Ahad, Februari 28, 2010

Noktah Seksa Syafia

Syafia Humairah Sahari, 3 tahun maut jam 7.30 malam, 26 Februari, Jumaat lalu di Kampung Batu 30, Batang Kali, Selangor.

Bedah siasat mayat di Hospital Kuala Kubu Bharu semalam mendapati abdomen Syafia pecah dan berlaku pendarahan otak selain kecederaan di leher, pipi dan bahu. Suspek, pemandu teksi berusia 28 tahun semasa disoal siasat polis dilaporkan mengaku menendang mangsa dan memijak kepalanya sewaktu kejadian. Saya tidak mampu membayangkan trauma dilalui dan kesakitan dideritai tubuh kecil itu. Dia anak kecil bukan tandingan tenaga si bangsat terbabit.

Malangnya, beberapa saksi dikatakan tidak berani menegur perlakuan suspek apatah lagi melaporkan kes kepada polis kerana dia banas baran.

“Dia memang bukan manusia dan tarafnya lebih rendah daripada binatang. Mana tidaknya, binatang pun tidak akan membuat perkara sekejam itu,” kata Siti Nurhanim Aziz, 25, ibu Syafia dipetik Harian Metro.

Hairannya, Nurhanim dikatakan mula menjalinkan perhubungan bak suami isteri bersama suspek sejak 6 tahun lalu. Buta hati andai dia mendakwa tidak mengenali sikap teman lelaki, menyamar sebagai suaminya itu.

Buletin 1.30 tadi menyiarkan temubual bersama Nurhanim. Dia mengaku suaminya, ayah Syafia enggan menceraikannya (baca: digantung tidak bertali). Untuk rekod, suami Nurhanim, ayah kandung Syafia, Sahari kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana terbabit dalam kes pembunuhan pada tahun 2006.

“Saya mengaku banyak membuat kesilapan …,” kata Nurhanim ketika merayu mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Nurhanim dipercayai melahirkan bayi lelaki berusia 1 tahun 6 bulan hasil perhubungan dengan suspek, kini dia dilaporkan mengandung 4 bulan. Sehubungan itu menurut Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintendan Bakhtiar Mohd Rashid, polis akan merujuk kes terbabit kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan lanjut. Jika dakwaan berhubung kelahiran anak luar nikah itu benar, Nurhanim wajib dituduh di mahkamah syariah. Melalui saat duka, bukan alasan dia dilepaskan begitu sahaja dari tindakan undang-undang dunia.

Akhbar sebelum ini melaporkan, datuk mangsa, Aziz Shahar, 50 tahun, terkilan kerana pernah melihat kesan kecederaan pada tubuh cucunya itu tetapi mendiamkan diri kerana tidak menyangka dia didera. Terfikir, jika benar dakwaan Aziz, masakan Nurhanim sebagai ibu, hidup bersama Syafia tidak mengetahui kejadian sebenar?

Dakwaan Aziz diperjelaskan DSP Bakhtiar.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati terdapat penderaan berterusan pada badan mangsa. Ada kesan-kesan kecederaan luaran baru dan lama dilakukan dipercayai dipukul oleh benda keras”

Cinta tidak mengenal siapa, barangkali.

Berikut kenyataan klise ibu mangsa berhubung suspek disahkan positif ujian saringan dadah sewaktu ditahan.

“Orang sepertinya tidak patut wujud atas muka bumi ini,” komen Hurhanim berhubung suspek.

Malangnya, hanya selepas 2,190 hari (baca: 6 tahun) baharu dia tersedar berhubung fakta itu.

Suspek direman 7 hari sehingga Khamis ini dan polis dipercayai akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman maksimum 7 hari lagi untuk menuduhnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh.

Keluarga Nurhanim dan keluarga suspek dilaporkan bertengkar lebih 20 minit di pekarangan bilik mayat hospital mempertikaikan hak tuntutan jenazah mangsa. Jenazah Syafia akhirnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 17 Kuang pada jam 5 petang semalam.

Apapun berlaku, seksa dunia Syafia, dinoktahkan sudah. Mereka masih hidup dan terbabit dalam pembunuhannya akan dibicarakan di mahkamah dunia dan mahkamah Allah. Pembasalan setimpal akan mereka terima.

NOTA Dalam Buletin Utama 28 Februari, Nurhanim menafikan dia mengandung anak kedua (4 bulan).

Yap Ah Loy

Yap Ah Loy berasal dari Guangdong, China dan mula bekerja di lombong bijih timah di Durian Tunggal, Melaka pada usia 18 tahun Empat tahun selepas itu Yap merantau ke Lukut, Negeri Sembilan dan bekerja sebagai pembantu tukang masak di lombong bijih timah sekaligus mempelajari ilmu berhubung perlombongan. Yap kemudian berpindah ke Sungai Ujong sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur sehingga dilantik sebagai ketua berpengaruh, Kapitan Cina pada tahun 1808.

Saya percaya ramai pembaca pernah mendengar atau membaca kisah berhubung Yap Ah Loy. Nama beliau tercatat di dalam buku sejarah pelajar sekolah.

Lebih 200 tahun kemudian masih ramai warga Guangdong berhijrah ke Malaysia. Malangnya sebilangan mereka berkhidmat sebagai pegawai perhubungan pelanggan, pelacur dan peminta sedekah dikawal sindiket tempatan. Nama mereka tercatat di dalam fail polis dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Mereka bukan tokoh berpengaruh.

Sabtu, Februari 27, 2010

Kisah Si Pemandu Teksi (Update Perhimpunan Bloggers)

Bukan semua pemandu teksi baik (baca: majoriti berhati murni, jujur dan masih mempunyai ciri kemanusiaan).

Ada pemandu teksi sibuk bersembang menggunakan telefon bimbit sewaktu bertugas.  Jika ditegur sebilangan tidak endah malah melenting.

Pada masa sama, biarpun kerajaan menaikkan tambang teksi, masih banyak aduan diterima berhubung tindakan pemandu teksi enggan menggunakan meter. Mereka terus mencekik darah.

Sebilangan pemandu teksi gemar berjudi. Mereka berkumpul, 'menchai' (menilik) nombor ekor di lokasi terpilih.

Ada juga 'membela' pegawai perhubungan pelanggan, GRO. Pada awalnya GRO hanya pelanggan 'regular' dihantar ke tempat kerja dan kemudian dijemput pulang. Namun kemudian, lahir bibit-bibit cinta berkepentingan. GRO membayar tambang menggunakan tubuh, pemandu puas, tersengih.

Dahulu, ada pemandu teksi menyamar, berpakaian sami dan merogol penumpang perempuan. Pintu belakang teksi diubahsuai, boleh dikunci pemandu menggunakan punat istimewa.

Selain daripada itu pemandu teksi juga terbabit dalam kes menyamun barang bernilai milik pelanggan.

Terkini, pemandu teksi berusia 28 tahun direman sehingga 4 Mac untuk disiasat berhubung kes pembunuhan Syafia Humairah Sahari, 3 tahun di Kampung Batu 30, Hulu Yam Lama, Batang Kali, Kuala Kubu, Selangor. Mangsa dilaporkan ditendang bak bola sehingga menyebabkan kecederaan fizikal luaran dan dalaman.

Ibu Safia, Siti Nurhanim Aziz, janda berusia 25 tahun berasal dari Sungai Pelong, dikatakan bekerja di kilang sewaktu kejadian. 

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, suspek sewaktu disoal siasat polis mengaku mencederakan mangsa, menampar dan menyepaknya. 

Kisah si pemandu teksi, tidak ubah seperti meter diubahsuai, ada sisi gelapnya.

Gambar Mangsa (atas), ibunya (bawah)

UPDATE Perhimpunan Bloggers

Lokasi : COMMONWEALTH FOREST PARK & RESORT
Kompartmen 3 Hutan Simpan Bukit Lagong
KM 23 Jalan Kuala Lumpur - Rawang
48000 Rawang Selangor

Sila rujuk :  laman web, http://cfpresort.com/

Masa : 3-6 petang.

Bayaran : RM10 setiap seorang (umur 12 tahun ke bawah PERCUMA) untuk barbq dan sewa tapak. Makanan dan minuman selain daripada itu, sila bawa secara pot luck.

Semua bloggers sila pakai baju merah (baca: ada calit merah sikit pun ok)

Maklumat lain akan diumumkan kemudian. Terima kasih.

Romi Si Pelayan

“Sebelum ini ramai pekerja tetapi dia orang berhenti ramai-ramai sekali. Kerja di sini teruk, orang (pelanggan) ramai,” kata wanita bertudung mengira harga makanan di atas meja sebelum dijamah.

Oh! Padanlah sewaktu kami tiba di kedai terkenal di Port Dickson, Negeri Sembilan (baca: recommended by a chef from Tiara Beach Resort) itu tiada pekerja mengambil pesanan makanan.

“Uish! Nama kedai top (baca: ada 2 cawangan),” komen ringkas saya kepadanya. 

Kejap! Kejap! Let's replay. Sebelum terlupa, kita analisa kenyataan awal wanita itu.

Dia berkata 'kerja di sini teruk, orang (pelanggan) ramai’, saya spontan terfikir, adakah kenyataan itu bermaksud dia tidak suka terlalu ramai pelanggan berkunjung ke kedai terbabit? Yalah, jika terlau ramai, dia terpaksa bekerja teruk.

Begitu ke? Apapun saya akur, dia bukan pemilik kedai, dia bercakap sebagai pekerja dalam keadaan tertekan kerana terlalu sibuk melayan pelanggan. Jika pemilik kedai bercakap begitu, memang dia bermasalah.

Ketika tiba di kedai itu pada jam 1.10 tengahari tiada pekerja membersihkan meja, jauh sekali mengucapkan selamat datang (baca: mungkin sebab itu ada tergantung ukiran kayu bertulis ‘welcome’ sebagai pengganti sambutan perkataan manusia). Namun ‘greeting’ itu tidak penting, berapa ramai sangat pekerja premis menjual makanan berpeluang 'to welcome' pelanggan? Boleh dikira.

Lapar, berdiri terpinga-pinga, saya dan Ramlan, dibantu isterinya, Romihamiza Md Som, 'Romi' dan rakan, Suhaila Bahari tanpa berlengah mengangkat meja dan kerusi tambahan untuk 12 pelanggan (baca: kami). Selalunya, apabila pelanggan mengangkat meja, pasti ada pekerja kedai datang membantu kerana berasa kekok melihat senario itu. Di kedai ini berlainan, tiada siapa mengambil tahu.

Kedai ini kurang pekerja.

Saya kemudian ke dapur.

“Ada kain? Saya hendak lap meja,” ujar saya.

Tiada kain dihulurkan, namun 5 minit kemudian pekerja lelaki datang dan membersihkan meja.

Romi kemudian ‘mengambil alih’ tugas pelayan, mencari sedozen pinggan di dapur dan membawa ke meja dengan senyuman (baca: sempat bergambar) pada jam 1.30 tengah hari.

Isteri dan Suhaila, sibuk memilih lauk, menyenduk dan menghidangkan juadah antaranya ayam goreng, ikan kembung bakar, ikan patin masak asam dan telur ayam masak lemak cili padi.

Ketika itu saya sempat mengira bilangan meja, 20 kesemuanya. Itupun bukan semua berpelanggan.

“Pekerja di hadapan ada 4 orang sahaja,” kata wanita muda menghampiri meja kami untuk mengambil pesanan minuman.

“Budak-budak sudah ambil sendiri air tin dan ais batu. Ada 6 orang sahaja tidak order lagi,” ujar saya.

Seperti dijangka, 6 pesanan ditulis tidak sama dengan jenis minuman dihantar ke meja 15 minit kemudian. Mungkin pembuat air di dapur tersilap membaca tulisan di kertas nipis. Mungkin kertas itu basah lalu tulisan teh ‘O’ ais kelihatan seperti Milo ais. Maklumlah, mereka sibuk, bilangan pekerja pula kurang seperti didakwa.

“Tung! Tang! Tung! Tang! Tung! Tang!”

2 lelaki sedang memasang 6 tayar gerai tolak di sebelah kami, mengetuk paku berulang kali tanpa menghiraukan pelanggan. Bising, menyakitkan telinga tetapi pedulikan itu semua. Mungkin tidak didengari pemilik kedai, dia sibuk mengira wang di kaunter. Pelayan pula peduli apa, mereka bukan taukeh untuk menegur.

Makanan di kedai itu sedap tetapi bukan terlalu sedap, itu mengikut citarasa saya.

Apapun, jika pembaca ke Port Dickson, bercadang makan di kedai terkenal berhampiran ‘masjid putih’, tanya dahulu kepada pemiliknya sebelum duduk ...

Pekerja cukup ke hari ini?

Three Of Us



Saya tanyakan kepada mereka berdua ...

"Cita-cita jadi apa?"

Abang berkata dia ingin menjadi chef manakala adik menjawab ...

"Pegawai polis, ASP Muhammad Azard Faez Mazidul Akmal"

Entahlah, itu cita-cita mereka ketika berusia 9 dan 12 tahun. Mungkin Azard belum mengetahui pelbagai cabaran didepani anggota dan pegawai Pasukan Polis Diraja Malaysia. Mungkin dia hanya tertarik melihat mereka berpakaian seragam lengkap bersenjata.

Biarlah mereka menanam cita-cita, tidak salah. Saya juga tidak pernah memaksa keduanya mengikut jejak langkah kerjaya saya dalam bidang kewartawanan. Dari satu sudut, kerjaya sebagai wartawan lebih kurang sama dengan polis. Mereka terbabit harus berani menerima kecaman dan pujian, bergantung kepada keadaan.

"Tadi masa menyelam di swimming pool, Azard jumpa rantai tangan," kata anak bongsu saya itu.

"Lepas itu?," soal saya.

"Bagi kepada orang jaga swimming pool," jawabnya.

"Kenapa bagi kepada dia orang?"

"Mana boleh ambil, berdosa," katanya.

Sebagai ayah saya berharap kejujuran itu akan terpahat di dalam hatinya sepanjang hayat, biar apapun sekali kerjaya bakal dipilihnya pada masa akan datang. Tanpa kejujuran, tindakan manusia acapkali terpesong dan kehidupan pasti tidak akan senang di dunia dan akhirat.

PLUS Tunggu Mangsa Ke 10?

Sebelum ini saya mengesyorkan PLUS menunda kenderaan berat rosak (baca: di lebuhraya kendalian PLUS Expreessway Berhad ) ke lokasi lebih selamat, baca di sini, kerana itu tanggungjawab syarikat. Bagaimana kaedah digunakan? Saya tidak berminat untuk tahu kecuali jika PLUS berani membuat kenyataan bahawa menunda kenderaan berat rosak di lorong kecemasan BUKAN sebahagian daripada tugas wajib dilaksanakan.

Untuk rekod, 3 kemalangan mengorbankan 8 nyawa sebelum ini berlaku akibat kenderaan ringan merempuh bahagian belakang lori dan treler (baca: samada pemandu berehat dan kenderaan mereka rosak) di letakkan di lorong sama.

Semalam, insiden berulang lagi. Mohd Fazli Mohamad, 27 tahun maut apabila van dipandunya merempuh belakang lori di Kilometer 331 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tapah, Perak. Manakala, rakannya Mohamad Ramli Zamri, 30 tahun mengalami kecederaan parah.

Maksudnya, sepanjang bulan Februari sahaja, 9 nyawa melayang akibat kes sama. Memang diakui, ajal maut di tangan tuhan tetapi apa tindakan PLUS untuk mengelakkan kejadian berlaku? Sedangkan PLUS sedar usaha meletakkan kon keselamatan di belakang lori tidak begitu berkesan membendung kemalangan daripada terjadi. 

… atau PLUS sedang menunggu mangsa ke 10 dalam jangka waktu terdekat?

Jumaat, Februari 26, 2010

Perjumpaan Bloggers - UPDATE

Blogger Hazrey memaklumkan saya, lokasi perjumpaan akan diketahui selewat-lewatnya esok.

Dia juga menambah setakat ini tiada sebarang percubaan mencipta Malaysia Book of Records menghimpunkan bilangan pemilik blog paling ramai di Malaysia. Namun, saya belum dimaklumkan berhubung prosedur sebenar untuk melaksanakan misi terbabit.

Jelasnya, jika 3 bloggers berjaya dihimpunkan, rekod akan tercatat, begitu juga jika 360 atau 999 bloggers hadir pada 6 Mac ini.

Tunggu perkembangan terkini.

Timun Kalahkan Petai

Jam 4.30 petang tadi saya bersembang dengan pengurus dan chef Terrace Cafe di Tiara Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Ada formula untuk menghilangkan bau petai?," tanya saya kepada Zukri.

Zukri Mohd, chef.

"Selalunya makan beras atau bunga cengkih," balasnya.

"Cuba makan timun selepas makan petai, boleh potong bau about 90%," usul saya.

"Ooooo Boleh cuba. Setahu saya kalau jari luka, sapu dengan getah timun, boleh berhentikan darah dan luka cepat bertangkup," balas chef kelahiran Tumpat, Kelantan itu.

"Tetapi kalau bau dalam bilik air tak boleh hilang kut," sampuk Sobri Mat Desa, pengurus.

Saya dan Zukri tersenyum.

Gambar Zukri (kiri) dan Sobri


NOTA Memang, cuaca di Port Dickson lebih panas berbanding di Kuala Lumpur.

Panas

Cuaca panas berterusan.

Saya ke Port Dickson, Negeri Sembilan, tinggal di hotel, pasang air-con 16C.

Cadang hendak makan masak lemak cili padi ikan darat.

Selamat menyambut Maulidur Rasul.

Khamis, Februari 25, 2010

Perhimpunan Bloggers Untuk Cuba Dicatat di Malaysia Book Of Records

Saya mempunyai SATU impian, impian kepingin dizahirkan dengan kerjasama semua.

Impian sama saya kongsikan bersama pemilik blog Hazrey [ Bapak gula-gula ] Shamsul [ Ondscene ], [ Military Malaysia ] dan 3 bloggers lain (baca: lain bakal diumumkan dalam jangka waktu terdekat).

Selama ini kita pernah mendengar individu atau kumpulan mencipta nama di Malaysia Book of Records, MBR. Di Bintulu, Sarawak, 1,655 layang-layang pelbagai jenis diterbangkan pada masa sama, usaha itu dicatatkan di MBR. Pakar Kung Fu Malaysia menusukkan jari telunjuk ke dalam 4 kelapa dalam masa 30.81 saat juga mencatatkan rekod, begitu juga sekumpulan penari Salsa, menari tanpa henti selama 14 jam menempa nama di dalam MBR. 

Jadi, mengapa tidak kita dan bagaimana?

Kita TIDAK perlu bermain layang-layang (baca: nanti sakit tengkuk), TIDAK perlu mencederakan jari telunjuk dan TIDAK perlu melenguhkan kaki menari.

Cara mencapai misi itu, jauh lebih mudah. Kita semua hanya perlu menghadirkan diri ke 'Perhimpunan Bloggers Paling Ramai' dan cuba mencatatkan kegiatan itu di MBR.

Tidak mustahil, bukan? InsyaAllah.

Tarikh ditetapkan pada 6 Mac (Sabtu) 2010, lokasinya di Selangor, akan diumumkan kemudian  (baca: sudah pasti bukan di Zoo Negara, Tugu Negara atau di pekarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur). Kami akan memilih lokasi paling sesuai dan selesa untuk pemilik blog datang bersama keluarga dan rakan (baca: samada mempunyai blog atau tidak).

Dengan ini saya menjemput semua pemilik blog untuk menghadirkan diri (baca: boleh membawa bayi, anak kecil, anak dara, anak bujang, menantu, suami, isteri, ayah, ibu, ipar, duai, biras, datuk, nenek, jiran, rakan dan lain-lain insan dikenali).

Makanan dibawa secara 'pot luck' (baca: kacang goreng, kuaci, Cikedis, Mummy, air sirap ok).

Perincian perhimpunan terbabit akan dimuatkan di tampalan ini dari masa ke semasa. Sila hebahkan kepada semua kenalan.

Kepada pembaca blog ini berkelapangan menghadirkan diri sila CATATKAN di bahagian komen untuk kami mencongak bilangan bloggers bakal dihimpunkan.

Rabu, Februari 24, 2010

RM11 Juta Hasil Video Lucah

Mungkin ramai sebelum ini menerima pesanan ringkas menawarkan penghantaran klip video lucah 3 minit melalui telefon bimbit.

RM3 caj dikenakan jika pelanggan bersetuju.

Harian Metro melaporkan jam 10 malam semalam, suspek berusia 34 tahun ditahan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor.

Suspek, bekas eksekutif syarikat telekomunikasi, dilapor berjaya mengumpul lebih 11 juta ringgit menggunakan syarikat miliknya sejak beberapa tahun lalu.

Bayangkan jika anak kecil hingusan menjadi sebahagian daripada statistik pelanggan klip video terbabit tanpa pengetahuan ibu bapa. Pendedahan tidak sihat bagi mereka.

Andai mahkamah mendapati suspek sabit kesalahan, dia memang celaka!

The Star Mohon Maaf

Akhbar The Star hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung tulisan Pengarang Urusannya, P. Gunasegaram berhubung undang-undang syariah Jumaat lalu. 


Sila rujuk tempelan blogger Bujai (Just Read) di sini.

Manusia membuat kesilapan. Kesilapan mengajar kita untuk berfikir dan bertindak lebih matang. 

Kisah Wanita (baca: lelaki tidak perlu jenguk)

Saya tempelkan kan kenyataan berikut di Facebook.

Masa bujang JAGA pakaian, kecantikan dan bentuk badan. Malangnya apabila sudah berkahwin (baca: bukan semua), usaha terbabit dipandang REMEH. Itu sikap majoriti P*R**P**N.

Antara komen menarik dicatatkan ...

 Jawapan klise: mereka bz urus anak² dan suami; pada mereka biarla penampilan dikeHULUkan asalkan keselesaan suami dan anak² diUTAMAkan... (pn bukan semua) :) - As Lee Aspar

Kisah perempuan lagi ............ - MrsNor Wahid
 
Ye ke?? :)) - Puteri Pisang
 
Berat sebelah - Kawaii Desu
 
Saya bukan bersikap chauvinistic, sekadar membangkitkan isu kekadang kita semua pandang sambil lewa.

Tertipu Dek Air Liur

Wanita sering ditipu akibat ‘termakan’ dek bait-bait cinta. Mungkin kerana telinga wanita gemar ‘disumbat’ lalu ‘cair’ mendengar kenyataan indah menusuk kalbu.

Baca laporan akhbar Harian Metro hari ini, berhubung 2 kes wanita tempatan ditipu lelaki asing membabitkan wang berjumlah RM125,783 dan RM400,000.

Dalang sindiket, dipercayai warga Afrika dikatakan menyamar menggunakan photo lelaki Korea kacak (baca: kes suka tengok drama Korea agaknya) untuk memperdaya mangsa.

Baca laporan penuh di sini.

Ok, ok, bukan semua wanita (baca: ayat ini wajib ditulis), sebilangan mereka.

Apapun, kes penipuan juga turut membabitkan lelaki tempatan. Cuma wanita ditipu samada kerugian wang, harta benda mahupun maruah diri, jarang bersuara akibat malu atas kebodohan ditempa. Selalunya begitulah tetapi tidak semua.

Berikut kisah benar diceritakan kenalan, tidak perlu saya dedahkan identitinya.

‘Yan’, 23 tahuh berkenalan dengan lelaki muallaf (baca: berketurunan Cina) dari Tuaran, Sabah melalui laman sosial ‘Tagged’ dan difahamkan dia hanya berpeluang bertemu 'kekasih' berusia 30 tahun terbabit 5 kali sahaja dalam tempoh 12 bulan.

“Dia kata hendak develop bisnes untuk masa hadapan kita orang,” kata Yan.

Akibat terlalu percaya dengan pujuk rayu, Yan sanggup berkorban membuat pinjaman kewangan daripada bank tempatan, mengeluarkan wang tunai melalui kad kredit miliknya dan akaun simpanan. Kesemua wang berjumlah lebih RM40,000 diserahkan kepada lelaki tunangannya sejak 2 bulan lalu itu.

“Selepas sebulan kami masih berhubung, after that, bila call tak angkat, SMS tak berbalas,” sambung Yan.

Bahananya, kini Yan terpaksa menjelaskan bayaran pinjaman lebih RM1,000 sebulan kepada pihak bank.

Kekadang kita berasa hairan bagaimana wanita terpelajar dikenali sering mempraktikkan sikap berhati-hati mampu tertipu dek air liur dan taipan aksara lelaki di papan kekunci komputer (baca: keyboard).

Belajarlah dari kesilapan orang lain BUKAN dari kesilapan kita. Itu tindakan lebih bijak.

Selesa

Ada waktunya kita tidak berasa selesa.

Namun cuba sedaya-upaya kelihatan selesa untuk membuatkan orang di sekeliling berasa selesa.

Jika itu mampu dilakukan, ringkasnya, kita tergolong manusia tidak mementingkan diri sendiri.

Apapun, bukan semua manusia mampu berperlakuan sebegitu.

Selasa, Februari 23, 2010

Laporan Polis terhadap P. Gunasegaram - UPDATE

Berhubung kritikan Pengarang Urusan akhbar The Star, P. Gunasegaram mengenai undang-undang syariah, 'Persuasion, Not Compulsion' baca di sini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM  telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur pada jam 2.20  petang tadi.

Jam 6 petang, Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr. Ma'amor Osman menghubungi saya melalui telefon memaklumkan, PPIM sedang berusaha untuk bersemuka dan mendapatkan penjelasan daripada P. Gunasegaram berhubung tulisannya itu.

Saya secara peribadi ingin mendengar penjelasan daripada individu sama.

It's 'Question Time' P. GUNASEGARAM.

Wanita Usah Marah Menghadapi Kenyataan

Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zain semalam meluahkan kebimbangan berikutan peningkatan penguasaan penjawat wanita sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam (baca: kakitangan kerajaan) semakin meningkat.

Contohnya, hampir ¾ jawaran baharu dalam perkhidmatan pegawai tadbir diplomatik diisi wanita sekaligus bertentangan dengan polisi kerajaan (baca: hanya memperuntukkan 30% jawatan pembuat keputusan kepada wanita).

Keadaan itu menurut beliau mampu mengakibatkan kepincangan sistem penyampaian kerajaan dalam jangka panjang.

Berikut antara alasan dikemukakan.

1. Perempuan kerap mengambil cuti panjang selepas bersalin justeru banyak keputusan tertangguh.

2. Lelaki dikatakan lebih kreatif dan fleksibel (baca: lebih mampu bertolak ansur) lalu tidak terlalu terikat dengan kerenah birokrasi.

3. Wanita tidak menggerunkan (baca: mereka lebih penyayang) menjadi halangan menyelesaikan masalah.

Saya yakin kita bersama mampu mencari banyak lagi sebab lain biarpun dipercayai  kenyataan Ahmad Shah bakal mencetuskan reaksi berbeza di kalangan wanita.

Apapun, pekerja wanita jarang berpuas hati dengan sikap dan tindakan bos wanita. Selalunya begitulah, kan?

Sebat : Laksana Kemudian Dikaji?

3 wanita Islam pertama di Malaysia disebat mengikut undang-undang Syariah kerana kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah di Penjara Kajang, Selangor pada 9 Februari lalu.

Mereka didapati bersalah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Berita berhubung hukuman sebat itu diumumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein. Beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.

Dalam pada itu, semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata satu persidangan antarabangsa berhubung hukuman sebat akan dianjurkan paling awal dalam tempoh 3 bulan dari sekarang.

Menurut beliau lagi, persidangan bakal dihadiri menteri dan pakar negara luar akan melakukan kajian perbandingan samada hukuman terbabit dipraktikkan di kalangan negara Islam.

Berikut kenyataan beliau dalam Bahasa Inggeris.

"The ministry hopes that through the conference, which will be attended by ministers and experts, we can make a comparative study whether the sentence is normally practised among Muslim countries".

Hukuman telah dilaksanakan kemudian baharu kajian dibuat?

Atau saya tersalah tafsir?

Hentikan 'Kera' Berniaga!

"Ini kerana ada maklumat yang diterima mengatakan rakyat asing mengambil tempat perniagaan rakyat tempatan di pasar malam, di pasar seperti di Chow Kit dan tempat-tempat lain di seluruh negara,” ujar Timbalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, semalam.

Benar maklumat diterima beliau berhubung pasar Chow Kit.

Penjualan sayur-sayuran dan buah-buahan khususnya dimonopoli warga Indonesia. Saya tidak pasti berhubung status sebenar dokumen perjalanan  mereka tetapi pastinya mereka bukan rakyat Malaysia. 

Selain di sekitar Chow Kit (baca: sudah berkurun lamanya), Lebuh Ampang lebih hebat. Peniaga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia membuka perniagaan kedai makanan, menjual kain, menggunting rambut, membaiki kasut dan pelbagai lagi.

Gerai tolak menjual buah-buahan juga berlambak diletakkan di sisi jalan dan dijaga majoriti pekerja Myanmar.

Semasa merakamkan visual mereka tempoh hari, saya dan jurukamera dikejar dek lelaki Cina bermotosikal, dipercayai ‘orang kuat’ kawasan terbabit.

Di lorong berhampiran Pasar Seni, sama. Peniaga asing menjual air dan buah potong bersaing dengan peniaga tempatan. Peniaga tempatan hilang taring, kecut segalanya, gentar menegur kerana dipercayai warga asing terbabit dilindungi gangster tempatan. Sebab itu lagak mereka mengatasi kehebatan penampilan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pihak berkuasa tempatan, PBT mengambil tindakan tegas terhadap rakyat asing menjalankan perniagaan. Beliau turut memberi amaran kepada peniaga tempatan memajak atau menyewakan lesen perniagaan kepada rakyat asing. Saya berharap arahan itu dilaksanakan PBT bertanggungjawab, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL

Semasa menjalankan tinjauan di Lebih Ampang, penguatkuasa DBKL kelihatan ‘main kejar-kejar’ seperti kucing dan tikus dengan peniaga asing. Apabila dikejar, peniaga asing melarikan diri sambil menolak laju gerai mereka, tidak ubah seperti memandu kereta F1. Apabila penguatkuasa pulang, mereka kembali berniaga semula. Mereka degil, keras kepala. Aksi itu bukti jelas menunjukkan peniaga terbabit tidak memiliki lesen perniagaan sah, jika memenuhi syarat mengapa harus cabut? Atau mereka tahu, sebilangan penguatkuasa hanya main acah-acah sahaja.

Kekadang saya berasa amat hairan, jika peniaga tempatan melakukan sedikit kesalahan, diberi amaran, disaman malah ada kes peralatan perniagaan mereka disita. Mungkin kerana peniaga tempatan tidak bijak main kejar-kejar. Lalu peniaga warga asing, tersenyum dan tertawa. Mungkin itu ditakrifkan dengan ‘rakyat didahulukan’? Bukan! Correction! Rakyat asing didahulukan.

Negara kita mempunyai undang-undang tetapi undang-undang tidak bermakna andai tidak dilaksanakan sepenuhnya secara jujur dan ikhlas.

Kesannya, kera dihutan (baca: peniaga asing) disusukan, anak diriba (baca: peniaga tempatan) mati kelaparan, perumpamaan itu lebih tepat.

Mungkin Tan Sri Muhyiddin sedar, selalunya, rakyat sakit hati berasa teraniaya di negara sendiri pasti tidak akan mengundi kerajaan terkini di masa hadapan (baca: PRU 13).

NOTA Saya telah meminta krew 999 membuat intipan di kawasan terbabit dan kemudian mendapatkan kerjasama DBKL untuk membuat pemeriksaan status lesen peniagaan warga asing itu.

Isnin, Februari 22, 2010

Ubat Kuat Zakar Buaya

Zakar buaya dan harimau antara organ haiwan seringkali dipasarkan penjual ubat tradisional jalanan.

Buaya dan harimau, 2 haiwan ‘kuat’. Jarang manusia terlepas selamat jika dilibas ekor buaya atau diterkam harimau. Imej itu dihubungkaitkan dengan organ haiwan terbabit kononnya mampu menambahkan kekuatan seksual lelaki.

“Buat apa benda ini?,” tanya pengguna.

“Ubat kuat, banyak khasiat,” ringkas jawaban penjual.

Ya! Itu 2 perkataan sering memikat perhatian ramai lelaki, ‘ubat kuat’.

“Mari! Mari! Rapat! Rapat! Kalau selama ini lemah, kita kasi kuat. Kalau selama ini lesu, kita bagi bertenaga. Jangan kasi malu, kita lelaki, kita kuat. Mana mahu letak air muka andai tewas dengan wanita. Kalau berdayung biar sampai di muara, usah tersadai, perahu terlungkup, kita lemas, niat tidak terlaksana,” teriak penjual ubat kuat.

Memang kemahiran komunikasi mereka menyakinkan. Begitulah selalunya.

Beberapa minit kemudian pasti ramai lelaki pelbagai bangsa (baca: majoriti Melayu) berpusu-pusu berdiri membentuk bulatan mengelilingi penjual terbabit.

Terpesona dan teruja mendengar ‘goreng’ penjual, sebilangan pelanggan sanggup membeli bahan didakwa ubat kuat (baca: perangsang nafsu seks) tanpa mengetahui samada berkhasiat seperti didakwa atau mengundang bahana tetapi tetap dibeli lelaki untuk memenuhi tuntutan kepuasan peribadi. Bukan sahaja orang tua malah muda sama.

Barangkali lelaki gusar, jika ‘prestasi’ tidak hebat, kelak isteri makan luar. Kalau dahulu istilah ‘makan luar’ dikaitkan dengan lelaki, kini sudah berubah.

Lebih menarik, penjual ubat jalanan juga didapati memasarkan alat kelamin lelaki tiruan secara terbuka. Ada licin, ada menggerutu, ada statik, ada bergerak dipacu kuasa bateri. Pastinya alat itu bukan untuk lelaki, kan? (baca: saya tidak pasti samada gay menggunakan peralatan sama). Hu! Hu! Jika pelanggan wanita membeli, sebabnya mudah, alat itu sentiasa keras (baca: tanpa memerlukan ‘ubat kuat’) dan boleh dipakai mengikut kesesuaian.

Namun, percayalah, jika tubuh badan manusia isu diperkatakan, setiap organ keras pasti akan lembut dan lembik, akhirnya, itu fitrah kejadian manusia. Baik perempuan mahupun lelaki.

P. Gunasegaram: Shut up!

Perenggan berikut saya petik dari artikel tulisan P. Gunasegaram, Pengarang Urusan (baca: Managing Editor) akhbar The Star berhubung kes sebat 3 wanita Islam dilaksanakan mengikut Perundangan Syariah.

‘This is clear indication that there are laws in our statute books – both syariah as well as civil – which are outdated and need to be revised in keeping with the times and the recognition that individuals have personal rights’

Artikel sepenuhnya, sila baca di sini.

Mendakwa Undang-Undang Syariah sebagai ‘oudated’, ketinggalan zaman, bukan hak Gunasegaram. Kritikan itu berhubung perundangan Islam sedangkan dia BUKAN beragama Islam. Jadi, biar ulama atau kelompok cerdik agama Islam melontarkan komen mereka.

Apa komen Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Seri Wong Chun Wai dalam hal ini? Tidak ambil tahu? Tidak prihatin? Merestui tulisan Gunasegaram?

Jika Gunasegaram ingin memberikan komen berhubung kelonggaran di dalam perundangan sivil, silakan kerana undang-undang itu diapplikasikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Kenyataan Gunasegaram seterusnya menarik perhatian saya.

‘We have all seen what happens when religion – no matter what religion – is carried to extremes and hijacked by bigots. We don’t want public flogging, we don’t want arms chopped off, we don’t want people to be stoned to death, and we don’t want people to be burned at the stake’

Jika ada tangan dipotong atau pesalah beragama Islam direjam sehingga mati mengikut Perundangan Syariah sekalipun, it doesn’t involve you (baca: Gunasegaram) and all other non muslims in this nation.

So, keep your mouth shut!

Masakan saya harus memperingatkan Gunasegaram, usah menulis berhubung ‘subjek’ sensitif terutama mengenai agama dan bangsa di negara ini sedangkan dia Pengarang Urusan (baca: siapa penyunting artikel dia?)

Kecuali jika dia berasa seronok menimbulkan kemarahan orang Melayu menggunakan akhbar berbahasa Inggeris dibaca ramai.

Kalau menjadi ketua parti pemerintah dan menjunjung Islam sebagai agama rasmi negara, saya pastikan Gunasegaram memohon maaf secara terbuka kepada semua penganut Islam di Malaysia. Biar dia tahu langit tinggi rendah.

Berikut senarai hieraki mereka terbabit dalam sidang editorial The Star.

EDITORS

Dato' Ng Poh Tip
Group Editorial / Education Adviser/Executive Director, Asian Center For Media Studies
(ACMS) (Penasihat Pengarang/Pendidikan Kumpulan/Pengarah Eksekutif, Asian
Center For Media Studies (ACMS))

Datuk Seri Wong Chun Wai
Group Chief Editor (Ketua Pengarang Kumpulan )

David PL Yeoh
Managing Editor (Pengarang Urusan)

P.Gunasegaram
Managing Editor (Pengarang Urusan)

Ahad, Februari 21, 2010

Melampau!

Saya dimaklumkan berikutan kekurangan doktor di hospital kerajaan, jika berlaku kes kecemasan semua doktor merawat pesakit luar akan bergegas membantu kakitangan bahagian kecemasan. Pesakit lain tepaksa menunggu.

Justeru, tidak hairan jika purata masa menunggu untuk mendapat rawatan sebagai pesakit luar di antara 2 dan 4 jam.

Kakitangan hospital akan berkata …

“Tak ada doktor”

Bagaimanapun Persatuan Perubatan Malaysia, MMA mendakwa tidak wujud masalah kekurangan doktor di negara ini tetapi lebih kepada isu penempatan doktor terbabit. Kata Presiden MMA, Dr David K. L Quek, kebanyakan doktor keberatan untuk ditempatkan di kawasan pedalaman sekalipun Kementerian Kesihatan menawarkan insentif lebih menarik.

Maksudnya, sebilangan besar doktor di negara ini enggan berkhidmat di kawasan pedalaman. Kawasan jauh daripada kemajuan dikecapi penduduk bandar atau bandaraya.

Jika diteliti, guru juga (baca: bukan semua) dikata menimbulkan karenah sama. Baranglkali takut kasut berlumpur, tidur tidak berhawa dingin dan baju dibasuh menggunakan air sungai keruh.

Satu kelompok bergelar pekerja profesional, bertanggungjawab menyediakan rawatan kesihatan berbakti kepada masyarakat (baca: berbayar bukan percuma) manakala satu kelompok lagi terbabit dalam misi mendidik anak bangsa.

Tetapi kedua pihak mencetus masalah akibat sikap memilih tempat kerja.

Melampau!
 

Perempuan Gila Kuasa

Agensi Berita Pusat, melaporkan lebih 4 ribu lelaki didera secara lisan dan fizikal dek isteri.

Berikut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Chang Hsiu Yuan …

“Puncanya segelintir wanita ini mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding suami, jadi mereka menguasai rumah tangga dan bertindak memaki-hamun atau memukul suami mereka.

Mujur kejadian bukan berlaku di Malaysia tetapi di Taiwan.

Betul, majoriti perempuan memiliki wang sekaligus memiliki berkuasa bukan sahaja di dalam syarikat malah rumahtangga.

Mereka menjadi kadok naik junjung.

Sabtu, Februari 20, 2010

HARD Rock Cafe

Kita semua biasa melihat orang memakai kemeja-t bertulis Hard Rock Cafe, kan?

Semasa di Phuket, Thailand 13 tahun lalu saya bercakap dengan pemandu van pelancong warga tempatan..

“Where you go?,” soalnya dalam Bahasa Inggeris 'di -Thailand-kan'.

“I want to go to Hard Rock Cafe. Would you mind taking me there?,” pinta saya.

Dengan wajah amat yakin dia menjawab …

“Ok, ok, no ploblem (baca: problem), Hard Rock Cafe,” ujarnya.

Sepanjang perjalanan dari hotel, beberapa kali dia menoleh ke belakang sambil bercerita mengenai betapa hebatnya ‘Hard Rock Cafe’ di Phuket.

“Boss, many, many people go there, men especially. When I say 1 hour only, I wait for you. They say, no 2 hours can ah?. Vely good place,” jelasnya.

Saya hanya mendengar khusyuk.

"Women don't go, they like shopping more," tambahnya lagi.

Tiba-tiba dia memberhentikan van dipandu di bahu jalan.

“Ok, we alive alleady (baca: we’ve arrived already,” katanya sambil tersenyum dan turun membuka pintu van.

Saya turun dan tergamam buat seketika. 

“Hello brother, read that, this is not Hard Rock Cafe, it is Rock Hard,” ujar saya.

“No! No! Boss, here all same, Hard Rock, Rock Hard, same,” katanya dengan yakin.

Saya hanya menggelengkan kepala. Di pintu masuk ‘Rock HARD’ terpampang 3 skrin televisyen besar.

‘Preview next dancer’

Ha! Ha! Ha! Ya! Rock Hard, premis tarian bogel. Skrin diletakkan di luar bertujuan menarik perhatian pelancong lalu-lalang di kawasan terbabit untuk masuk meninjau persembahan di dalam.

Suka hati kau la labu!

Apapun jangan keliru, Hard Rock Cafe sebenar terletak di Patong berhampiran hotel mewah dan pusat membeli-belah, hampir dengan lapangan terbang.

Oh! Saya tahu soalan apa awak semua hendak tanya. Adakah saya masuk?

Terlupa, isteri bersama saya dan Phuket, lokasi kami berbulan madu (baca: mujurlah kalau tidak bukan 2 jam, 9 jam saya duduk di Rock HARD)

Jumaat, Februari 19, 2010

Di Kelantan Mungkin Tiada

Utusan Malaysia memaparkan kes polis Kampar, Perak menyerbu premis perjudian.

65 mesin judi dirampas, 39 lelaki ditahan termasuk pengusaha pusat perjudian terbabit. Turut dirampas, 4,821 token dan wang tunai berjumlah RM2,858.

Seperti biasa, 36 pelanggan dibebaskan selepas kenyataan mereka dirakamkan (baca: polis tiada kuasa untuk menahan reman). Manakala 3 pekerja dan pemilik premis berusia di antara 19 dan 74 tahun direman 5 hari.

Hemat saya, jika itu dianggap kejayaan, setiap minit polis di Malaysia ini mampu menempa kejayaan sama.

Ya! Setiap minit, I mean it.

Cuma barangkali mereka tidak sanggup untuk mengangkut puluhan mesin (baca: komputer meja) ke atas lori. Mungkin juga pegawai penyiasat terpaksa dibebani tugas membuka terlalu banyak kertas siasatan. Mahkamah juga pada masa sama terpaksa membicarakan ribuan kes setiap hari.

Begitulah ‘hebat’ nya kegiatan perjudian elektronik di negara kita. Cakap sahaja samada di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Sarawak. Orang pekak dan bisu mampu tahu lokasi premis beroperasi.

Cuma di Kelantan mungkin tiada.

Mungkin.

 

Ana kahwin Tiga

Urusan pernikahan seharusnya dipermudahkan.

Apapun di Malaysia pasangan ingin bernikah wajib menjalani kursus nikah kahwin diselenggarakan Jabatan Agama Islam atau syarikat swasta, membuat pengesahan status perkahwinan lelaki dan perempuan, mengatur janjitemu dengan kadi dan kemudian baharulah upacara pernikahan disempurnakan.

Keseluruhan proses memakan masa lama, lebih 24 jam. Itu pun andai pernikahan pasangan direstui keluarga kedua belah pihak dan lelaki bernikah kali pertama.

Bagaimana andai timbul masalah?

“Tahun 1994, saya bawa kawan baik, umur 23, kerja bar tender dengan girlfriend dia, 19 tahun, mengandung 2 bulan, nikah di Thailand,” ujar 'Azman', 34 tahun.

Ketika itu mereka semua bekerja di Pulau Langkawi, Kedah.

“Dari Langkawi, kami naik 2 kereta ke Padang Besar tanpa passport (baca: dulu senang, sekarang susah) terus masuk ke Thailand, pergi Masjid Songkhla,” sambungnya.

Azman dan rakan mendapatkan bantuan lelaki dikenali sebagai ‘Abang’ di Kuala Perlis untuk menguruskan pernikahan terbabit.

“Sampai di masjid. ‘abang’ berbincang dengan iman lebih kurang setengah jam. Mas kahwin masa itu, RM22 dan bawa sebentuk cincin. Cukup semua rukun dan syarat, kawan saya dinikahkan imam, sijil nikah dapat on the spot,” jelasnya.

“Kemudian?,” soal saya.

“Lepas nikah kita orang masuk balik ke Langkawi dan terus pergi ke Jabatan Agama Islam Langkawi. Report pernikahan, kakitangan jabatan interview pasangan dan kemudian sahkan surat nikah dia orang,” jawabnya.

“Kalau congak congak, berapa kos semua?,” tanya saya lagi.

“Duit minyak kereta, makan untuk 7 orang, mas kahwin, upah imam dan saksi, less than RM500,” katanya yakin.

Satu daripada laman web menawarkan perkhidmatan menguruskan pernikahan di Thailand boleh dibaca di sini.

Apapun kepada pasangan bercadang untuk bernikah di Thailand (baca: ramai rasanya), berhati-hati kerana dilaporkan banyak sindiket menangguk di air keruh, butirannya di sini.

Baik, berikut berita terkini dilaporkan Harian Metro hari ini.

7 pasangan siswa siswi bernikah di institusi pengajian tinggi awam. Pasangan dilaporkan pelajar, juru nikah dan saksi juga pelajar.

Baca perinciannya di sini.

Macam macam, kan?

Bukan tujuan utama saya menggalakkan lelaki Malaysia bernikah di Thailand, cuma sekadar berkongsi maklumat dengan semua pembaca (baca: Hu! Hu!).

Lelaki (baca: BUKAN semua lelaki), bila hati sudah terpaut dan hendak bernikah, di mana sekalipun mereka akan menyempurnakan hajat biarpun dihalang pelbagai pihak(baca: termasuk isteri tua).

Teringat lagu 'Madu Tiga', nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, 'Bila dua dua merajuk .. Ana kahwin tiga!'

Gambar 'Azman' ketika ditemubual di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor