Isnin, Mei 19, 2008

10% Datuk?


“Masuk! Masuk! Boleh lagi ni. Reverse sikit lepas tu potong terus masuk,” kata lelaki tua berambut putih berdiri di sebelah kereta saya.

Waktu itu saya dan keluarga baru tiba di Kampung Padang Kemunting, Alor gajah, Melaka untuk bercuti selama 3 hari. Adik saya, Maizatul Azlin menempah 4 chalet untuk keluarga dan rakan-rakannya.

“Tak apa, jangan risau, tak langgar punya, ok,” kata lelaki itu lagi.

“Kesian dah tua, jaga parking,” bisik hati saya.

Sebaik meletakkan kereta, saya menjeling jam di tangan, pukul 7.10 malam.

Biarpun gelap, tulisan di papan tanda berlampu kelihatan jelas, Putra Sayang Resort, tempat saya dan keluarga bakal menginap sepanjang percutian antara 17 dan 19 Mei lalu.

Saya kemudian pantas menuju ke gerai menjual makanan dan minuman di tepi pantai sedang keluarga mengambil kunci dan menuju ke bilik nombor 8 untuk berehat.

Saya memilih duduk bersendirian di kerusi dengan meja papan sebelum dihampiri lelaki berusia lingkungan 40 an.

“Kenal lagi tak?,” tegur lelaki itu.

“Tolong ingatkan saya,” terlalu ramai orang saya temui dalam perjalanan hidup ini.

“Kes along Kajang,” balasnya.

Belum sempat saya berkata, dia menjelaskan.

“Alah, dulu Mazidul pernah datang Kajang buat cerita pasal along, Mazidul ada interview saya, lama dah”

“Oooh, saya ingat. Duduk la sini, ajak kawan tu sekali,” saya mempelawa.

Lelaki itu sewaktu saya temui lebih 5 tahun lalu sedang berhadapan masalah diburu along kerana gagal melangsaikan pinjaman.

“Sekarang ok dah?,” soal saya ringkas.

Saya faham, pengalaman dikejar along bukan indah, terlalu menyakit dan mencabar maruah.

“Ok,” katanya sambil menganggukkan kepala.

“Datuk steady, dia jaga parking, dia pelayan gerai dan dia lah owner,” kata lelaki itu sambil lelaki tua berambut putih tadi menghulurkan tangan bersalaman dengan saya.

“Datuk
Yunos,” katanya memperkenalkan diri.

Nama penuh beliau Yunos Abu, berusia 61 tahun pemilik Putra Sayang Resort mula beroperasi sejak tahun 1991.

“Dul, dulu tempat saya ni chalet kayu, guna jamban jirus, pakai lampu gaslin,” katanya berseloroh mengungkapkan fakta.

Sekarang resort miliknya mempunyai 25 bilik dengan kadar sewa antara 70 dan 220 ringgit sehari bergantung kepada saiz dan bilangan katil.

Datuk Yunos kemudian duduk di sebelah saya. Dia kelihatan penat tapi wajah beliau tetap kelihatan berseri.

“Ada orang telefon tanya ada swimming pool tak kat tempat saya,” katanya.

“Datuk jawab apa?,” tanya saya.

“Saya kata, ada. Besar, tapi kita panggil seapool bukan swimming pool,” dia tersenyum.

“Putra Sayang Resort terletak kurang 100 meter dari pantai terhampar luas. Saujana mata memandang pantai cantik, landai dan sesuai untuk mandi, itulah ‘seapool’,” tambah beliau lagi.

Saya rakamkan seapool itu (bawah) untuk dikongsikan bersama anda.


“Bila ramai orang datang sini?,” soal saya kepada ayah 6 anak lelaki itu.

“Biasa weekend dan holiday. Orang dari Kuala Lumpur, Johor, Singapura pun datang. Tapi busines recovers start bulan April lalu,” balasnya.

“S
ebab apa?,” saya hairan.

“Tahun lepas kan heboh fasal kes babi di Paya Mengkuang. Orang takut nak datang, walhal tempat tu jauh, lebih 6 kilometer dari sini,” jelasnya.

“So, pantai kat sini memang bersih?”

“Of course bersih, boleh mandi siang malam, no problem at all. Pagi esok Mazidul tengok sendiri. Sekarang ni dah gelap”

“Banyak resort ke di Kampung Padang Kemunting ni?”

“Kejap saya kira," kata beliau perlahan.

Datuk Yunos menggunakan jari kemudian mengira satu persatu bilangan chalet dan resort di kawasan sama.

“19 semuanya tapi tak termasuk di Pengkalan Balak,” katanya.

Pada hemat saya majoriti penduduk di Kampung Padang Kemunting mengenali Datuk Yunos. Bukan kerana beliau berpangkat Datuk tetapi kerana sikap terbuka dan peramah dimiliki.

“Datuk PR memang bagus,” puji saya.


“Kita busines, kena lah macam ni,” komen beliau.

“Dah lama duduk sini ke?,” soal saya lagi.

“Saya ada rumah, satu di Kampung Raja Uda Klang, satu di sini. Rumah dua tapi isteri satu,” beliau berseloroh selamba.

“Kalau Datin dengar mesti dia bangga. Setianya suami,” detak hati saya.

Malamnya saya tidur di bilik dengan sewa 110 ringgit semalam lengkap berhawa dingin, 2 katil bersaiz queen dan single. Bangun pagi saya sekeluarga makan nasi lemak bungkus.

“Nasi lemak seringgit, lauk sambal dan ikan masin,” kata Datuk Yunos kelihatan lebih segar berbanding semalam.

“Murahnya,” komen ringkas saya.

“Alah! Ini bukan di Kuala Lumpur,” respon beliau pantas.

15 minit kemudian, lalu penjaja petai, Ismail Yusof, 61 tahun berasal dari Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara.

Ismail memberhentikan motorsikalnya di tepi jalan berhampiran meja tempat saya makan pagi.

“Berapa seikat?,” tanya saya.


“2 ringgit,” katanya.

“Hui! Kalau di KL ni mesti 5 ringgit,” bisik hati saya.

“Dah lama berniaga bang?,” tanya sambil Datuk Yunos membeli 2 ikat petai padi berisi.

“Dah 40 tahun berniaga. Dulu menoreh getah. Bila harga getah turun, saya pajak pokok petai dan jual sendiri,” jelasnya.

Sewaktu makan di gerai anak Datuk Yunos di tepi pantai itu pada jam 10 pagi saya terlihat inai masih merah menyerlah di jari pasangan teman adik saya.

“Bila nikah?,” saya bertanya.

“Semalam, 17 Mei, pukul 10 pagi di Masjid Nurul Ehsan., Taman Medan,” jawab Norly Hazdie Zainal, 38 tahun.

“Ai! Baru nikah terus datang sini?,” soal saya lagi.

“In kes malas basuh pinggan bang,” seloroh isteri Hazdie, Suzyneta Senin.

“Jumpa kat mana ni?”

Soalan saya membuatkan keduanya tersipu malu tetapi kelihatan bahagia.

“Saya tanya ni, jumpa kat mana?," saya cuba mendesak.

“Jumpa di New York,” akhirnya jawaban terpancul dari mulut Suzy.

“New York?,” tanya saya untuk kepastian.

“Bukan New York, Amerika. New York Hotel di Johor Baharu la bang. Masa tu ada Chatters Club punya gathering,” jelas Hazdie.

“Pakai nick name apa ya?”

“Rahsia,” serentak mereka menjawab.

Tiba-tiba mata saya terpandang satu lagi pasangan sedang makan di meja bersebelahan. Naluri mendesak saya bertanya.

“Berapa lama dah kahwin kak?,” soal saya.

Saya perasan pasangan itu sejak dari awal khusyuk mendengar perbualan saya bersama pasangan pengantin baru masih duduk di sebelah saya.

“Ibu dan abang dah 37 tahun,” jawab Siti Hajar Amrin, 56 tahun sambil duduk lebih rapat dengan suaminya. Saya rakamkan saat manis mereka berdua.

“Lamanya. Dia orang ni baru nikah semalam,” jelas saya sambil menunjuk Hazdie dan Suzy.

“Kami dengar,” jawab suami Siti, Musa Mat, 56 tahun.

“Saja datang cuti ke?”

“Kami duduk di Kampung Kesang Tuan, Jasin, datang cuti kat sini kali pertama,” jawab Siti.

“37 tahun dulu, kahwin bulan berapa?”


“5 haribulan Mei,” jawab Siti tanpa teragak-agak.

Kerapkali isteri lebih baik mengingat tarikh bersejarah dalam keluarga. Itu pandangan barangkali diterima semua.

“Wah! Sambut ulang tahun perkahwinan la ni ya?,” soal saya teruja.

Tersenyum mereka berdua. Pasangan ‘kecil’ dari segi fizikal tetapi besar dari aspek pengalaman. Terpancar sinar kegembiraan di wajah mereka. Barangkali selama ini tidak ada sesiapa mengumumkan ulang tahun perkahwinan mereka di khalayak ramai.

“Apa formula boleh kekal berumahtangga sampai 37 tahun?,” saya sekadar ingin menimba ilmu.

Secara pantas Siti menjawab.

“Kalau berselisih faham, isteri marah, suami jangan lawan balik, keluar dulu sejuk dan tenangkan hati, perasaan”

“Kata orang tua, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan,” celah Datuk Yunos.

“Tapi Tuk, sekarang ni bahaya. Tangankan anak, dia orang buat repot polis,” sampuk Siti.

Kami semua tertawa sambil dihembus bayu segar laut Selat Melaka.

“Semoga berbahagia sampai ke akhir hayat”

Ucap saya sebelum meninggalkan pasangan bahagia, Siti dan Musa untuk bertemu rakan pernah saya temui lebih 10 tahun dulu di Bandar Hilir, Melaka Bandaraya Bersejarah.

“Dah lama ke pindah berniaga di sini?,” tanya saya kepada Salehuddin Adenan, 39 tahun, penjual pelbagai cenderamata.

Kedai Salehuddin terletak kira-kira setengah kilometer dari resort Datuk Yunos.

“Sejak dari tahun 2002 la. Dulu kita jumpa, masa tu encik Mazidul bujang lagi,” Salehuddin mengimbau kenangan lalu secara hormat.

“Dulu awak duduk berniaga bawah pokok, sekarang dah ada kedai,” kata saya.

Bukan sahaja dia memiliki kedai, malah kereta Proton Perdana hitam diletakkan di sebelah gerainya menarik perhatian saya.

“Dah semakin maju, kawan berniaga,” bisik naluri saya.

“Nah! Tolong tuliskan nama saya,” sambil saya hulurkan key chain kayu berbentuk ikan lumba-lumba kepadanya.

Salehuddin kemudian menulis nama saya menggunakan marker pen dalam tempoh tidak sampai 15 saat. Cantik, kemas dan pantas seni tangannya. Itu bakat dimiliki, anugerah Allah memampukan dia menyara keluarga dengan tiga anak berusia antara 10 dan 14 tahun.
“Kedai buka sampai pukul berapa?,” soal saya.
“Buka 9 pagi, tutup 11 malam. Dulu masa di Bandar Hilir, jam 7 dah kena bungkus barang”

“Berapa harga key chain ni campur tulis nama sekali?”

“Tengok betul-betul tu, saya tulis ‘untuk Mazidul’, percuma,” katanya sambil tersenyum.
“Terima kasih. Semoga perniagaan terus maju, anak semakin ramai,” ujar saya sebelum bersalaman dan kemudian beredar.

Sewaktu mentari mula terbenam di ufuk barat, turun sekumpulan 7 anak muda berusia antara 23 dan 33 tahun.

“Kerja mana ni?,” saya bertanya.

“Pejabat kami di seksyen 14 Petaling Jaya bang,” jawab seorang daripada mereka.

“Kerja apa kat situ?”

“Kami debt collector,” jawab pemuda berwajah cina, Apek nama gelarannya.

“Collect apa sampai kemari?,” soal saya.

“Kat sini tak ada collect apa bang, kami datang bercuti," jawab rakan Apek.
Biarpun berlainan kerjaya, namun tujuan kami sama. Berkunjung ke resort Datuk Yunos untuk bercuti. Lalu saya rakamkan gambar mereka sebagai kenangan dan mereka semua berjanji akan membaca blog ini.

Pandangan iklas saya, Putra Sayang bukan resort 5 bintang, sekadar tempat penginapan selesa untuk semua. Bagaimanapun saya yakin layanan 6 bintang kakitangan mereka akan berterusan.

Petang 18 Mei, sewaktu sedang meletakkan kereta, Datuk Yunos datang menghampiri kenderaan saya.


Lalu saya berbisik kepada beliau.

“Datuk, kalau sesiapa baca blog saya dan buat reservation, boleh bagi 10 persen diskaun?”

“Boleh. No problem. Tapi kena cakap ‘saya dah baca blog Mazidul’, instantly 10 persen diskaun saya bagi,” janji Datuk.

“Macamana nak contact Datuk?,” tanya saya.

“Call hand phone saya 019 389 4196, pejabat 06 384 8946 atau pergi ke laman web
http://www.putrasayangresort.com/,” balas beliau.


"Kalau tak tau jalan macamana nak datang sini, call saya, saya akan guide pakai telefon.Tapi kalau dari Kuala Lumpur, lebih kurang setengah jam lah," tambah beliau.

Sewaktu bersalaman dengan Datuk Yunos sebelum pulang ke Kuala Lumpur, beliau sempat berbisik kepada saya.

" Datang balik, tapi jangan lambat sangat tau"

Jumaat, Mei 16, 2008

Leher Terkulai

“Death brings people together”

Itu antara kenyataan rakan wartawan suratkhabar The Star, Steven Daniel saya temui semasa berada di lokasi kes bunuh pada jam 1.30 tengahari, 16 Mei lalu.

Saya bersetuju dengan kenyataan Daniel. Mengapa?

Wartawan jenayah kerap sibuk dengan tugasan harian. Jarang sekali dapat bertemu apatah lagi minum bersama selain sewaktu menjalankan tugas. Bagaimanapun peluang bersua muka itu terbuka apabila berlakunya kes jenayah.

Boleh saya rumuskan, antara banyak kejadian jenayah di negara kita, kes bunuh dikategorikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ada ‘magnet’ tersendiri di kalangan wartawan. Maksudnya, setiap wartawan baru maupun lama tidak akan melepaskan peluang membuat liputan kes bunuh biarpun di mana saja berlaku.

Di lokasi itulah kami bertemu (it brings people together) khususnya di kalangan wartawan.

Tengahari itu saya berpeluang bertemu Steven di Uptown (brings us together), Damansara Petaling Jaya, Selangor kerana ada nyawa terkorban (death) akibat kejadian bunuh berlaku.

Tetapi apabila saya ulang kenyataan itu, ada antara rakan lain tertawa, barangkali aneh kedengarannya.

“Mayat jumpa atas tilam di lantai. Leher hampir putus kena potong dengan pisau,” kata anggota polis saya temui.
“Orang apa?,” soal saya.

“Lelaki Mynmar dalam lingkungan 20 an kurus aje,” sambungnya lagi.

Saya kemudian dimaklumkan mangsa bekerja di restoran sejak setahun lalu. Restoran itu terletak di bawah hostel, lokasi mayatnya dijumpai.

Mayat warga asing itu ditemui pada jam 9.30 pagi melalui laporan dibuat majikan di Balai Damansara Utama terletak kurang 1 kilometer dari tempat kejadian.

“Mula-mula Sarjan pergi check, ingat mati biasa. Sampai kat tempat tu dia pun terkejut tengok darah berlambak, leher mangsa terkulai,” bisik seorang lagi anggota polis di lokasi.

“Dia seorang duduk di bilik tu ke?,” soal saya.

“Rasanya tak. Coli ada tergantung kat bilik tu, mesti ada perempuan,” sambungnya lagi.

Benarlah jangkaan anggota terbabit. Dalam sidang akhbar Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed, beliau menyatakan polis sedang giat mencari 5 rakan sebilik mangsa dipercayai melarikan diri berikutan kejadian itu.

“Orang Mynmar ni very rude. Kalau ambil order makanan kasar gila,” keluh wanita berdiri di sebelah saya.

“Warga asing ni pantangnya satu, jangan biarkan dia orang membina koloni. Bila dah ramai mula naik kepala,” sampuk saya.

“Sekarang ni banyak kedai makan terutama kopi tiam ambil pekerja Mynmar, murah kut gajinya?,” soal wanita itu.

“Itu saya tak pasti. Tapi saya tahu, ribut Nargis mengorbankan lebih 100,000 nyawa di negara dia orang baru-baru ni. Junta tentera buat kecoh. Wartawan nak pergi cover tragedi tu tak bagi masuk negara dia orang. Ramai sangkut di Bangkok. Walhal rakyat dia punya la ramai di negara kita dan saya harap mereka tak buat kecoh,” jelas saya.

Sebelum ke lokasi pembunuhan itu saya dan wartawan 360 ke Shah Alam, Selangor menemubual Ketua Pegawai Operasi Hartanah Selangor, Mohamed Marzuk Basir di Bangunan Perangsang, Shah Alam, Selangor berhubung kes pembangunan lot rumah banglo terbengkalai di Ulu Yam dan Puchong.

Kisah rumah terbengkalai itu akan disiarkan pada 21 Mei akan datang pada jam 9 malam dalam program 360.

Sewaktu makan di Kota Damansara, jurukamera Abdul Mutalib Abdul Aziz atau saya panggil Nong memaklumkan kami kejadian bunuh berlaku. Kami kemudian bergegas ke lokasi untuk Nong merakamkan gambar bakal dimuatkan dalam Buletin Utama TV3 pada hari sama.

Seperti biasa orang ramai selalu berkumpul setiap kali berlaku kes bunuh. Tiba-tiba seorang gadis berpakaian kebaya melintas di depan saya.

“Hui! Model mana tu?,” tanya Liza kepada saya.

“Pegawai Penyiasat kut,” Liza tahu saya bergurau.

Gadis itu nampak kelihatan begitu sibuk berjalan ke hulu dan ke hilir. Barangkali dia ingin tahu perincian kes.

Dia kemudian memperkenalkan dirinya kepada Liza.

“Neny, saya kerja dengan CIMB,” katanya.

“Kami tak ada duit nak invest,” celah saya.

“Kita nak kongsi kebaikan pelaburan,” balasnya.

“Lain kali kut,” saya memberi alasan.

Dia kemudian beredar.

Pada jam 2 petang, pasukan Forensik Selangor tiba di tempat kejadian. Seperti biasa, kenderaan dipandu S. Nambiar dan kemudian muncul Sarjan Mejar Ang, Kopral Mokhtar Hussain dan anggota terbaru, Vanitha. Setengah jam mereka ‘memproses’ tempat kejadian sebelum turun ke lokasi kami berada.

Kurang 10 minit mayat diusung keluar dari tingkat satu melalui tangga dibalut plastik hitam. Semua jurugambar sibuk.

Klik! Klik! Klik!

Gambar mayat mereka rakamkan untuk dimuatkan dalam suratkhabar keluaran 17 Mei.

Sewaktu berdiri menunggu Nong mengambil kenderaan diletakkan agak jauh, saya disapa.

“Apa khabar? Lama tak nampak?,” Nambiar menegur saya sambil menghulurkan tangan.

Kami bersalaman. Dia tersenyum lebar.

“Jahat! Lepas pegang mayat, pegang tangan saya!,” jerit saya kepada Nambiar.

Nambiar, anggota forensik kebiasaannya ditugaskan mengalihkan mayat mengikut posisi bersesuaian bagi memudahkan Mokhtar merakamkan gambar. Saya pernah melihat Nambiar membantu ‘memproses’ puluhan mayat di pelbagai lokasi sebelum ini.

“Tak baik tau, saya ni sensitif dengan tangan orang baru pegang mayat,” gurau saya sambil merakamkan gambarnya tanpa disedari.

“Tak da apa. Pakai glove la, macam tak biasa,” selamba dia berkata.

“Ha! Ha! Saya dapat gambar you,” kata saya.

“Nak buat apa?,” soalnya.

“Masuk dalam blog,” jawab saya ringkas.

Barangkali Nambiar tidak banyak tahu mengenai blog kerana sibuk bekerja dan saya jangka dia juga tidak pernah kisah berhubung blog tapi saya akui dia berpengalaman menyentuh banyak mayat di sepanjang kerjaya.

Jika anda ada pengalaman melihat mayat dalam keadaan ngeri, kongsikan bersama saya dalam blog ini, dipersilakan.

Khamis, Mei 15, 2008

Merahnya Cincin

"Abang ni kan bila duduk depan orang ramai, Atif lalu, buat tak tahu aje," kata wartawan Wanita Hari Ini, Marwatif Amer.

"Ish! Atif lagi la, bila abang lalu kat depan mata langsung tak jeling pun, komputer tu lebih penting," balas saya mengusiknya.

Atif seperti dia suka dipanggil, gadis ceria berasal dari Alor Star, Kedah cukup pemurah dengan ukiran senyuman.

Senyumannya mengingatkan saya kepada 2 wanita saya temui pada 24 April lalu sewaktu membuat tinjauan harga beras di sempadan Malaysia-Thailand.

Sebelum ke sempadan saya sempat singgah ke kedai menjual cincin di Kota Bharu.

“Ini cantik, Kak Ma beli kat orang ni. Tapi buatan dia kemas la,” kata taukeh kedai.


Saya membelek cincin perak dengan batu merah diikat suasa.

“Berapa harga ni kak?,” tanya saya.

“Tiga ratus genap la, special prize dah tu. Sebab abang Napi”

Napi, nama gelaran jurukamera wakil TV3 di Kelantan, Hanafi Mat.

Sewaktu keluar dari kedai itu saya dihampiri wanita berbaju kuning lengkap bertudung muncul dari deretan kedai.

“Nama kita Kak Zura,” katanya kepada saya.

Saya senyum.
"Nama saya Mazidul,” saya memperkenalkan diri.

“Ish! Tak payah kenalkan diri dah, Kak Zura kenal sangat, selalu kuncul kat TV,” katanya sambil tangan menggenggam erat tali beg tangan disandang.

“Bila datang sini?,” tanya Kak Zura.

“Dua hari dah,” saya membalas ringkas.

“Kaya sungguh orang di Kelantan ni kan? Tak berat ke leher tu?,” gurau saya.

Di leher Kak Zura melekap kemas 3 rantai emas selebar ibu jari setiap satu.

“Kita dah biasa, berniaga macam ni la,” balasnya.

“Ini kawan baik abang Napi ni,” kata jurukamera.

“Kak Ma tadi pun kawan abang Napi jugak?”

Hanafi menganggukkan kepala.


Tidak hairan, sejak saya mula mengenali Hanapi sewaktu melaksanakan tugasan pertama Majalah 3 pada tahun 1997, dia memang mempunyai ramai kenalan.

Kemana sahaja dia melangkah, dia dikenali dan seringkali disapa, barangkali macam Kak Zura.

“Mari minum,” pelawa Kak Zura.

Sewaktu di restoran, Kak Zura tidak teragak-agak berkongsi sebahagian daripada kisah hidupnya.

“Nama dalam kad pengenalan apa?,” tanya saya, sekadar ingin tahu.

“Siti Hasmah Wok. Macam nama isteri Tun Mahathir lah. Tapi kalau nama glamor, panggil Kak Zura saja,” jelasnya selamba.

Dimaklumkan dia dilahirkan di Bachok, Kelantan dan kini berusia 54 tahun.

“Tua dah Kak Zura ni,” keluhnya.

“Tapi steady lagi,” puji saya.

“Dulu Kak Zura kahwin umur 12 tahun, percaya tak?”

Saya terpegun sekali lagi.

“Pilihan mak ayah, masa tu kita tak tau apa. Boleh bertahan sebulan, lepas tu cerai terus,” katanya.
“Ini anak sulung Kak Zura, Nora. Anak dengan suami ke dua, ada lima semua anak, umur antara 18 dan 40 tahun,” sambil dia mengerling ke arah wanita duduk di sebelah kanannya.

“Nora kerja apa?,” soal saya.

“Ikut mak la, jadi body guard dia,” sambil tersenyum.

“Kak Zura berniaga macam mana?,” tanya saya.

“Kita beli barang kemas orang tak mampu tebus di pajak gadai, lepas tu jual kepada pembeli,” jawabnya.

Tidak hairanlah mengapa purse Kak Zura penuh dengan wang kertas lima puiluh ringgit.

“Tak muat dah purse tu, bubuh dalam beg saya ni sikit,” saya mengusiknya.

Dia hanya tersenyum.

Spontan Kak Zura kemudian mengeluarkan timbang elektronik dan calculator dari beg tangan dijinjing sejak tadi.

“Macam ni, dulu Kak Zura beli harga dia 10 ribu, waktu tu ada datin ni pakai. Emas putih ni. Sekarang harga dia 24 ribu,” katanya sambil tersenyum.

Barangan kemas three-piece diletakkan di atas meja.

“Uih! Mahalnya,” saya terkejut.

“Dulu Kak Zura jual buah-buahan dari Danok tapi satu hari 20 tahun lepas, ada perempuan tua datang nak jual gelang sebab dia terdesak tak cukup duit. Kak Zura beli dan lepas tu jual kat kedai, boleh untung 70 ringgit,” jelasnya.

Terpancar wajah keceriaan.

“Lepas tu Kak Zura terfikir, jual buah nak dapat untung 70 ringgit sehari susah. Kalau jual beras seludup, asyik kena tangkap, mana larat. Sejak itu la Kak Zura mula beli dan jual emas”

Pada awal pertemuan saya menjangka Kak Zura ibu tunggal. Tetapi telahan saya ternyata meleset.
“Suami Kak Zura pencen dah, Yahya namanya. Dulu dia kerja Jabatan Perikanan, lepas tu join maritim, duk laut berhari-hari,” jelasnya.

“Gambar siapa kat handphone tu,” soal saya.



“Anak bongsu Kak Zura, Nordaleela. Baru habis SPM,” jelasnya.

“Buat apa dia sekarang?”

“Dia minat menari, ada waktunya ke Kuala Lumpur, ikut group menari kalau ada majlis,” jelasnya bangga.

Saya mendengar sambil mata menjeling semua barang kemas dipakai Kak Zura.

“Tak takut ke jalan-jalan pakai emas banyak ni? Kena ragut kan payah?”

“Kak Zura dah biasa kawasan ni. Tak pernah berlaku lagi la. Mintak-mintak jangan,” luahnya.

“Tapi Kak Zura ada bawa pisau lipat,” dia kelihatan yakin.

“Kalau kira-kira berapa nilai semua barang kemas Kak Zura pakai di badan ni?,” soal saya.

“Seratus ribu lebih rasanya,” jangka Hanapi.

“Itu tak termasuk harga gelang kaki Kak Zura lagi, dekat-dekat 7 ribu ni,” sambil dia menyingkap sedikit kain di pakainya ke tahap buku lali.

“Bila abang Pi nak bawa kita ke rumah orang susah, kita pun nak sedekah sikit ni,” tanya Kak Zura kepada Hanapi.

“Nanti lah kita pergi, Mazlin Nordin nak datang hari khamis minggu depan ni, kita pergi sekali lah,” janji Hanapi.

Petang sama, Hanafi menghubungi saya.

“Jom la, dia masak dah”

Sewaktu tiba di perkarangan rumah Kak Zura saya benar-benar terpegun, bukan calang-calang besarnya rumah banglo dua tingkat dibina dengan kos lebih 400 ribu ringgit itu.

Saya terfikir, mengapa wanita hidup mewah seperti Kak Zura masih lagi berjalan kaki setiap hari, berkunjung dari kedai ke kedai, mencari pelanggan untuk membeli emasnya?

“Itulah kerja Kak Zura suka,” jelasnya kepada saya.

“Elok la tu, Kak Zura suka jual emas, abang suka laut,” gurau saya.

Yahya kini memiliki 9 bot menangkap ikan di laut dalam.

“Kalau lain kali Mazidul datang dengan famili, turun kapal terbang, jalan kaki saja ke rumah ni, dekat sangat,” kata suami Kak Zura.

“Airport Pengkalan Chepa kat belakang tu saja, tak payah sewa hotel, duduk saja dengan kami,” pelawa Yahya.

Malam itu kami dihidangkan pelbagai lauk-pauk, sedap. Dijamu buah-buahan, durian, jambu dan mempelam.

Terdetak di hati saya.

“Rezeki hasil jualan emas, barangkali”




Menari Bersama ..

Bolehkah gambar didakwa jin dirakam di tempat tertutup?

Di bawah ini saya sertakan 2 gambar dirakam wartawan 360, Harris Farok Alex pada jam 10 malam 14 Mei lalu di dalam bilik tidak bertingkap, kering dan berkebarangkalian tinggi tidak memerangkap serangga terbang.
Objek dirakam kelihatan bersinar (kiri) dan terapung di atas lantai setelah saya besarkan sedikit imejnya (kanan).


"Lepas saya shoot tu, berdebar pula rasanya," komen haris.

Sehari sebelum itu Harris memaklumkan saya berhubung gambar disiarkan akhbar tempatan pada 12 Mei 2008.

“Abang dah tengok gambar dalam suratkhabar?,” tanya Harris kepada saya.

“Gambar apa?,” soal saya.

“Nanti saya bawa dan tunjuk kat abang,” kata Harris.

Bukan saya tidak membaca suratkhabar, cuma tidak berpeluang membaca semua suratkhabar.

Sebelum siaran 360, 14 Mei, kira-kira jam 5 petang Harris membawa helaian suratkhabar dan menyerahkannya kepada saya.

“Abang tengok la, menarik gambar ni,” jelasnya tersenyum.

Artikel bertajuk ‘Not your average party’ menceritakan kisah beach party dianjurkan di sepanjang Jalan Pantai, Port Dickson, Negeri Sembilan. Jika dibaca laporannya, jelas orang ramai berserta wakil rakyat daerah itu berang dengan penganjuran party terbabit. Satu laporan polis turut dibuat.

Ramai remaja dikatakan mabuk dan gila menari sehingga jam 4 pagi. Sehinggakan ada terbaring tidak sedarkan diri. Party sama turut disertai pelancong asing, hadir diiringi pasangan masing-masing. Kebanyakan remaja perempuan pula dikatakan hanya mengenakan pakaian mandi dan skimpy clothing seperti tertulis dalam laporan suratkhabar itu. Semestinya seksi.

Tetapi, fakta itu langsung tidak menghairankan saya.

Mengikut logik akal party itu hakikatnya bukan berlangsung secara tiba-tiba. Pastinya sudah dirancang lebih awal kumpulan tertentu. Apatah lagi apabila dinyatakan dalam laporan itu, 2 pentas besar didirikan di kawasan sama sejak awal lagi. Peserta juga dimaklumkan untuk berhibur mereka wajib berusia 18 tahun ke atas dan dikenakan bayaran RM113 setiap seorang. Dengarnya, tiket party terbabit boleh dibeli di Klang, Selangor.

Semuanya sudah diatur. Justeru, barangkali semuanya jadi bisa diatur. Mengapa hairan dan marah?
Bagaimanapun perkara ingin saya kongsikan bersama anda semua lebih menarik. Perhatikan objek berimej cerah terapung di bahagian atas kepada mereka berhibur.
Anda nampak? Jelas?
Saya percaya jurugambar merakamkan imej itu mungkin tidak perasan kewujudan 'peserta' tidak diundang di party terbabit. Bukan sahaja berwarna putih malah kuning biru.
Timbul persoalan, bagaimana imej bulat seperti saya rakamkan di Cheras dan dirakamkan Harris turut kelihatan di beach party itu?




Mungkin objek itu juga gemar mendengar muzik dan menari sambil dibuai bunyi ombak memukul pantai.. Barangkali?

Rabu, Mei 14, 2008

Gambar Apa?


Saya kongsikan sebahagian daripada gambar dirakam pada 9 Mei lalu di Cheras, Kuala Lumpur untuk tatapan anda semua.
Barangkali anda pernah merakamkan imej sama sebelum ini tanpa disedari.





Sekiranya anda mempunyai sebarang komen, sila hantarkan ke mazidul@tv3.com.my.

Terima kasih.

Gambar Jin?

Jin, makhluk ciptaan Allah sama seperti kita semua. Berikutan itu kewujudan alam jin tidak mungkin dapat disangkal begitu sahaja.

“Gambar jin boleh dirakamkan kalau guna kamera digital 5 mega pixels ke atas,” kata Ustaz Engku Ansaruddin Agus saya temui kali pertama di pejabat beliau di Cheras.

Saya perhatikan rakan baik saya, Sarjan Ketua Polis Balai Mutiara Damansara, Hamdan Mohd Ahsan duduk di kerusi mendiamkan diri, barangkali khusyuk mendengar kenyataan Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam, PPIM itu.

“Mari saya tunjukkan gambarnya,” pelawa Ansaruddin, 56 tahun.

Saya perhatikan skrin komputer tanpa mata berkelip. Objek bulat berbeza saiz kelihatan lebih kurang sama seperti nucleus bertaburan secara rawak tanpa formasi tertentu.

"Ni kat dalam kedai ke apa?," saya memang gemar bertanya.

Bertanya sudah menjadi darah daging dalam hidup saya sebagai wartawan lebih 13 tahun. Bertanya memberi peluang kepada kita menambahkan ilmu. Bertanya mampu memadamkan kekeliruan barangkali selama ini lama bertapak di fikiran.

“Ni, kita rakam di restoran nasi kandar terkenal,” jelas Ansaruddin.

"Restoran mana satu?," tanya saya lagi.

"Tak payah bagi tahu mana satu kut. Tapi rasanya encik Mazidul boleh teka, restoran ni memang siang malam penuh pelanggan," jelas pengamal perubatan Islam lebih 40 tahun itu.

“Uih! Banyak gila ni,” saya agak terkejut.

“Bersepah bang,” komen ringkas Pengarah Projek PPIM, Noor Nirwandy Mat Noordin sedang berdiri berhampiran saya.

“Ini bukan gambar kulat atau butir air terlekat pada lense kamera kan?,” saya bertanya bagi menyahkan keraguan.

“Tak. Mazidul cuci dulu lense kamera tu baik-baik. Cuci betul-betul sampai puas hati. Lepas tu kita tengok nanti apa jadi,” celah Ansaruddin menjawab soalan saya.

Sekeping gambar lain ditunjukkan kepada saya.

“Ni, gambar dirakam masa ada konsert di Dataran Merdeka. Mazidul tengoklah punya banyak jin kat atas pentas tu,” celah Ansaruddin.

Jika benar, sememangnya apa dipaparkan gambar itu mengejutkan. Penyanyi wanita muda sedang mendendangkan lagu pasti tidak menyedari jelmaan ribuan objek di sekelilingnya. Bukan sepuluh atau seratus, tidak terkira pada pandangan mata kasar.

"Ini pulak gambar pocong," kata beliau.

Pocong, objek berbentuk seperti mayat dikapan dalam keadaan berdiri. Saya perhatikan secara lebih terperinci.

"Hui! Jelasnya' Ikatan di atas kepala dan di kaki pun nampak kemas," komen saya.

"Tapi muka gelap, kosong," komen ringkas saya terima.

“Jin ni boleh ditangkap ke Ustaz?,” soal saya.
Saya mengaku tidak pernah berpeluang melihat gambar seperti itu sebelum ini.

“Boleh, kita boleh bercakap, pujuk, siksa kalau nak lah dan kalau kena cara boleh dimasukkan ke dalam botol air mineral,” balas Ansaruddin ringkas.

“Kalau di rumah cuba ambil. Nasib baik memang boleh dapat,” dia yakin.

"Nak shoot kat mana kalau di rumah?," saya ingin mendapatkan sedikit maklumat.

"Cuba ambik gambar kat kipas dan bucu dinding," kata beliau.

Pada satu daripada gambar, saya lihat objek dalam bentuk cluster melekat antara bilah kipas rumah.

"Rumah siapa?," soalan berikutnya.

"Rumah kenalan saya. Itupun dia ambik secara tak sengaja masa tetamu datang berkunjung ke rumah dia," jawab beliau.

“Kejap lagi kita pergi ambil gambar jin,” kata Ansaruddin.

Saya teruja dengan pelawaan itu. Hati tiba-tiba melonjak kegembiraan.

Sebelum ini saya kerapkali berpeluang merakamkan gambar mayat mangsa bunuh di pelbagai lokasi di negara kita dalam keadaah ngeri tetapi bukan gambar jin.

“Sebenarnya gambar jin ni dah lama dirakamkan di negara barat seperti Amerika. Cuma kita di sini jarang nak mengkaji,” sambung beliau lagi.

Saya kemudian mengikut Ansaruddin, Nirwandy dan beberapa rakan mereka ke satu kawasan di Taman Tasik Permaisuri. Kami memberhentikan kereta di tepi jalan. Saya lihat Ansaruddin keluar dengan tenang sambil mata memerhatikan kawasan gelap di sebelah kiri dan kanan jalan.

Beliau kemudian menepuk tangan beberapa kali. Perlahan dipermulaan kemudian diperkuatkan.
Dia mengulang tepukan sambil mata memandang liar ke arah kawasan gelap berlatarbekangkan bangunan sayup jauh dari pandangan.

"Kawasan apa ni?," saya melontarkan satu lagi soalan.

"Kat tepi tu ada kawasan mata air, sungai kecil," jawab beliau.

“Mari sini, mari sini, nak ambil gambar sekejap. Panggil ramai-ramai. Jadi model. Datang! Datang! Lagi! Lagi!,” dia bercakap sendirian.

Saya tumpukan perhatian ke arah kawasan gelap sama, tiada apa muncul di pandangan mata.

“Cuba Mazidul halakan kamera tu ke situ dan ambil gambar. Buat dua kali, nanti kita tengok perbezaan kat gambar tu,” pintanya.

Tidak membantah, arahan itu saya patuhi. Di bawah ini antara puluhan gambar saya rakamkan pada malam itu.

Beberapa saat kemudian, saya preview semula gambar dirakamkan pada skrin 3 inci kamera digital.
“Aha! Ada,” bagaimanapun saya tidak berasa terkejut.

“Ambil lagi. Ambil lagi,” suruh Ansaruddin.

Saya lihat banyak objek sama ‘lekat’ pada view finder kamera. Majoriti kelihatan putih namun tidak kurang berwarna biru dan merah.

“Warna putih tu baik, biru medium jahat. Tapi kalau nampak semua berwarna merah kita blah la, cabut tak payah nak tunggu,” terang beliau lagi.

Setiap kali flash menyala, setiap kali saya melihat ribuan objek kelihatan seperti butiran kecil air terapung di udara d
i hadapan mata saya. Jaraknya kurang daripada 1 meter.

Ketika itu jam di tangan menunjukkan pukul 12.10 malam tetapi terus-terang saya katakan bulu roma tidak langsung meremang. Tiada timbul perasaan takut dalam diri cuma sibuk merakamkan sebanyak mungkin gambar.

“Uih! Itu besar. Sebelum ni bila kita ambil tak ada sebesar itu,” kata Ansaruddin agak teruja bunyinya.

"Apa pun benda ni, dia suka kat saya kut," cuba berseloroh tetapi tiada siapa tertawa.

Saya berhenti seketika merakamkan gambar.

“Selalu tu, ambik pakai kamera 8 mega pixels, ini 12.1,” sekadar mengusik beliau lagi.

Tepat jam 1.15 pagi kami mengambil keputusan pulang ke rumah.

"Ustaz bagi tau dengan benda tu, jangan ikut saya balik. Nanti kereta saya tak muat," ada permintaan ikhlas dalam gurauan itu.

"Ok. Jangan ikut balik, tinggal saja sini. Ini tempat tinggal engkau orang," kata beliau sambil menyapu dada dan kamera saya berulang kali.

"Sebab apa kemera kena sapu juga?," soal saya.

"Supaya boleh guna lain kali, tak rosak," balas beliau.

"Alamak! Kamera ni baru jer beli," respon saya.

"InsyaAllah, tak ada apa," beliau menyakinkan saya.

Lalu saya melangkah kekereta dan memandu pulang dengan pelbagai persoalan bermain di minda. Antaranya, benarkah imej saya rakamkan itu gambar jin?

Saya percaya ramai mengetahui kewujudan jin dan menerima kenyataan itu. Kepada golongan berpengetahuan dalam bidang sains, saya ingin membaca pandangan anda. Kepada jurukamera berpengalaman maupun golongan skeptic barangkali anda mempunyai pandangan ingin dikongsikan bersama saya dalam blog ini, silakan.

Terima kasih atas setiap pandangan maupun fakta bakal dikongsikan.

Salam

Selasa, Mei 13, 2008

Korban Tembaga

“Kami kejar kereta dia orang ni lebih 3 kilometer sebelum stop kat sini,” kata anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat, D9 Ibu Pejabat Polis Kontingen, IPK Selangor sewaktu saya tiba di tempat kejadian, Desa Latania, Seksyen 36, Shah Alam, Selangor.

Saya menjeling jam di tangan, pukul 1.15 tengahari, 12 Mei 2008.

Ketika itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Mazlan Mansor mula memberikan kenyataan akhbar kepada rakan wartawan tiba lebih awal.

“Dua penjenayah ditembak mati, manakala seorang lagi berjaya kita tahan. Ketika melarikan diri polis mengarahkan mereka berhenti tetapi menyerang dengan parang,” antara kenyataan SAC II Mazlan jelas kedengaran dari lokasi saya berdiri.

“Kejadian berlaku pada jam 10.15 pagi tadi,” sambung beliau lagi.

Biarpun wajah agak serius, SAC II Mazlan, antara pegawai kanan polis Selangor cukup selesa ditemubual wartawan.

“Tuan Mazlan ni cool beb! Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abdul Rahman pun sama, memang tak ada hal berkongsi maklumat dengan kita,” ucap wartawan kenalan saya.

“Tau,” balas saya ringkas.

Saya mengenali Datuk Khalid ketika beliau bertugas di Bukit Aman di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik suatu ketika dulu. Beliau pegawai cukup mudah dihubungi dan mesra.

Setelah bertahun melihat kejadian hampir sama, otak saya bagai mampu menjangka setiap kenyataan dicatatkan wartawan pada pagi itu.

Saya kemudian dihampiri dua anggota D9 cukup saya kenali. Wajah mereka biasa saya lihat setiap kali penjenayah tumpas di pelbagai lokasi sebelum ini.

“Tahniah!, memang steady,” saya melemparkan pujian.

“Penat berlari bang, mengejar dia orang tu tadi, saya kejar ikut jalan atas, dia orang lari ikut jalan bawah,” balas seorang daripada mereka.

Di sebelah tempat kami berdiri kelihatan jalan tanah merah berbukit agak tinggi berbanding di sebelah bawah, datar dan berbatu. Mungkin jalan itu dimaksudkan anggota polis terbabit.

“Lari macam lipas kudung,” sambung anggota itu lagi.

Keduanya berdiri di hadapan saya dengan baju basah di bahagian belakang, percikan peluh memenuhi dahi dibiarkan begitu saja. Barangkali banyak perkara lain lebih penting untuk diberikan perhatian.

Kami bersalaman dan kemudian tersenyum bersama.

“Jom ambil gambar mayat,” ajak jurukamera, Norwahizal Wahab.

Teman-teman memanggilnya, Rizal. Rizal berkebetulan pernah menjadi jirannya saya di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Sewaktu dipelawa, saya merakamkan gambar kereta Proton Perdana V6 putih digunakan penjenayah sebelum melarikan diri ke kawasan belukar.

Selesai mengambil gambar dengan kamera baru dibeli, Canon G9 saya berjalan agak jauh menyusuri denai, kadangkala baju tersangkut pada duri pokok tumbuh tinggi separas dada di kiri dan kanan jalan.

Hampir 200 meter dari lokasi kereta penjenayah ditemui, saya lihat sekujur tubuh tidak bernyawa terbaring di celah-celah rumput.

Mayat terbaring mengiring itu saya perhatikan dari jarak kurang 1 meter. Sekelompok darah pekat kering kelihatan melekat di pipi kanan tubuh sudah tidak bernyawa itu.

“Mesti kena tembak di kepala,” bisik hati saya.

Berhampiran mayat, parang panjang barangkali tidak pernah digunakan terletak kaku di atas rumput sama seperti mayat di hadapan saya.

Supeno, warga Indonesia berusia 38 tahun antara identiti saya perolehi berdasarkan maklumat dicetak pada paspot ditemui pada tubuhnya. Sesekali menepis menghalau lalat mula terbang mengurungi saya, sebelumnya lebih tertarik hinggap di tubuh Supeno mungkin kerana bau hanyir darah segar.

“Badan dia ni besar sikit, kawan dia tu kurus betul,” kata Rizal.

Rizal kelihatan begitu bergaya, bertopi sambil memikul kamera di bahu.

“Hebat kawan aku ni. Macam cameraman CNN, umur 40 dah kan?,” soal saya.

“Yes bro!,” balasnya murah dengan senyuman.

Kira-kira 10 meter dari mayat Supeno, terbaring mayat rakannya Aris Setiyawan, 28 tahun juga berasal dari Indonesia.

“Bro, tolong ambik satu shot,” saya meminta bantuan Rizal merakamkan gambar saya lalu menghulurkan kamera digital kepadanya.

“Nak zoom, macamana?,” tanyanya.

“Kat depan tu ada punat, tolak aja,” balas saya, ketika itu mencangkung berhampiran mayat.

“Ok,” katanya puas hati.

Saya perhatikan secara teliti, jangkaan saya penjenayah kedua itu ditembak di kepala dan badan. Kesan darah kelihatan di baju bahagian belakang. Manakala cecair kering berwarna merah di atas tanah

menunjukkan dia kehilangan banyak darah sebelum menghembuskan nafas terakhir sebagai penjenayah di negara jirannya.

Menurut kenyataan polis, Supeno dan Aris antara 8 penjenayah dilaporkan terbabit dalam rampasan lori kontena di Shah Alam membawa muatan gelung tembaga ditaksirkan bernilai lebih setengah juta ringgit. 5 rakan lain berjaya melarikan diri selepas menculik kelindan lori manakala seorang lagi warga tempatan berbangsa India berusia 33 tahun berasal dari Taman Sentosa, Klang Selangor berjaya diberkas polis.

Kekadang saya terfikir, banyak pihak cuba meraih rezeki secara mudah. Tidak perlu membanting tulang empat kerat seperti saya dan Rizal. Tetapi berakhirnya dengan kesudahan ngeri.

Terus-terang, saya tidak gemar melihat nyawa sesiapapun terkorban di atas muka bumi ciptaaan Allah ini. Bagaimanapun ada ketikanya saya terpaksa mererima hakikat itu dengan hati terbuka.