Jumaat, September 02, 2011

Kampung Orang Asli Lebih Moden Dari Aspek Sistem Komunikasi Berbanding Kampung Melayu

Sewaktu dalam perjalanan ke Kampung Ulu Slim, Slim Village, Perak, saya, Rahmat dan Zaki terserempak kes kemalangan jalanraya.


Mangsa, 17 tahun menunggang motosikal dilaporkan terbabas lalu terperosok ke dalam longkang berhampiran Kampung Penderas.


"Nasib baik dia pakai topi keledar. Motosikal dan dia masuk sekali ke dalam longkang," kata wanita saksi kejadian.

Akibat kemalangan dikatakan berlaku kira-kira jam 3.10 petang, remaja terbabit mengalami luka ringan. Melalui pengamatan, daya ingatannya juga didapati terganggu.

"Bila saya naik motosikal?," soalnya.


Ambulan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi dan membawa mangsa ke Hospital Slim River untuk diberikan rawatan.


Kami kemudian meneruskan perjalanan ke Kampung Ulu Slim.

Entah mengapa, sebaik melintasi kampung Melayu di kawasan pedalaman terbabit, hati saya tergerak untuk mengubah haluan dan meminta Rahmat memandu ke perkampungan orang asli, Pos Bersih.


Hampir jam 4 petang, kami tiba di Pos Bersih, perkampungan dihuni suku kaum Semai. Spontan mata saya tertumpu ke Sungai Slim mengalir berhampiran penempatan itu.

Panorama melambangkan kebebasan anak kampung, saya rakamkan.


Betapa 2 anak kecil itu kelihatan selesa duduk di atas tunggul kayu hanyut tanpa gangguan sebelum terjun ke permukaan sungai mengalir perlahan.

"Berhenti dekat orang ramai duduk itu," pinta saya.


"Saya beli petai 100 papan, RM50. Jual RM55, dapat untung RM5 jadilah. Setakat ini saya sudah sampai ke Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak, menjual petai," ujar Rabu a/l Injot.

Ayah kepada 6 anak itu kemudian menunjukkan kami kereta miliknya, diparkir berhampiran rumah dibina percuma oleh kerajaan.


"Saya untung, setiap minggu bila ada Pekan Rabu, orang cakap nama saya," gurau Rabu.

Rakannya, pemilik motosikal berwarna kuning hanya mendengar seperti Rahmat dan Zaki.


"Itu Dahan, abang dia Pinang, dulu tinggal di Kampung Orang Asli Sungai Bill," ujar Rabu lagi.


Dahan a/l Nai kelihatan lebih pendiam, dia hanya mendengar perbualan di antara saya dan Rabu.

"Orang asli di sini ada simpan minyak senyoyong ke?," soal saya.

"Ish! Mana ada, minyak petrol lagi penting. Tanpa petrol, kereta dan motosikal langsung tidak boleh jalan," balas Rabu.

Semua tertawa, Rabu, 46 tahun, memang petah berkata-kata, mencuit hati bak pelawak.

"Orang tua dahulu lain, memang banyak ilmu. Contohnya, kalau dia jampi sabun, kemudian bagi kepada anak dara untuk mandi, lepas mandi sahaja, mesti anak dara itu gilakan dia. Itu kira bomoh, dalam bahasa Semai, kami panggil 'bahalak'," celah Dahan.


Saya kemudian mengambil peluang merakamkan suasana di sekitar sambil Rahmat dan Zaki melayan mereka berbual.


Melihat keramahan mereka dan keletah Rabu, tiba-tiba tercetus soalan di benak fikiran saya.

"Kalau orang asli sekarang melanggar undang-undang jalanraya, polis saman ke tidak?," tanya saya.

Sebelum ini, kita sering mendengar kes polis trafik didakwa melepaskan pesalah orang asli dari tindakan undang-undang kerana simpati terhadap mereka.

"Sekarang? Polis saman kalau kita salah. Dia kata, awak ada lesen, mesti sudah tahu undang-undang. Selalunya bila kena saman, kami buat rayuan, bolehlah kurang sikit bayarannya," jelas Rabu.


Tiba-tiba Rabu mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket baju.

"Saya gunakan bunyi (ring tone) lagu orang asli," ujarnya.

Dia kemudian membuat panggilan menggunakan pembesar suara, berborak dengan rakan sekampung.


Spontan, saya mengeluarkan telefon bimbit.

"Wow! Signal Celcom full bar. Di kampung saya, Sungai Bill, bukan kawasan pedalaman, tidak ada signal Celcom, apatah lagi telefon rumah," jelas saya.


Sila baca di sini berhubung keluhan orang kampung, bak dinafikan hak berhubung secara selesa di zaman moden ini.

Setakat ini, barangkali keluhan itu tidak didengari pihak pengurusan Celcom dan TM. Mungkin dalam pilihanraya akan datang, rintihan penduduk kampung akan diambil kira oleh kelompok tertentu.

Statistik terkini mencatatkan, 23 pengunjung kawasan perkelahan di Kampung Sungai Bill, terkorban di antara tahun 1993 dan 2010 akibat lemas. Dalam kes kecemasan, penduduk kampung terpaksa memandu kira-kira 5 kilometer ke pekan terdekat, Slim Village untuk membuat laporan berikutan ketiadaan sistem komunikasi.

Wajarkah begitu?

Untuk rekod, kesemua penduduk kampung berbangsa Melayu.

Saya percaya, jika perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat lawatan mengejut ke beberapa kampung masih tidak dilengkapi sistem komunikasi sempurna, pasti banyak pihak akan membuka mata.

Begitu lumrah di negara saya cintai ini.

Khamis, September 01, 2011

Meriahnya Hari Raya

28 Ogos 2011 berakhirnya musim perayaan hantu, Hungry Ghost Festival di kalangan masyarakat Cina.

“Itu besar punya, Raja Hantu, kita mesti bakar sama dia sebelum jam 12 malam. Kalau lepas jam 12, dia tak boleh balik ke dunia dia,” ujar Choong.


Choong Fah Onn, 74 tahun, ketua upacarara keagamaan, atau lebih selesa digelar ‘sifu’. 

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, pada setiap bulan ke 7 dalam kalender mereka, pintu neraka dibuka untuk memberikan peluang kepada semua hantu datang ke bumi untuk mendapatkan makanan.


Saya berpeluang menyaksikan upacara terbabit di Slim Village, Perak sewaktu pulang meraikan Hari Raya Aidil Fitri pada 30 Ogos lalu.

“Ini barang, kita kasi itu hantu makan supaya dia happy, tak kacau orang. Sebahagian sumbangan individu, sebahagian lagi, persatuan bagi punya,” jelas Choong lagi.


Choong berasal dari Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Baharu, Selangor dan dilahirkan pada tahun 1938.

 
“Itu perempuan kecik duduk atas kepala Raja Hantu, Poto, kita panggil God of Mercy, dia control itu raja,” terangnya.

Bapa 12 anak itu kelihatan selesa berkomunikasi, biarpun baru pertama kali kami bertemu.

“Uncle ada berapa orang isteri?,” soal saya secara spontan.

“Tiga,” jawabnya ringkas.

Dia tersenyum.


“Dulu, sebelum tahun 1981, boleh kahwin ramai, no problem. Asalkan mampu bagi makan isteri sama anak, ok,” jelasnya tanpa ditanya.

Kira-kira jam 11.30 malam, acara membakar semua patung kertas bermula. Pekan Slim Village diterangi cahaya disaksikan ratusan penduduk Cina tempatan.


"Itu kapal kertas buat apa?," soal saya.

"Itu hantu, bila mahu balik, dia mungkin kena lalu itu laut, jadi kita bagi dia senang, naik kapal," jelasnya.

Saya difahamkan, penduduk turut membayar RM18,000 kepada pihak menguruskan majlis selama 3 malam terbabit.

"Kita pun ada panggil itu penyanyi supaya itu hantu semua syok bila mahu balik," kata Choong.


Selain remaja Cina kelihatan bergembira menyaksikan konsert, orang asli tinggal di sekitar Slim Village turut merasakan kemeriahan upacara berlangsung. Biarpun, pada waktu malam, mereka, majoriti berketurunan Semai sanggup datang bersama keluarga.


Saya perhatikan gelagat remaja orang asli berdiri di sebelah lelaki Cina warga emas, selamba menari di hadapan pentas menikmati pengisian konsert pada malam itu.


"Uncle jadi sifu, pernah nampak hantu ke?," tanya saya.

"Ada! Banyak kali. Itu empangan dekat itu Pertak sana, banyak 'kuat' punya tempat," ujarnya.

"Macam mana itu hantu punya rupa?," soal saya lagi.

Adik saya, Mushairil Azmil menghayati perbualaan kami. Melalui pengamatan, dia insan peramah dan cukup senang berkomunikasi bersama sesiapa sahaja. Tugasnya sebagai pegawai di Kementerian Belia dan Sukan barangkali lebih membuka ruang untuk anak kampung itu bercampur-gaul bersama pelbagai golongan.


"Baru balik dari Asam Kumbang semalam," celahnya perlahan.

Anggota RELA di Asam Kumbang itu kemudian terus berkongsi pengalaman dunia paranormalnya.

"Saya ada angkat gambar, nampak bulat. Itu empangan, masa baru bina, banyak oranmg mati accident, kepala hilang pun ada," jelas sifu itu.

"Ada simpan itu gambar lagi ke uncle," soal Azmil.

"Ada. Kalau datang saya punya rumah, saya boleh bagi tengok," jawab Choong.


Setelah mengucapkan terima kasih kepada Choong, kami beredar dan pulang ke rumah.

Pada Hari Raya kedua, rumah keluarga di kampung dikunjungi ramai tetamu termasuk keluarga Adnan dan Aminuddin Shukor, pembaca blog ini.



Turut berkunjung, keluarga kru 666, Razali Harun. Mereka mengambil peluang berhari raya sambil bermandi-manda di sungai mengalir jernih di hadapan rumah.


Kru 666 lain, Rahmat, Zaki dan Ashraff datang pada awal malam hari sama. Mereka berbeza, berhari raya sambil menjalankan tinjauan kes paranormal di kampung saya.

Baca perincian tinjauan di sini.



Untuk rekod, Rahmat ditemani ibunya, Fatimah.

"Dia (Rahmat) nampak sahaja tinggi dan besar tetapi manja sangat," bisik Fatimah kepada keluarga saya.

Itu fakta.


Mereka semua sempat bermalam di rumah keluarga saya sebelum pulang ke Lembah Klang semalam.

Petang Hari Raya pertama, saya ke pekan Slim Village.

Sebaik tiba saya terlihat rakan bersama menuntut di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Slim River, kira-kira 24 tahun dahulu, Lai. Sekaligus saya memanggil seorang lagi kenalan sewaktu bersekolah, juga peniaga di pekan sama, Selvi.

Gambar ini kemudian dirakamkan.


Ya, konsep 1Malaysia sebenarnya telah lama dipraktikkan, cuma ketika itu tanpa nama rasmi.


Apa berlaku?

Ikuti kisah kejadian di tampalan seterusnya. 

Raya Penyingkap Fakta

Saya percaya ramai pembaca masih berhari raya di pelbagai lokasi di Malaysia.

Jika pulang semula ke bandar atau bandaraya, pandu kenderaan secara lebih berhati-hati dan ingat mereka tersayang sentiasa mendoakan keselamatan kita.

Pada Hari Raya kedua bersamaan 31 Ogos 2011, saya dikunjungi beberapa kru 666.

Saya kongsikan kisah tinjauan kami di Kampung Sungai Bill, Slim Village, Perak, sila klik di sini.