Khamis, September 26, 2013

PELABURAN SEKALI TETAPI KEMAHIRAN DIPELAJARI DIGUNAKAN DI SEPANJANG HAYAT

Ramai antara kita samada disedari atau tidak, mengamalkan sikap gemar melengah-lengahkan usaha untuk memperbaiki kelemahan diri. Kita akur, setiap kali diminta berdiri dan bercakap di hadapan audien, jiwa spontan dihimpit keresahan sekaligus tekanan menghantui diri.  

Sehingga bilakah kita harus mengizinkan kejadian itu berlaku? Sampai bilakah kita harus ditertawakan atau dipandang rendah? 

Sedangkan KITA SEMUA memliki SENJATA AMPUH untuk tampil LEBIH yakin, selesa dan bergaya tatkala berkongsi maklumat bersama sesiapa sahaja. Apapun, senjata itu perlu disingkap, dihargai dan dipraktikkan ke tahap optima.  

Justeru mengapakah harus menunggu lebih lama lagi?

Peluang ISTIMEWA kini terhampar di hadapan mata untuk anda semua menggilap kemahiran komunikasi berkesan, lagi memukau.

Ya, tentunya sesuatu yang bernilai itu ada harga tersendiri. Pelaburan sekali tetapi kemahiran ditimba In Sha Allah berpeluang digunakan di sepanjang hayat, selagi kita bernyawa. 

Yuran RM500 ditawarkan kepada kakitangan kerajaan, swasta dan peniaga. Manakaka RM350 untuk pelajar IPT sepenuh masa dan juga pelajar sekolah menengah.

Sarapan pagi dan juadah makan tengahari disediakan.

Bengkel berlangsung selama kira-kira 6 jam dan dilengkapkan dengan sesi 1-1 bersama setiap peserta. Ruang dan peluang untuk mereka mengenali kelemahan diri berhubung kemahiran komunikasi berkesan sedia ada dan sekaligus dibantu secara profesional untuk mempertingkatkan kemahiran itu.


Klik di sini untuk melihat mereka pernah menghadiri Bengkel Yakin Bercakap Bersama Mazidul, YBBMl.

Siapapun anda ...

Pensyarah? Guru? Ahli perniagaan? Ejen insuran? Penceramah? Ketua Pegawai Eksekutif? Ahli politik? 

Masih ada 8 lagi tempat kosong untuk bersama saya di Bengkel YBBM.

Tarikh : 13 Oktober 2013 (Ahad)
Lokasi : Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Masa : 9 pagi - 6 petang.

WhatsApp 019 390 2899 atau Tel En. Mohd Farid Hamzah 017 605 2290 jika mempunyai sebarang pertanyaan.

Selamat mendaftar!

GAMBAR EKSKLUSIF DI LOKASI PENGUATKUASA KPDNKK DIUGUT MENGGUNAKAN PEDANG SAMURAI

4 suspek diberkas dalam operasi KPDNKK di Cheras, Kuala Lumpur terbabit mengugut penguatkuasa dan penjualan DVD cetak rompak kini ditahan untuk siasatan di Ibu Pejabat Daerah Kajang.

Baca entri terdahulu, klik di sini sebagai rujukan.

Berikut antara gambar eksklusif dirakamkan oleh penguatkuasa KPDNKK sewaktu kejadian. Ketika rumah diserbu, 7 penjual dan pengedar DVD cetak rompak dan lucah berjaya diberkas.


Klik di sini


Dua jam kemudian sekumpulan gangster datang dan menuntut 6 daripada pekerja dibebaskan. Seorang lagi dikatakan hanya menyewa bilik di rumah sama.

Beberapa jiran tinggal di sekitar rumah diserbu berkata, aksi gangster datang dilengkapi antaranya pedang samurai tidak ubah seperti sedutan daripada filem Hong Kong.

Lihat gambar di bawah. Sekumpulan gangster Cina berjalan gah menuju ke lokasi, rumah di sebelah kiri.


Tatkala cuba memboloskan diri, 2 daripada ahli kumpulan gangster diberkas bersama 2 penjual DVD. Kereta Proton Iswara biru digunakan oleh gangster terlanggar kenderaan KPDNKK dan kereta orang awam.



Bengkel YBBM

Hanya tinggal 8 lagi tempat kosong untuk menyertai Bengkel Yakin Bercakap Bersama Mazidul, YBBM pada 13 Oktober 2013 di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, di antara jam 9 pagi dan 6 petang.

Bilangan peserta terhad, 25 sahaja. RM500 untuk kakitangan swasta dan kerajaan, RM350 untuk pelajar IPT sepenuh masa/pelajar sekolah menangah.

Sila WhatsApp 019 3902899 untuk mendaftar.

KUMPULAN GANGSTER CINA UGUT PEGAWAI PENGUATKUASA KPDNKK MENGGUNAKAN PEDANG SAMURAI

13 pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK diugut oleh gangster Cina bersenjata tajam setelah berjaya memberkas 7 suspek  terbabit dalam pengedaran DVD cetak rompak dan lucah di Bandar Mahkota Cheras,  Cheras Kuala Lumpur.

"Operasi diketuai oleh Mat Jidin Hassan. Berbekalkan maklumat hasil intipan rapi, pada jam 2.30 petang,  pasukan KPDNKK bertugas menyerbu sebuah rumah teres. Pada awalnya penghuni rumah berdegil, enggan membuka pintu tetapi setelah dimaklumkan kunci akan dipotong, akhirnya mereka membenarkan pegawai penguatkuasa masuk ke rumah. Suspek berusia di antara 16 dan 46 tahun ditahan untuk siasatan," ujar Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK Putrajaya, Fahmi Kasim.

Tambah Fahmi, semua suspek dipercayai menjual DVD terbabit di sekitar Kajang dan Semenyih. Selain dijadikan stor, rumah sama berfungsi sebagai premis pembungkusan DVD diedar menggunakan empat kereta. 

Mengejutkan, pada kira-kira jam 4.30 petang, 6 lelaki Cina dipercayai kumpulan gangster datang ke rumah  terbabit menggunakan 3 kereta dan sebuah motosikal. Mereka dilihat bersenjatakan pedang samurai, parang, pisau, rotan dan besi panjang.

"Gangster itu menuntut pasukan penguatkuasa KPDNKK untuk menyerahkan 6 daripada suspek ditahan di dalam rumah. Sebilangan pegawai kami bersenjata api tetapi bertujuan mengelakkan pertumpahan darah,  individu dituntut kemudian diserahkan kepada kumpulan bersenjata tajam itu. Namun berkebetulan sewaktu mereka hendak beredar, polis peronda tiba di lokasi sama," ujar Fahmi.

Sewaktu cuba memboloskan diri, sebuah  daripada kenderaan dinaiki oleh kumpulan gangster dan suspek terlanggar kereta orang awam dan juga kenderaan milik KPDNKK.

"Polis kemudian menahan 2 daripada gangster dan 2 suspek cuba melarikan diri. Hampir 7,000 DVD cetak rompak dan lucah dirampas. Dua suspek ditahan awal akan didakwa mengikut Akta Hak Cipta Terpelihara 1987," jelas Fahmi lagi.

Laporan dibuat di Balau Polis Sungai Long  berhubung kejadian itu.

"Jika di Lembah Klang, inilah kali pertama kejadian seumpama itu berlaku," ujar Fahmi sebelum ini pernah berkhidmat di Pulau Pinang.

Saya percaya, kejayaan memberkas dua gangster itu bakal memudahkan pihak polis melaksanakan Ops Cantas Khas  secara  lebih serius khususnya di sekitar Cheras.

Petang semalam, saya menerima beberapa keping gambar dihantar oleh pembaca blog ini. Terima kasih kerana sudi berkongsi informasi dan berani merakamkan gambar secara terbuka. 

Oleh itu, saya menyarankan  penguatkuasa KPDNKK  Selangor JIKA mempunyai waktu terluang, sila ke lokasi di hadapan 7-Eleven Bandar Baru Sungai Buloh. Penjual DVD cetak rompak, remaja berbaju merah di bawah bukan sahaja gah berniaga DVD cetak rompak tetapi turut menggunakan petak parkir awam.

Spontan terlintas di akal logik saya, gangster manakah pula melindungi busines haram ini?


Menurut pengadu, gerai itu mula beroperasi seawal jam 5 petang SETIAP HARI.  

"Kami berasa amat hairan, bagaimanakah peniaga Cina terbabit sungguh berani berniaga tanpa lesen di kawasan majoriti dihuni oleh masyarakat Melayu. Jika didekati, penjual DVD cetak rompak itu selamba akan menghulurkan kad busines, mempelawa pemuda Melayu untuk bekerja dengan bos besarnya," ujar penduduk.

Beberapa kanak-kanak Melayu juga dirakamkan oleh pengadu, mundar-mandir dan tertarik dengan 'pameran terbuka'  DVD cetak rompak di lokasi sama. 

Bukti dakwaan itu disertakan di bawah.


Beginilah realitinya. 

Luka kelak bernanah dan kemudian busuk jika dibiarkan begitu sahaja.  Saya percaya pegawai dan anggota polis di Sungai Buloh sibuk menjalankan Ops Cantas Khas. Pada masa sama, cubalah jeling-jeling kegiatan itu. Manalah tahu, dengan izin Allah,  peniaga haram itu mungkin berasa segan dan kemudian tidak lagi menyeringaikan taringnya.

Orang awam tidak diperuntukkan kuasa untuk menangkap mereka.

Selasa, September 24, 2013

MAT YO MENUNGGU WISEL DITIUP PENGADIL SEBELUM MELERAIKAN PERTENGKARAN ISTERI DAN PENGAWAL KESELAMATAN?



Berikut rakaman video sewaktu kejadian berlaku. Pertengkaran di antara pengawal keselamatan, Azman Mohd Nayan, 49 tahun dan wanita dipercayai isteri Mat Yo.

Ajaibnya,  pemain bola sepak terkenal, Mat Yo hanya sekadar tercegat, melihat dan mendengar.

Mungkin dia menunggu wisel dibunyikan oleh pengadil.


JIKA wanita itu isteri Mat Yo, dia sepatutnya menasihatkan pasangan hidupnya itu agar tidak bersikap begitu. Lapangan terbang bukan stadium.



Adakah isteri Mat Yo benar benar KERABAT? Kerabat diraja mana?

Sila klik di sini.

Gambar di bawah dimuat naik daripada fb Himpunan Cerita Lawak.


Berikutan  insiden terbabit kini nama Nor Shahrul Idlan Tallaha atau  Mat Yo menjadi LEBIH dikenali.


Klik di sini.

Apakah antara damage control perlu dilakukan oleh Mat Yo dan isteri agar kes ini tidak akan terus memburukkan nama pemain bola sepak itu?

Mudah. 

Tidak perlu membuang pingat ke dalam tong sampah.



Cari kembali pengawal keselamatan itu, mohon maaf. Mohon maaf kerana dia lebih tua. Samada dia bersalah atau tidak, itu soal kedua. Tindakan menyaman lelaki itu di mahkamah, jika menang sekalipun, tetap tewas pada pandangan masyarakat.

Klik di sini untuk membaca laporan akhbar Harian Metro Online.

Klik juga di sini.


Isnin, September 23, 2013

RESTORAN NASI KANDAR PELITA BERSTATUS HALAL DAN MILIK BUMIPUTERA


Izinkan saya mendedahkan fakta sebenar berhubung fitnah disebarkan di laman sosial mengenai Restoran Nasi Kandar Pelita.

Dalam misi mencari jawaban asal usul roti canai pada April 2013, saya bersemuka dengan dua pengarah syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat pemilik 28 cawangan restoran Nasi Kandar Pelita, Datuk Hj Shamsuri Ahmad dan Datuk K. K Sihabutheen Kirudu Mohamed.




Datuk Shamsuri juga memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. Tugasan rutin beliau, penceramah agama bebas dan amat dikenali oleh jemaah masjid di sekitar Pulau Pinang.


Selain berkunjung ke Pulau Pinang, dalam misi sama, saya ke Chennei, India, melaksanakan tugasan Majalah 3, klik di sini. Tatkala berada di negeri Tamil Nadu itu,  saya berpeluang pula bertemu dua lagi pengarah Nasi Kandar Pelita, Datuk D. Ramesh dan Uswath Khan Kirudu Mohamed.



Uswath, 44  tahun dan abangnya, Datuk Sihabutheen berketurunan India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak di Malaysia.

"Uswath, beberapa cerita negatif disebarkan di facebook dan blog.  Satu daripada cerita itu mendakwa kononnya Restoran Nasi Kandar Pelita dimiliki oleh orang India. Boleh jelaskan mengenai hal ini?"

Itu soalan saya kemukakan kepada Uswath pada 18 April lalu sewaktu dia ditemui di Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Chennei. Bagaimanapun jawaban kepada soalan itu tidak dikongsikan di Majalah 3 kerana saya mengajukan pertanyaan itu  untuk pengetahuan peribadi sahaja bukan untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.



"Saham Pelita Samudra Pertama dipegang oleh TUJUH  individu dengan tugasan tersendiri. Lima daripada tujuh rakan kongsi syarikat, beragama Islam manakala 2 lagi bukan Islam, termasuk Datuk Ramesh," terangnya.

Sejak bertemu, saya menganggap mereka berempat sebagai rakan, waima apapun sekali keturunan dan agama mereka anuti. Justeru rasa bersalah menghantui diri andai saya gagal memberikan pencerahan terhadap fitnah selama ini dilontarkan terhadap Restoran Nasi Kandar Pelita.



Dalam laporan  bergambar akhbar The Star pada 24 September lalu, dipaparkan nama dan gambar Datuk Ramesh bersama Presiden MIC, Datuk G. Palanivel. Gambar terbabit direkodkan sewaktu upacara pecah tanah pembinaan dewan serba guna bernilai RM4 juta berlangsung berhampiran Kuil Karumariamman di Seberang Jaya. 

Klik di sini.

Di bawah, gambar sebenar terkini lokasi upacara terbabit disempurnakan, dirakam oleh jurukamera, Amelia Shafer petang semalam.




Saya berpeluang menemu bual  Datuk Ramesh sewaktu kunjungan ke pejabat  Pelita Samudra Pertama di Taman Chai Leng, Prai.  


[ Datuk D. Ramesh bersama Mazidul ]


"Dalam gambar disiarkan oleh  akhbar  itu (The Star), saya berdiri posisi  tiga dari kiri, di kanan Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh. 


"Jadi ini gambar siapa? Nama Datuk tercatat di situ?," soal saya.

Sambil  memaparkan kepada anak jati Pulau Pinang itu salinan  gambar keratan akhbar hitam putih di atas.

"Di sebelah kiri, Datuk R.A Arunasalam manakala di kanan, Ahli Dewan Undangan Negeri, L. Krishnan, saya tidak ada dalam gambar itu. Saya dijemput oleh presiden Kuil Karumariamman dan hadir di lokasi pada 23 September di atas tiket individu, bukan mewakili Restoran Nasi Kandar Pelita," jelas beliau tenang.

Tiba-tiba terlintas soalan di fikiran saya, adakah tindakan bercanggah dalam Islam JIKA rakan kongsi perniagaan beragama Hindu atau lain menyumbang untuk tujuan keagamaan? Lalu pantas saya menghubungi penceramah agama terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 28 tahun melalui telefon bimbit.



Tatkala itu beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk pulang ke Bangi, Selangor.

"Ustaz, dari aspek hukum Syarak, adakah dibenarkan individu bukan Islam menjadi rakan kongsi peniaga Islam?," soal saya.

"Saya hendak menjelaskan dari sudut ilmiah. Katalah, orang Melayu, Cina dan India membuka perniagaan, mereka berkongsi. Di manakah kita hendak kata pendapatan mereka raih itu salah? Pertama, orang keliru akan berkata sebab dia berkongsi dengan peniaga Cina. Kalau orang Cina itu membuka kedai runcit, mereka meraih pendapatan halal. Apakah masalah dia? Kecuali apabila peniaga rakan kongsi bukan Islam itu contohnya, menjual babi, arak. Andai peniaga India pula berkongsi dengan peniaga Islam membuka kedai kain, samalah. Tiada masalah perkongsian di situ. Tidak ada masalah selagi hasil perniagaan diusahakan diagihkan secara adil," jawab graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu. 

"Bagaimanakah pula JIKA rakan kongsi niaga bukan Islam itu menyumbangkan wangnya untuk membiayai acara keagamaan dia?," satu lagi soalan saya ajukan.

"Itu tidak ada masalah, ikut suka hati dia. Kalau dia hendak menyumbang untuk tujuan pembinaan kuil sekalipun, itu hak peribadi dia, tindakan itu bukan mewakili syarikat dia menjadi rakan kongsi bersama peniaga beragama Islam," terang beliau secara teratur.

Kira-kira sejam setelah bercakap dengan Ustaz Don, saya duduk semeja bersama imam Masjid Seberang Jaya, Mohamad Ikramuddin Zaqwan Al-Hafiz, 33 tahun, di Restoran Pelita Nasi Kandar.



Ustaz lulusan Madrasah Miftahul Ulum, Taman Sri Petaling, Kuala Lumpur itu anak kelahiran Air Hitam, Kedah dan dilantik menjadi imam sejak kira-kira 4 tahun lalu.



"Apakah pandangan ustaz mengenai penggunaan ayat Al-Quran digantung di dinding restoran ini?," soal saya kepada ayah 2 anak itu.

"Mula-mula kita tengok pada asas terlebih dahulu. Apabila asas itu bersih dan  tiada keraguan halal atau haram  (subhah) maka tiada masalah. Tambahan pula, rakan kongsi restoran ini, majoriti beragama Islam," jelas anak sulung daripada 8 beradik.



Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat milik penuh bumiputera disahkan oleh Kementerian Kewangan.



"Kita harus membuat penyelidikan dan rujukan secara teliti sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu isu.  Khuatir, jika tidak benar, kenyataan kita keluarkan menjadi fitnah," kata anak sulung daripada 8 beradik itu. 



Menjelang jam 12 tengahari, sewaktu Ustaz Ikramuddin dan Pengerusi Masjid Seberang Jaya menjamu selera, Restoran Nasi Kandar Pelita mula dibanjiri oleh ratusan pelanggan pelbagai bangsa. 




Mereka sabar beratur untuk memilih pelbagai hidangan menyelerakan.




Seorang daripada pelanggan restoran saya temui, Nor Hasrul Nizam, 32 tahun, datang bersama kenalannya.



"Sebelum makan di restoran mamak, saya akan memastikan makanan disajikan halal dan restoran itu bersih. Kesihatan juga harus dijaga," ujar peniaga terbabit.



Saya kemudian secara spontan menjemput Hasrul untuk bersama meninjau dapur Restoran Nasi Kandar Pelita. Uswath mengiringi kami berdua.



Hasrul bertemu tukang masak beragama Islam, Ensarul Shaikh, 34 tahun, mula bertugas memasak pelbagai juadah sejak 10 tahun lalu.  Sebelum berkhidmat di Restoran Nasi Kandar Pelita, dia memasak juadah halal di hotel lima bintang di India.



"Kita ada 658 bahan masakan diluluskan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," celah Uswath sambil menunjukkan bungkusan kari halal. 



Hasrul  ternyata berpuas hati dari aspek kebersihan di restoran sama.

"Nasi Kandar Pelita amat komited memantau dan  melaksanakan  4  aspek utama, rasa makanan,  kebersihan,   servis dan   status halal makanan.   Kami memastikan  rasa makanan sentiasa konsisten, kebersihan dijaga rapi, mutu layanan terhadap pelanggan sentiasa dipantau dan sumber makanan, cara simpanan serta kaedah penyediaan, halal. Semua  cawangan  Pelita  telah mendapat sijil halal dikeluarkan oleh JAKIM pada Mei 2012," jelas Datuk Shamsuri.



Dua kali setahun syarikat konsultan, AnsarCom (M) Sdn. Bhd konsultan dilantik oleh Pelita Samudra Pertama melakukan pra-audit memastikan semua cawangan Restoran Pelita Nasi Kandar mengikut ketetapan JAKIM mengenai Pensijilan Halal.  



"AnsarCom mula beroperasi sejak tahun 2004. Tugas kami memastikan semua syarat halal JAKIM dipatuhi oleh rangkaian restoran terbabit. Kami antaranya melakukan pemeriksaan status halal stok bahan masakan dan memeriksa kebersihan dapur restoran. Kami mendapati syarikat pengurusan Restoran Nasi Kandar Pelita amat komited mematuhi prosedur Pensijilan Halal JAKIM," ujar Pengarah Eksekutif AnsarCom, Ramlah Hamad.  

Sila klik di sini untuk membaca pandangan dan fakta dikemukakan oleh  AnsarCom mengenai Restoran Nasi Kandar Pelta.

AnsarCom ((M) Sdn. Bhd  (664160-W)

No 36-G, 36-1, 36-2
Jalan Putra Mahkota 7/7A
Putra Heights Subang Jaya
47650 Subang Jaya, Selangor
Tel : 03 51922185/2186/2187
Faks : 03 5192 2189

Orang ramai juga  dipersilakan untuk menghubungi JAKIM seandainya ingin membuat rujukan, 03-8886 4000.

"Ketika Restoran Nasi Kandar Pelita dibuka 19 tahun lalu, saya hanya  berusia 24 tahun. Rakan kongsi niaga saya, dua individu beragama Islam. Pertama, arwah ayah Uswath, Kirudu Mohamed Kuppaikanni atau lebih dikenali dengan nama Haji K.K, 56 tahun dan Khaliq Jamal, 42 tahun pada waktu itu. Saya menjadi juruwang, Haji K.K dan Khaliq memasak. Haji K.K mencadangkan logo lampu pelita untuk restoran kami. Pelita menyamai lampu di pasang oleh masyarakat Melayu pada malam tujuh likur di bulan Ramadan, bukan lampu seperti digunakan di kuil Hindu," terang Datuk Ramesh.



Berikut antara contoh  gambar lampu digunakan oleh penganut agama Hindu di kuil mereka, berbeza berbanding pelita menjadi  logo restoran dikunjungi ramai itu.



Di bawah lampu minyak tanah, logo  Restoran Nasi Kandar Pelita.


"Terdengar desas-desus mendakwa kononnya Nasi Kandar Pelita menggunakan 'mandaram' atau jampi serapah untuk menarik lebih ramai pelanggan datang. Komen Datuk?," soal saya.

"Tidak ada. Lazimnya orang India kalau pergi ke kuil tidak menggunakan elemen sebegitu untuk menarik pelanggan. Rakan kongsi saya beragama Islam dan saya sentiasa menjaga nama baik mereka semua kerana ini busines bersama. Berikutan status makanan halal dan perkhidmatan tulus kami tawarkan, perniagaan kami terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Terima kasih. Cuma kekadang saya berasa amat hairan apabila segelintir mendakwa gambar upacara pecah tanah dewan serba guna berhampirn  kuil September lalu itu kononnya didakwa berkait dengan kegiatan mandram dilakukan di hadapan restoran. Walhal kedua premis berada di lokasi berbeza. Lagi satu Mazidul, mustahil dan pelik sekiranya mandram dilakukan bersama Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh sambil tersenyum.


Hemat saya, segelintir pesaing dalam perniagaan lazimnya sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan peniaga lebih berjaya. Saya maklumkan kenyataan itu kepada Datuk Ramesh dan beberapa pengarah saya temui semalam. Lebih berjaya sesuatu perniagaan dijalankan, lumrahnya, lebih besar cabaran didepani oleh pihak pengurusan syarikat.

Menurut graduan seni bina, Datuk Sihabutheen, Restoran Nasi Kandar Pelita secara konsisten menghargai sambutan ikhlas setiap pelanggan selama restoran terbabit beroperasi. 


"Saya dan semua pengarah Pelita Samudra Pertama merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada setiap pelanggan setia kami, selama ini memberikan sokongan padu kepada Restoran Nasi Kandar Pelita. Saya juga berharap, berikutan penjelasan dan maklumat lebih tepat dikongsikan di sini, pelanggan di seluruh negara terus berkunjung ke restoran kami tanpa perasaan ragu ragu berhubung status halal  juadah kami tawarkan untuk semua. Kami juga berjanji  akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik demi memuaskan hati pelanggan kami sanjungi," ujar beliau.

Allah maha berkuasa dan mengetahui. Lazimnya fitnah cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akhirnya didedahkan kepalsuannya.

Alhamdulillah.



Selamat menjamu selera tanpa was was di Restoran Nasi Kandar Pelita kepada semua pembaca budiman blog ini.

Klik di sini untuk ke facebook Nasi Kandar Pelita.