Selasa, Januari 06, 2009

Siapa 'devil' sebenar?

Hari ke 10 pencabulan senjata Israel, 530 warga Palestin dilaporkan terbunuh, 100 daripada statistik itu, kanak-kanak dan wanita. Lebih 2700 mangsa tercedera gagal dirawat secara sempurna berikutan 70 peratus bekalan elektrik di Bandar Gaza terputus. Hospital kerajaan kekurangan bekalan perubatan untuk menjalankan pembedahan.

Tentera Hamas dilengkapi senjata ringan kini dilaporkan menentang tentera Israel menggunakan senjata berteknologi tinggi seperti meriam, helikopter dan jet pejuang.

Presiden Amerika Syarikat, George Bush mendakwa Israel berhak mempertahankan diri. Sedangkan Israel menjajah Palestin. Bakal Presiden, Barrack Obama hanya membisu, fokusnya menangani krisis ekonomi di negara Uncle Sam itu.

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni melabelkan pejuang Hamas sebagai ‘devil’.

Peliknya ..

Isnin, Januari 05, 2009

Mati Katak

Masalah Mat Rempit tidak bernoktah. Bukan sahaja di bandaraya, bandar malah di desa. Mereka kerap mempamerkan aksi berbahaya di jalanraya. Kekadang aksi terbabit dibantu teman wanita membonceng di belakang.

Ramai antara mereka terkorban, mati katak. Putus tangan dan kaki dalam kemalangan. Namun perkataan serik tidak wujud di kotak pemikiran mereka, itu hakikat sukar disangkal.

Pihak berkuasa pula bagai kehilangan taring membanteras kegiatan mampu mengundang maut itu biarpun operasi berulangkali dilaksanakan. Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak berkesan mengurangkan bilangan Mat Rempit bermaharajalela di seluruh negara.

Hanya segelintir Mat Rempit berbangsa Cina dan India. Majoriti, Melayu.

Mengapa? Apakah cara terbaik mengekang kegiatan Mat Rempit?


Ahad, Januari 04, 2009

Terima Kasih Semua

Post berhubung modifikasi kereta dimuatkan dalam blog ke dua saya pada 14 Disember 2008 bertajuk ‘Macam-macam’ mendapat pelbagai komen, setakat ini bilangan komen terbanyak.

Persoalan saya timbulkan, mengapa ramai antara pemilik kenderaan keluaran tempatan antaranya Wira, Waja, Kancil dan MyVi gemar memodifikasi kenderaan terbabit kelihatan seperti kenderaan buatan luar negara. Bukan sahaja bentuk kenderaan diubahsuai malah enjin.

TIDAK ada dalam post terbabit saya mempertikaikan tindakan itu. Cuma sekadar ingin mendapatkan pandangan.

Ramai pembaca mencatat, modifikasi kereta berhubungkait dengan kreativiti dan hobi, bukan kerana malu memiliki kenderaan jenama tempatan.

Komen Yatt, menarik perhatian ..

‘Tapi kelakar la tgk kete Wira dibuangkan tulisan ‘Wira’ di bumper dan digantikan dengan ‘Mitsubishi’ serta logonya sekali. Bila tengok aku terfikir ‘mamat ni, macam la orang tak tau ko tu pakai kete Wira, perasan pakai Mitsubishi Lancer’

Ini petikan komen Kingshahepisode membidas pandangan berbeza ..

‘pompuan abiskan duit beratus2 tuk kain baju n alat mekap? ko pelik tak? depa tak sayang duit janji puas ati n tuk nampak cantikkan?’

Komen PNFC ..

‘Adakah peminat mods kete mcm kami nie menyusahkan hidup kamu semua?’

Saidmp3 ..

‘Kalau kau yang bagi kitorang duit nak modify, ko nak bising takpe jugak...’

Wan8 ..

‘Jgn nak kondem je bro, tepuk dada tanye la hati, mampukah aku nak modi kereta nie? kalo mampu teruskan, kalo tak diam2 suda...pasal kos modi kereta nie bukan murah..’

Rochiano ..

‘Takisah pun klu na modified ke naperasan kereta nasional mcm kete mahal ke...tp klu tgk kebanyakan tuan kete modified ni kuang aja atas jln raya.jln tgh jam pun buat mcm jlnraya lengang. Tiap2 hari i jumpa ok? Ni bukan sekadar ckp. Tau la korang ade yg da expert hal ni. Relax ar, org lain kasi comment jgk. Poyo slow skit ye abg2, jgn melenting tapasal :)

Newneo berkata ..

‘Suka hati la kita nak buatrupa keta jadi apa pun.. nafsu masing2 duit masing2. kena tahan jpj pun hal masing2. bro mazidul ko pakai kete apa?’

Anonymous mencatat ..

‘Tahukan en mazidul, dengan saiz badan anda sekiranya bersandar atau duduk atas hood wira apa akibatnya? cuba anda duduk atau bersandar pada hood lancer atau evo yang dipasang pada body wira... anda akan sedar kenapa wira lebih cantik kalau di pakaikan bodypart lancer atau evo. saya rasa anda perlu berfikir panjang sebelum melontarkan komen atau membuka satu tajuk perbincangan yang sebegini berat’

Saya tersenyum membaca semua komen di samping menambahkan pengetahuan berhubung reaksi manusia. Apa pun terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan.

Hentikan Keganasan

Airmata tiba-tiba bergenang sewaktu menonton Buletin Utama malam tadi. Visual mayat anak kecil, kaku berbalut kain putih dipenuhi titisan darah lambang keganasan regim Zionis. 19 kanak-kanak antara lebih 500 setakat ini terkorban di Palestin akibat bedilan jet pejuang regim sama.

25 ribu pejuang Hamas membuat keputusan mempertahankan Wilayah Gaza dan rela mati syahid.

Manakala Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dalam satu temubual melalui radio menyalahkan pejuang Hamas sekaligus bagai merestui tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Saya mengutuk tindakan ketenteraan membabitkan nyawa orang awam.

Sabtu, Januari 03, 2009

Dulu Lain Sekarang Lain

Dulu ..

Lelaki bujang acapkali dituduh bersikap tidak setia kerana sering mempunyai lebih daripada seorang teman wanita.

Antara ALASAN lelaki ..

“Normal lah! Lelakikan, kalau boleh biar ada koleksi. Kemudian kita pilih satu terbaik dijadikan isteri. Bayangkan, kalau ada satu saja, macamana nak diperbandingkan, tak ada basis of comparison, so kita pun tak tahu mana satu terbaik untuk kita? ”

Kini dipercayai ..

Segelintir perempuan bujang mengambil tindakan sama, mempunyai koleksi teman lelaki.

Antara ALASAN mereka ..

“Dulu lain, sekarang lain. Lelaki ni kita faham sangat, bila dia dah tak nak, dia cabut macam tu saja. Bayangkan, kalau ada satu, payahlah. So, biar lebih daripada satu, kalau satu lari, masih ada lagi boleh dijadikan calon suami”

Aduh!

Komen lelaki dan perempuan bujang?

Mereka sudah berumahtangga boleh turut sama melontarkan pandangan ..

Khamis, Januari 01, 2009

Parti Seks? Uh!

[ Penyampai berita dan pelakon drama bersiri ditahan-gambar ehsan Kosmo ]

Dalam operasi pada jam 3.30 pagi tadi, pelbagai minuman keras, dadah jenis ketamine, kokain, syabu dan ecstasy dirampas polis di bilik hotel tingkat 11, Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur. Sembilan disahkan positif dadah manakala pelajar kolej swasta dari Kelana Jaya berusia 21 tahun dipercayai pembekal dadah ditahan di bilik sama. Parti itu dipercayai didalangi pasangan suami isteri berumur lingkungan 20 an, melangsungkan perkahwinan 3 minggu lalu.

26 ditahan, majoriti berada di bawah pengaruh alkohol, separa sedar. 'Peserta' parti dikatakan saling mengenali melalui rangkaian laman web, Friendster. Penyampai berita syarikat televisyen swasta, bukan anak syarikat Media Prima dan pelakon wanita drama bersiri kurang dikenali, keduanya berusia 25 tahun turut ditahan.

Sehari sebelum sambutan tahun baru 2009, polis melalui media elektronik dam cetak mengingatkan orang ramai tidak terbabit dalam kejadian jenayah agar tidak berakhir menjadi tahanan lock up.

Nampaknya, peringatan itu dipandang remeh sesetengah pihak.

Lagenda Seni