Jam 7.15 pagi hari ini, saya bangun tidur diiringi semangat. 3 malam berlalu, tugasan di Pulau Pinang hampir selesai.
Teringat antara peristiwa menarik berlaku semalam sewaktu saya merayau-rayau di Georgetown, mencari kedai untuk bersarapan pagi.
Sewaktu melintasi kawasan berhampiran Lebuh Muntri, saya disapa pengayuh beca berbangsa Melayu, saya anggarkan berusia awal 30 an.
"Tak kan tak kenai kut?"
Saya menoleh dan melihat wajahnya. Confirmed, saya tidak mengenalinya. Ketika itu saya telah melintasi lokasi beca diparkir.
"Mai nak salam sikit," ujarnya.
Sambil dia duduk selesa, menghisap rokok.
"Bangunlah," pinta saya.
Spontan dia berang.
"Kalau macam itu, tak payah salam lah," katanya.
"Awak orang muda, banyak tenaga, cuba bangun bila nak bersalam dengan orang lebih tberusia. Tunjuk sikit rasa hormat, tak boleh ke?," soal saya.
Wajahnya berubah, dia kelihatan bertambah marah.
Bukan apa, sewaktu kecil saya diajar, jika ingin bersalaman dengan individu lebih tua, kita seharusnya berdiri dan menghulurkan tangan. Tanda kita menghargai, bukan menyuruh individu itu datang mendekati kita sedang duduk bersenang-lenang.
Pagi ini agak berbeza.
Sewaktu krew saya masih lena diulik mimpi, dari tingkat 6, saya turun ke tingkat satu Bay View Hotel, Georgetown untuk bersarapan pagi. Sewaktu berdiri di dalam lift, di minda, timbul selera untuk menjamah nasi lemak.
Terbayang di mata, nasi lemak panas berasap, hirisan timun segar, ikan bilis digoreng rangup serta sambal enak. Setibanya di restoran hotel, pantas mata liar mencari lokasi nasi lemak disajikan.
Bak kata pepatah Melayu, kalau sudah rezeki, tidak kemana. Perlahan saya menyenduk nasi lemak panas ke pinggan berserta timun segar dan ikan bilis rangup, kelihatan menyelerakan sebagai pembuka selera pagi setelah bekerja hingga jam 2 pagi tadi.
Namun sewaktu sambal disenduk, hati tiba-tiba berkata.
Lazimnya jika in terms of presentation, sambal kelihatan kurang menarik, rasanya juga seiringan, tidak begitu sedap. Bagaimana pun, saya masih mengekalkan fikiran positif, senario itu tidak lebih daripada satu tanggapan.
Saya enggan membuat kesimpulan awal.
Sebelum ini, majoriti kita barangkali pernah merasa pelbagai jenis sambal nasi lemak dihidangkan peniaga di lokasi berbeza. Ada sambal dimasak cair sekaligus tidak kelihatan menarik tetapi keenakannya amat terasa. Tidak dapat disangkal, ada juga sambal nasi lemak berwarna merah menyerlah dan pekat namun sebaik dirasa, kita spontan kehilangan selera. Senario terbabit boleh dijangka berlaku andai kita menjamu selera secara rawak di gerai tepi jalan atau kedai makan kayu di bawah pohon rendang tetapi bukan di hotel bertaraf 4 bintang.
Malah pada masa sama, kita semua pastinya pernah mengecapi pengalaman sukar dilupakan sewaktu makan nasi lemak bersambal enak. Maksudnya, sambal pedas tidak berapa pedas, tawar pun tidak. Bak kata lirik lagu nyanyian Iwan, 'Yang sedang sedang saja'. Tidak kisah lah samada ketika itu kita menjamah juadah nasi lemak di gerai Kak Nab, Mak Mah atau di gerai kayu Haji Salleh.
Perlu juga diambil kira, Kak Nab, Mak Mah dan Haji Salleh bukan chef ternama lulusan universiti tempatan atau luar negara. Mereka cuma tukang masak dan peniaga golongan marhaen mengakuri fakta, keenakan nasi lemak sebahagian besar bergantung kepada rasa sambalnya.
Lihat sendiri, nasi lemak dihidangkan di hotel kami huni selama 4 hari sejak 28 Januari lalu.
"
Rating rasa?," soal saya.
"2.5
out of 10. Nasi lemak dijual dek peniaga perempuan di kedai Dol Tom Yam depan rumah Lyn di Taman Delima, Kajang lebih sedap, harga RM2 sahaja," ujar Hazlin Hussain duduk makan bersama krew 999.
Wow! Macam juri American Top Chef rasanya.
Apa pun, kepada semua pengusaha hotel, teguran sebegini biar pun mungkin dianggap kurang penting, harus diambil kira terutama apabila sarapan pagi dihidangkan berharga RM28++.