Ikan sembilang masak asam pedas, kembong dan udang bakar antara juadah disajikan. Terima kasih kepada Laksamana Pertama Maritim Wilayah Selatan, Che Hassan Jusuh (gambar: dua dari kiri) kerana sudi mengundang 360 berbuka puasa di lautan luas.
Paparan itu akan disiarkan 360, episod ‘Cabaran Ramadhan’ rabu ini.
Sebelum Hazrey menjemput saya, Harris dan jurukamera di Hotel The Zon pada jam 4.30 petang, berulang kali saya hentakkan kasut Crocs dipakai ke lantai lobi hotel untuk memastikan pasir Pulau Rawa terlekat, tanggal. Bimbang lantai kereta 2.4 cc, Toyota Ipsum baharu dibeli Hazrey kotor.
Kereta baharu tidak ubah seperti kerjaya baharu, banyak perkara perlu dipelajari dan diteliti.
Harris, graduan Sains Sukan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran 360 lebih 2 tahun lalu. Sebagai Penerbit Eksekutifnya, saya tahu dia bekerja keras, belajar dan meneliti keperluan kerjaya begitu asing berbanding bidang dipelajarinya di universiti.
Liputan di Pulau Rawa dan berbuka puasa bersama APMM, tugasan terakhir saya bersamanya. 31 Ogos 2009, Harris akan menamatkan perkhidmatannya bersama 360. Wartawan kelahiran Terengganu itu akan menyertai syarikat pembekal program disiarkan stesyen televisyen swasta berbayar.
Saya yakin dengan masa, komitmen dan keinginan tinggi, Harris mampu memenuhi tuntutan kerjayanya. Dia telah membukti kejayaannya di 360 sebelum ini. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Harris kerana sudi bekerja bersama saya dan rakan lain.