Jumaat, Jun 06, 2014

KEMENTERIAN KESIHATAN MASIH BELUM MAMPU MENJELASKAN BAGAIMANAKAH SAMPEL COKLAT DIUJI DICEMARI DNA BABI


Saya siarkan temu bual wartawan Utusan Malaysia bersama Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah.

UTUSAN : Mengapakah kementerian mengambil masa yang lama untuk melakukan kajian ke atas coklat Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond, analisis makmal dilakukan pada Februari dan hasilnya hanya diperoleh pada Mei?.

NOOR HISHAM : Sampel telah dihantar untuk ujian makmal pada 27 Februari selepas Jabatan Kawalan dan Keselamatan melakukan pemeriksaan makanan mengikut Akta Makanan 83 iaitu bertujuan memeriksa isi kandungan sesuatu makanan sama atau tidak dengan pelabelan. Dua sampel coklat itu telah diambil secara rawak oleh kakitangan jabatan di sebuah premis jualan di salah satu negeri dan hasil kajian sampel diperoleh pada 21 Mei yang lalu. Jangka masa tersebut adalah biasa untuk proses mengkaji sebarang sampel kerana pihak kami harus melakukan kajian ke atas beratus-ratus sampel yang diambil.


Bagaimana dua sampel tersebut boleh dicemari dengan DNA babi (porcine) sedangkan coklat tersebut dibalut dengan aluminium daripada kilang dan mengapa sampel Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak tercemar?

Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, saya telah menyatakan dua jenis coklat tersebut telah tercemar dengan DNA porcine. Saya tidak mengatakan dua sampel itu dibuat dengan campuran porcine. Saya juga tidak mengatakan pencemaran telah berlaku di premis tersebut. Pencemaran boleh berlaku di mana-mana. Memandangkan jarak perjalanan lokasi sampel diambil dengan lokasi makmal (pusat kajian kawalan dan keselamatan makanan di Sungai Buloh) adalah jauh maka kebarangkalian besar pencemaran boleh berlaku di mana-mana. Ini yang sedang pihak kami siasat dan siasatan kami juga memerlukan masa kerana terlalu banyak aspek mesti dilihat. Berbeza dengan Jakim, mereka mengambil sampel terus dari kilang. 


Keputusan analisis makmal pihak kementerian dan Jakim berbeza. Keputusan itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap status halal dua jenis coklat itu. Mengapa kementerian tidak terus bekerjasama dengan Jakim sebelum mengumumkan mengenai status halal coklat tersebut?

Keputusan hasil kajian dua sampel itu didapati pada 21 Mei. Ketika itu saya dan Menteri, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berada di Geneva bagi menghadiri Perjumpaan Kesihatan Dunia (WHA) yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mei oleh Pertubuhan Ke­sihatan Dunia.
Saya dan menteri telah menerima mesej daripada pihak kementerian di Kuala Lumpur bahawa satu hasil kajian terhadap dua sampel coklat yang tercemar dengan DNA porcine disiarkan dalam media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sepatutnya maklumat seumpama itu tidak boleh disiarkan tanpa kebenaran saya. Namun hasil kajian itu telah dibocorkan terlebih awal. Saya dan menteri ketika itu tiada pilihan. Sebagai mengambil tanggungjawab tersebut dan mengelakkan daripada perkara lain yang lebih buruk timbul, saya dan menteri bersetuju untuk mengeluarkan kenyataan bahawa dua sampel itu telah tercemar.

Apa prosedur operasi standard (SOP) kementerian kesihatan dalam melakukan kajian ke atas makanan dan apakah Datuk berpuas hati dengan sistem dan peraturan sedia ada atau ingin mencadangkan peraturan baharu?

Sistem kawalan dan keselamatan makanan dilakukan secara berkala oleh Jabatan Kawalan dan Keselamatan Makanan di bawah Akta Makanan 83. Pemeriksaan dilakukan ke atas semua jenis makanan dengan mengikut sistem jabatan. Sistem yang dimaksudkan adalah jenis dan jumlah makanan. Semua makanan yang diambil sebagai sampel akan diuji keselamatannya di lebih 22 makmal yang dilantik oleh kementerian.

Jika sesuatu makanan itu disahkan mengandungi pencemaran, sampel tersebut perlu melalui satu lagi kajian iaitu `proses pengesahan kajian'. Selepas proses kedua itu jika masih didapati sampel masih tercemar jabatan akan mengambil sampel itu dan diserahkan kepada Jakim. Pihak kami hanya boleh membuat kenyataan terhadap sesuatu makanan itu tercemar atau tidak selepas Jakim membuat keputusan. Di sini saya ingin nyatakan bahawa kementerian tidak mempunyai kuasa untuk menentukan halal dan haram bagi sesuatu bahan makanan yang tercemar kerana keputusan itu hanya boleh diputuskan oleh Jakim.

Tiga perkara perlu dilihat semula bagi melancarkan semua aktiviti dalam mana-mana kementerian dan agensi.

Pertama, menyelaraskan semua makmal di bawah satu agensi yang sama dengan menggunakan satu sistem standard sahaja termasuk untuk jabatan kimia supaya mengikut satu piawaian sahaja. Kedua, kementerian akan meningkatkan kerjasama dengan Jakim yang bukan sahaja soal status halal dan haram bahkan vaksin, ubat-ubatan, organ transplan dan perkara berkaitan Islam. Dan ketiga, semua kenyataan yang berunsurkan perkara sensitif seperti ‘babi' perlu mempunyai sistem ‘coding' supaya mengelakkan berlakunya kebocoran maklumat.

Ada desakan supaya Datuk letak jawatan, apa respon Datuk?

Bukan saya yang sepatutnya melepaskan jawatan. Saya tidak bersalah malah saya tidak berada dalam negara ketika keputusan kajian dikeluarkan. Individu yang membocorkan maklumat awal itu perlu dikenakan tindakan, dia yang sepatutnya meletakkan jawatan. Kami sedang melakukan siasatan terhadap pihak tersebut. Pihak yang bersalah harus dikenakan tindakan.

Saya pasti, ramai rakyat Malaysia, masyrakat pengguna Islam akan terus menunggu hasil siasatan KKM. Mereka ingin tahu, BAGAIMANAKAH sampel diuji di makmal KKM dicemari oleh DNA babi?

4 ulasan:

  1. Kenapa pula Menteri KKM disuruh letak jawatan? APakah semakin tidak waras (gila) pemikiran rakyat Malaysia?
    KKM berjaya mengesan suatu yang tidak dijumpai oleh JAKIM, sepatutnya terima kasih. KKM xcakap pun HARAM makan cadbury.. cuma ckp porcine dikesan dalma 2 sampel.

    JAKIM = Jahil + Sombong. Dh jahil lepas tu putar belit pulak. Wajibkan ostad2 dlm JAKIM tu berijazah SAINS disamping Pengajian Islam, barulah faham dan celik mata. SAINS itu ada dalam Al-Quran.

    Lepas ni KKM jangan ambil peduli lagi, lantak biar JAKIM buat sorang2.. kan mereka hebat.. makmal pun harap jabatan kimia.. ceh..

    BalasPadam
  2. Salam..baru ni ada borak2 dgn org KKM tp bahagian farmasutikal..memang sampel yg diambil secara rawak 3 sampel... tp 2 sampel kantoi ada benda tu...

    Kemungkinan ada pencemaran sangat tinggi krn sampel dari premis..bukan dikilang...satu lg dorang tengah tengok batch mane yg ada benda tu..yelah, bila tau no batch, siasatan lanjut akan dibuat utk cari sampel batch yg sama ditempat lain..kot sampel lain dari batch yg sama takda bahan tu...

    tp dlm nak cari sampel dari batch yg sama dapat yg dijual ditempat lain, benda dah bocor...

    pendapat akulah yg jarang makan coklat ni, mungkinkah ada coklat yg dibuat dari luar negara, guna label dan tanda halal diseludup masuk ke malaysia supaya bila isu ini jadi dpt jatuhkn kredibiliti pihak berwajib khususnya JAKIM dan kerajaan supaya boleh dipolitikkan utk kepentingan pihak lain??

    tengok je bila meletup isu ni, dipolitikkn pegangan saham syarikat tertentu dlm CADBURY yg pada saya majoriti pegangan adalah saham org islam...supaya nampak keraguan hasil dividen kelak...

    bila org islam jual saham tu, pegangan akan bertukar tangan dari pemilikan kerana ada pihak mungkin berminat nak jd pemegang saham tp kouta jd penghalang..jd dgn cara ni dpt dibeli bila pemilik saham jual pegangan mereka..sbb tau potensi perniagaan ini..

    sekadar pendapat org tak sekolah tinggi...

    BalasPadam
  3. Yg halal tetap halal...yg haram tetap haram...tp yg halal kalau tak kena cara bole jatuh haram...yg haram tetap juga haram selamanya..

    BalasPadam
  4. Dunia akhir zaman.. Bila sesuatu makanan itu diuji dan disahkan ada DNA porcine sudah tentulah hukumnya haram, tak taulah pulak zaman akhir2 zaman ni bila dah ditransform dah jadi halal. Orang yg menguji terdapat ada DNA babi ini tentu menyedari tanggungjawabnya keatas umat Islam seluruhnya dan dia patut diberi penganugerahan cemerlang. Sebuah negara Islam tentu ingin mempertahankan mertabat Islam tidak mengira kepentingan lain. Kalau beginilah caranya tentu KKM tidak akan bersuara dilain masa jika menjumpai DNA babi dalam makanan lain. Bila nabi Isa turun nanti dia akan membunuh semua babi dan barulah masaalah ini selesai.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.