Sabtu, Oktober 31, 2009

Mini Dhaka

Sewaktu mereka dihampiri, lelaki Myanmar sedang duduk di kerusi menjeling saya. Berdiri di sebelahnya, warga Bangladesh, Mohd Mohasyin Abdul Ghafor, 35 tahun kelihatan kurang selesa.

“Ada masalah ke?,” tanya Mohasyin.

“Sahaja ambil gambar,” balas saya.

Katanya, dia tinggal di pangsapuri di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor, sejak 2 tahun 5 bulan lalu dan berkerja di kilang elektronik berhampiran dengan gaji bulanan RM550.

“Satu kali gunting berapa ringgit?”

“Dua ringgit,” jawabnya ringkas.

Menurutnya, purata bilangan pelanggannya 10 orang sehari sejak beroperasi 10 bulan lalu di kawasan lapang berhampiran pangsapuri. Sebelum ini saya tidak pernah melihat ‘kedai gunting mudah alih’ sebegitu.

“Gunting kerja, wang sikit ada tambah kasi hantar sama bini, bagi anak makan sana Bangladesh,” katanya.

***

“Sudah buat aduan banyak kali tetapi tiada tindakan. Dulu dia gunting di belakang bangunan, sekarang depan,” ujar Ashmah Arshad, 32 tahun.

Rumahnya terletak kurang 20 meter dari kedai gunting mudah alih Mohasyin. Ibu berasal dari Bagan Datuk, Perak itu menyambut kedatangan saya dengan senyuman. Anak sulungnya berusia 8 tahun merenung saya, barangkali berasa hairan mengapa saya berada di penempatan lebih 10,000 pekerja kilang warga Bangladesh terbabit, ‘Mini Dhaka’.

“Handsome dia ini,” kata saya.

“Oh! Abah dia Bangla tetapi hari ini pergi kerja repair kontena,” celah suri rumah itu.

Menurut Ashmah, suaminya berhijrah ke Malaysia 14 tahun lalu dan berkerja di kilang sama dengannya sebelum ini.

“6 tahun kami bercinta lepas itu baharu kahwin, jodoh. Rumah ini kami beli RM60,000, sebulan bayar RM602. Abah dia orang ini, ada bisnes jual kad prepaid. Kalau tidak manalah mampu hendak sara keluarga,” jelasnya.

Kisah Mohasyin dan Ashmah akan saya kongsikan bersama penonton dalam paparan 360, 4 November 2009, bertajuk ‘Hujan emas di negara orang’.

Jumaat, Oktober 30, 2009

Berus Bulu Babi

Saya menerima emel berikut.

‘Saja nak berkongsi pengalaman terbeli brush rambut BOAR/BABI HUTAN, masa I and my family busy shopping raya di SUBANG PARADE tiba-tiba tergerak hati nak ke SHIN. SHIN ni beauty shop and I pun beli brush rambut for my daughter tanpa remark or comment from the salesgirl KECUALI SENYUMAN.

I pun seperti biasa percaya yang produk-produk yang dijual di SHIN maupun di SUBANG PARADE adalah halal kecuali kalau ada tanda TIDAK/NON HALAL. However and to our surprise brush yang kami beli tu diperbuat dari BOAR/ BABI HUTAN itupun selepas my daughter ternampak tulisan 100% BOAR di brush.

Kami pergi balik ke SHIN jangan kata minta maaf the salesgirl/manager BUAT BODOH OR SEMEMANG NYER BODOH siap claimed BRUSH INI DIPERBUAT DARI BRISTLE INSTEAD OF BOAR/BABI HUTAN (?????), secondly KALAU TAK SUKA BOLEH EXCHANGE WITH OTHER PRODUCT and THRIDLY WANG ANDA TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN.

The issues sekarang bukan duit or tukar produk lain tapi kalau diperhatikan sekarang ni produk-produk yang tak halal ni main suka-suka jual tanpa tanda TIDAK/NON HALAL. Therefore I harap you guys hati-hati lah bila membeli sebab jangan jadi macam I TERTIPU and I rasa I AND AGAMA KITA SEKARANG SENANG-SENANG DIPERMAIN-MAINKAN. Thanks for reading and please inform others’

***

Saya berkunjung ke kedai sama cawangan Giant Kota Damansara minggu lalu. Benar, brush sama dijual bercampur dengan brush jenis lain.

Jam 6 petang tadi saya menghubungi pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi, KPNKK, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Menurut beliau KPDNKK tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil tindakan berhubung kes ini.

“Cuma dahulu kita ada persetujuan dengan peniaga, kalau dalam kes ini, dia orang kena tulis besar-besar, barangan itu diperbuat daripada bulu babi”

Khamis, Oktober 29, 2009

Cekung Bukan Kembung

Rambut pendek macam lelaki, dada leper macam lelaki, berpakaian macam lelaki malah gaya berjalan ditiru agar nampak macam lelaki. Ringkasnya, perawakan seperti lelaki. Bezanya, di bawah dia masih cekung bukan kembung.

Tetapi dia usah dipandang rendah, keberanian dan kebodohannya sudah terbukti.

Di Kuantan, Pahang, polis memburu pengkid dilapor membelasah teruk lelaki sehingga menerima 9 jahitan di kening. Mangsa, 24 tahun, terserempak adiknya tidak pulang kerumah selama 3 hari di Kompleks Teruntum bersama teman lelaki dan rakan pengkid. Berang melihat lelaki itu memarahi adiknya, pengkid terbabit dikatakan naik angin lalu menghentak mangsa menggunakan topi keledar.

Yalah, mungkin dia berhasrat membuktikan ‘kelakiannya’.

Jika diberkas polis, saya percaya suspek bakal dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kecederaan parah. Sewaktu ‘berehat’ di lokap kelak, pengkid itu pasti banyak masa membelek celah kelangkangnya, manalah tahu mungkin sudah kembung bukan cekung lagi.

Takut saya dengan pengkid, ganas.

Tolong! Tolong! *wink*

Nota Jom baca keluhan Idan Si Penyair di sini

Manusia Bukan Ikan

Saya tidak akan menegakkan benang basah dalam tempelan (entry) ini.

20 Oktober lalu, amah berasal dari Jember, Jawa Timur, Indonesia, Mantik Hani, 36 tahun ditemui tukang sapu terkurung di dalam tandas rumah di Taman Sentosa, Klang, Selangor dalam keadaan separuh sedar. Berikutan laporan dibuat, jam 7 petang, polis menghantar Mantik ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapatkan rawatan.

Dia dipercayai didera majikan, luka parah di bahagian kaki dan lebam di seluruh badan. Lebih malang mangsa dilapor tidak diberikan makanan selama 2 hari. Mangsa meninggal dunia pada jam 10 pagi, 26 Oktober di Unit Rawatan Rapi hospital sama.

Media Indonesia, Suara Merdeka Cybernews mendakwa kaki dan tangan mangsa diikat manakala tulang kaki terkeluar akibat dipukul menggunakan besi.

Majikannya, pekerja pasar, 37 tahun dan isteri menyerah diri kepada polis pada 21 Oktober lalu. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata keduanya akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh, sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati mandatorit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata siasatan akan dijalankan secara profesional sebelum kes diserahkan kepada Peguam Negara.

Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerajaan negeri menanggung kos penghantaran mayat Mantik ke Indonesia. Malaysia melalui Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Suspek, boleh saya jangka bangsanya, barangkali berfikiran manusia boleh diperlaku seperti ikan dijual di pasar, disiang dan dipotong mengikut sesuka hatinya.

Update A.Murugan, suspek kes bunuh.

Update Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Abdul Aziz Salleh mengesahkan mayat ke 2 mangsa tragedi jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, Kampar, Perak ditemui jam 11.30 malam tadi kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian.

Update Semua mayat ditemui, terakhir pagi tadi.

Rabu, Oktober 28, 2009

Saya YB!

Dalam ruangan komen entry di bawah saya mengusik blogger, Hazrey.

Dalam Pilihanraya Umum Ke-12, PRU-12, Barisan Nasional, BN, meletakkan calon Dewan Undangan Negeri, DUN, berbangsa India sedangkan majoriti pengundi Melayu. Maka calon itu tewas.

Parti Pakatan Rakyat, PKR, bertindak lebih bijak, meletakkan calon Melayu. Beliau bekas posmen tetapi berjaya menewaskan calon BN kerana dia Melayu. Bagaimanapun, wakil rakyat terbabit mengumumkan beliau kini menyertai parti bebas.

Keyakinan pengundi terhadap calon BN dan PKR terhakis.

Jika saya bertanding kerusi DUN dalam PRU-13 mewakili parti mana sekalipun, entah-entah boleh menang.

Tapi terfikir, pasti pembaca blog ini akan kekok memanggil saya ‘bro’, kan?

Kerana pada ketika itu saya bergelar ‘YB’!

Ha Ha Ha! (Hazrey, praktis panggil saya YB)

Tolonglah YB!

Saya dilahirkan di negeri Perak.

Semalam, jam 11.15 pagi sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kampar, kami berselisih dengan kenderaan pasukan Unit Simpanan Persekutuan, FRU, menuju kearah utara.

“Ada rusuhan ke?,” tanya jurukamera memandu.

Saya tiada jawaban, otak lembab, penat selepas membuat liputan tragedi jambatan gantung runtuh berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bermula jam 6 pagi.

Hari ini saya difahamkan, pasukan FRU berkawal di sekitar Dewan Undangan Negeri, DUN, Perak di Ipoh memastikan keadaan selamat. Maklumlah, pemimpin politik di Perak kini masih terus bercakaran berebut kerusi DUN biarpun di dalam dewan dianggap mulia.

Sebagai anak Perak, saya berhak bersuara. Saranan saya, Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional harus memberhentikan ‘drama’ tidak berkesudahan terbabit pada kadar segera. Jika pemimpin bercakaran, rakyat Perak dengan pegangan politik berbeza juga akan lebih tidak sebulu.

Selama hampir 15 tahun bergelumang dalam bidang kewartawanan, saya berpeluang menyelami kedaifan hidup masyarakat.

Saya pernah melihat ibu, ‘Hasnah’, 43 tahun, memasak air bercampur sos tomato di kuali menggunakan dapur kayu.

“Ibu, lauk dah masak ke? Kami lapar,” tanya anak bongsunya berusia 4 tahun.

Adik beradik lain berusia di antara 8 dan 14 tahun menunggu sabar, hanya pinggan berisi nasi kosong di tangan.

Lauk? Saya berasa hairan. Air bercampur sos itu lauk?

“Kejap lagi nak,” balas ibu sambil tersenyum.

Ibu kepada 5 anak itu kematian suami dan berkerja menoreh getah. Jika hujan, pokok getah basah, ertinya tiada rezeki pada hari itu. Namun ibu itu gigih, dia kemudian mencari pucuk paku di belukar berhampiran rumah untuk dijual. Hasil jualan biarpun tidak seberapa digunakan membeli barangan keperluan harian dapur. Pendapatannya kurang RM250 sebulan, kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang.

Maksudnya, keluarga itu dikategorikan miskin tegar.

Kertas kerja dibentangkan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bertajuk ‘Program Pembasmian Kemiskinan RMK 9’ mendedahkan bilangan isi rumah miskin tegar di Perak, 5,730 berpendapatan kurang RM264.50 sebulan.

Kepada pemerintah politik di Perak, berhentilah bercakaran. Yang Berhormat, YB, semua mempunyai tanggungjawab perlu dilangsaikan. Tinjau dan bantulah golongan miskin tegar seperti Hasnah dan 5,729 lagi.

Saya akur, niat YB semua baik, ingin mentadbir dan memajukan negeri saya tetapi objektif itu sukar dicapai jika YB semua berterusan bercanggah pendapat dan berebut kerusi, saya bimbang nasib rakyat tidak terbela.

Tolonglah YB! Hentikan.

Orang Ketiga

Akhbar sebelum ini melaporkan majoriti pegawai perhubungan pelanggan, GRO, berkhidmat di Lembah Klang berasal dari Kelantan. Kebanyakkan mereka, ibu tunggal terpaksa mencari duit mudah untuk membesar dan menampung perbelanjaan sekolah anak.

Terkini, melalui operasi dijalankan pihak polis, bilangan gadis Sabah dan Sarawak terjebak menjadi GRO dikatakan semakin meningkat. Ramai bukan ibu tunggal, berstatus anak dara tetapi diragui kesuntian mereka.

Majoriti GRO Kelantan, Sabah dan Sarawak berkulit putih dan dikatakan bijak melayan kehendak pelanggan. Kepada isteri, jika suami lelaki gemar berhibur, majoriti bimbang GRO menjadi orang ketiga dalam rumahtangga.

Jadi, andai suami kerap pulang kerumah selepas jam 3 pagi, molek ditanya kemana dia pergi. Bukan apa, lelaki selalunya nakal.

Selasa, Oktober 27, 2009

Jambatan Runtuh: Akibat Lompatan Maut?

“Payah kontraktor kena jawab, ini bukan holocaust, ini negligence!”

Itu antara komen dilontarkan beberapa penduduk tempatan di lokasi kejadian jambatan gantung runtuh di Sungai Kampar, Kuala Dipang, Perak pada jam 10.30 malam tadi. Saya tiba di tempat kejadian pada pukul 6 pagi dan meninjau konkrit jambatan terbongkar dan tercabut dari lokasi tapak asal. Menariknya, jambatan terbabit dilaporkan siap dibina 2 minggu lalu.

Persoalannya, adakah tragedi itu berlaku akibat perbuatan beberapa pelajar sekolah menyertai Kem 1 Malaysia didakwa sesetengah pihak melompat-lompat semasa melintasi jambatan? Jika dakwaan itu benar, pasukan khas bakal ditubuhkan berikutan arahan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menyiasat struktur jambatan secara teliti. Pelik dan ajaib, masakan lompatan beberapa pelajar berusia 12 tahun mampu meruntuhkan jambatan.

Sewaktu entry ini ditulis, hanya satu mayat pelajar berketurunan India, N. Dina Deve, 12 tahun, ditemui pada jam 8.30 pagi tadi kurang 1 kilometer dari lokasi kejadian. Dua lagi mangsa masih dilaporkan hilang, operasi mencari dan menyelamat dipantau dan dikendalikan lebih 250 pegawai dan kakitangan 10 agensi kerajaan masih diteruskan.

298 pelajar dari 65 sekolah di Daerah Kinta Selatan menyertai kem di Pusat Kolokium, Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang bermula semalam dan sepatutnya berakhir Khamis ini.

“Dia anak pertama saya, banyak pandai, dia mahu jadi doktor,” kata bapa berusia 37 tahun.

Dia dan isteri menetap di Puchong, Selangor dimaklumkan berhubung musibah menimpa pada jam 11.30 malam sebelum bergegas ke Kampar.

“Anak saya tinggal dengan saudara di Gopeng sebab dia sekolah sana. Saya sudah jumpa sekolah baharu untuk dia di Puchong. Saya doa sama tuhan, anak saya selamat. Masa dia hendak pergi kem ini, dia jumpa saya, salam. Dia cakap, papa selamat berkerja, sebelum saya balik ke Puchong,” tambahnya sedih.

Dia kemudian menunjukkan gambar anaknya dirakam menggunakan kamera telefon bimbit. Comel, berseragam sekolah, tersenyum, rambut berikat pony tail

“Kalau anak tidak jumpa?,” soal saya.

“Mesti jumpa, saya dapat rasa. Anak saya kena jumpa, dia mesti selamat. Saya ada 3 anak, dia, adik dia 11 tahun dan 1 tahun, semua perempuan tetapi saya paling sayang dia, ” katanya sambil menyapu airmata mengalir di pipi.

Ibu mangsa gagal menahan sebak, menangis teresak-esak sambil ditenangkan ahli keluarga berdiri berhampiran saya.

Setakat ini anak sulung mereka antara 2 pelajar dilaporkan masih hilang. Kerja mencari mangsa dijalankan pasukan Bomba dan Penyelamat Perak dibantu penyelam Vat 69 sukar berikutan arus sungai deras. Hemat saya, kebarangkalian pelajar itu selamat, tipis.

Pada awal kejadian, 22 pelajar dilaporkan hanyut dibawa arus air dianggarkan sedalam 2 meter. Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berada di tempat kejadian kemudian mengesahkan 19 pelajar terselamat.

“Pagi tadi berlaku pergaduhan di antara keluarga mangsa dan pihak penganjur kem, bertumbuk dengarnya,” bisik lelaki menghampiri saya.

Saya hanya mendiamkan diri. Namun hati kecil saya berbisik, pelbagai aspek berhubung pembinaan struktur jambatan akan dipersoalkan dalam tempoh terdekat.

Justeru, saya yakin ada pihak bakal sukar tidur malam.

SCK

Jam 2 petang semalam saya menemubual Setiausaha Agong Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, CUEPACS, Ahmad Shah Mohd Zain di pejabat beliau berhubung keseriusan pembabitan kakitangan awam dalam skim cepat kaya, SCK.

Menurut beliau, 20% daripada 1.2 juta kakitangan awam terbabit dalam SCK. Mereka terpedaya kemudian terdorong menumpukan perhatian kepada pekerjaan kedua, antaranya berniaga dan memandu teksi bertujuan menambah pendapatan untuk menampung kerugian. Sekaligus mereka dikata mengabaikan pekerjaan dan tanggungjawab sebagai kakitangan awam.

Saya dimaklumkan, kakitangan awam berpangkat rendah dibenarkan mempunyai pekerjaan kedua.

Berikut antara komen dihantar pembaca blog ini kepada saya melalui emel.

‘Encik Omar Osman hanya pandai meminta kenaikan gaji dan bonus tetapi tidak pernah seingat saya menyentuh bagaimana untuk meningkatkan produktiviti kakitangan kerajaan’

Dia merujuk kepada kenyataan presiden CUEPACS, Omar Osman memohon kerajaan menimbangkan pemberian bonus 2 bulan gaji kepada kakitangan awam seperti dicadangkan sebelum ini bertujuan menghargai usaha mereka membangunkan sektor awam negara.

Peruntukan itu bagaimanapun tidak diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu.

Jika dicongak lebih 240,000 kakitangan awam terjebak dalam SCK sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam mengeluarkan pekeliling melarang mereka menyertai skim terbabit. Mungkin majoriti mereka terjebak kini sibuk berniaga di pasar malam dan memandu teksi. Penat, mana mungkin mereka menghulurkan perkhidmatan terbaik dan meningkatkan produktiviti sewaktu berkerja di pejabat.

Khusus bagi golongan ini, wajarkah mereka menerima bonus dipohon?

News Jambatan runtuh berhampiran sekolah di Kuala Dipang, Kampar, Perak. 22 pelajar sedang berkhemah di kawsan berhampiran dikhuatiri hilang.

Isnin, Oktober 26, 2009

'Dia' Berkhalwat

'Dia' pengusaha pusat kecantikan berusia 37 tahun. 'Dia', ibu 5 anak dan isteri jurutera dan usahawan pertanian, 46 tahun.

'Dia' ditangkap penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, berkhalwat di rumah sewanya di Pangsapuri Seri Camelia, Sungai Chua, Kajang dengan suami orang, 31 tahun, pekerja syarikat francais tengah malam semalam.

Wajah 'Dia' pernah terpapar di Majalah.

Itu antara berita dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Dahulu, perbuatan ‘curang’ kerap dikaitkan dengan lelaki.

Kini, perempuan sama.

Bravo! Bravo! Bravo!

Nota Syarikat francais? Mc Donald? KFC? Pizza Hut? Burger King? Hummm ...

Ahad, Oktober 25, 2009

Diskriminasi Di Kolam Mandi

Hari ini saya menghubungi kenalan berkerja di hotel lima bintang.

“Hotel lima bintang requires in-house guests, kalau perempuan pakai swimming suit atau tight, lelaki swimming trunk atau Bermuda short”

“Kalau perempuan Melayu umur 50 tahun, tidak selesa memakai swimming suit or tight, lelaki Melayu umur 55 tahun tidak comfortable pakai swimming trunk atau Bermuda short?,” soal saya.

“Bukan apa, swimming pool pakai suction system, takut nanti pakaian guests kena sedut, bahaya”

Saya cuma terfikir, jika pelanggan hotel berbangsa Melayu tidak selesa berpakaian seperti ditetapkan hotel, adakah sekaligus hotel menidakkan hak mereka menggunakan kolam renang? Adakah kemudahan kolam renang disediakan untuk pelanggan bukan Islam samada dari Malaysia atau luar negara sahaja?

Jika faktor keselamatan menjadi alasan, pihak pengurusan hotel wajib memastikan sistem kolam renang lebih selamat tanpa bergantung kepada jenis pakaian digunakan pelanggan.

Ada rakan bertanya kepada ulama terkenal dari Mesir.

“Adakah Malaysia negara Islam?”

Jawaban beliau.

“Malaysia negara dihuni majoriti orang Islam”

Justeru, penganut Islam di negara ini berhak menyuarakan pandangan mereka berhubung isu pakaian di kolam mandi. Setakat ini kebanyakkan pengusaha hotel kelihatan lebih selesa memenuhi tuntutan pelanggan bukan Islam berbanding penduduk majoriti negara ini.

Jika isu ini tidak dibangkitkan, diskriminasi akan terus berlaku kepada pelanggan Islam walaupun mereka membayar ratusan ringgit untuk menginap di hotel lima bintang.

Perempuan Zaman Batu Moden

Jika diimbas kembali, pakaian perempuan zaman batu diperbuat daripada kulit binatang hanya menutup buah dada dan kemaluan mereka sahaja. Mungkin ketika itu agak sukar mencari bahan untuk dijadikan pakaian.

Itu di zaman batu.

Kini majoriti wanita barat mandi di laut atau di kolam renang hanya memakai ‘2-piece swimming suit’, menutup buah dada dan kemaluan. Bezanya berbanding pakaian perempuan zaman batu, material baju mandi terbabit tidak diperbuat daripada kulit binatang. Apa pun, kita faham. Jika setiap inci tubuh ditutup, maka mustahil kulit mereka mampu disinari matahari agar warna menjadi sedikit gelap, 'tan'. Lalu mereka terpaksa mendedahkan sebahagian besar tubuh badan.

Itu di negara barat.

Peliknya, di Malaysia, sebilangan perempuan juga tidak kekok tanpa segan silu memakai baju mandi seksi, sama seperti di barat biarpun bukan bertujuan untuk menggelapkan warna kulit.

Perempuan zaman batu moden, agaknya.

Ouk! Ouk! Ouk!

Sabtu, Oktober 24, 2009

Untitled


Bagi Dia Saya 'Tuan'

Ya, betul. Balang air ini tiada istimewanya sehingga anda membaca entry ini ke ayat terakhir.

Sejak 2 tahun lalu dia keluar masuk rumah saya menghantar balang berisi air dan membawa pulang balang kosong. Mesin air Vertex berharga RM600 ini memudahkan saya dan keluarga membancuh minuman sejuk atau panas dalam kadar segera.

“Tuan, awak punya harga RM5, special, polis punya harga, lain customer RM7 satu balang,” katanya kali pertama dia berkunjung kerumah.

“Terima kasih Uncle Tan,” balas saya.

Biarpun berulangkali saya memberitahu Uncle Tan, saya bukan pegawai polis, dia tetap memanggil saya ‘Tuan’.

“Tuan punya rumah, polis recommend punya,” tegasnya.

Jika dia datang sewaktu saya tidur, isteri akan mengejutkan saya.

“Talak apa, talak apa, Tuan letih,” katanya.

Uncle Tan tidak pernah lekang dari senyuman, hormat kepada pelanggan biarpun dia taukeh kepada perniagaannya sendiri.

Pernah sekali, dia duduk bersama saya, sambil minum petang menonton rakaman ‘360’ di laman web TV3, pelbagai soalan diajukannya.

“Ini baju tuan pakai punya, olang kasi flee ka?”

“Bukan free, orang sponsor,” jawab saya.

“Waaah! Tuan manyak handsome ah?,” pujinya.

“Uncle lagi handsome, saya gemuk maaa,” balas saya.

Dia tersenyum gembira sebelum meminta izin untuk pulang.

Setiap kali sebelum pulang menghantar air, jika saya tiada di rumah, dia tidak lekang berpesan kepada isteri.

“Ini pintu, kasi kunci, sikalang lamai olang jahat”

Uncle Tan, pekerja komited. Jika dia kata datang, dia pasti akan datang kerana dia faham bekalan air diperlukan pelanggan.

Oh! Saya masih belum menjawab mengapa gambar balang air dimuatkan di entry ini istimewa?

Balang ini, balang berisi air terakhir dihantar Uncle Tan. Dia ditimpa kemalangan jalanraya di Puchong, Selangor pada jam 11 pagi 1 Syawal lalu. Berita sedih itu disampaikan adik iparnya, Vivian sewaktu dihubungi 3 hari lalu.

“Van dia bawa punya, kereta Volvo langgar dari belakang. Itu van terbalik, his head was badly injured, pecah, dia mati sana juga,” kata Vivian.

Selepas kematiannya baharulah saya tahu nama sebenarnya Tan Boon Lock, berusia 53 tahun dan berasal dari Melaka. Manakala sehingga keakhir hayatnya saya yakin dia juga tidak mengetahui nama penuh saya. Bagi Uncle Tan, saya ‘Tuan’.

Update Jam 12.30 tadi pekerja adik mendiang, Alex (gambar), menghantar air kerumah. Katanya, Uncle Tan pernah cuba dijodohkan dengan perempuan Melayu tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana mendiang berkata, "Aiyo! Takut 'potong' (sunat) oooooo !"

Lelaki Melayu 'Layu'?

Sebilangan perempuan Melayu ternyata memandang rendah lelaki sebangsa, 'low class', layu dari segala aspek berbanding lelaki asing, kata mereka.

Menurut mereka, lelaki Melayu tidak ‘gentleman’, mungkin kerana jarang membukakan pintu kereta untuk mereka masuk. Lelaki barat, bukan sahaja membuka pintu kereta malah membuka pintu restoran, pintu kedai, pintu butik dan banyak lagi pintu untuk perempuan.

Perempuan Melayu juga merungut, kata mereka lelaki Melayu tidak romantik. Mungkin kerana jarang mengundang mereka untuk ‘candle light dinner’, disisip dengan madah indah.

Oh! Satu lagi, sebelum terlupa. Lelaki Melayu didakwa suka mengambil kesempatan, antaranya jika keluar makan bersama kekasih, pasti perempuan akan menjelaskan bil.

Jika ada lagi sifat buruk lelaki Melayu, mungkin pembaca perempuan Melayu boleh tambahkan. No hard feeling kepada pembaca lelaki, khususnya lelaki Melayu.

Tetapi sebelum melontarkan komen, fikirkan masalah perempuan Melayu berkahwin atau mempunyai kekasih lelaki asing.

Dilaporkan lebih 50 gadis Melayu kini masih menetap di Lombok, Indonesia. Lelaki Lombok bijak memujuk, romantik dan petah berkata-kata Sebahagian gadis terbabit berjaya dibawa pulang ke Malaysia, kata mereka, hidup di sana menyeksakan, kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang, macam ayam. Tanya Maslina Maulat, Che Siti Nor Azreen dan Nurul Wahida Hamzah, cerita mereka pasti sama, ungkapan manis dan keromantisan lelaki Lombok tidak boleh dihidangkan menjadi makanan.

Elis Syuhaila Mokhtar, 34 tahun kini menderita akibat anaknya Feris Mokhtar, 5 tahun dilarikan suami warga Belanda, Frank Theodorus Van De Ven pada 3 Mac 2009. Selepas memeluk Islam, Frank menggunakan nama Melayu, ‘Firdaus’. Lelaki Belanda itu berjaya memperdaya dan menipu Elis, kini hidup sengsara.

Sebilangan perempuan Melayu juga ternyata menggilai lelaki Bangladesh. Mungkin kerana hidung mereka lebih mancung berbanding hidung kebanyakkan lelaki Melayu, penyet. Lelaki Bangladesh dianggap ‘Shah Rukh Khan’ semasa dikenali di Malaysia. Sudah berkahwin, dibawa pulang ke negara asal, hidup terseksa dilayan umpama hamba abdi. Tersedar hakikat hidung mancung tidak bermakna, memohon ‘diselamatkan’ dan kembali ke tanah air.

Ramai juga perempuan Melayu mencari kekasih warga Afrika. Mungkin kerana mereka ‘besar’ dari segala aspek berbanding fizikal lelaki Melayu. Memang segelintir lelaki Melayu terbabit merogol dan meliwat. Malah sebilangan merelakan diri mereka diliwat berulangkali secara sukarela tetapi lelaki Melayu tidak merogol, meliwat dan membunuh anak kecil berusia 3 tahun! Satu lagi, mungkin lelaki Afrika mampu membayar bil jika makan bersama kekasih perempuan Melayu tetapi selalunya mereka juga turut ‘dimakan’ dan ‘diratah’ dek lelaki sama.

Jadi, kepada sebilangan perempuan Melayu kerap memandang rendah lelaki sebangsa, berfikir secara teliti terlebih dahulu sebelum melontarkan sebarang bentuk penghinaan kerana lelaki asing juga terbukti tidak sebaik mana.

Jumaat, Oktober 23, 2009

Syiling 10 Sen Sarawak 1934

19 Oktober lalu, sewaktu di Kampung Debak, Betong, Sarawak, remaja berusia 25 tahun datang menghampiri saya.

“Saya ada tiga, abang pilih satu, saya bagi hadiah,” katanya.

“Ish! Kamu simpanlah,” kata saya.

“Sik mau, ini hadiah! Ada harga kalau dijual,” desaknya.

Terima kasih, biarpun pada ketika itu saya percaya dia berada dalam keadaan 100% khayal akibat menghidu gam keterlaluan.

Harapan saya duit syiling ini dijumpai tertanam di dalam tanah bukan terletak di atas meja di rumah jirannya.

Update Syiling ini ditawarkan dengan harga RM150 di Ebay :)

Mangsa Dan Pemangsa





Huh!

“Saya mahasiswa tahun akhir di Universiti Malaya, berumur 21 tahun. Setakat ini melabur lebih RM40,000 dalam MLM. Sekarang upline buat tahi, kita orang tidak dibayar. Ribuan pelajar tertekan, gagal peperiksaaan, bergaduh dengan keluarga, pinjam duit ah long dan ada sampai hendak bunuh diri. Tolong jumpa saya untuk mendedahkan masalah ini”

Itu antara pesanan ringkas, SMS saya terima malam semalam. 22 Oktober, jam 1.42 pagi, wanita mendakwa bernama ‘May’, 35 tahun, menghantar SMS berikut kepada saya melalui talian hotline 360.

“Hello, my name is May from PD. I have nowhere and nobody else to turn to. It’s hard to explain but briefly I have 2 major problems. 1. There is an ah long chasing after me. 2. I have a daughter aged 11. My parents have been looking after her since 2004. Three days ago, I told my mum that I would have my daughter to stay with me here in PD. My mum refused and was asking for RM20,000 as a ransom to release my daughter. I am shocked, depressed and at the same time living in fear, scared if the ah long could find me. I badly need advice, counseling and help right now. This situation is killing me. I don’t know how much longer that I can stand. Please get me before I commit suicide!!!”

Huh! Masalah kewangan jelas mampu mendorong manusia berhasrat mencabut nyawa sendiri rupanya. Ada masalah boleh dibantu, ada di luar jangkauan saya.

News! 12.50 tengahari tadi, kedai emas dirompak di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor. Empat perompak, Cina dan India bersenjatakan pistol dan parang dilapor memandu Toyota Camry dicuri melarikan barangan kemas dianggarkan bernilai RM600,000.

Khamis, Oktober 22, 2009

Terjahan 'Awang Hitam'

Sudan, negara terbesar di Afrika, ke-10 terbesar di dunia dengan 42 juta populasi. Sebilangan kecil mereka memasuki negara ini menggunakan visa pelajar tetapi tidak pernah menuntut di institusi pengajian tinggi kerana sibuk memikat perempuan tempatan gilakan 'Awang Hitam'.

Di Sudan, Kanun Keseksaan 1991 mentakrifkan ‘liwat’, lelaki memasukkan kemaluannya ke dubur perempuan atau lelaki. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh disebat 100 kali dan dipenjara 5 tahun.

Bagaimanapun lelaki Sudan, Mohannad Taha Ismail, 25 tahun didakwa mendera, merogol dan meliwat Aaliyah Aiman Hussin Abdullah, 3 tahun, sehingga mati di Kondominium Reniville, Taman Puteri, Batu 9, Cheras, Selangor 12 Oktober lalu mungkin akan dihukum mati. Begitu juga ibu Alia, janda berusia 24 tahun kerana pasangan kekasih itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semasa keterangan dirakam polis, ibu Alia dilapor sanggup berbohong mengatakan konon anaknya didera pembantu rumah bertujuan mengelakkan kekasihnya ditahan.

Datuk Alia, Amran Mohd Said, 49 tahun mendakwa terlihat tanda merah pada tubuh dan benjol di dahi cucunya semasa melawat mangsa bulan lalu. Dia juga tahu anak perempuannya tinggal bersama lelaki Sudan didakwa pernah menyentap kuat tangan anaknya, setiausaha syarikat swasta itu.

Secara peribadi, saya tidak tergamak membayangkan betapa seksanya Alia jika benar dia diliwat dan dirogol dek kekasih ibunya. Yalah, ‘Awang Hitam’ untuk ibu tetapi ditujah kepada anak kecilnya.

Biarpun agak terlewat menulis entry berhubung kes ini, saya terfikir, apakah antara faktor pendorong ibu bertindak kejam hanya kerana lelaki Sudan? Ibu, perempuan, insan dikatakan bersifat lemah lembut dan penyayang.

Gambar Harian Metro

Update Utusan Malaysia melaporkan ibu Aaliyah dibebaskan tanpa syarat setelah siasatan mendapati dia tidak bersalah namun akan dipanggil mahkamah sebagai saksi utama. Manakala lelaki Sudan terbabit akan dituduh di mahkamah, esok.

Dahulu Duduk Sekarang Berdiri

Dahulu, jika makan kena duduk biarpun tidak bersila. Jika tidak, pasti ditegur dek orang tua. Sekarang, menjamu selera kaedah buffet di kawasan terbuka, majoriti berasa selesa makan berdiri.

Dahulu kalau lelaki membuang air kecil, kena duduk. Sekarang, berikutan rekaan baharu mangkuk tandas, ramai kencing berdiri.

Sedar atau tidak, pengaruh luar mampu membuat kita berdiri biarpun sebelum ini duduk mengikut adat orang timur.

Lima Jari Besar

Jam 10.30 malam tadi, mereka dilaporkan memasuki kawasan perumahan tempat saya tinggal melalui pintu utama dipantau 3 pengawal keselamatan. Alasan diberi, melawat rakan sekerja tinggal di kawasan sama.

15 minit kemudian cerita terbabit bertukar plotnya.

“Saya tangkap dia orang ini semasa cuba memanjat pagar,” ujar pengawal keselamatan.

Mereka, 3 lelaki warga Indonesia, gambar saya rakamkan.

"Panjat pagar sebab apa?,” soal saya.

Malangnya, tiada jawaban terpancul dari mulut mereka.

“Kata kawan kamu tinggal di Blok A, kamu panjat pagar di hadapan Blok C buat apa?,” soal saya lagi.

Mereka tetap berdegil, mendiamkan diri.

“Aduh! Tolong Pak, minta maaf,” jerit lelaki berbaju merah.

“Oh! Ingatkan bisu,” balas saya.

“Tadi saya tanya buat apa? Lelaki berbaju putih itu cuba pukul saya. Baju merah tengah memanjat pagar. Bila saya tanya dia kenapa panjat pagar? Dia kata cuma hendak tahu samada di situ ada pagar ke tidak,” jelas pengawal sama.

Saya tersenyum, dalam keadaan kaget mungkin itu sahaja alasan terfikir dek mereka.

“Di Indonesia mungkin kamu boleh panjat pagar sesuka hati, di sini tidak boleh sebab kita ada jalan keluar,” kata saya kepada mereka.

Cuma seorang mengemukakan salinan paspot, dua lagi mendakwa dokumen perjalanan mereka dipegang majikan, Giant Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Saya kemudian menghubungi pihak berkuasa. Kurang 10 minit 2 anggota polis bermotosikal bersama 2 anggota kereta peronda Balai Polis Kota Damansara tiba di lokasi lalu menahan mereka bertiga.

***

“Waduh! Kenapa di muka kamu ada kesan lima jari besar?,” tanya lelaki berbaju putih.

“Di muka kamu juga ada,” balas lelaki berbaju merah.

Lelaki berbaju belang kemudian mencelah.

“Aku juga sama”

Mungkin itu antara kandungan perbualan mereka sebelum tidur di lokap malam tadi.

Rabu, Oktober 21, 2009

Remaja Tarik Bulan

Remaja mendakwa mampu menjadi ‘Superman’ berikutan kuasa dimiliki (juga dakwaan). Dia juga berkata, kuasa sama mampu memusnahkan orang lain (macam laser rasanya). Justeru, mereka saling ‘tembak menembak’ di jalanan.

Di samping itu rakannya mendakwa mampu ‘menarik bulan’ sewaktu khayal.

Manakala wartawan 360 di Johor Bahru, Johor, blogger Hazrey, The ‘Bapak Gula-Gula’ menemubual remaja berusia 14 tahun. Di episod pertama 360 pada 4 April 2007, remaja sama dirakam kenyataannya berhubung kes menghisap gam. Apakah perkembangan kehidupan remaja itu?

Semuanya saya jawab dalam paparan 360, 'Gam Gila', jam 9 malam ini di TV3.

Bercengkerama Di ...

Jam 4 petang, 18 Oktober lalu saya ke taman di Kuching, Sarawak. Sewaktu berjalan memasuki kawasan riadah dikunjungi ramai terbabit, mata saya terpaku melihat pasangan remaja bercengkeraman di bangku simen ini. Barangkali kerana nafsu memuncak, mereka saya anggarkan berusia kurang 18 tahun itu ghairah berpelukan dan berkucupan berulangkali di kawasan awam.

Saya terpaksa melintasi jalan di tepi mereka untuk berkunjung ke akuarium berhampiran. Sempat juga menjeling perlakuan mereka dari jarak dekat.

“Ehem!,” saya berpura-pura batuk.

Gadis sedang berbaring itu bingkas bangun, mungkin terkejut melihat kelibat saya. Bukan saya sebagai Mazidul Akmal Sidik, saya sebagai pengunjung taman. Yalah, mungkin mereka kenal, mungkin tidak. Sewaktu keluar dari akuarium 15 minit kemudian saya terserempak pasangan sama berjalan bertentangan arah. Mereka berdua senyum, saya membalas senyuman mereka.

Di Lembah Klang, kejadian pasangan bercengkerama di tempat awam bukan perlakuan asing. Namun, kejadian di taman itu amat berbeza dan terlalu ‘unik’.

Mengapa? Maaak! Ooooi!

Apa tidaknya, sewaktu melintasi tempat mereka bercengkerama sebelum itu, saya terperasan bangku simen itu terletak kurang semeter dari kubur Kristian. Perhatikan gambar saya rakamkan.

Benarlah kata pujangga, lain padang lain belalang.

Nota Kawasan sama dipenuhi ratusan kubur di lokasi berselerak.

Jom Jaga Tepi Kain Jiran!

Majoriti golongan elit tinggal di rumah banglo, kelompok berpendapatan sederhana menghuni apartmen manakala mereka berpendapatan rendah menetap di rumah flat. Biarpun tempat tinggal berbeza, kebanyakkan mereka mempraktikkan tabiat sama.

Jika terjeling anak jiran pulang awal pagi, terhoyong hayang, mabuk sambil memeluk erat teman wanita atau lelaki diusung kerumah …

Biarkanlah.

Jika ternampak anak jiran membawa pulang motosikal diketahui dicuri …

Biarkanlah.

Jika terlihat anak jiran menghisap dadah atau menghidu gam di lorong belakang rumah …

Biarkanlah.

Jika terpandang pasangan beragama Islam tanpa nikah tinggal sebumbung bertahun lama sehingga beranak-pinak …

Biarkanlah.

Kenapa biarkahlah?

Kerana kononnya kita enggan menjaga tepi kain jiran. Kita gentar menegur biarpun kemungkaran berlaku di hadapan mata. ‘Kita’, termasuk sebilangan Pak Haji, Imam, Bilal, Ustaz dan ‘kaki masjid’. Mereka hanya berani bercakap di belakang tanpa tindakan, takut benar dimarah jiran kerana menjaga tepi kain mereka.

Bagaimana jika si pemabuk, si kaki perempuan, si pencuri motosikal, si penagih dadah dan si penghidu gam dan si penzina itu, anak kita?

Jiran kita pasti akan berkata …

Biarkanlah.

Gambar Jurukamera 360 dan penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan merakam gambar tin gam di lokasi.


Selasa, Oktober 20, 2009

Polong Sri Aman

“Hujan, bawa slow sikit,” saya memperingatkan jurukamera Wan Amran Wan Ibrahim ketika itu memandu pada kelajuan 80 kilometer sejam.

Tiba-tiba pada jam 12.35 tengahari kereta hilang kawalan, menggelongsor kekanan. Wan pantas memusing stering kekiri berulangkali. Stabil buat seketika, kereta kami naiki kemudian terheret kekiri lalu melanggar penghadang jalan. Jika dibrek, saya jangka kereta mungkin terbalik. Bagaimanapun, semua krew termasuk penerbit, Mohd Raziff Zulkafli dan pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK, Sofea Anne, tidak mengalami kecederaan. Laporan polis dibuat di Balai Polis Debak.

Kurang 2 kilometer dari kawasan itu, dua lagi kemalangan berlaku. Kereta kacil dipandu wanita terbabas pada jam 11 pagi melanggar penghadang jalan sehingga bengkok teruk. Manakala kenderaan lain melanggar kereta diparkir di tepi jalan. Semua mangsa dilaporkan selamat.

Operasi Bersepadu membanteras penghisap gam bersama AADK di Daerah Kecil Kabong bermula pada jam 1 tengahari, tamat jam 12.30 malam. Kami kemudian menghadiri majlis makan malam di rumah panjang di Saratok sebelum memandu pulang ke Kuching pada jam 1.30 pagi.

“Kalau sampai kawasan bukit di Sri Aman, elok-elok. Selalu orang jumpa hantu polong. Dia terbang rapat dekat cermin sebelah pemandu,” bisik penduduk rumah panjang terbabit.

Menakutkan tetapi kami terpaksa meneruskan perjalanan, penerbangan ke Kuala Lumpur dijadualkan pada jam 1.55 tengahari tadi. Kami tiba di Hotel Dormani pada jam 6.30 pagi dan sempat tidur selama 3 jam.

Banyak cabaran dilalui bagi menghasilkan laporan kali ini namun itu tanggungjawab kami. Kini semua krew 360 sedang menyiapkan laporan ‘Gam gila’ bakal disiarkan pada jam 9 malam esok.

Tragedi

Tengahari semalam dalam perjalanan ke Saratok, Sarawak, saya dan krew ditimpa kemalangan. Kereta dipandu jurukamera Wan Amran Wan Ibrahim dengan kelajuan 80 km/jam gagal dikawal sewaktu hujan lebat dan terbabas melanggar penghadang jalan. Mujur semua selamat.

Perkembangannya saya catatkan kemudian

Isnin, Oktober 19, 2009

Usir Mereka

Dilaporkan 610, 614 warga asing kini menetap di Sabah. Hanya 230,000 sahaja memiliki dokumen perjalanan sah. Maksudnya, 310,614, pendatang haram.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan lebih serius terhadap mereka.

Pada masa sama, saya melihat bilangan itu simbol kegagalan pihak berkuasa mengawal sempadan negara daripada dibolosi dan mengesan warga asing tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan.

Jika dibiarkan pendatang haram terus menghuni bumi Malaysia, pelbagai kegiatan haram mereka dalangi kerana ini bukan tanah air mereka.

Peduli apa.

Ahad, Oktober 18, 2009

Balik! Balik! Balik!

“Balik! Balik! Balik!”

Jerit berang lelaki berambut panjang, tanpa berbaju menaiki motosikal menunggang laju kearah saya, Penerbit 360, Mohd Raziff Zulkafli dan jurukamera, Wan Amran Wan Ibrahim.

“Balik! Balik!,” jeritnya lagi apabila melihat dua remaja itu tidak berganjak.

Tiga remaja lain bersama kami kemudian bersuara.

“Dia mabuk tu, minum arak murah, ‘Jin’”

Kejadian itu berlaku pada jam 7 malam tadi, sewaktu Raziff menemubual remaja lelaki ketagih menghidu gam berusia 15 tahun di lorong belakang rumah di Kampung Gita Baru, Kuching, Sarawak. Berikutan itu rakan remaja terbabit berusia 16 tahun melarikan, ketakutan. Bagaimanapun, kami tidak berundur dan meneruskan tugasan.

Awal pagi esok, kami akan ke Saratok, 5 jam perjalanan menaiki kereta dari Kuching, meninjau gejala hidu gam di daerah itu.

Gambar (kanan) Wan dan rakan, Ismail

Sabtu, Oktober 17, 2009

Perempuan Elok Dimadu

Ada rakan (bukan pujangga) berkata …

"Perempuan elok dimadukan sahaja"

"Mengapa?," tanya saya.

"Bila sudah dimadukan, baharulah dia 'berebut' suami, terbit perasaan cemburu. Apabila cemburu dia akan bersaing di antara satu sama lain. Tidaklah dia melayan suami sambil lewa. Betul tidak?," soalnya.

Saya cuma mendiamkan diri kerana mahukan pembaca menjawab soalan itu.

Ucapan Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut agama Hindu.


.... Gambar II

Ya! Saya berharap gambar berikut bukan 2 individu dimaksudkan seperti didakwa penghantar emel kepada saya. Mereka dikatakan lelaki berperwatakan seperti perempuan, pondan.


Akhir sekali untuk melihat gambar penuh mereka, sila klik tampalan berhubung HIV Tertinggi Di Kelantan.

Buai Bergerak Sendiri

Pagi tadi sewaktu sarapan di Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, saya ditunjukkan gambar pegun ini.

“Gambar ini saya rakam sebulan sebelum puasa. Masa itu buaian besi di rumah saya berhayun sendiri, lebih setengah jam. Biasanya kalau angin bertiup kuat sekalipun, buai itu memang tidak bergerak. Buai berhayun sendiri, sudah dua kali terjadi. Kali kedua, masa saya tengah bersembang dengan kawan di depan rumah tetapi mata fokus kebuaian,“ ujar Rahim Idris, 55 tahun.

Saya kemudian merakam semula gambar di skrin telefon bimbit terbabit menggunakan kamera Canon G9.

"Saya ambil gambar ini pada jam 10 malam. Sebelum itu saya cakap, kalau betul kau ada di sini, eloklah pergi tempat lain, kalau tidak aku minta izin ambil gambar. Saya baca ayat Kursi, lepas itu ambil gambar," jelas Rahim.

Entah, sayapun kurang pasti visual apa dirakamkan tetapi kelihatan objek muncul di sebelah kanan buaian. Saya perhatikan lebih teliti, objek itu pastinya tidak semanis wajah peserta akhir program Gadis Melayu TV9, saya temui di pejabat tempoh hari.

Apapun objek itu, hanya Allah maha mengetahui.

Jumaat, Oktober 16, 2009

Jangan Tidur Lagi

Saya gemar berada di panggung wayang tetapi tidak bermaksud suka menonton filem ditayangkan. Semalam saya menonton filem ‘Surrogates’, lakonan Bruce Willis. Kurang 10 minit, suasana menjadi gelap, tiada visual, tiada suara dan tiada warna di skrin mata saya.

“Abang! Bangun! Movie sudah habis,” kata pekerja Bangladesh menyentuh bahu, mengejutkan saya.

Itu bukan kali pertama. Jika tidak dikejutkan tukang cuci lantai panggung warga Bangladesh, pasti pekerja Indonesia melaksanakan ‘tugas’ itu. Kerap benar saya tertidur di panggung wayang samada menonton bersama rakan taulan atau ahli keluarga. Mujur tidak berdengkur.

Hanya filem tertentu mampu menyelak kelopak mata saya dari awal hingga akhir. Saya gemar menonton filem aksi, aksi berterusan. Bukan filem sekejap ada aksi kemudian diselang seli scene romantik. Dalam tempoh dua tiga minit itu saya boleh terlena. Entahlah mungkin kerana usia beransur tua.

Hakikatnya, saya terlalu senang tidur, asalkan terletak kepala saya terlena. Mungkin sebab itu tidak ditakdirkan menjadi Perdana Menteri, bimbang saya tertidur di Parlimen. Apa pula kata Menteri Kabinet pimpinan saya nanti. Macam saya tidak memperdulikan pembentangan hujah mereka mewakili suara rakyat di negara ini. Di Parlimen, lampu terang, suasana cerah, semua orang nampak andai kita tidur tersenguk senguk. Segan apabila gambar dirakam dek jurugambar dan kemudian dijadikan bahan arkib.

Tidur di panggung wayang, saya tidak menyusahkan sesiapa kecuali pekerja Bangladesh dan Indonesia terbabit. Lagipun saya membeli tiket RM9 untuk tidur selama 90 minit, tidur berharga 10 sen bagi setiap minit.

Semoga Perdana Menteri terkini tidak tertidur sewaktu mendengar suara rakyat biarpun di mana beliau berada. Begitu juga wakil rakyat dilantik, Yang Behormat, YB, jika mereka terlena dibuai kemewahan, pasti rakyat melupakan mereka. Justeru 'YB' perlu menjadi golongan ‘Yang Berjaga’ bukan 'Yang Beradu'.

Benarkan Cermin Gelap

Maaf, entry ini panjang sedikit berbanding biasa. Namun kandungannya penting untuk dibaca semua.

“Sebab apa MPV Toyota Alphard banyak pakai cermin gelap?,” soal kenalan.

Diceritakan kepada saya, cermin asal Toyota Alphard ketika diimpot ke Malaysia, gelap. Ejen penjual kenderaan pelbagai guna, MPV, terbabit dikatakan menukar semua cermin gelap kenderaan itu dengan cermin cerah sebelum diperiksa Puspakom. Selesai pemeriksaan, cermin gelap dipasang semula.

Peraturan Kecil Jabatan Pengangkutan Jalan, Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 menetapkan cermin depan kenderaan hendakah telus cahaya tidak kurang 70% manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang 50%. Kesalahan pertama, pemilik kenderaan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 minggu. Kesalahan kedua denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 1 bulan atau keduanya.

Sebelum ini Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, dilapor berhasrat mengadakan operasi pemeriksaan cermin gelap bermula 1 Oktober 2009 tetapi terpaksa ditangguhkan.

Saya difahamkan sumber boleh dipercayai, JPJ telah mengadakan mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia, PDRM dan Kementerian Pengangkutan. JPJ mencadangkan pemilik kenderaan di Malaysia dibenar menggunakan cermin gelap kecuali cermin depan mengikut standard diguna pakai di negara Eropah. Bagaimanapun, dilaporkan cadangan itu dibantah keras PDRM atas sebab keselamatan. Mungkin PDRM mempunyai alasan kukuh tidak terfikir dek akal saya.

Andaian saya, PDRM mungkin bimbang jika kenderaan bercermin gelap disalahgunakan penjenayah. Namun, melalui pengalaman, saya tidak pernah melihat kenderaan bercermin gelap digunakan dalam kes rompakan. Hemat saya, penjenayah lebih cenderung menggunakan kenderaan dicuri secara rambang.

Dalam mesyuarat sama, PDRM dilapor menyerahkan tugas penguatkuasaan memeriksa kenderaan bercermin gelap kepada JPJ. Namun, JPJ membuat keputusan mengesan kenderaan terbabit secara rambang melalui rondaan di jalanraya, jika dikesan pemilik diarah membawa kenderaan ke JPJ untuk pemeriksaan. Setakat ini JPJ dipercayai memilki 100 alat pengesan kadar ketelusan cahaya berharga RM30,000 setiap satu. Alat terbabit didakwa mampu merekod bacaan tepat dalam semua keadaan cuaca.

Maklumat penting berikut ingin saya kongsikan bersama pembaca. Hanya Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan, Tengku Mahkota, Raja Muda, Hakim Mahkamah Tinggi, Panglima Tentera Darat dan Ketua Polis Negara sahaja dibenar menggunakan kenderaan bercermin gelap di negara ini. Individu disahkan Ketua Polis Negeri terancam keselamatan diboleh menggunakan cermin gelap. Begitu juga individu terancam kesihatan akibat cahaya matahari disahkan doktor pakar hospital kerajaan.

Selain daripada golongan itu, tindakan undang-undang boleh dilaksanakan.

Bagaimanapun, melalui pandangan mata kasar majoriti pemimpin politik dan pihak berkuasa didapati menggunakan kenderaan bercermin gelap, antara mereka, Menteri Kabinet, wakil rakyat, pegawai dan kakitangan JPJ, PDRM, Kastam dan Jabatan Imigresen. Kita semua bersetuju, 'no one is above the law', tiada siapa kebal daripada tindakan undang-undang, lalu ramai mempertikaikan tindakan mereka. Namun, sebilangan besar pemilik kereta persendirian mengambil pendekatan berbeza. Bak kata pepatah Inggeris, ‘if you can’t fight them, you join them’, maka, mereka juga menggunakan cermin gelap.

Untuk mengelakkan imej pemimpin politik, pihak berkuasa dan pemilik kenderaan peribadi daripada terus tercalar, saya menyokong semua kenderaan di Malaysia dibenar menggunakan cermin gelap.