Ahad, Januari 20, 2013

TNB MENGHAMBAKAN DIRI (DAPATKAN HADIAH PERCUMA)



"Sebelum ini kakitangan Tenaga Nasional Berhad, TNB,  hanya bertemu pelanggan di pejabat. Hari ini (Sabtu) buat pertama kali, kami keluar dan membuka booth di pasaraya dan pusat membeli-belah. Esok, Ahad, kami juga akan berada di sini," ujar Pengurus TNB Kuala Lumpur Utara, A. Sivanas.


Saya dimaklumkan, 15 kakitangannya terbabit dalam sesi bertemu pelanggan di antara jam 8 pagi dan 10 malam di Giant, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. 

Mereka memberikan penerangan terperinci berhubung perkhidmatan ditawarkan oleh TNB kepada semua pelanggan sudi berhenti buat seketika dan mendengar.

"Kami juga pada masa sama, mengemaskini maklumat pelanggan dan menerangkan kepada mereka apakah antara tindakan perlu dilakukan oleh pengguna sekiranya berhadapan masalah power trip di rumah," tambah Sivanas lagi.


Kakitangan lain terbabit menerangkan kepada orang ramai berhubung penggunaan e-services untuk memantau jumlah bil secara online.

"Orang ramai tidak lagi perlu berkunjung ke pejabat TNB dan beratur. Pelanggan berpeluang mengetahui perincian bil premis disewakan kepada orang lain," ujar Sivanas. 


Melalui pengamatan saya, usaha TNB itu mendapat sambutan hangat orang ramai.

"Untuk mengetahui jumlah bil, pelanggan hanya perlu mendaftar, mengakses laman web TNB secara percuma. Mereka tidak lagi perklu untuk memandu ke pejabat TNB. Sebenarnya ide untuk kakitangan keluar bertemu pelanggan ini dicetuskan sendiri oleh Pengurus Besar kami, Datuk Abdul Aziz Jaafar," komen Sivanas. 


Saya kemudian menemui pelanggan, Ezzroy Rosli, 24 tahun, menetap di Kota Damansara datang ke Giant bersama anak dan isteri.


"Pada awalnya tadi kelihatan agak ganjil apabila melihat TNB membuka booth di sini. Saya ingatkan TNB hendak menjual barang, tidak pula menyangka untuk diberikan  free gifts lagi," ujar Ezzroy gembira.


"Apabila berada di sini, pelanggan lebih mudah datang bertemu kami, mengemukakan masalah jika ada dan kami cuba untuk menyelesaikannya dengan kaedah terbaik. Pada hujung minggu, pelanggan mempunyai masa untuk berjumpa kami lebih lama dan kemudian boleh terus pergi membeli-belah di sini. Berbanding hari biasa, mereka mungkin lebih sibuk untuk ke pejabat TNB," ujar kakitangan TNB, Mohd Razemi Samingon.

Ayah kepada 5 anak, berasal dari Banting, Selangor itu bertugas di TNB sejak 35 tahun lalu.


Saya kemudian bertemu Datuk Ir. Abdul Aziz, berkebetulan melawat ke lokasi sama.


"Zaman sudah berubah, harapan pelanggan terhadap perkhidmatan kita juga berubah. Mengapa tidak sesekali kita menghambakan diri kepada masyarakat, kita turun padang secara proaktif, berjumpa pelanggan. Kita berkongsi pelbagai maklumat berguna dan lebih tepat bersama mereka. Hari ini kita membuka booth di sini dan sekali di Jaya Jusco Kepong. Kita ada laman web, www.tnb.com.my tetapi orang ramai kurang tahu, jadi apabila bersemuka dengan mereka, kita beri tahu," kata Datuk Abdul Aziz. 

Tambah Datuk Abdul Aziz, pelbagai risalah juga diedarkan kepada pelanggan pasaraya terbabit untuk lebih mendekatkan masyarakat dengan TNB.


5 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.