Selasa, Jun 09, 2009

Pelajar Menyamun

Cuti sekolah masuk minggu kedua. Majoriti keluarga membawa anak bercuti di pelbagai lokasi, di dalam dan di luar negara. Manakala sebilangan pelajar menggunakan masa terluang mengulangkaji pelajaran di rumah.

Bagaimanapun 3 pelajar berusia 17 tahun dan seorang lagi berumur 18 tahun berasal dari Kampung Medan, Petaling Jaya, Selangor ditahan di Kinrara, kerana terbabit dalam 15 kes samun bersenjata di tepi jalan.
Wang hasil samun digunakan mereka untuk berfoya-foya pada musim cuti sekolah.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris

Terbaru, cadangan calon Sijil Pelajaran Malaysia diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris bagi melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Timbalan Perdana Menteri juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai melontarkan komen.

Apa kata anda?

Ahad, Jun 07, 2009

Tragedi PLKN: Apa Lagi?

Misi Program Latihan Khidmat Negara, PLKN antaranya memupuk jati diri, semangat patriotik, integriti dan pemantapan sahsiah diri di kalangan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.
Bagaimanpun, sejak PLKN dimulakan pada tahun 2004 pelbagai kejadian tidak diingini berlaku. Tragedi terburuk, antaranya, pelatih mati lemas, terkorban akibat pergaduhan dan mati kerana masalah kesihatan. Dilaporkan setakat ini 16 pelath PLKN meninggal dunia, 11 kematian ketika menjalani latihan, 5 lagi ketika pelatih bercuti.

Negara juga digemparkan apabila jurulatih PLKN, Zuki Mohd, 30 tahun, anggota tentera berpangkat koperal dituduh merogol pelatih perempuan 19 tahun di dalam keretanya di Setiu, Terengganu pada 28 Februari 2004. Suspek dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan pada 19 Disember 2005, Zuki dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dikenakan 3 sebatan. Bukti jelas, tindakan jurulatih itu bagai haruan makan anak.

1 September 2006, pelatih, Mohd Rafi Ameer meninggal dunia. Kakak arwah, Jubaidah mendakwa pihak PLKN cuai menangani masalah dihadapai adiknya. Mohd Rafi dikatakan berulangkali mengadu demam dan bengkak kaki akibat terjatuh semasa latihan. Dia dipercayai termakan makanan tercemar najis binatang. Jubaidah memfailkan saman 10 juta ringgit melipuiti gantirugi khas, gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan kepada plaintif.

Terbaru, 11 pelatih di Kem Sommerset Rompin, Pahang diberkas polis kerana terlibat pergaduhan dengan pelatih lain. Mujur mangsa cedera di leher dan tubuh sahaja. Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Mohd Haris Daud, mangsa dikata cuba meleraikan pergaduhan dipercayai berlaku di antara kumpulan pelatih dari Johor dan Terengganu.

Ini bukan kejadian pertama, sebelum ini pelatih, Haziq Jaafar, 17 tahun meninggal dunia di Hospital Kluang, Johor akibat dibelasah pelatih lain. Suspek berusia sama didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kebelakangan ini, kita mula mendengar bantahan keluarga enggan menghantar anak mereka menjalani latihan 3 bulan PLKN. Memang ajal maut di tangan Allah S.W.T, bagaimanapun ramai bimbang sekaligus mempersoalkan aspek keselamatan di kem anak mereka ditempatkan.

Komen anda?

Jumaat, Jun 05, 2009

Keganasan Chin Peng

Balai Polis Bukit Kepong, di selekoh Sg. Muar, Johor diserang 200 pengganas komunis Kompeni Bebas ke-4 pada jam 4.15 pagi, 23 Februari 1950. Ketua Balai Polis ketika kejadian, Sarjan Jamil Mohd Shah.

Biarpun berulang kali diseru menyerah 22 anggota polis bertugas mengambil keputusan mempertahankan balai diperbuat daripada kayu itu sehingga ke titisan darah terakhir. Dua isteri anggota polis dilaporkan turut mengangkat senjata, bertempur menentang serangan komunis melihatkan satu persatu anggota polis gugur.

Kira-kira jam 7 pagi, komunis menawan isteri Konstabel Mohamad Jaafar, Mariam Ibrahim, dua lagi ahli keluarga Konstabel Abu Bakar Daud, Fatimah Yaaba dan anaknya Hassan turut ditahan. Mereka semua dipaksa menyeru polis menyerah bagaimanapun pasukan keselamatan enggan meletakkan senjata. Berikutan itu, Mariam dicederakan, Fatimah dibunuh.

Hanya selepas 5 jam bertempur, pengganas komunis berjaya menawan Balai Bukit Kepong. Pengganas komunis membakar berek kelamin berhampiran balai, dua wanita dan anak mereka hangus dalam tragedi itu, anggota polis cedera parah dan mayat di lempar ke dalam api.

25 terkorban, 14 anggota polis, 4 pengawal kampung, 3 polis bantuan dan 4 orang awam, terselamat 4 anggota polis dan 9 ahli keluarga.

Marilah bersama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada semua anggota polis dan keluarga gugur dalam peristiwa hitam 59 tahun lalu, 7 tahun sebelum negara meraih kemerdekaan.

Fakta perlu diingat, pangganas komunis terbabit, anggota Parti Komunis Malaya diketuai Chin Peng. Justeru wajarkah Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia?

Nyatakan pendirian anda.

Pendera Darah Daging

Menurut DSP Siasatan Kanak-Kanak D11, Bukit Aman, DSP Norisah Ab. Hamid, setakat ini bagi tahun 2009, 71 kes penderaan fizikal kanak-kanak dilaporkan. Majoriti mangsa berusia antara 1 dan 7 tahun. Tahun ini 20 kes dera dilakukan ibu, 14 bapa manakala 13 kes pengasuh, kebanyakan kes terjadi di rumah. Statistik dicatatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati Selangor, negeri mempunyai kes dera tertinggi.

Jika anda mengesaki berlaku kes dera, hubungi Talian Nur 15999, beroperasi 24 jam.

Menghairankan, masyarakat Malaysia diwar-warkan penyayang, pada masa sama sebilangan warga tidak berhati perut, mendera darah daging sendiri.

Khamis, Jun 04, 2009

Kisah Burung Walid

Saya menerima pesanan ringkas, SMS daripada KH Wong menetap di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor. Dia mengemukakan aduan berhubung jiran memelihara ratusan burung walid di struktur rumah didakwa dibina secara tidak sah. Kesannya, penduduk di kawasan berhampiran hidup tidak selesa akibat bunyi bising dan bau tahi burung. Lalu, mereka mengemukakan 4 komplen kepada Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, MPJBT.

Lapan panggilan telefon, saya gagal menghubungi pegawai penguatkuasa bertugas pada jam 9.30 pagi tadi.

“Pegawai keluar minum, saya bagi nombor handphone dia,” kata kakitangan menyambut panggilan saya.

Saya puji sikap kakitangan wanita terbabit.

Dua kali saya menghubungi nombor diberikan, tidak berjawab. SMS saya hantar menerima nasib sama. Kesimpulan saya, mungkin pegawai itu sibuk. Saya kemudian berjaya bercakap dengan Timbalan Yang Dipertua MPJBT.

“Majlis tidak mempunyai by law untuk mengambil tindakan. Tetapi kita dah keluarkan notis kepada pengusaha terbabit,” kata beliau.

“Penduduk hantar emel kepada saya, kata mereka, premis tu sudah disaman dek majlis,” tambah saya.

Beliau terdiam, mungkin berfikir.

“Tuan, biasanya struktur rumah tidak boleh extended tanpa kebenaran. Jika extended juga, itu dikira struktur haram. Penguatkuasa boleh mengambil tindakan merobohkan struktur terbabit. Kenapa tindakan sama tidak diambil sedangkan empat surat komplen dihantar penduduk? Semua nombor rujukan ada pada saya,” soalan saya kemukakan.

Beliau meminta diberikan masa bagi menyiasat kes terbabit sekaligus merujuk kepada pegawai penguatkuasanya.

“Tuan, empat surat komplen diajukan. Tidak wajar kalau baharu nak disiasat kes ini. Apapun, ok. Khamis minggu hadapan saya akan hubungi tuan kembali. Kesian penduduk hidup dalam keadaan tidak selesa,” ulas saya.

Mengapa begitu jadinya?

SMS Terakhirnya

Seorang ibu mengadu melalui sistem pesanan ringkas, SMS dihantar ke hotline 360, anaknya berusia 13 tahun didakawa siang malam melepak di Café Siber, CC.

‘Balik sekolah dia pergi CC. Maghrib dia balik, lepas makan dia pergi CC balik sampai jam 12 malam. Katanya buat kerja sekolah tetapi dia main orang menari nari atas skrin tu. Saya dah buat macam-macam, sampai jumpa bomoh bagi dia benci dengan benda tu (CC) tetapi tak berkesan’

Ibu itu kemudian mendakwa dia artis, pelakon drama tempatan.

Balas saya menggunakan SMS …

‘Ibu bapa harus mengawal anak, bukan sebaliknya’

Setakat ini pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai peraturan khusus menghadkan masa operasi CC di seluruh negara. Maka, banyak premis beroperasi 24 jam. Pada hemat saya, jika kegiatan CC tidak boleh disekat setakat ini, ibu bapa harus memainkan peranan lebih tegas mengawal pergerakan anak mereka. Mereka ada kuasa.

Secara logik akal, perkhidmatan CC berbayar, bukan percuma. Setiap pelanggan harus mempunyai wang untuk menggunakan servis ditawarkan. Dalam kes ini, siapa memberikan wang untuk dibelanjakan anak itu setiap kali berkunjung ke CC terbabit?

Persoalan seterusnya, tidakkah kita sebagai ibu bapa berhak sepenuhnya mengawal pergerakan anak berusia 13 tahun, bukan 23 tahun?

Katanya lagi …

‘Anak orang lain pun ramai pergi ke CC tu dan blah blah blah’

Saya jawab …

‘Ramai juga orang lain mampu mengawal anak tidak ke CC, mengapa tidak kita? Kita sama-sama ada anak, kita jagalah bersama’

Dia marah.

SMS terakhirnya …

‘Kalau macam ini layanan talian, ok, akbar boleh tolong ulaskan cara 360 punya layanan’

Itu cara seorang ibu berhasrat meminta pandangan saya berhubung kegiatan anak sukar dikawal. Setiap hari saya menerima lebih 300 SMS, pelbagai masalah diutarakan. Kekadang kesabaran, satu tuntutan.