Sabtu, Februari 07, 2009

Nasi Bungkus Gratis

Diberitakan seorang daripada 9 ditahan merusuh di Kuala Kangsar, Perak semalam, warga Indonesia.

Mungkin dia mencari nasi bungkus percuma.

Sewaktu berada di Kota Jakarta, Indonesia 6 tahun lalu saya dimaklumkan wartawan membuat liputan jenayah dari stesyen TV, Indosiar …

“Pak Mazidul, kami di sini kalau ngak puas hati, demo saja”

“Ramai sertai demo?,” soal saya.

“Of course Pak. Bas dibawa masuk ke desa, panggil orang, berikan mereka gratis (percuma) baju, head bands, banners, sedikit wang dan nasi bungkus, mereka turut saja,” jelasnya.

Hangit Menusuk Hidung

Pagi tadi krew 360 ke Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL di Setapak.

Terperanjat, lebih 150 pencinta haiwan berkumpul di kawasan sama membantah secara aman pembunuhan haiwan secara kejam didakwa dilakukan kontraktor dilantik DBKL sepertimana dipaparkan 360 dalam siaran 4 Februari 2009. Saksikan melalui tv3.com.my. Anjing didakwa dijerut leher manakala kucing dibenamkan ke dalam air dan dibelasah sehingga mati bukan dibunuh menggunakan kaedah suntikan.

Kurang 100 meter dari pusat terbabit, bangkai anjing dan kucing dimasukkan ke dalam lubang digali tanpa dikambus. Bau hangit menusuk hidung. Lebih memeranjatkan di kawasan itu terpacak papan tanda DBKL, ‘Dilarang membuang sampah, denda RM2000’.

Semua berada di lokasi mahu kegiatan di pusat terbabit dipantau lebih teliti pihak DBKL.

Bahan liputan bakal disiarkan 360 pada 11 Februari akan datang.

Sama Bangsa

Bekas Menteri Besar Perak, Datu Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan niat menyaman Sultan Azlan Shah, sebaliknya mendakwa laporan terbabit fitnah media UMNO dan Barisan Nasional.

Dalam satu sidang akhbar Karpal Singh dirakamkan stesyen TV semalam, Nizar dilapor akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana mendakwa Tuanku bertindak melampaui bidang kuasa baginda mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang tidak sah.

Jika benar Nizar tidak berhasrat mengambil tindakan undang undang, elok benarlah. Nizar dan Tuanku berbangsa sama, Melayu.

Jumaat, Februari 06, 2009

Derhaka Berbaloi?

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mewakili Pakatan Rakyat diberitakan membuat keputusan menyaman Sultan Perak di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh, menamakan Sultan Azlan Shah, defendan pertama manakala Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, defendan ke dua kerana didakwa melanggar perlembagaan negeri Perak.

Jika diimbau sejarah, Hang Jebat derhaka kepada Sultan Melaka akibat kecewa menyangka kekandanya Hang Tuah mati dihukum Sultan.

Berbalaoikah penderhakaan Nizar terhadap Sultannya?

Ingkar Titah Sultan?

Saya dilahirkan di Kampung Sungai Bill, Tanjung Malim, PERAK. Justeru kemelut politik berlaku di negeri kelahiran menarik perhatian saya.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberitakan enggan melepaskan jawatan Menteri Besar, MB Perak, bercanggah sekaligus mengingkari titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

“Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda ’patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan’,” ujar Nizar dalam sidang media.

Bagaimanapun, keputusan mutlak Sultan terbabit tidak boleh dicabar kerana dilakukan mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

Maksudnya, Nizar tidak punyai pilihan lain kecuali akur titah Baginda.

Sehubungan itu semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas perkenan Sultan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak ke-11. Zamri akan mengangkat sumpah sebagai MB di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak pada jam 3.30 petang ini.

Ada komen?

RM5

Pelbagai kempen ‘beli barangan asli’ dilaksanakan pelbagai pihak, namun bahan optik cetak rompak, khusunya VCD berlambak dan mudah diperolehi di pasaran. DVD dijual secara terbuka bukan sahaja di pasar malam malah di gedung membeli belah ternama.

Pihak berkuasa sehingga kini dilihat gagal membanteras edaran bahan terbabit secara total di seluruh negara.

“Kita tengok movie sekali. Bawa 5 anak ke panggung wayang, kena belanja RM50 lebih. Itu belum campur air dan popcorn. Beli satu VCD cetak rompak baru RM5, balik rumah, tengok ramai ramai, jimat,” komen rakan.

Biarpun tidak menyokong, tindakan membeli bahan optik cetak rompak hakikatnya menguntungkan pengguna.

Khamis, Februari 05, 2009

Dahulu Dan Sekarang

Dahulu …

“Jangan keluar tengahari ni. Nanti kena sorok dek hantu tetek, baru kamu tahu. Tetek dia tu besar sangat, dikepitnya dekat celah tu, menangislah kamu, sampai esok pun tak akan boleh keluar!”

Tegur ibu enggan membenarkan anaknya berusia 6 tahun merayau keluar rumah.

Kini …

”Jangan keluar tengahari ni. Sharlinie tu dah lebih setahun hilang sampai sekarang polis tak jumpa lagi. Bahaya, nanti kamu kena culik dek orang jahat baru tau!”

Ujar ibu melarang anaknya berusia 9 tahun memohon ingin bermain di luar rumah.