Hari ini agak memenatkan bagi saya, jurukamera, Rohaizat Roslan serta Azahar Yusop. Kami bersama menyusuri Sungai Chao Praya di Bangkok, Thailand.
Di bawah bot kami naik dengan menggunakan pas sehari dengan harga 150 Baht. Setiap penumpang membeli pas terbabit berpeluang menyusuri Sungai Chao Praya di antara jam 9.30 pagi dan 10 malam.
Kisah perjalanan kami, In Sha Allah bakal saya kongsikan bersama semua di Majalah 3 kelak. Kira-kira 1 jam 20 minit perjalanan memudik sungai, kami berhenti di satu daripada 16 jeti disediakan.
Azahar dan Rohaizat, biarpun penat kelihatan ceria tatkala terlihat sekumpulan burung merpati berterbangan.
Untuk menarik perhatian, Azahar membeli sebungkus makanan bijian dengan harga 10 Baht dan kemudian diberikan kepada ratusan burung kelaparan.
Benarlah pepatah orang tua, jinak jinak burung merpati. Bila terlalu hampir, terbang melarikan diri.
Berikut buktinya.
Azahar masih lagi bujang, berusia 34 tahun, anak kelahiran Melaka. Barangkali dalam kejadian itu, dia mempelajari fakta mengenai kehidupan. Gadis juga kekadang bersikap seperti burung merpati. Setiap pertemuan, belum tentu dua manusia itu mampu disatukan.
Melihat kekecewaan ditempuh oleh dua kru terbabit, saya mencuba nasib. Sebaik bijian saya genggam ditaburkan, burung merpati mula terbang merapati.
Beberapa ekor burung kemudian hinggap di tangan saya tanpa dipanggil.
Begitulah rezeki manusia. Tidak mengapa Azahar, kita harus berlajar menerima kekecewaan dalam hidup ini. Mungkin kekecewaan itu hanya bersifat sementara sahaja.
Kira-kira jam 3 petang, kru Majalah 3 menaiki bot lebih kecil untuk menyusuri parit besar di Bangkok. Kami ditemani kakitangan kerajaan bertugas di ibu negara Thailand.
Lihat betapa beraninya wanita di bawah melompat masuk ke dalam bot.
Hebatkan?
Tambang menaiki bot itu hanya 20 Baht seorang, kira-kira RM2 sahaja. Dari kiri, Timbalan Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Wizani Rosmin, 36 tahun, saya dan anak kelahiran Batu Pahat, Johor, Mohd Hamzah Jupri.
"Majoriti penumpang menggunakan perkhidmatan bot untuk pergi dan pulang bekerja. Keselesaan perkara kedua bagi mereka," ujar Wizani.
Lebih pelik, lelaki pengutip tambang hanya bertugas sebaik bot bergerak.
"Hairan, mengapakah dia tidak mengutip wang bayaran tambang sebelum semua penumpang menaiki bot?," soal Wizani.
Tentunya saya tidak mempunyai jawaban kepada soalan dilontarkan oleh anak kelahiran Muar, Johor itu. Saya perhatikan, lelaki bertopi keledar itu cekap meniti di ruang sempit di tepi bot sambil mengutip tambang daripada penumpang naik.
Barangkali dia percaya, jika terjatuh ke dalam parit mengalirkan air hitam pekat, kepalanya akan tetap terselamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.