Isnin, Julai 02, 2012

LANGSUIR BERTERBANGAN

"Lebih kurang  lima ratus orang asli tinggal di kampung Orang Asli Serendah ini, dibuka sejak lebih 40 tahun ini," ujar Rahman Jusoh, 41 tahun.


Kru 666, Razali, Suhaimi dan Adam berdiri di hadapan lelaki berketurunan Temuan itu.


Saya sempat mencelah, berkongsi kisah ketika menziarahi rakan di Kampung Orang Asli Sungai Bil pasa 27 November 2011, klik di sini.

"Kami di sini tidak memelihara babi sebab dia makan ayam. Babi memang suka mengikut tuan dia berjalan-jalan tetapi pantang terjumpa ayam. Saya pernah tengok babi mengejar ayam, dapat sahaja terus dia makan, " kata Rahman.

"Betulkah babi makan ayam?," soal saya berasa sangsi.  

"Makan," balas Rahman yakin.

Itu kali pertama saya mendengar dakwaan, babi makan ayam. Selama ini saya ketahui haiwan terbabit hanya menyondol tanah menggunakan muncungnya dan makan cacing serta ubi kayu.


Menurut Rahman lagi, 50 peratus daripada penduduk kampung terbabit beragama Islam, selebihnya Kristian.

Sewaktu 3 rakan sibuk berbual bersama Rahman, saya mendekati beberapa anak kecil di rumah berhampiran.


Biarpun berusia terlalu mentah, mereka ternyata amat menyayangi kucing sedangkan sesetengah pihak, hidup dalam keadaan lebih moden di bandaraya, membunuh haiwan terbabit secara kejam.

Klik di sini.


"Kucing dalam bahasa Temuan apa?," soalan saya lontarkan kepada wanita memerhatikan saya dari tingkap rumah.

"Kucing juga, sama," ujarnya.

"Manalah tahu, dipanggil 'cat' ke," gurau saya.

Dia tertawa biarpun barangkali tidak memahami maksud sebenar saya.


Penat berdiri di tepi tingkap sambil berbual dengan keluarga wanita terbabit, saya akhirnya dijemput masuk ke rumah. 

Agak teruja apabila dimaklumkan, mereka antara peminat program 999, kendalian saya sebelum ini.


Saya diperkenalkan oleh Man Tet anak lelaki Rambai, 50 tahun kepada semua ahli keluarganya.

"Anak saya sepuluh orang, paling kecil, 12 tahun, cucu 11 orang. Eh! Duduklah di atas kerusi rotan itu, jangan duduk di lantai," katanya.


"Saya boleh duduk di lantai, tidak ada masalah. Tidur di sini pun saya tidak kisah," usik saya.

"Ish! Mana boleh tidur di rumah ini. Bukan ada katil dan tilam tebal," celah isteri Man Tet.

"Saya biasa tidur di atas lantai simen, sejuk," balas saya.

Diceritakan juga kepada mereka, saya anak kampung dan pernah tinggal di rumah arwah opah, lantai diperbuat daripada buluh di belah, sejuk.

Mungkin ramai mengetahui, rumah saya di kampung terletak berhampiran dengan sungai mengalir jernih, berair sejuk.

Klik di sini.

"Minggu lepas, kami nampak awak terjun ke dalam sungai dalam Majalah 3," ujar anak Man Tet, duduk di sebelahnya.

"Oh! Itu di Kota Belud, Sabah," balas saya.


Ternyata mereka tidak ketinggalan mengikuti program berinformasi dipaparkan di TV3.

"Buat kerja apa di kampung?," tanya saya kepada Man Tet.

"Mencari buluh di hutan, kita panggil buluh padi. Buluh itu kita tebang, potong dan kemudian racik kecil dan seikat 250 bilah, pemborong Cina beli RM12. Kalau orang Cina mati, sebilangan mereka contohnya membuat rumah dan kereta kecil daripada buluh sebelum dibakar. Jadi kami bekalkan buluh itu," jelas Man Tet.


Dia kemudian menunjukkan kepada saya saiz buluh dimaksudkan.


Saya kemudian berfungsi bak penglipur lara, berkongsi kisah membesar, bersekolah dan bermain bersama Orang Asli bermastautin berhampiran kampung halaman saya di Tanjung Malim, Perak.

Ketika itu, Kru 666 lain sedang sibuk berborak di luar rumah bersama rakan baru mereka.


'Minyak' saya jual di dalam rumah, kelihatan laku.

Lihat reaksi anak kecil di bawah sewaktu mendengar kisah silam saya kongsikan bersama mereka.


"Dulu pak cik mandi, menyelam dan menangkap ikan dengan Orang Asli, melastik burung Punai dengan Orang Asli tetapi suku kaum Temiar, bukan Temuan. Bersekolah pun bersama kawan Orang Asli. Seronok sangat. Cuma bezanya, Orang Asli sekarang lebih bernasib baik kerana di kawasan pedalaman begini pun signal telefon bimbit ada. Di kampung pak cik, sehingga sekarang tidak ada telefon di ruamh, apa lagi signal telefon bimbit, (klik di sini)," jelas saya.

Hendak juga saya kongsikan bersama mereka berhubung fakta, berulang kali isu sama saya bangkitkan di blog ini tetapi ternyata tidak berjaya menarik perhatian pihak bertanggungjawab. 

Lalu niat itu saya batalkan.

Apapun sekurang-kurangnya di rumah itu saya mampu menarik perhatian anak kecil di bawah walaupun dia tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah komunikasi didepani penduduk Kampung Sungai Bill dan Kampung Orang Asli Sungai Bil. 


Menurut Man Tet, ramai pelancong terkorban akibat lemas di kawasan air terjun di kampung terbabit.

"Minggu lepas, lelaki India mati. Sebelum itu semua bangsa ada, Melayu, India, Cina, mati lemas di situ," ujarnya lagi.


"Tanya adik saya. Dia pernah terjumpa perempuan berambut panjang di kawasan air terjun itu," celah kakak Rahman.

"Tadi waktu ditanya,  Rahman tidak mahu bercerita," bisik Razali kepada saya.

Barangkali suatu hari kami akan berpeluang menyingkap fakta sebenar berhubung dakwaan kehadiran entiti paranormal di kampung itu.

"Kalau ada kenderaan pacuan empat roda, boleh naik, susuri jalan di tepi air terjun. Lebih kurang 2 kilometer ke atas, nanti akan nampak empangan lama dibina oleh British pada zaman dahulu. Di situ ramai orang  terjumpa langsuir berterbangan. Sebelum ini masa petai masih banyak di dalam hutan, kami banyak kali ke kawasan empangan itu, sekarang tidak lagi"

Itu kenyataan Rahman saya dengari sebelum masuk ke rumah.

Mungkin sahabat, Gazali Abdul Rahman, pemilik kenderaan pacuan empat roda di Kota Damansara, sudi membawa Kru 666 ke lokasi dimaksudkan, suatu hari nanti.


Lebih 30 minit saya bersembang bersama keluarga Man Tet.

"Lain kali saya akang datang lagi," ujar saya sebelum beredar.

"Pintu rumah ini sentiasa terbuka untuk awak kalau hendak datang ke sini lagi," ujar isteri Man Tet.


"Nama puan apa?," soal saya kepada wanita berbaju hitam di dalam gambar di atas.

"Ohhhhh! Nama saya macam nama pelakon terkenal, Sarimah," jawabnya diikuti hilai tawa.

Sewaktu berjalan ke arah kenderaan diparkir berhampiran, saya ditegur.

"Boleh ambil gambar?"

Gadis memperkenalkan dirinya sebagai Rozita dan rakannya Fera menghampiri saya.


Pada masa sama, Adam dikelilingi oleh anak kecil comel. 


... beautiful children

Ahad, Julai 01, 2012

PENONJOLAN TERLAMPAU (18SX)



Saya amat tertarik dengan berita dimuatkan oleh akhbar Harian Metro hari ini berhubung hasrat Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM,  untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya 'bebas pengemis'.

Klik di sini.

Sebelum ini dan kini, ibu kota dihuni oleh pengemis pelbagai bangsa.

Pengemis China, Myanmar, Rohingya dan tempatan.

Fakta, majoriti pengemis asing meraih belas simpati orang ramai di negara ini menggunakan pas lawataan sosial. Maksudnya, mereka berstatus pelancong, berkunjung ke Malaysia melalui jalan udara dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL, samada mereka cacat tangan, kaki atau badan.

Fakta itu disedari oleh JKM, klik di sini.

Jabatan Imigresen Malaysia tidak pernah mengeluarkana permit kepada warga asing untuk mengemis di negara kita.

Lebih menarik, sebilangan mereka sebenarnya bukan kelompok kurang upaya. Bertongkat ke hulu ke hilir, memakai baju berkerak sambil membawa mangkuk di tangan dan berpura-pura bisu. Barangkali mereka akur, jika terlalu banyak bercakap kepada sesiapa bertanya berhubung identiti mereka, tersilap langkah tipu helah pasti terserlah.

Petang tadi saya ke Bukit Bintang bersama antara pembaca terawal blog ini, Iznur Muhd Amzah, 31 tahun.


"Nasi ayam di sini, terbaik," ujar anak kelahiran Kampung Baru itu.

Kami melepak di restoran Cheng Meng.

Saya makan 2 pinggan bersama rakan, Omar Khan Mijan. Omar makan sepinggan saya, dua.


Sewaktu makan, saya mengambil peluang merakamkan kesibukan pekerja pusat urut mempelawa pelanggan singgah.


"Please, don't pull me like that, my wife is here," rayu lelaki Timur Tengah.

Sebilangan daripada wanita berbaju kuning terbabit kelihatan berulang kali menarik tangan beberapa lelaki lalu-lalang di hadapan mereka.


Lelaki warga asing ingin mengecapi nikmat 'urutan kaki' kemudian dipersilakan naik ke bilik di tingkat atas.  Sepanjang masa duduk di restoran, saya mendengar percakapan wanita terbabit secara teliti dan percaya mereka berasal dari Indonesia, Filipina dan China.

Andai pekerja terbabit wanita tempatan, pastinya mereka tidak tergamak menawarkan perkhidmatan urut kepada saya.

Kurang 10 meter dari lokasi mereka berkumpul, kelihatan lelaki, dipercayai warga tempatan, tidur di atas simen tanpa berlapik. Dia kelihatan langsung tidak mempedulikan orang ramai dan kenderaan lalu-lalang di kawasan sekitar.


Barangkali dia antara ratusan gelandangan ibu kota. Makanan di sebelahnya mungkin dibekalkan oleh sukarelawan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, NGO.

Sebaik selesai menjamu selera, saya, Iznur dan Omar meneruskan tinjauan, melangkah perlahan ke arah BB Plaza.


Di sepanjang jalan, saya tanpa berhenti memetik butang rakaman kamera digital Canon SX40HS. Kelibat wanita seksi, pastinya menarik perhatian ramai.

Berbaju ketat, pelbagai warna.


... penonjolan melampau. 


Mengapakah mereka perlu berpakaian sebegitu?


Kami sempat menegur wanita di bawah dan ternyata dia tidak memahami Bahasa Melayu.

"Massage! Massage!," pelawanya berulang kali.


Beberapa langkah di hadapan, kami terserempak pengemis bujang warga tempatan, Yap Yee Tiew, 62 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur.

Tanpa masalah dia membenarkan gambar pegunnya direkodkan sekaligus melayan setiap soalan diajukan. Barangklai selama ini, jarang dia didekati dek orang ramai apatah lagi mengambil tahu secebis daripada kisah kehidupannya.


"Saya datang sini jam 12 tengahari, balik 7 malam. Selalu bukan saya satu orang duduk sini, ramai lagi itu orang (pengemis). Kaki tidak ada, tangan tidak ada, semua China mari. Dia orang semua mana ada lesen untuk minta wang punya, saya ada, itu Hospital Setapak kasi. Kalau tidak ada lesen, Bandaraya tangkap, masuk lokap. Saya punya kawan ramai dia orang tangkap, belum keluar lokap lagi," ujarnya.

Klik di sini untuk membaca kisah pengemis China di Negara Tembok Besar.


"Sakit apa?," tanya saya.

"Kulit gatal," ujarnya sambil tersenyum.


"Satu hari boleh dapat berapa ringgit duduk sini?," soal saya.

"Dua, tiga puluh ringgit, banyak susah cari makan ooooo ...," balasnya.


"Nanti malam balik mana?," soal saya lagi.

"Rumah, ada orang bayar (NGO), kalau sendiri mahu sewa rumah banyak mahal," keluh Yap.

Menurutnya, selama mengemis di lokasi sama, dia tidak pernah diselamatkan oleh JKM.

Melihatkan keadaan kulitnya terkelopak dan berdarah, mungkin akibat terlalu kerap digaru, hati saya tersentuh. Tambahan pula Yap mendakwa, dia hanya tinggal sebatang kara di dunia ini.

"Dulu saya kerja, kutip itu kertas surat khabar, kasi jual (kitar semula). Sekarang badan banyak sakit, mahu jalan pun susah. Duduk sini baru dua tahun, itu macam," celahnya.

Tengahari tadi pembaca blog ini dan rakan Facebook saya, Md Izwan menghantarkan gambar pengemis di bawah.


Seperti pekerja pusat urut, lelaki berkopiah meraih simpati di susur keluar MRR2 ke Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur itu tidak fasih berbahasa tempatan.


'Selalunya dia meminta sedekah bersama seorang perempuan tua, mungkin isteri dia. Mereka sudah lama di situ'

Itu antara informasi disalurkan oleh Izwan.

Di Bukit Bintang, pengemis kedua saya rakamkan.


Sebaik menyedari gambarnya dirakamkan, pengemis mampu berdiri dan berjalan terbabit beredar.


Sebaik tidak melihat kelibat kami, dia kemudian kembali duduk di lokasi sama sebelum didekati oleh Omar.


"Dia bercakap dalam Bahasa Melayu tetapi kurang jelas," ujar Omar.

Dalam tempoh kira-kira 30 minit memerhatikannya, 2 orang menyumbangkan wang tunai kepada pengemis itu.


Bukit Bintang, lokasi tumpuan majoriti pelancong warga asing terutama dari negara Timur Tengah dan negara lain.


Mereka pastinya melihat semua warna-warni kehidupan itu.

Amat wajar jika JKM Kuala Lumpur melaksanakan operasi bersepadu bersama penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Imigresen untuk membanteras pengemis dan menangani kebanjiran pekerja warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.

Tindakan itu kemudian harus disusuli oleh JKM di setiap negeri. Biar Malaysia bebas pengemis, bukan sekadar ibu negara kita.

Selamatkan pengemis warga tempatan seperti Yap dan tangkap sekaligus hantarkan semua pengemis warga asing pulang ke negara asal mereka.

Mereka tidak berhak berada di sini.

Pada masa sama, sewaktu melangkah pulang, saya mendapati papan tanda 'Jalan Bukit Bintang' lesap. Adakah itu petanda awal, kawasan berada di segi tiga emas itu sudah tergadai kepada warga asing?


Berbicara mengenai pengemis, ke manakah perginya pengemis warga Kemboja di bawah?


Baca kisah lelaki tersenyum di atas, klik di sini.