Sayaa bukan blogger tersohor, mamun dengan tulisan saya berusaha mengubah keadaan agar menjadi lebih baik.
Sejak dilahirkan, Kampung Sungai Bill, Slim Village, Perak, boleh dikategorikan sebagai penempatan lewat dijengah pembangunan.
Sewaktu menuntut di antara darjah satu pada tahun 1974 dan tingkatan lima, rumah penduduk kampung terkenal sebagai destinasi pelancongan di Perak itu hanya diterangi lampu minyak tanah atau lampu gas bagi mereka berkemampuan.
Setiap malam sewaktu mentelaah pelajaran, tulisan di buku teks kelihatan kabur. Puluhan anak kampung pernah belajar mengaji Al-Quran di rumah di bawah bimbingan arwah ayah terpaksa tunduk untuk membaca ayat kitab suci itu.
Peristiwa itu berlaku kira-kira 34 tahun lalu.
Kini penduduk kampung sudah menikmati bekalan elektrik dan air bersih sejak penghujung tahun 80 an.
Cuma kini perbezaan Kampung Sungai Bill berbanding kampung lain, cukup ketara dari aspek kemudahan telekomunikasi.
Tiada kemudahan talian telefon mudah alih dan tiada talian tetap TM.
Setiap kali pulang ke kampung, telefon bimbit bak besi buruk. Dalam erti kata lain, penduduk kampung tidak boleh dihubungi atau menghubungi sesiapa. Walhal di beberapa kampung bersebelahan, penduduk berpeluang membuat panggilan keluar dan menerima panggilan masuk menggunakan talian operator mudah alih seperti Digi, Maxis dan Celcom.
Bayangkan, Kampung Orang Asli Pos Bersih, antara kawasan penempatan suku kaum Semai dianggap terpencil di daerah Batang Padang, kini menikmati kemudahan talian telefon mudah alih.
Jika berlaku kes kecemasan, penduduk terpaksa keluar menggunakan kenderaan ke pekan terdekat, Slim Village, 5 kilometer dari kampung. Untuk rekod, pekan kecil terbabit dibekalkan kemudahan Streamyx oleh TM.
Rungutan berhubung masalah telekomunikasi saya dengar, setiap kali pulang ke kampung. Terbaru sewaktu meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri lalu.
"Kalau nak dapat signal Celcom, kena naik kawasan tinggi di hulu sungai," ujar remaja kampung.
Pelik, bagaikan tiada siapa peduli berhubung kebajikan penduduk sekaligus kelihatan seperti menafikan hak penduduk kampung untuk berhubung dengan masyarakat luar.
Adik saya, Mushairil Azmil terpaksa memandu hampir 18 kilometer ke bandar Tanjung Malim, semata-mata untuk menjemput kru 666, Ashraff Zainon tersesat jalan dalam perjalanan untuk berhari raya di rumah.
Mengapa?
Kerana ketiadaan kemudahan sistem telekomunisi talian mudah alih atau tetap pada tahun 2011.
Terasa benar bak tinggal di zaman batu. Cuma dahulu orang naik gajah, adik saya memandu kenderaan bermotor.
Terfikir, adakah kemudan telekomunikasi hanya ditawarkan oleh Celcom, Digi dan Maxis kepada masyarakat di bandar sahaja?
Arwah ayah, Sidik Mohd sehingga meninggal dunia pada usia 70 tahun, sebelum Ramadhan tahun lalu terpaksa bermotosikal ke pekan Slim Village sewaktu hayatnya semata-mata untuk menghubungi anak-anak menetap di Kuala Lumpur.
"Sebelum ini, ada talian TM, setiap bulan kena bayar RM26 tetapi talian tidak ada," ujarnya 2 tahun lalu.
Arwah tidak gemar berhutang justeru bil telefon dibayarnya.
"Last sekali terpaksa hantar telefon ke TM di Tanjung Malim, apa gunanya kalau tak boleh digunakan," tambah bekas imam kampung itu lagi.
Kenyataan itu sehingga kini terngiang-ngiang di telinga saya, biarpun arwah telah meninggalkan kami sekeuarga.
Al-Fatihah.
Minggu lalu saya cuba untuk menghubungi TM, ingin mengetahui status talian telefon dengan mendail 103.
"Maaf encik, saya tidak boleh memberikan nombor telefon pejabat TM sebab itu considered nombor internal. Kalau ada masalah mungkin saya boleh tolong selesaikan," ujar operator Call Center TM.
Lalu saya meringkaskan laporan sebelum ini saya nukilkan di tampalan ini.
Masalah saya kemukakan terlalu besar untuk diselesaikan oleh petugas khidmat pelanggan Call Center TM itu lalu saya diberikan peluang untuk bercakap dengan pegawai penyelianya.
Awal petang tadi seperti dijanjikan pegawai terabit, saya dihubungi.
"Saya telah memaklumkan hal ini kepada manager saya. Laporan itu akan dihantar kepada TM," ringkas katanya.
Saya akui dia berkomunikasi secara beradab tetapi soalan di kemukakan sebelum itu masih tidak berjawab.
Apakah masalah sebenarnya sehingga kini, talian tetap telefon masih gagal dibekalkan? Jika kerana kabel didakwa sering dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, apakah langkah proaktif dilaksanakan oleh TM untuk mengatasi masalah itu?
Membiarkan tiang telefon terus dililit tumbuhan menjalar seperti di bawah?
Molek benar jika tiang itu dijadikan hiasan di hadapan pejabat TM Point.
Cantik.
Simbol keperluan pengguna diabaikan.
Barangkali ramai tidak menyedari, pengguna tidak berupaya berhubung secara terus dengan kakitangan syarikat pembekal talian mudah alih atau tetap. Setiap panggilan pengguna disambungkan kepada syarikat third party, petugas bukan pembuat keputusan.
Kampung Sungai Bill, bak jatuh ditimpa tangga, terpinggir tanpa kemudahan sistem telekomunikasi sehingga ke saat ini.
Adakah siapa peduli?