Jumaat, Mei 08, 2009

Terima Kasih AADK

Saya mula bertugas di TV3 pada 17 Julai 1995. Memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet dan perantara program Malaysia Hari Ini. Saya kemudian diberikan peluang bekerja sebagai wartawan eksekutif rancangan Remaja dan Majalah 3. Beberapa tahun kemudian saya dipindahkan ke Jabatan Berita Dan Hal Ehwal Semasa, menjalankan tugasan wartawan berita, selepas itu mengendalikan rancangan bual bicara, Bincang Petang.

Sepanjang 7 tahun berlalu, saya melihat ramai rakan wartawan baharu dan lama samada petugas media cetak mahupun elektronik menerima pelbagai anugerah. Anugerah, bukti komitmen dan dedikasi mereka sewaktu melaksanakan tugas. Saya amat gembira melihat kejayaan diraih.

Tahun 2002, saya menyertai program ‘999’ dan kemudiannya diberikan ruang menerbitkan rancangan ‘360’ sehingga kini. Empat tahun bersama 999 dan lebih 2 tahun bersama 360, saya terus melihat rakan wartawan menerima lebih banyak anugerah hasil tulisan dan paparan mereka di TV. Saya teruja dengan kejayaan mereka biarpun tidak terlintas di fikiran untuk menempa kejayaan sama. Saya sedar sumbangan dihulurkan selama lebih 14 tahun di bidang penyiaran hanya sekelumit. Apapun, tidak menerima anugerah bukan penghalang saya terus berkarya. Minat dalam kerjaya ini tidak pernah luntur biarpun pernah ditegur, dihina, dicerca dan dimaki, sesekali dipuji masyarakat, penonton setia.

360 pernah menyiarkan episod berhubung penyalahgunaan gam dan ‘benzo’ di kalangan remaja dan golongan dewasa. Paparan kesan buruk mereka ketagih gam atau 'glue'. Saya masih ingat saat menemubual bapa penagih gam di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor lebih setahun lalu.

“Anak saya kalau hendak turun dari rumah flat ini, dia tidak menggunakan tangga atau lif. Dia keluar ikut beranda, pijak belebas tepi itu, dari tingkat empat dia turun merangkak macam spiderman. Berani betul, sebab otak dia khayal akibat gam disedut,” katanya.

Jam 2.30 petang tadi saya dihubungi kakitangan komunikasi korporat TV3, Irma Mahamat Tahir melalui emel. Kata beliau Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK memilih saya untuk menerima Anugerah Wartawan Terbaik TV 2009 berhubung tugasan saya laksanakan itu. Anugerah pertama saya, selepas hampir 15 tahun menghambakan diri di bidang saya minati.

Terima kasih AADK, TV3, jurukamera dan krew 360.

Khamis, Mei 07, 2009

Kritikan Bekas Pesakit Dipersoal

Beberapa pegawai perubatan, doktor, menghantar emel kepada saya menyatakan ketidakpuasan hati mereka berhubung paparan program '360', 6 Mei 2009 bertajuk ‘Suka duka layanan di hospital kerajaan’. Mereka mendakwa media bukan saluran terbaik untuk mengkritik golongan profesional.

360 hanya memaparkan antara ribuan komen dilontarkan masyarakat berhubung kualiti perkhidmatan ditawarkan pihak hospital. Bukan SEMUA hospital, hanya SEBILANGAN sahaja. Antara isu diutarakan, masa menunggu terlalu lama sebelum mendapat rawatan dan cemuhan dilemparkan sebilangan kakitangan hospital semasa wanita bersalin.

Dari awal siaran saya secara jelas menyatakan premis paparan terbabit, masyarakat tidak menyalahkan SEMUA kakitangan hospital, hanya SEBILANGAN daripada mereka.

Adakah wajar suara pesakit tidak harus didedah dan diendahkan?

Rabu, Mei 06, 2009

Sebat Mat Rempit

Selain menunggang secara melulu dan berbahaya, setakat ini Mat Rempit dilaporkan terbabit mencederakan pengguna jalanraya, membunuh, merogol dan bergaduh sesama mereka.

Justeru, ada pihak serius mencadangkan mereka disebat jika berjaya ditahan pihak berkuasa. Andai dipenjara, kerajaan jelas membazirkan wang cukai dikutip daripada rakyat untuk menanggung kos penahanan Mat Rempit terbabit.

Saya percaya jika hukuman itu diluluskan, majoriti mereka bakal disebat, remaja Melayu bukan bangsa lain.

Terfikir, mengapa anak Melayu merempit?

Selasa, Mei 05, 2009

Tomok Juara One In A Million


Isnin, Mei 04, 2009

Lelaki Membosankan?

Sebilangan perempuan lebih berminat menjalin cinta membabitkan hubungan seksual dengan perempuan, kelompok lesbian.

“Perempuan sebenar lebih bijak ‘melayan’ kehendak perempuan sebenar lain,” kata mereka.

Namun aktiviti sisi gelap lesbian tidak begitu menonjol berbanding kegiatan pengkid. Pengkid, perempuan berperwatakan seperti lelaki, gemar menggoda kaum berjantina sama. Mereka berani berpegangan tangan dan berpelukan di khalayak ramai, kononnya lambang bukti cinta sejati.

Perempuan lesbian dan pengkid, mungkinkah mereka bosan terhadap lelaki sehingga menuntut kasih sayang kaum sejenis?

Ahad, Mei 03, 2009

100 Jam Kerja Amal

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa hukuman lebih berat dikenakan kepada mat rempit ditahan pihak berkuasa.

Pesalah disaran melakukan kerja amal selama 100 jam manakala pelajar melakukan kesalahan berulang dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney.

Selama ini mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda kepada pesalah menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen?

Apa Jawaban?

Kemalangan jalanraya berlaku tanpa diduga dan musibah mungkin menimpa sesiapa sahaja tidak mengira bangsa dan ugama.

Kita kerapkali terserempak kemalangan maut. Mangsa mati, mayat ditutup menggunakan surat khabar atau plastik hitam. Pegawai polis trafik hadir di lokasi untuk menyiasat punca kejadian dan mengenalpasti pihak terbabit mengakibatkan kemalangan. Selesai siasatan, jip polis akan membawa mayat ke hospital untuk dibedah siasat.

Jika mangsa hidup, dia mungkin menggelepar kesakitan di atas jalan. Meraung dan menjerit tanpa kawalan. Kecederaan teruk dialami selalunya mengakibatkan tubuh mangsa berlumuran darah. Namun nyawa mangsa barangkali boleh diselamatkan jika rawatan segera diberikan.

“Tolong encik, boleh bawa dia ke hospital? Dah tunggu lebih 15 minit ambulan tak datang lagi,” pinta rakan mangsa kepada PEMANDU memperlahankan kenderaan.

Jika PEMANDU itu anda, apa jawaban diberikan?

Ingat, mangsa mungkin mati dalam kenderaan anda dalam perjalanan ke hospital.