Jumaat, April 30, 2010

Operasi Hangat-Hangat Tahi Ayam

Mereka sentiasa mundar-mandir di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, Sabah berhampiran Pasar Filipin. Semua orang celik, lalu-lalang di kawasan sama boleh melihat mereka secara jelas. Tengahari tadi, penerbit 999, Shahnun Hanif (berbaju hijau) mendekati 'Panjang', 25 tahun, mengaku warga Filipina, berbaju merah, kini dipercayai menetap di Pulau Gaya, 15 minit perjalanan menaiki bot dari bandaraya Kota Kinabalu. Lihat gambar di bawah.

Semua visual dan audio 'transaksi' dirakamkan penolong penerbit 999, Rosli Abdul Rahman dari dalam kenderaan kami naiki.


'Transaksi' apa dilakukan secara terbuka tanpa 'Panjang' gusar diberkas pihak berkuasa? 


'Panjang', penjual rokok lari cukai dari Indonesia dan rokok tiruan dari Filipina. Khabarnya rokok diseludup masuk dari Labuan sebelum dilambakkan di Kota Kinabalu. Shanun membeli 6 jenis rokok terbabit sebagai bukti dengan harga di antara RM2 dan RM3.50 sekotak.

Kami kemudian ke Jalan Haji Yaakub, Kampung air. Remaja berusia 14 tahun bersinglet putih, mendakwa berasal dari Tawau turut menjual rokok sama. Dia mengaku tidak bersekolah, hanya merayau di jalanan menjual rokok pelbagai jenama secara terbuka.


Jam 2.30 petang, kami ke Pejabat Kastam Diraja Sabah. Respon kami rakamkan sewaktu bertemu pegawai bertugas ...

"Eh! Apa rakam gambar ni?"

Gusar tidak menentu. Menurut beliau, pengarahnya tiada di pejabat, Shahnun diminta datang kembali pada hari Isnin untuk merakamkan kenyataan berhubung kes penjualan rokok seludup dan tiruan secara terang-terangan sekian lama. Malangnya crew 999 akan bertolak ke lokasi lain pada jam 1 tengahari esok.

Saya berasa amat hairan, biarpun pihak berkuasa seperti Kastam dan Majlis Bandaraya Kota Kinabalu mendakwa melakukan operasi berulangkali, 'Panjang' dan puluhan rakan lain masih terus melakukan kegiatan bercanggah dengan perundangan Malaysia. Langsung tiada perasaan hormat kepada pihak berkuasa negara ini.

Hidup 'Panjang'! Hidup 'Panjang'! Usah gentar dengan operasi hangat-hangat tahi ayam. Teruskan kerja kamu menjual rokok seludup dan tiruan 24 jam sehari, 7 hari seminggu!

Terus bekalkan rokok murah, jimat duit perokok di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.

Khamis, April 29, 2010

Pengawal Keselamatan Tangkap Muat

Kita kerap melihat warga asing bertugas sebagai pengawal keselamatan, antaranya di taman perumahan, hotel, pusat membeli-belah dan kilang. Adakalanya sebilangan kita berasa gentar apabila berhadapan dengan mereka.

"Bagi IC"

Arah mereka apabila kita memandu memasuki pintu utama kawasan perumahan berpagar.

Ewah! Banyak cantik muka engkau! Jika pengawal keselamatan meminta kad pengenalan, usah diserahkan kerana mereka SEMUA tidak berhak memegang apatah lagi menyimpan IC kita, rakyat Malaysia. Lesen memandu boleh diserahkan sebagai rujukan.

Sebilangan kita pula kecut perut kerana mereka pengawal keselamatan, lengkap berseragam dan kelihatan amat berkuasa.

Namun, pernahkah kita terfikir, siapakah mereka sebenarnya? Kewarganegaraan mereka? Adakah mereka benar-benar layak menjadi pengawal keselamatan? Hanya melalui pengamatan fizikal, majoriti kita tidak berupaya menjawab 3 soalan terbabit secara tepat.

Apapun, untuk pengetahun pembaca, hanya warganegara Malaysia, bekas tentera Nepal dan mereka berada di dalam senarai diluluskan Kementerian Dalam Negeri SAHAJA dibenarkan menjadi pengawal keselamatan di negara kita. Selain daripada kategori itu, mereka bekerja secara tidak sah dan menyalahgunakan permit kerja.

Sekaligus, rakyat Indonesia berstatus penduduk tetap, PR tidak layak menjadi pengawal keselamatan. Jika mereka dilihat bekerja, laporkan sahaja kepada pihak berkuasa. Tahun lalu, saya pernah menghubungi polis memberkas pengawal keselamatan bertugas di kawasan perumahan saya sendiri kerana dia mendakwa kononnya berasal dari Sabah walhal warga Indonesia memalsukan dokumen diri.

"Ya, saya orang Indonesia, bukan dari Tawau, Sabah. Kasihani saya pak cik, saya baharu kahwin, ada anak kecil nak kasi makan," rayunya, sebelum polis tiba.

Apapun, salah tetap salah. Niat tidak menghalalkan cara sehinggkan saya hendak dikelentongnya. Setelah diarah menanggalkan pakaian seragam, dia kelihatan tiada beza berbanding pendatang tanpa izin warga Indonesia lain pernah diberkas menyalahgunakan dokumen dalam operasi saya sertai sebelum ini.

Jika diperhatikan, tidak ramai warga tempatan termasuk bekas polis dan tentera berminat menjadi pengawal keselamatan selama ini. Gaji pokok dbayar terlalu kecil, di antara RM300 dan RM400 sahaja sebulan. Jadi peluang pekerjaan itu diciluk warga asing digajikan majikan, syarikat keselamatan secara tangkap muat. Ketepikan soal kelayakan dan dokumen, mansuhkan latihan kawat dan ujian fizikal, cuma pacakkan mereka di lokasi kehadiran pengawal keselamatan diperlukan dan ikut arahan.

Jam 4 petang semalam, sedang saya makan di restoran berhampiran rumah, pesanan ringkas dihantar 2 pengawal keselamatan bertugas di pondok pintu utama apartment.

'Assalamualaikum bang. Boleh tolong belanja makan, kami tak makan lagi dari pagi sebab bos masih tak bawa wang gaji'

Lalu saya balas.

'Order lah apa nak makan, no problem'

Pastinya mereka berada di dalam keadaan terlalu lapar, jika tidak, mustahil sanggup menagih simpati saya, mereka kenali kurang sebulan untuk membelikan makanan mengisi perut.

Bagaimanapun, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, bermula 1 Mei ini, gaji lebih 150,000 pengawal keselamatan di seluruh negara akan dinaikkan di antara RM1,000 dan RM1,450 secara brperingkat, kenaikan lebih 67% berbanding kadar gaji lama.

Syukur, semoga dengan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji mereka, kualiti perkhidmantan pengawal keselamatan sebagai 'front liners' juga diharap akan meningkat. Pada masa sama, diharap kadar gaji baharu akan menarik minat lebih ramai warga tempatan untuk menjadi pengawal keselamatan kita, bukan bergantung kepada warga asing tidak diketahui identiti mereka tetapi berlagak mengalahkan Ketua Polis Negara.

Selasa, April 27, 2010

Kes Tembak Remaja 15 Tahun

Menurut laporan akhbar, dia disyaki suspek kes samun dan senjata tajam ditemui di dalam kereta dipandunya, namun kenyataan itu tidak berpeluang untuk dibuktikan di mahkamah.

Kira-kira jam 2 pagi, dia dilaporkan cuba merempuh anggota unit kereta peronda, MPV di Jalan 11/2G, Seksyen 11, Shah Alam, Selangor.

Dia dilaporkan memandu kereta Proton Iswara Aeroback bersama rakannya secara mencurigakan. Bagaimanapun perkataan ‘curiga’ itu bersifat subjektif. Tiada fakta terperinci dicatatkan berhubung perlakuan ‘mencurigakan’ itu di dalam akhbar tempatan.

Diarahkan berhenti, dia kemudian dikatakan memecut laju kereta, berikutan itu polis melepaskan tembakan ke arah tayar mengakibatkan kereta dipandunya terbabas di bahu Jalan Makyong. Rakannya melarikan diri dan dikejar polis. Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, 2 daripada 4 anggota MPV bertugas cuba memeriksa kereta itu namun mendakwa pemandu mengundurkan kenderaannya sekaligus cuba melanggar mereka.

Bagi mempertahankan diri, polis terbabit dilapor melepaskan tembakan mengakibatkan pemandu, Aminulrashid Amzah, 15 tahun, maut.

Sebagai tindakan awal sebelum siasatan penuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selesai, Datuk Khalid mengarahkan 4 anggota MPV terbabit melakukan kerja pejabat. Hemat saya, itu tindakan wajar.

Fakta, polis sewaktu menjalankan tugas jarang mengenali identiti ‘penjenayah’ mereka depani. Justeru, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, nyawa mereka mampu melayang andai tersilap percaturan.

Dalam kes jenayah, lazimnya polis melepaskan tembakan ke arah suspek jika nyawa mereka diancam, contohnya apabila suspek diekori atau terserempak, menyerang menggunakan senjata tajam atau mengeluar senjata api dan melepaskan tembakan.

Kepada keluarga Amirulrashid, takziah saya ucapkan. 

Sebagai peringatan, di Malaysia, hanya individu berusia 18 tahun ke atas layak memiliki lesen memandu dan berhak mengendalikan kenderaan di jalan raya.

Sehubungan kes itu, Kementerian Dalam Negeri menubuhkan panel khas bagi menyiasat insiden berlaku secara terperinci dan telus.

Justeru, usah membuat spekulasi mendadak kerana setakat ini hanya anggota MPV terbabit, si  mati dan rakannya sahaja mengetahui fakta kes. Laporan polis sudah dibuat.

Kita tidak berada di lokasi kejadian, wajar mengelak daripada melontarkan komen rambang, bimbang tanpa butiran tepat, penghakiman kita tersasar dan berkemungkinan mempengaruhi pandangan pelbagai pihak berhubung tindakan si mati mahupun polis.

Isnin, April 26, 2010

Cuba Bunuh Diri Atau Sekadar Ingin Mendapatkan Perhatian?

Jumaat lalu, di Kangar, Perlis, pelajar lelaki berusia 14 tahun cuba terjun dari tingkat 4 bangunan sekolah dilaporkan akibat diejek kawan kerana cintanya dikatakan ditolak pelajar perempuan. Bagaimanapun pelajar tingkatan 2 itu  berjaya dipujuk dan diselamatkan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Semalam kes hampir sama berulang lagi, cuma lokasinya berbeza, di Bachok, Kelantan. Lebih mengejutkan pelajar terbabit penuntut sekolah rendah, berusia 11 tahun. Dia dikatakan cuba terjun dari tingkat 4 bangunan sekolah kerana tertekan akibat diejek rakan namun berjaya diselamatkan guru.

Sebelum ini kita tidak pernah mendengar kes percubaan membunuh diri membabitkan pelajar sementah itu. Tertekan benarkah jiwa mereka sehingga sanggup menggadai nyawa sendiri? Atau mereka sekadar cuba meraih perhatian?

Melalui pengalaman terdahulu, mereka berniat membunuh diri, naik ke bangunan tinggi dan nekad  terjun. Mangsa tidak menunggu dipujuk sesiapa sekali pun. 

Jika kes ini berterusan, guru kaunseling di sekolah harus memainkan peranan lebih efektif, bertindak proaktif, mengesan pelajar dilanda masalah sebelum mereka menggunakan akal dangkal untuk menarik perhatian ramai.

Sebilangan individu dewasa membunuh diri akibat gagal dalam percintaan, kini motif itu 'berjangkit' kepada anak kecil berusia setahun jagung.

Pesanan Untuk YB

Orang ramai memilih wakil rakyat dalam pilihanraya sebagai 'suara' mereka. Jika kawasan mereka bermastautin serba kekurangan dari segi infrastruktur, mereka berharap wakil rakyat dipilih, Yang Berhormat, YB mampu untuk mengusulkan masalah itu agar didengar dan diambil tidak sewajarnya parti pemerintah.

Melalui suara YB mereka berharap keadaan akan berubah biarpun mungkin akan memakan sedikit masa. Antaranya, jalan kampung  bertanah merah dan berselut akan segera diturap untuk memudahkan anak mereka kesekolah, air keruh dari sungai dan telaga digunakan untuk keperluan seharian selama ini dapat digantikan bekalan air paip bersih manakala surau usang hampir roboh mampu diganti baharu untuk memudahkan mereka beribadat.

Ringkasnya, rakyat tidak pernah memohon YB memetik bulan dan bintang, mereka hanya inginkan keperluan asas kehidupan mereka diberikan perhatian.

Malangnya sebilangan YB selepas memenangi pilihanraya gagal berfungsi sebagai suara pengundi.

"Masa berkempen, memang YB tunjuk muka hampir setiap hari, bersalam dan berpeluk dengan bakal pengundi, tabur pelbagai janji manis, selepas menang, batang hidung pun tak nampak"

Itu antara keluhan biasa dilontarkan penduduk kampung. Keluhan itu suara pengundi sekaligus lambang kekecewaan mereka terhadap prestasi YB. Jika keluhan itu dipandang remeh lalu tidak ditangani, kebencian pengundi kepada YB akan menyemarak.

Pengundi bukan kepingin kontrak menebang dan menjual kayu balak, tidak juga lesen mengorek pasir sungai mahupun dilantik ahli lembaga pengarah syarikat membangunkan projek perumahan di kawasan mereka. Cukup jika YB prihatin, mengambil tahu perkembangan kehidupan mereka.

Hemat saya, YB wajib menjenguk pengundi beliau, bukan setiap hari, wajar sekadar jika beliau hadir biar pun dalam tempoh singkat di majlis perkahwinan serta keraian dan menunjukkan muka setiap kali berlaku kematian. Majoriti pengundi tidak berharap dihulurkan bantuan wang ringgit, mereka cuma ingin berasa tidak diabaikan YB mereka pilih samada dalam keadaan gembira atau duka.

Jika YB gagal melunaskan tanggungjawab asas itu, peluang beliau untuk dipilih pada penggal hadapan pasti tergugat.

Seperkara lagi, setiap janji YB sewaktu berkempen, diingat pengundi dan mereka akan menuntut setiap kata dikota.

Kepada YB Barisan Nasional, BN, PKR dan PAS, itu pesanan ringkas saya. Kepercayaan politik memang berbeza tetapi pengundi jangan dilupakan. Andai mereka diabaikan atau terasa dikesampingkan, pastinya gelaran YB itu mampu dilucutkan mereka.

Nota Tahniah kepada calon BN, YB P. Kamalanathan kerana berjaya menewaskan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor semalam.

Ahad, April 25, 2010

Natrium Terbang!

Semasa saya di sekolah menengah, jika pelajar melakukan kesalahan kecil, guru mendenda mereka berdiri di atas bangku atau di luar kelas.

Jika kesalahan bersabit masalah disiplin, sebilangan mereka dirotan di hadapan semua pelajar dan guru, ‘public canning’ sewaktu perhimpunan pagi.

“Nasib baik aku letak kain tebal dalam seluar,” kata rakan.

Bukan itu sahaja, pelbagai kaedah lain digunakan pelajar dihukum bagi mengelak punggung berbirat.

Semasa di sekolah rendah, sebilangan guru mengambil keputusan mendenda pelajar berlari mengelilingi padang sekolah jika melakukan kesalahan. Ketika itu tiada pihak bersuara berhubung hukuman terbabit.

Perkembangan terkini, Persatuan Fisioterapi Malaysia, MPA mahu hukuman itu dimansuhkan. Menurut presidennya, Dr. Balwant Singh, kanak-kanak tidak digalakkan untuk berlari tanpa persediaan kerana 80 peratus daripada tubuh mereka mudah terdedah kepada kecederaan.

Bagus jika permohonan itu dilaksanakan Kementerian Pelajaran demi kesejahteraan pelajar.

Saya masih ingat, kalau ke sekolah berkuku panjang, pasti pelajar bimbang. Lantas sebilangan mereka sanggup menggigit kuku ketika berada di dalam bas dalam perjalanan ke sekolah. Jika kuku tidak dipendekkan, guru kelas tanpa teragak-agak mengetuk tangan berulang kali menggunakan pembaris kayu.

"Aduh!"

Hanya itu perkataan terkeluar dari mulut pelajar, tiada dendam kesumat tertanam di sanubari.

Maksudnya, pelajar dahulu biarpun melakukan kesalahan dan dihukum, majoriti mereka tetap menghormati guru sebagai pendidik. 

Senario di sekolah kini berbeza. Segelintir pelajar sanggup menumbuk dan menendang guru mereka. Sikap besar kepala itu malangnya, kekadang mendapat sokongan keluarga bertindak tanpa usul periksa, mengecam guru mendidik anak mereka.

Teringat, sewaktu di tingkatan lima, saya mengeluarkan seketul besar Natrium daripada larutan Naftalena di makmal sains dan kemudian meletakkan bahan terbabit di atas permukaan air. Akibatnya, Natrium itu 'terbang' ke seluruh makmal dan membakar meja dan beberapa baju kurung pelajar perempuan. Ya, saya didenda berdiri selama 2 jam di luar kelas. Memang malu apabila dilihat dan ditertawakan pelajar dari kelas lain. Namun, saya akur setiap kesalahan pasti ada hukuman.

"Kamu, saya kata letak sedikit sahaja, bukan sebesar penumbuk," marah guru saya, Cikgu Fuadi.

Kini, peristiwa itu menjadi antara kenangan manis bagi saya. Terima kasih kepada semua guru mendidik saya selama ini di sekolah rendah dan menengah.

Saya percaya setiap pembaca blog ini juga mempunyai kenangan pahit dan terindah sewaktu menjadi pelajar di sekolah dan mari bersama kita kongsikan pengalaman itu di sini.

Sila catatkan juga penghargaan kepada guru masih anda ingati nama meraka kerana ilmu diperturunkan serta jasa tidak ternilai ditaburkan kepada kita semua.

Sabtu, April 24, 2010

Titik 'j' Menjadi Rebutan

Berikut gambar satu daripada model Honda Jazz.


Di Indonesia, logo atau emblem 'Jazz' ditampal di bahagian belakang kanan menjadi isu perbualan pemilik kenderaan.


Titik huruf 'j' berwarna biru dan merah itu dilaporkan seringkali hilang kerana dicuri. Sesetengah pihak mendakwa titik itu diperbuat daripada emas putih dan menjadi rebutan ramai.

Saya tidak dapat memastikan sejauhmana kebenaran dakwaan itu. Namun, jika pembaca berkunjung ke Indonesia, perhatikan, banyak Honda Jazz tidak mempunyai titik itu 

Di Malaysia, kecurian titik itu tidak berlaku. Mungkin kerana penagih dadah atau penjual bahan terpakai atau kitar semula masih tidak mengetahui 'rahsia' di sebalik titik terbabit.

One Shot RM100

"Sekarang dia orang ramai enjoy di Golok," kata rakan. 

"Siapa?," tanya saya.

TIdak mengejutkan, mereka didakwa pelajar beberapa institusi pengajian tinggi, IPT di Kota Bharu, Kelantan, mengenakan bayaran purata RM250 semalam.

"Hotel Genting dengan Marina di Golok sekarang kalau hujung minggu penuh dengan orang Melayu. Ramai lelaki Kelantan bawa girfriend ke sana. Lagi pun hotel di Siam murah, RM50 dapat bilik macam hotel three star di Malaysia ," tambahnya.

Pelanggan dan pelajar terbabit dikatakan keluar bersama dari Kelantan melalui Rantau Panjang. Menjalankan kegiatan memperdagangkan diri di Thailand dilihat lebih selamat, tiada penguatkuasa jabatan agama mengetuk pintu dan menyerbu hotel.

Jam 2.20 petang tadi saya menghubungi seorang lagi rakan lain di ibu negeri Kelantan.

"Saya baharu dapat, umur 21 tahun, putih molek lah, asal Machang. One shot, RM100 sahaja. Dia kata dulu ada kontraktor buat kerja kat IPT tempat dia belajar. Dia pinjam duit, kontraktor tu kata, tak kan pinjam sahaja, tak ada habuan? Sejak itu dia mula cari pelanggan, semalam 3 orang, dapat RM300," ujarnya.

Hotel disediakan pelanggan.

Jika dakwaan itu benar, kini pelanggan ingin mendapatkan khidmat seks tidak perlu lagi berkunjung ke Thailand untuk meratah daging muda. 

Samakan Maksud 'Pelancong' dan 'Pelacur'

Saya menerima aduan berhubung kegiatan pelacur warga asing di Kuala Lumpur.

Awal pagi semalam saya ke lokasi. 

Wanita dari China menghampiri kenderaan berhenti di tepi jalan dan mereka hanya fasih menggunakan beberapa perkataan dalam bahasa tempatan. 

Pertama, "lima puluh ringgit", kedua, "kongkek".

'Kongkek' ertinya melakukan hubungan seks.

Sebelum ini, pelacur China menawarkan khidmat seks di restoran Cina di Kuala Lumpur. Mereka bercampur-gaul dengan pelanggan restoran dan kemudian memasarkan diri untuk memuaskan nafsu lelaki berhidung belang. Namun akibat kerap diserbu pihak polis, mereka menukar modus operandi.

Dari pengamatan saya, Malaysia kini menjadi tumpuan pelacur dari pelbagai negara asing. Majoriti mereka warga Indonesia, Vietnam, China, India dan Filipina. Fakta, Jabatan Imigresen tidak pernah mengeluarkan visa atau permit kerja untuk warga asing melacur, mereka semua menyalahgunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong.

Barangkali mereka menyamakan maksud 'pelancong' dan 'pelacur'.

Jumaat, April 23, 2010

Usah Tuduh Sembarangan

Berikut komen dihantar blogger, pelajar dari Keningau, Sabah, 'Ajampeace' berhubung tampalan berikut.

'Tak perlulah mention pelacur Sabah, cakap pelacur tempatan sudahlah, nak juga malukan rakyat Sabah'.

Ajampeace, 12 daripada 16 pelacur diberkas dalam operasi di Brickfileds, Kuala Lumpur itu, warga Sabah. Itu fakta disahkan pegawai polis mengetui serbuan dan saya hanya melaporkan. Jika dilihat statistik, 75% daripada pelacur diberkas berasal dari Sabah.

Saya tidak menulis berdasarkan tanggapan dan sama sekali  bukan bertujuan memalukan rakyat Sabah. Jika pelacur itu dari Filipina, saya pasti catatkan mereka dari Filipina.

Saya mempunyai ramai kenalan di Sabah. Malah seorang daripada kawan rapat saya berasal dari Tawau, Sabah. Kali pertama saya muncul di kaca televisyen juga di Sabah, Kudat secara spesifik sewaktu kejadian gerhana penuh matahari pada tahun 1995. Saya percaya pada ketika itu awak mungkin berada di darjah satu. Sebagai pelajar, tolong jangan terlalu menonjolkan semangat kenegerian sekaligus melemparkan tuduhan tidak berasas.

Kegiatan sebilangan gadis Sabah terbabit dalam kancah pelacuran bukan isu baharu di Lembah Klang. Ramai juga antara mereka bekerja di rumah urut dan tidak kurang berkhidmat sebagai pegawai perhubungan pelanggan, GRO di pusat hiburan.

Namun, dilaporkan dalam akhbar sebelum ini, majoriti GRO di Lembah Klang berasal dari Kelantan.

Apapun, persoalan lebih signifikan harus diberikan perhatian, mengapa gadis Sabah sanggup datang dari jauh untuk memperdagangkan diri di Kuala Lumpur? Adakah mereka ditipu sindiket? Adakah kerana yakin, aktiviti tidak bermoral mereka sukar dikesan keluarga berikutan jarak jauh dari kampung halaman?

Atau ...

Adakah kerana kerjaya tertua di dunia itu kini dimonopoli warga asing dari Indonesia dan Filipina di negeri asal mereka?

Barangkali?

Dalam tempoh terdekat saya akan ke Sabah dan andai berpeluang, saya akan membuktikan kesahihan jawaban kepada soalan itu.

Melalui pengalaman, saya tidak menafikan, gadis dari negeri di Semenanjung Malaysia juga terbabit dalam kegiatan sama.

Namun dalam operasi  terbabit majoriti mereka dicekup pihak polis, gadis berasal dari Sandakan, Sabah.

Ya, mereka menawarkan khidmat seks pada kadar murah, RM50.

Gay Gabrah

Saya petik masalah berikut dari ruangan 'Kaunseling Remaja, Dr. Sapora Sipon' di Harian Metro.

'SAYA pelajar lelaki ijazah tahun akhir berumur 24 tahun di sebuah institusi pengajian tinggi. Untuk pengetahuan Dr, saya mempunyai naluri berbeza iaitu berminat kepada kaum sejenis.

Ia bermula dari bangku sekolah. Memandangkan saya dikurniakan susuk tubuh dan rupa yang tampan, saya sentiasa 'dibayar' golongan atasan untuk memiliki tubuh saya.

Baru-baru ini, saya berkenalan dengan seorang gadis. Saya tidak tahu kenapa hati saya tertarik memandang wajahnya pertama kali sedangkan, perasaan ini tak pernah hadir sebelum ini. Saya memberanikan diri berkenalan dengannya secara dekat dan kini, kami sudah menjadi pasangan kekasih. Saya sudah berjumpa keluarga gadis itu. Mereka dapat menerima saya dan kami merancang bertunang dan mendirikan rumah tangga dalam masa dua tahun lagi.

Masalahnya, saya takut tidak dapat menjadi seorang suami yang terbaik dan mengecewakan dirinya. Saya terlalu takut akan hal ini kerana saya amat menyayanginya.

Saya tidak pernah bergaul apatah lagi menyentuh 'wanita'. Saya tak pasti bernafsu terhadap golongan wanita atau tidak. Saya menyayangi kekasih saya bukan kerana nafsu'

Kalau lelaki hanya gemar 'disentuh' lelaki, payah. Pelbagai masalah pasti timbul akibat melakukan perbuatan di luar tabi'i. Itu komen saya.

Apa komen pembaca?

Gambar sekadar hiasan sahaja.

Rabu, April 21, 2010

Makan Sayur Tong Sampah

"Anak saya ada 9, 4 mati. Hidup punya ada 5, umur 14 sampai 16 tahun. Satu ada IC, sini sekolah. Saya kutip kotak untuk jual, suami umur 45 tahun, ada rumah jaga anak, dia sakit," ujarnya.


Wanita berusia 45 tahun, Jamilah Abdul Rahman, warga Rohingya mendakwa tinggal di Malaysia selama 21 tahun, saya temui sewaktu menyertai operasi bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang, MPS diketui Penolong Pegawai Penguatkuasanya, Megat Ainul Fadlil Ainul Fadzil jam 10 malam tadi.


Sewaktu tiba di lokasi, kesemua peniaga Rohingya melarikan diri meninggalkan ratusan bakul sayur. Lihat gambar terung di bawah ini, sebahagian dikerat, membuang bahagian busuk.


"Sayur 'recycle' dia orang kutip dari itu sampah punya tempat. 10% orang biasa beli, lain dia orang jual sama itu gerai, restoran punya taukeh, Gombak, Selayang dan Kuala Lumpur mari. Dia orang jual murah, itu bayam merah 3 kilogram, RM2. Biasa punya harga satu kilogram RM1.50. Itu customers tarak tahu dia orang makan tong sampah punya sayur," bisik lelaki India mendekati saya.

Berikut gambar tempat pembuangan sampah saya rakamkan, 3 tikus menyelongkar kawasan ini melarikan diri sebelum rakaman.


Majoriti peniaga terbabit, pelarian, pemegang kad UNHCR. Mengikut undang-undang mereka tidak dibenarkan bekerja di Malaysia apatah lagi menggugat rezeki warga tempatan. Namun, jika peraturan itu dilaksanakan, pasti mereka dan ahli keluarga mati kebuluran. Andai itu berlaku, nama negara pasti tercemar di mata dunia.

"Dia orang kebal, kalau polis tangkap, imigresen tangkap, mesti kasi lepas punya, " kata lelaki sama.

'Menariknya', mereka dilaporkan mula berniaga di tepi jalan berhampiran Pasar Selayang sejak lebih 10 tahun lalu tanpa membayar wang sewa tapak. 

Malaysia tidak mengiktiraf orang pelarian namun pada masa sama menerima kehadiran mereka, warga Vietnam, Bosnia, Aceh dan Rohingya untuk bermastautin di negara ini sebelum sebahagian mereka pulang ke negara asal.

Apapun, dalam kes di Selayang, sebilangan peniaga warga tempatan mengaut keuntungan. Membeli sayuran kitar semula berharga murah dan menjual sayur dikutip dari tong sampah itu untuk dihidangkan kepada pelanggan mereka.

Uweeeeeek!

Jangan Main Pisau!

"Jangan main pisau, nanti luka tangan"

Saya percaya, majoriti kita pernah mendengar larangan rutin itu sewaktu kecil. Orang tua makan garam awal, mereka tahu akibat buruk jika kita cuai sewaktu memegang peralatan tajam. Namun sebilangan kita tetap berdegil, lalu terpaksa dikejarkan ke klinik mahupun hospital untuk mendapatkan rawatan akibat terluka atau sekadar membalut jari tercedera menggunakan 'handyplast'. Sakit tetap sakit.

Kebanyakan kita belajar daripada kejadian itu dan tidak lagi mengulangi perbuatan sama manakala segelintir lagi terus berdegil mengakibatkan mereka terluka berulang kali.

"Tengok anak mak cik Jah tu, semalam dia main pisau, putus jari kelingking"

Jika bukan kita terluka sekalipun, kita belajar daripada kejadian menimpa orang lain.

Itu berlaku sewaktu kita masih mentah.

Kini ramai pengguna dewasa mengemukakan aduan kepada saya berhubung dakwaan mereka ditipu. Antaranya, ditipu syarikat gores dan menang, sindiket menjual kereta curi dengan harga murah dan syarikat menawarkan pekerjaan palsu.

Mangsa mendakwa kerugian di antara ratusan dan puluhan ribu ringgit.

Kes penipuan terbabit bukan berlaku terhadap mereka sahaja tetapi banyak kali dilaporkan media cetak dan elektronik sebelum ini. Barangkali cuma kelompok penipu dan mangsa berbeza.

Tidakkah mereka mendakwa menjadi mangsa membaca akhbar atau menonton berita di televisyen? Itu soalan utama menerjah minda saya setiap kali menerima aduan orang ramai.

Saya yakin, pelbagai sindiket menipu orang ramai untuk mendapatkan wang secara mudah akan terus wujud di negara kita. Sebaik satu kumpulan ditumpaskan pihak berkuasa, banyak lagi kumpulan lain akan muncul dan beroperasi. Itu hakikat tidak mampu kita sangkal.

Anggaplah kumpulan terbabit sebagai pisau. Pisau mampu mencederakan kita semua jika terleka. Andaikan laporan media itu, pesanan ibu bapa. Jika telinga ditulikan, pasti bahana diundang, Tertipu, terima akibatnya.

Selasa, April 20, 2010

Krew 999 Diperas Ugut

Seperti diketahui majoriti pembaca blog ini, saya berada di Jakarta, Indonesia di antara 24 dan 29 Mac lalu membuat liputan 999, ‘Jual Bayi’ di Kampung Beting, Koja, Jakarta Utara.

Penduduk kampung dihimpit kemiskinan, lebih 500 bayi dan anak kecil tidak memiliki sijil kelahiran sekaligus tidak diakui sebagai warganegara Indonesia.

Krew saya sewaktu melakukan tinjauan awal diperas ugut beberapa individu untuk mendapatkan sejumlah wang, ‘protection money’ andai ingin membuat liputan di kampung terbabit. Mereka kononnya berjanji memberikan perlindungan kepada krew 999 sepanjang liputan. Hasil perbincangan, mereka beredar setelah diberikan 3 kotak rokok kretek.

Perbincangan berhubung 'protection money'

Saya akui, sewaktu melangkah ke kampung itu pada 25 April lalu saya berdebar, gusar akan keselamatan 2 jurukamera, pemandu dan Ketua Biro TV3 di Indonesia, Didik Budiyarto. Di kalangan masyarakat berpendapatan kurang RM6 sehari itu, pelbagai kemungkinan boleh berlaku, wang raja kehidupan.

Pada masa sama, tidak disangkal, isi perut terasa bagai dijolok untuk dimuntahkan sewaktu menyusuri lorong sempit di celah rumah, busuk dan hanyir, bau halaman rumah digenangi air kumbahan tandas curah.


Kegusaran dan ketidakselesaan itu saya kesampingkan demi untuk menghasilkan liputan bakal dipertontonkan di negara ini. Tanpa liputan sebegitu, masakan kita mampu melakukan perbandingan tepat berhubung kes pemerdagangan orang di antara kedua negara, Malaysia dan Indonesia.

Paparan terbabit juga sekaligus mengingatkan sebilangan warga Indonesia menetap di negara ini tidak meninggi diri kerana hakikatnya lebih 32 juta rakyat senegara mereka tinggal di bawah garis kemiskinan sehingga segelintir terpaksa menjual bayi mereka dengan harga kurang 500,000 Rupiah, RM185.

Sejurus selepas siaran, 15 April lalu, pelbagai komen saya terima melalui pesanan ringkas dihantar ke hotline, 013 6330 360. Berikut antara komen dilontarkan.

‘Di negara kita, tak ada kes jual bayi ke? Kes buang bayi berlambak. Apa nak menyibuk di negara orang?’

‘Kenapa nak memalukan Indonesia?’

‘Saya sebelum ini meminati 999 tetapi sejak Mazidul muncul kembali, saya sudah tidak minat lagi’

Motif liputan peringkat antarabangsa, membuka mata semua sekaligus menambahkan ilmu pengetahuan masyarakat kita, bukan untuk menyibuk atau memalukan negara jiran. Fakta adalah fakta. Media asing juga membuat pelbagai liputan, baik dan buruk mengenai Malaysia sebelum ini.

Saya tidak pernah memohon sesiapa meminati saya sebagai individu selama lebih 15 tahun bergelumang di persada penyiaran tanah air. Cukup jika penonton memahami dan meraih maklumat hasil liputan saya lakukan.

Sebagai maklumat tambahan, bingkisan ‘Jual Bayi’ di Indonesia merekodkan rating 2.32 juta penonton (sumber: AC Nielsen Malaysia), angka tertinggi dicatatkan sejak 999 bersiaran dalam musim baharu.

Terima kasih kepada semua pembaca sudi menonton paparan terbabit.

Isnin, April 19, 2010

Lari Bogel (Updated Gambar)

Jam 2.20 petang semalam hotel murah di Jalan Tun Ali, Melaka Bandaraya Bersejarah diserbu sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Terkejut, pelacur berasal dari Sandakan, Sabah berusia 20 tahun melarikan diri dalam keadaan berbogel tetapi malangnya dia tersungkur di lobi hotel di tingkat satu dan diberkas polis.

"Saya takut sebab itu lari," ujar gadis manis itu.

Menurutnya lagi, dia hanya bertugas mengurut pelanggan warga asing dengan bayaran RM30 untuk tempoh 40 minit. Persoalannya, jika hanya mengurut kenapa perlu menanggalkan semua pakaian?

Gambarnya setelah berpakaian lengkap saya rakamkan.


Akhirnya dia mengaku menawarkan seks oral dengan harga RM40. Dia juga mendakwa melayan purata 5 pelanggan sehari di antara jam 12 tengahari dan 6 petang.

3 lagi pelacur mendakwa berasal dari Sandakan berusia di antara 19 dan 20 tahun turut diberkas dalam operasi sama.

"Saya orang Bajau Suluk, ini kali ke tiga kena tangkap. Datang ke Melaka bulan 1 tahun ini," kata gadis berusia 19 tahun.

"Bila kamu cuti?," soal saya.

"Bila period," balasnya diikuti ketawa kecil.

Krim pelincir dan kondom ditemui di dalam biliknya lengkap berpenghawa dingin.


Saya berasa hairan bagaimana tubuh sekecilnya mampu 'melayan' nafsu pelanggan warga asing dari Bangladesh, Nepal dan Myanmar.


12 pelanggan diberkas dan sebilangan mereka berada di dalam bilik bersama 8 pelacur berusia di antara 19 dan 35 tahun terbabit.

Gadis mendakwa berketurunan Kagayan juga dari Sandakan dicekup bersama 2 pelanggan tempatan.

"Saya anak ke 3 daripada 7 beradik. Ayah saya nelayan, keluarga susah," ujarnya apabila disoal pegawai polis bertugas.


Pelacur dari Miri, Sarawak, 28 tahun berbaju serba hitam saya temui duduk bersendirian.

"Saya orang susah, keluarga saya di Sarawak miskin," ujarnya.

"Kalau susah sekalipun, kenapa melacur sampai ke Melaka? Kerja kilang, kerja super market, seperti orang lain tak boleh ke?," soal saya.

Namun, dia hanya membisu. Barangkali dia tidak mempunyai jawaban kepada soalan saya ajukan itu.


Selain gadis dari Sabah dan Sarawak, di dalam sebuah daripada 24 bilik di hotel murah terbabit, saya rakamkan gambar di bawah ini.


Terkejut, saya pantas keluar dari bilik terbabit dan ketika berpaling semula saya rakamkan gambar berikut.


Saya percaya, kegiatan pelacuran tidak akan berhenti selagi wujud permintaan. Bagaimanapun wajarkan kita menerima kemiskinan, faktor mendorong mereka memperdagangkan diri? Sedangkan usia mereka masih muda dan bertenaga untuk melakukan pekerjaan lain.

Mungkin pembaca mempunyai pandangan tersendiri.

Pasukan serbuan

Pelanggan dicekup

Orang ramai di luar hotel

Pasukan serbuan

Di dalam Black Maria

Perbincangan 999 dan pegawai polis di IPK Melaka

Pemeriksaan beg

 
Ditahan memiliki dadah katemin

Jurukamera, 'Sponge'

Ahad, April 18, 2010

Pelacur RM15

Melaka Bandaraya Bersejarah.

Jika Hang Tuah masih hidup, pasti laksamana lagenda itu bersedih melihat pelacur mundar mandir di Jalan Tun Ali.

"15 ringgit! 20 ringgit!" teriak bapa ayam.

Saya difahamkan majoriti pelacur memperdagangkan diri di lokasi terbabit dengan harga maksimum RM50 bagi satu sesi singkat berasal dari Sabah. Rakaman menggunakan kamera tersembunyi krew 999 juga membuktikan fakta sama.

"Mengapa ramai dari Sabah?," soal saya.

Namun tiada siapa dapat memberikan jawaban tepat sewaktu saya bertemu Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Superintendan Hamdan Majid beserta pegawai dan anggota polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap jam 6 petang semalam.

Sewaktu tinjauan dijalankan, kami dapati majoriti pelanggan, warga Bangladesh dan Nepal. Mereka datang ke Jalan Tun Ali secara berkumpulan, sebilangan tersenyum lebar sambil berjalan berpegangan tangan sesama lelaki. 

Pelacur dilapor menawarkan khidmat seks setiap hari di antara jam 12 tengahari dan 10 malam di beberapa hotel murah dan premis di tingkat 1 rumah kedai.

"Tahun lalu sahaja polis membuat 37 serbuan di Jalan Tun Ali dan lokasi lain di Melaka untuk membanteras kegiatan pelacuran. Terbaharu, Ketua Menteri Melaka telah mengarahkan kita hentam kawasan itu," jelas Hamdan.

Hemat saya, kegiatan pelacuran di Melaka tidak sehebat mana jika dibandingkan dengan kes pelacuran di Lembah Klang. Namun negeri Melaka kecil, aktiviti tidak bermoral seperti itu menjadi buah mulut orang ramai.

Tunggu perkembangan seterusnya.

Khamis, April 15, 2010

Saham Lelaki Naik

Majoriti lelaki tidak ambil pusing jika rambut beruban. Itu sebahagian daripada lambang kedewasaan dan kematangan. Mereka juga tidak ambil kisah jika kening dan leher berkedut.

Wanita berbeza. Mereka gusar jika rambut beruban, leher dan kening berkedut. Malah berasa amat risau jika berat badan naik mendadak dan pinggul mengembang.

Walhal lelaki dan perempuan bersama meniti usia tua.

Barangkali benar kata orang, semakin tua 'saham' lelaki naik, perempuan menurun.

Rabu, April 14, 2010

Bayi Berenang di Sungai Limbang?

Mampukah bayi berenang? Tidak. Berupayakah ibu tua mengharung arus deras sungai? Tidak.

Justeru, mengapa mereka harus menyabung nyawa?

Saya berasa amat terharu sewaktu merakamkan gambar di jeti  Sungai Limbang, Sarawak. Penumpang menaiki bot tanpa memakai jaket keselamatan. Sukar saya membayangkan jika bot terbalik, anak kecil itu pasti akan terlepas dari dukungan ibu lalu tenggelam. Perlahan air memasuki rongga hidung dan mulut, memberhentikan pernafasannya.

Tidakkah ada pihak berkuasa memantau kegiatan harian penghuni kampung di seberang sungai memperjudikan nyawa mereka? Terlalu mahalkah harga jaket keselamatan berbanding nilai nyawa manusia?

"Sudah biasa"

Barangkali sebilangan berkata begitu.

Namun hakikatnya, bencana tidak pernah diundang, muncul tanpa dijangka, sesal tidak berguna.



Saya percaya, kejadian sama turut berlaku di banyak lokasi lain di Malaysia. Cuma ramai bersikap pejam mata.

Isnin, April 12, 2010

Pelacur 'Nenek Lampir'

Gambar di bawah membuatkan sebilangan individu di Limbang, Sarawak menarik nafas lega. Saya, Mohd Raziff Zulkafli dan jurukamera, Rafi Kassem pulang ke Kuala Lumpur pada jam 2.50 petang tadi.


Namun sebelum menaiki pesawat, 999 mendapatkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, KPDNKK Cawangan Limbang menyerbu dan merampas ribuan cakeran optik cetak rompak di Plaza Purnama terletak di bawah hotel  kami menginap selama 4 hari. Sebelum menghubungi KPDNKK, Raziff dan Rafi menjalankan tinjauan dan rakaman awal.


Saya juga difahamkan KPDNKK Cawangan Limbang diarahkan KPDNKK Putrajaya dan Kuching menukar papan tanda dan 2 bendera terbabit dengan kadar segera. Baca tampalan berhubung perkara ini di sini.


Saya difahamkan, kehadiran 999 di Limbang mencetuskan keresahan pelbagai pihak. Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras dan pelacuran, antara kelompok terjejas kegiatan. Saya maklum, pergerakan kami selama menjalankan tugasan di Limbang sentiasa diperhati dan dipantau pihak tertentu

"Orang ambil tahu kerana orang sayang bang," ujar pemandu, berseloroh.

Terima kasih kepada Yem dan abangnya sudi membantu kami melaksanakan tugasan.

"Padanlah pelacur selalu pagi pagi mundar-mandir di plaza ni, tiba-tiba tak nampak," ujar kakitangan kafe di hotel.

Saya juga dimaklumkan pelacur 'disimpan' buat sementara waktu sehingga krew 999 pulang ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun jam 10 malam semalam, kami berjaya 'memancing' pelacur Indonesia ke bilik dan Rafi menyamar pelanggan. Rakaman menggunakan kamera tersembunyi selama 1 jam berjaya kami sempurnakan, bukti kegiatan pelacuran berleluasa. Lihat persiapan rapi menyediakan kelengkapan audio video dilakukan Raziff dan Rafi di bilik hotel.


Pelacur terbabit berusia 28 tahun, berasal dari Pontianak, Indonesia menawarkan khidmat berharga RM250 bagi tempoh 12 jam.

"Cantik ke?," tanya saya.

"Macam nenek lampir," kata Rafi.

'Nenek lampir,' istilah diguna menggambarkan wajah hantu wanita hodoh di Sabah.

Rakaman temubual bersama pelacur terbabit akan disiarkan Khamis in, jam 9 malam dalam 999.

Buat seketika, biarlah Limbang tenang, saya pasti akan kembali lagi ke sana pada masa akan datang. Banyak kerja belum diselesaikan.