Sabtu, Januari 05, 2013

TIBA-TIBA ...


"Pintu kereta saya diumpil kali ke empat tetapi melihat cara digunakan, saya percaya mereka terbabit bukan  dariapda kelompok penjenayah pencuri kenderaan profesional," ujar mangsa. 

Pekerja syarikat swasta berusia 32 tahun, tinggal di Apartmen Flora Damansara, Petaling Jaya, Selangor itu percaya, penjenayah terbabit sekadar ingin mencuri duit siling atau barang berharga ditinggalkan di dalam kenderaan.


"Kalau boleh, Mazidul datanglah ke apartmen tempat saya tinggal, tolong tengok sekali keadaan kolam renang di blok E. Saya ada merakamkan gambar sebelum ini tetapi dari jarak jauh. Air kelihatan bertakung dan penduduk bimbang andai kolam renang itu menjadi sarang nyamuk terbesar di Selangor," tambahnya.


Beberapa hari kemudian, saya berkunjung ke lokasi dimaksudkan dan menaiki lif di lobi apartmen untuk ke tingkat atas apartmen setingga dua puluh lima tingkat itu.


Turut berada di dalam lif sama, wanita saya anggarkan berusia 40 an bersama beberapa anak kecilnya. 

"Puan, di manakah kolam renang?," soal saya.

"Di tingkat empat tetapi pintu berkunci. Molek benar Mazidul datang ke sini. Masalah kami di sini, nyamuk terlalu banyak. Cuba Mazidul rakamkan gambar kolam renang ditutup sejak kira-kira tiga tahun lalu itu. Di sebelah kolam, taman permainan kanak-kanak. Sewaktu mula menginap di sini dahulu, penduduk   berpeluang bermandi manda di kolam manakala anak-anak bermain di taman tetapi sekarang tidak lagi," ujarnya.

Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, saya merakamkan kenyataannya.


Menggunakan zoom kamera Canon SX40HS dari lokasi berbeza, saya kemudian merakamkan gambar kolam renang. 


Walaupun kelihatan agak uzur, melalui pemerhatian saya, tidak kelihatan jentik jentik di permukaan air bertakung kolam renang terbabit namun dakwaan wanita saya temui itu berlainan.

"Setiap hari, saya terpaksa memasang lingkaran ubat nyamuk di dalam dan luar rumah. Sebulan habis empat kotak. Saya teramat khuatir jika kolam renang itu menjadi sarang nyamuk aedes," ujar ibu tunggal terbabit. 


"Berapakah harga apartmen ini sewaktu dibeli?," soal saya.

"Seratus ribu ringgit dan kami mula menduduki unit ini sejak tahun 2005. Malangnya, semakin lama, keadaan semakin teruk. Walhal promosi jualan menjanjikan suasana berbeza. Mazidul tengok gambar ini," katanya.


Berikut pemandangan di kawasan berhampiran apartmen terbabit.


Saya kemudian terus mendengar luahan hati wanita sama sambil berdiri di ruang pejalan kaki di tingkat 5 sambil merakamkan dokumen dihulurkan satu persatu kepada saya.


"Pada tahun 2011, kolam renang itu dibuka sementara dan kemudian ditutup semula. Saya membayar yuran penyelenggaran, kira-kira RM77 sebulan tetapi banyak kemudahan tidak dapat dinikmati. Contohnya, lif ada lima kesemuanya tetapi hanya dua sahaja boleh digunakan. Kalau pada waktu pagi, lima belas minit belum tentu saya dan anak-anak berpeluang untuk turun ke lobi kerana ramai penduduk menggunakan dua lif itu pada waktu sama," tambahnya kesal.


Hujan kemudian turun lebat.

"Kalau hujan begini, kawasan tangga itu bagaikan ada air terjun. Mazidul boleh ke tangga menghubungkan  tingkat empat dan tingkat tiga, lihat sendiri keadaannya," ungkap wanita peramah itu.  

Untuk membuktikan status dakwaan itu, saya berjalan perlahan menuju ke ruang tangga gelap berikutan lampu kalimantang tidak menyala.

Beberapa gambar saya rakam menggunakan kamera Canon 600D.


Ternyata dakwaan wanita itu fakta. Memang kelihatan 'air terjun' di tangga justeru saya terpaksa turun secara berhati-hati. Hemat saya, tangga gelap, basah dan licin mampu mengundang bahana sekiranya digunakan oleh penduduk.

Sebelum beredar, wanita beranak lima itu sempat berkongsi maklumat mengejutkan. 

"Mengikut peraturan ditetapkan oleh pihak pengurusan, anjing memang tidak dibenarkan dipelihara di sini.  Malangnya, jika Mazidul melihat gambar dirakamkan oleh anak saya, amat menjijikkan. Najis anjing dilontarkan dari tingkat atas dan berbau amat busuk. Saya berharap masalah kami ini ditulis di blog Mazidul sekaligus didedahkan untuk pengetahuan umum. Kami sekeluarga sudah tidak tahan lagi, terseksa untuk terus tinggal di sini dan bercadang untuk berpindah ke tempat lain dalam jangka waktu terdekat," luahnya dengan wajah kecewa.  


Sewaktu berjalan menuju ke lif, saya terasa kaki basah.


Hampir keseluruhan lantai digenangi oleh air hujan mengalir masuk melalui pintu utama ke kolam renang.


Apapun, saya meneruskan langkah dan turut ke lobi. Memandangkan hujan masih lebat, saya berdiri berhampiran pintu lif sekaligus terpandang pengawal kesalamatan gah berdiri berhampiran meja dijadikan kaunter memantau penduduk lalu-lalang.

Hati kecil saya berbisik, dia warga asing.

Mengikut surat pekeliling dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri, hanya warganegara Malaysia dan rakyat Nepal SAHAJA dibenarkan bertugas sebagai pengawal keselamatan di Malaysia. Warga Indonesia  berstatus penduduk tetap juga TIDAK layak menjadi pengawal keselamatan. 

"Awak orang mana?," soal saya kepada pengawal keselamatan itu.


"I don't understand," balasnya dengan wajah serius.

Benar jangkaan saya, dia warga asing. Wajahnya kelihatan sedikit kaget. Barangkali selama ini tiada penduduk blok konon 'dijaganya' bertanyakan soalan sedemikian. 

"Well, let me speak in English. Where are you from?," soal saya sekali lagi.

"India," jawabnya ringkas.

"If you are from India then you are not supposed to work as a security guard. Only Malaysians and Nepalese can, that is according to the law," respon saya.

Terlintas di fikiran saya, bagaimanakah jika pengawal keselamatan terbabit bertindak di luar dugaan? Pantas saya membisikkan kepada hati, saya berdiri di negara sendiri, bukan di New Delhi. Andai dia 'menjual', InsyaAllah saya akan membeli dengan sepenuh kudrat. Jika saya tewas, saya yakin percaya masih ramai rakyat tempatan sudi menghulurkan bantuan.

"What permit were you using when you came to this country?," soal saya.

Dia kelihatan tergamam dan membisu. Pantas tangan saya mencapai kamera dari beg sandang lalu memetik punat rakaman biarpun berulangkali dia cuba menghalang wajahnya direkodkan.


"You know it is wrong and it is your choice to be here," celah saya.

Tiba-tiba tanpa diduga dia berpaling dan melarikan diri bak lipas kudung mengharung hujan lebat di luar blok.


Ternyata dia bekerja secara tidak sah. Siapakah majikan mengajikan pengawal keselamatan itu? Berapa lamakah dia telah bertugas di situ? Hanya syarikat pengurusan mampu menjawab soalan itu.

Pada kira-kira jam 5.30 petang, saya kemudian beredar keluar dari kawasan perumahan dihuni ramai kakitangan TV3 itu.


Belum sempat memandu keluar, saya terserempak dengan tiga kereta peronda polis dipandu laju dan tanpa berlengah, saya mengekori kenderaan menyalakan lampu siren terbabit.


Semua kereta peronda diparkir berhampiran pejabat penyelenggaraan apartmen itu dan beberapa anggota polis bertugas kelihatan bergegas masuk ke dalam pejabat ketika saya sibuk mencari payung di dalam kereta..


"Kira-kira pukul lima petang tadi, lelaki Myanmar berusia 20 tahun ditangkap ketika mencuri selipar buruk di tingkat empat blok D. Dia kemudian naik ke tingkat enam belas dan kami, pekerja penyelenggaran menangkap dia sewaktu masih menjinjing dua selipar dicurinya. Itu bukan kali pertama kes kecurian kasut berlaku di sini. Suspek telah dibawa menaiki kereta peronda masa encik masih di dalam kereta tadi," ujar lelaki berdiri berhampiran saya di hadapan pejabat.

Tempias hujan terasa mula membasahi baju dan seluar jeans. Saya kemudian dihampiri pengurus syarikat penyelenggaraan kawasan perumahan itu. Birpun enggan memperkenalkan namanya, dia sudi berkongsi maklumat penting bersama saya.


"Sebilangan penduduk komplen fasal kolam renang didakwa menjadi sarang nyamuk. Mengapakah kolam itu terbiar begitu sahaja?," soal saya.

"Oh! Kita memang mengambil tindakan. Contohnya, hari ini, sebaik hujan berhenti, immediately saya akan mengarahkan kakitangan penyelenggaraan untuk menyalurkan keluar air bertakung di kolam itu. Sebenarnya, pam air tersumbat dan kita tidak mempunyai wang mencukupi untuk memperbaikinya. Untuk pengetahuan Mazidul, terdapat 2,543 unit apartmen kesemuanya di sini tetapi hanya kira-kira di antara 20 dan 30 peratus sahaja  penduduk menjelaskan yuran penyelenggaraan dengan 'cantik' setiap bulan," ujar pengurus itu.

Tanpa ditanya, dia kemudian mengaku, syarikat terbabit pernah dua kali disaman oleh kakitangan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebelum ini berhubung kes kolam renang terbiar itu.

"Kena saman lima ratus ringgit. Dua kali, seribu," celahnya.

"Menurut penduduk saya temui, dalam tempoh setahun kolam renang itu dibersihkan lebih kurang tiga kali, betul?," tanya saya.

"Eh! Tidak! Sejak saya mula bertugas di sini sejak sembilan bulan lalu, bukan tiga kali, lebih kerap daripada itu kolam dibersihkan," balasnya.

Saya kemudian membangkitkan isu pengawal keselamatan bertugas secara haram di blok E.


"Saya pernah tiga kali membuat liputan kes bunuh di blok berbeza di sini. Kes pertama, lelaki Myanmar, perut terburai di dalam unit. Mayat ditemui berulat dan berbau amat busuk Kes kedua, lelaki dipercayai pengawal keselamatan bersembunyi dan bergayut di beranda bahagian dapur tingkat dua puluh satu ketika pegawai dan anggota Bahagian Narkotik melakukan pemeriksaan di rumah dihuninya. Dia dilaporkan terjatuh, mayatnya jika tidak silap saya tersangkut di tingkat dua. Manakala kes ke tiga, mayat dicampakkan di kawasan parkir di luar kawasan apartmen. Soalan saya, andai kata berlaku kes jenayah, beranikah pengawal keselamatan tampil memberikan maklumat kepada pihak polis sedangkan dia bertugas secara tidak sah? Tentunya tidak, kan?" kata saya.

Dia dia tetapi memahami maksud saya.

"Bulan puasa tahun lalu, berlaku satu lagi kes bunuh di blok B," balasnya.

"Sebelum ini kedai menawarkan perjudian internet beroperasi di beberapa blok di sini, status terkini?," soal saya lagi.

Klik di sini  dan di sini untuk membaca liputan terdahulu berhubung kes jenayah berlaku di lokasi terbabit.

"Alhamdulillah, sudah tiada lagi kerana kami dibantu oleh jemaah surau memang membuat pemantauan dan tidak membenarkan premis perjudian dibuka. Jika sesiapa ingin berniaga, mereka dilarang menggunakan dinding bercermin gelap dan kami menuntut dibenar memasuki premis pada bila-bila masa ," jawabnya yakin.


Pengurus itu kemudian menyatakan pihak pengurusan sedang dalam proses cuba mengawal selia kemasukan kenderaan ke apartmen menggunakan pagar di pintu masuk utama.

7 ulasan:

  1. saya betul2 kecewa dengan segelintir pemaju perumahan. dah la orang yang beli rumah tu kena bayar mahal, buat loan sampai 30 tahun, sekali terbengkalai la, diabaikan la, maintenance teruk la... malang sungguh. harap pihak berkuasa dapat memantau dan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini.

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam
  2. dalam perkara macam ni, persatuan penduduk sangat penting... pihak yg bertanggungjawab sebagai penyelenggara bangunan juga kena bersifat lebih keras... tukar pengurusan / sistem tadbir baru juga boleh membantu... bagi rumah-rumah yg enggan menjelaskan bayaran penyelengaraan boleh dipotong bekalan air atau elektrik sehingga mereka membuat bayaran sekurang-kurangnya 50%... dan beri notis amaran untuk menyita premis sekiranya bayaran gagal dibuat...

    BalasPadam
  3. Macamana ye keadaan Flora Damansara tu sekarang? saya berhajat nak beli rumah di block A.

    BalasPadam
  4. kalau block A ok tak? sebab ingat nak beli sebiji rumah disitu..

    BalasPadam
  5. flora damansara mmg teruk.tetapi antara tempat yang sewanya murah...banyak student kolej tinggal disitu termasuk negro juga ramai....

    BalasPadam
  6. yaaa saya juga tinggal kat flora damansara and the situation is worst there

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.