Mereka sentiasa mundar-mandir di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, Sabah berhampiran Pasar Filipin. Semua orang celik, lalu-lalang di kawasan sama boleh melihat mereka secara jelas. Tengahari tadi, penerbit 999, Shahnun Hanif (berbaju hijau) mendekati 'Panjang', 25 tahun, mengaku warga Filipina, berbaju merah, kini dipercayai menetap di Pulau Gaya, 15 minit perjalanan menaiki bot dari bandaraya Kota Kinabalu. Lihat gambar di bawah.
Semua visual dan audio 'transaksi' dirakamkan penolong penerbit 999, Rosli Abdul Rahman dari dalam kenderaan kami naiki.
'Transaksi' apa dilakukan secara terbuka tanpa 'Panjang' gusar diberkas pihak berkuasa?
'Panjang', penjual rokok lari cukai dari Indonesia dan rokok tiruan dari Filipina. Khabarnya rokok diseludup masuk dari Labuan sebelum dilambakkan di Kota Kinabalu. Shanun membeli 6 jenis rokok terbabit sebagai bukti dengan harga di antara RM2 dan RM3.50 sekotak.
Kami kemudian ke Jalan Haji Yaakub, Kampung air. Remaja berusia 14 tahun bersinglet putih, mendakwa berasal dari Tawau turut menjual rokok sama. Dia mengaku tidak bersekolah, hanya merayau di jalanan menjual rokok pelbagai jenama secara terbuka.
Jam 2.30 petang, kami ke Pejabat Kastam Diraja Sabah. Respon kami rakamkan sewaktu bertemu pegawai bertugas ...
"Eh! Apa rakam gambar ni?"
Gusar tidak menentu. Menurut beliau, pengarahnya tiada di pejabat, Shahnun diminta datang kembali pada hari Isnin untuk merakamkan kenyataan berhubung kes penjualan rokok seludup dan tiruan secara terang-terangan sekian lama. Malangnya crew 999 akan bertolak ke lokasi lain pada jam 1 tengahari esok.
Saya berasa amat hairan, biarpun pihak berkuasa seperti Kastam dan Majlis Bandaraya Kota Kinabalu mendakwa melakukan operasi berulangkali, 'Panjang' dan puluhan rakan lain masih terus melakukan kegiatan bercanggah dengan perundangan Malaysia. Langsung tiada perasaan hormat kepada pihak berkuasa negara ini.
Hidup 'Panjang'! Hidup 'Panjang'! Usah gentar dengan operasi hangat-hangat tahi ayam. Teruskan kerja kamu menjual rokok seludup dan tiruan 24 jam sehari, 7 hari seminggu!
Terus bekalkan rokok murah, jimat duit perokok di Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.