"Encik dari TV3 ke?," tanya gadis itu.
Namanya T. Jamuna dan berusia 21 tahun.
"Kenapa?," soal saya kepada gadis berbangsa India fasih berbahasa Melayu.
"Saya dan keluarga tinggal di tingkat 11. Emak saya kena mencuci darah (dialisis) sejak dua setengah tahun lalu. Pernah lif rosak 2 minggu, emak saya susah sangat hendak naik tangga. Kita sudah beberapa kali komplen, kalau tengok lantai lif itu sedikit lagi hendak runtuh. Saya risau kalau nanti ada orang terjatuh," ujar anak bongsu dari empat beradik itu.
Biarpun dia tersenyum, saya dapat merasakan kebimbangan di hatinya.
Berikut gambar lif dimaksudkan oleh Jamuna, di Flat PPRT Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, saya rakamkan sebelum bertemu gadis itu.
Untuk rekod, hanya satu daripada 3 lif di Blok D itu masih beroperasi.
"Sekarang emak pergi mencuci darah. Tiga hari seminggu, Isnin, Rabu dan Jumaat. Emak sendiri pergi, kekadang saya bawa," jelas Jamuna.
"Ayah Jamuna ada lagi?," soal saya.
"Tadi lelaki menolak troli itu ayah saya, dia OKU (orang kurang upaya), bisu dan pekak. Saya kasihan, emak balik dari mencuci darah, badan dia lemah, tidak boleh berjalan jauh, inikan pula mendaki tangga. Tetapi dia terpaksa kalau lif rosak. Saya menghubungi nombor telefon tertera di lif itu, dia orang jawab, kejap lagi! Kejap lagi! Sampai kira-kira 14 hari masih tidak diperbaiki lagi," jelasnya, kesal.
Bayangkan, wanita berusia 58 tahun, berpenyakit buah pinggang terpaksa mendaki ke tingkat 11, flat setinggi 18 tingkat ini.
"Saya akan cuba memaklumkan MPBJ," ujar saya kepada Jamuna.
Maklumat disalurkan oleh pengawal keselamatan berusia 33 tahun, saya temui sebelum merakamkan gambar blok di atas, lebih menarik.
"Disember tahun lalu, lif rosak. Wanita India mengandung, duduk di tingkat 12 terpaksa bergegas turun menggunakan tangga kerana terdesak hendak melahirkan anak kedua. Akhirnya, anak lelaki dia dilahirkan di ruang tangga di tingkat 7 disambut oleh wanita Melayu. Dia turun, tali pusat bayi dibawa sekali ke dalam ambulan menunggu di bawah," ujar anak kelahiran Selangor itu.
Pasti kejadian terbabit sukar dilupakan dek wanita itu.
"Nanti Mazidul pergi ke Blok B, tengok pula keadaan lif di sana. Hanya satu lif sahaja bergerak di semua blok, A, B, C dan D," tambah pengawal keselamatan sama.
Saya dibawa ke Blok B oleh pekerja syarikat pengangkutan, Mohd Ikhwan Ramli, 29 tahun.
Saya merakamkan suasana di ruang berhampiran lif.
"Tengok lantai lif ini, macam hendak runtuh," kata wanita berbaju merah di bawah.
Rintihan mereka saya dengari, malangnya saya bukan wakil rakyat mampu membantu mereka. Untuk rekod, 4 blok flat kos rendah di Jalan Pekaka PSB 8/1, Kota Damansara itu dimajukan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ.
"Saya tinggal di sini sejak 1 Mei 2003, duduk di tingkat 14 dan lif ini pernah rosak 2 bulan. Penat saya menaiki tangga, orang tua. Lif paling cantik, berlampu, kira lif di blog inilah," ujar wanita berusia 59 tahun di bawah.
Mari kita bersama menyaksikan keadaan 'lif paling cantik' dimaksudkan wanita itu.
"Isteri saya sedang mengandung anak sulung, kalau lif rosak, dia hendak melahirkan anak, memang saya bimbang. Kami duduk di tingkat sembilan," ujar lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Isterinya, anak kelahiran Rantau Panjang.
Saya doakan wanita itu berpeluang melahirkan cahaya matanya di hospital, bukan di ruang sempit tangga blok terbabit.
"Kawasan perumahan ini kelihatan aman tetapi banyak masalah. Kami minta dua bonggol daripada MBPJ supaya pengguna jalanraya tidak memandu atau menunggang kenderaan secara laju. Jalan utama itu telah mengorbankan 3 nyawa. Tahun lalu, orang tua kena langgar dek kereta, maut. Penduduk pernah menghantar surat kepada MBPJ, malangnya tidak ada tindakan ," dakwa Ikhwan.
"Alasannya?," soal saya.
"Kata mereka, ini laluan utama perumahan tetapi peliknya kawasan perumahan orang kaya di belakang sana, boleh pula diletakkan bonggol, pilih bulu. Rumah datuk datuk, jalan sama juga. Maklumlah rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin)," balasnya.
Saya difahamkam, sebelum PKR mengambil alih tampuk kepemimpinan Selangor, seunit rumah disewa dengan harga RM124, kini RM250 sebulan.
"Teruk juga lif di sini?," tanya saya.
"Hanya satu berfungsi di setiap blok, dua lagi digunakan untuk diambil spare parts. Kekadang lif naik mengikut tingkat, tidak mengikut butang kita tekan. Bayangkan, lif naik ke tingkat 18, selepas itu turun satu tingkat ke satu tingkat lain. Sudah lebih 5 tahun keadaan begitu, saya sudah tinggal di sini kira-kira 10 tahun. Dahulu kami duduk di perumahan setinggan, Kampung Lanun, SS2, Petaling Jaya," jelasnya.
Saya terus mendengar.
"Sebelum Tahun Baharu Cina lepas, kami menganjurkan ekspo menjual telefon bimbit. Masuk hari kedua, 14 Januari, datang 3 trak dan 2 van penguatkuasa MBPJ. Ada orang membuat aduan, kata mereka. Kami orang Melayu, beragama Islam, cuma hendak berniaga. Cuba memohon lesen, tidak diberikan. Penguatkuasa pada mulanya hendak merampas barangan kami tetapi saya cabar mereka. Kalau hendak rampas, pergi tutup dahulu kedai judi berkomputer di atas restoran mamak, dekat lokasi ekspo. Saya cakap, kalau diambil tindakan, kami sendiri akan pergi naik ke premis perjudian itu dan mengangkut semua komputer, humbankan ke bawah," tegas Ikhwan.
"Apa terjadi selepas itu?," soal saya.
"Barulah penguatkuasa bertenang sedikit. Waktu itu ramai penduduk di sini berkumpul. MBPJ kemudian menghubungi polis, bukan kami. Untuk pengetahuan abang, terdapat 2 kedai judi di kawasan berhampiran. Kedua premis berselindung di sebalik kedai snooker, mesin judi di bahagian belakang. Kedai di atas restoran mamak, kalau tidak silap saya beroperasi sejak 8 tahun lalu. Pelanggan majoriti Melayu. Bila dapat gaji, habis duit diserahkan kepada pengusaha premis perjudian, anak isteri di rumah tidak ada beras untuk makan," terangnya lagi.
Sewaktu bersama program 999, saya pernah memasuki premis kedua di atas. Pekerja menjaga meja snooker, warga Bangladesh. Terdapat lebih 20 mesin judi berkomputer di bilik belakang, dijaga oleh pekerja wanita, warga Indonesia.
Orang ramai sebenarnya nampak kejadian berlaku di sekeliling mereka.
Mereka bermata.
Kepada pihak memiliki kuasa, sila laksanakan tugas berlandaskan aduan dikemukakan orang ramai. Rasanya tidak perlu saya menamakan pihak berkuasa terbabit.
Ops! Jika belum mengundi blog ini, sila ke
Vocal Blog.
Daftar dan undi, terima kasih.
Sila kongsikan entri ini di Facebook, terima kasih.