Rabu, September 30, 2009

Bahaya Semut Hitam Berkaki Dua

Sebelum ini saya pernah menulis, perempuan berparas cantik lebih kerap berhadapan pelbagai cabaran berbanding perempuan berpenampilan sederhana.

Wow! Cantiknya dia, itu reaksi awal saya ketika pertama kali menatap gambar dipaparkan Utusan Malaysia Online hari ini. Gambar isteri lelaki beranak dua, pegawai Jabatan Imigresen ditangkap dan dituduh berkhalwat bersama lelaki Cina di bilik hotel murah di Kangar, Perlis, klik di sini. Sekali imbas, dia kelihatan seperti artis, berpakaian serba hitam, bertudung, berkacamata hitam sewaktu tampil dituduh di mahkamah.

Saya percaya sebagai kakitangan kerajaan dan pegawai penguatkuasa, dia tahu kesan perbuatannya. Dia juga maklum, lelaki Cina ditangkap bersama tidak akan mengiringinya di mahkamah. Apapun, izinkan dia dibicarakan di mahkamah, jika bersalah dia akan dihukum, andai tidak dia dibebaskan.

Perempuan cantik bagai gula. Jika diletak di tempat terbuka pasti banyak semut hitam datang mengurung. Ketulam kecil kristal gula dicair menggunakan air liur sebelum cecair disedut masuk ke dalam perut kecil semut. Jika gula dimuatkan di dalam bekas tertutup, semut melopong, sekadar mampu melihat, akur kemanisan gula tetapi tidak mampu menyentuhnya.

Maka, jika mempunyai kekasih atau isteri cantik, pilih tempat sesuai untuknya, usah biarkan dia berada terlalu kerap berseorangan di lokasi terbuka. Terlalu banyak ‘semut hitam’ berkaki dua mengintai peluang ‘mencairkannya’ hanya sekadar menggunakan air liur sahaja :)

Gambar Utusan Malaysia Online

Nota Ini entry ke-700

Berita terkini Jam 6 petang tadi, gempa bumi bermagnitud 7.9 pada Skala Richter melanda barat Indonesia. Bangunan dilaporkan runtuh, gegaran turut dirasakan di Malaysia. Manakala korban tsunami di Kepualauan Samoa meningkat ke 80 orang lapor CNN pada 6.53 petang tadi.

'Ayam' Kampung

Di bandar, untuk membeli ayam kita hanya perlu berkunjung kepasar pagi, pasar malam atau kerantaian pasar raya. Ayam dijual dalam bentuk ‘whole chicken’ atau siap dikerat mengikut bahagian antaranya paha, kepak, dada atau campuran kesemuanya. Majoriti suri rumah gemar membeli ayam dikerat, memudahkan kerja mereka. Whole chicken juga boleh dikerat mengikut pilihan, 8 atau 16. Bukan mereka kerat, itu kerja si penjual ayam. Siap diproses, ayam dijinjing pulang kerumah untuk dimasak dan disajikan kepada keluarga. Jika malas kepasar, ada alternatif lain, beli sahaja ayam siap dimasak. Seketul ‘ayam bandar’ digoreng biasanya dijual dengan harga RM3 sahaja, murah.

Dahulu di kampung, bukan mudah makan ayam. Ayam kampung bebas berkeliaran, liar dan jarang bereban. Tidur di dahan tinggi pokok jambu mahupun di rimbunan pokok rambutan kasi, sukar ditangkap. Ayam terpaksa diumpan makanan, beras, gandum atau nasi sejuk. Jika ayam tertipu, mematuk makanan, mudah ditangkap namun segalanya bergantung kepada nasib. Ayam bijak, ada naluri, pantas melompat, terbang rendah melarikan diri bersembunyi di dalam hutan, bagai tahu nyawa berada di hujung tanduk. Maka bermulalah acara ‘marathon’, mencari dan mengejar ayam. Keok! Keok! Keok!, riuh sekampung. Andai larian ayam lebih pantas berbanding kecepatan larian manusia maka ayam terlepas, kita melopong, terpaksa membatalkan niat makan nasi berlauk ayam.

Jika ayam berjaya ditangkap, terpaksa pula mencari penyembelih, Imam dan Bilal lebih afdal jika ada. Maklum sahajalah, bukan semua sanggup melihat dua urat leher ayam putus, ramai mabuk darah. Sejurus leher terkulai, ayam direbus beberapa minit di dalam air panas mendidih untuk menanggalkan bulu tebal, nipis dan halus. Kemudian baharulah dibuang hempedu, balung, kaki, tembolok dan tali perut sebelum dikerat mengikut saiz bersesuaian. Ayam itu hanya ada satu pedal, hati dan ginjal. Tidak hairan, ramai berebut mengidamkan organ istimewa itu sewaktu ayam dihidangkan.

Kini, majoriti ayam kampung diternak di ladang justeru tidak perlu dikejar. Ayam hanya dikeluarkan dari sangkar kemudian disembelih, diproses dan dijual. Penyembelih kekadang warga Indonesia muda tanpa surat tauliah Jabatan Agama. Asalkan leher luka berdarah, itu sudah cukup bilang mereka. Biarpun begitu, peliknya penjualan ayam kampung di bandar tetap mendapat sambutan hangat. Malah ada premis menjual makanan dinamakan ‘Restoran Ayam Kampung’, dipenuhi pelanggan sehingga terpaksa beratur sehingga lenguh kaki berdiri. Harga seketul ‘ayam kampung’ digoreng mencecah RM5.50 atau lebih bergantung kepada jenis masakan dan lokasi premis jualan.

Rumusannya, ayam kampung memiliki nilai tersendiri dari dulu hingga sekarang, tidak seperti majoriti gadis kampung berhijrah ke bandar, nilai murni mereka semakin terhakis dan tercemar.

Nota Saksikan paparan 360, 'Sisi Gelap Tiga Line' malam ini jam 9 malam

Selasa, September 29, 2009

Ubahsuai

Sebilangan rakyat Malaysia diakui kreatif.

Mana tidaknya ...

Kereta, mereka ubahsuai.
Motosikal, mereka ubahsuai.
Rumah, mereka ubahsuai.
Pejabat, mereka ubahsuai.
Makanan, mereka ubahsuai.
Genetik, mereka ubahsuai.
Lanskap mereka ubahsuai.
Laman web, mereka ubahsuai.
Jalan, mereka ubahsuai.
Hidung, bibir, dahi, dagu, kening, buah dada, punggung, mereka ubahsuai.
Malah, kemaluan, mereka ubahsuai.

Kita mungkin akan hilang keaslian dalam banyak hal biarpun ada antara pengubahsuaian terbabit membawa kebaikan.

Menyamar Transformer

Ada orang curi hati.

Ada orang curi ayam.

Tetapi lelaki berusia 55 tahun di Marang, Terengganu mencuri tongkat mimbar masjid. Menggelar dirinya ‘Wali Termulia’ dia mengaku mencuri tongkat di beberapa masjid kemudian dibalut menggunakan serban sebelum melarikan diri.

Hasil maklumat disalurkan orang ramai, jam 5.30 petang kelmarin sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Marang menyerbu rumah kedai didiamai suspek di Kampung Rhu Rendang dan merampas 23 tongkat. Dia mendakwa suara ghaib mengarahkannya mencuri 200 tongkat bagi mencapai darjah keimanan dihajatkan.

Sebelum ini, Abdul Kahar Ahmad, 59 tahun mendakwa ‘Rasul Melayu’ dan dia berjaya ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor. Kini, wujud pula ‘Wali Termulia’, nasib baik dia berjaya diberkas polis sebelum menyebarkan ajarannya. Jelasnya, mereka berdua menyamar rasul dan wali.

Sebelum ini kes orang awam menyamar penguatkuasa Jabatan Agama dan polis turut dikesan. Mereka menggunakan kad kuasa palsu bertujuan mengugut bagi mendapatkan imbuhan daripada orang ramai.

Mujur setakat ini tidak ada orang dewasa mendakwa dirinya ‘Transformer’. Pasti sukar membuktikan dakwaan itu.

Isnin, September 28, 2009

Tiga Line

"Ada di kalangan ahli-ahli mereka ini kita tengok fizikal kata Pertubuhan Kebajikan Islam tetapi hisap dadah, minum minuman keras, sembahyang pun tak buat, gaduh adalah, perempuan hero nombor satu. Bagaimana mungkin melindungi kebajikan Islam apabila itu yang ditunjukkan perangainya" - Kamal Affandi Hashim (Penganalisis Jenayah)

"Kita nampak mereka yang menggelarkan diri mereka Tiga Line ini adalah samseng Melayu" - Datuk Mohd Bakri Mohd Zinin (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman)

"Kalau kamu break the law you have to face the music. Kamu tak boleh kata kamu kumpulan ini, kumpulan itu. Macam macam kumpulan ada, dia bernaung. Dia kata saya bernaung kumpulan ini, pembesar ini jadi penaung saya. Ini tak boleh. Kamu jangan mencemarkan nama baik pertubuhan yang di mana kamu menjadi ahli. Jangan kamu ingat kamu jadi ahli pertubuhan itu, kamu ada imuniti, itu dongeng" - Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (Ketua Polis Johor)

"Saya percaya sebahagian ahli Pekida masih mengamalkan 'amar makruf nahi mungkar' manakala sebilangan lagi hilang arah tujuan dek kerana kuasa dan wang. Barangkali kerana mereka tidak memahami tujuan sebenar penubuhan badan bukan kerajaan itu" - Mazidul Akmal Sidik (Pemilik blog)

Update 10 pagi 28 September 2009, saya dihubungi pegawai Majlis Keselamatan Negara berhubung paparan 'Sisi Gelap Tiga Line' bakal disiarkan pada 30 September. Saya menjelaskan motif sebenar siaran terbabit. Skrip paparan dihantar kepada beliau 10 pagi tadi (29 September). Jam 12, saya menerima pesanan ringkas, 'Salam bro, we all dah semak, skrip tu ok. You can proceed. Tq dan selamat berhari raya'. Syukur.

Ahad, September 27, 2009

Di Antara Air Dan Panggilan

5,000 penduduk 6 kampung di Pokok Sena, Alor Setar, Kedah mengalami gangguan bekalan air di musim perayaan. Menurut Pengarah Jabatan Bekalan Air, JBA Negeri Kedah, Harun Jasin, masalah diakibatkan permintaan air terlalu tinggi berikutan penduduk menggunakan air berlebihan sempena sambutan hari raya.

Lebih 9 juta pelanggan Celcom mengalami gangguan panggilan masuk dan keluar dalam rangkaian pada 24 September 2009. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly, gangguan berlaku akibat peningkatan luar jangka kadar penggunaan talian sebanyak 5 kali ganda pada hari raya kelima.

Nampak kesamaan kedua kes di atas?

Jelas, JBA Kedah dan Celcom tidak mempunyai plan alternatif, they have failed to anticipate. Menyusahkan masyarakat dan pengguna, itu hasilnya.

Tahniah kepada Maxis dan Tenaga Nasional Berhad!

* Gambar: Gagal menghubungi girlfriend :)

No One Is Above The Law

Penerbit 360, Mohd Raziff Zulkafli, menemubual Presiden Pekida Malaysia, Hj. Jamaludin Yusof 25 September lalu di rumah beliau di No. 57 Taman Tiong, Sungai Petani, Kedah.

Menurut Hj. Jamaludin, setiap ahli Pekida hanya dikenakan bayaran yuran tahunan, RM32 dan RM1 bayaran borang keahlian, bukan ratusan atau ribuan ringgit seperti didakwa sesetengah pihak.

“Tiga line, kumpulan 30, 77, 36 dan sebagainya bukan berada di bawah Pekida,” jelas beliau.

Sebelum ini kenyataan sama dikeluarkan Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Roslan Dahaman, lebih dikenali dengan nama jolokan 'Lan Gajah', saya temubual pada 10 September lalu.

Sehubungan itu, menurut Hj. Jamaludin, Pekida sedang merencanakan tindakan undang-undang terhadap pihak dikesan menyalahgunakan nama pertubuhan bukan kerajaan didaftarkan pada 10 Mei 1983 dengan 100,000 ahli berdaftar itu.

Manakala wartawan 360 di Johor, Zulhazri Abu Bakar, pemilik blog 'bapak gula-gula', klik di sini, merakam kenyataan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, 24 September lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Menurut Zulhazri saya hubungi jam 6.40 petang tadi, Datuk Mohd Mokhtar berkata tiada individu atau kumpulan berhak mengatasi kedaulatan undang-undang negara, maksudnya, ‘no one is above the law’.

360 bertujuan menjelaskan kepada masyarakat antara kegiatan bercanggah undang-undang membabitkan beberapa kumpulan mendakwa bernaung di bawah Pekida dilapor mencetuskan kegusaran di kalangan masyarakat.

Saksikan paparannya Rabu ini, 30 September 2009, jam 9 malam.

* Gambar: Hj. Jamaludin Yusof, Presiden Pekida Malaysia

Lari Malam

Kali pertama bertemu, mereka sekeluarga kelihatan cukup bersopan. Suami, Mansor, pekerja kilang, berwajah redup dan lembut berbahasa. Manakala, isteri, Ros, suri rumah berusia lingkungan 40 an. Pasangan itu dikurniakan 3 anak masih bersekolah. Keluarga Mansor, penyewa apartment 3 bilik milik isteri saya di Seksyen 25, Shah Alam, Selangor.

“Anak kakak lari rumah”, “Kakak sakit”, “Syarikat abang kerja belum bayar gaji”

Itu antara alasan dikemukakan Ros, mengelak menjelaskan sewa bulanan rumah, RM600 sejak tahun 2007. Bayaran tertunggak kini mencecah RM4,600.

“Nak bagi tahu, kakak dah nak keluar dari rumah hujung bulan ni,” ujar Ros sewaktu menghubungi isteri saya pada jam 8.25 malam tadi melalui telefon bimbit.

“Eloklah, saya pun memang nak minta kakak keluar dari rumah tu tetapi tunggakan semua kena bayarlah,” balas isteri.

Berasa tidak sedap hati, saya bergegas memandu ke Shah Alam. Setibanya di rumah terbabit, lampu bilik terpasang namun kelibat penyewa tidak kelihatan. Isteri kemudian menelefon Ros dan meminta dia dan suami bertemu kami di hadapan rumah sewa tidak berpenghuni itu. Lebih 15 minit menanti, Ros tidak muncul.

“Dia orang pindah dua hari lalu. Jalan kedepan, blog hujung sebelah kanan, rumah baharu dia orang di tingkat dua,” ujar jiran saya temui.

Diiringi beberapa jiran mereka, saya berjalan ke blok terbabit dan menunggu, sabar. Kurang 10 minit Mansor tiba, dia menggelabah, Ros tidak kelihatan.

“Saya amat benci bila Melayu tipu Melayu. Kita berbudi, awak tidak tahu berbahasa. Macam melepaskan anjing tersepit, sewa rumah tak bayar, kita biar keluarga awak duduk, kasihan. Lepas tu lari malam, at east bagi tahulah nak pindah. Tadi isteri awak kata nak keluar hujung bulan, rupanya 25 haribulan dah cabut. Apa ni Mansor?,” kata saya.

“Saya memang dah bagi tahu pada Ros, jangan buat macam ini, tak baik. Patut kita bagi tahu dulu sebelum keluar,” balasnya.

“Mansor, awak ketua keluarga. Sepatutnya isteri dengar cakap awak, bukan awak dengar cakap isteri,” celah saya.

Dia terdiam. Kami kemudian berjalan kembali kerumah sewa.

“Apa ni? Jangan kurang ajar boleh tak? Berapa ribu hutang dia?,” jerit adik ipar Mansor, bertubuh besar, tiba menaiki kereta Proton Iswara.

Saya tidak melayan jeritannya. Saya yakin anak muda itu tidak mengetahui perincian sebenar kes.

“Awak bagi tahu kepada dia, siapa kurang ajar. Penyewa lari rumah tak bayar hutang beribu ringgit atau saya?,” bisik saya kepada Mansor.

“Kau tak payah masuk campur, biar aku selesai,” Mansor menenangkan adik iparnya sebelum dia beredar.

“Dia nak tolong bayarkan ke?,” tanya rakan datang bersama saya, Jamil.

“Eh! Tak,” balas Mansor.

Hairan, keluarga terbabit boleh menyewa rumah baharu, RM450 sebulan, pada masa sama lari meninggalkan rumah sewa lama dengan bayaran tertunggak.

“Mansor, lain kali kalau nak lari, cari rumah jauh sikit, di Seksyen 13 ke. Ini lari dekat sangat, mudah saya cari”

Ros pada mulanya enggan bertemu kami, kelihatan datang berjalan perlahan menghampiri.

“Hari Isnin ni kakak call, bagi tahu berapa banyak tertunggak. Rabu nanti kakak bagi cek,” ujar Ros buat kesekian kalinya.

Ingin benar saya percaya janjinya.

“Ingat, orang kalau menipu, sampai mati hidup susah. Satu lagi cubalah hormati suami, ” saya memperingatkan Ros sebelum beredar.

Sabtu, September 26, 2009

Kaki Ayat

Akhbar Mail Today melaporkan wanita warga Chicago, Amerika Syarikat, Whitney, 26 tahun bertemu pemandu beca bermotor, Harish Hotala di Jaipur, India minggu lalu. Whitney mengupah Harish membawanya bersiar-siar menikmati pemandangan di ibu negeri barat India itu.

Mereka berkenalan pada hari Sabtu dan berkahwin dalam upacara ringkas pada Rabu lalu.

Harish keciciran di sekolah tetapi fasih berbahasa Inggeris dan memiliki 3 beca bermotor. Hakikatnya dia bukan sekaya manapun.

Barangkali Harish kuat ‘mengayat’ seperti bakat dimiliki sebilangan pemandu teksi di negara kita. Berikutan itu, ramai pegawai perhubungan pelanggan, GRO, dilapor tangkap lentuk mendengar ayat ‘abang teksi’. Apapun, hasilnya, suasana menang-menang, win win situation. Abang teksi dapat kekasih muda, GRO dapat pemandu percuma, menghantar dan menjemput sewaktu pergi dan pulang kerja.

Pemandu teksi sekarang kaya, buka pintu, meter automatik catat RM3! Apalah sangat servis percuma untuk kekasih hati.

* Gambar: Jaipur, India

Untung Lelaki Cina

Pasti ramai pembaca akhbar Harian Metro semalam terkejut membaca paparan muka hadapan bertajuk ‘Kejutan gila hari jadi’.

Di Kangar, Perlis, wanita menyambut ulangtahun hari kelahiran ke-31 bersama lelaki Cina di hotel murah diberkas 4 penguatkuasa Jabatan Agama Islam Perlis pada jam 5.30 pagi. Pegawai Imigresen, ibu dua anak berusia 2 dan 6 tahun itu dilapor memberi alasan kononnya dia dan pasangannya mengadakan perbincangan berhubung perniagaan. Lelaki Cina beruntung, dia dibebaskan kerana bukan berugama Islam.

Malang, suami wanita itu berniat ‘mengejutkan’ isteri, membeli kek krim buah berharga RM35 berserta sejambak bunga untuk meraikan hari jadi isteri di rumah mereka di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah, terkejut berikutan penahan isterinya. Wanita itu dituduh mengikut Seksyen 9 Enakmen Janayah Dalam Syarak Negeri Perlis kerana berkhalwat, jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dipenjara 3 tahun atau keduanya.

Apakah tindakan wajar suami dalam kes terbabit?

(a) Menampar dan menyepak isteri berulangkali.
(b) Menceraikan isteri dengan talak tiga.
(c) Berbincang secara baik untuk menyelesaikan masalah timbul
(d) Menerima isteri kembali dengan permohonan maaf.
(e) Tiada satu daripada jawaban di atas ( sila catatkan dalam bentuk subjektif)

Jumaat, September 25, 2009

Seluar Dalam Pink

Melalui laporan media, majoriti kes rompakan kedai emas membabitkan kerugian bernilai ratusan dan jutaan ringgit dilakukan penjenayah berbangsa Cina. Jika gagal diberkas polis mereka kaya raya. Bagi kumpulan malang, nyawa mereka tergadai.

Terbaharu, polis menembak mati dua penjenayah Cina di Taman Jasmin, Kajang, Selangor berikutan kes rompakan kedai emas membabitkan kerugian RM150,000 di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur.

Saya tidak berasa bangga kerana mereka berbangsa Cina, penjenayah tetap penjenayah, biar mereka mati daripada berterusan menyusahkan masyarakat.

Manakala penganggur Melayu, Mazlan Baharin, 29 tahun dituduh mencuri 10 bungkus Necafe Classic berbeza saiz bernilai RM190.95 di Jaya Jusco Wangsa Maju, Kuala Lumpur, jam 8.20 malam kelmarin. Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dia boleh dijatuhi hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, lelaki berusia 30 tahun diberkas penduduk Taman Jernih pada jam 9, dua malam lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Superintendan Mohan Singh Tara Singht mengesahkan suspek disyaki mencuri coli dan seluar dalam wanita dimuatkan di dalam dua beg diletakkan di raga motosikalnya.

Mungkin Leha, Senah atau Enon di Taman Jernih merungut sesama mereka …

“Pelik sungguh, seluar dalam aku beli RM10 tiga pun dikebasnya!,” ujar Leha.

“Itu seluar dalam baharu Leha oi! Aku punya siap dah koyak kat pesak lagi,” sambut Senah.

Enon kemudian menyampuk ...

“Nasib baik dia terambil seluar dalam abang sebab ada sehelai tu warna pink!”

Leha dan Senah tersenyum.

"Kinkynya," bisik mereka serentak.

Itulah standard penjenayah Melayu, ternyata impian dan cita-cita mereka tidak setinggi mana tetapi tetap menyusahkan masyarakat

Khamis, September 24, 2009

17 Mati Sehari

“Elok kita ubah Ops Sikap kepada Ops Ubah Sikap,” kata saya.

“Betul,” sambut Zakiah.

Kami mengacarakan rancangan Malaysia Hari Ini pagi tadi bersama bekas pelari hebat juga penyampai radio HotFM, Nik Azura. Sikap Zakiah seperti biasa, sentiasa ceria, begitu juga Azura.

Ops Sikap ke-20 hari ke-10, semalam, mencatat 177 kematian. Maksudnya, purata 17 nyawa rakyat Malaysia terkorban setiap hari sejak Ops terbabit bermula 13 September lalu. Pengguna motosikal mangsa korban paling ramai biarpun saya percaya mereka tidak merempit di jalanraya.

Saya yakin semasa entry ini ditulis, statistik kematian meningkat cuma maklumat terkini berhubung bilangan pengguna jalanraya maut pada hari ke-11 belum kita diperolehi.

Jika dilihat, pelbagai kempen awal dilaksanakan kerajaan dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Tujuan kempen sama, mengelak kemalangan berlaku tetapi setakat ini kadar kematian gagal dikurangkan. Mungkin kematian sifar sukar dicapai kerana penentuan ajal maut bukan di tangan kita. Apapun, kita maih boleh berusaha untuk menyelamatkan nyawa.

Ada kaedah lebih baik? Kaedah tidak terfikir dek pihak berkuasa.

Am(a)ran Tidak Jujur

Namanya Amran, 'bin' nya saya terlupa. Apapun, dia pernah menjadi kawan saya.

Lima tahun lalu Amran taukeh kedai menjual telefon bimbit, sederet 7-Eleven di Seksyen 2, Shah Alam, Selangor. Dia berasal dari kampung berhampiran Pengkalan Hulu di Perak. Isterinya baik, anak perempuannya ketika itu berusia 4 tahun, cantik.

Satu hari Amran menghubungi saya.

“Dul, aku nak pinjam duit hang sikit nak buat modal pusingan beli kad prepaid. Busines jual telefon la ni tak berapa ‘jalan’, aku tengah susah. Kalau aku pinjam dengan ah long nanti problem pula”

Jam 11 malam keesokan harinya dia datang menunggang motosikal kapcai kerumah sewa saya, di Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor. Waktu itu kehidupan keluarga saya bukan senang, kami tinggal di rumah tanpa katil, almari dan sofa sementara menunggu rumah dibeli di Kota Damansara disiapkan.

Masih segar di ingatan, saya, isteri, anak dan Amran hanya duduk di lantai berlapikkan tikar Sarawak sahaja ketika wang simpanan isteri berjumlah RM3,000 diserahkan kepadanya dengan janji dia akan membayar kembali wang dipinjamkan.

Malangnya, itulah kali terakhir saya bertemu Amran. Berita terakhir diterima, dia tinggal di Bukit Beruntung, berkerja menjual aksesori telefon bimbit di pasar malam. Pada awalnya saya memang berhajat mencari Amran. Teringin benar menyimbah cat pekat berwarna merah ke dinding rumahnya atau menampal poster pelbagai saiz ditulis, ‘Amran tidak jujur, pinjam wang tidak bayar’ di pintu rumah bekas rakan saya itu. Namun, niat terbantut apabila terbayang wajah isteri dan anaknya, mereka baik dan cantik. Jika niat terbabit dilaksanakan, pasti maruah diri wanita dan anak kecil itu tergadai.

Mungkin sekarang kehidupannya senang atau masih di takuk lama. Bagaimanapun saya doakan semoga anak dan isterinya sihat sejahtera.

Rumusannya, Amran hanya sekadar manusia. Manusia sanggup menggadai persahabatan dengan harga RM3,000, tidak lebih daripada itu.

* Kalau terjumpa dia, kirim salam saya kepadanya. Bukan ingin menagih hutang cuma teringin hendak membeli telefon bimbit baharu :)

Rabu, September 23, 2009

Gadis 'Misteri'

Saya bertemu gadis 'misteri' ini di Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada jam 11 pagi tadi.

Keluarga kenalan menjumpainya sewaktu dia merayau berhampiran KLCC, Kuala Lumpur pada jam 12 malam tadi. Bimbang akan keselamatannya, dia dibawa pulang.

Dia tiada kad pengenalan tetapi mendakwa berusia 23 tahun dan dilahirkan di Melaka.

"IC hilang, 6 bulan lagi baru siap, ambil di Jabatan Pendaftaran," ujarnya.

Melihat wajahnya, saya ragui ketepatan usia itu, dia kelihatan lebih muda. Katanya, dia pekerja salon di Pandan Indah tetapi gagal mengingati nombor telefon bimbit majikan dan kesemua ahli keluarganya. Memang kenyataan itu kedengaran pelik bagi saya.

“Sebab apa tak balik raya?,” soal saya.

“Saya semua serba tak cukup. Duit tak ada, baju baru tak ada. Macam mana nak balik,” pantas dia menjawab.

“Keluarga tahu tak awak di mana sekarang ini?,” soal saya lagi.

Dia hanya mendiamkan diri. Mungkin memikirkan masalah didepani tetapi enggan dikongsi bersama saya.

“Ayah saya polis di Balai Pantai Dalam, kopral,” ujarnya setelah didesak.

Namun, sewaktu balai itu dihubungi, disahkan tiada ‘kopral’ bernama Mohd Yusof Mohamad didakwa ‘ayah’ nya bertugas di balai terbabit.

Dua anggota polis peronda tiba di lokasi kemudian memeriksa identitinya menggunakan sistem online di kereta tetapi ternyata nombor kad pengenalan diberikan tidak wujud. Mereka kemudian membawa gadis tanpa identiti itu ke balai polis berhampiran.

Saya muatkan gambarnya di entry ini, mungkin ada antara pembaca mengenali dia.

Info: 'Sixgill', paus pembuuh terbesar hidup di laut dalam dan bermata hijau.

Pesta Seks Bangla

Ha! Ha! Ha!

Itu reaksi saya sejurus membaca laporan akhbar pagi tadi. 1 Syawal lalu pada jam 2.30 pagi sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Pahang memberkas 19 warga Bangladesh di rumah kongsi Felda Krau 4.

Mereka semua didapati menganjurkan pesta seks bersama 3 wanita tempatan dipercayai pelacur berusia di antara 17 dan 43 tahun. Menurut Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman, siasatan awal mendapati semua wanita berada di premis terbabit sejak malam Ahad bertujuan melayan nafsu majoriti lelaki pekerja ladang itu.

Mungkin ada berkata, “Huh! ‘Hebat’ sungguh wanita itu!”

Sebelum ini saya pernah bersembang dengan pelacur jalanan di Kuala Lumpur. Dia, berusia 39 tahun mendakwa pernah dilanggan sekumpulan warga Bangladesh, RM20, harga setiap ‘servis’.

“Selalu dia orang datang sekali ramai dan berbaris. Bini semua di Bangladesh. Dah lama tak ‘dapat’, jadi terlalu mudah dilayan. Baru tersentuh sikit, tak sampai 30 saat dah ‘selesai’,” katanya sambil tersenyum.

Justeru, fahamlah saya mengapa 3 boleh ‘lawan’ 19!

* Gambar sekadar hiasan

Info: Di Amerika Syarikat, untuk kegunaan 'peribadi', seluar dalam boleh dimakan dipasarkan.

Kau Ada Di Mana

“Kau Ada Di Mana,” katanya.

“Saya ada di sini,” celah saya mengusik Winnie K.

Penyanyi berketurunan Cina, Winnie K atau nama sebenarnya Winnie Kok Mui Kuan, 28 tahun menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini, MHI, di Studio B, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor. Saya, Abby Fana dan Nurul Syuhada Nurul Ain menemubual beliau pada jam 8.43 pagi tadi.

‘Kau Ada Di mana’, tajuk album Melayu sulungnya mula dipasarkan di Indonesia sejak Mac 2008, membariskan komposer tersohor, antaranya Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Dewiq dan Yudis Dwikrano.

“Dengar kata album Winnie ‘meletup’ di Indonesia?,” soal Abby.

“Ya. Lagu saya banyak dimainkan di stesyen radio dan televisyen di sana. Pada mulanya saya juga berasa hairan, bagaimana mereka boleh menerima kehadiran saya sedangkan Indonesia mempunyai ramai penyanyi hebat,” jelas Winnie.

Sejak mula beliau duduk di set MHI, saya teliti memerhatikan bibirnya. Maklum sahajalah, sebelum ini ada laman web mendakwa kononnya Winnie menggunakan botoks membentuk bibir nipis seksinya. Bagaimanapun Winnie menganggap dakwaan terbabit hanya sekadar gosip liar sahaja.

Menurut artis Cina pertama melebarkan sayap seni ke Indonesia itu, album berbahasa Mandarin nyanyiannya akan menemui peminat tidak lama lagi. Album Mandarin terakhirnya diterbitkan 6 tahun lalu.

“Winnie tengah bercinta ke?,” soal saya kepadanya sejurus selepas tamat siaran MHI.

“Tak. Tetapi dulu memang ada dengan lelaki muslim Indonesia,” balasnya ringkas.

Kali pertama saya bertemu Winnie, pagi Tahun Baru Cina lalu. Bagi saya, Winnie bukan sahaja jelita tetapi peramah, fasih berbahasa Melayu dan memiliki suara lunak.

Bibirnya?

Ya, memang seksi!

Selasa, September 22, 2009

Rokok Cap Kaki

1. Dijangka jumlah perokok di Malaysia akan mencecah 3.8 juta orang menjelang tahun 2015.

2. Dianggarkan 10,000 rakyat negara ini mati setiap tahun akibat rokok dan rakyat Malaysia menghisap 33 juta rokok sehari bernilai RM8.6 juta.

3. Sejak tahun 2004, kerajaan membelanjakan wang rakyat berjumlah hampir 22 juta ringgit melaksanakan kempen anti merokok.

4. Bermula 1 Jun 2009, kerajaan mewajibkan cetakan amaran grafik 6 komplikasi penyakit akibat merokok di kotak bertujuan menakutkan perokok.

5. Tetapi dikatakan sebaliknya berlaku, alah bisa tegal biasa. Kini ada perokok bergurau sesama mereka. “Eh! Kau hisap rokok cap ‘kaki’ (gengren) ke?”

6. Jutaan wang dibelanjakan kerajaan namun bilangan perokok masih ditakuk lama, mungkin juga bertambah. Justeru, keberkesanan kempen sejak 5 tahun lalu diragukan.

7. Jadi, tidak perlu kempen, membazir dan hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja.

8. Siapa setuju? Siapa tidak?

* Dilaporkan Kelantan mempunyai bilangan perokok teramai dan pengeluar tembakau terbesar di negara ini.

Raya Ke-3 Di MHI




Anak Bangsa Rebah Kerajaan Tidak Berubah

Harga gam amat murah berbanding dadah dan dijual secara terbuka di kedai runcit.

Remaja seawal usia 10 tahun dilapor mula menagih gam. Gam dicurah kedalam plastik dan disedut menggunakan mulut dan hidung. Mereka kemudian menjadi khayal.

Gam mengandungi pelarut toksid. Penghidu boleh menjadi gila atau mati akibat denyutan jantung tidak stabil.

Gam bukan barang kawalan.

Melalui pengamatan, majoriti penghidu gam, Melayu.

Gam tidak tertakluk di bawah Akta Racun 1952 atau Akta Dadah 1952. Maksudnya pegawai dan anggota polis tidak boleh menahan dan mendakwa penghidu gam. Mereka hanya boleh dinasihati sahaja.

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia mencadangkan penggubalan Akta Hidu Gam sejak 2007 bertujuan mengekang gejala menghidu gam. Setakat ini akta terbabit masih tidak wujud.

Barangkali pegawai tertinggi kerajaan tidak faham bahaya gam kerana anak mereka bukan penghidu.

Mungkin juga mereka menunggu remaja kita rebah satu persatu, baharu mereka terngadah.

Itulah cara mereka.

Sabtu, September 19, 2009

Pengorbanan Dihargai

Lembah Klang lengang. Majoriti penduduk kota berugama Islam pulang kekampung menyambut hari raya. Mereka daripada kaum lain juga mengambil kesempatan bercuti panjang. Itulah antara keindahan tinggal di negara pelbilang kaum, banyak perayaan, banyak cuti untuk semua.

Bagaimanapun, bukan semua bercuti. Masih ramai menjalankan tugasan dan tanggungjawab. Antaranya pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM dan Angkatan Tentera Diraja Malaysia, ATM. Tanpa PDRM pasti penjenayah ‘berhari raya’, merompak dan menyamun harta benda awam. Jika ATM tidak berkerja, sempadan negara berkemungkinan diceroboh anasir jahat sekaligus mengancam keselamatan negara.

Mereka semua mempunyai suami, isteri dan anak tercinta menanti kepulangan biarpun mungkin sedikit terlambat berbanding kita semua. Itu hakikatnya.

Sekalung terima kasih kepada semua pegawai dan anggota keselamatan di atas pengorbanan berulangkali mereka.

Selamat hari raya dan jumpa lagi di blog ini pada hari lebaran kedua. Kepada pembaca tinggal berhampiran Tg, Malim, Perak, dipersilakan kerumah keluarga saya di Kg. Sg. Bill di hari raya kedua.

Ganjil Tetapi Benar

Sewaktu kisah perkahwinan mereka dipaparkan kali pertama, mungkin ramai berasa hairan. Wook Kundur berusia 106 tahun manakala suaminya Mohd Nor Che Musa, 38. Wook bukan orang berharta, dia hanya tinggal di pondok buruk di Kg. Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Terengganu.

Kenyataan Wook sebelum ini …

"Layan tempat tidurnya. Yang itu tak payahlah cakap dalam-dalam. Faham sendirilah apa maknanya. Biar saya cakap, yang itupun tak saya abaikan. Berdosa abaikan suami dari segi itu”

Hebat Wook, pada usia emas masih 'bertenaga'. Sebelum mengahwini Mohd Nor, dipanggilnya ‘Non’, Wook mendakwa pernah menjadi suami 22 lelaki. Pada usia muda, kata Wook, setiap pemuda dikenali pasti mengajaknya berkahwin.

Malangnya, awal Julai lalu Mohd Nor diberkas penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan berikutan positif dadah jenis heroin dan dimasukkan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik di Sg. Besi, Kuala Lumpur.

''Saya harap dia berubah dan bertaubat. Dulu memang dia kerap keluar malam jumpa kawan-kawan. Dia juga jual kereta dan cincin saya, tapi saya tak syak apa-apa”

Kini, Wook sudah mengetahui hakikat sebenar namun masih menyanjungi suaminya. Hairan bukan?

Jam 10 pagi semalam, Wook dengan bantuan ahli perniagaan, Adela Zulfakar dan dua rakannya, Azlina Resad serta suami Mohd Azril Ahmad mempertemukan Wook dan suaminya di Sg. Besi. Lihat gambar dirakam Kosmo, bagaimana dia gembira memeluk suaminya.

Sikap dan keputusan perempuan kekadang sukar difahami samada mereka muda atau sudah dimamah usia. Apapun, jelasnya perempuan tetap memerlukan kasih sayang lelaki tanpa mengira usia.

Fitrah alam, mungkin.

Jumaat, September 18, 2009

Wardina Malu

“Bang, saya pun dah ada blog. Adalah beberapa entry saya dah tulis,” katanya.

“Alamatnya?,” soal saya.

“Alaaaa … saya malulah. Saya baharu belajar. Masukkan gambar pun tak tahu lagi,” jawabnya.

Setelah didesak beberapa kali, dia akhirnya mengalah.

“Wardinadina.blogspot.com,” katanya.

Klik di sini.

Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 30 tahun, rakan setugas saya mengendalikan Malaysia Hari Ini pagi tadi.

Berikut antara komen media berhubung wanita campuran darah Aceh dan Australia, selesa dipanggil ‘Dina’.

‘Wardina represents the image of a successful modern Malaysian woman and is seen by many as an icon and a role model’

Siapapun dia pada dari pandangan pelbagai pihak, Dina bagi saya, wanita sensitif. Kongsikan kisah malang antaranya kes pencabulan, penderaan, pembunuhan anak kecil, pasti airmata bergenang di kelopak matanya. Banyak kali saya melihat dia menangis. Bagaimanapun pagi tadi, berita gembira dikongsikan bersama saya.

“Saya seronok ni nak bagi tahu. Saya sambung belajar balik dalam bidang psikologi di Open University. Ambil tiga subjek, 9 credit hours,” ujarnya dengan senyuman.

Dina, dari kacamata saya, wanita bersemangat kental. Dalam kesibukan ‘melayan’ 3 cahaya mata, dia masih mampu ‘mencuri’ masa menyambung pelajaran dalam bidang diminatinya.

Semoga dia menjadi ahli psikologi dan blogger berjaya.

Itu doa saya.

Jangan!

JANGAN guna lorong kecemasan.

Berulangkali pihak berkuasa mengingatkan orang ramai. Namun sebilangan pemandu ternyata terus berdegil. Mereka golongan mementingkan diri sendiri, kononnya mahu cepat sampai kedestinasi. Lorong kecemasan hanya untuk kegunaan kenderaan rosak atau terbabit dalam kemalangan.

Tegur pemandu kenderaan kita naiki sekiranya dia mengamalkan sikap buruk itu samada ayah, ibu, suami, isteri, rakan atau saudara mara. Sekiranya kita sendiri memandu, usah praktikkan perbuatan sama.

Jika ditahan polis, dendanya RM300.

Itu membazir.

Khamis, September 17, 2009

Nasib Baik ...

Gambar (1)
Gambar (2)

Gambar (3)

Gambar (4)

Empat gambar di atas saya rakamkan pada jam 5.51 petang tadi di hadapan Stesyen LRT Taman Bahagia, Kelana Jaya, Selangor. Pemandu teksi dikatakan menciluk ke lorong kanan menimbulkan kemarahan lelaki berbaju bunga. Dua anggota polis bertugas di bit berhampiran bergegas cuba menenangkan keduanya. Pelbagai kata kesat dilemparkan dua pemandu terbabit tanpa mengendahkan kehadiran pihak polis.

Akhirnya saya terpaksa masuk campur.

Kepada lelaki berketuruna Sikh, saya katakan ...

"Jangan cakap Melayu itu, Melayu ini, tak baik. Mahu gaduh, gaduh. You don't have to mention anything about race. Be cool, kita satu Malaysia. Nanti Najib marah"

Kepada lelaki Melayu, pemandu teksi, saya katakan ...

"Brother, masuk kereta. Jalan jem, orang semua nak balik, berbuka puasa"

Mereka mengikut arahan biarpun mungkin tidak berpuas hati.

Dalam perjalanan kekereta, lelaki muda mendakwa posman menyapa saya.

"Bang, Benggali tu short circuit sikit. Dia selalu marah saya tak tentu fasal setiap kali hantar surat ke rumah dia," katanya.

Saya hanya tersenyum dan berlalu pergi.

Nasib baik, detak hati saya.

'Mandi Kucing'

Pernah lihat kucing ‘mandi’?

Yup! Kucing mandi dengan cara menjilat hampir keseluruhan badannya menggunakan lidah. Kucing betina juga kekadang ‘memandikan’ kucing jantan dengan kaedah sama, menjilat setiap ‘sentimeter’ badan kucing jantan.

Di Indonesia ada istilah ‘mandi kucing’.

Bezanya, gantikan kucing dengan manusia. Maksud saya, manusia perempuan ‘memandi kucingkan’ manusia lelaki.

Faham?

Itu hanya berlaku di Indonesia, setakat ini. Justeru, usah berasa hairan jika ramai lelaki Malaysia ‘bercuti’ di Jakarta.

“Business trip la sayang, kawan ajak main golf,” alasan suami.

(Bukan semua suami)

Dilaporkan, antara lokasi sering dikunjungi lelaki Malaysia pada hujung minggu, Hotel 7 tingkat, Alexis, di Ancol, Jakarta Utara.

“All in one, adult one stop entertainment hotel. Ada bilik, pub, karaoke dan spa termasuk jakuzi, massage. Kalau pakej international girls, China, Thai dan Uzbekistan, 2 juta rupiah, RM700. Gadis tempatan, 1 juta rupiah, RM350. Boleh mandi sama dan ehem! ehem!, one shot,” ujar rakan kerap berulang ke negara jiran.

“Boleh mandi kucing?,” soal saya.

“As per request, siap badan disiram susu lagi,” katanya tersenyum.

Meow! Meow!

Tenuk Ada Hati

Saya akur, ada tikanya pandangan kita jauh berbeza. Tetapi, itu tidak bermaksud kita bermusuhan. Hakikatnya, majoriti kita tidak pernah bersua muka, hanya berkenalan di dunia maya. Tetapi tidak dapat disangkal, hampir setiap hari kita bertemu di blog ini biarpun menetap di lokasi berbeza, mungkin dekat, mungkin jauh, di Malaysia mahupun di perantauan.

Keldai ada hati.

Tenuk juga ada hati.

Begitu juga kancil, monyet dan tupai, semuanya ada hati.

Bezanya, hanya hati manusia bisa terguris, kerana itu kita unik berbanding haiwan. Oleh itu, setahun sekali kita meraikan hari lebaran. Hari untuk memudahkan kita memohon maaf atas segala kesilapan dan memaafkan kesalahan orang lain.

Kepada semua pembaca, selamat hari raya aidilfitri dari saya, maaf zahir batin.

Kawan Parasit

Majoriti kita pernah menempuh pelbagai peristiwa getir dalam kehidupan. Samada peristiwa itu serupa atau berbeza. Saat kita bersendirian hampir tersungkur, apabila maruah dan semangat tercabar dek hasad dengki kerenah manusia.

Ketika itu, lihat berapa ramai insan bergelar kawan sanggup mendampingi kita. Maksud saya, kawan pernah kita bantu waktu mereka tersepit, kawan pernah kita tolong ketika mereka terhimpit.

Sedikit bukan? Sekadar boleh dikira menggunakan jari.

Ramai kawan sepi dan menjauhkan diri. Langsung enggan bertanya khabar berita apatah lagi menawarkan bantuan. Mereka hanya muncul kembali dan selesa berada di sekeliling kita ketika peristiwa getir berlalu.

Secara peribadi, kelompok sebegitu tidak layak bergelar kawan. Mereka semua bak parasit. Selepas zat perumah disedut, parasit berpindah ke perumah lain. Tidak kisah nasib perumah sebelumnya biarpun perumah itu pernah membantu parasit meneruskan kehidupan.

Saya ramai ‘kawan parasit’.

Apapun saya bersyukur atas setiap peristiwa getir bersifat sementara dilalui sepanjang kehidupan.

Mengapa?

Hanya dengan cara itu saya mampu mengenali mereka.

Rabu, September 16, 2009

'Rasul' Melayu Diberkas JAIS

Ketua ajaran sesat mengaku ‘Rasul Melayu’, Abdul Kahar Ahmad, 59 tahun berjaya diberkas Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS.

Pegawai perhubungan awam JAIS, Ustaz Mohd Hidayat Abd Rani saya hubungi jam 11.43 pagi tadi memaklumkan Abdul Kahar kini dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Beliau turut mengesahkan Abdul Kahar ditangkap pada jam 9.45 pagi tadi di Sungai Long, Kajang, Selangor.

Blog Abdul Kahar juga turut digodam kumpulan mendakwa Geng26 CyberTrooper.

Siapa dapat wang ganjaran RM20,000?

* Sidang media JAIS di tingkat 6, jam 3 petang ini.

Datuk Jaga Teksi

Jam 8 pagi tadi Selamat Pagi Malaysia, RTM1 menemubual Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Semenanjung, LPKP, Datuk Halimah Sadique.

“Teksi sekarang ini, buka pintu sahaja, RM3. Jalan setiap 115 meter, tambah 10 sen, dulu 150 meter. Pemandu teksi tidak boleh memilih pemandu. Penumpang kena jelas nampak meter, maksudnya meter tidak boleh ditutup. Sebelum menjaga LPKP, saya tidak tahu kalau pemandu tidak memakai uniform itu salah,” antara kenyataan beliau.

Tamat temubual saya menghubungi telefon bimbit beliau.

“Melalui pengamatan saya, ramai pengguna kurang percaya dengan nombor hotline di belakang teksi dan tindakan boleh diambil. Saya rasa Datuk pun tahu,” kata saya.

“Sekarang ini, hotline masih sama, 1800-88-9600. Cuma SMS kita tukar nombor ke 15888. Dulu kontraktor dilantik menguruskan aduan itu bermasalah. Saya cakap, cukup-cukuplah kita menipu orang ramai. SMS dihantar, tindakan tiada. Sekarang ini pegawai bertanggungjwab wajib membentangkan laporan kepada LPKP setiap minggu, saya tak mahu dia orang ini ambil tindakan hangat-hangat tahi ayam. SMS kita proses dalam tempoh 3 hari dan pengadu akan diberikan nombor rujukan aduan mereka dengan syarat maklumat disalurkan lengkap. Tindakan satu kes akan diambil dalam 30 hari, itupun saya rasa terlalu lama. Kalau boleh saya hendak 2 minggu hari bekerja sahaja,” tegas Datuk Halimah.

“Datuk, last question. Boleh tak pemandu berstatus penduduk tetap, PR memandu teksi?,” soal saya.

“Tidak, hanya warganegara sahaja,” jawab beliau.

“Mazidul, nanti kita pergi jalan-jalan. Bila orang tak sedar, kita buat operasi sama-sama,” sambungnya.

“Selamat hari raya Datuk”

“Selamat hari raya Mazidul,” ujar beliau.

* Menangis bersama 360 malam ini, jam 9, 'Pilu Menjelang Syawal'

Degilnya Dia

Selipar di kaki antaranya boleh pijak tanah, lumpur dan tahi.

Tahi ayam, tahi lembu dan tahi anjing.

Sebelum ini pelbagai pihak mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengambil tindakan terhadap perwakilan partinya mencadangkan gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diletakkan 'kalungan selipar' kerana dikatakan mencampuri urusan MIC.

Ramai melihat cadangan itu, satu penghinaan keterlaluan terhadap bekas pemimpin ulung negara, Tun Mahathir.

Mungkin tertekan, Samy kemudian menggantung perwakilan terbabit biarpun namanya tidak diumumkan atas sebab keselamatan.

Zaman dahulu, di kampung Melayu, jika anak melukakan rakannya tanpa disengajakan, bapa sipelaku akan memohon maaf sambil bertandang kerumah mangsa berbekalkan pulut kuning dan ayam panggang, simbol menebus kesalahan anak.

Setakat ini Samy masih tidak membuat sebarang kenyataan memohon maaf.

Degilnya dia.

Atau dia tidak perlu berbuat begitu?

Selasa, September 15, 2009

Mengintai Odometer

Pembaca, 'NenekPenne' melontarkan komen berhubung entry bertajuk ‘Curang Eh?’, klik di sini, saya siarkan pada 13 September lalu.

'Telefon bimbit diletakkan ‘silent mode’ ketika bersama isteri. This is what happen to me, my hubby silent modekan hp dia, sebelum tu I tak realised, lama kelamaan tetiba I rasa pelik bila dia menjawab hello sedangkan ringing tak berbunyi. Akhirnya saya diceraikan setelah dia curang dgn saya selama 3 bulan, kalau phone dia bebunyi, mestilah I akan bertanya, siapa yang call, jadi nak elak I daripada bertanya, dia buat lah silent mode'

Saya sedih membaca komen berhubung keruntuhan rumahtangga pembaca blog saya. Tetapi jelasnya satu daripada ‘petanda’ suami mula curang itu terbukti berlaku, bukan sekadar tulisan sahaja.

Mungkin lelaki tersinggung sekaligus tergugat membaca nukilan berikut.

“Abang nak pergi kemana? Dah malam ni,” soal isteri pada jam 10 malam.

“Nak minum sekejap dengan kawan kat kedai mamak, dekat sahaja,” balas suami.

Bukan semua suami melencong, masih ramai suami sayangkan isteri, setia dan jujur. Tetapi sesekali isteri boleh mencuba formula diperturunkan kepada saya dek rakan polis beristeri dua sebelum ini.

Ingin tahu?

Ya?

Ok. Begini.

Sebelum suami keluar dan menghidupkan enjin kereta, cuba isteri intai odometer (meter mencatat jarak perjalanan) kenderaan. Jika bacaannya 120,000, ingat nombor itu. Congak jarak di antara kedai mamak dan rumah. Katakanlah 2 kilometer, pulang balik 4 kilometer sahaja.

Jika suami mendakwa bersembang 5 jam, sebaik pulang kerumah lihat kembali odometer kereta. Andai tercatat 120,200, maksudnya kereta sama dipandu 200 kilometer, jauh. Sedangkan kedai mamak hanya terletak 4 kilometer pergi dan balik, perbezaan, 196 kilometer.

Selepas itu, tanya suami secara baik dan berkhemah. Usah mengamuk tidak menentu fasal.

“Sejak bila kedai mamak tu jaraknya 200 kilometer pergi balik?”

Lihat reaksi dan dengar penjelasannya biarpun mungkin bibir suami terketar-ketar :)

* Ada sesiapa ingin berkongsi 'Petanda Awal Isteri Curang?'? Silakan.

The Last Crusader

“Engkau kan jadi MC (pengacara majlis) masa aku kahwin dulu di Ipoh,” kata Dr. Kamrul Rashdan Salleh.

“Betullah, aku dah lupa, dah lama kan?,” balas saya.

Majlis perkahwinan Dr. Kamarul berlangsung pada 5 Ogos 1998. Lebih 11 tahun kemudian saya bertemu beliau sewaktu berbuka puasa semalam di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur atas jemputannya.

Dr. Kamarul, 37 tahun, kini, Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad, SPNB.

Saya difahamkan 256 projek rumah terbengkalai di seluruh negara.

“Kalau syarikat ‘penyelamat’ swasta tak mahu ambil alih atau sambung pembinaan projek rumah terbengkalai mungkin kerana tak ada untung atau untung terlalu sedikit, SPNB akan take over dan siapkan,” jelas beliau.

“SPNB kiranya macam the last crusader lah,” sambung saya.

“Lebih kurang begitulah,” balasnya tersenyum.

Setiap pemilik rumah terbengkalai menanggung beban bertindih, membayar ansuran bulanan pinjaman bank dan pada masa sama terpaksa menjelaskan sewa rumah.

“Kalau SPNB bantu memulihkan projek rumah terbengkalai, mesti pemilik suka dan bersyukur. Kalau tolong orang tengah susah selalunya orang ingat sampai mati. Lepas itu baharulah sesuai dengan konsep satu Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, ” kata saya.

Dr. Kamarul mengangguk setuju.

Saya dan Dr. Kamarul pernah menuntut di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor sebelum ini. Saya di bidang sains komputer, beliau mengambil kursus quantity survey sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah di University Of Salford, United Kingdom.

Bagi saya, beliau mempunyai karisma tersendiri dan mengamalkan sikap merendah diri. Berbekalkan ilmu dituntut di universiti, saya percaya Dr. Kamarul akan berjaya meringankan beban ribuan rakyat tertekan akibat masalah rumah terbengkalai.

Saya doakan kejayaan beliau.

* Malam esok, 360 merungkai kisah 'Pilu Menjelang Syawal'. Kes kematian insan tersayang di bulan Ramadhan dan bagaimana keluarga mendepani situasi sebegitu.

Isnin, September 14, 2009

Mampukah Samy?

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mendakwa hanya beliau mampu membawa perubahan kepada nasib kaum India.

Kenyataan itu dirakam dan disiarkan Buletin Utama malam tadi.

Perhimpunan Agung ke-63 MIC memilih beliau sebagai Presiden bagi penggal ke-11.

Benarkan beliau mampu?

Ahad, September 13, 2009

Pua Kumbu

“Mazidul, apa you dah beli tak apalah. I bought something else for you. But now I am on duty. Nanti I tinggalkan barang kat reception hotel you duduk,” ujar Affendi Hamden pada jam 10 malam semalam.

Affendi, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Penview Inn Hotel, lokasinya di Lot 3411, Blok D, Jalan Tun Razak, Kuching, Sarawak.

Hari sebelumnya kami mencari kain alas meja Pua Kumbu di bazar Ramadhan dan deretan kedai di Pasar Satok.

“Table runner ini harga asal RM250, lepas diskaun RM200. Kecil sikit ni RM70,” kata jurujual, gadis Bidayuh.

Menurutnya, Pua Kumbu di pasarkan di kedai ternama itu, hasil tenunan tangan, justeru harganya jauh lebih mahal berbanding Pua Kumbu dihasilkan mesin. Hakikatnya, tidak ramai pelanggan mampu membezakan kualiti di antara keduanya. Pelanggan seperti saya hanya bersandarkan maklumat disumbatkan ke telinga. Melalui pengamatan, tiada sebarang tanda pengesahan menunjukkan kualiti sebenar kain terbabit samada ‘hand made’ atau buatan mesin.

“Tak apa. Nanti esok I carikan di tempat lain,” bisik Affendi kepada saya.

Saya bersetuju.

Bungkusan kiriman Affendi saya ambil dari kaunter Hotel Dormani pada jam 4.30 pagi tadi, sejurus selepas sahur. Di dalamnya, 4 kain Pua Kumbu berlainan warna berserta kemeja-T.

Saya tidak pernah berkisah, samada kain dihadiahkan rakan itu, handmade atau buatan mesin. Mahal atau murah, kain terbabit hanya akan digunakan sebagai lapik meja makan, tidak lebih daripada itu.

Tetapi saya tahu pemberian itu lahirnya dari hati ikhlas.

Curang Eh?

Malam semalam, sebelum berbuka puasa, TV3 menyampaikan bantuan berjumlah RM10,000 kepada anak yatim dan warga emas di Kampung Belimbing, Padawan, Sarawak.

Antara selebriti terbabit dalam majlis itu, Zakiah Anas dan Intan Suraya.

Sewaktu menaiki coaster pulang ke Kuching pada jam 7.45 malam, ada antara krew membangkitkan persoalan saya kira menarik untuk diberikan perhatian. Antara soalannya ...

Apakah antara petanda awal suami curang?

Berikut beberapa rumusan hasil perbincangan secara tidak formal selama 45 minit.

1. Membawa telefon bimbit ketika masuk tandas untuk menghantar sistem pesanan ringkas.

2. Berasa cuak atau panik tidak menentu jika isteri secara spontan bercadang membersihkan bahagian dalam kereta.

3. Menyembur minyak wangi berlebihan berbanding kadar biasa sebelum keluar rumah.

4. Mula pulang kerumah lewat pagi dengan alasan bertemu rakan.

5. Menggunakan 2 telefon bimbit, 1 dimati atau disembunyikan ketika berada di rumah.

6. Berkata, “I will call you back” dengan nada sederhana sedangkan tidak sibuk ketika berada di rumah.

7. Membeli cenderamata ekstra ketika pulang daripada bertugas di luar kawasan, 'outstation' dengan alasan, ‘untuk kawan’.

8. Telefon bimbit diletakkan ‘silent mode’ ketika bersama isteri.

9. Memberikan perhatian dan pujian berlebih-lebihan secara tidak semena-mena terhadap isteri.

Ada lagi?

* Isteri saya TIDAK suka membaca blog :)

Sabtu, September 12, 2009

Kek Lapis Opah

Petang semalam saya singgah di Di Wannie Cake, No 345, Lorong Satok 9, Jalan Satok, Kuching bertemu Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zoraidah, 50 tahun. Opah bercucu dua itu mula membuat kek lapis sejak 1986 dan menjadi tenaga pengajar membuat kek selama 5 tahun.

Marble Cheese Cake, Roll Mengkuang, Pua Kumbu dan Strawberry Choc antara kek lapis dipasarkan di premis mula beroperasi sejak 3 tahun lalu itu.

“Ramai orang jual kek lapis guna majerin sebab itu boleh jual RM10. Kami di sini guna pure butter, RM45 satu tin, mahal. Tak bolehlah jual dengan harga itu,” ujar menantunya Halil.

Justeru kek bersaiz sama dijual pada harga RM25.

Di Wannie Cake memiliki pengesahan sijil Halal dikeluarkan Jabatan Agama Islam Sarawak sejak awal tahun ini.

Saya sempat merasa beberapa jenis sampel kek sewaktu meninjau ke bahagian dapur.

“Ini kali pertama saya melihat kek lapis dibuat. Tak sangka pula prosesnya rumit,” ujar saya kepada beberapa pekerja wanita bertugas.

Selain menghasilkan kek lapis berkualiti dan enak, semua pekerja premis terbabit ramah tamah biarpun bekerja dalam keadaan agak panas. Mereka tidak teragak-agak menerangkan kepada saya beberapa peringkat pembikinan kek amat dikenali di Bumi Kenyalang itu.

Sekiranya anda ke Kuching dan ingin membuat tempahan kek lapis, sila hubungi Zoraidah di talian 013 8100 646.

Jumaat, September 11, 2009

Meluat

Dia buat tidak endah. Mungkin menganggap hidangan disajikan percuma, lalu langsung tidak menunjukkan niat atau inisiatif membayar. Mungkin dia menganggap kita ‘taukeh’, sentiasa mempunyai wang mencukupi di kocek melangsaikan bil kepunyaannya.

Dia tidak pernah berkata ...

“Tak apalah, last time awak bayar, sekarang turn saya pula, kita selang seli bayarlah”

Barangkali ada antara permbaca pernah berhadapan senario sebegitu sebaik selesai makan dan minum di gerai, restoran mahupun di hotel bersama rakan taulan. Rakan duduk semeja, makan bersama, tanpa kekok membuat pesanan tetapi amat liat menjelaskan bayaran juadah dimakan.

Apa salahnya, jika tidak dibayar semua bil, hulurkan sedikit wang berkadaran dengan hidangan dijamah. Hulurkan wang itu kepada rakan, sambil berkata ...

“Nah! Aku tambah sikit”

Tiada salahnya berbuat begitu. Jadi tidaklah rakan menjadi ‘mangsa’, terpaksa ‘menanggung’ semua bil bersendirian walhal makan bersama.

Mungkin ada berfikiran ...

“Dia bos, dia banyak duit, biarlah dia bayar semua” atau "Dia kerja bagus, gaji banyak, biar dia belanja semua”

Tetapi sampai bila? Tidakkah dia berasa segan, setiap kali selepas makan dan minum bersama, dia sentiasa lepas tangan begitu sahaja?

Meluat.

Pernah jumpa 'rakan' seperti itu?

* Saya berada di Sarawak di antara 11 dan 13 September 2009 menghadirkan diri di majlis berbuka puasa bersama YB

Khamis, September 10, 2009

Tiga Line BUKAN Pekida

Jam 3 petang 10 September 2009, saya ke Jalan Horly, Bukit Bintang, Kuala Lumpur bertemu Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ayahanda Roslan Dahaman. Roslan, 55 tahun, anak kelahiran Kangar, Perlis menyertai Pekida pada usia 19 tahun, 28 tahun kemudian beliau dilantik sebagai ayahanda.

Hampir 2 jam kami bersembang di pejabat terbaharu Pekida Wilayah itu. Pelbagai isu disentuh, ada sensitif, ada tidak. Majoriti temubual dirakam akan disiarkan pada 30 September 2009, jam 9 malam di ‘360’.

Roslan dikenali dengan nama ‘Lan Gajah’ di kalangan ahli Pekida, mungkin kerana saiz tubuhnya agak besar. Beliau lancar berkata-kata dan mudah didekati.

“TV tak pernah lagi interview tetapi Harian Metro adalah,” ujar Roslan.

Mungkinkah ’360’ bakal menjadi program TV pertama merungkai ‘kemelut’ didepani Pekida? Barangkali.

“Ramai takut, bila cakap fasal Pekida, siapa nak jumpa? Inikan nak datang kepejabat,” usik saya.

Menurut Roslan, lebih 2 juta ahli Pekida berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh negara.

“Masa saya jadi pengerusi Pekida Bukit Bintang, lebih 15,000 ahli berdaftar di bawah saya”

“Adakah Pekida itu Tiga Line dan Tiga Line itu Pekida?,” soal saya.

“Pekida tidak ada kena mengena dengan Tiga Line. Pekida, persatuan berdaftar, Tiga Line tidak. Registrar Of Company patut kena siasat Tiga Line tu apa sebenarnya sebab dia ‘persatuan’ tidak berdaftar,” jelas Roslan selamba.

Rakaman soal-jawab lain, biarlah saya ‘simpan’ dahulu buat masa ini. Tetapi saya yakin perkara bakal didedahkan melalui kenyataan ‘panas’ Roslan akan mengejutkan ramai penonton.