Rabu, Mei 16, 2012

GRO PASRAH (18SX)

"Saya berkahwin pada usia 18 tahun dan bercerai 2 tahun kemudian. Bekas suami saya, tidak mahu bekerja sedangkan saya pada ketika itu mencari rezeki sebagai pekerja kilang di Melaka. Lagipun kami berkahwin di atas  desakan keluarga, mereka bimbang jika saya terlanjur," ujar Ogy.

'Ogy', bukan nama sebenar, berusia 33 tahun, pelayan pelanggan, GRO di sebuah pusat hiburan terkemuka. 

Dia dan rakannya saya temui di gerai menjual nasi lemak panas di Jalan 222, Petaling Jaya, Selangor. Barangkali kerana terlau banyak hal terbuku di sanubari, mereka bersikap amat terbuka untuk berkongsi kisah hidup bersama saya dan pembaca blog ini.

"Selepas itu, awak berkahwin lagi?," soal saya.

"Ya, buat kali kedua pada usia 23 tahun. Suami kedua, berperangai panas baran, kaki pukul dan bersikap amat cemburu. Perkahwinan kami bertahan hanya kira-kira 3 tahun selepas dikurniakan sepasang cahayamata, lelaki dan perempuan. Memang saya mampu bertahan lebih lama, kalau dia marah, puas saya 'makan' sepak terajang di rumah," keluhnya. 

"Kenapa Ogy memilih kerjaya sebagai GRO?," tanya saya perlahan.

"Pendapatan lumayan. Sebulan saya boleh dapat dalam tujuh, lapan ribu ringgit. Itu pun saya bukan bekerja setiap hari. Sebahagian daripada pendapatan itu, saya depositkan terus ke dalam akaun dua anak, kini dijaga oleh bekas suami. Jadi wang itu tidak boleh dikeluarkan. Kalau dimasukkan ke dalam akaun saya sendiri, hari ini dimasukkan, esok dikeluarkan. Jika saya berkerja di kilang, gaji bersih sebulan, sekitar RM900, tidak mencukupi untuk menyara perbelanjaan dua anak semakin membersar dan menampung kos kehidupan sendiri  kerana tinggal di bandar besar," katanya lagi.

Saya terdiam mendengar penjelasan itu namun tidak berasa hairan kerana sebilangan GRO saya temubual sebelum ini juga menampilkan alasan sama.

"Nasib saya pun lebih kurang sama seperti Ogy. Saya berasal dari Kubang Krian, Kelantan dan teman lelaki pertama saya juga berasal dari negeri sama. Dia tidak mahu bekerja, pemalas! Perlukan saya menanggung kos kehidupan dia? Akhirnya setelah beberapa tahun bercinta, kami memutuskan perhubungan. Saya kemudian berpindah ke Kuala Lumpur dan beberapa kali gagal bercinta bersama lelaki lain, teman lelaki saya sekarang, suami orang. Orangnya baik dan bijak menjaga hati saya dan kami hanya bertemu pada  hujung minggu sahaja. Lazimnya dia datang ke rumah dan waktu itu saya tidur kerana kepenatan," ujar teman Ogy, Honey.

'Honey' juga bukan nama sebenar.

"Teman lelaki saya sebelum suami orang ini, kaki pukul dan penganggur. Saya mula bekerja sebagai GRO sejak empat tahun lalu. Pada awalnya, saya beritahu dia, saya bekerja sebagai penyambut tetamu di kelab malam. Dia tahu saya habis bekerja sekitar jam 3 pagi. Bila terlewat balik sedikit, dia muncul di pintu hadapan kelab mencari saya. Mujur saya menyediakan skirt agak panjang di kelab itu dan dia tidak mengesyaki pekerjaan sebenar saya sebagai GRO. Namun perhubungan itu tidak berpanjangan. Sikap cemburu membabi buta dia akhirnya memusnahkan  segala. Kalau awak bekerja, saya tidak perlu mencari rezeki seperti ini, kata saya. Tetapi dia enggan bekerja biarpun berulang kali disuruh.. Akibat terlalu kecewa kerana putus bercinta, saya membuat keputusan balik ke Kelantan tetapi tidak terus tinggal di rumah keluarga. Ibu bising, dia bertanya, mengapakah kakak terlalu kurus sampai kurus kering begini? Apakah kakak fikir sebenarnya? Selepas duduk dengan ibu buat sementara dan tidak mampu menjawab semua soalan dilontarkan, saya terus menaiki perahu menyeberang Sungai Golok ke Thailand lalu menetap di hotel di bandar Golok. Banyak duit saya habis pada waktu itu, dalam tempoh masa 2 bulan, lebih RM10,000," terang Honey. 

Untuk rekod, Honey, 28 tahun, anak kedua daripada empat beradik.

"Kalau tidak terbabit memberikan khidmat seks oral atau 'on' dengan pelanggan, berapakah anggaran pendapatan purata GRO?," soal saya kepada Ogy.

"Sekitar tiga empat ribu ringgit sebulan. Bercuti hanya sehari seminggu, pada hari Ahad. Sebilangan pelanggan pemurah dan mereka tidak teragak-agak menghulurkan wang tips.  Lazimnya  pendapatan diraih semalaman, bekerja melayan pelanggan dalam tempoh 5 jam, mampu mencecah RM400," balasnya.

"Masihkah ada cinta di hati awak?," tanya saya kepada Ogy.

"Susah hendak dijawab. Akibat dua kali terkena dengan lelaki sebelum ini, hati saya bak sudah terkunci. Sekarang ini ada lelaki berminat untuk mengahwini saya tetapi usia dia lebih muda, kurang 30 tahun. Keluarga saya pula tidak merestui," balasnya.

"Honey, kemanakah kesudahannya perhubungan dengan suami orang ini?"

Saya lontarkan soalan itu.

"Entah! Sukar untuk diramal," responnya spontan.

Honey kemudian menunjukkan gambar teman lelakinya itu di paparan telefon bimbit Nokia.

"Kacak orangnya, tinggi macam awak dan berjanggut pula. Tajam ke janggut dia?," usik saya.

"Eh! Soalan itu pula ditanya! Janggut tidak melambangkan apa pun dalam kehidupan sebilangan lelaki sekarang ini," celah Honey sambil mengukirkan senyuman.

Saya hanya akur mendengar, tuan punya badan lebih mengetahui.

"Ogy! Adakah lelaki ingin berkahwin dengan awak mengetahui kerjaya Ogy sekarang ini?," soal saya.

"Tahu," balasnya ringkas.

"Tidakkah terfikir, jika awak berkahwin dengan dia dan ditakdirkan berlaku perselisihan faham suatu hari kelak, kerjaya awak sebagai GRO sebelum berkahwin akan diungkit?," soal saya.

"Itu antara dilema terpaksa didepani majoriti GRO. Jika kerjaya sebelum kami mendirikan rumahtangga dirahsiakan dan kemdian dia mengetahui maklumat sebenar dari mulut orang lain, mungkin lebih parah! Kami memang serba salah dan terpaksa pasrah," ujar Ogy.

Di akhir pertemuan, Ogy memberikan persetujuan untuk saya membukukan kisah hidupnya sebagai GRO. Jika terdapat syarikat penerbitan berminat untuk menerbitkan buku terbabit, InsyaAllah saya akan laksanakan.

Saya percaya kisah terbabit mampu dikongsikan sebagai pengajaran. 

11 ulasan:

  1. Mencari duit dgn jalan mudah..mmg senang, namun ada pulak risiko dan aib2 yang perlu di tutup kelak..jika terbongkar..

    BalasPadam
  2. SMTI

    Banyak masyuk..tp keberkatan yang kita mahukan...

    BalasPadam
  3. SMTI : biar apa pun mereka mereka juga manusia biasa.. moga segera mereka sedar & terus kembali ke pangkal jalan..amin..

    * psstt...Mr.RR---> 1st la sangat kan..hehe

    BalasPadam
  4. Salam En Mazidul...kenal saya lagitak hehe..(saya tak ingat tahun bila...tapi kami..saya dan kharizam adalah wakil pembahas dari itm perak dan en. mazidul adalah wakil dari itm...lupa dah saya)..waktu tu wakil itm shah alam adalah anita primus...Buat pengetahuan en mazidul, saya adalah adik kepada kak shamsimar hj saidan khaderi...hehe..Anyway, saya baru terjumpa blog ni..menarik dan banyak info terkini...tq

    BalasPadam
  5. smti.nampaknya sebahagian lelaki bukan saja malas belajar, tetapi juga malas nak kerja. bilangannya juga makin bertambah dan tidak malu pula untuk mencari pasangan dan memakan hasil penat lelah perempuan...

    jika mereka juga malas untuk bersolat, bertambah2 lah malangnya, rugi didunia, rugi diakhirat.

    BalasPadam
  6. @SHAFIQ HASHIM

    SMTI tu rujuk

    http://www.mazidulakmal.com/2011/05/saya-membaca-tampalan-ini.html

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.