Rabu, Jun 03, 2009

Manisnya Madu

Hunny Madu, itu nama gelaran gadis manis, berusia 25 tahun, penyampai radio Fly FM ini. Hunny dilahirkan di Hospital Pantai, Kuala Lumpur dan pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor.

“Tengah bercinta?,” soal saya ketika bertemu di bilik make up.

“His! Susah nak jawab soalan wartawan ni,” katanya sambil tersenyum.

“Tengah bercinta ke?,” soal saya sekali lagi.

“Ya. Mana tau?,” soal saya.

“Saya tengok muka awak saya tahu, sebab lebih manis daripada madu,” saya mengusiknya.

Anak kedua daripada empat adik-beradik ini bersuara garau.

“Dulu di sekolah selalu menjerit ke?,” tanya saya.

“Tak, suka buat lawak,” balasnya selamba.

Saya suka melihat gadis manis, berbakat, mesra dan bijak menghormati orang. Ikuti perkembangan Hunny di blog beliau.

http://hunnymadu.blogspot.com/

Pening Kepala

Pengawal keselamatan warga Indonesia, Aidil, berusia lingkungan 20-an, suspek utama kes pecah rumah di kondominium di Melati Utama, Wangsamaju, Kuala Lumpur diburu polis.

Kes terbabit membabitkan kerugian RM300,000.

Persoalannya, sejak bila warga Indonesia dibenarkan menjadi pengawal keselamatan?

Banyak pihak tidak mengambil endah berhubung undang-undang ditetapkan, langgar selagi boleh. Alasan mereka, warga tempatan tidak berminat menjadi pengawal keselamatan. Bila warga asing terbabit dalam kes jenayah, pelbagai pihak pening kepala.

Selasa, Jun 02, 2009

Manohara Odelia Pinot

Manohara Odelia Pinot, isteri Tengku Temenggong Muhammad Fakry, putera ketiga Sultan Kelantan, kini kembali ke Indonesia.

Model berusia 17 tahun itu dilapor melarikan diri semasa berada di Singapura dengan bantuan polis Singapura dan Kedutaan Amerika Syarikat.

“Manohara dianiaya secara fizikal. Dia telah dicederakan di bahagian dada dengan pisau cukur,” dakwa ibu Manohara, dipetik AFP.

Kes Manohara mendapat liputan meluas di Indonesia, dimuatkan di dalam berita dan program bual bicara stesyen TV tempatan. Dalam sidang media, Manohara mendakwa didera secara seksual, mental dan fizikal.

“I have been treated like an animal,” kata beliau dalam temubual disiarkan di YouTube.

Sejauh manakah kebenaran kenyataan itu belum dapat dipastikan setakat ini kerana tiada bukti dikemukakan. Manakala istana Kelantan setakat ini mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Selagi kes ini tidak diselesaikan, jutaan rakyat Indonesia pasti memandang serong terhadap dakwaan layanan buruk diterima warganya itu, sekaligus nama Malaysia menjadi sebutan dalam konotasi negatif.

Sikap Jelek Perempuan Dan Lelaki

Perempuan, insan lemah lembut dan beremosi sensitif berbanding lelaki. Mereka lebih kerap disayangi daripada dibenci. Hakikatnya, mereka, teman, kekasih dan isteri.

Bagaimanapun bukan semua sikap perempuan disenangi, sebilangan menjelekkan. Biarpun jarang dibicarakan secara terbuka, saya kira tidak salah menyentuh isu ini.

Antara sikap jelek perempuan? Ops! Jika perempuan ingin ‘membongkar’ sikap buruk lelaki secara am, silakan.

Biar kita perbetulkan bersama.

Isnin, Jun 01, 2009

Usah Tertipu Lagi

Berikut SMS saya terima pada jam 9.30 malam tadi melalui hotline 360.

‘Assalamualaikum Mazidul, boleh saya tahu, office Power Root buat cabutan bertuah dan saya seorang daripada pemenang. Bila saya ikuti semua diminta, dengan tak disangka duit dalam akaun saya lesap’

Saya tidak membalas SMS terbabit biarpun kos menghantar 1 SMS hanya 8 sen. Bukan kerana saya kedekut tetapi saya mulai bosan dengan sikap sekelompok manusia. Manusia tidak mahu mengambil tahu berhubung perkembangan isu semasa.

Kes sindiket penipuan menggunakan SMS sudah lama berlaku, ramai menjadi mangsa kerana bertindak tanpa usul periksa dan terlalu kepingin meraih wang mudah. Mereka hanya menyedari tertipu setelah wang simpanan bank lesap.

Semoga penghantar SMS terbabit lebih kerap membaca akhbar dan menonton berita agar tidak tertipu lagi buat kesekian kali.

Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor


Lelaki Berbaju Kuning

Mengapa kerajaan tidak mengharamkan penjualan nombor ekor? Jawaban paling mudah, pertama, Malaysia mempunyai masyarakat pelbilang kaum, justeru banyak permintaan perlu dipenuhi, sebilangan kaum gemar berjudi. Kedua, cukai diraih seperti cukai arak dan rokok, lumayan..

Orang Melayu di bandar dan desa sudah lama terjebak mejadi kaki ekor. Mereka kepingin hidup mewah menggunakan jalan pintas. ‘Melabur’ seringgit dua, jika menang, hasilnya ribuan ringgit, andai kalah, mereka akan berjudi kembali tanpa jemu.

“Suami saya bekas askar, sebulan, duit pencen RM200 sahaja bagi saya untuk membeli barang dapur, terserah kepada saya mengatur perbelanjaan samada cukup atau tidak. Kami ada tiga anak, dua bekerja, seorang masih sekolah. Ayah dia hanya bagi RM10 sebulan buat belanja. Bakinya dia beli nombor ekor,” keluh suri rumah dari Sarawak sewaktu menghubungi saya.

Teruknya kesan berjudi.

Sifat ketagihan judi bagai tidak mampu dibendung lagi. Mereka menjadikan judi sebagai ‘a way of life’, itu kesilapan berlaku. Dilaporkan, perjudian nombor ekor kini membabitkan golongan muda, orang tua berkopiah dan perempuan bertudung. Mereka tidak segan silu membeli nombor ekor secara terbuka. Jika timbul perasaan sedikit malu, majoriti membeli nombor ekor di pasaran gelap. Tidak perlu beratur dan bimbang ditahan pihak berkuasa, mereka membeli nombor menggunakan khidmat pesanan ringkas, duit dibayar kemudian. Tidak hairan, kini, kedai runcit dan kedai kopi turut menjual nombor kepada pelanggan tetap dikenali.

Semalam saya menyertai 16 pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor, JAIJ diketui Penolong Pengarah Unit Operasinya, Haji Md Zainizam Hassan menjalankan Ops Nasib, operasi menahan orang Islam membeli nombor ekor di dua lokasi berbeza di Johor Bahru.

Saya dan jurukamera, Zulhazri Abu Bakar merakamkan visual premis dan pelanggan membeli nombor ekor sebelum pegawai JAIJ memperkenalkan diri kepada pelanggan Islam. Ramai cuba melarikan diri, mencetuskan suasana kecoh dan tegang, sehingga ada antara pelanggan terkoyak baju sewaktu meronta. Antara 11 ditahan, lelaki berbaju kuning, berusia 57 tahun. Sewaktu digari, dia tidak bertindak ganas dan hanya menurut arahan pegawai bertugas. Terlintas di hati, sewaktu melihat dia dibawa masuk ke van JAIJ …

“Datuk siapakah dia?”

Sewaktu berada di lock up JAIJ, saya lihat sebilangan mereka sibuk menelefon, mungkin memaklumkan ahli keluarga terdekat berikutan penahanan mereka.

Mereka disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah 1997 Negeri Johor boleh didenda RM3000 atau dipenjara 2 tahun atau keduanya.