Sabtu, Mac 22, 2014

BERITA DARI BILIK MAYAT HOSPITAL SERDANG


Jam 1.03 tengah hari tadi, saya menerima pesanan ringkas, SMS, dihantar oleh sahabat, Zulhazri Abu Bakar. Adik bongsunya, berusia 27 tahun, meninggal dunia dan jenazah dibawa ke bilik mayat  di bangunan Jabatan Perubatan Forensik, JPF, Hospital Serdang, Selangor.

Dia bergegas memandu dari Johor Bahru, Johor.


Sewaktu dalam perjalanan ke hospital itu, pada jam 1.53 tengah hari, Zulhazri memaklumkan saya melalui SMS, dia tiba di rumah mayat. 

"Hanya seorang kakitangan sahaja kelihatan bertugas ketika saya tiba di sini. Dia seorang diri menguruskan jenazah  Islam dan juga bukan Islam. Tadi sedang jenazah adik dimandikan, dia masuk membawa mayat bayi ke ruang sama," ujar Zulhazri.



Sebagai wartawan penyiaran berpengalaman, Zulhazri tentunya amat prihatin berhubung kejadian berlaku di sekeliling.

Spontan, mata saya teralih ke kaunter pertanyaan berhampiran deretan kerusi biru, tempat ahli keluarga duduk, sabar menunggu.



Saya memulaskan tombol pintu tetapi berkunci.

"Cuba masuk ke dalam (pejabat), mungkin ada orang," kata wanita dalam loghat Indonesia.



Memandangkan tiada papan tanda melarang orang awam memasuki pejabat itu, saya melaksanakan cadangannya.

Berikut, antara gambar saya rakamkan di dalam.



Kemudian saya sedari, Sabtu, hari cuti dan pejabat kerajaan ditutup. Hairannya, mengapakah pintu pejabat dibiarkan ternganga? Tiadakah barangan berharga atau maklumat sulit disimpan di situ? Jika pengawal keselamatan berkawal di sekitar, orang ramai berpeluang mengajukan pertanyaan sekaligus mereka tidak perlu melangkah masuk ke dalam bangunan, biarpun bukan untuk menceroboh.

Di papan tanda dinding pejabat, saya terlihat nama Pengarah Hospital Serdang, Datuk Dr. Ardi Awang terpampang. Saya berharap dapat bertemu beliau pada ketika itu, untuk menjawab beberapa soalan berlegar di minda sendiri.

Saya sedar harapan itu hanya sekadar impian.


Mujur, sebaik melangkah keluar, seorang daripada pengawal keselamatan bertugas di pondok terletak lebih 100 meter dari bangunan JPF,  melintas sambil menunggang motosikal. Lalu saya memberhentikannya.

"Kaunter pertanyaan ditutup dan tiada kakitangan di pejabat," ujar saya.

"Selalunya pada hari cuti kakitangan on call encik. Kami memang tidak dibenarkan berada di sini," jelasnya.

Pertuturannya amat beradap dan dia sudi berkongsi maklumat.

"Saya dimaklumkan, seorang kakitangan sahaja bertugas tetapi dia tidak kelihatan, mungkin sibuk bertugas di dalam. Tahu sahajalah, bilik mayat di sini. Kalau masuk ke dalam bangunan secara tidak tentu hala, tersalah buka pintu bilik, nanti terkejut pula," ujar saya.

Sebelum dia beredar, soalan berikut saya ajukan. 

"Saya keliru sewaktu memandu ke sini tadi. Tersesat. Memang tiadakah papan tanda menunjukkan arah ke bilik mayat?"

"Oh! Minggu lepas, papan tanda tertanggal akibat ditiup angin kencang," balasnya.



Barangkali kos untuk menggantikan papan penunjuk arah itu terlalu mahal.

Sebaik pengawal keselamatan itu hilang dari pandangan, saya kemudian bersalaman dengan lelaki warga asing berdiri di ruang hadapan bilik mayat.

"Saya Hermanto, Setiausaha Dewan Perwakilan Luar Negeri Partai (Parti) Demokrat bekerja mengikut arahan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono," beliau memperkenalkan diri. 


Wajah beliau kelihatan amat tenang. 

"Hari ini, saya memantau proses penghantaran pulang jenazah wanita berasal dari Sulawesi. Dia meninggal dunia di atas pesawat Air Asia, semalam. Wanita itu sedang sakit dan sepatutnya mendapatkan rawatan di Melaka. Jenazahnya dibawa ke sini dari LCCT (Lapangan Terbang Tambang Murah)  kira-kira jam 7 malam semalam. Pesawat mendarat jam 3 petang. Suami arwah memaklumkan saya, proses mengeluarkan mayat dari LCCT memakan masa 4 jam, selepas laporan polis dibuat," adu beliau.

Herman dibantu oleh ejen tempatan, menguruskan dokumen penghantaran jenazah ke Indonesia.

"Jam 8 pagi tadi, tiada kakitangan hospital di sini. Kakak dan suami arwah menunggu sehingga jam 10 pagi. Saya tiba di sini di sekitar waktu itu. Ahli keluarga si mati bertemu staf bilik mayat di dalam untuk proses penyerahan jenazah. Tiada kakitangan lain kelihatan di luar. Pada jam 1.30 tengah hari, sama juga, tiada staf untuk memudahkan kami berkomunikasi atau mengajukan soalan. Si mati beragama Islam. Justeru penghantaran jenazah harus dipercepatkan, jauh. Kini sudah hampir 20 jam jenazah berada di sini," jelas beliau kesal.


Saya kemudian terpandang wajah sayu suami wanita itu, duduk di tepi Bilik Penyerahan Jenazah Islam, juga berfungsi sebagai ruang memandikan mayat.


Hemat saya, pihak hospital bukan sahaja harus memastikan kakitangan digajikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertugas pada waktu ditetapkan tetapi mereka boleh  dihubungi oleh ahli keluarga si mati.

Saranan saya, bertujuan mengelakkan kejadian sama tidak berulang lagi di masa akan datang, pihak hospital harus meletakkan loceng di dinding kaunter pertanyaan. Bunyi loceng ditekan, isyarat kepada kakitangan bertugas di dalam bangunan, ada pihak ingin bertemu.

Lebih praktikal lagi, paparkan nombor telefon kakitangan hospital bertugas agar mudah dihubungi tatkala khidmat mereka ditagih. Ahli keluarga dirundung kedukaan, tidak wajar membiarkan mereka terpinga-pinga di premis seperti itu.



Rumah mayat bukan lokasi kita kunjungi setiap hari. Majoriti tidak biasa dengan selok-belok di situ. Tambahan pula, lokasi bilik mayat itu terpencil. Sukar melihat kakitangan hospital lalu-lalang.



Logik akal, jika kakitangan hospital bertugas berada di sekitar, dia pasti melarang tatkala melihat gambar ruang memandikan jenazah di bawah dirakamkan. Nampaknya, sesiapa sahaja bebas bertindak begitu kerana tiada pihak mengawasi.



Pihak hospital pasti mempunyai penjelasan logik berhubung kejadian ini dan bersedia untuk berkongsi fakta bersama masyarakat.

Saya amat bersyukur berada di situ bersama sahabat dan ahli keluarganya tatkala musibah melanda mereka.

Dua kali saya menghubungi Pegawai Perhubungan Awam, PRO KKM, bertugas di Putrajaya dan memaklumkan beliau berhubung kejadian terkini di hospital terbabit. Malangnya tiada tindakan dilaksanakan untuk membantu sehingga saya pulang pada jam 4.30 petang. Mungkin kesilapan saya, PRO itu  sedang bercuti pada hujung minggu. Melayan orang ramai mendepani masalah di hospital, barangkali bukan tanggungjawab hakiki PRO pada hari Sabtu.

Apapun, biar saya kongsikan sedikit maklumat berguna. 

Ketika mendepani 'krisis' sebegitu, PRO terbabit sepatutnya mengemaskini maklumat berhubung tindakan dilaksanakan, bukan menawarkan 'silent treatment'.  Jika tidak mampu membantu, maklumkan kepada pengadu. Tidak salah. Namun masalah tidak selesai seandainya kita menganggap ia selesai.  



Tidak wajar rasanya jika saya mengemukakan hal seperti ini kepada Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah kerana beliau tentunya mempunyai kes lebih besar untuk diurus dan diberikan perhatian.



Biarpun jenazah selesai dibedah siasat, terlintas di fikiran saya, tanpa diawasi, bagaimanakah sekiranya ruang itu dimasuki oleh individu bukan ahli keluarga terdekat sewaktu jenazah sedang dimandikan?

Tentunya pengurus jenazah serta ahli keluarga tidak berasa selesa. 

Molek jika bilik memandikan jenazah itu dipantau oleh kakitangan hospital kerana ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja.


"Arwah adik, Zainuz Fitri didiagnos mempunyai ketumbuhan di dalam perut pada tahun 2007. Sepanjang 7 tahun, dia telah menghadiri banyak janjitemu dengan pihak hospital di  Johor Bahru. Malangnya, rawatan dan pembedahan ditunda berulang kali. Dia sepatutnya berjumpa doktor pakar pada hari Isnin, 24 Mac ini, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tetapi tidak berkesempatan. Fitri menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi tadi di rumah adik perempuan di Bangi," kata Zulhazri, kesal.


Sahabat saya itu tidak lagi mampu menahan sebak di dada, airmatanya berderai membasahi pipi.

"Tujuh tahun, bukan 7 bulan atau 7 hari," celah saya. 



"Biar saya uruskan kes ini, In Sha Allah, setelah jenazah arwah selesai dikebumikan, keluarga kami akan berbincang untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terbabit. Ya, benar, 7 tahun arwah menderita," sambungnya, sugul.

Beberapa hari lalu, Zulhazri mengabadikan gambar bersama Fitri.


Perkembangan kes ini boleh diikuti di blog Zulhazri, klik di sini.


Jenazah Fitri selamat dikebumikan pada jam 10 malam tadi di Johor Bahru.

Terima kasih Zulhazri kerana tetap mengingati saya di saat derita dan bahagia. Al-Fatihah buat Zainuz Fitri Abu Bakar.



[ Klik di sini ]

19 ulasan:

  1. Assalamualaikum,
    DariNya kita datang, kepadaNya jua akan kembali. Alfatihah. Semoga arwah ditempatkan bersama hambaNya yang beriman. Amin.

    Takziah kepada sdr hazri dan keluarga, semoga mereka tabah hadapi kehilangan ini.

    BalasPadam
  2. Takziah untuk encik hazri serta keluarga. semoga roh allahyarham zainuz fitri d cucuri rahmat dan d tempatkan bersama golongan org2 yg soleh dan beriman... aamiin..

    BalasPadam
  3. takziah kepada bro Hazrey dan keluarga. Semoga tabah menghadapi ujian daripada Allah. Dari Dia kita datang, kepada-Nya kita kembali.
    Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

    Saya rasa kena review balik kes-kes macam yang berlaku kepada adik bro Hazrey. Menderita sejak 7 tahun lalu dengan sesi rawatan dan pembedahan sentiasa tertunda. Sudah berlaku banyak kes melibatkan hospital kerajaan. Dan saya juga mengalami nasib yang sama dengan Hospital Johor Bahru dan Hospital Kluang semasa hayat almarhum ayah saya hingga ke akhirnya.

    Semoga ada tindakan dan penambahbaikan dalam pengurusan perkhidmatan oleh hospital kerajaan. Kakitangan hospital "bermain" dengan nyawa manusia. Bukan calang-calang. Allahu'alam.

    BalasPadam
  4. Perkara sebegini di mana rawatan pesakit berkali-kali tertunda telah sering berlaku. Ianya tidak disenajakan oleh Doktor tetapi lebih dari akibat terlalu ramainya pesakit. Tohmahan yang mengatakan Malaysia akan mempunyai terlalu ramai Doktor beberapa tahun lagi adalah tidak tepat. Malaysia sebenarnya KEKURANGAN HOSPITAL dan PUSAT RAWATAN sehingga kes sering kali tertunda. Contoh termudah adalah di Selangor sendiri, Hosp Besar Tunku Ampuan Rahimah adalah satu-satunya hospital besar kerajaan. Hospital tersebut dah lama "kritikal" dan tak mampu nak "handle" kes yang banyak. Hospital Shah Alam yang dah beberapa tahun tertunda dan ia juga tidak akan cukup untuk menampung jumlah pesakit yang semakin ramai.

    BalasPadam
  5. Takziah kpd En zulhazri n famili. Al fatihah....

    BalasPadam
  6. Takziah utk keluarga arwah adik Zainuz Fitri.. moga Allah memudahkan segalanya & menempatkan arwah dikalangan org2x y beriman...amin..

    Wahai pihak y bertanggungjwb.., tolonglah peka sikit dgn tanggungjawab y digalas.. .

    BalasPadam
  7. Kalau nak cerita bab khidmat hospital ni memang sedih. Anak saya dari umur 2 tahun dah masuk keluar hospital. Hospital Kajang, Hospital Seremban, Hospital Kuala Terengganu. Anak saya sering sakit kepala dan muntah. Doktor sentiasa kaitkan salah makan, perubahan cuaca, demam biasa, bla bla bla.....

    Akhirnya pada 22 Jun 2013, saya dah tak tahan (silap saya sebab sabar terlalu lama) saya bantah cakap doktor. Tak logik anak saya sentiasa salah makan, tak logik anak saya sentiasa alah pada perubahan cuaca. Akhirnya doktor buat pemeriksaan teliti termasuk panggil pakar neuro. Pakar neuro arahkan buat CT Scan dan baru tahu anak saya ada brain tumor sebesar bola ping pong di bahagian belakang otaknya. Mengikut pakar neuro, anak saya boleh jadi sesak nafas pada bila-bila masa sebab tekanan otak terlalu tinggi.

    Terus dibawak ke HKL untuk dibedah. Alhamdulillah anak saya selamat dibedah dan penderitaan selama ini berakhir.

    Saya tak nak salahkan sesiapa, cuma saya nak mintak supaya semua orang yang terlibat supaya jadi lebih profesional. Kerja bukan setakat makan gaji, punch in punch out hujung bulan terima duit masuk akaun.

    BalasPadam
  8. Salam takziah & alfatihah , sedih & sebak membaca catatan ni, moga ia dapat membuka mata pihak2 yang berkenaan, kalau nak diceritakan , sebenarnya begitulah hakikat yang kita terpaksa hadapi sebagai insan yang terpaksa bergantung pada khidmat hospt kerajaan, dah banyak dgr cerita2 begini... tpi itulah....

    BalasPadam
  9. gi hospital swasta... bayar... habis cite...sure rip top service... kkm ni maklum aje la... banyak yg xlengkapnya

    BalasPadam
  10. sy sgt berterima kasih kpd hospital kerajaan.. 4 anak2 sy d lahirkan d sana.. layanan sgt baik... sekarang, anak2 sy sudah dewasa.. dan mereka juga menjadi org baik2 dan menghargai rezeki Allah.. alhamdulillah, syukur dgn izinNYA..

    BalasPadam
  11. Amat tidak masuk akal pesakit dibiarkan selama 7 tahun, entah dah mcm mana seriusnya ketumbuhan tu. Kalau mcm ni lah perkiraan hospital kerajaan terhadap kes2 mcm ni alamatnya memang tak guna ada hospital kerajaan sebesar2 alam. Mungkin kalau terkena kt keluarga mereka sendiri cepat ajelah operation tu jalan. Ayah saya ada batu dlm buah pinggang dan keadaan beliau mmg serious sentiasa dlm kesakitan jalan pun dah senget tambah lagi memang ada penyakit lemah jantung dan darah tinggi. Bila refer ke hospital kerajaan jawapannya kena tunggu setahun baru boleh buat operation. Padahal dah sedia maklum keadaan pesakit mmg memerlukan pembedahan segera ditambah lagi ada infection pd buah pinggang sampai kencing pun dah ada darah. Ayah saya bernasib baik sebab punya wang yg cukup untuk beliau menjalani pembedahan di hospital swasta. Insya'allah pembedahan ayah saya akan dijalankan pada 4hb April 2014 ni. Tapi bagi mereka yang tidak berkemampuan seperti ayah saya bagaimana pula nasib mereka? Sesuatu mesti diubah mesti dirombak. Pesakit2 walau sakit apa pun mesti diberikan priority. Kalau tak cukup dewan pembedahan, tambahlah..tak cukup doktor? tak mungkin bersepah2 doktor kt hospital kerajaan tu...tak cukup apa lagi? apa alasan hingga arwah Zainuz Fitri kena tunggu selama 7 tahun untuk mendapat rawatan dan pembedahan? Alfatihah untuk arwah, saya mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat - Sad

    BalasPadam
  12. SMTI-Takziah untuk bro Hazri dan AlFatihah untuk arwah

    BalasPadam
  13. Sebenarnya Hospital di Malaysia ni memang banyak doktor...Yang kurangnya adalah Doktor PAKAR!..Untuk menjalankan pembedahan major memerlukan kepakaran doktor pakar.Yang anda lihat doktor2 yang bersepah di hospital itu adalah kebanyakannya houseman(doktor pelatih) dan pegawai perubatan (MO) sahaja..Untuk menjadi seorang pakar memerlukan masa 12 tahun minimum belajar..Dan kebanyakan pakar di Malaysia ni apabila mereka dah pandai dan bebas dari kontrak kerajaan..semua akan lari ke hospital swasta yang menjanjikan pulangan berpuluh kali ganda!Itulah masalahnya..Walaupun barang canggih dan hospital lengkap, kalau ada 1 pakar je untuk buat beribu-ribu pesakit memang masa menunggu akan jadi lambat..Saya harap kerajaan Malaysia mengasingkan profesion perubatan dari jawatan lain..Logik ke gaji pakar sama dengan pengetua sedangkan kepakaran mereka amat berharga..Pengetua kalau berhenti kerja tak ada siapa nak ambik kerja dah..Kalau pakar behenti kerja, berpuluh2 tawaran mereka terima dengan gaji berpuluh-puluh kali ganda!

    BalasPadam
  14. Doktor swasta juga perlu berperanan. Doktor banyak tp semua lari ke swasta..mana nak cukup sedangkan hospital kerajaan lebih ramai pesakit yg rata2 tak berkemampuan..

    BalasPadam
  15. Takziah kepada adik rakan ku.. Semoga arwah ditempatkan dikalangan org beriman....

    BalasPadam
  16. Assalam......saya biasa terlibat di Jabatan Forensik Hosp.Serdang dalam mnguruskan jenazah staff,pelajar,warga sebuah institusi pendidikan d Bangi dan ahli qaryah BBBangi......tidak dinafikan ,jika ada kematian pada weekend,sedikit kesulitan dlm proses output jenazah.....lagi2 jika kes medico-legal,agak lewat kerana urusan autopsi dn sebgainya.......yg terlibat hanya oncall........kdang2 kerana kekurangan staff dn input mayat/jenazah dri luar menghadkan tugasan staff........
    selepas selesai urusan forensik/klinikal,jenazah diserahkan pada waris......kebiasaanya,pintu antra bilik mandi jenazah dn forensic hall akn di kunci utk elak org luar masuk......selepas itu tanggungjawab waris utk urus jenazah.....bukan lgi staff,kerna dlm sane bnyak lagi mayat yg perlu ditaging.......hak waris utk halang sape2 msuk dlm bilik mandi jenazah.....

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.