Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma, bukannya dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
SPRM dalam kenyataan di sini hari ini berkata, laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion sudah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara.
Bagaimanapun, agensi itu berkata, siasatan berkenaan isu SRC International yang membabitkan dana RM4 bilion masih berjalan oleh SPRM.
Mengikut SPRM, semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatan SPRM hanya memfokus ke atas isu berkaitan dengan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri manakala Polis Diraja Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan 1MDB dan Bank Negara Malaysia pula menjalankan siasatan berkaitan dengan kaedah dan tatacara kewangan.
"SPRM sekali lagi memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional. Diharap semua pihak akan bersabar dan memberi ruang kepada SPRM dalam menjalankan siasatan dengan menyeluruh," kata agensi itu.
SPRM berkata, pihaknya juga akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan polis ke atas pegawai SPRM.
SPRM mengulangi bahawa tiada pegawainya terbabit dalam konspirasi mahu menjatuhkan Kerajaan. Tindakan yang diambil oleh SPRM adalah jelas semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah Suruhanjaya yang bebas.
Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.
"Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional tanpa 'fear or favour' dan tanpa mengira siapa yang terbabit. SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak untuk mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan.
"SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi hingga siasatan mengenai perkara ini selesai," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.