Ahad, Oktober 31, 2010

Bau Mayat Kembung

Saya dapat menjangka, perjalanan kali ini sukar dan mencabar.

Bukan mudah berhadapan dan mencium bau mayat bergelimpangan dan kembung selepas 6 hari kejadian tsunami dan gempa bumi berlaku di Kepulauan Mentawai, Indonesia.

Namun, itu tugas harus saya laksanakan.

Jika berpeluang mengemaskini blog ini sewaktu di Padang atau di lokasi tragedi berlaku, InsyaAllah itu akan saya lakukan.

Saya akan terbang ke Padang pada jam 7.50 pagi ini dan dijangka pulang ke Malaysia pada 6 November kelak.

Sabtu, Oktober 30, 2010

Pemandu Bas Hanya Memilik Lesen 'L' Tamat Tempoh Dan 7 Penumpang Terbunuh

Jam 7.50 malam semalam 7 terkorban, apabila bas terbabas di KM38 Genting Sempah.

JPJ mengesahkan pemandu bas terbabit tidak memiliki lesen memandu biarpun kenyataan awalnya dirakam pihak polis berbeza.

Gila! Gila! Gila!


Sebilangan penumpang meninggal dunia dan cedera manakala dia patah kaki kanan, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Pemandu akan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau dipenjara tidak lebih 5 tahun atau keduanya.


Akta tetap akta, jika pemandu dihadapkan ke mahkamah sekalipun, perbicaraan bakal mengambil masa.

... sedangkan 7 keluarga kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata.

Sebelum ini apabila 4 mangsa mati dibunuh secara kejam di Banting, Selangor, majoriti berkata, jenayah tidak mengenal bangsa mangsa dan pemangsa.

10 Oktober lalu, 13 terkorban dalam kemalangan membabitkan bas di Alor Gajah, Melaka. Majoriti berkata, kemalangan dan pemandu tidak ada hubungkait dengan bangsa si pemandu berusia 52 tahun terbabit.

Dalam kemalangan terbaru ini, barangkali majoriti kita akan melontarkan komen sama.

Sumber melaporkan, pemandu berusia 40 tahun itu berbangsa India dan hanya memiliki lesen 'L' tamat tempoh pada tahun 1997. Lebih mengejutkan, dia pernah disaman pihak berkuasa 6 kali sebelum ini.

Cukuplah, maklumat selebihnya bakal diumumkan Menteri Pengangkutan dalam masa terdekat.

Saya kurang berminat menyentuh isu berhubung bangsa mereka terbabit tetapi lebih kepada soal sikap.

Manusia jenis apakah begitu berani memandu tanpa lesen, bukan kenderaan kecil tetapi bas membawa lebih 44 nyawa? Tidak cukup dengan tindakan itu, dia juga berbohong kepada pihak polis kononnya mempunyai lesen memandu. Pada masa sama, rekod pemanduannya juga meragukan berikutan saman dikeluarkan.

Saya pasti fakta bakal didedahkan pihak berkuasa berhubung salah laku pemandu terbabit akan lebih mengejutkan, percayalah buat sementara waktu.

Jumaat, Oktober 29, 2010

Adik Mat Komando Menelefon Saya?

"Siapa benarkan kisah Mat Komando disiarkan minggu depan?," tanya lelaki terbabit.

"Awak siapa?," tanya saya.

Berikutan tanpa salam dan tanpa memperkenalkan dirinya, saya terpaksa mengajukan soalan itu.

"Adik Mat Komando," kata suara di hujung talian.

"Kelulusan Polis Bukit Aman, hanya dengan kelulusan pihak berkuasa, paparan boleh ditayangkan," jawab saya.

"Kalau kisah itu diungkit, mesti akan aibkan keluarga kami," jelasnya.

Menurutnya, dia memperoleh nombor telefon saya daripada rakannya.

"Saya tak terbabit dengan program (Kes) tu," jawab saya.

"Tetapi itu rancangan TV3, kan?," soalnya kembali.

"Ya, masalahnya TV3 bukan saya. Nanti awak tanya dengan TV3 kalau nak tahu tentang program tu," kata saya.

Dia terdiam. 

"Kisah Mat Komando pernah disiarkan berulang kali dek akhbar sebelum dan selepas dia meninggal dunia. Adakah akhbar meminta kebenaran daripada awak sebelum berita dicetak?," soal saya.

Dia terdiam sekali lagi.

"Penjenayah seperti Botak Chin pun masuk surat khabar, masuk TV juga," sambung saya.

Dia kemudian memutuskan perbualan.

Nama sebenar Mat Komando, Ahmad Mohd Arshad, 37 tahun dan dia dilaporkan mula terbabit merompak antara mangsanya, pemborong kelapa sawit, pengurup wang dan bank komersil di Malaysia bermula pada tahun 2001.

Gengnya digelar 'Kumpulan 13' dan polis mengambil masa 255 hari mejalankan Ops Api Sawit 2 sebelum berjaya menembak mati penjenayah terbabit di pondok di bawah pada subuh 12 September 2002 di Kampung Hujung Keton, Alor Star, Kedah.


Geng Kumpulan 13 terbabit dalam 52 kes samun membabitkan kerugian wang tunai lebih RM5.2 juta, 2 kes mencuri motosikal dan kes cubaan membunuh.

Polis berjaya menangkap 9 daripada ahli kumpulan sama manakala 4 lagi mati ditembak termasuk ketua mereka, Mat Komando.

Bekas anggota komando itu dikatakan memiliki ilmu selisih, berupaya memboloskan diri tanpa disedari pihak berkuasa dan pada masa sama dia juga didakwa kebal.

Hemat saya, kisah Mat Komando harus ditayangkan untuk ditonton masyarakat khususnya generasi muda agar mereka tidak mengulangi kesilapan dilakukan penjenayah terbabit.

Saya difahamkan, selepas ditembak mati, polis menemui wang tunai RM50, sekotak rokok Marlboro ditubuhnya dan pistol.

Saksikan Kes, Rabu, jam 9 malam di TV3!

Melancong 20 Hari Dengan Kos RM7.40!

Salam kepada semua pembaca.

Majoriti pembaca setia blog ini pasti tahu, saya baru sahaja pulang daripada menjalankan tugasan di Pengerang, Johor.

Sewaktu berada 3 hari di sana, secara tidak sengaja saya memperoleh maklumat berguna untuk dikongsikan bersama semua dan juga pihak berkuasa.

Berikut kisahnya.

Dimaklumkan, setiap hari purata 100 warga asing dari Indonesia berkunjung ke Johor sebagai 'pelancong' dan mereka memasuki negara ini secara sah melalui Jeti Pengelih. Kesemua mereka memiliki passport dan visa pelancong atau dikenali sebagai pas lawatan sosial. Pas lawatan sosial tidak membenarkan warga asing bekerja di negara ini.

"Baru baru ini Jabatan Imigresen tahan dia orang tu, sebab itu kebelakangan ni 'senyap' sikit. Dua minggu sebelum kejadian, mak cik tengok setiap malam mesti ada satu bas dan 4 van mengangkut dia orang keluar dari jeti. Peliknya, bot tiba malam dan kenderaan bergerak apabila hari gelap, selepas pukul 7 malam," ujar peniaga berusia 52 tahun saya temui.

"Malam semalam ramai masuk, rasanya malam ini pun sama," celah anak remaja lelakinya.

Benar jangkaan itu.

Jam 7 malam, 25 Oktober lalu, saya mengekori 2 van membawa 'pelancong' dari negara jiran. Jika anda menyaksikan rakaman 999 disiarkan malam tadi, pasti semua tahu, majoriti warga Indonesia ditemubual krew saya, jelas menyatakan, mereka datang untuk bekerja dan sudah mempunyai majikan.

"Berapa bawa duit datang melancong 20 hari?," soal saya kepada warga asing berusia 24 tahun.

"Dua puluh ribu Rupiah," jawabnya.

RM7.40 sen nilainya dalam matawang kita.

Wow! Melancong 20 hari dengan kos RM7.40, hairan?

"Kekadang, dia orang datang sini, langsung tak bawa duit pun ada sebab memang dia orang nak bekerja," ujar anggota polis saya temui.

Difahamkan, mereka membayar RM1,600 setiap seorang kepada ejen untuk menguruskan kemasukan ke Malaysia. 

Jelas, mereka bukan pelancong.

Malangnya apabila saya menghubungi Pengarah Jabatan Imigresen Johor pada malam sama, beliau mengatakan, offence is not being comitted yet. Maksudnya 'pelancong' terbabit tidak boleh ditahan kerana mereka bukan sedang bekerja sekaligus, secara fizikal  tidak menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Betul, persoalannya, tidakkah wajar jika status mereka didisiasat berdasarkan rakaman pengakuan dibuat? 

Analoginya begini.

"Malam ni aku nak pergi pecah rumah Hamid, " kata Jijan kepada Halim.

Rakan Halim, Sulaiman terdengar kenyataan itu kemudian bertanya kepada Halim.

"Mengapa tak siasat dan pantau pergerakan Jijan? Manalah tahu dia betul nak pecah rumah Hamid malam ni?"

"Jenayah belum berlaku," balas Halim.

Jika benar dakwaan peniaga saya temui, dicongak, dalam tempoh sebulan, purata 3,000 pekerja haram membolosi sempadan negara kita secara sah.

Khamis, Oktober 28, 2010

Tumpang Helikopter?

Ahad ini, saya akan berangkat ke Padang, Indonesia menaiki pesawat pada jam 7.50 pagi. 

Setakat ini BERNAMA melaporkan lebih 300 terkorban akibat gempa bumi dan tsunami melanda pada 25 Oktober lalu manakala 500 lagi dilaporkan masih hilang.

Perancangannya, dari Padang, Sumatera saya bakal menyertai pasukan Mercy, menaiki bot selama 12 jam sebelum dijangka tiba di Kepulauan Mentawai, Sumatra Barat. 


Jika berjaya tiba di lokasi tragedi, saya percaya tiada pemandangan indah bakal dirakamkan jurukamera warga Indonesia, Glenn Joshua Tangkah. Saya pernah bertugas bersama Glenn sewaktu membongkar kes penjualan bayi di Kampung  Beting, Jakarta, 7 bulan lalu.

"Pasukan ke dua mungkin akan pergi ke Mentawai pada hari Ahad. Kita sewa bot sebab bahaya untuk tidur di dalam bangunan, takut gempa bumi terjadi lagi," ujar pegawai saya hubungi.

2 petugas Mercy dilaporkan tiba di Padang pagi semalam.

"Ada doktor akan balik awal, pada 8 November," ujar pegawai sama.

Biar saya kongsikan sedikit kerunsingan bersama pembaca. Waktu liputan saya terhad, saya harus pulang ke Malaysia pada 6 Oktober. Maksudnya, saya tidak akan berpeluang pulang bersama bot sama kerana kakitangan Mercy selebihnya dilaporkan akan berada di Mentawai selama 2 minggu.

"Kita cuba tumpang helikopter atau kapal tentera laut Indonesia," ujar Glenn sewaktu dihubungi melalui telefon semalam.

Itu alternatif saya.

"I hope it would work," balas saya kepada Glenn.

Kali ini saya membawa misi liputan 7 hari Majalah 3, M3.

Wartawan M3, Nurul Fariha On akan berangkat ke Jawa Tengah, membuat liputan berhubung kesan letupan Gunung Merapi, 26 Oktober lalu kepada masyarakat tempatan.

Rintihan, kesedihan, tangisan dan kematian, saya akur, itu bakal kami saksi dan rakamkan.


Sesungguhnya bencana melanda tidak mengenal usia, bangsa dan agama mangsa.

Apapun, semua itu tugas saya, melaporkan kejadian sebenar berhubung hitam putih kehidupan manusia. Saya akan melupakan kepenatan dan tekanan buat seketika.

Pembaca hanya perlu duduk selesa di sofa dan menonton hasilnya, InsyaAllah.

Doakan perjalanan ini diberkati Allah dan saya selamat pergi dan kembali dengan bingkisan bakal dikongsi.

Nota

Beliau berpengalaman dalam bidang penyiaran, antara senior amat saya hormati di TV3.

"Bila dah siap, bagi tahu," pesan saya kepadanya.

"Ok, Dul," balasnya.

Itu kenyataan ringkas Mazlin Nordin atau lebih dikenali sebagai Chik Inn di pejabat. Majoriti peminat program TV3 pasti mengenali wajah beliau.

"Chik Inn lain, assignment di London dan Jerman. Saya, paling jauh di Cheras, Port Klang," usik saya.

Beliau hanya ketawa mendengar usikan sebegitu.

Ya! Mazlin telah menunaikan janji beliau untuk menjadi blogger. Saya yakin pelawat blog ini akan memperolehi pelbagai ilmu bakal dikongsi insan bernama Mazlin Nordin.

Chik Inn, happy writing!

Ikut Resmi Padi ( Kisah 2 Jutawan Jelita Dan 'Bob' )

Tepat jam 10.30 malam tadi program Hujah dipancarkan TV9 secara langsung dari Studio C, Sri Pentas. Saya bersama 3 tetamu, Salha Md Zain, jutawan muda, Akmar Hanif dan Elynn Hanif mengupas tajuk 'Fenomena Facebook'.

Biarpun berstatus jutawan, hemat saya, dua beradik, Akmar dan Elynn bersikap merendah diri. Selain itu, keduanya mudah mesra dan didekati biarpun ketika bergaul bersama individu tidak hidup semewah mereka, seperti saya.

Buktinya, mereka memiliki beberapa telefon bimbit, saya hanya ada SATU sahaja.


Hujah minggu hadapan akan membawa tajuk lebih 'panas', 'Gerakan Anti Gay'. Jangan lupa untuk menyaksikannya.


[ Gambar: Elynn dan Akmar]

Menyentuh sikap merendah diri, saya tidak dapat lari daripada mencatatkan komen berhubung 'Bob', saya temui ketika krew 999 melaksanakan tugasan di Pengerang, Johor.

Sikap beliau menawan hati semua.

Lihat gambar berikut ...

Bob bersama krew 999 merempuh ombak Laut China Selatan.


Bob membantu mengalihkan batu ketika kenderaan kami tersekat pada jam 3.25 pagi.


Bob sanggup berjaga, menjadi co-pilot ketika krew 999 duduk di belakang, tidur nyenyak pada jam 4.46 pagi.


Bob tenang menunggu penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor hampir 7 jam bersama kami sebelum pihak berkuasa terbabit memberkas 29 warga Indonesia.


Of course, Bob bersama kami setiap kali menjamah hidangan enak.


Bob barangkali bosan menunggu kami menyelesaikan tugasan di Balai Polis Pengerang pada jam 2.22 pagi namun tetap bersabar untuk memastikan misi kami berjaya disempurnakan. 


Bob atau nama sebenar beliau, Hj Zulkifli Mat Rawi, pegawai media kepada bekas menteri pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman, kini Ahli Parlimen Pengerang.


Sebagai pegawai media, Bob lazimnya berpenampilan berbeza, berkemeja lengan panjang, berseluar slack dan melaksanakan tugas dalam keadaan lebih selesa. Namun sewaktu menempuh 3 hari 'kritikal' bersama kami, beliau tidak kekok berseluar jeans dan berkemeja-T. Bukan itu sahaja, dalam tempoh 48 jam, Bob hanya berpeluang melelapkan mata kurang 4 jam serta berkongsi kenderaan sempit bersama kami. 

Biarpun penat melaksanakan tugasan, melihatkan sikap rendah diri beliau, jiwa kami bagai dihembuskan semangat kental.

Rumusannya, benar kata orang tua, ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi bukan seperti ayam, bertelur sebiji, riuh sekampung.

Bob juga blogger tetapi barangkali berikutan kekangan masa, jarang blog beliau dikemaskini sebelum ini.

Justeru, semangat dihembuskan Bob sewaktu kami berada di Johor, saya hembuskan kembali kepada pegawai berusia 32 tahun itu.

Semangat itu dibuktikan dengan tampalan terbaru beliau di blognya, Warisan Bonda.

Saya percaya, biarpun dihimpit ruang masa terhad, Bob sudi berkongsi pelbagai pengalaman pahit manis beliau bersama semua pembaca blog ini di masa akan datang.

Nota

Sahabat saya, penganalisis jenayah, Kamal, menulis tampalan menarik ini di blog beliau. Hemat saya, penting kita bersama memahami intipati tulisan beliau.

Rabu, Oktober 27, 2010

Kasihan Mereka (Updated)

Saya telah lama deactivated akaun Facebook dan tiada masalah dihadapi berikutan tindakan itu.

Namun saya percaya ramai sukar melakukan tindakan sama.

Mereka terlalu obses dan ketagihan Facebook.

Kasihan.

Nota

Lelaki berusia 60 an dilaporkan ketagih bermain poker di Fb, hampir 24 jam sehari. Minggu lalu, dia kemudian dikatakan membeli 10 juta cip daripada warga Sabah tidak dikenali dengan harga RM350. Bayaran dijelaskan melalui pemindahan wang tunai melalui akaun bank. Wang terbabit sepatutnya digunakan untuk membayar bil telefon dan barang dapur.

Dia kemudian ditipu. Wang tunai dibayar, pemindahan cip tidak berlaku.

Sekarang, dia pening kepala.

Selasa, Oktober 26, 2010

Kenapa Mahu Gari? (UPDATED)

Jam 6 pagi ini, saya dan krew 999 baharu berpeluang berbaring dan berehat selepas bekerja lebih 24 jam.

Tubuh saya berasa penat bukan kepalang. Dari jam 4 pagi semalam kami mejalankan tugasan amat istimewa.

Tanggal 25 Oktober.

Jam 7 malam ...

2 van kami ekori dari Kompleks Jeti Penumpang Marina Awam Tanjung Pengelih, Johor. 

Jam 8 malam ...

"Kali pertama saya ke mari menggunakan permit kerja ladang di Kahang. Selepas 2 tahun saya penat lalu kembali ke Lombok. Tiga tahun di Lombok, saya datang semula ke sini dan bekerja di ladang sama, permit 3 tahun tetapi cuma kerja 2 tahun sahaja," ujarnya.

"Kali ini mahu ke mana?," soal saya sambil perbualan dirakamkan jurukamera 999.

"Kerja di ladang sama di Kahang," balasnya.

"Permit ada?," tanya saya.

"Tidak ada, hanya menggunakan visa melancong," balasnya.

Jam 2 pagi ...

30 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Johor.

Jam 2.28 pagi ...

Lelaki India berusia 53 tahun berikut ditahan dan cuba meronta berulang kali.



"Apa salah saya? Kenapa mahu gari?," soalnya.

Saya tidur sekejap dan jam 9.30 pagi, saya dan krew akan menghadiri sesi 'istimewa' bersama ahli parlimen Pengerang berhubung kes ini.

Sabar.

Update

Ahad lalu, jam 1.30 pagi, saya, penerbit 999, Shahnun Hanif dan jurukamera tiba di Pengerang, Johor.

Kami kemudian meninjau perairan Sg. Rengit dan Teluk Ramunia, dilaporkan lokasi keluar dan masuk warga Indonesia membolosi sempadan negara. Responden, 24 tahun, bekas tonto tekong darat ditemubual.

"Satu bot boleh naik 50 orang ke Batam, setiap kepala, tekong caj RM50 dan semalam mereka buat 3 trips. Pendapatan 1 malam, purata RM7,500"

Maksudnya, wujud sindiket melelong maruah negara terutama pada musim perayaan.

Lebih menarik, saya dan krew berpeluang mengejar 2 van dinaiki warga Indonesia pada 26 Oktober, jam 7 malam.


Barangkali menyedari kami mengekori kenderaan mereka, pemandu membelok ke Balai Polis Pengerang. Pantas saya menghampiri mereka dan majoriti daripada 30 warga Indonesia itu mengaku memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial untuk melancong.


"Berapa banyak wang kamu bawa?," soal saya.

Gementar, lelaki Indonesia berusia 25 tahun menjawab ...

"Dua puluh ribu rupiah untuk tinggal bersama paman di Bangi selama 20 hari," jawabnya.

20,000 rupiah bersamaan RM7.40, maksudnya dia hanya mampu berbelanja 37 sen sehari bagi menampung kehidupannya selama tempoh berada di negara ini.

Di luar balai, bas sewa sedia menanti. Polis kemudian menahan pemandu bas dan 2 pembantu berbangsa India untuk siasatan.

Apakah tindakan penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor terhadap warga asing terbabit?

"Offence is not comitted yet kerana mereka bukan ditahan semasa bekerja," ujar Pengarah Jabatan Imigresen Johor semasa saya hubungi melalui telefon.

"Persoalannya mereka semua sudah mengaku secara terang-terangan akan bekerja di sini malah menamakan majikan dan lokasi ladang mereka bakal bekerja. Tidakkah mereka boleh ditahan?," hujah saya.

Di situ bermulanya satu pertikaian.

Terima kasih khususnya kepada pegawai media, MP Pengerang, Zulkifli Mat Rawi, banyak membantu dan menghulurkan kerjasama sewaktu kami menjayakan tugasan.


Perincian tugasan boleh anda saksikan di 999, Khamis, 28 Oktober 2010 di TV3.

NOTA

Saksikan program bual bicara secara langsung, 'Hujah', jam 10.30 malam ini di TV9.

Tajuk, 'Fenomena Facebook'.

Thanks.

Isnin, Oktober 25, 2010

Kubu Tanpa Tembakan : Lambang Kegagalan Tentera British

"Masa tu pak cik baharu lahir, tahun 1942, 3 tahun lepas itu Jepun menyerah kalah," ujar Abdullah Mantek. 

Nelayan pantai berusia 67 tahun, dilahirkan di Kampung Lepau, Pengerang, Johor terbabit saya temui di gerai menjual makanan miliknya berhampiran Jeti Tg. Pengelih.

"Saya tak pandai sangat dalam sistem baharu ni (matrik) tetapi keluasan Pengerang Battery ni saya anggarkan dalam 10 ekar. Sekarang ni cuma ada dalam 20 (struktur) masih berdiri," tambahnya.

Saya berasa amat bertuah berpeluang meninjau kubu pertahanan peninggalan Britisah, Pengerang Battery dibina sebelum Perang Dunia ke II  ketika mendapat perkhabaran kebarangkalian tentera Jepun bakal menyerang Malaya melalui Johor dari Singapura. Menurut sumber, kubu terbabit dilaporkan siapa dibina sebelum tahun 1936. 

Kos pembinaan kubu di lokasi strategik menempatkan senapang dan meriam di Bukit Pengerang itu dianggarkan 60,000 Pound Mark namun dilaporkan tidak satu tembakan dilepaskan dari lokasi terbabit kerana tentera Jepun memasuki Malaya melalui Kota Bharu, Kelantan.

Berikut beberapa gambar saya dirakamkan di lokasi sama.

 
Khabarnya, delegasi dari Johor pernah cuba membongkar sejarah Pengerang Battery tetapi pihak British enggan memberikan kerjasama.
 
Barangkali kerana kubu terbabit, legasi kegagalan tentera mereka 74 tahun lalu.

Untung RM75,000 Dalam Tempoh 12 Jam

Gambar saya bersama 'Bob' berikut dirakamkan pada jam 2.29 pagi tadi.


Penerbit 999, Shahnun Hanif Suhaimi, berbincang bersama beberpapa responden pada jam 2.40 pagi.


Manakala jurukamera bertugas sibuk merakamkan visual pada jam 2.44 pagi.


Cerita hantu? Tidak. Paparan sedang kami sediakan berhubung sikap segelintir manusia keparat, 'melelong' maruah negara sendiri.

Lokasi? Tidak dapat saya umumkan setakat ini. Kepada pambaca mungkin mampu mengecam tempat visual dirakamkan, diamkan diri kerana maklumat berhubung lokasi tidak akan dicetak di ruangan komen.

Fakta mengejutkan saya, mereka terbabit dalam kegiatan bakal dibongkar dilaporkan mampu mengaut keuntungan RM75,000 dalam tempoh kurang 12 jam.

Ahad, Oktober 24, 2010

Dibayar Untuk Tidur?

Jumaat lalu, jam 2 pagi, berulang kali hon kereta dibunyikan ketika tetamu berkunjung ke kawasan perumahan berpagar cuba keluar.

No response at all.

Pengawal keselamatan tertidur.


Jam 6 pagi tadi, dia tidur sekali lagi.

Fakta sukar disangkal, pengawal keselamatan dan tidur semasa bertugas tidak dapat dipisahkan. Perlakuan sering berlaku serta sukar dielakkan.

Kita semua akur, mereka manusia, berasa penat dan mengantuk.

Justeru, di pelbagai lokasi, kita sering melihat keadaan seperti gambar di bawah. Pengawal keselamatan terlentuk, tidur nyenyak. 


Hemat saya, jika wujud sikap bertanggungjawab, situasi sebegini tidak timbul.

Tidur tidur ayam, lumrah, tidur mati sehingga menyukarkan orang lain?

Sabtu, Oktober 23, 2010

Berpelukan Di Kedai Mamak

Saya menegur perlakuan mereka 2 minggu lalu tetapi tiada perubahan.

"Kalau dah kahwin, balik rumah dan berpeluk puas-puas. Bukannya di kedai mamak. Jagalah sikit perbuatan tu," ujar saya.

Sakit mata memandang gelagat pasangan terbabit. 

Hanya mereka berdua menonton televisyen di skrin besar di kedai mamak pada jam 2.30 pagi tadi sewaktu sekali lagi saya bertembung dengan pasangan sama.


Menyedari kehadiran saya, pelukan direnggangkan. Saya akur, orang muda mabuk bercinta tetapi perlakuan itu tidak bersesuaian, tambahan pula premis sama dikunjungi orang tua.

Nasihat sudah, diperingatkan sudah tetapi tetap tidak berubah.

Jika dilempang, buat laporan polis pula.

Payah.

MB Berbogel Untuk RM50 (Pelawat Berusia 18 Tahun Ke Bawah DILARANG Membaca)

Ini mikrofon.


Ini kamera di dalam closet di bilik.


Berikut net book bersedia merakamkan visual. 


Jam 12.46 malam tadi Money Boy, MB tiba di bilik bersama jurukamera, Raja Ansari Alwi, 43 tahun menyamar pelanggan.

MB, lelaki biseksual berusia lingkungan 20 an, menawarkan khidmat seks kepada pelanggan lelaki dan perempuan dengan bayaran tertentu.

Pendedahan berani berhubung kegiatan MB ini dicadangkan wartawan, Hazlin Hussain 2 minggu lalu. Krew lain sekadar membantu pengacara 999 itu melaksanakan tugasannya.

"Dia cuma minta bayaran RM50 sahaja," ujarnya.

"Murahnya?," soal saya terkejut.

"Sebelum ini dia nak check in di bilik berharga RM22 untuk 2 jam," tambah Hazlin.

Bagaimana pun saya tidak mempersetujui cadangan itu kerana hotel terbabit tidak mempunyai closet berkedudukan sesuai untuk kami meletakkan kamera di posisi 'selamat'. Manakala majoriti hotel bertaraf 3 bintang ke atas di ibu kota, full house, dihuni bih 4,000 perwakilan dan pemerhati menyertai Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Untuk rekod, sebelum ini program 360 pernah membuat pendedahan berhubung kegiatan gay menawarkan khidmat sama tetapi caj dikenakan untuk pakej urutan dan seks lebih mahal, RM350. 

Selepas memasuki bilik, MB pantas mandi dan membersihkan dirinya sebelum meminta Ansari berbaring untuk diurut. Kurang 5 minit mengurut kaki menggunakan lotion, dia kemudian bertindak 'memanjat' ke bahagian tubuh atas 'pelanggan' berada dalam kedudukan meniarap.

"Dia bogel bang, underwear pun tak pakai! Geli!," ujar Ansari terkejut.

Melalui rakaman audio dan visual, terbukti kenyataan terbabit benar.

"Lin tak sanggup nak tengok," ujar Hazlin selepas memprebiu visual rakaman.

Untuk mematuhi etika kewartawanan, 999 tidak berhasrat mendedahkan identiti sebenar dan visual MB berbogel. Bukan tujuan kami untuk menjatuhkan maruahnya biarpun dia sanggup melelong harga dirinya hanya kerana wang tidak seberapa.

MB dilaporkan berasal dari Kuantan, Pahang dan mendakwa putus tunang kira-kira 3 tahun lalu. Berikutan kekecewaan dialami, dia mengambil keputusan mengadai maruahnya kepada kedua jantina.

"Upah urut RM50 tetapi kalau nak seks, pelanggan boleh bayar berapa dia suka. Kalau kena customer kedekut, bayar RM20 pun ada," keluh MB.

Dia juga mendakwa pernah mengadakan hubungan seks bersama beberapa VIP dan  sanggup melakukan apa sahaja aksi untuk memuaskan nafsu seks pelanggannya. 

"Kalau dengan pelanggan lelaki, dia top, bottom atau flexi(ble)?," tanya saya kepada Ansari.

"Dia semua bang tetapi bernafsu juga terhadap perempuan," jawabnya.

Semasa merakamkan visual MB tiba di lokasi, Hazlin berbisik kepada saya.

"Dia pakai baju dan seluar sama waktu kita orang jumpa dia dekat bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL semalam," katanya.

Hemat saya, MB mungkin dihimpit masalah kewangan lantas terdesak untuk mencari duit. Jika tidak, mana mungkin dia sanggup berpakaian sama selama 2 hari berturut-turut, apatah lagi sewaktu bertemu 'pelanggannya'. Barangkali, MB tidak hidup semewah sebilangan lelaki gay bekerjaya lebih kurang sama.

Sewaktu MB ditemui krew 999 pada malam 21 Oktober lalu, dia dikatakan berjalan mundar-mandir di sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan mendekati setiap kenderaan dipandu perlahan. Pemandu fikirnya, mungkin prospect client.

Jam 1.20 pagi, Hazlin dan krew menerima missed call daripada Ansari, isyarat rakaman audio dan visual di bilik selesai. Lalu penerbit 999, Shahnun Hanif Suhaimi menghubunginya semula dan memaklumkan Ansari  kononnya rakan jurukamera itu terbabit dalam kemalangan jalanraya dan dia terpaksa bergegas ke hospital.

Saya terlihat kelibat MB sewaktu dia menahan teksi untuk pulang ke Kuala Lumpur. Jelas, dia bukan lelaki lembut tetapi bertubuh tinggi dan agak kurus.

Melalui pengamatan saya, tugasan kali ini mendebarkan Hazlin tetapi melihatkan senyumannya sewaktu tugasan berakhir pastinya dia mempunyai sesuatu istimewa untuk dipaparkan kepada penonton di episod bakal diumumkan tarikh siarannya kelak.


Nota

Sorry to hear the bad news, blogger Azrul ditimpa kemalangan jalanraya. Semoga tulang tapak kaki patah cepat sembuh. Mujur bukan patah hati. Saya percaya Miss Sakura nya, insan baik dan beradap seperti Azrul.

Jumaat, Oktober 22, 2010

Roti Canai 30 sen

31 tahun lalu, ketika berusia 12 tahun, jika ingin makan roti canai, saya terpaksa berbasikal sejauh 3 batu untuk ke kedai mamak di pekan terdekat, Slim Village, berhampiran Slim River di Perak.

Jalan ke pekan cowboy terbabit, sunyi, bengkang-bengkok dan berbukit. Separuh jalan, tubuh berpeluh dan kaki lenguh mengayuh basikal.

Tiba di restoran ...

"Mamak, roti canai 3," pesan saya.

Pantas mamak akan menguli roti canai, menebar dan memasaknya. Usah bayangkan peluh mungkin menitis di kuali leper.

"90 sen," ujar mamak sambil menghulurkan roti canai dibungkus.

Gembira, saya mengayuh semula basikal balik ke kampung dan berkongsi makanan bersama abah dan emak.

Jarak total perjalanan pulang balikm 6 batu dengan kos roti canai hanya 90 sen sahaja.

Kini untuk makan pizza, anak saya berusia 12 tahun hanya mengangkat telefon dan membuat pesanan.

"One regular and one large pizza"

Kurang 30 minit menunggu di rumah dalam keadaan selesa, pizza dihantar.

RM62.80 harganya.

Mudahnya kehidupan anak berusia 12 tahun sekarang.

Anis Dah Malas Bercinta

Usia gadis itu,  27 tahun.

"Anis dah malas bercinta. Jumpa lelaki, kenal dua tiga tahun, putus. Jumpa lain pula, putus lagi. Banyak masa terbuang, membazir. Betul kata orang tua, bertemu tidak semestinya bersatu. Jadi sekarang ini, Anis tunggu sahaja lelaki masuk meminang dan terima," katanya.

"Tetapi kalau dipinang dan terus terima, mungkin ada masalah juga sebab kita tak tahu hati budi lelaki itu," celah saya.

Barangkali itu antara dilema didepani ramai gadis masa kini, mendakwa kecewa akibat gagal dalam percintaan sekaligus perhubungan dijalin dalam tempoh lama tidak membawa pasangan ke jinjang pelamin.

Kerap kali, jika usia gadis mencecah 30 tahun dan masih tidak memiliki pasangan, kebarangkalian dia mendirikan rumahtangga semakin tipis.

Lalu mereka terpaksa bergelar 'andalusia', anak dara lanjut usia, status digeruni  majoriti gadis Melayu.               

Sukarnya menjadi perempuan berbanding lelaki.

Lelaki memilih, perempuan dipilih, itu kelazimannya.
                                   

Khamis, Oktober 21, 2010

Indon Dan Nepalese Membuat Laporan Polis Terhadap Saya

Siang semalam saya terlalu sibuk membuat persediaan untuk mengacarakan program siaran secara langsung, 'Hujah' disiarkan pada jam 10.30 malam di TV9.

Sedang saya mentelaah dan menyiapkan senarai soalan bakal diajukan kepada 2 tetamu berstatus doktor, jam 8.30 malam telefon bimbit saya berbunyi.

Pegawai Penyiasat, Investigating Officer, IO Bahagian Siasatan Jenayah, Petaling Jaya, Selangor menghubungi saya.

"Assalamualaikum bang. Saya Inspektor XXXXXX. Abang boleh datang jumpa saya untuk ambil statement sekejap?," soal beliau.

"Indon dengan Nepalese tu buat report ke Tuan?," tanya saya.

"Ya, pukul 5 lebih tadi," jawab beliau.

"Tuan, saya ada live program 'Hujah' di TV9, pukul 10.30 sampai jam 11 malam. Kalau selepas itu saya datang ke balai jumpa Tuan boleh?," tanya saya.

"Boleh," kata beliau.

"Tak lewat sangat ke Tuan?," tanya saya.

"Ok. InsyaAllah saya ada dan tunggu di office," balasnya.

Mendengar intonasi suara, saya yakin IO terbabit masih muda tetapi cukup hormat sewaktu menghubungi saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan bertemu beliau 90 minit sebelum siaran langsung kerana mengelakkan beliau terpaksa menunggu sehingga lewat malam untuk merakamkan kenyataan saya. Saya faham tugas beliau sebagai IO mungkin bermula sejak daripada awal pagi, pastinya IO itu penat.

Saya memaklumkan kepada penerbit 'Hujah', tujuan dan hasrat saya ingin ke balai polis. 

"Bang, kalau boleh tolong minta pegawai tu jangan tangkap abang sebelum pukul 10.30 malam ya, nanti siapa nak jadi pengacara 'Hujah' malam ni," ujar penerbit, Nurul Rodhiah Zulkifli bimbang.

Maklumlah, itu kali pertama Nurul menerbitkan program terbabit tetapi saya hanya mampu tersenyum sebelum beredar. 

Kurang 10 minit memandu, saya tiba di pekarangan Balai Polis Mutiara Damansara.

"Tuan ada di bilik, kalau tak ada, dia di bilik air," ujar Sarjan berbangsa Sikh saya temui.

Kurang 15 saat, IO terbabit keluar dari bilik air dengan tangan dan wajah dibasahi air wuduk.

"Bang, boleh bagi saya 5 minit (untuk solat)," tanya beliau.

"Ambil 10 minit Tuan, no problem," balas saya.

Saya kemudian masuk ke bilik Sarjan dan berbual bersamanya, dia kenalan lama. Sebaik selesai mengerjakan solat, IO terbabit datang menemui saya dan bersama kami kemudian masuk ke bilik beliau.

Saya menceritakan kejadian sebenar.

"Tiada sebab saya ingin memukul teruk mereka. Kenderaan Kancil dilanggar dek pemandu Indon tu bukan kereta saya Cuma saya terfikir, pemilik kereta Kancil lazimnya bukan orang kaya. Kalau pemandu lari, kasihan dia, terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk memperbaiki kerosakan kenderaannya akibat kecuaian orang lain"

Beliau mendengar sambil menaip laporan menggunakan komputer meja.

"Semasa pemandu cuba melarikan dan berada di jalan utama, mujur lampu isyarat merah. Saya meminta dia memberhentikan lori dan turun tetapi bimbang jalan sesak. Saya cakap  tinggalkan contact number dan namanya agar mudah dia dihubungi pemilik kereta dilanggar namun dia berdegil. Lalu saya mengarahkan pembantunya turun. Malangya pekerja warga Nepal tu mendiamkan diri. Saya menariknya keluar, dia meronta kuat dan berulangkali sikunya terkena dada saya namun saya tidak bertindak balas. Dengan kudrat saya menariknya ke kedai mamak berhampiran sementara menunggu lori diparkir di tepi jalan"

Beliau khusyuk mendengar sambil memerhatikan saya melakarkan lokasi kejadian.

"Saya tidak menumbuk mereka, hanya melempang sekali seorang, itu pun bukan kuat sehingga mencederakan. Kalau kuat mesti berbekas lima jari di muka. Lagi pun saya tahu jika mereka tercedera, saya boleh dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Tujuan saya hanya sekadar mengingatkan mereka supaya tidak lagi memandu secara melulu dan berbahaya di kawasan perumahan dan di jalan utama digunakan pelajar untuk ke sekolah rendah berhampiran pada awal pagi.  Kalau di jalan sempit dia selamba memandu sebegitu, di jalan besar mungkin boleh dituduh mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika tidak, masakan boleh terlanggar kereta diparkir, statik. Lagi satu kalau dah terlanggar kereta orang, berhenti dan tinggalkan maklumat diri untuk dihubungi, bukan melarikan diri," sambung saya.

Terfikir, jika cara pemanduan sama dipraktikkan warga Malaysia berkunjung ke Indonesia, pasti buluh runcing terpacak di dada mereka. Selepas itu berduyun warga mereka melakukan demonstrasi membaling najis ke bangunan Kedutaan Malaysia sambil membakar bendera Kebangsaan.

45 minit sebelum siaran langsung bermula saya memohon untuk beredar. Sebelum itu saya diminta menandatangani laporan ditaip beliau.

"Terima kasih bang," kata IO terbabit sambil tersenyum.

"Terima kasih Tuan. Sebarang tindakan atau perkembangan mohon Tuan hubungi saya nanti," ujar saya.

Pembaca dihormati.

Selama 10 tahun saya mengendalikan program 999, pelbagai kejadian jenayah membabitkan warga asing, khususnya dari Indonesia saya saksikan. Sebilangan mereka antaranya  terbabit membunuh, merompak, menyamun, melakukan jenayah kekerasan, merogol, mencabul, mengedar dadah, melacur dan meragut di negara saya cintai ini.

Justeru, jika tindakan diambil terhadap saya, InsyaAllah tiada sesalan bakal tercetus di dalam diri. Saya yakin, saya melakukan tindakan benar pada saat kejadian berlaku. Lagipun, mereka berada di sekeliling saya pada waktu itu hanya sekadar penonton, bystanders sahaja.

Berikutan laporan pols dibuat mereka, biar saya perkenalkan kepada pembaca semua, wajah warga asing cuba mencalarkan keharmonian kawasan berhampiran tempat tinggal saya.


Saya tidak pernah dilatih membiarkan tindakan kurang ajar segelintir warga asing berlaku di hadapan mata tanpa bertindak sekaligus mengingatkan mereka ...

Ini negara ku, tempat tumpah darah ku, lalu usah sesekali terfikir mempamerkan 'kuasa' kononnya ini negara kamu!

Demi Allah, aku tidak akan membenarkan itu berlaku.

Nota

Terima kasih khususnya kepada Puan Liza sekeluarga dan semua sudi menonton 'Hujah' malam tadi. Tajuk minggu hadapan, 27 Oktober, jam 10.30 malam di TV9, 'Baik Buruk Facebook'.

Rabu, Oktober 20, 2010

Ampun Encik! Ampun Dari Hujung Rambut Sampai Hujung Kaki!



Berulang kali saya terlihat lori penghantar ais batu ini dipandu laju di kawasan perumahan ketika pelajar sekolah menggunakan jalan sama pada awal pagi. Namun saya tidak berpeluang bersemuka dengan pemandunya.

Jam 8 pagi tadi selepas membeli nasi lemak, saya berhenti untuk sarapan pagi di kedai mamak berhampiran dan memakir kereta di laluan berhampiran kedai runcit warga Aceh, lokasi ais lazim dihantar.

"Pin! Pin! Pin!"

Hon dibunyikan pemandu lori. Lalu saya bergegas menghampiri lori terbabit.

"Saya tengok banyak kali awak bawa lori macam kawasan ini litar lumba. Orang mana?," soal saya kepada pemandu.

"Orang Malaysia," jawabnya.

"Loghat Indonesia, mengaku orang Malaysia," saya 'memancing'.

Pantas dia membalas.

"Saya orang Minangkabau dari Indonesia tetapi dah jadi PR (Penduduk Tetap)"

"Kalau dah jadi PR, suka hati kau lah nak bawa lori laju di kawasan perumahan?," tanya saya kepada pemandu berusia 53 tahun itu.

"Pembantu awak orang mana pula?," soal saya lagi.

"Nepal," jawabnya ringkas.

Tanpa menghantar ais, dia beredar, memandu lorinya laju mengelilingi deretan kedai berhampiran.

Pagi tadi dia malang.

Tiba-tiba dia terlanggar kereta kancil diparkir di kawasan sama. Menyedari kemalangan berlaku, dia kemudian memecut lorinya keluar ke jalan utama.


Melihat tindakannya itu, saya mengejar dan memintas lori di lampu isyarat dan mengarahkan pemandu berhenti tetapi dia enggan. Lalu saya terpaksa menarik pekerja Nepal itu keluar dari lori. Dia meronta dan saya meminta pekerja berusia 35 tahun itu bertenang namun dia tidak mengendahkan arahan itu. Saya terpaksa 'menenangkannya' dengan kaedah tersendiri.


Pemandu kemudian memakir lori di tepi jalan dan saya melepaskan pembantunya kelihatan kemengahan.

"Awak langgar kereta orang, jangan lari. Tinggalkan nombor telefon di cermin hadapan kereta dan pergi buat repot polis," jerit saya geram.

"Ampun encik! Ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki!," rayunya.

Dia kemudian mencapai kertas dan pen dari dalam lori dan menulis maklumat diperlukan lalu meletakkan kertas terbabit di cermin hadapan kereta dilanggar.


Kereta kancil itu bukan milik saya cuma saya berasa tindakannya melarikan diri tidak wajar.

"Awak ingat, awak ada PR boleh besar kepala? Ini bukan Indonesia, ini bukan Nepal, ini Malaysia! Faham?," tengking saya.

"Faham encik! Minta maaf encik!," ujarnya.

Hairan, kenapalah selepas keduanya kena pelempang baharu kepingin memohon maaf.

Selasa, Oktober 19, 2010

Ganjaran RM50,000 Jika Ada Boleh Potong Tangan Saya ...

"Ganjaran RM50,000 jika ada orang boleh potong tangan saya dan bawa kepada bos dia orang"

Itu dakwaan penarik kereta, 'Along' menghubungi saya awal malam tadi dari Johor Bahru, Johor.

"Sejak 2 tahun lalu, lebih 12 groups penarik kereta beroperasi di Johor. Ahli  kumpulan menarik kenderaan kalau pemilik gagal menjelaskan bayaran ansuran bulanan lebih 2 bulan 21 hari. Tetapi lazimnya bank akan keluarkan surat tarik selepas bayaran tertunggak di antara 3 dan 4 bulan, mengikut budi bicara," jelasnya.

Menariknya, kata Along, sewaktu pemilik kereta bersemuka dengan ahli kumpulan, dia akan ditawarkan untuk membayar sejumlah wang kepada mereka jika enggan kenderaannya ditarik pihak bank. Jumlah bayaran mencecah ratusan ringgit, bergantung kepada perbincangan di antara 2 pihak.

Sebaik 'wang perlindungan' dijelaskan, pelekat, sticker, bergantung kepada identiti kumpulan akan dilekatkan di plat pendaftaran di bahagian belakang kenderaan.

Antara pelekat dikenal pasti, bergambar harimau dan bertulis 'Ripo Malaysia' membabitkan kumpulan Melayu, Cina dan India.

Jika penarik kereta tidak bernaung di bawah kumpulan terbabit cuba menarik kereta ditampal sticker, berselisihan faham dan pergaduhan akan tercetus ketika proses penarikan kenderaan dilakukan.

Itu antara pengalaman buruk ditempuh Along sebelum ini.

Saya difahamkanm ketua kumpulan Melayu berasal dari Kelantan dan menetap di Pasir Gudang manakala kumpulan India dari Taman U juga dilaporkan bergiat aktif.

Saya telah berjanji untuk membantu Along menangani masalah terbabit biarpun kumpulan saya tidak memiliki sticker.

Cuma '999', itu nombor dikenali lebih daripada 2 juta penonton televisyen di Malaysia.

Blogger 'Liat' Mengemaskini Entry

Kita tidak perlu menyertai parti politik untuk melontarkan pendirian berhubung soal politik negara.

Terkini, media baharu, antaranya Blog, Facebook, Twitter dan laman sesawang digunakan secara intensif sebagai platform berkongsi maklumat politik di kalangan orang muda (21-35 tahun).

Kekangan tetap ada. Media terbabit tidak begitu interaktif, lebih bersifat komunikasi sehala. Lihat sahaja berapa ramai blogger 'liat' mengemaskini entry mereka barangkali kerana kekurangan masa atau ketiadaan ide.

Apakah lagi kekurangan media baharu berbanding berpeluang melontarkan pandangan berhubung soal  politik secara langsung di dalam mesyuarat atau perhimpunan parti?

Beberapa pandangan bernas anda akan dilontarkan kepada tetamu dalam program secara langsung, bakal saya acarakan buat pertama kali, esok, Rabu, jam 10.30 malam di TV9.

Saya Dan Shahnun Dipanggil Mahkamah Tawau

Tengahari semalam saya menerima panggilan telefon polis berpangkat Sarjan dari Mahkamah Majestrit Tawau, Sabah.

"Encik Mazidul perlu hadir sebagai saksi dalam pendakwaan kes pemerdagangan orang di Tawau," ujarnya.

Penerbit 999, Shahnun Hanif Suhaimi juga akan bersama saya, cuma tarikhnya belum lagi dapat ditentukan setakat ini.

Barangkali sebilangan pembaca blog ini terlupa berhubung perkara berlaku, biar saya imbas kembali.

Saya masih ingat pada subuh 4 Mei 2010 sewaktu menulis tampalan ini sambil berbaring di katil hotel, saya mengalirkan airmata. Hati berdebar, jiwa tercabar. Misi kami menyelamatkan 2 pelacur warga Indonesia, manusia diperdagangkan dan anak kecil berada di tahap 'kritikal'. Pada ketika itu saya dan krew berada di dalam keadaan terkapai-kapai dalam usaha cuba mendapatkan bantuan pihak berkuasa untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun berkat kerjasama pelbagai pihak, misi terbabit berjaya kami sempurnakan, baca laporannya di sini.

Risiko tugasan kami tinggi berikutan jaringan sindiket pelacuran di Tawau dipercayai besar seperti dilaporkan Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin di sini.

Berikutan pembongkaran kes itu, 7 Mei 2010 polis Tawau telah menahan 3 suspek. Saya dan Shahnun akan hadir di mahkamah untuk membantu pendakwaan terhadap mereka. 

Atas usaha terbabit kami tidak diberikan sebarang penghargaan, lagipun bukan itu objektif sebenar. Mungkin usaha terbabit dilihat tidak signifikan.

Namun, izinkan saya berterus-terang. Menurut rekod, kejadian terbabit, kes PERTAMA pembongkaran membabitkan dakwaan  Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 di Tawau.

Pastinya, penduduk Tawau tersenyum sinis jika membaca kenyataan di atas.

Berikutan daripada pembongkaran kes terbabit, sewaktu berada di Lahat Datu, saya dan Shahnun menerima ugutan jenayah dan dipercayai panggilan ke talian peribadi kami dibuat dari Tawau.

Lazimnya begitulah.

Bukan senang untuk melakukan kebaikan, cabarannya bertali arus.

Nota Penghargaan

Hari ini, hit counter mencatat jumlah pelawat unik lebih 2 juta. Terima kasih kepada semua sudi memberikan sokongan melayari blolg ini.

Thanks again.

Uncle Pening!

Kita menetap di lokasi berbeza dan mempunyai kerjaya tidak serupa.

Majoriti bekerja mencari nafkah bertujuan menampung perbelanjaan keluarga dengan kos  kehidupan, cost of living semakin meningkat.

Pagi semalam saya berpeluang bersembang buat seketika bersama pemandu teksi, saya anggarkan berusia lebih 50 tahun.

"Uncle pening! Rumah besar, tinggal dengan isteri dan 2 anak sahaja. Bil elektrik setiap bulan RM300. Tinggi! Mungkin sebab selalu guna aircon 24 jam dan 2 peti ais. Boleh kata, uncle bawa teksi semata-mata untuk membayar bil," keluhnya.

Dia mahir berbahasa Inggeris dan menurutnya pernah mengikut isteri selama 5 tahun  bertugas sebagai diplomat di Amerika Syarikat. Kini isterinya pesara kerajaan.

"Dulu masa di Amerika, mudah. Rumah, elektrik, air, kenderaan all were paid for," sambungnya.

Itu antara cabaran didepani pemandu teksi ketika bermastautin di negara sendiri.

Dalam institusi keluarga, ayah dilihat sebagai bread winner, pencari rezeki utama biarpun majoriti ibu bekerja.

Lazimnya, antara tanggungjawab bulanan suami, memberikan wang kepada isteri untuk dia sebagai 'menteri kewangan',  menguruskan perbelanjaan dapur dan keperluan anak. Namun jumlah wang terbabit pastinya berbeza mengikut pendapatan, bilangan ahli keluarga dan kaedah digunakan.

Tidak dapat disangkal, sebilangan isteri kerap komplen kerana wang diberikan suami didakwa tidak mencukupi sedangkan pendapatannya tidak disentuh.

Wang tunai, RM1500 sebulan, kekadang dilihat sebilangan isteri tidak mencukupi.

Jadi, berapa jumlah mencukupi?

Kekadang terfikir, pekerja kontrak atau kilang meraih pendapatan kurang RM1500 sebulan mampu membesarkan 5 anak sekaligus menampung perbelanjaan keluarganya.