Saya sudah tiba di lokasi terbaharu, jauh dari Kaherah. Justeru, saya tinggalkan pembaca semua dengan beberapa gambar saya rakamkan di ibu negara Mesir itu.
Rabu, Jun 30, 2010
Baksis
“Baksis, macam tip,” ujar penterjemah.
Pemandu teksi memberhentikan kenderaan di tepi jalan di luar kawasan ‘lobi’ hotel menghulur sejumlah wang kepada anggota polis bertugas di hotel kami diami.
“Kalau tak bagi duit then apa jadi?,” tanya saya.
“Polis trafik akan saman dia,” balas penterjemah.
Jam 3 petang tadi saya menghampiri anggota polis bertugas.
“Don’t take money, your boss is there,” kata saya.
Pantas dia memegang tangan saya dan tersenyum dan kami bersama memandang 2 pegawai polis berdiri di tengah jalan.
Saya difahamkan, kadar rasuah tinggi di Kaherah. Mana tidaknya, anggota polis secara bersahaja berani menerima wang baksis secara terbuka di khalayak ramai.
“Gaji polis di sini, sikit. 200 pound Mesir sebulan, lebih kurang RM130 duit Malaysia,” ujar penterjemah.
Ringkasnya, gaji anggota dan pegawai polis di Malaysia hakikatnya lebih tinggi berbanding gaji diterima polis di Mesir.
Nasi Mandi
“Nasi Mandi’, itu nama panggilannya.
Setalam berharga 200 pound Mesir (RM130) dan boleh dikongsi 6 pelanggan. Pelanggan boleh memilih Nasi Mandi berlauk ayam atau kambing di Restoran Haddramaut.
Sedap?
Ya, mungkin bagi penduduk Mesir tetapi tidak menepati citarasa saya dan nasi itu hemat saya tidak mempunyai kaitan dengan perkataan ‘maut’.
Makan sekadar untuk kenyang bukan kerana kenikmatan.
Saya kongsikan bersama anda beberapa gambar saya rakamkan di restoran terbabit bersama sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan, Aman Palestin dan dan krew TV3.
Selasa, Jun 29, 2010
Kota Kaherah
Assalamualaikum ...
Alhamdulillah, saya dan krew tiba di Kaherah, Mesir pada jam 6 pagi, 26 Jun lalu. Kaherah atau Cairo, kota besar berdebu dihuni lebih 20 juta penduduk.
Kami berada dalam keadaan selamat dan menetap di hotel di tengah kota. Semua perancangan untuk menzahirkan misi sebenar tidak saya dedahkan di sini. InsyaAllah, akan saya catatkan kemudian dapat.
Menarik? Ya, memang menarik. Teksi di Kaherah majoriti model lama seperti teksi digunakan di Malaysia pada awal tahun 70 an. Majoriti tidak mempunyai sistem penghawa dingin manakala pemandu mengendalikan kenderaan mereka bagai di litar F1. Bayangkan, suhu mencecah 40 darjah Celcius, mujur tidak berpeluh kerana cuaca panas kering.
Dalam jangka waktu terdekat, jika perjalanan ini selamat, InsyaAllah banyak gambar akan saya kongsikan bersama pembaca semua.
Sabtu, Jun 26, 2010
Pejuang Tidak Perlu Didendang
Saya tinggalkan coretan gembira berikut untuk anda semua.
Sewaktu menuju ke Betong, Sarawak dalam melaksanakan tugasan 'Hidu gam' 5 bulan lalu saya dan penerbit 360 ketika itu, Mohd Raziff Zulkafli terbabit dalam kemalangan jalan raya. Kereta Proton Saga dipandu jurukamera terbabas sewaktu hujan lalu terlanggar penghadang jalan di sebelah kiri. Namun, kami semua terselamat dan meneruskan perjalanan biarpun cermin sisi kereta patah dan bahagian pintu kemek manakala bahagian tepi kiri kereta tercalar teruk.
Saya membayar RM1200 untuk memperbaiki kerosakan itu.
Laporan dihasilkan krew 360 terbabit terpilih untuk menerima 3 anugerah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK, termasuk Anugerah Perdana. Majlis akan berlangsung di Hotel Nikko, Kuala Lumpur malam ini.
Biarpun saya tidak dapat bersama krew naik ke pentas untuk menerima anugerah itu, saya berasa amat gembira di atas kejayaan diraih.
Terima kasih kepada semua krew, selama ini menjalankan tugas dengan dedikasi dijalin keikhlasan. Bagi saya, menyempurnakan setiap tugasan untuk dipertontonkan kepada umun, satu kemenangan biarpun tanpa anugerah kerana hemat saya, pejuang tidak perlu didendang.
Apapun, sekalung terima kasih kepada AADK kerana menghargai usaha kami selama ini.
Jumaat, Jun 25, 2010
8 Anak Mati
Saya sempat bertemu penerbit 999, Shanun Hanif Suhaimi jam 3 petang tadi sebelum dia bertolak ke Terengganu, menjalankan tugasan dirancang. Dia pernah ke Gaza 3 tahun lalu membuat liputan Majalah 3.
Berikut kisah dikongsikan wartawan berpengalaman terbabit.
Sewaktu di Gaza, dia bertemu ibu tua, 8 anak lelaki wanita itu termasuk berusia belasan tahun mati, korban akibat keganasan tentera Israel. Namun ketika ditemubual, ibu itu mendakwa tidak berasa sedih atas kehilangan insan tersayang dilahirkannya.
"Mengapa?," tanya Shahnun.
"Biarpun kami berpisah di dunia, di akhirat kelak, lapan anak lelaki saya itu akan menunggu, kami akan bersatu semula," jawab wanita itu ringkas.
Menurut Shahnun lagi, anak mati syahid menjadi kebanggaan keluarga di Gaza. Gambar mereka terpampang di ruang tamu rumah.
Jadi, tidak hairan sewaktu pertempuran, remaja Gaza sanggup menggunakan lastik dan batu untuk bertempur menentang tentera penakluk lengkap bersenjata berat. Bagi mereka syahid satu kebanggaan.
Tercabar Dan Mencabar
Perjalanan ini tercabar ...
Dicabar keangkuhan tidak bernoktah
Dicabar kerakusan kuasa dalam diri
Dicabar dendam kesumat hati hitam Zionist ...
Perjalanan ini mencabar ...
Mencabar ketabahan diri
Mencabar kesabaran jiwa
Mencabar kenekadan insan kerdil ...
Tercabar dan mencabar
Lumrah
Dalam mencari satu iktibar
Dalam mengungkap satu kebenaran
Selamat tinggal
Tweet
Dicabar keangkuhan tidak bernoktah
Dicabar kerakusan kuasa dalam diri
Dicabar dendam kesumat hati hitam Zionist ...
Perjalanan ini mencabar ...
Mencabar ketabahan diri
Mencabar kesabaran jiwa
Mencabar kenekadan insan kerdil ...
Tercabar dan mencabar
Lumrah
Dalam mencari satu iktibar
Dalam mengungkap satu kebenaran
Selamat tinggal
Rabu, Jun 23, 2010
Sikap Dan Keputusan Membunuh Mereka
Setakat ini 2 disahkan mati, 15 lagi hilang dan 8 terselamat dalam tragedi bot pancung karam di perairan Port Dickson, Negeri Sembilan jam 3 pagi semalam.
Kesemua mangsa, dipercayai pendatan tanpa izin, PATI dari Indonesia dilaporkan cuba keluar dari negara ini melalui pangkalan haram. Saya yakin, semua mangsa dewasa akur bahawa keputusan meninggalkan Malaysia secara tidak sah, salah di sisi undang-undang dan berisiko tinggi.
Berikutan kejadian itu, 2 awak awak warga sama diselamatkan, diberkas dan direman polis.
Hemat saya, sebilangan PATI didapati tinggal, masuk dan keluar dari Malaysia sesuka hati mereka sekaligus memperlekehkan undang-undang negara ini.
Jika diamati, selain PATI berasal dari Indonesia, PATI dari negara lain juga terbabit dalam kancah jenayah. Mereka saling berbunuh-bunuhan antara satu sama lain. Sebilangan suspek warga asing terbabit berjaya ditahan pihak polis dan dihukum tetapi nyawa mangsa tetap melayang.
Maksudnya, biarpun pihak berkuasa Malaysia gagal menahan dan menghukum mereka, sikap buruk dan keputusan dangkal menghukum mereka sendiri.
Selasa, Jun 22, 2010
Blogger Berjiwa Kacau
Terima kasih kepada semua pembaca secara ikhlas mendoakan keselamatan krew TV3 bakal membuat liputan di Gaza.
Tidak lupa juga saya rakamkan ucapan sama kepada blogger, Ibnu Marzuki Al Firdaus melontarkan komen dan peringatan berikut.
'SEBELUM NAK KOJOL KAT SANER TUH, CEPAT MOHON MAAF KAT SESAPER YANG DISAKITI...'
Barangkali ramai bloggers mengenali Ibnu Marzuki, blogger 'attention seeker', sering mencatatkan pelbagai komen tercetus dari jiwa kacaunya bukan sahaja di sini malah di beberapa blog lain.
Saya bimbang, jika komennya tidak dicetak semula, jiwa kacau itu akan terus sakit.
Hidup Ku Mati Ku Kerana Allah
2 minggu.
Itu tempoh diperuntukkan kepada krew TV3 bakal ke Gaza Sabtu ini. Dari Lapangan Terbang KL, kami akan terbang ke Kaherah, Mesir mengambil masa 10 jam.
Di Kaherah, kami akan menguruskan dokumen kebenaran melepasi lebih 10 check points di Mesir sebelum memasuki Gaza melalui Rafah. Pintu masuk terbabit dibuka sejak 1 Jun lalu bertujuan membenarkan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza.
Andaikata gagal menyeberangi sempadan, kami barangkali terpaksa memilih alternatif ke dua, menggunakan satu daripada lebih 1,000 terowong digali di sempadan Mesir-Gaza. Terowong tanpa ciri keselamatan selama ini digunakan untuk menyeludup masuk barangan keperluan antaranya ubat dan makanan ke Gaza.
Jika selama ini, berita berhubung konflik di Gaza disiarkan majoriti media barat, kali ini TV3 berusaha membuat liputan sekaligus memaparkan berita dari Gaza mengikut perspektif kami. InsyaAllah saya akan ke Gaza bersama wartawan Majalah 3, Fariha On, penterjemah dan jurukamera.
Laporan media mencatatkan, setakat ini 10 wartawan dari negara lain membuat liputan di Gaza terkorban. Namun, sebelum pergi, saya percaya mangsa akur berhubung risiko bakal mereka depani sewaktu melaksanakan tugas.
Difahamkan, 2 kafe internet di Gaza diletupkan kumpulan tertentu sebelum ini kerana sebilangan percaya kemudahan capaian maklumat tanpa sempadan itu mampu mempengaruhi pemikiran penduduk tempatan. Maksudnya, jika berada di Gaza, internet bukan kaedah pilihan untuk berkomunikasi bersama pembaca setia blog ini. Jadi, tiada update mampu saya kongsikan bersama anda semua dalam tempoh 14 hari.
Manakala saya dimaklumkan, setiap pesanan ringkas dihantar dari Gaza, khabarnya mengambil masa 24 jam untuk diterima di Malaysia kerana terlebih dahulu ditapis kerajaan Israel.
Kepada semua pembaca, maafkan saya sekiranya pernah melakukan sebarang kesalahan sepanjang tempoh berinteraksi dengan anda semua di blog ini. Ajal maut tuhan menentukan.
Apapun, dengan rendah hati, saya memohon, doakan krew kami selamat pergi dan kembali ke negara kami cintai ini sekaligus memberi peluang berkongsikan kisah sebenar kesengsaraan penduduk Islam Gaza akibat serangan dan tekanan diwujudkan rejim Zionis di Israel selama ini.
Hidup ku, mati ku kerana Allah Taala.
Ahad, Jun 20, 2010
Macam Mana Buat Anak?
Saya dimaklumkan kaum tanpa identiti, Bajau Laut atau Palauh di Sabah hidup di dalam sampan siang dan malam kerana majoriti bekerja sebagai nelayan. Mereka jarang naik ke daratan, pening bak mabuk laut.
Sampan dengan ruang sempit tanpa bilik tidur. ruang tamu dan dapur menempatkan lebih daripada 10 ahli keluarga, ayah, ibu, anak dan saudara-mara.
Rakan melontarkan satu soalan.
"Macam mana dia orang 'buat' anak?"
Saya tidak mampu menjawab soalan itu.
Sabtu, Jun 19, 2010
Bertepuk Sebelah Tangan Tidak Menjadi
Premis mesin judi online kini beroperasi di seluruh negeri di Malaysia termasuk di Kelantan. Terbaharu, 22 komputer diubahsuai menjadi mesin judi dirampas pegawai dan anggota polis di Kota Bharu.
Sindiket menawarkan perjudian sebegitu akan terus beroperasi, patah tumbuh, hilang berganti biarpun pihak polis sentiasa mengambil tindakan menggempur premis mereka.
Setakat ini saya tidak melihat sebarang kaedah penyelesaian dirangka dan dilaksanakan pihak berkuasa bertujuan membanteras perjudian online secara total. Selain polis, majoriti pihak berkuasa tempatan juga mempunyai peruntukan undang-undang merampas mesin terbabit.
Saya pernah menemubual pemilik premis perjudian dalam operasi saya sertai sebelum ini.
"Kalau mahu sewa itu kedai, owner tahu kita mahu buka kedai mesin, dia sewa kasi naik, RM6,000, kalau berniaga 'halal' punya, sewa RM2,000 sahaja. 3 pekerja, gaji RM3,000, api campur air RM1,000. Sekarang ekonomi tak cantik. Satu bulan, satu kedai hanya boleh untung 3 atau 4 ribu. Dulu, boleh dapat RM10,000," ujarnya.
"You ada berapa kedai?," soal saya.
"Dua puluh," katanya.
Maksudhnya, kini dia meraih keuntungan purata RM80,000 sebulan, sebelum ini RM200,000.
Apabila ditinjau, majoriti pelanggan, pejudi, berbangsa Melayu manakala pengusaha, Cina. Pekerja premis, warga asing, kebanyakkan warga Indonesia dan Myanmar, kesemuanya menyalahgunakan permit kerja atau pas lawata sosial dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia.
Melayu terjebak dalam kancah perjudian, sanggup bergolok bergadai kononnya untuk meraih keuntungan dengan kadar segera, walhal ramai kecundang dan kerugian sehingga mencecah jumlah ratusan ribu ringgit.
Lebih sedih, apabila wang membeli susu anak turut diperjudikan.
Dalam bercinta, kata pujangga, bertepuk sebelah tangan tidak akan menjadi. Begitu juga di kancah perjudian. Jika perjudian ditawarkan dalam apa bentuk sekalipun dan orang Melayu bertindak menjauhi kegiatan itu, saya yakin banyak premis perjudian akan tutup kedai.
Jika mereka dari bangsa lain, ingin berjudi, terserah. Orang Melayu, beragama Islam akur, berjudi, satu daripada dosa besar. Justeru, mengapa harus didekati?
Khamis, Jun 17, 2010
1 Kilogram Tokek = Jutawan
Ditemui di Nunukan, Kalimantan, Indonesia, beratnya 174 kilogram, dijual dengan harga 64 juta ringgit. Nama haiwan reptilia itu, 'Tokek' dalam bahasa kaum Dusun di Sabah. Manakala kaum Bajau memanggilnya 'Tekke'.
"Tokek kalau terkena kulit manusia, dia akan melekat macam Spiderman. Bila guruh berbunyi baharu tertanggal"
Itu di antara fakta dan mitos seringkali diperkatakan.
Sejak awal tahun ini harga tokek dilaporkan melambung tinggi, sila rujuk senarai harga saya perolehi di Lahat Datu tempoh hari. Jadi tidak hairan, sebilangan penduduk Sabah menjadikan kegiatan mencari tokek, kerja sepenuh masa. Masakan tidak, tokek seberat 1 kilogram berharga 1 juta ringgit sekaligus menjadikan pemiliknya jutawan.
Hempedu tokek dikatakan mampu mengubati penyakit HIV. Bagaimanapun setakat ini tiada kajian saintifik dijalankan bagi membuktikan dakwaan itu.
Rambut Sama Warna
Petang semalam, saya ke Kampung Bangau-Bangau di Semporna, Sabah. Terlihat 2 anak kecil berketurunan Bajau Laut, 'Palauh' ini.
Diperhatikan dari jarak lebih dekat, mereka berkongsi makanan, Nasi Kuning tanpa lauk di dalam plastik kecil.
Saya difahamkan, 75% daripada lebih 5,000 penduduk kampung sama, dewasa dan kanak-kanak seperti mereka, buta huruf dan tidak mempunyai pengenalan diri.
Majoriti berambut perang, barangkali akibat panahan terik matahari. Contohnya, seperti ini ...
ini ...
dan ini ...
Rambut sama warna, nasib berbeza. Siapa bakal membela kebajikan mereka?
Rabu, Jun 16, 2010
Bunga Burung
Sewaktu di Lahat Datu, Sabah, saya rakamkan gambar unik 'bunga burung' ini.
Gambar berikut juga unik bagi sebilangan pembaca, barangkali.
Isnin, Jun 14, 2010
"Mazidul, Aku Pastikan Ada Orang Potong Kaki Dan Tangan Kau!"
Jam 5.31 petang tadi saya menerima panggilan dari telefon awam, 089 771 083. Pemanggil terbabit membebel lebih 2 minit.
Saya percaya dia memiliki telefon bimbit tetapi 'malu' menggunakan kemudahan itu.
Ringkasnya, dia mahukan saya memberhentikan semua tugasan membabitkan kes pelacuran di beberapa lokasi di Sabah, antaranya di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu.
"Kalau kau datang lagi, aku pastikan ada orang potong kau punya kaki dan tangan," ujarnya dalam loghat Sabah.
Ini ugutan bunuh kali ke berapa saya terima? Entah, terlalu banyak untuk dikira.
Beberapa laporan polis pernah saya buat sebelum ini tetapi tidak ada sebarang tangkapan malah pegawai penyiasat kes langsung tidak memaklumkan saya berhubung perkembangan siasatan dilakukan. Jadi, saya penat untuk ke balai polis buat kesekian kalinya.
Turut menerima panggilan dan ugutan bunuh lelaki sama, penerbit 999, Shahnun Haniff.
Turut menerima panggilan dan ugutan bunuh lelaki sama, penerbit 999, Shahnun Haniff.
Apapun, tugasan akan tetap kami lakukan bersama semua krew 999 kerana saya percaya, nyawa kami bukan milik manusia.
Daripada Allah kami datang, kepadaNya kami kembali, itu hakikat sebenar.
Pendedahan Eksklusif! (Bongkok Dan Silakan Masuk Ke 'Rumah' Kami)
Saya berada di Kota Kinabalu, Sabah, sejak 11 Jun lalu. Lihat gambar di bawah, saya rakamkan pada jam 4.30 petang semalam.
Langit biru, pantai tenang, jiwa menjadi lebih tenteram. Namun isu bakal saya kongsikan bersama pembaca tampalan ini, lebih daripada itu. Perhatikan gambar jambatan di Jalan Tanjung Lipat, Teluk Likas. Menarik? Mungkin tidak, hanya jambatan.
Cuba lihat close up papan tanda ini.
Maksudnya, orang ramai dilarang mendekati kawasan ini, berbahaya. Namun sewaktu meninjau kawasan sama dari jarak jauh, saya rakamkan gambar berikut di bawah jambatan.
Kain bersidaian, semestinya milik manusia seperti kita. Lantas kami meninjau lebih dekat. Didahului jurukamera, Mohd Zamri Ajmain, 'Jai', diikuti penerbit 999, Shanun Hanif bersama jurukamera berpengalaman, mula saya kenali 14 tahun lalu, Kassim Mahmun, 'Pak Kassim'.
Apa kami lihat, memeranjatkan.
Kawasan di bawah jambatan ini berpenghuni. Pantas kami mendekati 7 sekeluarga tinggal dalam keadaan daif dan kotor, tanpa bekalan air bersih, jauh sekali elektrik. Ketua keluarga, Subanati, berbaju merah, berketurunan Bajau Laut, atau lebih dikenali dengan gelaran 'palau'u' ditemubual Shanun.
Menurutnya, mereka sekeluarga tinggal di bawah jambatan terbabit sejak 7 bulan lalu. Dia mempunyai 'biliknya' sendiri. Mujur Pak Kassim berkebolehan berbahasa palau'u, menterjemahkan perbualan kerana Subanati tidak boleh berbahasa Melayu.
Dalam keadaan busuk dan panas, dia berkongsi beberapa fakta, mengaku dia dan ahli keluarganya tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala hasil bekerja mencari pelbagai cengkerang antaranya tiram dan kerang di laut berhampiran tidak seberapa. Justeru, dia tidak mampu menyewa rumah seperti orang lain. Kesengsaraan hidupnya dikongsi bersama, isteri, 3 anak, ibu, menantu dan cucu.
Lihat buaian di kiri anak perempuan Subanati, Sibunga dan menantunya, Jimmy. Sambil berjalan membongkok, saya menghampiri buaian dan sekaligus hati sayu melihat 'penghuninya'. Bayi berusia 4 bulan, Musliana, tidur nyenyak, biarpun di atas, ribuan kenderaan lalu-lalang melintasi jambatan.
Beberapa minit kemudian dia terjaga kerana basah. Sejurus seluar disalin ibu, saya mendukung anak kecil ini.
Reaksinya seperti dijangka lebih awal, cuma pembaca tidak berpeluang mendengar jeritannya mengalahkan pitch tertinggi suara merdu Ning Baizura.
Manakala di pangkin kayu sebelah, anak lelaki kecil Subanati, anak perempuan remaja dan ibunya berbaring tanpa berlapik. Badan mereka panas, demam dan batuk, cuma diselimuti kain basahan lusuh.
Namun gambar saya rakamkan di bawah, berhampiran mereka mungkin membantu menjelaskan keadaan sebenar mengapa kesihatan kesemua ahli keluarga terbabit terjejas.
Tikus merayap longlai, kelihatan tidak sihat dan aktif.
"Dia orang semua tak ada dokumen, jadi bila ditanya, mana dia orang tahu umur berapa sebab tak tahu bila lahir," ujar Pak Kassim dalam loghat Sabah.
Menurutnya lagi, di Sabah, palau'u juga dikenali sebagai 'Gypsy', kaum nomad berpindah-randah mengikut keperluan. Terima kasih Pak Kassim kerana sudi menjadi perterjemah bahasa dan terpaksa membongkok sepanjang penggambaran lebih sejam, membantu kami menjayakan tugasan ini.
Saya yakin, banyak lagi keluarga palau'u hidup merempat di Sabah. Jika pihak berkuasa tidak melaksanakan tindakan wajar sekaligus mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat', imej negara pasti tercemar kerana pada masa sama kita menafikan hak asasi mereka sebagai manusia.
Saya yakin, banyak lagi keluarga palau'u hidup merempat di Sabah. Jika pihak berkuasa tidak melaksanakan tindakan wajar sekaligus mengamalkan sikap 'tunggu dan lihat', imej negara pasti tercemar kerana pada masa sama kita menafikan hak asasi mereka sebagai manusia.
Kisah sepenuhnya akan didedahkan dalam program 999, jam 9 malam, 24 Jun 2010.
Langgan:
Catatan (Atom)