Khamis, Jun 13, 2013

UPTOWN 'BERHANTU'?



Surat  dihantar oleh  Ilmu Panduan  Hidup kepada peniaga di Uptown D'Kota, Kota Damansara,  Petaling Jaya, Selangor. 


PKNS dilapor menyerahkan tapak premis perniagaan terbabit kepada Ilmu Panduan Hidup dan  disokong oleh MBPJ. 


"Memamg  ada  perjanjian  jual  beli di antara PKNS dan syarikat swasta,  Ilmu Panduan Hidup, IPH. Syarikat terbabit  telah membayar  RM4.8 juta  kepada PKNS.  PKNS kemudian menghantar  borang 5A  kepada Pejabat Tanah untuk membayar premium. Pejabat  Tanah kata, penjualan itu akan dipertimbangkan. Permohonan penjualan tidak diluluskan. IPH kemudian disarankan memohon dan membeli Kompleks Muhibbah terus daripada Kerajaan Negeri. Tetapi hakikatnya,  IPH  telah membayar  RM4.8 juta  terus kepada PKNS -  Nor Hisham Ghouth (Pengurus Korporat  PKNS)



Klik di sini  untuk  membaca secara lebih teliti  kandungan  temu bual   saya bersama  Pengurus Korporat PKNS. Beliau  secara  jelas  memaklumkan,  Kompleks Muhibbah BUKAN milik Ilmu Panduan Hidup.

Apapun,  saya  diserahkan dokumen di bawah. Barangkali benar kata Hisham, transaksi penjualan  kepada Ilmu Panduan Hidup  GAGAL selepas PKNS  mengetahui premium harus dibayar  kepada kerajaan negeri  lebih RM20  juta.


Malam  tadi  saya  bertemu  Ahli  Jawatankuasa  Penyelaras  Uptown D' Kota  diketuai oleh pengerusinya,  Zainuddin Hashim,  63 tahun. 


"Kami  telah  menghubungi  Ahli Parlimen Subang,  YB  R. Sivarasa berhubung masalah ini dan beliau berjanji akan menganjurkan satu dialog membabitkan  peniaga, PKNS,  MBPJ,  MRT Corporation dan pihak Ilmu Panduan Hidup," ujar Zainuddin.



Pada masa sama surat juga telah dihantar kepada MRT Corporation untuk memohon pampasan akibat perniagaan didakwa terjejas berikutan pembinaan laluan MRT di Uptown D' Kota.


"Setelah semua maklumat dihantar kepada pihak MRT Corporation,  kami dimaklumkan, syarikat terbabit memerlukan tempoh 6 bulan untuk membuat penilaian dan memproses permohonan itu. Maksudnya 2 bulan sebelum  pembinaan disempurnakan," tambah bekas wartawan  veteran itu lagi.

Permohanan  itu  turut  disokong  oleh  Pengarah  Ilmu  Panduan Hidup, Khairulazman  Abdul Rahman.


Zainuddin,  anak kelahiran  Bagan Datoh,  Perak,  pernah  menulis  untuk  akhbar Bumi  dan Watan di zaman  mudanya.

"Kalau saya  memperjuangkan nasib  peniaga Melayu dan kemudian  dilucutkan  jawatan dalam PKR,  saya redha  kerana  selama ini  tidak  pernah  meminta satu sen pun duit daripada pemimpin parti saya sokong.  Sebelum ini, saya  ketua Pemuda UMNO di Perak, samalah. Tidak  meminta duit pun. Jangan  peniaga Melayu  dianiaya,"  katanya berterus-terang.

Dia kemudian terus berkongsi maklumat.

"Saya juga  telah  pergi berjumpa Wakil  Rakyat Kota Damansara, YB  Halimaton Saadiah  Bohan  dan memaklumkan  bekas Ahli Majlis  pada zaman Datuk Mokhtar Dahlan   itu  berhubung  masalah  didepani  oleh  86  peniaga. Namun setakat ini,  tiada respon mahupun  tindakan untuk  membantu  kami," katanya lagi. 


Sebelum  penyelenggaraan  Kompleks  Muhibbah  diambilalih  oleh syarikat  Ilmu Panduan Hidup,  kadar  sewa seunit  gerai  hanya  kira-kira  RM200 sebulan,  kini RM500.

Janji hanya janji.


"Bagaimana  status  banyak  gerai  kanopi dipacakkan oleh syarikat penyelenggara di tepi tapak  pembinaan  laluan MRT?,"  soal saya.

"Dengarnya  akan mula  beroperasi  pada 15 Jun  ini  setelah dipindahkan secara tergesa-gesa  dari bawah  Blok A. Klik di sini.  Setiap  peniaga diminta  untuk memohon  sendiri  lesen perniagaan   sementara   dan  setakat  ini   dengarnya  belum  lagi  diluluskan  oleh  MBPJ. 

Zainuddin dan AJK  lain  akan ke PKNS  untuk  mengetahui status sebenar pemilikan harta Kompleks  Muhibbah  dalam  jangka  waktu  terdekat.

"Kalau mengikut sejarahnya,  sejak tahun  2006 lagi,  Uptown  ini 'berhantu',"  jelas Zainuddin.

"Berhantu?," tanya saya.

"Saya perhatikan,  individu  cuba mengacau  Uptown,  lazimnya  kecundang,  termasuklah ahli politik  sebelum ini,"  ujar Zainuddin sebelum saya beredar.




1 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.