Sungai Klang masih mengalir lesu, itu tajuk dokumentari terbitan Majalah 3 pada tahun 1994, setahun sebelum saya mula berkhidmat di TV3. Bingkisan memenangi anugerah itu, hasil karya wartawan, juga bekas penerbit program bual bicara pagi, Malaysia Hari ini, Faridah Talib. Kini Faridah tidak lagi bersama TV3.
Hampir 2 dekad kemudian saya ditugaskan untuk merungkai fakta berhubung kualiti air sungai sepanjang 120 kilometer itu, mengalir di antara Klang Gate di Hulu Klang dan Pelabuhan Klang di Selangor.
Tajuk paparan pilihan saya, 'Hitam Putih Nadi Kehidupan' bakal disiarkan kelak.
Sepanjang liputan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya mendapat kerjasama penuh kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS. Apapun, karya kali ini bukan satu tugasan mudah untuk dilaksanakan, menuntut titisan keringat diadun semangat.
Tajuk paparan pilihan saya, 'Hitam Putih Nadi Kehidupan' bakal disiarkan kelak.
Sepanjang liputan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, saya mendapat kerjasama penuh kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS. Apapun, karya kali ini bukan satu tugasan mudah untuk dilaksanakan, menuntut titisan keringat diadun semangat.
Antara detik mencabar ditempuh, tatkala saya dan kru dibawa meninjau dua perangkap sampah di hilir Sungai Klang, dua hari lalu. Saya dan beberapa kakitangan JPS Selangor menaiki 2 bot memudiki sungai terbabit dari jeti di Pelabuhan Klang.
Kru Majalah 3 bersama menyempurnakan tugasan ini, jurukamera, Abdul Rahman Salim dan juruteknik anak kelahiran Melaka, Azahar Yusop.
Sewaktu dalam perjalanan ke bandar Kelang, kami terserempak lelaki tua tenang mendayung sampan.
"Dia mengutip pelbagai barangan plastik untuk dikitar semula dan kemudian dijual," ulas Timbalan Pengarah JPS Selangor, Ir. Azman Yahya.
Melalui pengamatan saya, kebanyakkan sampah dibuang oleh orang ramai ke sungai terbabit, sisa domestik, sampah dari rumah. Botol air mineral dan minuman, tilam serta bahan berasaskan kertas kelihatan terapung dibawa mengalir dek air sungai.
Sesekali terasa bau busuk air sungai menusuk hidung. Namun setelah menghidu banyak mayat berulang kali sewaktu mengendalikan program 999, gangguan deria bau itu, alah bisa tegal biasa.
Beberapa kilang saya perhatikan, melonggakkan pelbagai barangan di tanah rizab sungai.
17 kilometer menyusuri Sungai Klang, akhirnya kami tiba di perangkap sampah, log boom pertama berhampiran bandar Klang.
Timbul persoalan, siapakah tidak bertanggungjawab menghumban sampah terkumpul itu ke dalam sungai?
Tidak mungkin perlakuan monyet dari hutan bakau berhampiran.
Tanpa disangka, masih ramai rakyat Malaysia menganggap Sungai Klang sebagai tong sampah besar mereka.
Tanpa disangka, masih ramai rakyat Malaysia menganggap Sungai Klang sebagai tong sampah besar mereka.
Pemandu bot, juga kontraktor pengangkut sampah, Zahari Hamid, 46 tahun, memaklumkan saya, hasil buangan dikutip menggunakan jengkaut setiap kali ketinggian air sungai mencecah 5.6 meter dari paras laut.
Sampah dikutip kemudian dikeringkan terlebih dahulu bertujuan untuk mengurangankan kadar berat sebelum dihantar ke tapa pelupusan di Jeram, Kuala Selangor.
Menurut Zahari, selama 18 tahun berkhidmat, dia dan pekerja menemui 36 mayat di kawasan itu.
"Selain daripada sampah, purata lebih kurang 3 bulan sekali, pekerja terjumpa mayat di perangkap sampah ini. Lebih membimbangkan, kami juga diancam kehadiran buaya besar naik ke darat dan berenang di sekitar kawasan perangkap sampah," ujar anak kelahiran Sungai Udang, Klang itu.
Pekerja warga asing di bawah, meleraikan ikatan tali direntang agar sampah dibawa oleh aliran air tidak tersangkut.
Saya meminta bantuan seorang daripada kakitangan JPS bersama berdiri di atas perangkap sampah berwarna biru untuk merakamkan gambar.
Saya yakin, tidak ramai wartawan penyiaran berpeluang mengabadikan kenangan di lokasi kotor dan berbau kurang menyenangkan itu.
Selain melakukan tinjauan di bahagian hilir sungai, kru Majalah 3 juga berpeluang merakamkan visual di pelbagai lokasi lain di sungai membelah bandaraya Kuala Lumpur. Di samping itu saya juga menemu bual ramai responden untuk menjelaskan kepada masyarakat berhubung status terkini kualiti air Sungai Klang berbanding kualiti hampir 20 tahun lalu.
Saya ke Takungan Batu bersama Timbalan Pengarah JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ir. Sabri Mulok dan jurutera, Faeizaratul Fazlein Isa melihat usaha mempertingkatkan kualiti air Sungai Klang.
Pada 30 September lalu, saya ke Empangan Klang Gate bersama beberapa kakitangan JPS, menyaksikan betapa bersihnya air kelas I, dibekalkan kepada penduduk di Kuala Lumpur untuk kegunaan seharian.
Terima kasih kepada Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Lembangan Sungai dan Zon Pantai, JPS Malaysia, Dr. Md. Nasir Md Noh, (berbaju biru kanan) dan kakitangan kerana banyak membantu melancarkan liputan ini.
[ Klik di sini ]
Biarpun sibuk dengan tugasan lain, beliau tetap sudi bersama saya selama 3 hari, membekalkan maklumat tepat berhubung program River Of Life, Sungai Nadi Kehidupan.
Liputan ini belum lagi selesai. In Sha Allah di antara 7 dan 10 Oktober, saya akan ke Melaka untuk menyingkap usaha Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, mengindahkan sungai di sana. Jika tiada aral melintang, kru Majalah 3 juga akan terbang ke Bangkok, Thailand, meninjau nadi kehidupan rakyat tempatan, Sungai Chao Praya di antara 16 dan 19 Oktober akan datang.
TAHNIAH dan terima kasih kerana berkongsi cerita yang menarik. Tak sabar nak menonton M3. Saya pelik kenapa denda agak ringan kepada pesalah yang menyebabkan pencemaran air tempoh hari. Kesannya bukan melibatkan sorang dua . Kilang-kilang beroperasi tanpa lesen bertahun-tahun ... macam mana boleh terlepas pandang. Ada orang tak buat kerja atau buat kerja sambil lewa. Takkan semua tunggu pihak AUDIT buat spot chek dan komen ??
BalasPadamKalau boleh ke korea tengok apa yang dibuat untuk cantikkan sungai mereka... Yang sebelumnya seperti sungai klang. Sekadar pendapat.
BalasPadam