Melalui pembacaan di internet, jirat atau tanah perkuburan Cina di Ampang, Kuala Lumpur, antara lokasi didakwa berhantu.
Namun tidak pula dinyatakan secara jelas, jenis hantu itu.
Susulan dakwaan, saya dan 10 rakan, diketuai Rahmat Mokhtar ke lokasi terbabit pada jam 1.30 pagi tadi. 11 minit selepas tiba, sewaktu Rahmat memacakkan tripod, saya rakamkan gambar di bawah.
Perhatikan asap nipis di sebelah kiri atas Rahmat. Untuk rekod, tiada perokok mendahului dia ketika kami bergerak memasuki kawasan jirat terbabit.
Ahmad Adam Aliff dan Muhamad Zaki Muhamad kemudian berjalan di hadapan.
"Aku takut ular," ujar Adam.
"InsyaAllah tak ada, tengok rumput area ni macam baru kena racun," balas Rahmat.
Hampir jam 2 pagi, tiba-tiba kedengaran bunyi seperti objek dibaling ke arah kami dari bawah pokok besar.
"Ish! Apa baling baling! Keluar sahajalah," ujar Adam bersahaja.
Kami semua memerhati tanpa bergerak. Saya sendiri secara jelas mendengar bunyi balingan itu tetapi tidak berdebar, barangkali kerana bilangan kami ramai dan bergerak dalam satu kumpulan. Mohd Farid Hamzah, memegang Infrared Thermometer, tidak mengesan sebarang perubahan suhu mendadak.
Sesekali, batu nesan tinggi kelihatan tidak ubah bak manusia berdiri. Apapun, itu hanya sekadar pandangan kerap mengakibatkan jantung berdegup lebih kencang berbanding biasa.
Jam 2.12 pagi, Rahmat, Adam dan Zaki mendakwa mengesan kehadiran entiti paranormal tiba-tiba memasang kekuda dan mula berpencak silat berhampiran pokok besar berdaun rendang.
"Aku back up engkau orang," kata Adam.
Pada usia 44 tahun, mungkin mata saya tidak sejelas pandangan mereka. Justeru, saya tidak melihat kemunculan sebarang entiti di hadapan mata. Seperti saya janjikan di awal penulisan sebelum ini, saya hanya akan mencatatkan fakta berhubung pengalaman saya tempuh dalam kajian paranormal ini, tidak lebih daripada itu dan tiada tokok tambah dilakukan semata-mata untuk menyeramkan pembaca. Itu bukan stail penulisan saya.
Kira-kira 10 minit kemudian, Rahmat kelihatan kepenatan, hampir rebah dan ditenangkan rakan lain. Juntaian akar pokok, barangkali berusia puluhan tahun membuatkan suasana terasa agak menyeramkan.
Beberapa minit kemudian, saya rakamkan gambar objek bercahaya terbang di atas kepala kumpulan menyertai tinjauan kami.
"Gambar apa ni?," soal saya.
"Rasanya bukan lipas terbang atau belalang sebab nampak besar," Zaki bergurau.
Lebih pasti, itu bukan kapal terbang. Barangkali unggas malam mengepakkan sayap akibat terkejut berikutan kehadiran kami di jirat seluas saujana mata memandang itu.
Saya dapati, sebilangan lubang kubur dikorek dan dipenuhi sampah.
Jam 2.30 pagi, 2 sukarelawan bersetuju ditinggalkan selama 30 minit di lokasi terpilih sebelum kami semua beredar.
Kami pantas bergerak kira-kira 300 meter dari mereka. Untuk rekod setiap gerak-geri sukarelawan terbabit dirakam menggunakan video HD
Canon Power Shot G12.
"Masa kita dua orang, ada bunyi macam kayu kena ketuk, bunyi jeritan di belakang kami. Memang dengar
clear"
Itu laporan 2 sukarelawan pertama kali menyertai kami pada jam 3 pagi.
Dalam tempoh mereka ditinggalkan, Rahmat, Zaki dan Adam mendakwa terlihat kelibat pocong di sekitar hujung kawasan jirat sama.
"Tetapi macam mana pocong boleh ada di jirat Cina?," soal Adam.
Semua menunggu jawaban.
"1Malaysia," celah saya.
Semua tertawa memecahkan keheningan pagi.
Sebaik bersatu kembali bersama 2 sukarelawan, kami bergerak kembali ke lokasi kelibat pocong didakwa dilihat.
Rahmat, Adam dan Zaki kembali berpencak sambil menjerit bagaikan bertempur dengan entiti tidak kelihatan dek mata kasar.
Tanpa gusar dan gentar, mereka menerjah kawasan gelap bersama. Saya dan rakan lain memerhati dari jarak kira-kira 10 meter.
Perhatikan orbs bagaikan mengintai pergerakan mereka dari ruang udara.
Sewaktu bergerak keluar dari jirat itu, mereka bertiga meluahkan perasaan sama.
"Puas! Puas sangat malam ini walaupun penat"
Saya juga berasa puas. Puas menempuh pengalaman tidak pernah terlintas untuk dilalui di benak fikiran sebelum ini.
Adam ... Adam ...
Kenapa pula main tepuk amai-amai ni?
Tepuk amai-amai belalang kupu-kupu, tepuk biar pandai nanti malam upah susu! Ya, upah SUSU. Untuk pengetahuan pembaca, tinjauan dan kajian dijalankan, tidak mendapat sebarang bayaran.
Jika ada pihak berkesudian menaja kajian kami untuk menampung kos minyak kenderaan serta jamuan ringan, budi baik itu dialu-alukan. Nama syarikat mahupun individu akan dipaparkan di tampalan berkaitan.
Oh! Adam?
Balik! Balik! Cuba tengok catatan masa di gambar, dekat pukul 4 pagi tahu?
Ha! Dengar cakap pun. Hey! It goes to you too, VJ!