Rabu, Disember 31, 2008

Selamat Tinggal 2008

Kurang 24 jam kita bersama bakal melangkah ke tahun baru, 2009. Pastinya tahun 2008 menyimpan pelbagai kenangan pahit dan manis. Kita berharap setiap kejadian pahit tidak berulang manakala peristiwa manis berterusan.

Tahun baru meransang majoriti kita menanam tekad baru. Biarpun mungkin azam tahun 2008 tidak dapat dicapai sepenuhnya. Tetapi kita masih mampu mencuba selagi kita bernyawa.

Where there is a will, there is a way, jika wujud kehendak pasti ada jalan, itu ringkasannya. Justeru, kita harus percaya berbekalkan akal, kudrat dan restu Allah S.W.T kita bersama berdaya mencapai pelbagai impian.

Saya berhasrat menjadi wartawan lebih efektif, membuka mata pelbagai pihak bagi membantu masyarakat berhadapan masalah, sedaya mampu. Tahun 2009, saya kepingin melihat lebih ramai orang tersenyum dan bergembira jika masalah mereka diselesaikan. Doakan saya berjaya mencapai azam itu.

Kongsikan azam anda bersama pembaca. Boleh?

Kepada semua, terima kasih kerana terus sudi menjenguk blog ini. Hit melebihi 100,000 dalam tempoh 8 bulan membuktikan anda bersama saya. Semoga setiap entry dan komen dilontarkan lebih mendewasakan pemikiran dan tindakan kita semua.

Selamat menyambut tahun baru 2009!

Isnin, Disember 29, 2008

RM300 Sekilo

Jam 10.30 pagi tadi sewaktu di Pasar Satok, Kuching, Sarawak saya membeli 2 ikan terubok masin.

“Saya jual satu sepuluh ringgit saja, harga special sebab saya peminat abang, ” ujar penjual, ramah.

Di kertas tanda harga tertulis ‘RM17 seekor’. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya biarpun percaya dia menjual harga sama kepada setiap pelanggan.

“Kalau nak makan sendiri beli jenis besar, Malaysia punya. Nak bagi kepada orang, beli jenis kecil, sepuluh ringgit tiga, boleh dapat banyak, Burma punya,” jelasnya.

“Telor ikan terubok, nak? Tiga ratus ringgit sekilo,” soalnya.

“Sebab apa mahal?”

“Dalam seratus ekor, lebih kurang lima belas saja bertelur, susah nak dapat sebab itu mahal," pantas dia menjawab.

Sedap ke telur terubok masin, sesiapa pernah mencuba?

Ahad, Disember 28, 2008

Minum Air Hujan

Tengahari tadi, sewaktu minum di gerai pasar Serikin, Sarawak saya dihampiri wanita tua, datang bersama 18 ahli keluarga.

“Ish! Ini biasa nenek tengok kat TV tu yer?,” tanyanya.

Saya tersenyum dan menganggukkan kepala. Dia kemudian pantas menarik kerusi dan duduk di hadapan saya. Hajjah Darmi Selamat berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor, berketurunan Jawa, berusia 92 tahun. Dia lebih senang dipanggil Nenek Wok.

“Nenek, umur 92 tahun, masih kuat, nampak muda, apa petuanya?,” soal saya.

“Nenek minum air hujan, mandi pakai air hujan. Tak pakai air paip biasa, cubalah. Nenek ada 12 anak, 3 lelaki 9 perempuan. Cucu 50, cicit 35 orang. Ni ha, anak sulung nenek, Salbiah, umur 65 tahun,” jawabnya sambil menunjukkan wanita duduk di sebelah kanan saya.

Nenek Wok berkahwin ketika berusia 15 tahun.

“Masa tu nenek kerja kopek pinang, siang malam bolehlah dapat 10 tin, upah 2 sen satu tin. Tapi beras segantang baru 7 sen, gula 2 kati pun sama harga. Sekarang ni lain, mahal,” ujarnya.

Sebelum beredar, Salbiah memberikan saya nombor telefon Nenek Wok.

“Kalau datang ke Batu Pahat, singgah,” pelawa Salbiah.

Sabtu, Disember 27, 2008

Mahalnya Kerang

“Kerang sekilo berapa?,” tanya saya kepada peniga di Pasar Ikan Kg. Buntal.

Kg. Buntal, 26 kilometer dari Kuching, Sarawak.

“Empat ringgit,” jawabnya.

“Kenapa mahal? Di Semenanjung sekilo dua ringgit jer,” tanya saya lagi.

“Oh! Di sini kerang nak cari susah bang. Kena masuk selut lebih sekaki dalam, gagau dengan tangan. Lepas tu ada musim, tak datang selalu. Saya pergi cari kerang jam 4 pagi, jam 2 petang baru balik. Itu pun bukan boleh dapat banyak sangat. Silap-silap disengat ikan berbisa, kena pergi hospital,” jawabnya.

Jika kerang dijual RM4 sekilo, orang di Semenanjung macamana?

[ Kata Mazidul: Di Sarawak sampai 29 Disember .. ]

Enggan Susukan Anak Sendiri?

Hanya 14.5 peratus ibu di Malaysia memberi susu badan kepada anak sehingga berusia 6 bulan.

“Rosak badanlah kalau susukan anak lama sangat,” antara komen diutarakan.

Maksudnya, majoriti ibu kini lebih gemar memberi susu lembu kepada anak mereka berbanding ibu di zaman 60 an. Hairan, sedangkan susu ibu diakui, susu terbaik bagi tumbesaran anak.

Apakah faktor mendorong ibu enggan menyusukan anak sendiri? Memelihara tubuh agar kelihatan kekal cantik? Sibuk degan tugas seharian

Khamis, Disember 25, 2008

Bodoh Sombong

23 Disember lalu, sewaktu menghadirkan diri ke sesi perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Selangor saya bertemu beberapa wartawan membuat liputan.

Saya katakan ..

“Menulis itu kerja kita. Tidak salah menulis selagi kita faham apa kita tulis. Fakta kena betul, jika tidak, tulisan itu fitnah. Kes ini dibicarakan di mahkamah syariah, kalau memfitnah nanti jadi kes mahkamah sivil. Lagipun kita kena ingat, memfitnah sesama manusia, hanya manusia boleh memaafkan”

Tiba-tiba terpancul kenyataan dari mulut wartawan wanita bertudung berdiri berhampiran saya.

“Saya minta maaf bang”

Saya kemudian membuka pintu mahkamah untuk dia masuk.

"Abang bukakan pintu ni, maafkan saya tak?," soalnya.

Saya hanya sekadar menguntumkan senyuman. Saya hairan, dia wartawan Sinar Harian, mengapa perlu memohon maaf? Sedangkan wartawan memfitnah saya berikutan kenyataan di bawah caption bergambar Harian Metro terbitan 27 November 2008 tidak ambil pusing.

‘Tak sehaluan … Mazidul dan Khairul Fazlin selepas DISAHKAN bercerai’

Kenyataan itu sama sekali TIDAK benar kerana mahkamah hanya akan membuat keputusan pengesahan lafaz cerai pada 21 Januari akan datang. Maksudnya Harian Metro ‘menceraikan’ saya sekaligus mendahului keputusan mahkamah. Hebat!

Pada hari sama, saya menghubungi editor akhbar terbabit.

“Maaf, saya akan perbetulkan balik, esok, janji,” katanya.

28 November, ‘ralat’ mengandungi kenyataan memohon maaf dicetak dalam akhbar sama.

Timbul persoalan, bagaimana suratkhabar ternama, Harian Metro, bahan bacaan ramai mampu membuat kesilapan sebegitu. Jika wartawan bertugas tidak memahami prosiding mahkamah, mengapa dungu enggan bertanya kepada golongan lebih arif? Mungkin itu dipanggil bodoh sombong.

Kepada pembaca, saya dan isteri sah rujuk di Jabatan Agama Islam Selangor pada 17 November lalu.

Doakan kami bahagia hingga ke akhir hayat.

Selasa, Disember 23, 2008

Bumi Kenyalang

Saya akan berada di Kuching, Sarawak antara 26 dan 29 Disember 2008. Anda di lokasi sama, sila hubungi saya melalui SMS di 019 2345 360. Makan, minum saya belanja ..

Terima kasih.

Bayi 20 Bulan Dinodai

Butterworth, Pulau Pinang, 23 Disember 2008.

Pasangan ayah dan anak berusia 16 tahun bernafsu binatang dilapor menodai bayi berusia 20 bulan. Pihak hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan bayi menangis tanpa henti terbabit. Berikutan itu, ibu mangsa menghantar anakya dijaga di rumah suspek membuat laporan polis – Harian Metro

Isnin, Disember 22, 2008

Pusat Bertindik

Sejak dari dulu kita sering melihat kanak-kanak perempuan pelbagai bangsa bertindik di telinga, tidak kanak-kanak lelaki. Lubang ditindik kemudian dipasangkan anting-anting, antara perhiasan perempuan remaja dan dewasa.

Bagi perempuan India, majoriti mereka bertindik di hidung selain di telinga, barangkali melambangkan budaya.

Kini, perempuan bukan sahaja bertindik di telinga dan hidung malah di pelbagai bahagian badan. Di bawah bibir, di kening, lidah dan pusat. Lebih menghairankan bertindik mula dijadikan budaya di kalangan lelaki.

Pernah saya tanyakan kepada beberapa gadis remaja ..

“Apa tujuannya bertindik di pusat?”

Jawaban saya terima ..

“Saja-saja”

Kalau ‘saja-saja’ maksudnya perbuatan itu dilakukan tanpa tujuan, perbuatan sia-sia menyakitkan tubuh badan.

Atau ada alasan selain itu?

Memburu Kebahagian

Hakikat, manusia tidak hidup menongkat langit. Tempoh kewujudan kita di muka bumi ini singkat. Justeru, seharusnya setiap daripada kita memburu kebahagian bukan mencipta kesengsaraan.

Bagaimanapun, kita seringkali melakukan sebaliknya ..

Entahlah.

Jumaat, Disember 19, 2008

Berkorban Demi Cinta

Saya percaya ramai pembaca blog ini masih bujang malah sedang hangat bercinta. Cinta, perasaan terindah dipupuk menjadi pemangkin pasangan merancang menuju gerbang perkahwinan. Perkongsian hidup antara dua insan.

Pasangan serius berhasrat hidup bersama bertahun-tahun berusaha sedaya upaya mengumpul wang memastikan niat menjadi realiti. Cukup wang perbelanjaan, tarikh perkahwinan ditetapkan. Kad jemputan diedar kepada rakan taulan maupun saudara mara.

Sewaktu menyertai kursus perkahwinan, berita buruk tiba-tiba menyapa ..

“Maaf, pasangan awak positif HIV!,” ujar pegawai perubatan.

Ketika itu pasti anda berada di persimpangan dilema.

Saya tidak mendoakan senario di atas berlaku kepada sesiapa. Tetapi jika terjadi, sanggupkah anda berpisah, berkorban demi cinta? Atau mencari alternatif lain bernikah di luar negara?

Terkini, bermula tahun depan setiap pasangan bakal berkahwin di seluruh negara WAJIB menjalani ujian saringan HIV, antara syarat kursus perkahwinan bertujuan mengekang jangkitan AIDS di negara kita.

Khamis, Disember 18, 2008

Bila Ada Masa

Bila ada masa, jangan lupa tinjau blog terbaru, MasFaceClub.blogspot.com. Hantarkan gambar istimewa anda ke mazidul360@yahoo.com.my. Gambar terpilih akan dimuatkan di blog terbabit untuk tatapan semua.

Boleh?

Jajan Jadi 'Kecil'

“Perasaan tak, masa kecil dulu, jajan macam Super Ring ni rasa ‘besar’ sangat?,” tanya saya.

“Betul bang. Saya dulu-dulu benda macam ni, siap makan sikit-sikit lagi, hisap tak kunyah, takut cepat habis,” kata Fiza sambil memegang ‘Super Ring’ di tangan kirinya.

Pengacara program Nona, Fiza dibesarkan ibu kerana ayahnya meninggal dunia sewaktu dia berusia 8 tahun.

“Saya adik-beradik lima orang. Share jajan. Ada waktunya simpan sampai malam, sayang nak habiskan,” sambungnya berterus-terang.

“Tapi bila dah besar, jajan ni macam dah jadi ‘kecil’ kan?,” tanya saya.

“Tu la, mungkin sebab kita dah ada duit nak beli kut. Sekarang ni kalau anak buah saya nak Mamee contohnya, saya akan pergi beli dalam bungkus besar tu, ada banyak kat dalam,” katanya tersenyum.

Hati saya berkata ..

“Kalau tulis isu makan jajan masa kecil dalam blog bagus ni. Pembaca pun mesti ada kisah pahit manis nak dikongsi bersama”

Selasa, Disember 16, 2008

Bukan Sekecil Kuman

10.15 pagi 5 Disember lalu saya tiba di kawasan runtuhan tanah Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor. Lelaki bermisai tebal dan berkulit gelap kemudian menghampiri saya.

“Mazidul tau tak apa ada kat sana?,” soalnya sambil menuding jari ke arah banglo runtuh.

Saya menggeleng kepala.

“Satu daripada banglo tu dijadikan mini kasino, mesin judi banyak kat dalam tapi masuk by invitation only. Selalu kalau malam, at least ada tujuh lapan kereta parked kat depan rumah tu,” terangnya.

Saya terdiam.

“Encik orang mana?,” soal saya.

“Orang sinilah,” balasnya pantas sebelum berlalu.

Beberapa hari lalu, akhbar tempatan menyiarkan desas-desus berhubung dakwaan sama. Bagaimanapun setakat ini dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Kini kakitangan pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Ampang Jaya sibuk memindahkan pelbagai barangan ditinggalkan mangsa sekaligus membersihkan kawasan runtuhan.

Tunggu sahajalah, benar atau tidak akan diketahui, mesin judi bukan sekecil kuman, jelas pada pandangan mata.

Wow!

Berikut respon wanita muda sejurus melihat lelaki berbadan sasa, tinggi dan berkulit sawo matang melintas di hadapannya ..

“Wow! Seksinya dia”

Berikut respon lelaki sejurus melihat wanita mengenakan pakaian sedikit jarang di dada..

“Wow! Seksinya dia”

‘Seksi’ perkataan berbentuk subjektif. Maksudnya seseorang itu mungkin kelihatan seksi bagi anda, tidak pada pandangan mata orang lain.

Jadi, apa takrifan ‘seksi’ sebenarnya bagi lelaki dan wanita?

Isnin, Disember 15, 2008

Abstrak Hingga Kebulan

‘Abstrak Hingga Kebulan’, kumpulan muzik ditubuhkan sejak 3 tahun lalu. Tiga daripada 4 anggota, Atom, Zairul dan penyanyi, Faiza muncul dalam temubual bersama MHI pagi tadi. Album pertama mereka bertajuk sama mula dijual Jumaat lalu, berharga RM25 mengandungi 10 lagu.

Atom dan Faiza, bekas pelajar Komunikasi Media, Universiti Teknologi Mara Shah Alam, kelahiran Seremban, Negeri Sembilan dan Kuching, Sarawak.

“Kita sekarang ni sedang mengadakan Tour Felda kerana kita percaya mereka antara pembeli album kita,” kata Atom.

Saya sempat bertanyakan soalan berhubung isu arak murah dikatakan menjadi minuman kegilaan segelintir remaja zaman sekarang.

Respon Zaiful sambil tersenyum ..

“Kalau sebelum ini ada kumpulan tampil dengan cogankata ‘kami benci dadah’, kita orang pula ‘kami benci arak’”

“Minum coca cola, teh ais aje lah,” sampuk Atom.

Apa istimewanya ‘Abstrak hingga kebulan’?

“Kumpulan mempunyai nama paling panjang,” balas mereka hampir serentak.

Ahad, Disember 14, 2008

Harap Semua Gembira

Saya dan rakan, Nik sempat ke Tugu Negara petang tadi jam, 4 petang. Tujuan kami sama, merakamkan gambar dibuat kenangan di masa akan datang. Antara gambar terbabit saya muatkan di mazidul360.blogspot.com untuk tatapan anda semua.

“Kejap lagi saya akan jadi tugu peringatan,” bisik saya kepada Nik.

Dia tersenyum.

Tidak salah jangkaan kami, setengah jam berada di lokasi terbabit, ramai datang menghampiri.

“Boleh ambil gambar? Anak saya ni peminat,” antara permintaan ibu bapa.

Saya tidak berhajat menolak permintaan mereka. Banyak gambar dirakam bersama pengunjung berlatarbelakangkan Tugu Negara. Antaranya pelancong dari Pulau Pinang dan Kelantan, datang bercuti bersama keluarga sempena cuti sekolah.

Jam 5.45 petang, semasa singgah minum di restoran di Kuala Lumpur, saya dihampiri 3 remaja perempuan masih bersekolah.

“Nak minta sign boleh?,” di tangan mereka pen dan kertas.

“Camera tak ada?,” soal saya.

Mereka menggeleng kepala.

“Cam ni lah, saya ambil gambar, lepas tu nanti saya emailkan, boleh?”

Email itu saya hantarkan 15 minit kemudian. Saya harap semua gembira. Terfikir, antara mereka membenci, saya bersyukur masih ada menyukai.

1.12 Juta Penagih Dadah Di Malaysia

1.12 juta, statistik terkumpul penagih dadah berdaftar dan tidak berdaftar di negara ini. Statistik itu terhasil daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, sejak 1988 seramai 279,907 bilangan penagih direkodkan, setiap satu perlu diganda empat, anggaran bilangan penagih sebenar.

Kini Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam berbincang untuk membenarkan penagih pulih diambil bekerja di sektor awam. Menurut Syed Hamid, mereka perlu menjalani kehidupan seperti manusia normal sekaligus berkemampuan menyara diri dan keluarga.

Pandangan anda?

Sabtu, Disember 13, 2008

Taring Mynmar Semakin Menyerlah

Lelaki warga Mynmar, 48 tahun, Otek dipercayai pemegang kad UNHCR ditemui mati di bilik rumah kedai dua tingkat di Pusat Bandar Puchong, Selangor pada jam 7.45 malam tadi. Mangsa dikatakan berselisih faham dengan rakan sebiliknya sebelum dibunuh. Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar dalam sidang media jam 11 malam tadi, mangsa mengalami kecederaan parah di paha dan belakang akibat tikaman dan pukulan. Manakala tangan mangsa dilaporkan hampir putus ditetak menggunakan senjata tajam.

Semasa entry ini ditulis, polis sedang giat menjalankan Ops Tutup bagi memburu 5 rakan mangsa termasuk wanita dan anaknya. Mayat Otek dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Dulu, pendatang asing Indonesia sering terbabit dalam kes pembunuhan sesama mereka, kini warga Myanmar semakin mengganas dan berani menyerlahkan taring mereka.

Jumaat, Disember 12, 2008

Boleh Duduk, Berdiri Dan Beredar


Jangan Terkejut

Siang tadi, saya, Norasliza dan jurukamera menjalankan tugasan mencari pengemis Rohingya, warga Myanmar. Bagaimanapun sewaktu lalu di hadapan pusat membeli-belah Sogo, Kuala Lumpur kami terserempak pengemis muda dalam kedudukan hampir berbaring di jalan laluan orang ramai.

Ditanya negara asalnya dia tidak menjawab, mungkin kerana halangan bahasa. Tetapi saya percaya dia berasal dari negara China. Melalui pengalaman, majoriti mereka mengemis di negara ini kerap berpura-pura bisu, tujuannya menyukarkan pihak berkuasa mengenalpasti identiti mereka.

Usah terkejut jika saya katakan mereka mampu meraih pendapatan mencecah RM500 sehari. Kebanyakannya hanya mengunjungi negara ini dalam tempoh sebulan kemudian pulang semula ke negara asal dengan belasan ribu ringgit di kantung.

Semasa dihampiri, pantas dia memasukkan kesemua wang tunai derma orang ramai ke dalam beg sandang, memakai baju, duduk dan kemudian beredar. Gambarnya sempat saya rakamkan (entry atas).

Khamis, Disember 11, 2008

Saling Dikecewakan

Terfikir, mengapa majoriti perempuan kerap mengeluh keterlaluan, meluahkan ketidakpuasan hati setiap kali dikecewakan lelaki. Ramai menangis, tidak selera makan, tidur terganggu malah segelintir mengalami masalah kemurungan melampau.

“Aku rasa macam nak bunuh aje dia. Dulu kata sayang, nak jadikan aku suri rumah dia konon. Sampai aku dah bawa dia jumpa famili, kenalkan semua. Jahat lelaki ni. Tiba-tiba sekarang ni dia hilang, tinggalkan aku bodoh macam ni!”

Antara luahan biasa kita dengar terpancul dari mulut perempuan ditinggalkan lelaki. Sedangkan kita semua tahu, perempuan, makhluk Tuhan diciptakan dengan sikap pelembut dan penyabar.

Jika kita fikir sebaliknya, lelaki juga selalu dikecewakan perempuan. Tetapi majoriti jarang merintih dan mengeluh. Mereka bertenang dan meneruskan kehidupan.

Kayangan Rebah Menyembah Bumi

Kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor masuk ke episod terakhir. Jam 2 petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan operasi mencari mangsa ke lima, pembantu rumah warga Sri Langka diberhentikan. Pasukan mencari dan menyelamat dilapor berjaya masuk dan mencari mangsa di bilik tidurnya tetapi tidak menemui sebarang petunjuk masih ada mayat tertimbus.

Sepanjang 3 hari berada di lokasi kejadian, banyak perkara saya saksikan. 8 Disember, pagi sambutan Hari Raya Aidil Adha, sedang umat Islam di seluruh dunia melaungkan takbir, pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus menjalankan tugas mereka. Keadaan bertambah buruk apabila hujan turun lebat, tanah basah lalu menyukarkan usaha mencari mangsa. Namun, tanggungjawab dipikul dilaksanakan tanpa perasaan berbelah bagi.

Beberapa hari majoriti wartawan bertugas di lokasi basah kuyup. Hanya semangat kental membenarkan kami mencari bahan berita terkini untuk siaran akhbar dan televisyen. Tujuannya jelas, memaklumkan masyarakat seluruh negara berhubung perkembangan tragedi berlaku.

“Tuan-tuan, tolong keluar dari kawasan ni. Awak semua menyusahkan kerja kita! Lori tanah nak masukpun tak boleh!,” jerit pegawai polis berpangkat Assisten Superintendan pada hari ke dua operasi.

Wartawan dan jurugambar ‘dihalau’ dan tidak dibenarkan merakamkan gambar di tempat kejadian.

“Huh! Nanti dia juga nak baca suratkhabar,” rungut teman wartawan.

Apapun, kita belajar buat kali kesekiannya, semua projek perumahan di lereng dan cerun bukit harus diberhentikan serta-merta. Jika tidak, pasti lebih banyak nyawa terkorban di masa hadapan.

Lazimnya manusia mudah lupa, lupa tragedi berulang meragut nyawa. Kali ini kerajaan dan pihak berkuasa tempatan harus ditegur andai mereka cuai membuat keputusan membenarkan pemaju rakus mengaut keuntungan, pada masa sama penghuni rumah menanggung risiko. Pembeli, jangan terlalu gah inginkan kehidupan ‘kayangan’ di tanah tinggi kerana kayangan terbukti boleh rebah menyembah bumi.

Selasa, Disember 09, 2008

Bukan Mayat

Berita terbaru diterima ..

Tiada mayat ke lima ditemui. Pihak berkuasa mengesahkan ‘mayat’ ditemui pada jam 5.40 petang tadi, bangkai haiwan.

Persoalannya, sukar benarkah membezakan antara mayat manusia dan bangkai haiwan dalam keadaan reput?

"Jomlah Minum!"

Majoriti kita samada sedar atau tidak kerapkali berkelakuan sambil lewa melayan rakan maupun insan tersayang. Barangkali kerana fitrah, kita mudah menanggap mereka semua sentiasa akan berada di samping kita sewaktu diperlukan, sedangkan tanggapan itu tidak benar.

“Jomlah minum,” ajak rakan.

Jika tiada halangan, pergilah, tidak perlu berdolak-dalih, tunaikan permintaan itu. Temui rakan mahupun orang kita sayangi kerana siapa tahu, mungkin itu pertemuan terakhir kita. Kelahiran, jodoh dan kematian, ketentuan Allah Taala, manusia tidak berpeluang mengetahui saat malaikat Izrail mencabut nyawa mereka.

Jangan pula kemudian kita pilu berkata ..

“Ya Allah, sejam sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, dia ajak aku minum, siap cakap nak belanja lagi. Tapi aku berat sangat nak jumpa, walhal masa tu memang free. Bila dengar dia kemalangan, aku sesal sangat”

Ingatlah, manusia tidak kekal hidup di dunia, itu fakta tidak boleh disanggah. Tiba saatnya kita semua akan pergi meninggalkan alam fana ini. Bezanya hanya saat pemergian itu, cepat atau lambat.

Justeru, tidak salah kita menghantarkan pesanan ringkas maupun mengungkapkan kata-kata ..

“Saya sayang awak”

.. kepada rakan atau insan tersayang sebelum terlewat.

Mayat Ke Lima Ditemui

Mayat ke lima ditemui pasukan mencari dan menyelamat berhampiran lokasi penemuan mayat mendiang Dr. N. Yogeswari jam 5.40 petang tadi. Setakat ini 5 mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Hulu Klang, Selangor.

Usaha mencari mayat terbabit bermula pada jam 9.30 malam 7 Disember lalu.

Bagaimanapun Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar belum mengesahkan identiti mayat berada dalam keadaan reput itu.

Isnin, Disember 08, 2008

Unit Udara Polis Di Raja Malaysia

Mayat Ke Lima?

[ Mangsa terperangkap diselamatkan Unit Udara Polis Di Raja Malaysia ]

Petang semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan operasi mencari dan menyelamat diberhentikan. Bagaimanapun berikut antara petikan kenyataan beliau semasa saya ditemui pada jam 8 pagi tadi ..

“Kita memberhentikan operasi jam 6.30 petang semalam kerana tiada petanda mengatakan ada mangsa masih terperangkap. Kemudian kita mendapat laporan, pembantu rumah mendiang Dr. Yogerwary, wanita warga Sri Langka masih tidak ditemui. Operasi disambung jam 9.30 malam tadi dan masih berterusan”

Laporan kehilangan mangsa dibuat suami mendiang. Lebih 500 pegawai dan anggota unit berseragam terbabit dalam operasi mencari pada ketika ini. Setakat ini 4 mangsa disahkan terkorban.

Lebih 2000 penduduk 3 kawasan taman perumahan dan 2 kondominium terletak di lereng bukit dalam lingkungan 1 kilometer dari tapak kejadian tanah runtuh diarah berpindah ke penempatan lebih selamat. Institut Kerja Raya Malaysia mengesahkan bangunan terbabit tidak selamat dihuni. Apapun, sesetengah mereka dilapor enggan mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa mungkin bimbang keselamatan harta benda terpaksa ditinggalkan.

Menurut Datuk Khalid setakat ini pihak polis hanya menerima satu laporan kes kecurian barangan milik peribadi di kawasan sama.

Wartawan Di Lokasi 8 Disember 2008


Jabatan Pertahanan Awam Malaysia


Ahad, Disember 07, 2008

Hampir Rebah


Basikal Siapa?


Di Lokasi


Tertimbus


Runtuh Lagi

Kejadian tanah runtuh berulang lagi. Kali ini berlaku pada jam 4 pagi tadi di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor.

Semasa entry ini ditulis, 4 mayat berjaya dikeluarkan dari kawasan runtuhan. Mangsa terkorban, doktor haiwan, S. Yogeswary, 40, pelajar kolej, Shaiful Khas Datuk Shahruddin, 20, akauntan, Ng Yee Ting, 30 dan warga Indonesia, Surinah. Lebih 20 pasukan penyelamat dari pelbagai agensi kerajaan bertungkus lumus mengeluarkan satu mangsa masih tertimbus. Sepuluh mangsa cedera dan dirawat. 14 rumah banglo dipercayai runtuh dan tertimbus termasuk beberapa kereta mewah.

DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri, Timbalan beliau, Ketua Polis Negara antara pembesar negara melawat tapak kejadian.

Pada awalnya wartawan tidak dibenarkan pihak berkuasa menghampiri lokasi malapetaka bimbang berlaku kejadian tidak diingini. Bagaimanapun semasa ketibaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kesemua wartawan dan jurugambar mengambil kesempatan mengekori rombongan beliau menghampiri kawasan runtuhan. Saya sempat merakamkan beberapa gambar untuk tatapan semua pembaca.

Dulu kawasan tanah tinggi dianggap penempatan selamat golongan elit. Kini kedudukan mereka dalam bahaya.

Jumaat, Disember 05, 2008

Dahagakan Hiburan

5 tahun dulu saya menjalankan tugasan di Sandakan, Sabah, tinggal di hotel murah, Hotel Endah di Batu 4, berikutan ketiadaan tempat menginap lebih selesa. Beberapa artis terkenal sedang mengadakan konsert di Sandakan turut menginap di hotel sama.

“Dia orang tu dari mana?,” soal saya kepada pekerja.

Lori pick up berhenti di depan hotel, dibelakang duduk selesa beberapa remaja lelaki dan perempuan.

“Dari kawasan pedalaman tu bang, dia orang turun mahu tengok itu konsert,” jawabnya dalam loghat Sabah.

"Oh! Begitu," balas saya.

Semalam tragedi berlaku di Sandakan. Lelaki dikata enggan menyerahkan mikrofon kepada rakan lain sewaktu berkaraoke di sebuah pusat hiburan terbunuh. Dia dipukul rakan dan kumpulannya. Pada masa sama mangsa ditikam menggunakan senjata tajam akibat kejadian itu.

Begitu kehidupan, sanggup datang jauh dan berbunuhan hanya kerana dahagakan hiburan.

Khamis, Disember 04, 2008

Sesat Menular

Setakat ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM mengenalpasti 56 ajaran sesat di seluruh negara.

“Kalau guru Muhamad (Nabi Muhamad) berguru dengan (malaikat) Jibrail, saya pun berguru dengan Jibrail juga. Syurga dan neraka saya dah tengok guna mata zahir”

Antara kenyataan pengikut setia Arifin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin semasa ditemubual di Hulu Besut, Terengganu.

Berikut kenyataan Imam surau Kg. Kemensah, Hulu Klang, Selangor dirakamkan minggu lalu berhubung ajaran sesat Haji Abdul Kahar ..

“Haji kahar cakap kepada budak-budak main di laman rumah dia, arak ni elok diminum untuk terang hati. Dia kata arak boleh guna untuk ambil air sembahyang”

Biarpun kenyataan dibuat pengikut dan ketua ajaran sesat terbabit diketahui bercanggah dengan aqidah Islam sebenar tetapi mengapa masih ramai golongan mempercayai?

Isnin, Disember 01, 2008

Wartawan Bertugas

Terkilan

Mangsa Tanah Runtuh


Ranap