Gambar di atas tiada hubungkait dengan kandungan sebenar tampalan ini. Sewaktu saya dan kru berkunjung ke pantai di Esplanade, Miri, Sarawak kami bertemu 3 gadis tidak diketahui identiti. Saya cuma meminta mereka melompat dan merakamkan gambar pada jam 4.30 petang menggunakan kamera Canon G12. Siapapun mereka, terima kasih.
"Bang, di mana?," soal Inspektor Mohd Halid Satiman.
"Esplanade, kenapa Tuan?," balas saya.
"Kita ada 'projek', nanti abang datang ke balai ya," ujarnya penuh sopan.
Inspektor Halid, anak kelahiran Melaka, lulusan Universiti Teknologi Malaysia, pegawai polis agak pendiam tetapi amat komited melaksanakan tugasnya.
Kira-kira sejam kemudian, saya dan jurukamera berada di dalam van bersama pasukan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Miri. Inspektor Halid menaiki kenderaan lain.
Hampir 2 jam saya tidur lena di dalam van sentiasa bergerak mencari sasaran. Sasaran? Remaja berusia 18 tahun, 'runner', penghantar bekalan dadah kecil-kecilan kepada pelanggan.
Jam 6.20 petang kami tiba di lokasi di Mos Jaya ini.
Kami menunggu dengan sabar sambil Inspektor Halid menerima maklumat berhubung waktu ketibaan suspek.
"Dia akan datang naik motosikal," ujarnya kepada saya.
16 minit kemudian suspek dinanti muncul ... saya rakamkan gambarnya.
Inspektor Halid dan anggota bergerak ke arah suspek.
"Tongkat moto, buka helmet!," arah Inspektor Halid.
Suspek kemudian diperiksa secara teliti.
Seperti dijangka sejak awal, sejumlah dadah dipercayai syabu dibungkus menggunakan pembalut chewing gum ditemui.
Dia kemudian digari.
Jam 6.43 petang kami bergerak ke Kampung Riam Jaya.
Berikut gambar rumah, lokasi suspek kerap berkumpul bersama ahli kumpulannya.
"Kawan-kawan dia baru habis packing (dadah), tengok alat digunakan," ujar Inspektor Halid.
Hampir jam 7 malam, telefon bimbit suspek berdering lalu dia diarah menjawab panggilan terbabit. Sukar saya memahami loghat percakapan anak campuran Melayu-Kayan itu tetapi jelas kedengaran dia dimarahi rakan kerana gagal menghantar bekalan dadah dirampas kepada pelanggan.
"Style (modus operandi) dia orang sekarang, pembeli akan mengikut motosikal runner (suspek) dari belakang. Bila tiba di lokasi runner akan campakkan bungkusan dadah ke tanah, kita panggil perbuatan tu, 'tikam'. Bila dah pasti keadaan clear, pembeli akan ambil dadah tu. Tadi pembeli nampak kita tangkap budak ni, jadi dia orang dah tahu dia kantoi," jelas Inspektor Halid.
Jam 7.06 malam kami tiba di rumah suspek. Saya menunggu di dalam kenderaan manakala pasukan polis keluar menemui jiran suspek.
Sewaktu saya keluar dari kenderaan, adik suspek berusia 16 tahun kelihatan riang melihat kehadiran saya, begitu juga beberapa jirannya.
"Mazidul Akmal Sidik, sembilan, sembilan, sembilan," ujar gadis itu.
Cuma ketika itu, dia tidak menyedari, abangnya berada di dalam van dengan tangan bergari. Adik suspek berusia 10 tahun juga berada di lokasi manakala kedua ibu bapa suspek tiada di rumah, belum pulang bekerja.
Sebaik dimaklumkan berhubung penahanan suspek, kedua adiknya bergerak ke pintu van untuk bertemu abang mereka.
"Abang, dah bagi tahu banyak kali, kenapa buat juga? Kenapa? Kenapa?," teriak adik suspek.
Airmata berjujuran mengalir, tangisannya semakin kuat kedengaran. Abangnya hanya membisu, menundukkan muka.
Dia kemudian menghubungi ibu menggunakan telefon bimbit.
"Makkkkkkkkk ... abang kena tangkap," katanya sambil teresak-esak menangis.
Pada masa sama, adik kecil suspek juga turut meraung.
"Tak nak masuk TV! Tak nak masuk TV!," jeritnya.
Pantas saya menghampiri anak kecil itu lalu memeluknya.
"Anak pak cik sama umur dengan kamu. Jangan nangis, pak cik janji tak masukkan gambar kamu dalam TV. Janji," saya berusaha memujuknya.
Namun dia terus menangis teresak-esak.
"Tak nak masuk TV! Tak nak masuk TV! Tak nak masuk TV!," jeritnya.
Saya memeluk lebih erat anak kecil itu dan berkata ...
"Kalau pak cik kata gambar kamu tak masuk TV, takkan masuk TV, pak cik janji ok," pujuk saya lagi.
Dia kemudian berhenti menangis. Barangkali hatinya sayu melihat abang diberkas polis biarpun saya percaya dia tidak memahami sepenuhnya kejadian berlaku.
"Ini bukan kali pertama, jangan nangis lagi," ujar jiran suspek.
Suspek kemudian dibawa ke IPD Miri.
Setelah menjalani ujian saringan air kencing, anak ke 3 daripada 6 beradik ini didapati positif dadah jenis syabu.
"Sejak bila ambil dadah?," soal saya kepadanya.
"Setahun lebih dah," jawabnya.
Dia berhenti sekolah sewaktu berusia 12 tahun dan mendakwa membantu ayahnya bekerja sebagai buruh binaan.
"Mak kerja apa?," tanya saya lagi.
"Cleaner," jawabnya ringkas.
"Tengok lengan kamu ni, kamu inject (dadah) siapa tolong?," tanya anggota polis.
"Kawan," katanya.
"Berapa upah jadi runner?," tanya saya.
"Satu tiub RM10 tetapi kadang-kadang dapat duit beli makan saja," jawabnya.
Sewaktu poket seluarnya diperiksa, polis menemui wang tunai RM3.
Dia disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki sejumlah dadah dan akan didakwa di mahkamah kerana memasukkan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 15(a)(1) akta sama.
"Sebelum ni saya pernah tangkap dia di rumah kita pergi tadi. Masa saya ketuk pintu, dia buka, lepas tu selamba berjalan sebab dia ingat saya pun kawan kepada kawan dia, semua lalok. Masa tu kita orang pergi 4 orang, dapat tangkap 6 orang," bisik Inspektor Halid.
Sebelum ini pelbagai operasi pihak berkuasa saya sertai. Kali ini saya kongsikan rentetan pengalaman lebih terperinci bersama pembaca kerana saya ingin anda tahu sesungguhnya bukan mudah untuk menghasilkan paparan kira-kira 6 minit bakal disiarkan di 999 pada 10 Mac akan datang.
Apapun, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai dan anggota IPD Miri kerana banyak membantu menjayakan semua operasi sewaktu kru kami berada di Miri selama 5 hari.
Inspektor Halid, thanks for the kek lapis!