Siang semalam saya terlalu sibuk membuat persediaan untuk mengacarakan program siaran secara langsung, 'Hujah' disiarkan pada jam 10.30 malam di TV9.
Sedang saya mentelaah dan menyiapkan senarai soalan bakal diajukan kepada 2 tetamu berstatus doktor, jam 8.30 malam telefon bimbit saya berbunyi.
Pegawai Penyiasat, Investigating Officer, IO Bahagian Siasatan Jenayah, Petaling Jaya, Selangor menghubungi saya.
"Assalamualaikum bang. Saya Inspektor XXXXXX. Abang boleh datang jumpa saya untuk ambil statement sekejap?," soal beliau.
"Indon dengan Nepalese tu buat report ke Tuan?," tanya saya.
"Ya, pukul 5 lebih tadi," jawab beliau.
"Tuan, saya ada live program 'Hujah' di TV9, pukul 10.30 sampai jam 11 malam. Kalau selepas itu saya datang ke balai jumpa Tuan boleh?," tanya saya.
"Boleh," kata beliau.
"Tak lewat sangat ke Tuan?," tanya saya.
"Ok. InsyaAllah saya ada dan tunggu di office," balasnya.
Mendengar intonasi suara, saya yakin IO terbabit masih muda tetapi cukup hormat sewaktu menghubungi saya. Oleh itu, saya mengambil keputusan bertemu beliau 90 minit sebelum siaran langsung kerana mengelakkan beliau terpaksa menunggu sehingga lewat malam untuk merakamkan kenyataan saya. Saya faham tugas beliau sebagai IO mungkin bermula sejak daripada awal pagi, pastinya IO itu penat.
Saya memaklumkan kepada penerbit 'Hujah', tujuan dan hasrat saya ingin ke balai polis.
"Bang, kalau boleh tolong minta pegawai tu jangan tangkap abang sebelum pukul 10.30 malam ya, nanti siapa nak jadi pengacara 'Hujah' malam ni," ujar penerbit, Nurul Rodhiah Zulkifli bimbang.
Maklumlah, itu kali pertama Nurul menerbitkan program terbabit tetapi saya hanya mampu tersenyum sebelum beredar.
Kurang 10 minit memandu, saya tiba di pekarangan Balai Polis Mutiara Damansara.
"Tuan ada di bilik, kalau tak ada, dia di bilik air," ujar Sarjan berbangsa Sikh saya temui.
Kurang 15 saat, IO terbabit keluar dari bilik air dengan tangan dan wajah dibasahi air wuduk.
"Bang, boleh bagi saya 5 minit (untuk solat)," tanya beliau.
"Ambil 10 minit Tuan, no problem," balas saya.
Saya kemudian masuk ke bilik Sarjan dan berbual bersamanya, dia kenalan lama. Sebaik selesai mengerjakan solat, IO terbabit datang menemui saya dan bersama kami kemudian masuk ke bilik beliau.
"Tiada sebab saya ingin memukul teruk mereka. Kenderaan Kancil dilanggar dek pemandu Indon tu bukan kereta saya Cuma saya terfikir, pemilik kereta Kancil lazimnya bukan orang kaya. Kalau pemandu lari, kasihan dia, terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk memperbaiki kerosakan kenderaannya akibat kecuaian orang lain"
Beliau mendengar sambil menaip laporan menggunakan komputer meja.
"Semasa pemandu cuba melarikan dan berada di jalan utama, mujur lampu isyarat merah. Saya meminta dia memberhentikan lori dan turun tetapi bimbang jalan sesak. Saya cakap tinggalkan contact number dan namanya agar mudah dia dihubungi pemilik kereta dilanggar namun dia berdegil. Lalu saya mengarahkan pembantunya turun. Malangya pekerja warga Nepal tu mendiamkan diri. Saya menariknya keluar, dia meronta kuat dan berulangkali sikunya terkena dada saya namun saya tidak bertindak balas. Dengan kudrat saya menariknya ke kedai mamak berhampiran sementara menunggu lori diparkir di tepi jalan"
Beliau khusyuk mendengar sambil memerhatikan saya melakarkan lokasi kejadian.
"Saya tidak menumbuk mereka, hanya melempang sekali seorang, itu pun bukan kuat sehingga mencederakan. Kalau kuat mesti berbekas lima jari di muka. Lagi pun saya tahu jika mereka tercedera, saya boleh dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Tujuan saya hanya sekadar mengingatkan mereka supaya tidak lagi memandu secara melulu dan berbahaya di kawasan perumahan dan di jalan utama digunakan pelajar untuk ke sekolah rendah berhampiran pada awal pagi. Kalau di jalan sempit dia selamba memandu sebegitu, di jalan besar mungkin boleh dituduh mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Jika tidak, masakan boleh terlanggar kereta diparkir, statik. Lagi satu kalau dah terlanggar kereta orang, berhenti dan tinggalkan maklumat diri untuk dihubungi, bukan melarikan diri," sambung saya.
Terfikir, jika cara pemanduan sama dipraktikkan warga Malaysia berkunjung ke Indonesia, pasti buluh runcing terpacak di dada mereka. Selepas itu berduyun warga mereka melakukan demonstrasi membaling najis ke bangunan Kedutaan Malaysia sambil membakar bendera Kebangsaan.
45 minit sebelum siaran langsung bermula saya memohon untuk beredar. Sebelum itu saya diminta menandatangani laporan ditaip beliau.
"Terima kasih bang," kata IO terbabit sambil tersenyum.
"Terima kasih Tuan. Sebarang tindakan atau perkembangan mohon Tuan hubungi saya nanti," ujar saya.
Pembaca dihormati.
Selama 10 tahun saya mengendalikan program 999, pelbagai kejadian jenayah membabitkan warga asing, khususnya dari Indonesia saya saksikan. Sebilangan mereka antaranya terbabit membunuh, merompak, menyamun, melakukan jenayah kekerasan, merogol, mencabul, mengedar dadah, melacur dan meragut di negara saya cintai ini.
Justeru, jika tindakan diambil terhadap saya, InsyaAllah tiada sesalan bakal tercetus di dalam diri. Saya yakin, saya melakukan tindakan benar pada saat kejadian berlaku. Lagipun, mereka berada di sekeliling saya pada waktu itu hanya sekadar penonton, bystanders sahaja.
Berikutan laporan pols dibuat mereka, biar saya perkenalkan kepada pembaca semua, wajah warga asing cuba mencalarkan keharmonian kawasan berhampiran tempat tinggal saya.
Saya tidak pernah dilatih membiarkan tindakan kurang ajar segelintir warga asing berlaku di hadapan mata tanpa bertindak sekaligus mengingatkan mereka ...
Ini negara ku, tempat tumpah darah ku, lalu usah sesekali terfikir mempamerkan 'kuasa' kononnya ini negara kamu!
Demi Allah, aku tidak akan membenarkan itu berlaku.
Nota
Terima kasih khususnya kepada Puan Liza sekeluarga dan semua sudi menonton 'Hujah' malam tadi. Tajuk minggu hadapan, 27 Oktober, jam 10.30 malam di TV9, 'Baik Buruk Facebook'.