Jumaat, Ogos 23, 2013

IBU MUDA TINGGALKAN ANAK

"Anak saya, Muhamad Syakirin baru berusia 7 bulan. Dia menyusu badan dan menghisap susu  tin juga kalau dihantar ke rumah pengasuh," ujar Norasyikin Abdul Hakim,  24 tahun.  


"Kalau bertugas malam, siapakah menjaga anak?," soal saya.

"Suami saya, Johari Ismail, anggota polis narkotik di Kajang. Kalau kami berdua bertugas, anak ditinggalkan di rumah pengasuh sampai jam 12 malam. Bimbang, kalau saya tidak ada di rumah, anak mungkin meragam,"  jawabnya wanita berasal berasal dari Brickfileds, Kuala Lumpur itu.

Saya menemui  Lans Kopral  Norasyikin sebelum sekatan  jalanraya Ops Cantas Khas bermula pada awal malam tadi.  Waktu itu, dia  sepatutnya berada di rumah, mendakap erat anak kecilnya  sekaligus membelai manja Muhamad Syakirin. Namun peluang itu tidak terbuka untuk anggota polis mula berkhidmat dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia. PDRM  sejak lebih 5 tahun lalu itu.

"Ini kali pertama,  saya bertugas untuk Ops Cantas sejak dilancarkan," katanya.

Dua lagi rakan Norasyikin, bertugas di Balai Polis Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor,  Shahrul Nizam Mohd Shah,  25 tahun, anak kelahiran Merlimau, Melaka dan Muhamad Ghazali Mohamed.

"Saya pernah berkhidmat dalam Pasukan Gerakan Am, PGA, Batalion 4, 19 dan Batalian Khas di KLIA," ujar Nizam.

Ghazali,  26 tahun, berasal dari Kota Baharu Kelantan  bertugas sejak 5 tahun lalu. 


"Sewaktu kecil, saya bercita-cita hendak menjadi hakim. Apabila membelek surat khabar terlihat iklan pengambilan anggota PDRM.  Terlintas di hati untuk membantu keluarga, saya mohon dan menghadiri sesi temuduga di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.  Saya anak ke tujuh daripada 11 adik-beradik, 8 perempuan. Kakak dan abang saya bekerja sebagai ustazah, taukeh pembekal gas, pemilik tahfiz dan tukang jahit. Saya seorang saya polis," ujar Ghazali, bangga.

"Setiap kali berlaku kes tembak menembak membabitkan penjenayah, apakah perkara pertama terlintas di fikiran awak?," soal saya.

"Bagi saya sebagai anggota polis, ketakutan itu satu kesalahan. Jiwa saya berasa semakin tercabar setiap kali mendengar berlaku kes jenayah berat, jiwa saya menjadi lebih bersemangat untuk mencegah serta menangani kes jenayah," balasnya sambil mengukirkan senyuman.

Nizam dan Ghazali, antara pembaca blog ini.


Setengah jam sebelum menemu bual mereka bertiga, saya berpeluang merakamkan sesi taklimat  bersama ketua operasi, ASP Nasrul Sain  dan  Ketua Polis Balai,  Inspektor Mohd Zul Azri Ab Rashid.


[ Klik di sini ]


Kira-kira jam 8.40 malam, saya bersama 2 pegawai dan 10 anggota dari cawangan trafik, narkotik dan jenayah berada di lokasi operasi, jalan keluar masuk ke kawasan penempatan Flora Damansara.

Kebanyakkan kenderaan dipandu laju tatkala melalui selekoh itu namun setiap anggota polis bertugas sentiasa berhati-hati ketika melaksanakan persediaan menjalankan tugasan mereka. Jika kenderaan terbabas, pasti nyawa mereka tergugat.


Sekitar jam 8.45 malam, SJR atau sekatan jalanraya dimulakan. Antara objektif utama operasi terbabit untuk melakukan pemeriksaan teliti terhadap mereka berperlakuan mencurigakan, berkebarangkalian terbabit dalam kes jenayah  serta  megesan pesalah lalu-lintas.

"Hendak pergi keluar berjumpa kawan, ini bukan motosikal saya, kawan bapa saya beri pinjam. Kawan bapa saya itu pelakon dan tinggal di Sungai Penchala," ujar remaja ditahan.


"Apakah  kaitannya awak ditahan kerana tiada lesen dan cukai jalan dengan status kawan bapa awak bekerja sebagai pelakon?," soal saya.

"Oh! Polis itu  bertanya tadi, motosikal itu siapa pemiliknya? Jadi saya jawablah," kata remaja masih menuntut di tingkatan dua itu.


Sayang, dia petah memang berkata-kata tetapi otak kosong mengenai undang-undang jalanraya di negara sendiri.

"Apakah nombor plat motosikal awak naiki?,"  tanya anggota trafik bertugas.

"Saya tidak ingat," balas remaja berusia 14 tahun itu.

Dia kemudian bergerak ke lokasi motosikal pinjam diparkir dan kemudian mencatatkan nombor pendaftaran sebelum disaman oleh polis.


Remaja di atas juga tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan ditegur kerana selamba sibuk  menghisap rokok di meja  saman dikeluarkan.


Selepas mereka beredar, saya memerhatikan Kopral Shafee Wahab,  berasal dari Slim River, Perak,  ayah kepada 5 anak. Dia mula  bertugas bersama PDRM sejak 31 tahun lalu.


"Tidak bosan ke melakukan pemeriksaan sebegini bertahun tahun?," soal saya kepada anggota berusia 51 tahun itu.

"Ini tanggungjawab saya dan setiap operasi itu unik dan  mempunyai cabaran tersendiri. Saya berkhidmat di cawangan trafik Petaling Jaya sejak 19 tahun  lalu," balas senior saya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Slim River terbabit.

Manakala penunggang motosikal, anak kelahiran Kunak, Sabah, 30 tahun ditahan dan mengaku tidak mempunyai lesen menunggang motosikal. Dia, bertugas sebagai jururawat, memboncengkan gadis manis  berasal dari Pahang.


Pesalah jalanraya itu kemudian disaman.


"Baik baik bah kau, bawa anak dara orang tapi ndak ada lesen," saya memperingatkan dia dalam loghat Negeri Di Bawah Bayu.

Dia tersenyum.

Tatkala itu ASP Nasrul, Inspektor Zul  dan semua anggota juga sibuk melakukan pemeriksaan.


Norasyikin juga tidak ketinggalan melakukan pemeriksaan. Lelaki Nepal mendakwa bertugas sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli-belah berhampiran didapati tidak membawa dokumen perjalanan sah.



Ketika memerhatikan Norasyikin,  tiba-tiba terlintas di fikiran saya, tidakkah dia teringat dan merindui anaknya, Muhamad Syakirin,  mungkin  pada saat itu tidak mampu tidur lena tanpa ibu  sisi?

Apapun, saya percaya, demi tugas, perasaan seumpana itu disimpan  sahaja di kotak pemikiran ibu muda terbabit  buat sementara waktu.


Menurut PDRM, Ops Cantas Khas akan dijalankan secara berterusan. Ertinya majoriti pegawai dan anggota PDRM di seluruh Malaysia terbabit melaksanakan tugasan sama. Norasyikin juga begitu dan akan terus terpaksa meninggalkan anak kecilnya di rumah, dijaga dek suami sedangkan dia sepatutnya bersama mereka berdua.



"Itu pengorbanan untuk masyarakat, sebagai anggota polis bagi membantu negara kita sentiasa berada dalam keadaan selamat," ujar Norasyikin ringkas.

Kepada Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus, terima kasih di atas kerjasama dihulurkan.

6 ulasan:

  1. Ya Allah...berilah perlindungan serta keselamatan kepada anggota polis,bomba, askar serta mereka yang berkhidmat kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Permudahkanlah urusan mereka serta berkatilah usaha mereka, Ya Allah.Amin.

    BalasPadam
  2. bila melihat mereka.. saya seperti ternampak adik2 saya menjalankan tugas mereka juga.. saya sentiasa berdoa supaya Allah lindungi adik2 dan anggota keselamatan dalam mas mereka menjalankan tugas..

    BalasPadam
  3. Semoga Allah SWT melindungi perwira & serikandi negara...jasamu tak terbalas.

    BalasPadam
  4. Terima kasih PDRM. Banyak pahala mereka. Semoga Allah melindungi mereka selalu.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.