Saya menghubungi peguam sivil, Hani, untuk mendapatkan jawaban kepada soalan terbabit.
Kata Hani, cara terbaik, penyewa harus ke mahkamah membawa bersama ‘tenancy agreement’ dan bukti penyewa tidak melangsaikan bayaran sewa seperti dicatatkan dalam perjanjian.
Dengan persetujuan mahkamah, perintah mahkamah, ‘court order’, dikeluarkan. Penguatkuasa mahkamah, ‘bailiff’, berbekalkan court order akan menyita rumah sewa terbabit tanpa notis kepada penyewa. Bailiff berhak memecahkan kunci pagar, kunci rumah dan mengumpil pintu rumah bagi tujuan sitaan.
“Macam mana kalau pemilik pergi ke rumah sewa, pecah pintu dan keluarkan semua barang penyewa dan suruh dia berambus, since rumah milik dia?,” soal saya kepada Hani.
“Tak boleh Mazidul, nanti penyewa buat laporan polis dan kata pemilik pecah rumah dan mencuri barang dia, jadi kes jenayah dan pemilik boleh didakwa di mahkamah,” jelas Hani.
Justeru, sekiranya pembaca memiliki rumah untuk disewakan, berwaspada sebelum ‘menghadiahkan’ harta itu. Tersilap langkah, terpaksa turun naik mahkamah untuk mendapatkan kembali rumah sendiri.
Penyewa rumah milik bersama isteri dan saya di Shah Alam, Selangor sebelum ini gagal menjelaskan tertunggak sewa hampir setahun.
“Saya nak tanya satu soalan, bulan depan kakak nak duduk di rumah saya lagi ke tidak? Kalau nak duduk free, sewa tak bayar, esok saya pergi rumah, tolong keluarkan semua barang kakak. Biasa, 3 bulan tak bayar sewa, pemilik dah halau. Saya kira berhati perut, setahun tak bayar sewa, masih pejam mata,” soal saya kepadanya.
Sejak 2 tahun lalu, isteri saya berurusan dengan penyewa terbabit, saya tidak pernah campur tangan.
“Ok, kakak akan bayar,” jawabnya ringkas.
Beberapa hari kemudian, bayaran tertunggak dilunaskan. Suami penyewa mendakwa isterinya tidak mendepositkan wang sewa diberikannya ke akuan isteri saya. Kes macam itu pun ada.
Tetapi mujur mereka tidak arif berhubung perundangan sivil. Jika tidak mungkin berikut jawaban penyewa.
“Berani datanglah, keluarkan barang kakak dari rumah, I will see you in court!”