Rabu, Februari 10, 2010

Tunda Treler Elak Orang Mati

3 kemalangan ngeri berlaku di lorong kecemasan Lebuhraya Utara Selatan, PLUS di Bukit Tagar, Hulu Selangor, Senawang, Negeri Sembilan dan Kamunting, Perak.

8 nyawa terkorban dalam 3 kemalangan berasingan terbabit. 5 Februari lalu, di lorong kecemasan kilometer 419.7 berhampiran Bukit Tagar, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd Hazam Abdul Halim maut akibat pemandu beliau merempuh treler dipakir di lorong kecemasan.

3 hari kemudian, 8 Februari lalu, enam sekeluarga terkorban apabila kereta mewah merempuh treler berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 252.3 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Senawang. Kenderaan terbabit hangus terbakar dan kesemua mangsa meninggal di lokasi kejadian. Mereka, Pengarah Urusan Fadhilat Herbs Sdn. Bhd, Suhaimi Ghazali, 41, isterinya, Nor Fadilah Senin, 32, empat anak mereka, Nurul Natashahuda, 11, Mohd Daniel Iskandar, 10, Mohd Hanif Iman, 6 dan Adi Putra, 2 tahun.

Semalam 9 Februari, wanita merempuh treler dipakir di lorong kecemasan lebuhraya sama di Kilometer 207.5 berhampiran Kamunting.

Dilaporkan dalam 3 kes terbabit, pemandu memberhentikan kenderaan berat mereka samada untuk tidur atau rosak.

Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ berhak mengenakan tindakan tegas, menyaman pemandu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan. Namun jumlah saman, RM300 terlalu kecil berbanding nilai nyawa semua mangsa.

Bagaimana jika treler terbabit terpaksa dipakir di lorong kecemasan akibat rosak? Apakah langkah perlu dilaksanakan pemandu? Tidur lena di dalam treler atau meninggalkan kenderaan terbabit begitu sahaja di lorong kecemasan? Adakah mereka menghubungi pihak PLUS Ronda untuk meletakkan kon kecemasan pada jarak selamat di belakang treler sebagai amaran kepada pengguna jalanraya lain atau menunda kenderaan rosak ke kawasan lebih selamat?

Dalam kes kemalangan membabitkan Datuk Mohd Hazam, akhbar melaporkan pemandu treler berhenti untuk tidur di lorong kecemasan. Saya yakin dia akan disaman JPJ atas kesalahan menyalahgunakan lorong sama. Namun, mengikut hemat saya, tindakan itu langsung tidak berbaloi!

Manakala bagi kes kemalangan pada jam 1.30 pagi di Senawang, saya difahamkan sumber boleh dipercayai, treler terbabit dikatakan rosak dari petang dan dilaporkan kepada PLUS. Berikutan itu PLUS bertindak meletakkan kon kecemasan berlampu di kawasan belakang treler terbabit.

Persoalannya, adakah langkah itu mencukupi? Mengapa treler terbabit tidak ditunda ke Hentian Senawang?

Barangkali kerana ketiadaan fasiliti penunda kenderaan berat? Selalunya hanya kenderaan ringan ditunda ke kawasan lebih selamat.

Dalam kemalangan itu, kereta BMW 7 Series berwarna hitam dinaiki 6 beranak terperosok di bahagian belakang treler membawa granit mengakibatkan kesemua mangsa terbakar rentung. Dilaporkan pihak Bomba dan Penyelamat Seremban 2 terpaksa menggunakan khidmat kren untuk mengangkat belakang treler dibantu trak penunda kenderaan ringan untuk menarik kereta mangsa keluar.

Maksudnya, treler boleh ditunda biar apapun sekali kaedah digunakan. Dimaklumkan, PLUS bertanggungjawab menunda kenderaan keluar dari lebuhraya konsesi dipegangnya dan kemudian trak penunda (kren) swasta mengambil alih tugas terbabit untuk menunda kenderaan ke bengkel untuk diperbaiki.

Bukan bertujuan menuding jari tetapi sekadar menganalisa situasi sebenar untuk kebaikan bersama. PLUS perlu ingat hakikat, setiap pengguna lebuhraya terbabit membayar tol bukan untuk menempah maut. Lapan nyawa melayang bukan nyawa binatang, nyawa manusia. Bagi wanita Cina terbunuh di Kamunting, pastinya Tahun Baharu disambut ahli keluarga duka dan hambar. Takziah untuk semua keluarga mangsa.

Petang tadi saya menghubungi Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan melalui sistem pesanan ringkas. Menurut beliau, kenderaan berat dilarang menggunakan lebuhraya pada 12, 13, 21 dan 22 Februari 2010.

Apapun kepada semua pemandu, jika penat, berehat di tempat selamat, bukan di lorong kecemasan. Nyawa kita dan keluarga tiada galang gantinya. Semoga semua dielakkan daripada sebarang bencana.

13 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. Salam Bro Mazidul,

    Hakikatnya yang pergi takkan kembali lagi.

    Meletakkan kenderaan seperti lori di lorong kecemasan, memang boleh menjadi punca, tetapi punca lain juga tidak harus diketepikan.

    Memandu dalam keadaan letih, mengantuk dan laju, bukanlah alasan kemalangan yang 'baru'.

    Sebaliknya, punca-punca ini sudah seakan klise dalam kes kemalangan di negara kita.

    Moga TBC kali ini tidak memakan korban yang tinggi. Itulah harapan saya... Bukan sekadar harapan, Bro. Tapi doa..

    BalasPadam
  3. Saya juga sangat ngeri membaca kisah2 terbabit. Sekarang ini, memandu sebelah trailer/ bus pun saya jadi takut. Cepat2 saya memecut supaya saya berada sedikit hadapan dari kenderaan2 besar itu. Ngeri.

    BalasPadam
  4. kena tunggu orang2 'Besar' PLUS terlanggar belakang lori mungkin baru ada perubahan..

    BalasPadam
  5. as-salam..sdr Brahim ,
    harap boleh membezakan RALATnya
    bila letih/menggantuk terlanggar;

    masuk gaung sorang-sorang
    langgar kucing
    telanggar burung
    terlanggar rusa melintas
    terlanggar skuter
    terlanggar teksi
    belakang bas
    atau belakang LORI

    BalasPadam
  6. Jalan besar-besar pun boleh langgar lori tepi jalan. kalau dreba lori mengantok cari tpt selamat utk berenti tidur tapi tak jumpa-jumpa pun bahaya juga kan?

    Apa-apapun.. malang tidak berbau..

    BalasPadam
  7. Yg dah pergi tidak dpt menjelaskan apa yg sebenarnya berlaku ... mungkin salah lori yg parking tepi jln. Atau mungkin salah mangsa.

    Ingatkah kelajuan boleh membunuh!

    Takziah utk mangsa ...sedih tengok gambar

    BalasPadam
  8. Ya.. malang sekali kan?

    baru-baru ni saya dengar ada isu kemalangan dikaitkan pula dengan minyak RON95? 97? tak pasti...

    dikatakan minyak tu mudah terbakar bila berlaku kemalangan... hmmm?

    makin diperhalusi, makin banyak isu yang timbul..

    BalasPadam
  9. takziah utk saudara-saudara kepada yang terkorban.

    ingatlah kemalangan boleh berlaku dimana-mana sahaja.

    duduk dalam rumah pun boleh mati, tak payah tungguh atas jalan raya.

    BalasPadam
  10. banyak juga kerja JPJ yer..
    agakn selepas ini apa undang2 yang bolehbertahan???

    lampu kuning menyala atas bumbung??

    polis di dalam Bas??

    kebanyakan undang2 melibatkan pembelian alat2 kepada kenderaan.

    BalasPadam
  11. Lorong kecemasan sebaiknya sekadar berhenti seketika sahaja; itu pun kena ada seseorang memantau agar menarik perhatian pemandu yang mungkin tak perasan ada kenderaan sedang dalam kecemasan berhenti.

    Kon semua itu sekadar amaran sementara.

    Jangan jadikan sikap ambil mudah & kelalaian kita ada nyawa yang melayang.

    Kerap sangat kemalangan maut berpunca dari masalah yang sama ini. Terbaik tunda segera jika memang kenderaan tersebut tak boleh dibaiki. Jangan biarkan berhenti lama-lama di lorong kecemasan.

    BalasPadam
  12. Ajal maut jodoh pertemuan telah ada perjanjian dengan Tuhan. Cuma manusia perlu berusaha tuhan yang menentukan dan setiap yang berlaku bersebab dan beralasan. Jangan ada yang berani menyalahkan tuhan apabila ia berlaku kerana tuhan maha adil dan keadilannya kekadang tidak dapat dinilai oleh ciptaannya.

    BalasPadam
  13. PLUS patut membuat tindakan proaktif..kadang2 kenderaan terbabas langgar railing untuk kurangkan impak tp kalau railing tuh dihadangan dengan kenderaan berat maut yang menanti...kalo dah mcm tuh baik tak payah letak railing..kadang2 kenderaan terbabas bukan sbb laju tp juga sbb tayar pecah dan lain2...jadi pegawai PLUS pikir2kanlah...kite bayar tol yang saban naik nih bukan untuk menempah maut

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.