Masyarakat Melayu sekian lama dimomokkan dengan cerita hantu, tidak terkecuali saya.
“Kalau dengar orang bagi salam, tengok dulu siapa. Jangan main jawab sahaja. Takut nanti hantu Kum Kum,” pesan orang tua.
Hantu Kum Kum dikatakan wanita berpakaian serba hitam dan bertudung labuh, kerap merayau di kawasan kampung mencari mangsa, kanak-kanak. Hantu popular di penghujung tahun 70 an itu dikatakan mengumpan mangsa dengan ais krim Malaysia. Tetapi tiada mangsa hantu Kum Kum dilaporkan terkorban.
Pernah, pada jam 1 pagi, 25 tahun lalu, rakan sekampung menjerit tidak ketentuan di hadapan rumah.
“Aku nampak hantu tinggi tadi. Dia berdiri halang jalan, bila mendongak aku tengok dia tinggi, hitam, badan berbulu!,” katanya.
Hantu tinggi juga dikenali sebagai hantu galah, tidak pernah mencedera atau membunuh sesiapa.
Ketika bermalam bersama arwah opah saudara di Kampung Lintah, Slim Village, Perak, 35 tahun lalu, saya terbangun dari tidur.
“Hoi! Jangan kacau, cucu aku nak tidur, pergi tempat lain! Aku parang engkau baharu tahu!,” jerit opah sambil memegang lampu pelita minyak tanah.
“Apa itu opah?,” tanya saya.
“Langsuir. Dia terbang atas atap. Bila dihalau dia kencing atas pokok manggis depan pintu tu,” balasnya.
“Dia tak gigit orang ke?,” soal saya lagi.
“Tak adalah. Dia selalu mengilai, bising,” jawabnya.
Dahulu, orang tua kerap berkata …
“Huh! Anak si anu tu, jahat macam hantu”
Sebenarnya, jika benar wujud, hantu di Malaysia tidak sejahat sebilangan manusia. Manusia bergelar penjenayah antaranya menyamun, merompak, merogol dan membunuh. Hantu tidak pernah mencatatkan rekod jenayah.