Jumaat, Oktober 04, 2013

JUMPA MAYAT TIGA BULAN SEKALI


Sungai Klang masih mengalir lesu, itu tajuk dokumentari terbitan Majalah 3 pada tahun 1994, setahun sebelum saya mula berkhidmat di TV3. Bingkisan memenangi anugerah itu, hasil karya wartawan, juga bekas penerbit program bual bicara pagi, Malaysia Hari ini, Faridah Talib. Kini Faridah tidak lagi bersama TV3.

Hampir 2 dekad  kemudian saya ditugaskan untuk merungkai fakta berhubung kualiti air sungai sepanjang 120 kilometer itu, mengalir di antara Klang Gate di Hulu Klang dan Pelabuhan Klang di Selangor. 

Tajuk paparan pilihan saya, 'Hitam Putih Nadi Kehidupan' bakal disiarkan kelak.

Sepanjang liputan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya mendapat kerjasama  penuh kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS. Apapun, karya kali ini bukan satu tugasan mudah untuk dilaksanakan, menuntut titisan keringat diadun semangat. 

Antara detik mencabar ditempuh, tatkala saya dan kru dibawa meninjau dua perangkap sampah di hilir Sungai Klang, dua hari lalu. Saya dan beberapa kakitangan JPS Selangor menaiki 2 bot memudiki sungai terbabit dari jeti di Pelabuhan Klang.


Kru Majalah 3 bersama  menyempurnakan tugasan ini, jurukamera, Abdul Rahman Salim dan  juruteknik anak kelahiran Melaka, Azahar Yusop.


Sewaktu dalam perjalanan ke bandar Kelang, kami terserempak lelaki tua tenang mendayung sampan.


"Dia mengutip pelbagai  barangan plastik untuk dikitar semula dan kemudian dijual," ulas  Timbalan Pengarah JPS Selangor, Ir. Azman Yahya.


Melalui pengamatan saya, kebanyakkan sampah dibuang oleh orang ramai ke sungai terbabit, sisa domestik, sampah dari rumah. Botol air mineral dan minuman, tilam serta bahan berasaskan kertas kelihatan terapung dibawa mengalir dek air sungai. 


Sesekali terasa bau busuk air sungai menusuk hidung. Namun setelah menghidu banyak mayat berulang kali sewaktu mengendalikan program 999, gangguan deria bau itu, alah bisa tegal biasa.


Beberapa kilang saya perhatikan, melonggakkan pelbagai barangan di tanah rizab sungai. 


17 kilometer menyusuri Sungai Klang, akhirnya kami tiba di perangkap sampah, log boom pertama berhampiran bandar Klang.  


Timbul persoalan, siapakah tidak bertanggungjawab menghumban sampah terkumpul itu ke dalam sungai?

Tidak mungkin perlakuan monyet dari hutan bakau  berhampiran. 

Tanpa disangka, masih ramai rakyat Malaysia menganggap Sungai Klang sebagai tong sampah besar mereka. 



Pemandu bot, juga kontraktor pengangkut sampah, Zahari Hamid, 46 tahun, memaklumkan saya, hasil buangan dikutip menggunakan jengkaut setiap kali ketinggian air sungai mencecah 5.6 meter dari paras laut.



Sampah dikutip  kemudian  dikeringkan   terlebih  dahulu bertujuan  untuk mengurangankan kadar berat sebelum dihantar ke tapa pelupusan di Jeram, Kuala Selangor.



Menurut Zahari, selama 18 tahun berkhidmat, dia dan pekerja menemui 36 mayat di kawasan itu.

"Selain daripada sampah, purata lebih kurang 3 bulan sekali, pekerja terjumpa mayat di perangkap sampah ini. Lebih membimbangkan, kami juga diancam kehadiran buaya besar naik ke darat dan berenang di sekitar kawasan perangkap sampah," ujar anak kelahiran Sungai Udang, Klang itu. 

Pekerja warga asing di bawah, meleraikan ikatan tali direntang agar sampah dibawa oleh aliran air tidak tersangkut.


Saya meminta bantuan seorang daripada kakitangan JPS bersama berdiri di atas perangkap sampah berwarna biru untuk merakamkan gambar.


Saya yakin, tidak ramai wartawan penyiaran berpeluang mengabadikan kenangan di lokasi kotor dan berbau kurang menyenangkan itu. 



Selain melakukan tinjauan di bahagian hilir sungai, kru Majalah 3 juga berpeluang merakamkan visual di pelbagai lokasi lain di sungai membelah bandaraya Kuala Lumpur. Di samping itu saya juga menemu bual ramai responden untuk menjelaskan kepada masyarakat berhubung status terkini kualiti air Sungai Klang berbanding kualiti hampir 20 tahun lalu.


Saya ke Takungan Batu bersama Timbalan Pengarah JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ir. Sabri Mulok dan jurutera, Faeizaratul Fazlein Isa melihat usaha mempertingkatkan kualiti air Sungai Klang.


Pada 30 September lalu, saya ke Empangan Klang Gate bersama beberapa kakitangan JPS, menyaksikan betapa bersihnya air kelas I,  dibekalkan kepada penduduk di Kuala Lumpur untuk kegunaan seharian.


Terima kasih kepada Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, JPS Malaysia, Dr. Md. Nasir Md Noh, (berbaju biru kanan) dan kakitangan kerana banyak membantu melancarkan liputan ini.

[ Klik di sini ]

Biarpun sibuk dengan tugasan lain,  beliau tetap sudi bersama saya selama 3 hari, membekalkan maklumat tepat berhubung program River Of Life, Sungai Nadi Kehidupan.


Liputan ini belum lagi selesai. In Sha Allah di antara 7 dan 10 Oktober, saya akan ke Melaka untuk menyingkap usaha Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, mengindahkan sungai di sana. Jika tiada aral melintang,  kru Majalah 3 juga akan terbang ke Bangkok, Thailand, meninjau nadi kehidupan rakyat tempatan, Sungai Chao Praya di antara 16 dan 19 Oktober akan datang.


JABATAN PERHUTANAN NEGERI SELANGOR TERLEPAS PANDANG KOLAM MEMANCING IKAN HARAM MAMPU MEMUATKAN 50 GAJAH BERKUBANG?

Kira-kira jam 10 pagi semalam, kakitangan Jabatan Perhutanan, penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ dan petugas Tenaga Nasional Berhad, TNB dilaporkan berkumpul berhampiran kolam memancing ikan beroperasi tanpa lesen di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor. 

"Kakitangan Jabatan Perhutanan, berseragam serba hijau berada di lokasi. Petugas TNB telah memotong sambungan bekalan elektrik secara haram buat kali kedua ke kolam memancing ikan itu pada 2 Oktober lalu. Terdengar berita, Jabatan Perhutanan tidak mempunyai bajet untuk menimbus kolam itu. Jadi TNB telah menawarkan perkhidmatan kontraktor mereka untuk melakukan kerja memberhentikan secara total kegiatan di situ," ujar sumber saya.

Saya kemudian menghubungi Pegawai Perhutanan Daerah Selangor Tengah, AG Shafie melalui panggilan telefon.

"Seramai 19 kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah Selangor tengah berpejabat di Cheras berkunjung ke lokasi semalam," ujar anak kelahiran Papar, Sabah itu.

Semua struktur binaan di kolam memancing beroperasi TANPA LESEN akhirnya diroboh menggunakan jentolak milik kontraktor TNB. Berikut gambar dirakamkan oleh sumber saya pada jam 9 malam tadi.  Itu tapak  struktur kayu tempat kutipan wang dibuat sebelum ini.


"Tatkala gambar dirakamkan, sebilangan individu datang mengail secara percuma," ujar sumber lagi.


Tindakan lebih tegas oleh pihak berkuasa itu dilakukan rentetan pendedahan dan teguran di entri terdahulu, klik di sini. Kakitangan TNB kemudian memaklumkan saya melalui emel, berhubung tindakan awal dilaksanakan, klik di sini. Terima kasih kerana berkongsi maklumat bersama saya.

"Apakah status sebenar tanah di bawah kabel bervoltan tinggi itu?," soal saya kepda AG.

"Seorang individu memohon untuk menggunakan tanah dianggarkan seluas 1 ekar itu untuk tujuan membuka tapak semaian pada tahun 2006. Permohonan itu diluluskan oleh Jabatan. Namun sehingga tahun 2008, tiada sebarang aktiviti dijalankan kerana pemohon tidak mendapatkan kelulusan daripada pihak TNB dan MBPJ. Memang saya lihat, talian kabel elektrik di atas kolam terlalu rendah, barangkali kurang 10 meter dari paras tahah," jelas beliau.

Tambah AG, 3 lelaki berada di lokasi semalam, bukan pemohon dilesenkan oleh Jabatan Perhutanan.

"Pemohon sebenar bertemu saya pada awal tahun ini dan bertanya mengapakah lesen tanah itu tidak boleh diperbaharui. Dia memaklumkan saya, tiada kegiatan dijalankan lagi. Lalu saya bertanya, siapakah pengusaha kolam memancing ikan di lokasi sama? Tatkala itu, kita menyedari terdapat masalah berlaku di situ. Melalui siasatan dijalankan oleh pihak Jabatan, terdapat beberapa individu telah menipu Jabatan Perhutanan dan menggunakan tanah itu tanpa pengetahuan pemegang lesen sebenar," kata pegawai mula berkhidmat di Jabatan Perhutanan Selangor Tengah pada Oktober 2010.

Menurut AG, kelulusan penggunaan tanah terbabit telah dibekukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Jadi, apakah tindakan Jabatan Perhutanan seterusnya?," tanya saya.

"Jabatan memberikan tempoh sehingga 14 Oktober untuk pengusaha (haram) memunggah keluar kayu dan memindahkan ikan diternak. Pagar dikekalkan agar tanah sama tidak diceroboh lagi. Selepas tarikh itu, Jabatan Perhutanan dengan kerjasama TNB akan menimbus kolam terbabit," terang beliau.

Kata beliau, ini kes terpencil pertama berlaku di daerah pemantauan Jabatan Perhutan Selangor Tengah.


Terima kasih kepada AG kerana sudi memberikan penjelasan berhubung fakta kes ini.

Apapun, ternyata sejak tahun 2006, jabatan terbabit langsung tidak melaksanakan pemantauan. Lalu tanah dipohon disalahgunakan. Jika tidak, pasti mereka mengetahui berhubung penyalahgunaan tanah itu.

Hairan, kan?

Saiz kolam,  bukan sekecil kuman. Pada hemat saya, 50 ekor gajah tidak bermasalah untuk berkubang di situ.

Barangkali sudah tiba waktunya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM menyiasat kes didakwa terlepas pandang buat sekian lama ini. ANDAI  wujud unsur rasuah, tindakan tegas perlu dilaksanakan oleh badan terbabit.

Lebih 8 tahun,  bukan jangka waktu pendek. Tindakan pengusaha membuka kolam memancing haram itu sekaligus mengundang bahaya mampu mengancam nyawa pemancing selama ini. Pengusaha hanya mementingkan wang sedangkan pelanggan barangkali tidak mengetahui risiko berada di lokasi itu.

Klik di sini untuk membaca laporan terawal saya pada 29 Mei 2013, berhubung kolam memancing ikan haram terbabit.

Sila baca di sini.

Khamis, Oktober 03, 2013

MAMA PELUK PAPA GERSANG

Bagi golongan berusia, mereka semua telah menempuh zaman remaja. Zaman, antaranya dihangatkan dek gelora cinta. Dahulu perbuatan pasangan belum bernikah berciuman di kawasan terbuka dipandang terlalu janggal.

Mungkin tidak bagi sebilangan pasangan di zaman moden ini.

Capaian rakaman video dan screen shot facebook di bawah, dihantarkan kepada saya oleh pembaca blog ini. 



Barangkali pasangan remaja di atas  berasa bangga berkongsi kisah cinta di laman sosial. Pada masa sama mungkin mereka berfikir ..

... apalah sangat, sekadar ciuman berulang di pipi sahaja.


Papa ... Mama ... Lain sungguh panggilan ganti nama diri anak muda sekarang.

:)

Usah bimbing, tiada siapa bakal merampas Fatin daripada Alang, semua orang takut kena bunuh.

Klik di sini.

Rabu, Oktober 02, 2013

KOLAM MEMANCING IKAN HARAM AKHIRNYA DISITA OLEH JABATAN HUTAN

29 September lalu saya menulis entri berhubung kolam memancing ikan haram beroperasi sejak lebih 8 tahun lalu, klik di sini.

Dalam hal ini, pemancing tidak bersalah kerana mereka tidak mengetahui status sebenar premis terbabit. Cuma pengusaha bersifat degil. Biarpun premis telah 'diperiksa' sebelum ini, kolam memancing terbabit masih terus beroperasi.


Sebelum ini penguatkuasa MBPJ saya dapati tidak serius melaksanakan tindakan. Struktur disahkan haram tetapi tidak dirobohkan sepenuhnya. Kalau gerai burger beroperasi tanpa lesen, pantas gerai dan peralatan perniagaan disita.

Sikap double standard jelas dipraktikkan.

Pelik.

Hakikatnya, tanpa bekalan elektrik, premis haram itu tentunya tidak mampu beroperasi. Kakitangan TNB telah memotong bekalan elektrik disambung secara haram sebelum ini. Ajaibnya tatkala saya melakukan tinjauan 3 hari lalu,  premis terbabit masih mempunyai bekalan elektrik.

Maksudnya, sejak Mei lalu, sewaktu premis sama diperiksa oleh kakitangaT TNB, tiada pemantauan dijalankan. 
[ Klik di sini ]

Hanya selepas blog ini mendedahkan fakta sebenar, tindakan diambil. Semalam saya menerima emel dihantar oleh Pengurus Kanan Unit Media Sosial & Digital TNB. Terima kasih kepada Encik Saiful Ameen Harun kerana sudi memaklumkan saya berhubung perkembangan tindakan telah dan bakal dilaksanakan.

Sila rujuk kandungan emel di bawah.

Perkara : 

Aduan aktiviti kolam memancing melibatkan talian penghantaran di Damansara Perdana. Tanah tersebut adalah dimiliki oleh Jabatan Hutan manakala TNB telah diberi hak Izinlalu (ROW).

Tindakan yang telah diambil :

Lawatan tapak telah diadakan pada 30 September 2013 bersama pihak Jabatan Hutan. Punca sambungan elektrik haram telah dipotong oleh TNB dan kawasan aktiviti memancing berkenaan telah disita oleh Jabatan Hutan.

Tindakan yang akan diambil : 

Berikutan mesyuarat di tapak pada 1 Oktober 13 bersama Jabatan Hutan, MBPJ dan Suruhanjaya Tenaga, operasi meroboh keseluruhan struktur  haram di kawasan kolam memancing tersebut akan dijalankan pada hari Khamis 3 Oktober 13.


Saiful Ameen Harun
Senior Manager, Digital & Social Media Unit
Corporate Affairs & Communication Department
Tenaga Nasional Berhad
Level 6 TNB HQ Jalan Bangsar 59200 Kuala Lumpur.

Saya percaya, semua pembaca tahu, saya tidak dibayar untuk melakukan tinjauan ke lokasi dan kemudian berkongsi fakta di blog ini. Pada masa sama, TNB tidak pernah memberikan diskaun bil elektrik rumah saya.

Usaha ini saya lakukan di atas kesedaran media sosial jika digunakan secara bijak mampu merubah keadaan.

Isnin, September 30, 2013

BERAPAKAH GAJI KONSTABEL POLIS 34 TAHUN LALU?

"Saya mula menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM pada tahun 1979 sebagai konstabel. Bertugas sebagai Polis Hutan 10 tahun, berkhidmat di Unit Pengambilan Bukit Aman, 10 tahun. Saya naik pangkat Sarjan dan menjadi Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabagt Polis Daerah (IPD) Brickfileds dan kemudian dipindahkan ke Bangsar sebagai Sarjan Aktiviti sebelum dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar. Saya kemudian memohon  jawatan Inspektor, berjaya dan ditugaskan di Cawangan Trafik Petaling Jaya. Kini saya Ketua Polis Balai Sea Park," ujar Gunam Resul Gunam Mohamad.


Saya menemui pegawai polis terbabit sewaktu beliau mengetuai sekatan jalanraya Ops Cantas di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor dibantu oleh 12 anggota polis dari IPD Petaling Jaya.


"Berapakah gaji tuan tatkala bertugas sebagai Konstabel?," soal saya.

"RM205 dan lebih kurang setahun setengah kemudian dinaikkan RM15. Sewaktu saya berkahwin, gaji saya lebih kurang RM300. Biarpun begitu, saya berjaya membesarkan 4 anak. Mereka kini bertugas sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia, jurutera, jururawat dan seorang lagi masih belajar. Anak anak saya dibesarkan dengan gaji polis, biarpun pada awalnya kehidupan agak mencabar," jelas Inspektor terbabit.

Inspektor Gunam dilahirkan di Mengelembu, Perak dan berkelulusan MCE.

"Hanya polis berhati waja, memiliki heart of steel mampu bertahan?," tanya saya.

"Ya, In Sha Allah," ujar beliau.

Turut bersama di dalam sekatan  jalanraya sama, seorang lagi pegawai berhati waja,  Inspektor K. Amutha, anak kelahiran Jitra, Kedah.


"Menyertai PDRM sekaligus memberikan saya peluang dan ruang untuk berkhidmat secara langsung kepada masyarakat. Saya melihat, kerjaya sebagai pegawai dan anggota polis sebagai tugas mulia," ujar graduan lulusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya itu. 

"Sebelum menjadi Pegawai Gerakan, puan berkhidmat di mana?," soalan saya ajukan.

"Bermula pada tahun 2005 dan selama tiga tahun setengah, saya bertugas sebagai Pegawai Penyiasat kes jenayah di IPD Petaling Jaya. Tanggungjawab itu amat mencabar. Bertugas 24 jam dan jika berlaku tangkapan, antaranya saya perlu merakamkan kenyataan suspek sebelum mendapatkan perintah reman keesokkan harinya. Dalam pada itu saya juga perlu bertemu Timbalan Pendakwa Raya untuk menyerahkan kertas siasatan," terang pegawai berusia 34 tahun itu.

"Mesti penat," celah saya.

"Tentunya tetapi saya telah memilih kerjaya ini dan akan meneruskannya," jawab Inspektor Amutha.

PANJANG LIDAH MAT YO


Panjang lidah Mat Yo tetapi sayang,  tidak akalnya. Jika pembaca gemar atau jatuh hati melihat gelagat Mat Yo menjelirkan lidahnya itu, sila tulis 'suka' di ruang komen.

Apakah motif sebenarnya dia?

Mengejek?

Klik di sini.