Dalam perjalanan ke Kuang, Selangor semalam, saya sempat menghubungi Ketua Balai Polis Sungai Buloh. Diminta, beliau kemudian memberikan saya nombor telefon bimbit pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Sungai Buloh bertugas memantau Ops Cantas Khas.
Sambil minum cendol dan makan cucur udang di pinggir jalan, kontraktor berusia 41 tahun berkongsi cerita tidak saya sangka.
Dia bertugas sebagai kontraktor pembinaan rumah dan jalanraya sejak 10 tahun lalu.
"Saya membuat kerja menampal jalanraya baru masuk tahun kedua. Setakat ini saya telah mengendalikan 7 projek," katanya.
"Daripada 7 projek itu berapa kali berlaku percubaan untuk 'pau' (memeras ugut)?," soal saya.
"Lima tetapi saya tidak pernah membayar. Lazimnya kumpulan beberapa lelaki India datang ke lokasi dan meminta wang di antara RM500 dan RM3,000. Mereka mendakwa kononnya menjaga kawasan itu dan datang menuntut wang perlindungan. Kalau kita bekerja siang, mereka datang siang, kalau kita bekerja malam, mereka datang malam," jawabnya.
Kontraktor kecil sepertinya mendakwa berada dalam keadaan dilema.
"Kalau kata kita berikan wang, kumpulan lain pula akan datang meminta wang. Mana kita boleh tahan. Keuntungan bukan besar. Kalau kata tidak dapat juga, kumpulan lain akan 'cucuk angin'. Mesti akan datang dua kumpulan dan cuba meminta wang perlindungan sampai dapat," ujarnya kecewa.
Lazimnya, dia memaklumkan balai berhampiran sebelum melaksanakan tugasan.
"Satu hari sebelum projek bermula, saya repot terlebih dahulu di balai polis, bimbang kalau di kacau. Contoh, kes di Damansara Damai. Sebelum bulan Ramadhan lalu, kami mula bekerja pada waktu pagi, petang mereka sampai 10 orang. Ketua kumpulan menghubungi saya. Selepas itu saya pantas menghubungi balai. Dengan kadar segera balai menghantar dua anggota membuat rondaan, ahli kumpulan itu beredar. Lama kelamaan saya tidak sedap hati dan pergi ke balai. Sewaktu saya menunggu anggota polis berkumpul mereka menghubungi saya untuk menuntut protection money. Sampai semula di tempat kerja, mereka senyap. Apabila saya hubungi, panggilan terus tidak berjawab," jelasnya.
Tambahnya, kumpulan terbabit tidak pernah menyatakan nama kumpulan gengster dianggotai.
"Mereka hanya berkata, kononnya menjaga kawasan tempat saya menjalankan kerja. Minggu hadapan saya akan menjalankan projek lebih besar dan 100% saya berani cakap, mereka akan datang mengganggu dan memeras ugut. Majoriti mereka masih muda, datang memakai bangle 3 inci, berusia di antara lapan belas, sembilan belas dan tiga puluh lima tahun. Kita tengok pun mendidih. Mereka tidak gentar biarpun kami membuat kerja di jalan utama. Contohnya, kejadian 5 orang lelaki datang di Kota Damansara, Petaling Jaya," ujar kontraktor berasal dari Sungai Buloh itu.
Pekerjanya kira-kira 15 orang, setiap kali bekerja memperbaiki jalanraya.
"Kumpulan Melayu dan Cina tidak terbabit. ," celahnya.
"Bagaimanakah perawakan mereka?," soal saya.
"Tubuh sebilangan mereka lebih besar berbanding saiz badan bro, ada juga kurus kering. Nanti kalau saya membuat projek lain, bro datang, duduk di dalam kereta dan boleh merakamkan gambar mereka. Tadi, kira-kira jam 1 tengahari (24 Ogos 2013), di Jalan Orkid, Kampung Damai, Kuang, datang 4 lelaki India menuntut wang perlindungan. Mereka bertemu pekerja India saya dan berkata akan datang kembali dalam tempoh satu jam. Itu kampung Melayu, mereka berani juga datang ," katanya.
Bertindak melalui maklumat itu, saya kemudian menghubung pegawai berpangkat Inspektor bertugas mengendalikan Ops Cantas Khas di IPD Sungai Buloh.
"Saya akan hantar unit peronda ke sana untuk memantau tetapi apapun jangan bayar sesiapa untuk wang perlindungan," nasihat beliau.
Kata saya, sebarang perkembangan terbaru bakal dimaklumkan kepada beliau dengan kadar segera.
Lihat gambar di bawah, jalan lengang dan kawasan agak jauh dari jalan utama, lokasi kerja pembaikan jalan dilaksanakan oleh kontraktor terbabit.
Ops Cantas Khas dilaksanakan tepat pada waktunya.
Kontraktor seperti lelaki itu mencari rezeki di bumi sendiri dan tidak perlu diganggu sampai begtu sekali.
"Saya penat kalau keadaan berterusan begini," kata kotraktor terbabit.