Rabu, Februari 04, 2009

Dibunuh Zalim

Binatang peliharaan dibunuh zalim!

“Kebetulan saya ternampak pembunuhan kejam ke atas anjing dan kucing, anjing anjing tu dijerut lehernya sampai mati dan kucing kucing dilemaskan dalam tong berisi air dan sekiranya belum mati dia dibelasah sampai mati,” kenyataan responden, saksi kejadian.

Saya menghantar wartawan ke lokasi kejadian. Lelaki mengheret bangkai anjing dengan tali menjerut leher haiwan terbabit. Visual dirakam jurukamera 360, jam 8 pagi Jumaat lalu.

Pihak mana bertanggungjawab?

Saksikan 360 malam ini, jam 9 malam di TV3.

Selasa, Februari 03, 2009

Keluarga Besar Pelayar

Minggu lalu saya ke Bagan Lalang, Sepang, Selangor. Pantai dan air laut bersih menarik perhatian saya. Ramai pengunjung berkelah sambil bermandi manda bersama keluarga. Waktu malam mereka berkumpul membakar daging, ayam, ikan, udang dan sotong segar.

Kadar harga chalet dan hotel, antara RM80 dan R160 semalam.

Justeru, terlintas di fikiran. Kini hampir setahun kita berhubung di alam siber biarpun dipisahkan lokasi berbeza. Kekadang setiap kita melontarkan pandangan dan pendapat berlainan, kekadang sama. Apapun, kita bagai sudah menjadi keluarga. Keluarga besar pelayar blog ini.

Apa kata jika 7 Mac, Sabtu akan datang kita berkumpul di Bagan Lalang buat semalaman. Jika berminat sila hantarkan butiran diri, nama penuh dan nombor telefon bimbit ke mazidul360@yahoo.com.my untuk saya hubungi. Kemukakan juga cadangan bernas untuk melaksanakan hasrat ini.

Double Ke?

Pengedar Jenaka Ditahan

“Awak ditahan kerana mengedar jenaka!,” ujar penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berseloroh.

Penyampai radio Fly.Fm, Fabian, 39 tahun dengan tangan dikilas kebelakang hanya tersenyum.

Gambar mereka saya rakamkan pada jam 10 pagi tadi.

“Bayangkan pandu kereta seorang, boleh tersenyum sendiri bila dengar jokes Fabian. Kalau orang lain tengok kita mesti cakap, mesti tak betul orang ni,” jelas Kamal.

Botak, bertubuh gempal, peramah, Fabian, anak kelahiran Ipoh, Perak, dibesarkan di Lembah Klang. Celotehnya bersama penyampai lain boleh didengar melalui frekuensi 95.8 MHz.

“Mazidul dan Fabian macam double la,” usik Kamal.

Kami tersenyum.

Paling pasti, biarpun berbeza bangsa dan ugama, kami saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Isnin, Februari 02, 2009

Anak Menjadi Mangsa

Tabika Kemas Kuala Sg. Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang dikunci kali ke dua. Kesannya, pelajar terpaksa belajar di bawah terik matahari. Majoriti mereka anak golongan berpendapatan rendah, nelayan dan pekerja kilang.

Jika tindakan terbabit bermotifkan politik, hentikan. Usah jadikan pelajar cilik tidak faham maksud politik sebagai mangsa. Izinkan mereka menuntut ilmu dalam suasana selesa.

Ahad, Februari 01, 2009

Makan Duit Lendir

Majoriti pegawai perhubungan pelanggan, GRO di Lembah Klang berasal dari Kelantan. Kenyataan berhubung statistik terbabit disiarkan surat khabar tempatan sebelum ini.

GRO bekerja di pusat hiburan mampu meraih pendapatan antara 3 ribu dan 20 ribu ringgit sebulan, bergantung kepada ‘perkhidmatan’ ditawarkan. Tidak dapat dinafikan, sebilangan GRO rakus menjual diri memburu kemewahan hidup. Majoriti mereka, gadis kehilangan maruah di usia muda dan ibu tunggal, kelompok wanita mendakwa dikecewakan LELAKI bergelar suami.

Justeru, kebanyakan GRO membidas LELAKI, menjerumuskan mereka ke kancah maksiat.

“LELAKI bijak memujuk, meragut mahkota diri perempuan, kemudian menghilangkan diri. Suami pula tak boleh diharap. Bila dah ada anak, ada affair dengan betina lain lepas tu ceraikan kita jadi janda. Kalau kerja kilang, dapat seribu lebih sebulan, anak dua, bukan cukup menampung perbelanjaan di kota besar. Jadi GRO senang, bayaran lumayan”

Apapun, maklumat saya perolehi, kebanyakan GRO gemar ‘membela’ LELAKI. LELAKI pemandu, menghantar dan menjemput mereka dari tempat kerja pada waktu dinihari, LELAKI peneman tidur, LELAKI dibiayai pakaian, makanan dan minuman menggunakan wang gaji sendiri. Kelompok digelar ‘LELAKI makan duit lendir’.

GRO, mereka tidak serik dengan LELAKI.

Hairan.

Ikan Segar

Semasa berkunjung ke Pasar Ikan Bagan Lalang, Sepang, Selangor, saya tanyakan soalan …

“Macamana nak tahu ikan segar atau tidak?”

“Mata cantik, perut tak pecah, insang warna merah, badan ikan masih berlendir. Lagi satu tengok ada lalat tak? Lalat suka pada ikan segar. Tapi sekarang ni ada penjual letak pewarna pada insang, nak jadikan merah. Tapi bila kita picit, pewarna akan terkeluar,” kata peniaga memperkenalkan diri sebagai Kak Has.


Bukan semua pandai memilih ikan semasa ke pasar. Kan?