulu if kena rotan kat sekolah, balik ngadu kat mak, confirm kena rotan sekali lagi.. hehehe..
smti..pengalaman yg hampir sama....dah sekolah menengah pun masih mandi parit lai...hehe...
BalasPadam