Ahad, Ogos 30, 2009

"Dia Raba Saya"

Semalam saya berbuka puasa di Selat Melaka di atas kapal milik Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia, APMM, KM Manjung. Turut serta, wartawan 360, Harris Farok Alex, wakil TV3 di Johor dan blogger, Hazrey Abu Bakar (gambar: tengah) dan dua jurukamera.

Ikan sembilang masak asam pedas, kembong dan udang bakar antara juadah disajikan. Terima kasih kepada Laksamana Pertama Maritim Wilayah Selatan, Che Hassan Jusuh (gambar: dua dari kiri) kerana sudi mengundang 360 berbuka puasa di lautan luas.

Paparan itu akan disiarkan 360, episod ‘Cabaran Ramadhan’ rabu ini.

Sebelum Hazrey menjemput saya, Harris dan jurukamera di Hotel The Zon pada jam 4.30 petang, berulang kali saya hentakkan kasut Crocs dipakai ke lantai lobi hotel untuk memastikan pasir Pulau Rawa terlekat, tanggal. Bimbang lantai kereta 2.4 cc, Toyota Ipsum baharu dibeli Hazrey kotor.

Sewaktu Hazrey memberhentikan kereta 7-seater itu di tepi jalan untuk mengeluarkan wang di bank berhampiran Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan, saya ‘menggodek’ sistem audio keretanya diperhatikan Harris dan jurukamera duduk di belakang. Paparan LCD dipenuhi tulisan Jepun, sukar difahami. Berulangkali paparan sentuh ditekan, lagu tidak kedengaran. Terfikir, mungkin Hazrey sendiri pada awalnya berhadapan masalah sama.

Kereta baharu tidak ubah seperti kerjaya baharu, banyak perkara perlu dipelajari dan diteliti.

Harris, graduan Sains Sukan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran 360 lebih 2 tahun lalu. Sebagai Penerbit Eksekutifnya, saya tahu dia bekerja keras, belajar dan meneliti keperluan kerjaya begitu asing berbanding bidang dipelajarinya di universiti.

"Paling mencabar masa saya kena berpura-pura pengsan di stesyen LRT, nak tengok ada orang tolong ke tidak. Malam sebelum itu, saya dah berdebar. Kedua, masa checked in dengan lelaki gay di hotel. Bila dia raba saya, rasa macam nak menangis bang,” ujarnya.

Liputan di Pulau Rawa dan berbuka puasa bersama APMM, tugasan terakhir saya bersamanya. 31 Ogos 2009, Harris akan menamatkan perkhidmatannya bersama 360. Wartawan kelahiran Terengganu itu akan menyertai syarikat pembekal program disiarkan stesyen televisyen swasta berbayar.

Saya yakin dengan masa, komitmen dan keinginan tinggi, Harris mampu memenuhi tuntutan kerjayanya. Dia telah membukti kejayaannya di 360 sebelum ini. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Harris kerana sudi bekerja bersama saya dan rakan lain.

* Dengar kata Hazrey beli kereta banyak diskaun, jadi gambar dimuatkan sebelah sahaja :)

* Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara ke-52!

Sabtu, Ogos 29, 2009

Cukup! Gua Talak Lali!

“Suluh sana!,” arah saya kepada jurukamera bertugas.

Dia merangkak pantas bak buaya memburu mangsa di dalam paya cetek berair hitam dipenuhi pokok keladi bunting. Di sebelah saya, berdiri dua anggota polis wanita, WPC memerhati, serba salah.

Tanpa berfikir panjang, saya melompat dan secara kebetulan kedua kaki mendarat di atas belakang lelaki Cina itu. Ketika itu berat saya 115 kilogram. Dia meronta ganas cuba memboloskan diri. Hampir terjatuh, saya sempat merentap kolar kemeja lelaki bertubuh pendek tetapi sasa itu sekaligus melepaskan beberapa tumbukan kencang ke keningnya. Kedua belah kaki saya berasa sejuk, kasut Nike ACG baharu saya beli dimasuki air paya bercampur bahan kumbahan flat kos rendah di kawasan berhampiran.

“Ok! Ok! Cukup! Cukup! Gua talak lali!,” jeritnya kesakitan.

Dua WPC berpakaian preman tadi pantas terjun dari tebing dan beberapa saat kemudian mereka berjaya menggari lelaki terbabit. Darah merah mengalir di bahagian atas mata kanannya. Manakala, di pondok kayu berhampiran, pegawai dan anggota polis dari Bahagian Narkotik berjaya memberkas rakan suspek. Hasilnya, hampir 2 kilogram dadah jenis heroin berwarna merah jambu ditemui dan dirampas di pondok sama.

Kejadian itu berlaku di Johor Bahru, Johor pada tahun 2005, saya lupa hari dan bulannya. Liputan operasi terbabit disiarkan di dalam program ‘999’, cuma visual kejadian itu terpaksa saya sunting kerana pada ketika itu kes ini belum dibicarakan di mahkamah.

Pulang dari Pulau Rawa, kini saya di Johor Bahru. Semalam saya bertemu antara pegawai narkotik bertugas dalam operasi sama. Beliau, sahabat saya, kini berpangkat Cif Inspektor, 4 tahun lalu, Inspektor.

“Bang, Cina awak tangkap tu kena hukuman gantung. Dia sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kawan dia pun sama,” ujarnya puas.

“Terpaksa tangkap tuan, kalau terlepas tidak dia akan ‘bunuh’ ramai anak bangsa,” balas saya.

Kami tersenyum bersama.

Pelbagai pengalaman cemas, ngeri dan mencuit hati saya tempuh sewaktu bertugas sebagai wartawan program ‘999’ sebelum ini. Banyak lagi kejadian seumpamanya tetapi biarlah saya simpan sebagai kenangan sebelum menutup mata.

* Hazrey, terima kasih kerana 1. belanja krew 360 makan di Restoran Singgah Selalu 2. bagi naik kereta baharu 7-seater 3. sudi 'lepak' bersama

Jumaat, Ogos 28, 2009

Soalan Cepu Emas

Berikut jawaban klise.

“Tunggu besar sikit nanti kamu akan tahu”

Bukan apa, bimbang jika anak kecil mencari jawaban sendiri sebelum mereka ‘besar’. Tambahan pula pendidikan seks tidak diajar di sekolah negara kita.

Antara soalan sukar dijelaskan ibu bapa atau golongan dewasa seandainya diajukan anak kecil.

“Kenapa emak pakai pampers?”

“Macam mana adik boleh ada di dalam perut emak?”

“Sebab apa emak tak ada ‘bird’?”

“Malam tadi adik nampak ayah ada atas emak, kenapa? Main wrestling eh?”

Kongsikan cara terbaik menjawab soalan terbabit.

Salah Hantar Lagi

Saya kini berada di Pulau Rawa, Mersing, Johor.

Teringat pesanan ringkas, SMS dihantar kepada saya melalui hotline 360 pada jam 11.58 pagi semalam.

‘Yah lmbt lg ke? Bu nak brak. Kat sini ada jmbn tp xkan nak bw adik skali’

Saya kemudian membalas SMS terbabit.

‘Ha?’

12.46 tengahari, pengirim sama menghantar SMS berikut.

‘Sorry trsalah send sms. x perasan ank kacau sbb kat klinik. Stiap mgu saya tgk 360. Sbb tu sya ada save no’

Saya, wartawan 360 dan jurukamera sedang memandu kereta ketawa terbahak-bahak.

Khamis, Ogos 27, 2009

Guru LIWAT Murid

GAY, lelaki MELIWAT ('top') lelaki atau DILIWAT ('bottom') dek lelaki atau MELIWAT dan DILIWAT ('flexi') biarpun segelintir mereka mendakwa tidak terbabit. Mungkin definasi itu mengelirukan tetapi usar gusar kerana GAY juga kelompok keliru.

Hari ini akhbar Harian Metro melaporkan kes guru tuisyen lelaki baharu berkahwin berusia 27 tahun MELIWAT 2 anak murid lelakinya di Johor.

Mungkin guru itu tidak pernah belajar Biologi. Zaman dahulu, kelas Biologi ada menyentuh tajuk berhubung alat kelamin lelaki dan perempuan. Barangkali, guru sama tidak tahu dubur bukan alat kelamin.

Samada guru itu biseksual atau gay, kesimpulannya dia MELIWAT.

Minum arak membabitkan dosa di antara manusia dan Allah. Jika bertaubat, InsyaAllah Allah akan mengampunkan dosa makhluk ciptaanNya.

Manakala LIWAT perbuatan songsang berdosa membabitkan manusia dan manusia. Jika dilakukan keatas anak kecil, satu penderaan fizikal zalim. Dari aspek psikologi, pelajar terbabit mungkin terpaksa berhadapan trauma kritikal jika tidak diberikan kaunseling pada kadar segera.

Gila.

Cerita Orang Kosong

Ada pelbagai kaedah rakyat Indonesia memasuki negara kita. Antaranya, menggunakan visa kerja sah dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia dan kemudian tinggal lebih masa, menyalahgunakan visa pelancong dan bekerja secara haram atau diseludup masuk melalui pengkalan haram persisiran pantai terutama di Johor.

Di negara ini, mereka berstatus pendatang tanpa izin, PATI atau ‘orang kosong’ kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Sewaktu menetap di sini mereka memperjudikan nasib. Jika gagal diberkas penguatkuasa Imigresen, polis atau RELA, mereka tersenyum dan meneruskan kehidupan lebih selesa berbanding di negara sendiri.

Bagi PATI, Malaysia, ‘lubuk emas’. Buktinya, mereka sanggup membanting tulang melakukan kerja berat di ladang kelapa sawit dan getah biarpun pendapatannya tidak lumayan. Mereka sekadar ingin meneruskan kelangsungan hidup sambil menanti peluang pekerjaan lebih baik.

Mereka cukup gembira jika berpeluang menjadi buruh kasar di ribuan projek pembinaan di seluruh negara. Ketepikan soal visa dan permit kerja kerana mereka maklum pihak berkuasa Malaysia tidak mampu melaksanakan operasi memberkas PATI secara konsisten.

Pada masa sama sebilangan kontraktor utama projek pembinaan tutup mata kerana PATI, sumber buruh lebih murah berbanding pekerja sah. Jika gaji tidak dibayar selepas kerja selesai, PATI tidak mampu mengemukakan komplen kepada pihak berkuasa kerana status mereka buruh haram. Majikan tersenyum gembira, kantung bertambah tebal.

Sebilangan pemilik kilang di negara ini juga dilaporkan terbabit mengambil PATI bekerja di syarikat mereka. Jika pekerja PATI menimbulkan masalah, hubungi sahaja pihak berkuasa, PATI akan diberkas dan dihantar ke Indonesia. Dalam kes sebegini, jarang benar majikan dituduh sebagai pelindung PATI sedangkan itu hakikat sebenar.

Jam 8.30 pagi, 18 Ogos lalu, Pasukan Gerakan Marin Pelabuhan Klang menahan 102 PATI Indonesia berusia di antara 2 dan 48 tahun menaiki 2 bot di Sungai Mati, Pulau Carey, Pelabuhan Klang, Selangor. Setiap mereka terpaksa berlapar dan tidur di atas lumpur selama 5 hari menunggu air pasang untuk pulang ke negara asal. Mereka mengaku membayar di antara RM800 dan RM1000 kepada tekong bot, bertugas menyeludup mereka keluar dari Malaysia untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Saya bimbang membaca berita dimuatkan di akhbar itu. Jelas PATI sudah terlalu terlalu berani. Mereka menetap di negara kita secara haram dan cuba pulang ke tanah air mereka secara haram. Barangkali jika gagal diberkas, selepas sambutan hari raya Aidilfitri mereka akan menyusup masuk semula ke negara ini secara haram.

Semua haram, tiada halal.

Sesetengah pihak mungkin melihat kebiadaban PATI melanggar perundangan negara sebagai isu lapok. Mungkin kerana isu besar ini gagal ditangani secara pantas dan berkesan.

Tetapi saya tidak berasa hairan, kes lebih kecil turut menerima nasib sama.

Lihat sahaja ‘drama’ Kartika Sari Dewi Shukarnor, wanita kelahiran Perak reda dan menuntut disebat akibat minum arak. Sehingga entry ini ditulis masih menemui jalan buntu kerana pelbagai pihak saling bertelagah sesama sendiri untuk melaksanakan hukuman.

Dalam kedua kes, kita gagal membezakan di antara halal dan haram.

Barangkali.

* Saya dimaklumkan Professor Datuk Dr Ismail Salleh meninggal dunia pada jam 2 pagi tadi dalam penerbangan dari China ke Singapura. Takziah kepada keluarga beliau. Semoga rohnya di cucuri rahmat.

* Korban Selesema Babi, 71

Rabu, Ogos 26, 2009

"Seksi Ko Nyah!"

Roslan Saad, Nur Zufika Mohd. Yusoff, Mohd. Zamri Omar, Hussin Muksan, Muhd. Nizam Abd. Razak dan Anizam Zakaria.

Semua lelaki berusia di antara 25 dan 36 tahun ditangkap penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan jam 5.45 pagi, 24 Ogos lalu.

Kesalahan mereka, berpakaian wanita di Lorong Haji Taib 1, Chow Kit Road, Kuala Lumpur dan dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral. Aktiviti tidak perlu saya huraikan di sini, saya percaya akan ada pihak mencemuh jika diperincikan di bulan mulia, Ramadhan Al-Mubarak.

Apapun, pastinya aktiviti itu bukan makan ais krim kon.

“Seksinya ko nyah! Suka mak tengok”

Mungkin itu antara ungkapan senda gurau sinis mereka sewaktu janggut dan jambang kebiruan mula muncul pada wajah disolek bedak mencair.

Akhbar melaporkan mereka hadir di Mahkamah Rendah Syariah berpakaian seksi dan didakwa mengikut Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Setiap pesalah didenda di antara RM900 dan RM1,000 atau penjara jika gagal menjelaskan jumlah itu. Dua daripada mereka melakukan kesalahan berulang.

Mereka juga tidak berpuasa.

Simpati kepada Pak Saad, Pak Mohd Yusoff, Pak Omar, Pak Muksan, Pak Abd. Razak dan Pak Zakaria, samada mereka masih hidup atau meninggal dunia.

* Mayat lelaki berpakaian wanita ditemui di takungan banjir di Jalan Air Tawar, Setapak, Kuala Lumpur. Mangsa berbaju T biru dan bergaun midi ungu dipercayai dibunuh berikutan penemuan kesan tetakan di kepala dan tikaman di perut - Kosmo

Perut Berkocak

Saya terfikir, setiap kita mempunyai cabaran unik di bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Anak kecil berpuasa kali pertama pastinya terliur melihat air paip di singki dapur. Apatah lagi, jika terpandang lebihan makanan sahur di bawah tudung saji atau di dalam peti ais.

Manakala, isteri bekerja di bandar terpaksa bergegas pulang dari pejabat untuk menyediakan juadah berbuka untuk suami dan anak. Tidak kisah samada dia memasak atau membeli makanan di luar.

Pelajar institusi pengajian tinggi berbajet terhad pula terpaksa memikirkan kaedah terbaik berbelanja di bulan puasa. Maklumlah, pelbagai juadah dijual di pasar Ramadhan di kawasan berhampiran. Nafsu muda terpaksa disekat, jika tidak, semua makanan menyelerakan ingin dibeli namun bimbang kantung kosong awal.

Khamis ini saya dan wartawan 360, Harris Farok Alex akan ke Pulau Rawa bersama wartawan TV3 di Johor, Hazrey. Bukan bercuti tetapi untuk meninjau kehidupan nelayan persisiran pantai. Penginapan 4 hari 3 malam di Rawa Safaris Island Resort ditaja. Terima kasih kepada pemiliknya dari saya.

Nelayan masih keluar mencari rezeki di laut biarpun berpuasa. Jika tidak dapur di rumah mungkin tidak berasap dan anak isteri kelaparan. Terik matahari, angin kencang dan gelora ombak lebih mengeringkan tekak dan membuatkan perut berkocak. Itu antara cabaran mereka tempuh hampir setiap hari. Senja, pulang kerumah barangkali hanya berbuka secara alakadar, makan nasi berlauk ikan lebihan jualan.

Jauh berbeza berbanding ahli koporat di pejabat, duduk di kerusi empuk. Biarpun terpaksa memerah otak, merancang dan melaksanakan pelan bisnes, mereka bekerja di premis berhawa dingin, sejuk. Apabila azan dilaungkan, mereka di hotel lima bintang menjamu selera. Juadah buffet mereka berharga puluhan dan ada mencecah ratusan ringgit untuk satu kepala.

Jika anda ingin kongsikan ‘cabaran’ anda depani di bulan Ramadhan 1430 hijrah, silakan.

Selasa, Ogos 25, 2009

Kaki Botol Pening

Menurut akhbar The Star, pegawai masjid, imam, nazir, bilal dan siak di Selangor kini diberikan kuasa menangkap orang Islam meminum arak di tempat awam, menjual serta menyimpan minuman keras.

Kenyataan dikeluarkan Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Dilaporkan lebih 1,500 penguatkuasa agama bakal melaksanakan enakmen terbaharu dijangka mampu mengheret suspek ke Mahkamah Syariah.

Justeru, untuk mengelak ditahan penguatkuasa agama, kaki botol Melayu di Selangor pening, barangkali mereka terpaksa membeli arak di kedai serbaneka dan mabuk di rumah.

Setakat ini kedai serbaneka di Selangor antaranya, 7-Eleven, menjual dan menyimpan arak, menggajikan majoriti pekerja Melayu.

Bersama kita perhatikan dalam tempoh terdekat, apakah tindakan 7-Eleven selanjutnya? Buang arak atau buang pekerja Melayu?

* Program 360 bertajuk 'Gay Terlampau', siaran minggu lalu ditonton 2,007,000 orang - AC Nielsen

* Korban Selesema Babi, 70. Mangsa terbaharu kanak-kanak berusia 3 tahun.

Isnin, Ogos 24, 2009

Tersilap Gesel Boleh Disebat

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata hukuman sebat dikenakan kepada Kartika Sari Dewi Shukamor, 32 tahun, ‘ultra vires’, tindakan melampaui batasan kuasa mahkamah.

20 Julai lalu, Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman maksimum 6 sebatan dan denda RM5,000 terhadapnya kerana disabitkan kesalahan meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan pada jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.

Berikutan ‘pertembungan’ keputusan hukum berlaku di antara dua hakim, perlaksanaan hukuman sebat Kartika di Penjara Wanita Kajang, Selangor hari ini ditangguhkan.

Pada masa sama Kartika dibolehkan mengambil tindakan saman kerana hukuman sebat dijatuhkan terhadapnya tidak sah dan dia tidak boleh dipenjara kerana telah menjelaskan denda RM5,000.

Kita tunggu perkembangan kes ini dalam tempoh terdekat.

Mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Wilayah Persekutuan 1997 sedang diguna pakai, pesalah hanya boleh disebat sekiranya disabitkan kesalahan berhubung doktrin palsu, sumbang mahram, pelacuran, pelindung pelacur, persetubuhan luar nikah, liwat dan musahaqah, memuaskan nafsu seks sesama perempuan secara menggeselkan dua faraj.

Meminum arak bukan satu daripada kesalahan boleh dijatuhi hukuman sebat mengikut akta terbabit.

Justeru, semua pihak berkuasa berhubung undang-undang Islam di Malaysia pada kadar segera perlu duduk semeja menyelaraskan semua Akta Kesalahan Jenayah Syariah Negeri sedia ada supaya tidak mengelirukan rakyat.

Tegur Dia Kali Terakhir

Bagi golongan belum mengetahui, banyak blog dan laman web terbuka gay rancak dipaparkan di dunia maya. Seorang daripada pemilik blog berbentuk sama, berubah. Blog dahulunya memaparkan gambar lelaki mengadakan hubungan seks songsang membabitkan anggota pasukan berseragam kini dimuatkan bahan lebih berfaedah untuk dibaca. Tahniah!

Terus-terang, saya mengetahui identiti terperinci pemilik blog itu, nama, umur serta kerjaya dan lokasi dia bertugas, hasil maklumat dihantar individu mengenalinya. Penulis blog kemudian mengesahkan butiran dirinya melalui emel kepada saya. Andai kata saya berniat serong, pasti saya mudah menghubungi pihak majikannya, kementerian ‘penting’ supaya tindakan tegas diambil terhadap kakitangan terbabit. Namun, saya tidak berbuat begitu.

Blog ini kemudiannya dikunjungi pembaca menggelar dirinya Adamdryx, pekerja syarikat penerbangan berusia 33 tahun mengaku dirinya gay. Pelbagai hujah dikemukakannya. Pembaca, Kapten Zaren menegur Adamdryx agar tidak menegakkan benang basah berhubung pendiriannya berterusan menyokong kehidupan gay, baca di [ sini ]. Pada masa sama, Adamdryx secara jelas menghina kerjaya wartawan selepas program '360' merungkai topik ‘Gay Terlampau’ pada 19 Ogos lalu. Namun, setakat ini dia dilihat gagal membidas hujah juruterbang wanita terbabit.

Sebaliknya, Adamdryx bertindak membuka entry di blognya memaparkan nama penuh saya sekaligus mengundang pembaca blognya melontarkan pelbagai kecaman, rujuk di [ sini ], walhal tanpa provokasi, saya tidak berminat membongkar butiran peribadinya. Jika saya ingin berbuat begitu, terlalu mudah untuk dilaksanakan.

Kartika Sari, 32 tahun, wanita kelahian Perak MENGAKU meminum arak di Terengganu bakal menjalani hukuman sebat tidak lama lagi. Pramugara syarikat penerbangan dengan gambar terpampang di blog, mengaku dirinya gay secara terbuka, hemat saya juga boleh dikenakan tindakan. Namun, biarpun serangan peribadi dilakukannya secara berterusan, saya belum lagi menghubungi majikannya kerana percaya Adamdryx boleh berubah biarpun setakat ini dia gagal dinasihati puluhan pembaca blog ini.

Jika pembaca berhasrat melontarkan komen dan teguran, sila hantarkan TERUS ke blog milik Adamdryx, klik [ blog Adamdyrx ]. Jika anda bersetuju dengan 'pegangannya', katakan setuju dan mengapa? Jika tidak, nyatakan tidak beserta alasan logik. Saranan saya usah menggunakan perkataan lucah, berhujah secara hormat.

Gambar di entry ‘Lesbian Tidak Segah Gay’ mendapat teguran Adamdryx. Saya dengan redha memadamkan gambar dikatakan kurang menyenangkannya itu. Biarpun hakikatnya gambar sama dipaparkan di banyak laman web terbuka, bahan tontonan dunia. Lagipun Adamdryx rajin berdoa dan bertazkirah di blognya, segan :)

Kata Adamdryx di entry terakhir blognya, ”Teguran terhadap Mazidul telah pun ADam lakukan. Teguran itu dibuat, ADam secara tidak langsung mengingatkan diri sendiri”

Syukurlah, jika Ramadhan ini sekaligus mengingatkan kita semua. Teguran Adamdryx berhubung gambar Allen dan ‘isterinya’ saya terima, lalu tindakan saya laksanakan. Kini saya amat kepingin melihat Adamdryx menerima teguran orang lain terhadap diri dan bertindak demi kebaikan.

Itupun jika dia boleh menerima teguran.

* Ada manusia jadi perompak, penyamun, perogol, lesbian, pengkid dll. Tetapi majoriti tidak megah dengan 'kejahatan' dilakukan. Terfikir, siapa sebenarnya lelaki berselindung di sebalik nama ADAMDRYX ini?

Otak Dalam Plastik

Saya anggarkan usianya kurang 20 tahun. Tujuannya murni, bekerja untuk menyara diri dan mungkin keluarga. Biarpun kerjayanya tidak menjamin keselesaan, pokoknya dia berusaha meraih pendapatan berbanding mereka menganggur akibat terlalu memilih kerja. Terfikir, mencium bau busuk sampah setiap hari bukan kerja menggembirakan. Namun, tanpa pekerja seperti remaja ini, sampah di rumah tidak dapat dilupuskan secara sempurna.

Apapun saya pasti, duduk di belakang lori bergerak seperti gambar dirakamkan di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor ini, bukan 'standard operation procedure' dituntut majikannya. Dia berada dalam keadaan berisiko tinggi. Remaja ini mungkin tidak menyedari bahaya menantinya jika lori dipandu ditimpa kemalangan dan terpaksa di brek secara tiba-tiba.

Maklumlah, kata orang tua, malang tidak berbau. Apa sahaja boleh berlaku di jalanaraya.

Saya berulang kali melihat otak manusia bertaburan di atas jalan akibat kemalangan. Simpati terhadap si mati saya pernah mengutip organ itu dan mengumpulkannya di dalam plastik. Jika tidak dikutip, cebisan otak akan dilanggar kenderaan lalu lalang.

Apapun, saya harap remaja ini selamat sampai ke rumah dan tidak akan mengulangi perbuatan sama.

Sabtu, Ogos 22, 2009

Lesbian Tidak Segah Gay

Sebelum ini saya kerap menonton program bual bicara televisyen dikendalikan pengacara wanita terkenal, Ellen DeGeneres, 51 tahun, dilahirkan di Metairie, Lousiana, Amerika Syarikat. Ibu bapanya bercerai ketika dia beusia 13 tahun. Allen kelakar, bersahaja dan kelihatan bijak.

“Allen is a lesbian,” ujar kawan.

Lesbian ertinya perempuan mengamalkan hubungan seks dan romantik sesama jenis.

Lalu saya mencari perincian berhubung dakwaan itu.

Allen mengistiharkan dirinya lesbian kepada dunia melalui majalah TIME. Dia ‘berkahwin’ dengan aktres Portia de Rossi, menjadikan mereka pasangan lesbian. Rossi, bercerai dengan suaminya pembikin filem dokumentari, Mel Metcalfe selepas mengistiharkan dirinya lesbian.

Allen dan Rossi mendirikan rumahtangga pada 16 Ogos 2008 sebaik Mahkamah Tinggi California membenarkan pasangan berjantina sama berkahwin..

“It’s something that we’ve wanted to do and we want it to be legal,” kata Allen.

Percintaan Allen dengan bekas kekasihnya, aktres Ann Heche sebelum itu dilaporkan gagal biarpun mereka tinggal serumah di antara tahun 1997 dan 2000. Heche kemudian dilapor memilih jurukamera lelaki, Coley Laffoon sebagai suami.

Allen pernah keluar bersama lelaki, namun berhenti pada usia 20 tahun.

"I liked guys. But I knew that I liked girls, too. I just didn't know what to do with that," ujarnya.

Lesbian di Malaysia, low profile, tidak segah penampilan lelaki gay. Bagaimanapun dipercayai mereka juga mempunyai kegiatan tersendiri tetapi agak 'tersembunyi'.

Terfikir, apakah antara faktor mendorong kewujudan lesbian di kalangan gadis Malaysia? Sekadar ikutan gejala di negara barat?

* Adamdryx begitu bersungguh-sungguh menyerang saya secara peribadi di blognya. Dalam tempoh 3 hari dari 24 Ogos 2009, jika Adamdryx tidak memadamkan entrynya berhubung serangan itu, saya tidak akan teragak-agak mencari maklumat TERPERINCI berhubung dirinya melalui syarikat penerbangan, majikannya. Setakat ini saya belum bertindak. Boleh begitu?

Jumaat, Ogos 21, 2009

Tuhan Nampak

Sewaktu kecil, Ramadhan mempunyai pengertian tersendiri. Diakui, menahan diri daripada dahaga, antara cabaran terhebat berpuasa di zaman kanak-kanak.

Telan atau tidak? Persoalan menerjah minda setiap kali mandi tengahari di sungai berair jernih di depan rumah. Air sungai berbatu mengalir dingin dari gunung terasa mencabar kekeringan tekak. Telan atau tidak?

“Kalau tak puasa orang lain tak nampak tapi Tuhan nampak,” kata emak.

Air diceduk menggunakan tangan kecil, tiba-tiba menitis, tiris di celah jari basah.

Sejuk akibat penat berenang dan menyelam, perut semakin lapar, hampir kebuluran. Tekak kering kontang bagai air perigi di musim kemarau. Perlahan berjalan menyelinap ke belakang rumah, berdiri merenung buah rambutan masak ranum tinggi di ranting pokok. Rambutan berkulit merah, lekang berair dan manis. Perlahan galah buluh dicapai, rambutan dikait, jatuh ke tanah satu persatu.

“Apa fasal menjolok rambutan pula tengahari?,” jerit emak dari dapur.

Tiba-tiba rambutan di genggaman terjatuh sendiri bagai ditarik graviti.

“Untuk berbuka mak”

Alasan spontan terpancul dari mulut berbibir kering.

“Berbuka apanya? Ini baru pukul 1 tengahari,” balas emak bersahaja.

Di rumah, emak sibuk memasak kuih bahulu. Kepulan asap kulit kelapa diletak di atas tudung periuk, ditiup dek angin menerjah tingkap. Percikan api berterbangan umpama kelip-kelip di waktu malam.

“Aduh! Api masuk mata mak!”

“Pergi basuh mata di kolah tu. Melayan awak, sampai bila kuih nak masak,” rungut emak.

Berlari menuju bilik air, tangan pantas mencapai gayung terapung. Hati melonjak ceria, peluang muncul lagi buat kesekian kalinya. Air kolah terasa sejuk. Tekak meraung minta dibilas. Haus keterlaluan. Minum atau tidak?

“Basuh mata, bukan tekak,” nada suara emak sederhana.

Emak bagai memiliki deria ke enam. Gayung di tangan tiba-tiba terjatuh semula ke kolah.

“Tuhan nampak apa kita buat,” sambungnya.

Saya tersenyum sendiri.

Kini Ramadhan tiba lagi. Isteri mengingatkan dua anak kecil berulangkali.

“Puasalah selagi terdaya. Jangan mengelat, Tuhan nampak”

Saya tersenyum sekali lagi. Semoga Ramadhan kali ini lebih sempurna berbanding sebelumnya.

Jangan Bakar Kelambu

Saya berasa agak tersinggung apabila Adamdryx memperkecilkan kerjaya anak buah saya sebagai wartawan. Bagi saya mereka semua berdedikasi membuat pendedahan pelbagai isu untuk menyedarkan masyarakat. Biarpun mereka tidak dibayar elaun seperti diperuntukkan kepada pramugara di syarikat penerbangan.

Sekalipun tidak bersetuju dengan pandangan saya berhubung isu gay, hanya kerana Adamdryx gay, hemat saya dia TIDAK perlu sampai ketahap memandang rendah kerjaya wartawan penyiaran. Hal kerjaya tiada kena mengena dengan isu diperbincangkan. Mungkin marahkan nyamuk, kelambu dibakar?

Biarpun banyak ingin saya perkatakan berhubung kerja Adamdryx sebagai pramugara tetapi saya tidak layak menulis berhubung kerjaya itu.

Namun saya percaya, komen dihantar Kapten Zaren, pelawat blog ini mendakwa juruterbang mungkin menjelaskan segalanya. Beliau lebih berpengalaman melontarkan pandangan.

Berikut komen Zaren.

“Saudara Mazidul, pertama kali saya menulis setelah mengikuti blog ini sekian lama. Sebagai seorang juruterbang yang telah bekerja bertahun tahun dan berpengalaman bercampur dengan pramugari dan pramugara, saya telah masak benar dengan perangai kebanyakkan mereka yang boleh saya katakan kurang bijak, manja tidak bertempat dan serta mengejar keseronokkan semata mata.

Merujuk kepada komen saudara Mazidul "Komen saya, bagus sangat ke kerja PRAMUGARA? Adamdryx, saya ingin awak tahu bukan susah sangat hidup wartawan. Apapun paling pasti kami tidak akan meminta simpati awak untuk hidup biarpun sebutir beras."

Ingin saya katakan kerja wartawan adalah lebih bagus, lebih tingi darjatnya walau selalu di bawah, tidak semua orang boleh menjawat jawatan ini dan kebetulan juga saya dengar ada pramugara dan pramugari yang berjaya menjadi wartawan, tetapi kerana mereka bijak dan memajukan diri. Itu cuma sebilangan kecil yang terlalu kecil untuk di banggakan.

Untuk Adamdryx, usahlah terlalu bangga dengan diri anda, siapa lebih bagus, pilot atau pramugara atau wartawan? Jawapan saya ialah mereka yang kuat imannya. Saya telah menjelajah ke seluruh dunia dan apa yang saya dapati ialah hanya keimanan dalam diri yang harus kita pegang, Islam yang harus kita sandar, bukan alasan alasan 'tidak bijak'.

Saudara Mazidul mengatakan bahawa beliau telah pergi ke USA semasa Adam berusia 13 tahun, ini untuk menyatakan bahawa beliau adalah seorang yang berpengalaman, lebih senior dan lebih bijak dari Adam.

Adam apa ada? Kalau anda betul betul bijak, anda tidak mungkin bekerja sebagai 'pramugara', kerja ini tidak perlu ijazah atau sebarang kelayakan akademik yang tinggi (pada saya ia sama seperti kerja 'non-professional' yang lain).

Tambah lagi, jika anda betul betul bijak, dan lebih bijak daripada saudara Mazidul, anda mungkin sekarang ini bergelar 'lawyer', 'doctor' atau "managing director'.

Apa sangatlah hebatnya kerja sebagai 'pramugara'. Saya tidak menghina kerana saban hari saya akan bekerja dengan mereka di dalam satu kabin malah selalu saya menasihati mereka yang bekerja supaya menjaga keimanan dalam diri (bagi yang muslim) serta menjaga nama baik keluarga dan syarikat.

Akhir sekali, untuk saudara Mazidul, syabas saya ucapkan. Kerja wartawan adalah lebih mencabar dari seorang pilot (cuma tahap 'Pemandu@driver@Chauffer).

Untuk Adamdryx, janganlah cuba menegakkan benang basah. Anda berada di pihak yang salah dan harus cepat cepat bertaubat. Terutama di bulan puasa yang mulia bakal tiba esok.

Selamat Berpuasa”

* Kepada Zaren dan semua pelawat blog ini, selamat berpuasa!

* Kapal terbang bergerak ke atas, ke bawah, ke hadapan. Apa terjadi jika bergerak songsang ke belakang? Eh! Boleh ke?

Khamis, Ogos 20, 2009

Pramugara Mengaku Gay

Dia PRAMUGARA syarikat penerbangan terkemuka, bertugas lebih 11 tahun dan menganggap dirinya ‘chomel’ kerana mempunyai lesung pipit di pipi kanan. Baca dan lihat gambar di blognya, pasti kita maklum, ciri itu jadi kebanggaannya.

Ops! Maaf! Catatan di atas bersifat terlalu peribadi, itu bagi saya. Saya seharusnya bercerita fasal syarikat penerbangan memenangi anugerah ‘World’s Best Cabin Staff’’ 6 kali, bukan cabin crewnya.

Tetapi pramugara berpengalaman ini tidak mampu membezakan di antara isu pokok berbanding soal peribadi biarpun saya akui dia bijak berhujah. Maklumlah, banyak ilmu diperolehi, kerap terbang ke negara orang. Nampaknya bagi dia, pandangan orang selalu salah, buah fikiran dia selalu betul.

Berikutan tidak berpuas hati berhubung tulisan saya mengenai gay, dia kemudian mencetak semula entry saya dan dimuatkan di sini. Jika dibaca, komen saya menjurus kearah memperjelaskan keburukan hubungan songsang gay secara am, bukan menyentuh keperibadian pramugara itu.

Sebelum ini, dia menyerang keperibadian pembaca blog saya. Malah gambar pembaca itu juga diletakkan di blognya. Bagaimana jika gambar ‘chomel’ dia pula saya paparkan di sini? Apa perasaan dia agaknya? Gembira? Sedih? Couldn’t care less? Bangga? Atau dia akan merajuk?

Dia mencetak semula entry saya di blognya, panjang, beserta komen peribadinya diselitkan di antara perenggan. Sedangkan, datangnya ke blog ini tidak pernah diundang. Fakta itu dia tahu.

Saya hanya mencetak semula satu ayat di blognya.

“I am not proud to be gay but I am happy because being gay teach me to be a better person (compare to some people)”

Semoga Adamdryx menjadi gay ('being a gay') lebih baik ('a better person') dengan berkiblatkan kehidupan gay (as what he claims, gay teaches him).

Hairan, kakitangan syarikat penerbangan negara secara terbuka mengaku dia GAY. Memang Adamdryx berani.

Thanks u ols!


Update

Di entry sama Adamdryx mencatatkan komen balas berhubung krew 360 kepada Sherita Aziz.

"They are working demi mencari sesuap nasi. Adam tak tahu kalau wartawan2 360 itu ada pekerjaan lain. Kalau takder, agak susah untuk mereka mencari makan"

Komen saya, bagus sangat ke kerja PRAMUGARA? Adamdryx, saya ingin awak tahu bukan susah sangat hidup wartawan. Apapun paling pasti kami tidak akan meminta simpati awak untuk hidup biarpun sebutir beras.

Update

Nanti saya muatkan gambar pramugara, Adamdryx jelas mengutuk wartawan 360 :)

* Gambar kaki Adamdryx

Mengusung Neng

Dahulu sewaktu membuat liputan kes pendatang tanpa izin di Wilayah Persekutaun Labuan saya secara kebetulan bertemu anggota polis berasal dari Semenanjung Malaysia.

“Bahaya di sini kalau jatuh cinta dengan perempuan Filipina. Dia orang terror mengikis. Tersilap langkah tinggal seluar dalam kita ditinggalkannya. Ramai terjebak,” ujar rakan itu.

Majoriti pekerja wanita Filipina di Labuan berkhidmat sebagai pelayan di pub dan pusat karaoke. Sebilangan turut menawarkan khidmat seks, kerjaya sambilan meraih pendapatan sampingan.

Itu senario di Labuan.

Di Semenanjung Malaysia, banyak rumahtangga bergolak akibat kehadiran orang ketiga, gadis seberang atau digelar ‘neng’. Majoriti neng pekerja kilang, rutin harian mereka sama cuma shif berbeza. Jika bekerja di waktu siang, malam neng sunyi sepi.

Sebuah kilang elektronik terkenal di Petaling Jaya, Selangor dilapor hanya mengambil pekerja gadis ala model, berkulit sawo matang, tinggi, muda dan berpelajaran dari Indonesia.

“Neng memang senang di bawa keluar. Kerja kilang hidup bosan, jadi ramai suka berhibur. Malam, bawa pergi karaoke, makan. Lepas itu kita ‘makan’ neng pula,” gurau kenalan.

Iklan sebentar.

Ada orang bertanya kepada saya. Apa cara termudah untuk tahu sesebuah negara itu miskin melalui program TV di negara terbabit?

Jawabannya, program TV di negara itu terlalu banyak iklan ubat dan penonton sentiasa dihidangkan majoriti program hiburan. Kenapa? Logiknya negara miskin selalunya dihubungkaitkan dengan keciciran kemudahan perubatan. Justeru rakyat kurang sihat, banyak penyakit maka mereka perlukan ubat. Lihat sahaja Indonesia. Pada masa sama, rakyat bekerja keras membanting tulang empat kerat siang dan malam, waktu terluang mereka gemar menonton hiburan di TV. Hiburan berbentuk tarian, nyanyian dan drama berplot gembira, contoh terbaik, India.

Saya sambung kembali kisah sebelumnya.

Berbekalkan wajah manis, bahasa lembut dan tubuh montok terjaga dipanaskan jamu tidak mustahil ‘neng’ mampu menarik perhatian lelaki tempatan. Majoriti neng dikatakan kurang mengada, tidak terlalu meminta apatah mengikis harta dibandingkan dengan sebilangan gadis tempatan. Neng hanya taksub memburu hiburan, lelaki tempatan ‘dihiburkan’, win win situation.

“Asalkan bila keluar di public, dia orang tak bercakap. Kalau bercakap, ‘potong’! Orang mesti tahu kita usung neng,” komen terpancul dari mulut rakan.

Bagaimanapun saya percaya ramai lelaki Melayu, bujang atau suami orang, kini rebah ‘ditakluki’ neng sehingga mengabaikan kekasih, tunang, anak dan isteri. Ringkasnya, neng tidak perlu hebat bergelek, cukup sekadar memberikan layan ekstra mesra berbanding layanan kekasih atau isteri lelaki tempatan. Justeru tidak hairan sebilangan neng kini bangga berstatus penduduk tetap kerana berjaya menjadi isteri pertama atau kedua.

Tercongok isteri dimadukan, baharu tersedar kehebatan neng. Mulalah mereka terkulat-kulat perlahan membelek perut, pinggang dan punggung penuh lemak, semakin 'mengembang'.

* Gambar hanya hiasan, model Indonesia, Dian Sastrowardoyo

* Terima kasih wakil TV3 di Johor, wartawan, Hazrey sudi mengirimkan kemeja '999' tempoh hari. I like it! Ingat juga rupanya :)

* Terbaca maklumat di Utusan Online, syarikat insuran TIDAK melindungi pesakit mangsa Selesema Babi. Benar?

Rabu, Ogos 19, 2009

Kartika Kambing Hitam

Bebiri, antara jenis kambing amat dikenali di negara kita dan di dunia. Selain itu ada juga jenis kambing nama jarang didengar, Jamnapari, Toggenburg, Jemasia dan Boer. Kambing terbabit mempunyai bulu pelbagai warna, coklat, putih dan hitam. Banyak kelompok usahawan Malaysia kini mengusahakan ternakan kambing baka berkualiti berskala besar dan meraih keuntungan lumayan hasil titik peluh mereka.

Tetapi kita semua harus berwaspada, sebilangan skim penternakan kambing menipu. Sindiket memancing orang ramai, kononnya menawarkan pelaburan modal projek penternakan kambing, akhirnya kambing tiada, kandang tidak wujud, wang dilaburkan lesap begitu sahaja.

Itu cuma kisah selingan.

Antara banyak jenis kambing, ‘kambing hitam’ paling malang.

Wanita beranak dua, Kartika Sari, 32 tahun berasal dari Sg. Siput, Perak mengaku meminum arak di Hotel Legend, Cherating, Pahang pada 11 Julai 2008. Dia dihadapkan ke mahkamah Syariah, 20 Ogos lalu dia dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan 6 sebatan. Kartika tidak membuat sebarang bantahan.

Terbaharu, 24 Ogos ini wanita menetap di Singapura selama 15 tahun itu diarah melaporkan diri di Penjara Wanita Kajang dan akan ditahan 7 hari untuk perlaksanaan hukuman sebat. Arahan itu dibantah ayah Kartika, Shukarnor Mutalib, 60 tahun.

“Saya mahu hukuman dijalankan di tempat terbuka agar dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil iktibar daripada hukuman itu. Jika hukuman itu dijalankan dalam penjara, mungkin mesej berkenaan tidak kesampaian,” kata Shukarnor.

Perbuatan meminum arak salah di sisi undang-undang Syariah dan wajib dihukum.

“Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t menentukannya,” ujar Kartika.

Melalui pemerhatian saya, ribuan umat Islam melakukan kesalahan sama. Mereka meneguk arak di premis terbuka, antaranya di bar, coffee house hotel, dan di pusat hiburan. Melayu kaki botol berasa sedikit malu, minum arak di tempat tertutup. Apapun, mereka minum arak seperti Kartika.

Saya tidak menyokong perbuatan Kartika tetapi percaya dia hanya ‘kambing hitam’.

Jika benar ingin melaksanakan hukum Syariah, saya menyarankan Jabatan Agama Negeri melakukan operasi lebih serius di ribuan premis Melayu minum arak di seluruh negara. Pejam mata sekalipun, premis mudah jumpa.

Tangkap dan hukum mereka seperti dilaksanakan terhadap Kartika, kemudian baharu kita tahu warna sebenar kambing lain.

Allah Selamatkan Kami

Setakat ini 67 terkorban akibat serangan virus Selesema Babi. Satu persatu rakyat Malaysia meninggal dunia. Bayi, kanak-kanak, dewasa dan warga emas, mati.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican majoriti mangsa maut, golongan berpenyakit kronik, antaranya pengidap diabetis, asma, darah tinggi, radang paru-paru dan ibu mengandung serta kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan berulangkali memperingatkan orang ramai mencuci tangan menggunakan sabun sehingga bersih. Apapun, hakikatnya, kementerian tidak mampu memantau dan memastikan setiap rakyat mematuhi peringatan itu. Menjaga kebersihan, tanggungjawab bersama.

Rakyat terus dinasihat menggunakan topeng penutup muka. Malangnya, topeng terbabit sukar diperolehi, out of stock. Jika ada, dijual pada harga berlipat ganda sehingga ada pihak menyarankan topeng dijadikan barang kawalan. Bagaimanapun harga bukan isu pertikaian, jika stok ada, orang ramai akan membeli sebab mereka enggan memperjudikan nyawa tiada galang ganti.

Saya dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan sidang media pada jam 5 petang hari ini berhubung topeng penutup muka.

Di zaman dahulu, jika lebih 60 mati ditembak komunis di seluruh negara, kerajaan pasti mengistiharkan darurat demi menjamin keselamatan rakyat lain biarpun menghadkan pergerakan mereka buat sementara.

Kini ada pihak menuntut kerajaan mengistiharkan ‘darurat kesihatan’. Darurat kesihatan antaranya bermakna semua sekolah wajib ditutup, majlis keraian terbuka dibatalkan dan operasi premis tumpuan ramai dihentikan. Kuasa mengistiharkan darurat kesihatan di tangan Majlis Keselamatan Negara dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mexico mengistiharkan darurat kesihatan apabila 88 rakyatnya maut akibat jangkitan virus Selesema Babi. Berikutan itu, sekolah, tadika, universiti, panggung wayang dan muzium ditutup bertujuan mengekang wabak merebak.

25 Ogos, pilihanraya kecil Permatang Pasir, 31 Ogos hari ulangtahun kemerdekaan negara manakala Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba dalam tempoh sebulan. Semua acara membabitkan perhimpunan orang ramai di kawasan terbuka.

Semoga Allah selamatkan kita semua.

Amin.

Selasa, Ogos 18, 2009

Gay Bunuh Diri 5 Kali

Wartawan 360 ke Kelantan pagi semalam dan kembali semula ke Petaling Jaya, Selangor pada jam 11 malam tadi. Sebaik mendarat di lapangan terbang, saya pantas menghubunginya. Menurut wartawan itu dia dan jurugambar 360 merakamkan pengakuan lelaki gay berusia 24 tahun di Pasir Putih, Adi, bukan nama sebenar.

Adi, perancang perkahwinan lulusan Universiti Teknologi Mara dilaporkan jatuh cinta dengan kaum sejenis berusia 26 tahun, Nuar pada tahun 2006. Malangnya Nuar bukan gay, dia lelaki normal. 'Nuar', juga bukan nama sebenar.

Justeru, biarpun berulangkali Adi memujuk, merayu dan mendesak Nuar melakukan seks luar tabi’i bersamanya, pasangannya itu tidak pernah tergamak membenarkan perbuatan terkutuk itu berlaku.

“Siapa ‘bottom’, duduk di bawah?,” tanya saya.

“Adi,” jawab wartawan 360.

“Kenapa Nuar tak ‘layan’ dia?,” satu lagi soalan saya lontarkan.

“Nuar tu orang dia kira alim lah. Dulu dia pernah bekerja di bawah Adi jadi wedding planner,” jawabnya.

Dilaporkan, lebih 2 tahun mencuba sedaya upaya mencapai misinya, Adi akhirnya kecewa.

Akibatnya, dia cuba membunuh diri sebanyak 5 kali. Kata Adi, dia pernah terjun dari kereta bergerak, minum bahan peluntur, menggantung dan membakar diri. Dia terselamat dalam setiap percubaan dan masih hidup. Kini, harapannya tetap sama, mahu nafsu serakahnya dilayan Nuar biarpun kini pasangannya itu menjauhkan diri.

Dakwa Adi lagi, sepanjang perhubungan mereka, dia banyak ‘melabur’ untuk Nuar, lelaki kesayangannya. Ribuan ringgit dihabiskan untuk membeli pakaian, makanan serta melunaskan bayaran bulanan kereta Nuar.

Saya bertanya kepada wartawan bertugas, mengapa Adi ingin membuat pengakuan di 360?

“Dia berharap Nuar akan menonton program kita dan kembali semula kepangkuannya,” jawab wartawan itu.

Sebagai penerbit eksekutif 360, saya membenarkan pengakuan Adi disiarkan. Biar gay bercerita mengenai keinginan songsangnya. Agar tiada gay mempersalahkan manusia normal kononnya merekacipta cerita berhubung mereka.

Update

Wartawan 360 tengah malam tadi menyamar pelanggan tukang urut gay di Petaling Jaya. Dia terpaksa berhadapan antara cabaran terbesar dalam hidupnya, digoda lelaki gay berusia 31 tahun di bilik hotel. Semua audio video dirakam sebagai bukti.

Jangan lupa menyaksikan episod 360, paparan 'Gay Terlampau', 19 Ogos, rabu, 9 malam di TV3!

* Jumlah korban Selesema BABI, 67. Kelihatan seperti pandemik ini sudah tidak terkawal

Isnin, Ogos 17, 2009

Akhil Selepas 33 Hari

Berikut kenyataan penceramah bebas, Akhil Hayy Mei lalu, mengusik wartawan membuat liputan majlis pelancaran Cafe Akhil Hayy musim ke dua ditayangkan di Astro Oasis.

“Pada hari ini ana ingin mengumumkan Waheeda adalah isteri ana tetapi hanya dalam Cafe Akhil Hayy”

Kini, usikan itu terbukti menjadi kenyataan. Akhil, 40 tahun dan penyanyi popular, Norwahidah Abdul Wahab, Waheeda selamat diijabkabulkan di Masjid Ar Rahimah, Kuala Kubu Baru, Selangor semalam.

Akhil bernikah 33 hari selepas menceraikan isterinya, Maizawati Zainal, 33 tahun dengan talak satu pada 15 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Perak.

Sejak 2 tahun lalu ‘Ustaz Rock’ dan Waheeda, 30 tahun dilanda pelbagai gosip dan spekulasi. Bekas isteri Akhil sebelum ini mendakwa mengetahui hubungan cinta di antara keduanya malah Akhil dikatakan pernah meminta kebenaran Maizawati untuk menikahi Waheeda sebelum dia menghilangkan diri.

Selepas itu ada pihak mendakwa Akhil dan Waheeda sudah berkahwin. Mereka kemudian menafikan berita itu dan mengaku hanya berkawan baik. Pada masa sama Maizawati menjelaskan kepada media berlaku pergolakan rumahtangga bersama Akhil dan Waheeda dikaitkan antara puncanya.

Akhil dan Waheeda pernah dilihat menonton wayang bersama di One Utama, Petaling Jaya, Selangor dan gambar didakwa pasangan sama bersama 2 anak Akhil di tepi pantai tersebar di internet.

Apapun semua episod itu sudah berlalu.

Berikut kenyataan Akhil selepas sah menjadi suami Waheeda pada jam 12 tengahari semalam.

"Jodoh dan pertemuan adalah urusan Allah. Sebelum ini pun, terlalu ramai yang bertanya bila kami akan berkahwin. Jadi hari ini, kami buktikan dan berharap ia dapat menutup segala spekulasi. Selebihnya, terserahlah kepada masyarakat kerana manusia boleh bercakap apa saja. Apa yang boleh saya katakan, ini bukan secara kebetulan dan bukan juga satu perancangan sangat pun”

Selamat pengantin baharu.

Ahad, Ogos 16, 2009

Melayu Jahil Sanggup Mati

Di laman web, Malaysia dikecam warga negara jiran secara terang-terangan. Apapun akibat kebebasan dunia tanpa sempadan, tiada tindakan boleh diambil. Kita hanya mampu membaca kutukan tajam mereka biarpun hati berasa sakit.

Di Malaysia, kebelakangan ini hak istimewa kaum Melayu termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan acapkali dipertikaikan. Namun, pihak mempertikaikan maklum, hanya pindaan perlembagaan mampu menghapuskan hak istimewa terbabit. Berulangkali ditegaskan, usah sentuh isu sensitif berhubung kaum. Namun kini, pelbagai pihak terlalu berani menyeringaikan taring mencabar kewibaan Melayu.

Tidak cukup dengan tindakan itu, kini Islam sebagai ugama rasmi negara turut dihina penulis blog didakwa warga Malaysia. Di pentas dunia, Salman Rushdie, dijatuhkan hukuman bunuh bekas pemerintah Iran, Ayatollah Khomeini pada 14 Februari 1989 kerana menulis buku menghina Islam, ‘Satanic Verses’.

Orang Melayu sudah lama bersabar. Kaum mereka dikecam, majoriti hanya mendiamkan diri, sebilangan bersuara. Tetapi usahlah terlalu taksub menjolok sarang tebuan kerana saya percaya Melayu paling jahil sanggup mati demi mempertahankan ugama anutannya.

* Wartawan Zulhazri Abu Bakar memaklumkan saya, seorang bapa di Johor Bahru, Johor mendakwa membawa anaknya berusia 7 tahun dua kali ke hospital pakar kerajaan tetapi tidak diperiksa secara teliti. Akhirnya, anak itu meninggal dunia akibat Selesema Babi pada 9 Ogos lalu.

* Kes kematian Selesema Babi: 62

Sabtu, Ogos 15, 2009

Ramli Broery Siti Mawi

Kebelakangan ini saya banyak menulis entry berbentuk serius. Justeru, ada sebilangan pembaca marah, tidak kurang bertenang melontarkan buah fikiran.

Apapun, terima kasih kepada semua pembaca tetap blog ini kerana tidak jemu mencatatkan komen di hampir setiap entry. Selain anda, saya percaya blog ini juga turut dilayari warga Malaysia, majoriti pelajar, kini bermaustautin di luar negara.

Hari ini Sabtu, saya ingin menulis entry lebih ‘ringan’ untuk dikongsi bersama pembaca semua.

Saya suka mendengar lagu dendangan Ramli Sarip, bukan semua, cuma sebilangan sahaja. Antaranya, Kamelia, Teratai dan Bukan Kerana Nama. Ramli, dianugerahkan suara unik secocok dengan imej dan perwatakannya.

Selain lagu Ramli, lagu Broery Marantika, Biarkan Bulan Bicara dan Angin Malam kerap saya nyanyikan jika berkaraoke bersama rakan. Saya pernah bertemu penyanyi lagenda kelahiran Indonesia itu pada penghujung tahun 1990 dan minum petang bersama beliau sewaktu kunjungannya ke Kuala Lumpur. Suara ‘base’ Broery tidak mudah dilupakan.

Saya bukan peminat Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Asmawi Ani. Tetapi saya tidak menyanggah bakat seni dimiliki anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang dan Felda Taib Andah, Kulai Jaya, Johor itu. Kejayaan mereka terbukti berikutan pelbagai anugerah diraih.

Hakikatnya, Ramli, Broery, Siti dan Mawi mempunyai jutaan peminat di Malaysia dan Indonesia. Mereka antara artis mencipta nama besar tetapi gagal dinobatkan sebagai penyanyi bertaraf dunia setanding Michael Jackson, Whitney Houstan, Madonna dan Mariah Carey.

Mengapa?

Jumaat, Ogos 14, 2009

Dildo Itu Apa?

“Mama, dildo itu apa?,” spontan soal anak berusia 7 tahun.

“Haaaaaaaa?,” ibu terkejut.

Pada masa sama berasa serba salah.

Dunia tanpa sempadan membenarkan sesiapa sahaja mencapai pelbagai maklumat tanpa halangan.

Antaranya bahan lucah.

Bahan lucah berbentuk tulisan, gambar pegun dan video bukan sahaja boleh dicapai golongan dewasa malah remaja dan kanak-kanak. Justeru itu, ada pihak menyarankan maklumat lucah di internet ditapis.

Manakala pihak satu lagi berkata, jika maklumat ditapis, dunia bersempadan.

Mana SATU dunia pilihan anda?

* Kepada semua pembaca di Amerika Syarikat, Brunei, Arab Saudi, Norway, Jepun, India, Vietnam, Indonesia, Jerman, United Kingdom, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara serta 'the silent readers', terima kasih. Jika sudi memberikan komen, sila catatkan lokasi anda berada.

* Kepada pembaca di luar negara, anda boleh menonton program '360' melalu tv3.com.my

* Korban Selesema Babi: 56 kes

Khamis, Ogos 13, 2009

Tidak Perlu Perang

Ya! Memang benar 360 siaran 19 Ogos 2009 akan mendedahkan kisah ‘Gay Terlampau’.

Ada bertanya …

“Engkau nak istihar perang terhadap gay ke?”

Tidak, itu jawaban saya.

Mengapa perlu berperang dengan kelompok berada di medan pertempuran dan sediakala kecundang? Kecundang membuat pilihan, kecundang akibat nafsu dan kecundang akhlak.

“Salah tew u ols!,” mungkin ada gay berkata begitu sebaik membaca kenyataan di atas.

Jika salah, apa betul?

Sebaik tamat siaran 360 malam tadi saya dihubungi pelajar kolej remaja mengaku gay, kini menetap di Perak. Katanya dia ingin benar berkongsi pengalaman menjadi gay. Saya meminta wartawan 360 merakamkan perbualan melalui telefon bersamanya, biar gay bercerita mengenai gay. Jika lelaki normal atau perempuan bercerita tentang gay, nanti golongan gay marah, kata kita tidak menghormati mereka.

Maklumlah, ramai antara mereka mendakwa golongan profesional dan mampu berhujah.

Terfikir, apa soalan patut ditanya wartawan ditugaskan?

Sebab wartawan itu lelaki straight, bukan gay, mungkin dia kurang faham berhubung kehidupan gay. Wajar jika gay sendiri melontarkan soalan di entry ini untuk saya menghasilkan laporan seimbang. Jika tidak, ramai gay bakal mendakwa laporan berat sebelah, percayalah.

Pembaca bukan gay juga boleh berkongsi ide, tidak salah.

Update

Pembaca, Adam Dyrx, bertanya, adakah saya 'Homophobia'? Jawabannya saya catatkan di bahagian komen entry ini.

Bertindak seimbang, saya juga bertanyakan satu soalan kepada Adam.

Apakah KEBAIKAN menjadi gay? Itupun JIKA ada.

Mohon saya, Adam atau sesiapa sahaja mendakwa gay menjawab soalan di atas.

* Ustaz Asri, vokalis kumpulan nasyid, Rabbani meninggal dunia pada jam 11 pagi tadi di Pantai Medical Center. Jenazah disemadikan di Shah Alam, Selangor malam tadi. Semoga roh beliau dicucuri rahmat, Al-Fatihah.

* Jumlah korban Selesema Babi, 51.

Selasa, Ogos 11, 2009

Tak Mahu Tengok 360!

Negara sedang bertarung menangani Selesema Babi (ejaan diperbetulkan) kerana terbukti pandemik digeruni itu setakat ini mengorbankan 38 nyawa rakyat Malaysia dan dijangka jumlah kematian akan terus bertambah.

Tetapi percayalah ajal maut di tangan tuhan. Bagaimanapun kita semua harus berusaha mengelak daripada dijangkiti.

Saya ingin menyentuh isu berhubung kematian. Jam 9.25 malam tadi saya menerima sistem pesanan ringkas, SMS dihantar orang tanpa identiti.

Berikut SMS pertama.

‘Lancau lu orang senang-senang tangkap. Hampa semua nak mati cepat la’

Lalu saya menghubungi nombor terbabit 010 387 3272 namun tidak berjawab. SMS kedua kemudian dihantar orang sama.

‘Call aku? Puki, aku tembak you orang. Lepas ini aku tak mahu tengok 360. Faham?’

9 malam esok 360 akan memaparkan topik ‘Warga penceroboh’, kisah warga asing berhijrah ke negara kita dan kemudian sesuka hati membina penempatan tidak sah.

Isnin dan ahad lalu, 360 menyertai 3 operasi menggempur penempatan warga asing di Rawang, Subang Jaya dan Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Mungkin ada antara mereka berasa terganggu dan marah.

Lalu saya membalas SMS itu.

‘Nak tengok, tengok, tak nak sudah! Letihlah layan lu’

Emosi sungguh penghantar SMS itu. Sedang kita gusar menangani Selesema Babi, dia kononnya sibuk ingin menembak orang. Gila!

Nyawa Tiada Ganti

Setakat hari ini 32 mati akibat Influenza A, H1N1, Selsema Babi di Malaysia, di seluruh dunia angka korban mencecah 1,688.

Sebelum berlaku kes kematian, kerajaan Malaysia menasihatkan rakyat usah panik. Orang ramai mengikut arahan itu sehinggakan ada memandang remeh risiko pandemik. Lihat, berapa kerat sahaja mereka di luar sana memakai topeng penutup mulut dan hidung biarpun jumlah korban semakin meningkat.

Rawatan antiviral hanya berkesan jika penggunaannya dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas dijangkiti. Vaksin selsema babi pula hanya akan berada di pasaran dunia 4 bulan lagi. Itupun tiada jaminan vaksin terbabit boleh digunakan secara berkesan, bergantung kepada faktor mutasi.

TV dan radio kini secara intensif berulangkali memapar dan memperdengarkan maklumat berhubung kaedah mencegah Selsema Babi. Isyarat jelas, penularan semakin serius dan selsema pembunuh ini nyata gagal dibendung.

Hemat saya, kerajaan tidak perlu menunggu lebih lama untuk bertindak menyelamatkan lebih banyak nyawa di negara kita.

Maka, SEMUA sekolah wajib ditutup dan majlis terbuka dibatalkan dengan kadar segera kerana peperiksaan dan majlis boleh ditunda.

Nyawa, tiada galang ganti.

Isnin, Ogos 10, 2009

Makan Orang

Jam 2 pagi tadi sewaktu pembaca mungkin sedang lena diulit mimpi, saya menyertai operasi bersama 91 pegawai dan anggota RELA Daerah Petaling menyerbu penempatan warga asing di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Lebih 100 pekerja asing diperiksa dalam operasi selama hampir 2 jam terbabit, 19 pendatang tanpa izin, PATI warga Indonesia, Vietnam, Nepal dan Bangladesh berusia di antara 18 dan 36 tahun diberkas.

Mereka semua dibawa ke Kem Tahanan Jabatan Imigresen di Kemayan, Pahang sebelum dihantar pulang ke negara asal.

Saya dimaklumkan penempatan sama diserbu berulangkali pihak polis, Jabatan Imigresen dan RELA. Bagaimanapun warga asing keras kepala terbabit terus membina koloni tanpa gentar.

“Tengok Flores ni, mesti dah ramai ‘makan’ orang di kampung dia, jenis hati kering,” ujar anggota RELA berdiri di sebelah saya.

“Makan orang?,” soal saya.

“Flores kalau banyak tatoo selalunya memang pernah bunuh orang,” jelasnya.

Saya perhatikan PATI berambut kerinting berusia 19 tahun, Erwan duduk mencangkung di hadapan saya. Pengalaman sebelum ini membuktikan suku kaum Flores tidak boleh bertembung dengan suku kaum Madura, kerap mereka berbunuhan.

“Tatoo banyak, pernah bunuh orang?,” tanya saya untuk mendapatkan kepastian.

“Tidak, ini adat Flores,” jawab Erwan ringkas.

Dari Batam, Indonesia, dia mendakwa menyusup masuk ke Malaysia melalui Johor sebelum bekerja di kawasan pembinaan di Pelangi Damanasara sejak sebulan lalu, itu dakwanya. Dia kemudian mengaku membayar lebih RM1200 kepada sindiket menguruskan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.

Badannya berpeluh, mungkin gementar kerana ditahan kali pertama sejak memasuki negara ini.

“Kamu mandi di mana?,” soal saya.

“Di sana pak,” jawabnya.

“Mazidul tengok, kolah air dia orang lebih besar berbanding kolah di masjid, air jernih,” sampuk anggota RELA terdengar perbualan kami.

Saya kemudian merakamkan gambar paip air tanpa meter di tepi kolah. Sebarang struktur binaan seperti rumah didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak layak mendapat bekalan air, peraturan itu jelas. Maksudnya, bekalan air bersih digunakan penghuni lebih 50 rumah diperbuat daripada kayu dan papan terbuang terbabit disambungkan secara haram. Mereka semua tidak perlu membayar setiap meter padu air digunakan untuk keperluan seharian.

Berikutan itu, saya meminta penerbit 360, Mohamad Raziff Zulkafli menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS untuk mengambil tindakan. Saya percaya, jika bekalan air dipotong, kehidupan koloni terbabit pasti pincang.

Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor memberi 20 liter padu air percuma bernilai RM11.40 kepada semua rakyatnya untuk memenuhi janji dibuat dalam Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.

Tetapi jika warga asing khususnya di lokasi serbuan mengetahui ‘hadiah’ Kerajaan Negeri itu, mereka mungkin hanya tersenyum sinis dan berkata …

“Waduh! Tidak hairan, kami sudah lebih 5 tahun dapat air secara gratis! Hu! Hu! Hu!”

‘Gratis’, maksudnya percuma dalam Bahasa Indonesia.

SYABAS, tolong buka mata, ada orang curi air!

Tindakan susulan SYABAS bakal dipaparkan dalam episod 360, siaran 12 Ogos, jam 9 malam.

* Di Gua Musang, Kelantan, gadis berusia 15 tahun dirogol kemudian disimbah asid ayah tiri berusia 50 an.

* Semalam pensyarah UITM, Hidayat berkata, "Saya suka baca blog awak". Terima kasih :)

* Siapa lelaki tersenyum berbaju oren? Ingin mengetahui identitinya sila klik [ di sini ] ...

* Pihak SYABAS melawat kawasan terbabit petang 11 Ogos lalu mengatakan bekalan air didapati secara sambungan sah.

Ahad, Ogos 09, 2009

Mengusung Mayat

Saya tinggal di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Selama 3 tahun Persatuan Penduduk memohon Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ membina lampu trafik di simpang empat Jalan Kenyalang 11/3. Berikutan ketiadaan lampu trafik, kemalangan berlaku hampir setiap hari di simpang sama. Alasan diberikan MBPJ, projek perumahan dibina di kawasan berhampiran masih tidak diserahkan pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS kepada mereka.

Kira-kira 3 bulan lalu saya menemubual Pegawai Perhubungan Awam PKNS, Mohd Wazir Abdul Ghani di pejabat beliau berhubung permintaan penduduk. Menurut Wazir, PKNS akan berbincang dengan MBPJ untuk menyelesaikan masalah itu. Sebulan selepas pertemuan, tiada tindakan susulan diambil, lalu saya menghantar sistem pesanan ringkas kepada Wazir.

‘Kemalangan berlaku lagi hari ini tetapi tiada kematian. Mayat pertama terkorban saya akan usung ke PKNS’

Sebulan kemudian saya dimaklumkan bajet pembinaan lampu trafik diluluskan. Awal Ogos, lampu terbabit mula digunakan pengguna jalanraya. Terima kasih kepada PKNS dan MBPJ kerana mengambil tindakan biarpun terlewat.

Isu terbaharu, penduduk kawasan sama memprotes pembinaan pasaraya Carrefour, jarak tapak pembinaannya kurang 20 meter dari pagar kawasan perumahan terdekat, Gugusan Dedap. Dua meter di belakang tapak, Sekolah Rendah Kebangsaan Seksyen 11 Kota Damansara. Bantahan mula dikemukakan penduduk kepada pelbagai pihak sejak November 2007.

Bukan penduduk anti pembangunan tetapi di kawasan sama, Giant dan Tesco sudah lama beroperasi. Majoriti penduduk hakikatnya lebih bimbang, pembinaan Carrefour terlalu hampir dengan kawasan perumahan akan menyebabkan kesesakan lalulintas serius dan berbahaya kepada keselamatan pelajar sekolah.

Sewaktu sesi penduduk bertemu pengarah syarikat pembinaan Carrefour pada awal tahun ini, saya bertanya, mengapa pembinaan dimulakan tanpa mengambilkira pandangan penduduk setempat? Wakil syarikat gagal memberikan jawaban.

Timbalan Ketua Pemuda MIC, S. Murugesu saya hubungi jam 3 petang tadi berkata kerajaan negeri masih tidak membatalkan kelulusan pembinaan projek terbabit.

Carrefour dilapor telah melabur lebih 26 juta ringgit membina sebahagian struktur bangunan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Menyokong bantahan penduduk, Ahli Dewan Undangan, ADUN Pakatan Rakyat Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim dan masih terus mendiamkan diri berhubung isu ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bantahan penjualan arak secara terbuka di Selangor diketengahkan Pesuruhjaya PAS negeri sama, Datuk Dr. Hassan Ali ditolak Tan Sri Khalid minggu lalu. Dalam kes ini, saya berharap pandangan beliau sama dengan pandangan ADUN dan rakyat di bawah kepemimpinannya.

Jangan nanti guna nama ‘Pakatan Rakyat’ tetapi rakyat dihimpit masalah. Jika itu berlaku, Pilihanraya ke 13 nanti pasti kesannya akan terasa.

Sabtu, Ogos 08, 2009

Mereka Beruban

Tahun 1987, saya berpeluang bertemu lebih 300 remaja, majoriti pelajar terbaik sekolah berasrama penuh dari seluruh pelusuk negara. Bernasib baik, kami semua ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Sebelum ke luar negara kami bersama menuntut selama 2 tahun di Kolej Pengajian Persediaan, KPP di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, batch pertama.

Waktu itu semua masih muda, berusia 17 tahun. Rambut hitam bergaya, badan sihat bertenaga dan bujang, ertinya kemana sahaja tiada siapa menghalang samada siang atau malam.

Kini, pada usia 42 tahun, mereka semua sudah berkeluarga, beranak pinak dan berjaya dalam kerjaya. Apapun dari pengamatan saya, majoriti mereka berkongsi ‘pengalaman’ sama, Sindrom Takut Bini, STB.

“Bukan kami takut bini, bini tak takut kami,” luah Norzal Ghazali atau nama jolokannya ‘Mat Jo’ secara rela.

Rakan lain tersenyum, ada tertawa, mereka tahu STB hanya bahan gurauan sahaja, tidak lebih daripada itu.

Mat Jo, bapa kepada 4 anak, gemar menyakat rakan, sejak azali. Sewaktu remaja gila rugbi, kini hanya futsal. Mungkin kerana faktor usia dan tubuh semakin kurang berdaya.

“Tengok tu, bila nak bersembang suruh anak main jauh-jauh, takut anak report kat bini,” ujar Huzaidi Zawawi mengusik Mohd Razif.

Razif kini beruban lebat, bukan kerana cabaran menjadi bapa kepada 4 anak berusia di antara 5 dan 16 tahun, barangkali kesan bebanan kerja keterlaluan. Dia perunding IT ( bukan ‘ibu tunggal’ tetapi teknologi maklumat ) di Openminds, syarikat beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur.

“Marriage aku long lasting, 17 tahun,” tambahnya.

Isterinya, Rohana Zainon, kawan dan pernah tinggal sebilik dengan Zalina sewaktu menuntut di KPP. Zalina, isteri Farid atau ‘Apek’, rakan sekelas semasa menjalani kursus Bahasa Inggeris saya dahulu.

“Kenal tak siapa tu?,” tanya Farid kepada isterinya.

Berkerut dahi Zalina seketika.

“Ulik lah,” celah saya melenyapkan tanda tanya.

‘Ulik’ atau nama sebenarnya Rosli, kini berniaga sendiri, mengurus sisa pepejal di Tawau, Sabah. Sebelum ini dia berkhidmat dengan syarikat pengutip sampah, Alam Flora. Rambut Ulik seperti rambut Raziff, beruban, cuma tidak begitu ketara kerana dipotong pendek.

“Aku kahwin dengan adik Nazri Mokhdar (Ayi), sekarang dia abang ipar aku,” ujar Ulik.

‘Ha?,” saya agak terkejut.

Nazri Mokhdar, rakan sebilik sewaktu kami tingal di Seksyen 18, Shah Alam. Malam tadi Ayi mengenakan penutup kepala, mungkin rambut dia juga beruban seperti rambut Ulik dan Razif.

“Engkau buat cerita hantu di Bukit Putus, Kuala Pilah. Sekarang aku nak balik malam fikir dua tiga kali tahu,” sampuk Nazri Juda.

Nazri, kontraktor berjaya kini bermaustatutin di Negeri Sembilan, isterinya Norzehan, pernah menuntut bersama saya di Miami, Florida lebih dua dekat lalu.

Paling kelihatan formal malam tadi, Hafidz Jamaludin, kemas berbaju kemeja belang biarpun jam di tangan saya menunjukkan pukul 12 malam. Namun, dia juga beruban.

Hakikatnya, kisah kehidupan kami berbeza, namun masih bersahabat dan mesra seperti 22 tahun lalu biarpun hampir semua beruban, kecuali saya. Eh! Ya ke?

* Atas: Mazidul, Razif, Huzaidi dan Hafidz

* Tengah: Ulik

* Mat Jo (paling kiri), Nazri Juda (paling kanan)

Bangsa SMS

Antara 7 wasiat Raja-Raja Melayu sewaktu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 …

‘Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu’

Gambaran jelas kepentingan bahasa khususnya kepada rakyat Malaysia.

Blog tulisan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara ribuan blog dicatat menggunakan Bahasa Melayu. Biarpun kandungan blog berbeza tetapi bahasa mereka gunakan sama, Bahasa Melayu.

Bagaimanapun ramai juga blogger berkongsi ide mereka di blog menggunakan bahasa Sistem Pesanan Ringkas, ‘Bahasa SMS’.

Antara contoh saya kutip di blog ‘Italembut’, klik [ Italembut ], ‘x’ bermakna ‘tidak’, ‘kol’ bermakna ‘call’, ‘taw’ bermakna ‘tahu’, ’uols’ bermakna ‘you all’, ‘gittew’ bermakna ‘begitu’, ‘ko’ bermakna ‘engkau’, ‘ske’ bermakna ‘suka’ dan ‘ittew’ bermakna ‘itu’ - tima ksh Ita.

Lebih menghairankan, majoriti mereka menggunakan Bahasa SMS di blog terdiri daripada kelompok terpelajar dan profesional, antaranya GURU, pereka hiasan dalaman dan jurutera. Barangkali, mereka kurang memahami perbezaan di antara penulisan blog dan SMS. Penulisan SMS wajar pendek dan ringkas kerana ruang terhad, sekaligus membabitkan kos berbanding di blog, banyak ruang dan percuma. Biarpun bukan pakar bahasa, secara realistik, saranan saya, marilah bersama kita menggunakan Bahasa SMS semasa menulis SMS sahaja bukan di blog.

Penat benarkah jari menaip ‘tidak’ berbanding ‘x’?

Apapun, saya menyanjung golongan gemar menulis kerana majoriti mereka suka membaca dan mencerna maklumat. Jika tidak, pasti sukar memerah otak untuk menghasilkan catatan bernas menjadi bahan bacaan ramai. Jauh berbeza berbanding sebilangan blogger sekadar taksub memuatkan gambar lucah di blog mereka, ‘a picture tells a thousand words’, justeru tidak perlu menulis panjang.

Ramai tahu, bahasa melambangkan bangsa. Mereka berketurunan Melayu berbahasa Melayu, India berbahasa Tamil dan Cina antaranya berbahasa Mandarin dan Kantonis.

Pengguna bahasa SMS, bangsa SMS?

Jumaat, Ogos 07, 2009

Di Antara Arak Dan Judi

Sebelum ini ada pihak bertanya, mengapa kegiatan perjudian sekian lama wujud di negara ini?

Tikam ekor dan judi di kasino, antaranya.

Ada pihak menjawab, selain Melayu berugama Islam, Malaysia mempunyai rakyat pelbagai bangsa, mengamalkan budaya dan menganuti kepercayaan ugama berbeza. Sekaligus pelbagai tuntutan perlu dipenuhi.

Ada pihak kemudian mencelah mengatakan kerajaan ‘menghalalkan’ kegiatan terbabit. Jika tidak masakan tikam ekor dan judi di kasino diamalkan secara terbuka sesetengah kelompok berminat.

Bagi saya, itu logik biarpun saya akur bukan cendikiawan dalam perihal politik.

Kemudian, isu penjualan arak secara terbuka di Selangor menarik perhatian saya. Kini Selangor bukan lagi di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu, fakta semua orang tahu. Justeru, mengapa penjualan arak masih tidak diharamkan? Mengapa terus diperdebatkan?

Adakah kerana alasan sama?

Selain Melayu berugama Islam, Malaysia mempunyai rakyat pelbagai bangsa, mengamalkan budaya dan menganuti kepercayaan ugama berbeza. Sekaligus pelbagai tuntutan perlu dipenuhi’

Mungkin pembaca mempunyai pandangan tersendiri ingin dikongsi.

Apapun, usah terlalu emosi.

* Hanya terjumpa gambar kecil sahaja :)

* Hari ini, 7 Ogos 2009, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besarnya membuat keputusan meneruskan penjualan arak secara terbuka.

Khamis, Ogos 06, 2009

Update - Ibu Tunggal Islam Kini Ke Gereja

Entry di bawah dirujuk.

Pagi tadi saya menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jam 6.20 petang tadi saya bercakap dengan pegawai JKM bertugas. Ibu tunggal berusia 36 tahun itu menghantar emel menggunakan akaun orang lain. Dia pernah bertugas sebagai pramugari dan kemudian berhenti kerja dan menetap di Rawang, Selangor. Ketika itu dia menerima bantuan Baitulmal Cawangan Rawang sebanyak RM350 untuk menampung kehidupan 8 anak berusia di antara 6 dan 13 tahun. Suaminya, penagih dadah, kini dilaporkan berada di Brunei.

Sebulan lalu dia berpindah ke Chow Kit Road, Kuala Lumpur dan memohon bantuan JKM Wilayah Persekutuan. Empat daripada anaknya ‘diberikan’ kepada keluarga dengan perjanjian dia tidak berhak menjenguk anaknya. Manakala 4 lagi anak tinggal bersamanya.

Bermula 1 September 2009, dia akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM400 setiap bulan. Anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur juga diberikan bantuan berbentuk makanan percuma.

Bagaimanapun semasa berada di rumah, mereka sekeluarga dikatakan masih mendapatkan makanan dari gereja berhampiran.

Kekadang sebilangan manusia mengkisahkan cerita berbeza berbanding keadaan sebenar. Itu komen saya.

Update

Jam 9.30 malam tadi, 6 Ogos 2009, saya bercakap melalui telefon dengan ibu tunggal, IT menghantar emel di bawah, saya nyatakan kepadanya, saya akan membantu jika dia bercakap benar.

"Awak berani bersumpah atas nama Allah tidak menipu?," soal saya.

"Alamak! Saya dah tak boleh cakap nama tu," balasnya.

"Puan, murtad soal berat, seseorang boleh menjadi murtad melalui niat, perkataan dan perbuatan," saya jelaskan.

"Itu saya tahu," jawabnya.

"Jadi, puan masih Islam atau sudah bertukar agama," katanya.

Berikut SMS dihantar kepada saya selepas perbualan.

'Maaf, saya bukan minta bantuan JKM, cuma tolong kupas masalah saya. Saya dibantu pihak Kristian dan saya telah memohon tukar agama'

Beberapa minit kemudian dia menghantar SMS berikut.

'Saya bukan tipu, bukan minta bantuan, cuma mahu isu ini dikupas. Tapi tak apa, saya masih lagi Islam kerana saya baru kaunseling dan belajar akidah Islam semula'

Serius, saya pening.

Update - emel ke 2

'Saya adalah seorang ibu tunggal dengan 8 anak serta tidak ada nafkah dari pihak suami. Cerita saya memang panjang dan ia berlaku dalam masa 3 tahun ini selepas penceraian saya.. Kehidupan memang sukar dan saya pernah di halau oleh MPS gara2 rumah yang saya duduki tidak dijelaskan bayaran oleh bekas suami dan bermula lah episod saya dan anak2 menumpang di rumah ibu bapa saya.

Walaupun saya mempunyai 8 anak, saya mempunyai pakej kecantikan semulajadi dan saya sering di fitnah oleh jiran tetanga danbekas mertua saya memang begitu membenci saya kerna kecantikan saya hingga saya di sihir dengan teruk iaitu bernanah satu badan. Ibu bapa saya berusaha untuk memulihkan saya dengan berubat tradisional.

Dalam masa itu masaalah kewangan memang menjadi kerunsingan pada diri saya, setelah kesihatan pulih saya bekerja sebagai Kerani di syarikat pembinaan dgn bergaji RM 700.00 sahaja. Dengan gaji begitu saya menampung anak2 saya dan mereka semua tidak pernah keciciran dalm sekolah.

Pada suatu hari sedang saya dan anak2 tidur, rumah ibu bapa saya telah dikepung oleh Jabatan Agama Islam kerana fitnah orang dan Jabatan Agama menyerbu tanpa usul periksa mengalahkan kami penjenayah.

Tiada apa yang mereka jumpa melainkan maki hamun kepada keluarga saya dan kami telah mendapat aib sangat. Keesokkan harinya pula JKM datang pula kerumah kerana mendapat aduan saya jual anak 30 ribu seorang, saya menjadi marah dan kerna semua tu adalah fitnah, lagi JKM siasat saya tetapi bukan menolong saya hingga kes ini ke Balai Polis.

Akhirnya saya menjadi kecewa dan marah kepada Jabatan Kerajaan, saya hilang pertimbangan dan dalam pada satu hari saya berjalan hingga ke sebuah Gereja di tempat saya, Paderi berkenaan menyapa saya dengan lembut dan menenangkan saya, saya masuk ke geraja dan bercerita kepada paderi, dengan senang hati paderi menghulurkan wang sebanyak RM 1000.00 kpd saya untuk menampong keluarga dan dari situ saya rapat dan belajar dengan paderi itu hingga pada bulan april tahun ni saya memohon untuk bertukar kepada agama kristian kerana kecewa dengan oarang yang seagama dengan saya dahulu'

Rabu, Ogos 05, 2009

Ibu Tunggal Islam Kini Ke Gereja

Sebelum ini saya pernah terbaca emel kisah ustaz memberi ceramah kepada pesakit AIDS, bukan di masjid tetapi di gereja. Saya terkejut, pesakit mendakwa mereka diabaikan golongan Islam sepatutnya membantu.

Jam 10.30 malam tadi, sejurus tiba di rumah, saya sekali lagi terkejut apabila membaca emel dihantar penonton 360 bertajuk ‘Derita Ibu Tunggal’.

Apapun saya berhasrat TIDAK mencetak sebarang komen berbaur politik di entry ini. Jadi, usah mencuba, letih jari menaip :)

Berikut saya cetakkan emel terbabit dalam bentuk asli.

APA KHkABAR,,SAYA TELAH MENONTON RANCANGAN INI BERTAJUK IBU TUNGGAL.

Saya ialah ibu tunggal dan mempunyai 8 anak dan bekerja sendiri.Baru-baru ini saya mendapat bantuan dari badan kebajikan masyarakat tetapi baru 1 bulan itu pun setelah saya memberontak kerana saya meminta bantuan dengan mereka dulu tetapi permohonan di tolak..saya hilang pedoman dan hilang kepercayaan kepada orag yang seagama dgn saya sendiri iaitu org islam...ada orang yang telah membantu saya iaitu pihak gereja dan memberi bantuan untuk saya berniaga secara kecil kecilan dan sekarang saya ada perniagaan untuk menamopung anak..selain dari itu saya jadi percaya kepada agama kristian dan sering ke gereja untuk belajar bersama anak saya.mereka melayan dan mengajar d dgan baik...mohon saya telah belajar Bible dan memohon untuk masuk krikstian kerana desakan hidup’

Saya membalas emel di atas dan menawarkan bantuan mampu dihulurkan. Saya percaya ibu tunggal terbabit terlalu kecewa dengan penderitaan dilalui. Sebahagian episod kehidupannya, mungkin tidak kita fahami.

Pun begitu, jika pembaca mempunya ide bernas untuk menangani masalah dikemukakan dalam kadar segera, sila kongsikan bersama saya.

Terima kasih.

* Mangsa kematian akibat H1N1: 16

Gambar Demonstrasi - Mesti Tengok

Maaf, gambar ini bukan dirakamkan di Malaysia.

5 gambar tragis berikut dikirim kenalan dari Myanmar. Myanmar, negara berada di bawah pemerintahan Junta tentera. Gambar dimuatkan dirakam pada September 2007 ketika lebih 300,000 rakyat berdemonstrasi menuntut demokrasi membabitkan sami, rakyat dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Gambar kiri, peserta demonstrasi mati akibat dihentak kepala menggunakan senapang M16.

Menurut pengirim gambar, otak bertaburan di longkang di satu daripada gambar di bawah, milik kanak-kanak menyertai demonstrasi dianjurkan. Dia ditembak mati secara kejam askar Junta, berusia 14 tahun.

Dilaporkan ramai sami dibelasah, dibunuh dan mayat mereka kemudian dicampakkan kedalam paya bakau berhampiran Pelabuhan Yangon. Yangon, ibu negara Myanmar.

Kata pengirim, ‘kesimpulannya, Malaysia negara mempunyai pemerintah paling baik hati. Apapun, saya sangat menentang apa juga demonstrasi jalanan di Malaysia, sebab negara kita 'sangat aman', tiada tembakan didengar di malam hari, tiada mayat orang mati dibunuh dijumpai pada pagi hari'.




















Tidak hairanlah, mengapa ramai rakyat Myanmar berhijrah ke Malaysia, mencari rezeki di negara aman dan makmur ini. Jika berdemonstrasi di negara sendiri, maut diundang.

* Terima kasih kepada semua sudi menjadi followers blog ini :)

* Saksikan 360 malam ini, jam 9 malam, kisah 'Derita Ibu Tunggal'

Selasa, Ogos 04, 2009

Terasa Gersang

“Alamak! Matilah! Aku tersilap hantar!”

Biasa terdengar ayat itu? Atau pembaca sendiri pernah mengungkapkannya?

Tersilap hantar apa? Tersilap hantar sistem pesanan ringkas, SMS. Maklumlah, SMS kini tren komunikasi tanpa suara seringkali kita semua gunakan.

Mari kita cuba analisa antara kesan buruk terhantar SMS kepada penerima tidak sepatutnya.

‘Sayang, jadi ke tidak keluar malam ni? Rindulah’ - SMS sepatutnya dihantar kepada GIRLFRIEND tetapi terhantar kepada ISTERI.

‘Aku mengular kejap, kalau bos tanya, cakap aku pergi klinik. Dia bukan tahupun’ - SMS sepatutnya dihantar kepada RAKAN baik berkerja sepejabat tetapi terhantar kepada BOS.

‘Lepas hantar Along kesekolah, baharu I pergi beli minyak masak. Mama nak minyak berapa kilo punya? Pampers baby nak beli sekali tak? I love you’ - SMS sepatutnya dihantar suami mengaku bujang kepada ISTERI tetapi terhantar kepada GIRLFRIEND.

‘Ayang, hubby I hari ini out station, sebab itu dari pagi dah mula terasa gersang ’ - SMS sepatutnya dihantar kepada BOYFRIEND tetapi terhantar kepada SUAMI.

‘Leha, aku meluat betul dengan Salmah mulut tempayan tu, kerja dia celik mata, mengumpat 24 jam. Dia tak tahu laki dia dahsyat amat, main kayu tiga’ - SMS sepatutnya dihantar kepada LEHA tetapi terhantar kepada SALMAH.

Jika pernah terhantar SMS seperti dicatatkan di atas, boleh senyum tak?

Kera Terus Disusukan

Ahad lalu saya meninjau penempatan warga Indonesia dipercayai buruh binaan bekerja membina Sekolah Rendah Mutiara Damansara, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Rumah papan didirikan mengguna bahan pembinaan terbuang terletak di kawasan berpagar di atas bukit, justeru tersorok dari pandangan orang ramai lalu-lalang di jalan utama berhampiran. Tinjauan saya pada jam 2 petang mendapati sebilangan penghuni sibuk makan tengahari. Dipercayai majoriti mereka membina koloni di kawasan itu, kaum Madura berasal dari Indonesia.

Timbul persoalan, sebagai buruh binaan, adakah mereka berhak mendirikan penempatan sewenang-wenangnya? Jika kehadiran mereka lengkap memiliki dokumen sah, majikan wajib menyediakan penempatan lebih sempurna?

Saya difahamkan, ada pihak mendesak pihak berkuasa merobohkan penempatan sama. Khabarnya, penempatan terbabit pernah diserbu RELA Daerah Wilayah Petaling sebelum ini, namun warga asing bermaustatutin tetap engkar dan berdegil tinggal di penempatan itu.

Lebih menghairankan, rumah mereka dilengkapi bekalan elektrik, jika tidak masakan antena TV kelihatan terpacak hampir di setiap rumah. Dari mana sumber elektrik mereka? Adakah bekalan elektrik didapati secara sah atau sebaliknya? Tidakkah pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Jabatan Imigresen tahu mengenai penempatan itu?

Jika tidak, biarlah 360 membongkar kisah di sebalik penempatan warga Indonesia terbabit dan kemudian saya percaya baharulah banyak pihak akan membuka mata.

Saya hairan, sedang 23 keluarga berketurunan India di Kg. Buah Pala, Pulau Pinang berhadapan dilema dipaksa meninggalkan penempatan mereka seluas 2.6 hektar, warga asing di Selangor, jelas bebas mendirikan rumah sesuka hati tanpa dipersoalkan.

Nampaknya, kera di hutan masih disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

* Jumlah kematian akibat Selsema Babi semakin bertambah, risau?