Sabtu, Oktober 12, 2013

KEDAH GAGAL MEMBERHENTIKAN KES EKSPLOITASI DAN PERHAMBAAN KANAK-KANAK


Pelajar perempuan Pusat Tahfiz Amal, PTA, Yan, Kedah berusia 14 tahun di bawah ini didapati menjual balm panas di stesyen minyak Petron di Bukit Beruntung, Selangor pada kira-kira jam 12 tengahari tadi.

Jauh sungguh lokasi dia diperhambakan oleh 'tuan' nya. Teringat saya kisah drama bersiri, Kunta Kinte ditayangkan pada penghujung tahun 70 an dahulu.


Biarpun berulangkali kes eksplotasi kanak-kanak didedah dan dihebahkan oleh media utama dan sosial namun usaha terbabit hanya sia-sia. Kes perhambaan kanak-kanak ini telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.

Berikutan itu akhbar Harian Metro memaparkan berita kononnya Jabatan Agama Islam Kedah, JAIK akan menutup pusat itu, klik di sini.

Namun ternyata, itu hanya cadangan tetapi tidak terlaksana. Nampaknya pihak pengurusan PTA itu ternyata lebih berkuasa berbanding kuasa dimiliki oleh JAIK dan YANG AMAT BERHORMAT Menteri Besar itu sendiri.


Pelajar PTA didapati masih menjaja barangan keluaran SM Amin di seluruh negara. Klik di sini untuk membaca luahan hati blogger berasal dari Kedah.


Melalui sumber di Negeri Jepalang Padi, saya difahamkan Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd Tajudin Abdullah ( Klik di sini)  mengenali SM Amin dan tahu berhubung kegiatan dalang utama di sebalik eksploitasi PTA itu.  Sebuah 'istana' milik SM Amin terletak di Tasik Beris, SIK, bukan di London.


Menjelang pemilihan ahli Majlis Tertinggi UMNO, beberapa perkara pelik saya perhatikan jelas Datuk Mukhriz kepingin terus berkorban untuk kepentingan rakyat negara ini tetapi GAGAL menangani kes perhambaan kanak-kanak tercetus di negeri sendiri sejak memegang jawatan Menteri Besar.

MENAIKI BOT BERSAMA DUA CALON MAJLIS TERTINGGI UMNO


Sepanjang melaksanakan tugasan 'Hitam Putih Nadi Kehidupan' di Bandaraya Melaka Bersejarah' pelbagai individu saya temui. Dalam kesibukan dengan jadual harian ketat, mereka sudi turun padang dan berkongsi pelbagai maklumat berguna bersama kru Majalah 3.


Terima kasih kepada dua calon Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Wira Idris Haron dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim kerana sudi menyusuri Sungai Melaka bersama saya pada 8 Oktober lalu.


"Saya menawarkan diri bertanding untuk mengekalkan jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi kerana saya ingin meneruskan kerja kebajikan, kesukarelawan, sekian lama menjadi darah daging saya dan ahli Kelab Putra 1 Malaysia. KP1M. Saya ingin lebih  memperkasakannya lagi usaha itu. Kalau sebelum ini Datuk Michael Chong dilihat begitu hebat dalam kerja pembelaan dalam MCA, kini masyarakat mencari UMNO. Contohnya, usaha menyelamatkan anak gadis dibawa lari keluar negara, merancang dan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan ke luar negara. Saya berharap, andai diberikan ruang dan peluang, saya hendak mengggabungkan Pemuda, Puteri dan Wanita di bawah payung Ahli Majlis Tertinggi itu sendiri untuk saya bergerak seiring di atas nama Sang Saka Bangsa, kita membawa bendera UMNO ke seluruh negara dan  juga dunia," ujar Pengerusi Tabung Haji itu.


Tambah beliau setakat ini KP1M telah melaksanakan  misi bantuan kemanusiaan di 32 negara. 

"Saya amat menjiwai kerja kerja berhubung bantuan kemanusiaan. Apapun jawatan bakal saya diterima dengan izin Allah, kerja kesukarelawan tidak akan saya tinggalkan. Cuma saya berdoa semoga Allah mengurniakan saya kesihatan agar saya berpeluang membantu lebih ramai masyarakat Malaysia dan dunia," jelas Datuk Abdul Azeez.

Saya mengenali Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Idris lama dahulu sebelum beliau bergelar Datuk. Sikap beliau tetap sama, peramah, tegas dan amat serius tatkala melaksanakan tugas dipikul.

Hemat saya, dua pemimpin ini seharusnya diberikan peluang untuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan bakal berlangsung pada 13 Oktober ini. 

Jumaat, Oktober 11, 2013

PLKN : BERAT MATA MEMANDANG BERAT LAGI BAHU MEMIKUL

Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18 tahun,  maut di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara, PLKN Muazzam Shah, Rompin, Pahang hanya kerana dia dilaporkan memotong barisan tatkala bersarapan pagi 22 September lalu. Mangsa ditemui terbaring tidak sedarkan di bilik air kem terbabit pada awal pagi sehari kemudian.

Siasatan awal polis mendapati Suhaimi mengalami kecederaaan di bahagian otak. Berikutan itu  seorang suspek berusia 17 tahun dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Sebutan semula kes pada 11 Disember di Mahkamah Majestrit Rompin.

Manakala 5 pelatih lain dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun sama kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.


Tentunya ramai antara pembaca tahu mengenai perkembangan kes menjadi  satu titik hitam ini sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dan mencetuskan kesangsian terutamanya di kalangan keluarga bakal menghantar anak mereka ke Kem PLKN. 


Lihat gambar dirakamkan oleh akhbar Sinar Harian, persiapan membawa jenazah pulang ke Kerdau, Temerloh untuk dikebumikan. Hati ayah dan ibu manakah tidak tersentuh melihat sekujur mayat anak dipulangkan ke pangkuan mereka dalam keadaan sebegitu? Jika pihak pentadbiran PLKN disaman  atau keluarga diberikan pampasan jutaan ringgit sekalipun, nyawa anak mereka tidak akan dapat dikembalikan semula.

Mungkin sebilangan individu terbabit dengan PLKN berkata, bukan semua kes kematian pelatih membabitkan kes jenayah.

Ya, benar tetapi biarpun kes dianggap terpencil, kehilangan nyawa pelatih  tetap satu fakta tidak mampu disangkal. Jika tidak terkena batang hidung sendiri, barangkali tiada impaknya kepada keluarga. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Setelah kira-kira 10 tahun PLKN dilaksanakan, apakah antara kaedah damage control dilakukan oleh pihak pentadbiran? Bukankah amat wajar sekiranya jiwa ibu bapa ditenangkan dengan perkongsian maklumat tepat agar mereka mampu berlapang dada sebelum anak mereka dihantar sebagai pelatih? 

Oleh itu, bijak sekiranya penggunaan media sosial dioptimakan untuk menyebarkan maklumat sebagai rujukan semua. Melalui pemerhatian, kebanyakkan rakaman video dipaparkan di Youtube, hasil kreativiti bekas pelatih, bukan maklumat rasmi dikeluarkan oleh pihak pengurusan PLKN sendiri.

Adakah sebilangan kita masih lagi tidak mempercayai keberkesanan perkongsian maklumat melalui media sosial?

Khamis, Oktober 10, 2013

PONDAN MELAKA GARANG


Saya tiba di Melaka pada 7 Oktober lalu. Waktu siang, agak sibuk membuat liputan mengenai Sungai Melaka, sepanjang 39 kilometer. Biarpun tubuh kurang sihat, saya tetap melangkah dibantu oleh kru Majalah 3 dan kakitangan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka.


Pada waktu malam, saya meronda Bandaraya Melaka dan terserempak beberapa pondan memperdagangkan  tubuh di deretan rumah kedai di Jalan Tun Ali.

Mereka garang dan taksub memaki hamun jadi saya mengambil inisitif merakamkan gambar mereka untuk memudahkan Jabatan Agama Islam Melaka mencegah kegiatan maksiat dipamerkan secara terang-terangan. Saya yakin, kegiatan seperti ini bukan berlaku dalam tempoh terdekat.

Sukar sungguhkah untuk menangani masalah ini?

Kalau diletakkan penguatkuasa Jabatan Agama di dalam van di lokasi terbabit pada setiap awal pagi, tentunya telor bapok masuk ke dalam untuk manggamit pelanggan di situ. Masakan penguatkuasa harus menunggu arahan YAB Ketua Menteri untuk bertindak. Beliau mempunyai tugasan lain untuk dilaksanakan sebagai pemimpin negeri.


Di bawah, gambar pondan bermulut lancang dan berdada bidang, kelihatan menyeramkan. Ada baiknya dia mengekalkan identiti diri sebagai lelaki. Tatkala berada agak jauh, terjerit-jerit tetapi apabila didekati, cabut bak lipas kudung, menaiki tangga rumah kedai untuk menyembunyikan diri.


Dalam perjalanan pulang daripada makan malam di Umbai, saya dan kru singgah di 7-Eleven di sebelah Kondominium Pasir Emas, kira 200 meter dari Balai Polis Bandar Hilir.



DVD cetak rompak dijual secara terbuka memberikan gambaran bagaikan tiada undang-undang di lokasi itu. Justeru ada baiknya jika pihak Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan tindakan.

Apakah tanggapan pelanggan keluar masuk ke kedai serbaneka itu jika terlihat peniaga begitu angkuh meremehkan undang-undang?

Tidak salah jika Ketua Balai Polis berhampiran menghantar unit peronda ke lokasi sama dan arahkan penjual untuk berhenti memasarkan DVD cetak rompak.


Bertindak atau  tidak, pilihan pihak berkuasa.


Rabu, Oktober 09, 2013

KAMAL AFFENDI HASHIM : MELANGKAH DALAM DERITA

Kamal Affendi Hashim bukan nama asing di Malaysia. Beliau bukan sahaja berceramah di seluruh pelusuk negara malah seringkali muncul di televisyen.

Selepas tersadai di katil hospital akibat simpulan urat di otak, AVM dan menjalani pembedahan, Kamal  terus melangkah untuk hidup biarpun  tahap kesihatanya kritikal. 

Klik di sini.

Bil rawatan susulan penyakitnya tinggi dan ternyata di luar kemampuan warga JOHOR juga anak bekas anggota polis itu.


Baca, luahan hati Kamal, klik di sini 

Pelik apabila Yayasan Kebajikan Negara menolak permohonan bantuan dikemukakan oleh Kamal. Mungkin nyawa individu selama tidak pernah mengenal erti penat menyampaikan ceramah berhubung kaedah mencegah jenayah di kalangan wanita, tidak begitu dihargai.

Tidak mengapalah, itu hak yayasan terbabit.

Jika terdapat pihak swasta atau sesiapa sahaja berhasrat untuk menghulurkan bantuan atau mengundang beliau untuk menyampaikan ceramah, sila hubungi Kamal di talian 019 210 9999.

Jumaat, Oktober 04, 2013

STATUS TERKINI DEPO LORI SAMPAH MELUMPUHKAN BEKALAN AIR LEBIH 1 JUTA PENDUDUK DI LEMBAH KLANG

Petang semalam saya ke depo itu di Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor. Kelihatan beberapa pekerja memunggah sampah ke dalam lori. Majlis Perbandaran Selayang, MPS mengarahkan premis beroperasi tanpa lesen  itu dikosongkan  dalam tempoh sebulan sejak 9 September lalu, klik di sini.


Struktur binaan di dalam kawasan berpagar telah dirobohkan dan kelihatan longgokan konkrit di bahagian depan depo, berhampiran Sungai Gong, anak Sungai Selangor.


Nama syarikat juga telah dipadamkan. Di bawah, gambar tatkala tulisan masih jelas kelihatan dan sungai berhampiran dicemari sisa miyak pelincir, minyak hitam, dirakamkan pada 30 Ogos lalu.


Berikut gambar sungai dirakamkan pada 1.39 tengahari semalam.


Hasil rakaman di lokasi semalam menunjukkan sisa minyak enjin masih mencemari longkang di dalam premis sama. Berkebarangkalian besar, penyelenggaraan lori sampah dijalankan di kawasan itu sebelum ini.


Dua pemilik premis, pasangan suami isteri telah dihadapkan ke mahkamah pada 17 September lalu dan dituduh mengikut  Akta Alam Sekeliling 1974, mencemarkan air dan tanah. Mereka akan dibicarakan bermula 10 Oktober akan datang. Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 5 tahun dan didena maksimum RM500,000. Kini depo terbabit kelihatan bak padang jarak padang tekukur.


Premis terbabit disita pada 31 Ogos lalu dan 14 kompoun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan pada hari sama. Syarikat terbabit dilaporkan satu daripada sub-kontraktor mengangkut sampah MPS, klik di sini dan mula beroperasi TANPA LESEN sejak LEBIH 10 tahun lalu.

[ KLIK di sini ]

Kebelakangan ini banyak sungguh kes pelanggaran undang-undang terlepas pandang dek beberapa pihak berkuasa. 

Klik di sini, sebagai contoh.

Saya akur, kebanyakkan jabatan kerajaan dan swasta mempunyai kelompok kakitangan ditugaskan untuk memantau berita di laman sosial. Tidak hairan, catatan saya di sini, kerap diambil kira oleh pihak terbabit. Tidak salah jika kakitangan jabatan atau pihak berkuasa tempatan menghubungi saya sekiranya mereka ingin memberikan penjelasan.

Emel saya, mazidulakmal@yahoo.com, WhatsApp 019 390 2899.